Friday, August 21, 2020

DARI FAIL LAMA, UNTUK RENUNGAN SANTAI

REAKSI POSITIF!

Oleh Mohd. Affandi Hassan


          Tulisan ringkas tentang Persuratan Baru baru-baru ini (Mingguan Malaysia, 8/1/2006) menimbulkan beberapa kemusykilan dan pertanyaan daripada beberapa orang penulis. Ada yang membuat teguran ikhlas: “Karya anda baru masuk senarai, belum dibuat apa-apa, sudah riuh satu dunia; padahal karya sasterawan negara dan lain-lain sudah diterjemahkan ke dalam berpuluh bahasa, sudah dijadikan bahan tesis MA dan Ph.D. beratus buah, mereka tak bising pun”. Terima kasih. Seorang haji anak seorang haji yang menggelar dirinya Setan/Iblis mengirim e-mail berjudul “Surat Dari Iblis” yang antara lain berbunyi: “Aku membencimu, kerana aku benci Allah”. Tidak sia-sia seorang penulis sajak ternama kagum dengan kepintaran Mephistopheles! Ada yang berasa musykil bagaimana boleh berlaku diskriminasi yang begitu ketara dalam membuat pertimbangan dan keputusan tentang karya-karya saya. Tidakkah ini merugikan sastera Melayu? Saya sendiri berpandangan lain. Saya tidak menganggap semua perbuatan yang kelihatan mengetepikan karya-karya saya itu sebagai satu diskriminasi. Hal ini biasa saja berlaku di mana-mana sekali pun, bukan suatu perkara yang perlu digusarkan apabila menimpa seseorang penulis. Menolak dan menerima sesuatu pendapat, gagasan, karya dan sebagainya adalah pilihan peribadi yang harus diserahkan sepenuhnya kepada sesiapa juga yang membuat pilihan itu. Oleh itu tidak timbul soal diskriminasi. Tetapi perkara begini menjadi masalah dan perlukan penjelasan apabila Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka, menolak lebih dari 45 buah tulisan saya sejak tahun 1996. Pada tahun itu saya mengirim 17 buah cerita pendek, tetapi hanya sebuah disiarkan. Selepas itu saya masih mengirim terus karya-karya saya, sama ada cerita pendek mahu pun rencana. Kini tak kurang 45 buah berada dalam simpanan Bahagian Majalah. Apakah yang membuat mereka tidak mahu menyiarkan tulisan-tulisan itu? Saya tidak fikir kerana adanya diskriminasi atau apa juga bentuk penindasan, apatah lagi jika kita sering membaca rencana pengarang dan banyak sekali tulisan yang disiarkan yang memandang berat apa juga perbuatan khianat dan tidak jujur. Ertinya, semua manusia inginkan kejujuran, bersikap jujur, dan mengharapkan orang lain juga jujur terhadap mereka. Jadi mengapa hal ini terjadi? Banyak kemungkinan yang boleh disarankan, tetapi yang paling berhak menjawabnya ialah pihak yang melakukan perbuatan itu, bukan penulis yang mengirim tulisannya.
          Saya tidak fikir ada orang yang ingin berbuat khianat, atau ingin melihat orang lain dinafikan daripada mendapat keadilan dan pertimbangan yang saksama. Jadi saya tolak segala tuduhan yang mengarah kepada perbuatan khianat itu. Adalah lebih tepat jika kita membuat andaian bahawa para editor yang berkenaan melaksanakan sejenis selfcensorship kerana takutkan tindakan yang akan diambil  terhadap mereka, andainya mereka menyiarkan tulisan yang tidak direstui oleh organisasi tempat mereka bekerja. Semua tulisan tidak harus terlalu kritis atau memperlihatkan sikap tidak bersetuju yang agak tegas, yang tidak boleh diterima oleh organisasi berkenaan. Jika inilah masalahnya, maka di sinilah kebijaksanaan para editor diuji. Saya ingin memberikan beberapa contoh untuk diperhatikan. Dalam tahun 1969, Keris Mas mengembalikan cerita pendek saya “Matinya Seorang Pahlawan” dengan nota pendek berbunyi: “Karya ini baik, tapi tak sesuai disiarkan pada waktu ini.” Cerita pendek itu disiarkan dalam majalah Penulis. Dalam tahun 1974, Usman Awang mengirim Ajikik ke pejabat saya untuk meminta persetujuan supaya perkataan “Keling” (yang jadi bahasa basahan di Kelantan) diganti dengan “India”. Saya bersetuju, dan cerita pendek “Nikmat Kemakmuran” (ditulis khusus untuk memperingati wujudnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 1974) disiarkan dalam Dewan Sastera dan menang Hadiah Sastera. Dalam tahun 1974, kumpulan cerita pendek Le Masque akan diterbitkan; tetapi Encik Mohd. Nor Azam yang mengendalikan buku itu meminta persetujuan saya untuk membuang tiga buah karya yang dianggapnya agak sensitif. Apabila saya jelaskan, beliau terima dan buku itu diterbitkan. Cerita pendek “Le Masque”, salah satu yang ingin dibuang itu, dianggap oleh Prof. Rahman Shaari dalam Syarahan Perdananya (29 Disember 2004) sebagai sebuah karya yang berhasil membicarakan hipokrasi para penulis (hal. 45). Tiga contoh ini memperlihatkan kebijaksanaan editor yang profesional, yang tidak ada motif tertentu. Mereka ingin selamatkan karya bermutu, yang kerana sebab-sebab di luar sastera dipandang agak sensitif. Sekarang tradisi baik ini tidak lagi dipraktikkan oleh editor baru di Dewan Bahasa dan Pustaka. Tetapi saya ingin tegaskan di sini bahawa penerbitan buku kecil Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (1992) terjadi kerana usaha dua orang editor muda ketika itu, Rogayah Abdul Hamid dan Mohd.Yussop.
          Ada juga penulis yang menyatakan tidak senang dengan ungkapan anti-Islam dan anti-ilmu, yang menurut mereka terlalu keras dan tidak adil. Persoalan ini sudah saya bicarakan dalam wacana ilmiah di ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia (21 Disember 2004) dalam sebuah kertas panjang berjudul “Kesusasteraan Melayu di Persimpangan Jalan: Anti-intelektualisme, Hasad, Pandirisme.” Apabila saya beri beberapa contoh yang membuat saya merumuskan kesimpulan itu, mereka berkata, hal itu terjadi kerana kejahilan dan rendah harga diri, bukan kerana anti-Islam atau anti-ilmu. Antara contoh yang saya berikan ialah sikap mengada-ada seorang penulis sajak terkenal yang mengingatkan bahawa jika gagasan Persuratan Baru diterima, maka penulis tidak lagi bebas, tetapi terkongkong dalam kerangka sempit. Hasil karya tidak aneka ragam lagi, hanya sejenis saja. Tentu saja andaian ini tidak benar, kerana tujuan gagasan Persuratan Baru ialah untuk membebaskan para sasterawan daripada menghasilkan karya picisan, dangkal, dan berdasarkan kemahuan hawa nafsu saja. Contoh lain pula mengenai sifat sastera yang tidak harus dikaitkan dengan agama atau nilai-nilai agama. Sastera tentang manusia, yang jahat dan baik, yang kuat dan lemah, yang pandai dan bodoh. Jika hanya yang baik-baik saja dijadikan bahan kreatif, maka dunia manusia tidak lagi realistik, tetapi menjadi terlalu sempit dan bertentangan dengan realiti. Sekali imbas, pendapat ini bunyinya seolah-olah cerdik, tetapi sebenarnya keliru dan cetek. Gagasan Persuratan Baru tidak menyekat sesiapa saja menulis karya sastera (berasaskan emosi) dan karya picisan (berasaskan hawa nafsu dan kelakuan lucah), yang lebih rendah kedudukan dan mutunya daripada karya persuratan yang berasaskan ilmu yang benar. Terpulang kepada penulis sendiri untuk memilih mana satu jenis yang mereka mahu, tetapi mereka harus sedar bahawa karya picisan tidak boleh disetarafkan dengan karya persuratan atau karya sastera, demikian juga karya sastera tidak setaraf dengan karya persuratan. Pembahagian begini boleh dan perlu didebatkan jika orang tidak bersetuju. Satu hakikat yang jelas terbentang dengan pembahagian seperti ini ialah kita dapat melihat mutu sebenar sesuatu karya dan dapat pula mengukur kemajuan yang telah kita capai, dengan itu membuat kita lebih arif tentang penilaian karya kreatif. Jika tidak ada kesedaran begini, maka akan terjadilah campur aduk yang sungguh mengelirukan, seperti yang dilakukan oleh panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, yang memang tidak membezakan antara karya picisan dengan karya yang bermutu, malah bagi mereka takrif “karya bermutu” itu boleh apa saja, tidak mempunyai ukuran yang tepat, jitu dan objektif.
Kekeliruan seumpama ini diluahkan lagi oleh SN Prof. Dato’ Dr. Syed Othman Syed Omar dalam kertas kerjanya di satu kolokium, termuat dalam prosiding berjudul Peradaban Melayu Timur Laut (DBP 2005). Pada kesempatan yang begitu baik untuk mengkritik gagasan Persuratan Baru, beliau memilih untuk menyindir, dalam ocehan (istilah Heidegger idle talk) berjela tanpa sebarang analisis, tidak dapat membezakan Persuratan Baru (yang tidak disebutnya) dengan Persuratan Melayu, kerana baginya kesusasteraan dan persuratan sama saja, tidak perlu dikelirukan seperti yang dibuat oleh seorang tertentu (hal. 181). Dalam ocehannya itu, jelaslah beliau tidak tahu menahu tentang gagasan Persuratan Baru, tetapi ingin berbicara tentangnya. Masyarakat dan sarjana sastera serta para sasterawan dinafikan daripada mendapat hasil penelitian yang mendalam berdasarkan analisis yang dihujahkan dengan terperinci dengan memberikan bukti-bukti yang tepat, apabila tokoh besar ini memilih untuk mengelirukan dirinya sendiri dan para pembaca dengan tidak membicarakan gagasan Persuratan Baru secara tuntas. Beliau tidak boleh menerima gagasan Persuratan Baru kerana analisis berdasarkan Persuratan Baru akan membenarkan kesimpulan yang pernah dibuat terhadapnya sebagai seorang tokoh yang hanya “pandai menulis, tetapi tidak pandai mengarang”, yang dibuktikannya dengan begitu jelas melalui tulisan itu sendiri. Sebagai seorang sarjana besar dan berpengaruh, beliau seharusnya membantu pembaca memahami persoalan, dengan memberikan analisis yang kritis dan jelas berasaskan penelitian yang objektif. Beliau memang mempunyai kemampuan intelektual yang luar biasa dengan mengemukakan teori Kritikan Melayu yang terkenal itu, yang sepatutnya digunakan untuk menilai gagasan Persuratan Baru. Adakah Kritikan Melayu pun sejenis ocehan  saja?
Kita di Malaysia  sangat beruntung, kerana selain tokoh besar ini, ramai lagi tokoh-tokoh besar lain yang mengemukakan “teori” masing-masing (walaupun pada nama saja), sehingga ada yang berkata bahawa kini sudah terdapat industri teori sastera di Malaysia. Kita tidak saja terkenal dengan produksi budu, pekasam, cencaluk, belacan dan tempoyak, tetapi juga mempunyai begitu banyak “teori” sastera yang hebat-hebat namanya yang baunya tidak kalah dengan produk-produk tadi. Malah ada di antara tokoh besar kita yang “menelurkan” tiga empat buah teori dengan nama hebat-hebat ini, seperti teksdealisme (untuk sastera Melayu), ubudiyyah (untuk sastera Islam) dan lain-lain. Bolehlah rujuk buku Teori Dan Kritikan Sastera Melayu Serantau (DBP, 2005). Gagasan Persuratan Baru tidak termasuk dalam kumpulan “cencaluk teori” ini, kerana memang bukan teori, hanya sejenis kerangka analisis yang cukup sederhana untuk digunakan oleh orang-orang yang berminat dalam dunia analisis teks yang sederhana pula kemampuan akademik dan keupayaan intelektualnya!
Pemilihan sasterawan untuk diberi hadiah, anugerah dan lain-lain, kuat dipengaruhi pendirian politik yang mesti menyokong pihak berkuasa. Akibatnya, hanya satu jenis sasterawan saja yang terpilih. Mereka tidak boleh disentuh atau dikritik, hanya perlu dipuji saja, dengan alasan mereka sudah terpilih daripada yang terbaik. Sikap begini boleh membekukan pemikiran kerana terdapat unsur  anti-ilmu dan memusuhi perdebatan yang kritis, dengan misalnya melempar tuduhan kononnya sesiapa juga yang mengkritik mereka bersifat sentimen, menyerang peribadi, didorong oleh rasa dendam dan hasad dengki. Secara sedar diwujudkan halangan dan kekangan supaya tokoh-tokoh terpilih dan terpuji itu kekal sebagai berhala hidup yang dikenal dengan nama “the sacred cow”. Sikap positif yang lebih terbuka akan memungkinkan gagasan Persuratan Baru dijadikan asas penilaian dalam satu projek kritikan dan penilaian semula yang ditumpukan kepada peranan ilmu dalam penulisan kreatif, dengan menggunakan karya-karya pilihan para sasterawan negara sebagai ukuran. Apakah yang menghalang pelaksanaan projek seperti ini? Organisasi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, universiti, syarikat-syarikat penerbitan yang besar-besar, boleh memainkan peranan sebagai penyebar pemikiran baru melalui projek seperti ini. Tetapi ada pandangan yang menarik yang mengatakan bahawa jika projek seperti ini dilaksanakan, maka terjadilah diskriminasi terhadap para tokoh besar kita, yang tidak wajar ditentukan ukuran apa yang akan digunakan kerana karya mereka melangkau semua teori dan tidak seharusnya ditumpukan kepada satu teori saja, seperti gagasan Persuratan Baru. Pandangan ini memang bernas untuk mempertahankan para tokoh besar ini supaya terus berada dalam sarung kebal, seperti kura-kura memasukkan kepalanya ke dalam kulitnya apabila disentuh. Tiada salahnya kita terus memenangkan kura-kura dalam cerita kanak-kanak kita dengan menjadikan kura-kura sebagai ukuran kemajuan kita dalam bidang ilmu dan seni, asal saja kita sanggup menunggu lama (sangat lama) untuk mencapai kemajuan yang betul-betul bermakna, yang boleh kita percepatkan melalui penguasaan ilmu yang benar seperti yang ditegaskan dalam gagasan Persuratan Baru. Tetapi tentulah sangat aneh jika inilah pendirian para sasterawan dan sarjana sastera kita. Selepas dituduh anti-ilmu, kini mereka muncul sebagai golongan yang anti-kemajuan pula. Wallahu a’lam.                  


[Petaling Jaya, 15 Januari 2006].                                                          

Wednesday, August 19, 2020

BACA, BINCANG DAN KRITIK TULISAN PANJANG INI

CANTUMAN TIGA ENTRI BLOG

Bahagian I

Istilah maksiat intelektual yang saya gunakan ditegur oleh seorang pembaca budiman supaya ditukar kepada dosa intelektual, yang lebih lembut dan lebih sopan. Kedua-duanya boleh dipakai dengan selesa; mana satu darinya yang kasar terpulang kepada anda menimbangkannya. Yang penting bagi saya kita harus mempunyai kesedaran yang ikhlas dalam persoalan ini, kerana terlalu banyak sangat berselerak dalam tulisan para sarjana dan sasterawan. Kita tidak boleh diamkan, apatah lagi jika yang berbuat demikian ialah Panel Anugerah Sastera Negara seperti yang anda boleh baca dalam laporan mereka dan yang telah saya kritik dengan objektif dalam tulisan saya. Bagi saya, kita tidak boleh bertolak angsur dengan kesilapan, kononnya untuk mengambil hati. Tidak boleh. Mesti tegas dan tepat mencirikan persoalan yang ingin kita kemukakan. Kalau kita boleh benarkan Profesor Muhammad Haji Salleh menggelarkan orang yang dibenci beliau “anjing kurap”, mendapat sokongan seorang penulis agung dan bakal sasterawan negara seperti Dr. Fatimah Busu, maka tidak ada alasan untuk berlunak dengan kejahatan.  Sila rujuk penjelasan Shah Wali Allah dalam kitabnya ketika membicarakan empat kumpulan musuh Islam menggunakan hujah masing-masing untuk berbohong dan mengelirukan manusia. (Rujuk kitab al-Fauzul Kabir  terjemahan Inggeris, cetakan 2013 diterbit oleh Islamic Book Trust, Kuala Lumpur. Rujuk halaman 3-6.)   Ini masih berlaku hingga sekarang, dan sangat berleluasa dalam kritikan dan teori sastera Barat yang dijadikan pegangan oleh sarjana dan sasterawan Malaysia.  Anda mesti berani untuk bercakap benar dan berhujah untuk mencari kebenaran, bukan untuk mempertahankan pandirisme anda.

Apabila saya menggunakan istilah “sarjana ciritan” dan menulis sebuah seloka tentangnya yang dimuat dalam Balai Maqamat,  saya menerima reaksi positif daripada pembaca saya yang kritis dan objektif, yang memahami aspek “ciritan” yang saya maksudkan.  Paling menarik ialah para sarjana sendiri tidak ambil peduli kerana mereka sangat yakin apa yang mereka lakukan dalam kerja-kerja akademik mereka adalah mempunyai kualiti pemikiran dan analisis yang canggih kerana sandaran mereka yang begitu kuat kepada teori sastera Barat dan tokoh-tokohnya.  Saya telah memberi contoh tentang aspek “ciritan” akademik ini ketika membicarakan buku terbitan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.  Saya menulis beberapa siri entri dalam blog ini.  Malah saya telah mengumpulkan tulisan itu dalam beberapa buah manuskrip untuk rujukan.  Satu usaha yang serius, yang diremehkan oleh para sarjana ciritan dengan panggilan kemegahan mereka sebagai tidak lebih daripada “salakan anjing kurap” (memakai istilah Profesor Muhammad Haji Salleh yang disokong oleh sahabatnya Dr. Fatimah Busu, yang menulis sebuah buku tentang “salakan  anjin g kurap” ini.)  Inilah situasi sebenar yang kita hadapi dalam sastera Melayu.  Wajarkah kita biarkan saja keadaan yang memalukan dunia intelektual kita ini? Kita perlu menentang kepalsuan ini dengan tuntas, dengan mengemukakan hujah dan bukti yang dapat disaksikan sendiri oleh golongan “ciritan” ini.  Kita harus terus menerus memberitahu mereka bahawa “konsep” ilmu yang menjadi pegangan mereka bersandarkan teori sastera Barat adalah keliru dan mengelirukan, yang akibatnya menjadikan perbincangan tentang ilmu dan peranan sastera menjadi amat dangkal, mandul, dan berserabut dengan ambiguiti yang tidak perlu, tetapi masih diteruskan kerana itulah saja yang dapat dilakukan oleh para sarjana ciritan ini.

Terdapat beberapa konsep yang sering dipakai tetapi sangat ketara tidak difahami dengan betul oleh penggunanya. Antaranya yang menarik ialah konsep hegemoni, satu konsep puak Marxist yang sangat popular di Eropah.  Dalam pemikiran Barat, konsep hegemoni itu diberi penjelasan seperti berikut:

“The twentieth-century use of this term combines and extends earlier usages. It traditionally indicated the dominance of one country or ruler over others. Secondly, it also signified the principle around which a group of elements was organized.  It is now not only applied to internatonal relations, where it still means dominance, but – mainly under the influence of the Italian Marxist thinker Antonio Gramsci, who developed the concept significantly (1929-35) – has also come to indicate the orginizing principle of a society in which one class rules over others not just through force but by maintaining the allegiance of the mass of the population.  This allegience is obtained both through reforms  and compromises in which the interests of different groups are taken into account, and also through influencing the way people think.  Whereas at first Gramsci (1921-26) used the term in the same way as other Marxists such as Lenin, Bukharin and Stalin with regard to the leadership of one class over others in a system of alliances, in exteding the term he went beyond the usual Marxist concept of state Power as the instruments of a class which employed a monopoly of force, to argue that the state in the modern period could only be understood as force plus consent.”  (artikal tentang hegemony dalam Twentieth-Century Social Thought ed. William Outhwaite & Tom Bottomore et. al (Blackwell Reference, 1993, hal. 255.)

Apakah ciri utama hegemoni dalam kutipan sarjana ini?  Pertama ialah paksaan ke atas rakyat yang ditundukkan dalam revolusi untuk menegakkan Marxism sebagai satu-satunya sistem negara yang sah. Unsur paksaan ini merupakan ciri utama hegemoni. Kedua, terdapatnya hukuman berat jika tidak menurut perintah; dengan itu terjadilah pembunuhan beramai-ramai. Inilah yang kita saksikan  sekarang, apabila Amerika dan sekutunya membunuh beramai-ramai orang Islam puak Sunni di Syria, Iraq, Lebanon dan kini merebak ke Turki untuk memastikan Turki dimusnahkan kali kedua oleh kuasa Barat melalui PBB, yang dijadikan sebuah organisasi besar dunia oleh lima kuasa besar yang menentukan apa yang boleh dilakukan atau tidak boleh dilakukan. Mereka adalah pengganas dunia, hasil dari kemusnahan peperangan dunia. Ketiga, hegemoni menegakkan kuasa Iblis melalui sistem demokrasi yang didefinisikan sepenuhnya oleh Iblis, seperti yang dapat kita lihat di Mesir, Iraq, Syria dan kini di Afghanistan yang dimusnahkan segala-galanya dalam sistem demokrasi Amerika Syarikat. 

Sekarang kita dipaksa oleh ITBM dalam bukunya Sastera Teras Negara Bangsa untuk menjadikan sastera sebagai dasar pembangunan tamadun kita.  Adakah ini wajar? Inilah pandangan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, seorang sarjana penting abad ini yang menulis rencanannya, “Sastera Teras Peradaban Negara Bangsa” yang dijadikan makalah utama buku tersebut.  Kita tidak pasti sama ada sarjana ini sedar atau tidak konsep dan istilah hegemoni itu ialah secara ekslusif dijadikan milik faham Marx yang kemudiannya dijadikan sebahagian daripada alat politik demokrasi kerana konsep itu didapati berguna dalam usaha para pengganas dunia yang bermukin di PBB untuk menghancurkan apa juga jenis penentangan, terutama jika datangnya daripada pejuang Islam atau orang Islam. Tugas mereka  sekarang, dengan menggunakan konsep hegemoni ini, ialah untuk memastikan Islam boleh dihancurkan selumat-lumatnya melalui organsasi pengganas yang diberi nama PBB itu.  Sekiranya anda tidak boleh terima kesimpulan ini, lihat saja bagaimana PBB membenarkan Israel membunuh orang Islam di Palestine dengan sokongan lima kuasa besar yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Apakah jenis hegemoni yang cuba dibawa oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan ITBM?  Saya salin perenggan pertama tulisan beliau:

“Penganjuran Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) ini bertujuan membuka perbincangan ilmiah dengan menghimpunkan penulis daripada pelbagai kelompok dan strata untuk mencari dan membentuk gagasan bagi memenuhi tema “Sastera sebagai teras pembangunan negara bangsa”.  Peredaran masa turut membawa keperluan baharu dan gagasan yang lebih relevan. Walaupun para cendekiawan dan budayawan terdahulu  sudah memberikan pandangan yang sangat membina dan praktis, generasi kini perlulah membuat semakan semula dan menghantar gagasan baharu yang serasi dengan keperluan semasa.” (hal. 19)

Harapan sarjana ini dan ITBM kedengarannya sangat baik, tetapi disampaikan dengan keangkuhan hegemoni yang salah. Oleh itu, semua ucapan perenggan pertama itu tidak boleh dipakai kerana di situ kita dapati asasnya ialah pembohongan intelektual, yang saya gelarkan “maksiat intlektual” dalam entri yang lalu.  Kita dapati tidak berlaku perbincangan ilmiah daripada semua strata penulis kerana hanya kumpulan tertentu saja yang dihadirkan dalam SKPM ini.  Tidak ada perbincangan ilmiah secara terbuka, dengan memberi tumpuan kepada konsep ilmu dalam pembinaan tamadun manusia. Malah ucap utama Prof. Kamal Hassan pun tidak dibincangkan dan tidak disebut dalam resolusi, yang sepatutnya dimulai dengan catatan apakah yang dibincangkan oleh peserta terhadap ucap utama penting itu. Hegemoni palsu yang menjadi pegangan anggota ITBM ini tidak membenarkan wujudnya perbincangan terbuka yang benar-benar ilmiah. Malah makalah yang dikemukakan pun tidak mencapai standard yang kita ingini, terutama sekali yang ditulis oleh para sasterawan negara. Amatlah lucu apabila Muhammad Haji Salleh, sasterawan negara dan Tokoh Akademik Negara, menulis kertas kerja di atas bumbung kilang besi berkarat. Apa yang boleh kita harapkan jika itulah sikap mereka terhadap ilmu? Sangat sedih, berbelanja besar tetapi hanya berjaya membawa kucing yang merangkak di bumbung bangunan mencari tikus?  Kata Dr. Mohamad Saleeh Rahamad seterusnya, “generasi sekarang perlulah membuat semakan semula dan menghantar gagasan baharu yang serasi dengan keperluan semasa.” Apakah yang perlu disemak itu, mengapa perlu disemak, untuk apa perlu disemak? Untuk menghantar gagasan baharu, kata tokoh besar sarjana sastera ini. Gagasan apa? Di mana gagasan itu muncul? Dalam resolusi tidak ada, di tempat-tempat lain pun tidak ada. Ghaib di mana? Kita mahu tahu apakah gagasan baharu yang disebutkan oleh sarjana besar ini. Sesuai dengan kedudukannya, beliau harus membantu khalayak yang berminat tentang ilmu untuk turut serta berbincang tentang aspek tamadun ini, kerana tamadun bukan kepunyaan PENA atau ITBM secara peribadi, seperti yang digambarkan dalam dokumen ITBM ini. Kalau inilah makna dan matlamat hegemoni, maka kita perlu menolaknya dengan keras sekali, kerana perbuatan ini telah melanggar adab tamadun yang dibina oleh tokoh-tokoh ilmuan kita melalui persuratan Melayu.  Keengganan kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba ini untuk menerima sumbangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya 1972 sungguh amat memalukan dunia intelektual kita. Apakah sumbangan mereka? Sehingga ini, menurut analisis saya, mereka hanya berjaya  meluaskan lagi pengaruh pandirisme dalam kebudayaan Melayu.   Seterusnya kita lihat lagi pendapat Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini.

“Tenaga hegemoni yang dimiliki oleh kesusasteraan melampaui kuasa ketenteraan yang keras atau undang-undang yang rigid kerana kesusasteraan beroperasi secara halus, menjinakkan pemikiran  dan perlakuan yang liar atau pun mengabsahkan konsepsi yang wujud dalam minda setiap anggota masyarakat. Keberdayaan kesusasteraan sebagai tenaga hegemoni berkait erat dengan sifatnya yang diskursif. Bahasa sebagai alat penjanaan idea dalam karya sastera tidak bersifat neutral, sebaliknya mempunyai upaya dan ideologi tertentu. Atau dalam erti kata lain, karya sastera adalah wacana, discourse, yang memiliki ideologi tersirat.” (hal. 21)

Apakah yang hendak disampaikan oleh sarjana ini dalam kutipan di atas?  Suara siapa yang kita kesan di sini? Pembacaan saya terhadap karya kreatif oleh para sasterawan negara, satu kumpulan istimewa, menolak bulat-bulat kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini. Sekiranya pendapat beliau betul, maka ternyata tidak sebuah pun karya sastera Malaysia sampai ke taraf yang beliau sebutkan, sehingga membolehkan karya sastera dijadikan landasan pembinaan tamadun bangsa.  Di mana letaknya peranan ilmu dan pemikiran dalam rumusan beliau yang begitu lekeh ini? Jelaslah beliau telah menolak peranan ilmu dalam pembinaan tamadun, kerana saya agak beliau tahu jika ini dijadikan asas, tidak sebuah pun karya para sasterawan negara dapat memenuhi syarat itu. Kalau anda betul-betul serius, dan tidak hanya berceloteh dalam retorik peragaan yang remeh-temeh, anda harus membuktikannya daripada contoh yang ada pada kita sekarang, yakni karya para sasterawan negara. Bila kita membaca bahagian akhir tulisan beliau, “Peranan sastera dalam negara bangsa,” (hal. 29 seterusnya), maka kita megharapkan beliau menyediakan sedikit analisis dan hujah yang mantap untuk membuktikan karya sastera boleh dijadikan teras negara bangsa. Tetapi beliau hanya menyebut sambil lewa Arena Wati dan Abdullah Hussein, tanpa memberikan analisis mendalam untuk membuktikan karya mereka layak dijadikan teras negara bangsa dalam pembinaan tamadun berteraskan ilmu yang benar.  Seharusnya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad bermurah hati untuk mencurahkan ilmunya supaya dapat membimbing  pembaca seperti saya yang sangat cetek tentang sastera dan bukan pula dari kalangan sarjana yang hebat, hanya seorang penulis blog yang saja pandai-pandai memberikan pendapat yang agak kritis. Kerana saya juga menulis karya kreatif, maka beliau boleh saja membuat perbandingan yang objektif berasaskan pembcaan beliau terhadap pemikiran dalam karya saya, sekurang-kurangnya untuk membuktikan bahawa memang terdapat karya yang boleh dijadikan asas pembinaan tamadun ilmu di Malaysia. Adakah anda sendiri tidak sampai ke tahap itu? Kalau saya mengatakan konsep hegemoni yang dilagakkan oleh beliau dalam makalahnya ini hanya sejenis omongan saja (idle talk, kata Heidegger), maka di manakah asas pembinaan tamadun bangsa yang boleh diberikan oleh karya sastera Malaysia? 

Kesimpulan

Tajuk yang dipilih oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad adalah tajuk yang serius, yang berat, yag memerlukan pemikiran dan analisis yang mendalam sebelum dikemukakan oleh beliau dalam tulisannya yang begitu selekeh tanpa kualiti akademik yang boleh dijadikan sandaran untuk perbincangan ilmiah, yang disebut oleh beliau pada permulaan tulisannya. Saya ingin menarik perhatian anda semua kepada satu konsep yang amat baik yang pernah dilontarkan oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam tulisannya, iaitu betapa perlunya sesuatu tulisan ilmiah dimulai dengan apa yang disebutnya “langkah kaedah.”  Saya telah memberi pandangan positif saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (UKM 2010, hal. 327-331) mengenai konsep ini. Walaupun Prof Muhammad Haji Salleh sendiri tidak menggunakannya dalam tulisan beliau sendiri (lihat tulisan atas bumbung kilang berkarat termuat dalam Sastera Teras Negara Bangsa), namun yang baik tetap baik walaupun beliau sendiri menolaknya.  Dr. Mohamad Saleeh Rahamad boleh belajar daripada tokoh besar negara ini, yang telah diberi gelaran Tokoh Akademik Negara selain gelaran sasterawan negara. Saya kemukakan ini sebaga seorang peneliti sastera yang berminat kepada ilmu, walaupun nasihat itu tidak saya perlukan dalam kerja-kerja akademik saya. (Baca tulisan saya dalam buku itu untuk mengetahuinya.)

Bahagian II

Kumpulan yang mula menggunakan kekeliruan ini sebagai standard dalam kritikan sastera ialah Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporannya.  Hingga sekarang mereka tidak sedar, atau terus bergelumang dalam kekeliruan ini kerana mereka berpendapat kedudukan mereka sebagai pemilih “sasterawan negara” memberi mereka authoriti untuk memesongkan kebenaran.  Saya tidak perlu memperincikan perkara ini  kerana saya telah menulis banyak sekali dalam blog ini membincangkannya. Sekadar untuk memberi gambaran betapa kelirunya kumpulan pakar sastera ini dalam penilaian mereka, saya akan memberi beberapa contoh yang paling menonjol.

Dalam ucaputama Tan Sri Prof. Mohd. Kamal Hassan di Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) 2014, belau memberi penekanan utama dan penting kepada persoalan moral dalam pembinaan tamadun dan dalam penulisan.  Masalah moral ini diremehkan dan ditolak oleh Panel Anugerah Sastera Negara ketika membicarakan karya  A. Samad Said.

Panel menolak sebarang unsur moral kerana mereka menganggap moral adalah didaktik dan dari segi gaya mengadungi unsur khutbah. Ketiga-tiganya tidak diperlukan dalam karya kreatif.  Bagi Panel, karya yang mempunyai unsur didaktik adalah karya yang lemah, oleh yang demikian sebarang imbasan yang mereka gelar aspek khutabah dalam penulisan ditolak dengan keras sebagai unsur luaran yang boleh merosakkan teknik karya kreatif itu.  Tetapi mereka menerima konsep tema, yang mereka anggap antara unsur penting dalam penulisan kreatif.  Mereka tidak menjelaskan bagaimana sesebuah karya yang mempunyai tema tertentu boleh melepaskan diri daripada unsur moral, didaktik dan khutbah.  Oleh itu, Panel memberikan pendapat mereka dengan mengatakan tema tertentu tidak penting, malah bagi mereka yang penting ialah teknik menyampaikan cerita sahaja. Dengan itu mereka memuji A. Samad  Said yang cekap merangkaikan cerita pendek untuk dijadikan sebuah novel yang amat menarik dari segi teknik.  Kata mereka dengan yakin, walaupun tidak dibuktikan dengan hujah.

Cara melihat karya dari perspektif Panel adalah cara yang perverse, yang songsang. Inilah pada keseluruhannya cara mereka menilai karya kreatif dalam laporan mereka seterusnya, yang juga boleh kita lihat dengan jelas dalam laporan terhadap Anwar Ridhwan.  Mereka juga memuji Anwar Ridhwan kerana pandai merangkai cerita pendek dalam Naratif Ogonshoto.  Bagi mereka inilah kekuatan novel ini; mereka tidak mempunyai pengalaman sastera yang meyakinkan bila memberikan pendapat yang perverse ini.  Merangkaikan cerita bukanlah perkara baru, sudah dibuat manusia beribu tahun lagi. Dari segi apa perbuatan merangkaikan cerita itu suatu innovation? Idea karut begini nampaknya mendapat sambutan daripada para sarjana ciritan, seperti misalnya kita boleh lihat dalam ucaputama Prof. Muhammad Haji Salleh ketika membuka seminar “pemikiran” Anwar Ridhwan 2003. (Cuba cari dalam blog ini komen saya tentang komen yang perverse ini.)  Daripada pendapat yang perverse inilah kita mendapat pujian tinggi tentang karya ini, sehigga mencapai klimaksnya dalam penilaian oleh Prof. Madya Dr. Noriah Taslim dalam kertas kerjanya. Apakah yang medorong mereka memberi pendapat yang tidak masuk akal? Pada faham saya, ini terjadi kerana kesan feudalisme intelektual di kalangan sarjana kita, yang berasa mereka mesti memuji tokoh yang telah diberi gelaran, kerana itu merupakan tutuntan budaya feudal itu. Tetapi ini bertentangan dengan tuntutan ilmu.  Menurut analisis Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir dalam aspek ini, semua ini terjadi kerana kelalaian para penilai untuk memahami dengan tepat ukuran yang mereka gunakan; oleh itu ukuran berkata lain, penilaian mereka lain. (Rujuk tulisan beliau dalam Ilmu Teras Persuratan Melayu (UKM 2016);    Islam dan Pengaruh Barat Dalam Kritikan  (UKM 2016). 

Perbuatan ini diteruskan dengan leluasa dan megah pula ketika menilai dan memberi hadiah sesebuah karya, umpamanya terhadap buku picisan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik  (USM, 2012).  Buku kajian ini memberi credit yang amat tinggi kepada karya pornografi dan karya erotik dari Indonesia, manakala untuk karya Malaysia pula penulisnya berpura-pura menggunakan feminisme untuk mengangkat fikiran picisan sasterawan yang menjadi pilihannya.  Penilaian ini saya buat berasaskan konsep ilmu yang benar, yang menjadi pilihan (saya agak) sarjana ini sendiri sebagai seorang sarjana Muslim.  Atau jika sekalipun beliau memisahkan konsep ilmu dengan penulisan kreatif yang bersifat cerita, tesis beliau tetap tidak boleh dipertahankan secara ilmiah. Ini telah dihuraikan oleh saya dalam tulisan yang lain, dan telah mendapat perhatian dalam analisis mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam buku suntingan beliau, Islam Feminisme Barat dan Sastera Melayu (UKM, 2013) dan Gender dalam Sastera Melayu (UKM, 2013).  Di Barat sendiri feminisme menjadi ejekan dan malah kutukan, kerana merendahkan darjat intelektual mereka. Antara pengkritik feminisme yang terkenal ialah Camille Paglia, Sexual Personae: Art and Decadence from Nefertiti to Emily Dickinson  (Yale Universiti Press, 1990).  Buku ini tak pernah didengar, apatah lagi dibaca, oleh sarjana ciritan Malaysia.  Feminisme adalah lambang decadence dalam kesarjanaan Melayu.  Sekadar memberi anda peluang untuk memahami kesimpulan saya, sila rujuk buku penting ini:  Mimi Marinucci, Feminism is Queer: The intimate connecton between queer and feminist theory  (second edition, 2016; terbit 2010; Zed Books, London.)  Bab 7 buku ini memberi gambaran sebenar tentang feminisme Barat yang ditiru di Malaysia.

 Unsur penglipur lara dalam kesarjanaan Melayu telah dimulai dengan hebat di Malaysia dalam syarahan perdana Profesor Muhammad Haji Salleh, yang memilih seorang Awang Batil dari Perlis sebagai tokoh yang disetarafkan dengan Pendeta Za’ba. Inilah yang dimaksudkan oleh Prof. Syed Muhamad Naquib al-Attas sebagai meletakkan setaraf antara murai dengan merak, yang menjadikan konsep akademik itu sebagai permainan rakyat yang boleh dicapai kecemerlangannya dengan menaiki bumbung kilang berkarat untuk mendapat mimpi yang dijadikan asas penulisan akademik, seperti yang dilakukan beliau ketika membentang kertas kerjanya di Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Feminisme adalah sebahagian daripada penglipur lara dalam kesarjanaan Melayu, yang sedikit pun tidak mempunyai asas akademik seperti “pemikiran” Awang Batil yang dijadikan asas syarahan perdana Prof. Muhammad Haji Salleh.  Bagaimana hal ini boleh dibenarkan wujud dalam dunia intelektual Malaysia? Inilah asas yang kemudiannya menjadi ukuran ketika menilai sumbangan kreatif para sasterawan negara. Tidakkah ini satu penyelewengan besar dalam kebudayaan Melayu yang sedia kala menjadikan ilmu sebagai teras persuratan?  (Lihat pendapat saya dalam entri bertarikh, antara lain, 1/1/2013; 10/12/2014; 24/6/2014 dan lain-lain).  Hujah-hujah saya dalam beberapa entri ini, secara ironik, disokong oleh Sastera Teras Negara Bangsa  dalam kertas kerja yang keseluruhannya menayangkan dengan jelas sikap anti-ilmu, anti-intelektual, dan betapa mendalamnya pengaruh pandirisme dalam penulisan kertas itu. Ke manakah kita hendak dibawa oleh para sarjana ciritan ini? Dengan menolak ilmu sebagai asas tamadun, maka mereka akan hanya membawa kita semua hanyut dalam kesesatan teori sastera Barat dan lemas dalam lautan ambiguiti yang mereka jadikan asas nilai dan ukuran mereka. Inikah pilihan kita?  Tidak mungkin kita semua sebodoh ini.

Untuk keluar dari kandang pandirisme yang menjadi pilihan sarjana ciritan dan sasterawan picisan kita perlu kembali kepada konsep ilmu yang benar. Gagasan Persuratan Baru memberi jalan keluar untuk itu. Masalahnya ialah para sarjana ciritan dengan membabi buta mengikut telatah perverse Profesor Muhammad Haji Salleh dan Dr. Fatimah Busu menggelar para penyokong Gagasan Persuratan Baru sebagai “anjing kurap.”  Ini tidak menghairankan kerana mereka berada di atas bumbung kilang berkarat berkeliaran bersama tikus-tikus di atas bumbung itu, mencari labu untuk dibaiki. Dengan semangat itulah mereka membaiki sastera Melayu dan dengan galaknya pula membuat resolusi segala macam untuk faedah mereka sendiri, bukan untuk mengembangkan dunia ilmu. Mereka seperti tikus melihat besi.  Akhirnya bertemu padi  lalu berhimpun di kepuk padi.  Tikus tetap tikus walaupun perubahan berlaku di mana-mana.  Tikus tetap makhluk yang opportunis.  Sastera Melayu ramai dihuni oleh kumpulan tikus membaiki labu ini, kerana itu pandirisme boleh hidup dengan subur dan selesa.  Itulah pencapaian kita setakat ini.  Sumbangan para sasterawan negara hanya sebagai penglipur lara moden, seperti yang diakui oleh mereka sendiri, para sarjana dan sasterawan. Lihat ucaputama Profesor Muhammad Haji Salleh dalam seminar “pemikiran” Anwar Ridhwan dan kertas kerja Dr. Noriah Taslim  jika anda mahu bukti. Mereka tokoh besar kesarjanaan Melayu, oleh itu mereka tahu makna apa yang mereka ucapkan. Mereka bangga sastera Melayu moden megungkap kembali cerita penglipur lara untuk dihidangkan ke khalayak dunia.  Itulah jenis “pemikiran” para sasterawan negara.

Bahagian III

Penerbitan Sastera Teras Negara Bangsa yang gagal sebagai hasil akademik itu sebaliknya menjadi bukti dan hujah betapa tidak perlunya  gelaran sasterawan negara diwujudkan. Karya mereka tidak dibicarakan dengan mendalam dalam SKPM, untuk dijadikan bukti bahawa hasil sastera yang bermutu boleh diberi keduduan sebagai sebahagian daripada unsur pembinaan tamadun ilmu di Malaysia. Oleh sebab perkara ini tidak terjadi, maka kehadiran para sasterawan negara sudah jelas dibuktikan tidak layak diberi kedudukan begitu istimewa kerana karya mereka tidak mencapai taraf yang membolehkan kita menerimanya sebagai sumbangan ilmu yang bermakna yang menjadi kebanggaan kita.  Kesimpulsan ini dibuktikan lagi kebenarannya apabila kita meneliti dengan kritis kertas kerja yang membincangkan “pemikiran’ para sasterawan negara ini, yang keseluruhannya hanya tidak lebih daripada keghairahan penulisnya memperkenalkan segala macam pendekatan seolah-olah semua itu akan menjadi bukti kehebatan karya para sasterawan negara; sebaliknya yang dapat kita lihat bukanlah kehebatan karya para sasterawan negara ini, kerana yang terjadi ialah betapa rakus para sarjana menggunakan segala macam pendekatan yang semuanya tidak menyerlahkan pemikiran para sasterawan negara, sebaliknya menyerlahkan aneka ragam teori sastera Barat yang tidak dapat dibuktikan memberi manfaat untuk menilai karya para sasterawan negara ini dengan objektif dari segi pemikiran mereka.  Adakah pendekatan yang dipilih tidak sesuai atau sememangnya karya para sasterawan negara tidak menyerlahkan apa-apa keistimewaan sebagai hasil pemikiran yang mendalam walau apa pun pendekatan yang dipakai.  Saya cukup terbuka untuk memberi peluang kepada para sarjana ini menulis kertas kerja yang benar-benar menyerlahkan “pemikiran” para sasterawan negara ini dalam satu perbincangan khusus untuk itu, untuk dijadikan bukti bahawa karya sastera, terutama yang dihasilkan oleh para sasterawan negara, memang layak dijadikan teras negara bangsa dalam membangun tamadun ilmu di Malaysia. ITBM saya harap akan bermurah hati untuk mengendalikan pertemuan itu sekali lagi, dengan fokus kepada sumbangan  ilmu para sasterawan ini dalam perkembangan intelektual Malaysia.  Ketakutan para sarjana dan sasterawan untuk membincangkan dengan mendalam aspek ilmu ini membuat kita hairan, apakah yang menghalang mereka dari bercakap tentang ilmu yang dikaitkan pula dengan sumbangn para sasterawan negara dan lain-lain sasaterawan.  Sekiranya sastera tidak mencerminkan kecemerlangan ilmu, seperti yang terserlah dalam karya, maka sudah pasti sastera tidak layak dijadikan teras negara bangsa. Jika hakikat ini ditolak atau paling tidak diabaikan, maka apakah asas yan g boleh dijadikan hujah bahawa sastera layak menjadi teras negara bangsa?  Kita telah melantik ramai sasterawan negara, yang secara popular dianggap hebat, tetapi mereka belum lagi dinilai daripada perspektif ilmu, mengenai sumbangan mereka dalam perkembangan ilmu. Itulah yang menjadi fokus kita sekarang.  Penelitian saya selama ini menolak bulat-bulat bahawa sastera yang dicipta oleh para sasterawan negara sekalipun layak dijadikan teras negara bangsa. Saya telah menjelaskan persoalan ini panjang lebar, dengan itu anda boleh dengan mudah mematahkan dan menolak hujah-hujah saya supaya kedudukan para sasterawan ini menjadi lebih jelas dari perspektif sumbangan mereka terhadap perkembangan ilmu dan pemikiran.  Tetapi sekiranya semua para sarjana dan sasterawan menganggap pandangan kritis saya hanya sejenis “salakan anjing kurap”, seperti yang ditegaskan oleh Prof. Muhammad Haji Salleh dan Dr. Fatimah Busu, maka pandangan anda juga perlu dinilai lebih kritis lagi, untuk mengelak daripada dianggap sebagai tidak lebih daripada sejenis salakan serigala ganas yang liar!  Tentu saja tamadun kita tidak dibangunkan daripada salakan serigala liar ini.  Tetapi inilah hegemoni yang dipaksa ke atas kita, supaya menerima pandirisme yang berada dalam karya para sasterawan negara sebagai  asas pembinaan tamadun ilmu kita. Adakah ini yang kita mahu?

Beberapa istilah kampungan sering digunakan oleh peneliti sastera ketika membicarakan kehebatan karya kreatif, dimulai oleh Panel Anugerah Sastera Negara yangmereka selerakkan dalam laporan mereka. Antaranya yang terkenal ialah “istilah” kelainan, eksperimen, perubahan,  pembaharuan, gaya bahasa yang indah dan lain-lain.  Tetapi semua “istilah” yang disebarkan oleh Panel dan diikuti oleh para sarjana ciritan, tidak diberi penjelasan dan definisi,  oleh itu kita tidak tahu apakah maksud mereka sebenarnya. Misalnya, apabila mereka bercakap tentang kelainan, apakah yag mereka maksudkan? Cotoh-contoh yang diberikan oleh Panel hanya sekadar untuk membela para sasterawan yang mereka pilih untuk dilantik menjad sasterawan negara.  Tentang A. Samad Said, mereka berkata kelainan  sasterawan ini ialah dalam pendetailan gambaran dalam novel atau cerita pendeknya, umpamanya tentang longkang yang kotor. Mengapa “kelainan” begini diperlukan dan diberi pujian? Adakah dengan “kelainan” seumpama ini sesebuah karya akan menjadi hebat dari segi pemikrannya? Tidak, malah yang menonjol ialah sifat sensasinya. Malah inilah maksud kelainan yang dibanggakan oleh Panel, seperti yang kita dapat dalam laporan mereka.  Raja sensasi dalam penulisan novel barangkali tepat sekali jatuh kepada Anwar Ridhwan, yang boleh kita temui dalam novel-novelnya, dengan mencapai tingkat tertinggi dalam Naratif Ogonshoto yang penuh sensasi itu; hingga kisah bahtera Nabi Nuh dalam al-Quran pun dijadikannya sensasi. Kalau anda tidak dapat memahami maksud saya, baca kembali novel ini dan lihat bagaimana sasterawan ini dengan sewenang-wenang menjadikan kisah al-Quran itu hanya sejenis legenda, seperti yang ditegaskan oleh Dr. Noriah Taslim dalam kertas kerjanya.  Mengapa “kelainan” itu tidak dikaitkan dengan pemikiran yang mencabar pembaca dan mencabar keseluruhan konsepsi kita tentang penulisan kreatif? Ambil contoh konsep stylization of ideas yang menjadi salah satu prinsip dalam penulisan karya persuratan, tidakkah konsep ini, apabila dipakai dalam penulisan kreatif, memaksa anda menyirat pemikiran anda dan cara anda melahirkannya dalam ruang naratif yang tidak lagi hanya untuk bercerita dan mencari sensasi, tetapi untuk mewacanakan pemikiran anda sehingga tercapai matlamat penulisan kreatif untuk mencerdikkan pembaca dan pada waktu yang sama membuat anda menjadi bijaksana untuk membaca ayat-ayat Allah dalam kehidupan manusia keseluruhannya. Inilah satu aspek yang dibincangnan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir ketika membicarakan episod kecil dalam Pujangga Melayu ketika Awang mencadangkan nama kediaman mereka “Teratak Desa.”  (Anda boleh baca dalam Kulah MASTERA Prof. Ungku Maimunah 2008, anjuran DBP.)

Demikian juga konsep (?) pembaharuan dan perubahan yang dilemparkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, tidak pernah diberi definisi oleh mereka dalam laporan mereka, sehingga apa yang mereka maksudkan dengan pembaharuan dan perubahan itu hanya aspek sensasi biasa yang sama sekali tidak memberi makna yang mendalam dalam konteks stylization of ideas yang saya maksudkan.  Lain-lain “istilah” yang mereka pakai yang tidak perlu saya ulas di sini, sama juga keadaan dan kedudukannya, hanya sejenis usapan jempul yang tidak memberi apa-apa makna yang mendalam dalam penulisan kreatif. Sebabnya sangat mudah: mereka berada dalam dunia klise yang sudah hanyut menjadi sampah sarap dalam pemikiran manusia kerana konsep-konsep klise itu (seperti plot, perwatakan, dan seterusnya yang anda  sudah tahu) tidak membawa kita kepada kesedaran untuk mengenali matlamat hidup manusia yang sebenar. Dengan itu, kita tidak ada pilihan lain, kecuali untuk kembali kepada konsep ilmu yang benar, kerana itulah saja yang boleh membawa kita memahami tindakan manusia sejagat ketika mereka membuat keputusan dalam kehidupan mereka. Itulah yang dilakukan dalam Pujangga Melayu.






Tuesday, August 18, 2020

MEMBINA KARYA KREATIF MENGGUNAKAN WACANA BERASASKAN KONSEP ILMU

Semua sasterawan negara Malaysia menolak konsep ilmu yang benar hanya kerana satu sebab saja. Karya mereka tidak berasaskan konsep ilmu yang menjadi teras kepada wacana kreatif yang disampaikan melalui cerita yang padat dengan pemikiran. Saya telah memberi contohnya dengan mengemukakan novel persuratan Hikayat Salim Adil (Wadi al-Irfan, 2017).  Saya mendapat maklumat yang amat menarik, yang mencerminkan sikap para sasterawan negara dan penyokong mereka, para sarjana ciritan yang cetek meraba-raba.  Menurut maklumat itu, tidak ada paksaan dalam penulisan novel dengan misalnya menjadikan Gagasan Persuratan Baru sebagai asas. Teori sastera Barat, kata mereka, lebih kaya dari segi konsep dan pemikiran dan boleh digunakan dengan selesa untuk menulis karya kreatif, oleh itu tidak perlu bergantung pada sebarang teori yang kononnya (?) berasaskan konsep ilmu dalam Islam yang kononnya menjadi asas Gagasan Persuratan Baru.

Apa dia Gagasan Persuratan Baru? Tidak terdapat huraian dan penjelasan yang akademik seperti yang kita boleh dapat dengan mudah mengenai konsep pascamodernisme misalnya. Nampaknya mereka tidak menerima huraian yang dibuat oleh Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Mohd. Zariat, dan buku-buku saya sendiri. Mereka berkata, tidak ada sebuah pun tulisan dua orang sarjana itu, dan tulisan saya sendiri, yang pernah diberi hadiah sastera, dengan itu membuktikan PB tidak laku dan tidak mendapat tempat dalam sastera Melayu. Malah, menurut mereka, buku saya Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid yang diterbitkan oleh DBP ditolak oleh para juri sebagai buku yang penuh dengan tempelakan terhadap sarjana sastera dan para sasterawan. Lalu dipilih sebuah buku lain (karya Noriah Taslim) yang berbicara tentang pemikiran Barat dalam sastera Melayu.  Hujah ini menarik, kerana kita boleh berkata dengan selamat, sekiranya terdapat buku yang menekankan prinsip Islam membicarakan tentang sastera, tidak diterima dan ditolak oleh sarjana Barat, maka itu sudah cukup dijadikan bukti bahawa buku itu tidak mempunyai nilai ilmiah.
Keadaan yang dijelaskan di atas masih diterima dan diberi keistimewaan kepada penulisnya kerana ketinggian nilai akademiknya dalam menggunakan pemikiran Barat yang bagi mereka agak rumit untuk difahami, sekiranya tidak diusahakan  bersungguh-sungguh untuk memahaminya.  Kata mereka, PB ditolak kerana mereka mempunyai pilihan yang lebih baik dalam pelbagai pendekatan Barat yang telah terbukti boleh digunakan dengan selamat, dan yang lebih penting, menghasilkan analisis yang tepat dan akademik, yang belum tentu dapat diberikan oleh PB.  Bagi para sarjana sastera yang mengajar di universiti, memperkenalkan PB kepada pelajar akan hanya mengusutkan kefahaman mereka tentang sastera, yang sudah pun diterima kedudukannya dalam semua universiti Barat, tanpa sebarang keraguan. Ini tidak ada pada PB yang masih kabur dan tidak meyakinkan untuk dijadikan landasan dalam analisis karya sastera.

Semua pendapat yang cetek meraba-raba ini saya buktikan dalam buku-buku saya sendiri, untuk memudahkan mereka memberikan kritikan berasaskan teori Barat yang mereka fahami.  Dalam konteks inilah saya pernah menegaskan bahawa novel  Pujangga Melayu lebih baik daripada novel Tolstoy, War and Peace. Saya diberitahu, mereka tertawa lucu sampai hampir pecah perut membaca cabaran itu, oleh itu tidak perlu dilayan kerana menurut mereka satu cabaran yang paling tidak siuman. Kata mereka, novel para sasterawan negara pun belum ada yang setaraf dengan novel Tolstoy, maka amatlah lucu jika karya saya yang tidak memenangi apa-apa hadiah itu lebih baik daripada novel Tolstoy.  Oleh itu, kata mereka, tidak perlu dibuat kajian perbandingan yang hanya membuang masa dan usaha itu adalah sia-sia.  Aneh juga, bagaimana mereka menghina usaha seorang penulis Malaysia tanpa memberikan analisis yang paling kritis yang mereka terdaya melakukannya.  Dengan itu cabaran saya akan tinggal sebagai cabaran untuk 30-50 tahun lagi!

Novel yang saya maksudkan dalam tajuk tulisan ini sudah saya hasilkan melalui karya saya Pujangga Melayu, Hikayat Salim Adil, Hikayat Buyung Lurus dan dalam cerita pendek. Sebuah lagi yang masih menunggu penerbitan, Hikayat Abu Gambol yang telah siap tiga empat tahun lepas. Saya harap DBP berminat menerbitkannya.  Tidak wajar jika DBP menentang perkembangan baru dalam penulisan seperti yang dibuktikan dalam kaedah yang disarankan dalam Gagasan Persuratan Baru.

Sebagai makluman penting, saya telah mengumpulkan beberapa tulisan dalam blog ini yang membicarakan Hikayat Salim Adil yang istimewa itu, diberi judul Tentang Hikayat Salim Adil. Kumpulan tulisan itu diambil dari blog ini bertarikh 22 November 2017;  1 Disember 2017; 2 Disember 2017; 4 Disember 2017.  Kalau ada yang berminat, boleh hubungi saya untuk mendapat risalah itu yang masih ada lagi. Saya akan terus menegaskan bahawa sesiapa juga yang berminat dalam sastera dan penulisan kreatif, wajib membaca Hikayat Salim Adil dengan kritis. Saya bandingkan novel itu dengan permaidani sutera yang boleh dilihat dari setiap sudut yang akan memberi gambaran yang berbeza. Kalau anda tidak pernah lihat permaidani sutera, anda tidak tahu apakah yang saya maksudkan. Keterbatasan pengalaman membuat anda mungkin berasa hairan dan tidak percaya apa yang saya tegaskan. Demikianlah juga, kerana pengalaman intelektual anda terbatas, anda tidak boleh menerima kehebatan Hikayat Salim Adil sebagai sebuah karya besar dunia. Pesan saya yang ikhlas, jangan lagi tertawakan diri anda yang cetek meraba-raba. Belajar daripada orang yang tahu. Belajar dari Hikayat Salim Adil tentang sastera dan pemikiran dalam penulisan kreatif.  Nanti anda akan faham mengapa saya mengatakan Pujangga Melayu jauh lebih baik daripada War and Peace.

Selamatlah jiwa yang sempurna.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 17 Ogos 2020. (Selamat ulang tahun kemerdekaan kepada kerabat di Indonesia.  Dari sebelah bapa, saya berasal dari Sulawesi.)





Sunday, August 16, 2020

DALAM BAHASA POLITIK, PENIPUAN DAN PEMBOHONGAN ADALAH WAJIB

Kalau anda seorang calon pilihan raya, dalam sistem demokrasi Barat yang diamalkan di Malaysia, kejujuran anda dan kepintaran anda diukur oleh pengundi anda dari segi kepintaran anda  berbohong dan menipu untuk mendapat sokongan terbesar dan menang dalam pilihan raya itu. Dalam kajian saya, sebagai seorang pemegang ijazah sarjana dalam bidang political behavior  (University of Essex, 1977), saya tidak pernah bertemu seorang pun tokoh politik Malaysia yang tidak menipu dan tidak berbohong. Mengapa dua aspek politik demokrasi ini penting?  Soalan bodoh ini tidak pernah ditanya oleh sesiapa pun yang menggelarkan dirinya seorang demokrat, kerana dia tidak mahu dilihat sebagai seorang yang bodoh dan naif dalam politik. Saya cabar sesiapa juga yang bergelar tokoh politik Malaysia untuk membuat penafian tanpa memberi sebarang bukti atau jika dia mahu, dia boleh menderetkan kejujurannya yang tidak pernah berbohong dan menipu dalam kegiatan politiknya. Kesimpulan saya itu untuk semua tokoh politik, tanpa kecuali.

Kemenangan dalam politik adalah untuk tokoh yang pandai berbohong dan cekap menipu pengundi, tanpa kecuali.  Bodohlah jika ada tokoh politik menerima cabaran ini, membuktikan beliau bukan ahli politik yang tulen dan lihai bermain politik. Politik adalah permainan, seperti permainan bola sepak. Pemain bola yang baik dan berjaya ialah yang pandai menipu lawannya untuk menyumbat bola ke dalam gol lawannya. Itulah namanya strategi,  dan ini memang kemahiran seorang ahli.

Dalam konteks ini, tidak wajar (walaupun adil) untuk menempelak PM Malaysia ke 8 sebagai pencuri yang mendapat jawatannya dengan “menebuk atap”.  Pencuri pun tahu menggunakan strategi terbaik untuk mencuri, maka tentulah bodoh amat bagi sesiapa pun yang mahu jadi PM tidak tahu menggunakan strategi apa jenis sekali pun yang akan memberi kemenangan kepadanya. Kesimpulan: kejujuran bukan milik ahli politik. Kejujuran mungkin milik seorang ulama; tetapi jika yang bergelar  ulama itu sendiri menipu, maka dia adalah seorang ahli politik yang hebat. Pada pandangan anda, adakah tidak tokoh hebat ini dalam politik Malaysia?

Saya sudah acap kali menyebut bahawa dalam sistem politik demokrasi Barat yang diamalkan di Malaysia, terdapat satu ungkapan yang terkenal, mobilization of bias. Sesiapa yang pandai menggunakan kaedah ini, maka dialah yang menang dan dapat merebut jawatan PM atau apa saja jawatan yang dia pilih. Bodoh sangatlah anda untuk tidak tahu hakikat keunggulan ahli politik dalam penipuan yang disebut mobilization of bias itu?  Berilah satu contoh, satu pun cukup, untuk menafikan bahawa konsep mobilization of bias itu tidak pernah diamalkan di Malaysia di kalangan tokoh politik.  Siapakah orang yang hebat itu?  Dalam politik, seseorang tokoh politik tidaklah hebat jika dia tidak tahu menggunakan teknik mobilization of bias itu dalam kempen pilihan raya. Dalam politik, menipu dan berbohong adalah wajib untuk memastikan anda mendapat kemenangan, walaupun hanya dengan satu undi.

Perbincangan ini sangat penting dalam politik Malaysia pada waktu ini, kerana kini kita “mendapat” sebuah parti baru ciptaan Tun Dr. Mahathir Mohammad yang tidak pernah berbohong itu yang memaksanya menubuhkan parti baru kerana partinya telah disita oleh PM sekarang. Menurut Tun Dr. Mahathir Mohammad, melalui parti baru itu beliau akan membuktikan pembohongan PM ke 8 yang merebut jawatan itu daripada beliau melalui strategi “menebuk atap”, satu strategi yang kini cukup terkenal di kalangan tokoh politik dan di kalangan rakyat Malaysia. Inilah kehebatan PM 8 yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Beralih kepada bidang sastera. Adakah penipuan dan “pencurian” seperti ini berlaku juga dalam sastera? Pertanyaan ini telah saya jawab dalam bentuk buku, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (Kuala Lumpur, Wadi al-Irfan, 2019).  Saya dapat tahu, buku ini diharamkan di universiti, tidak boleh dibaca oleh pelajar sastera kerana kononnya buku ini berasaskan pembohongan intelektual yang penuh dengan penipuan dalam penghujahan dan dalam memberi pandangan kritis terhadap bahan yang disalah tafsir semuanya. Sekiranya kesimpulan ini hasil dari pembacaan yang teliti dan objektif, maka saya boleh saja terima sebagai satu pandangan yang boleh dikupas lebih mendalam lagi dengan mengambil beberapa isu yang dikemukakan oleh para “ulama” sastera yang mengajar sastera di universiti.  Oleh itu, menurut pakar sastera Melayu, tidak perlu diadakan perbincangan tentang buku ini supaya tidak membuang masa dalam perkelahian yang tidak ada kesudahannya.  Novel Hikayat Salim Adil, sebuah novel yang sangat istimewa dari segi pengolahannya. Sila baca entri bertarikh 19 Jun 2020 bertajuk “Membaca kembali Hikayat Salim Adil yang lucu tetapi cerdik.”

Saya ingin mengambil perhatian pembaca untuk melihat halaman 146-147. Catatan di situ penting dikritik jika anda tidak menerima kewujudan Gagasan Persuratan Baru dalam sastera Melayu yang memberi cabaran besar kepada kepalsuan teori kritikan Barat yang digunakan oleh para sarjana sastera Malaysia untuk menilai karya Malaysia. Saya sebut pengakuan Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh yang menegaskan bahawa teori sastera Barat tidak sesuai digunakan untuk menilai karya Malaysia; tetapi beliau mati di situ saja, tidak memberikan alternatif bagaimana penilaian yang wajar itu harus dilakukan. Sebaliknya beliau dan murid beliau Dr. Fatimah Busu menegaskan bahawa kehadiran Persuratan Baru hanya sejenis salakan anjing kurap saja, tidak sedikit pun boleh dijadikan teori alternatif. Ini pendapat yang tidak siuman: jika Barat tidak boleh digunakan seperti yang ditegaskan oleh Prof. Emeritus Muhammad Hj. Salleh, dan sekiranya Gagasan Persuratan Baru hanya salakan anjing kurap saja,  maka bagaimana pula kedudukan para sarjana sastera Malaysia yang bergelar profesor yang semuanya pengikut dan pendukung teori sastera Barat? Kesannya ialah mereka ini diremehkan sebagai  kumpulan sarjana kambing yang hanya tahu mengembek, yang bersedia untuk disembelih secara akademik tanpa mempunyai pertahanan intelektual. Inikah jenis sarjana dan profesor yang menduduki kedudukan tinggi di universiti, yang mengajar sastera?  Semua ini mesti dijelaskan supaya para pelajar dan graduan sastera tidak hanyut dalam kekeliruan sepanjang hayat.  Jalan keluar kepada kekeliruan ini diberikan oleh Gagasan Persuratan Baru, yang tidak menolak membabi buta teori sastera Barat, tetapi memahaminya dengan tuntas berasaskan konsep ilmu yang benar yang dijadikan asas dalam Persuratan Baru.  Amatlah aneh apabila geng Prof. Emeritus Muhammad Hj. Salleh terkontang-kanteng dalam belantara akademik, sesat meraba-raba kerana menolak konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam. Di manakah pendirian sebenar mereka? Kedudukan mereka yang sesat meraba-raba dalam belantara akademik ini boleh dipulihkan jika mereka membaca dengan kritis Hikayat Salim Adil.

Kalau dalam politik kita dapati pembohongan dan penipuan adalah wajib, maka begitu jugakah dalam sastera?  Pertanyaan ini boleh dijawab hanya oleh para sarjana sastera yang menolak konsep ilmu yang benar dan Gagasan Persuratan Baru.  Tetapi mereka tidak perlu menjawabnya, kerana kegiatan mereka dan kefahaman mereka tentang sastera memang berasaskan pembohongan dan penipuan yang setaraf dengan peri laku tokoh politik. Inilah politik sastera, yang satu ketika dulu agak heboh dibicarakan oleh para sarjana sastera. Kalau inilah kedudukannya, maka sastera Melayu akan terus berada dalam hutan rimba kekeliruan yang berlapis-lapis, satu konsep yang mereka pakai ketika menilai sebuah karya sastera, yang menurut mereka karya itu amat bernilai kerana mempunyai makna yang berlapis-lapis. Kesimpulan ini diberikan oleh para sarjana yang berada dalam kekeliruan berlapis-lapis, yang mereka jadikan sebagai ukuran utama ketika memuji karya para sasterawan negara. Mereka tidak sedar, bahawa mereka sebenarnya berada dalam kekeliruan berlapis-lapis akibat menolak konsep ilmu yang benar, kerana perasaan hasad yang menjadi akar kehidupan akademik mereka membuat mereka tidak mahu terima Gagasan Persuratan Baru. Itulah yang sebenarnya yang berlaku.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 16 Ogos 2020.













Friday, August 14, 2020

KAYU BURUK DALAM SASTERA MELAYU: MEMBERI TEMPAT YANG WAJAR KEPADA SASTERAWAN NEGARA

Bayangkan anda bertemu setongkol kayu buruk yang keras ketika berjalan di tepi pantai. Kerana anda seorang pengukir yang handalan, anda lihat pada kayu buruk itu ciptaan seni ukir yang indah. Lalu anda ukir satu ukiran pascamoden yang sangat abstrak, bukan manusia, tetapi menggapai kedua belah tangan seolah-olah sedang memanggil atau mungkin juga sedang mengharap pertolongan. Ukiran kayu buruk itu begitu memikat, sehingga seorang pelancong yang melihat dalam pameran terus membelinya dengan harga mahal. Pembeli memberitahu, dia tertarik dengan tangan yang seolah-olah memohon sesuatu, yang dibacanya sebagai isyarat betapa kehidupan ini masih lagi mempunyai harapan. Adakah anda bangga kerana mendapat wang yang banyak? Atau anda bangga kerana hasil seni anda mendapat perhatian yang begitu memukau? Atau kedua-duanya. Katalah anda bangga kerana dapat wang dan pada masa yang sama bangga kerana anda telah mencipta satu hasil seni yang tinggi mutunya. Ketika itu, anda mungkin tidak peduli atau tidak sedar bahawa ciptaan anda itu asalnya setongkol kayu buruk. Bagaimana kayu buruk itu tiba-tiba bertukar menjadi hasil seni yang berharga? Tentulah kerana daya kreatif anda yang tinggi yang berjaya mengukir sesuatu yang benar-benar memikat manusia yang melihatnya. Kayu buruk yang ditemui di tepi pantai, boleh menjadi hasil seni yang tinggi? Adakah ini suatu perkara yang aneh? Nampaknya sumber tidak penting; yang penting hasilnya. Kayu buruk, tetapi keras, boleh dijadikan satu hasil ukiran yang indah. Inilah yang terjadi dalam dunia seni Barat pun. Seorang ahli seni yang daya seninya mengherankan, mengambil magkuk kencing, lalu dijadikan hasil seni dan diterima pula oleh masyarakat sebagai hasil seni. Inilah yang dibuat oleh Duchamp yang memberi nama karyanya Fontaine. (Lihat gambarnya dalam buku estetik atau buku sejarah seni ukir/lukis).  Bagaimana tempat kencing tiba-tiba diterima sebagai hasil seni? Menurut satu teori estetik Barat, sesuatu hasil seni perlulah diterima dan diperakui oleh kumpulan pakar yang ada authoriti dalam bidang itu sebelum dapat diterima sebagai hasil seni. Asal usulnya tidak penting. Yang penting hasilnya. Di Malaysia pun memang begitu. Shahnon Ahmad menulis Shit (Tahi)  dan  telah diterima sebagai hasil sastera yang tinggi mutu dan seni estetiknya. Dia telah berjaya membawa tahi menjadi bahan seni yang dikagumi. Dalam dunia persajakan, Muhammad Haji Salleh menjadikan Si Tenggang, seorang penderhaka sebagai wira dan diterima sebagai sajak beliau yang terbaik dan paling tinggi nilai “intelektual” kerana telah dapat mengubah kejahatan menjadi kebaikan.  Dengan bangga, dan agak angkuh, beliau berkata, “aku telah belajar/jadi kurang ajar”. “Seni” boleh apa saja, dan inilah sifat sastera moden yang disanjung di Malaysia.

Daripada perspektif ini, para sasterawan negara sudah lama hanyut dalam nilai-nilai sastera Barat; malah mereka sebenarnya sangat bangga kerana pengalaman berhanyut itu memberi mereka peluang untuk meluahkan khayalan mereka dalam bentuk cereka atau sajak. Mereka disanjung walaupun bahan asal yang menjadi perhatian mereka adalah tahi, sejenis najis, kemudiannya pujian itu diukir dalam kata-kata pujian yang amat memikat oleh para penilai mereka, anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Para sasterawan ini yakin bahawa sastera Melayu moden tidak mungkin lahir tanpa pengaruh Barat, oleh itu adalah tepat sekali, menurut mereka, jika karya mereka juga dinilai daripada perspektif Barat, hatta karya yang mereka namakan karya Islam seperti yang diklaim oleh Shahnon Ahmad. Kita telah melihat bagaimana Mana Sikana memberi pembelaannya terhadap Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad yang serasi dengan nilai-nilai Barat, terutama yang bercorak pascamodenisme dan yang sejenis dengannya. (Kalau anda sudah lupa, sila rujuk Mana Sikana, Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan, hal. 38-39).  Keghairahan Panel untuk memuji melepasi langit ke tujuh boleh anda baca dalam laporan tentang Kemala. Beberapa bahagian telah saya salin dalam blog ini untuk makluman anda (rujuk antara lain entri bertarikh 14 September 2014 dengan tiga kutipan panjang).  Sebagai contoh, perhatikan sanjungan ini: (Kata Panel) :  “Kemala lebih mengarah kepada persoalan diri dengan gaya bahasa yang cukup indah dan memukau. Renungannya cukup tajam dalam melihat akan hakikat kehidupan manusia yang menjelekkan, memualkan dan menjengkelkan. Sajak-sajakmya bertolak daripada persoalan diri, membawa kepada persoalan keluarga, masyarakat dan kehidupan manusia seluruhnya dan dikaitkan dengan persoalan ketuhanan. Nampaknya tujuan akhir penyair adalah untuk mengajak pembaca mendekatkan diri dengan Yang Abadi.” (hal. 19, Laporan 2012).  Semua itu hanya kata-kata, tidak dibuktikan dari contoh yang konkrit. Semua pujian ini hanya retorik peragaan yang kosong, tidak pantas ditayangkan oleh sekumpulan “pakar” sastera yang diberi tugas besar untuk menilai dengan objektif, bukan untuk memuji tanpa asas. Nampaknya Panel tidak membaca atau memang tidak ada contoh, tetapi pujian mesti disemburkan untuk mewajarkan pelantik Kemala sebagai sasterawan negara.

Al-Quran menceritakan bagaimana Iblis yang dikutuk Allah kerana tidak menerima makluk baru, Nabi Adam ‘a.s. dengan tidak mahu menghormatinya, telah berjaya memperdayakan Nabi Adam ‘a.s. untuk mendekati pohon terlarang di dalam syurga dengan menggunakan logik bahawa laragan itu bukanlah larangan, tetapi peringatan jika sekiranya baginda melanggar perintah itu, maka kekallah baginda dalam syurga. Itu logik Iblis yang digunakannya untuk memperdaya Nabi Adam dan sekali gus menipu baginda. Sebaik saja Nabi Adam ‘a.s. melanggar larangan itu, maka baginda tidak lagi berhak berada dalam syurga. (Penjelasan lanjut dalam Tafsir al-Mishbah, jilid 1, hal. 183-194). Tanpa disedari, prinsip pelanggaran yang dijadikan prinsip keunggulan dalam seni sastera adalah menghampiri ajaran Iblis, jika tidak pun diilhamkan sepenuhnya oleh Iblis. Yang penting dalam peristiwa ini ialah hakikat bahawa manusia tidak bebas untuk melakukan  kejahatan dengan melanggar perintah Allah yang telah mengajar manusia mana yang baik dan mana yang tidak. Orang Islam diajar prinsip ini kerana inilah yang akan membawa mereka kepada kesempurnaan amal mereka, yang akan membawa mereka kepada takwa. Mengapa prinsip ini tidak boleh dipakai dalam teori persuratan dengan berlandaskan konsep ilmu yang benar?. Jika ini diterima, penulis Islam bebas membuat kebaikan tetapi tidak bebas untuk membuat kejahatan kerana itu akan menjauhkannya daripada Allah dan dengan itu menjadi penentang segala larangan Allah. Itulah perbuatan yang paling biadab. Dan ini dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh para sasterawan atas nama kebebasan berkarya untuk menggambarkan realiti masyarakat yang tidak boleh lari dari kejahatan. Di sinilah para sasterawan ini membuat kesilapan besar, apabila mereka menyamakan kejahatan dan kebaikan, dan tidak lagi menerima konsep amar makrup yang diajarkan oleh Islam.  Dengan melakukan pelanggaran ini, maka mereka menjadi “berani” menulis untuk menjadikan kejahatan sebagai lambang kelemahan manusia; padahal mereka telah diajar bahawa yang mereka mesti lakukan ialah menurut perintah Allah yang diajar di dalam al-Quran. Semua ini tidak dapat difahami jika sasterawan dan sarjana menolak konsep ilmu yang benar bersumberkan daripada al-Quran, berasaskan ajaran tauhid dan jatuh ke dalam diri manusia dalam konsep taklif. Jika anda faham hujah ini, anda akan dapat melihat betapa palsunya karya para sasterawan negara yang lebih cenderung kepada ajaran Iblis yang memujuk penulis untuk melakukan pelanggaran untuk menyerlahkan keangkuhan mereka sebagai penulis yang original, kononnya. Semua ini tidak akan terjadi jika penulis memahami konsep insan yang diajarkan dalam Islam. Sekarang  kita boleh lihat dengan jelas di mana duduknya para sasterawan negara dan para sarjana yang menyokong mereka. Bolehkah kita terima, dan pertahankan kedudukan mereka sekarang? Sekiranya kita masih mempertahankan nilai-nilai palsu sastera Barat yang bertentangan dengan konsep insan yang difahami dalam Islam,  maka mereka masih selamat dalam kandang sastera Barat. Sebaliknya jika sudah ada kesedaran di kalangan para sasterawan negara sendiri, juga di kalangan para sarjana ciritan, kedudukan mereka sekarang tidak wajar dipertahankan kerana sudah jelas mereka berada dalam kekeliruan yang besar.  Sekurang-kurangnya telah ada kesedaran pada Muhamad Haji Salleh bahawa kita telah lama menggunakan ukuran yang tidak sesuai dengan sifat kita sebagai sasterawan Melayu (lihat  rungutan beliau dalam Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14; lihat juga komen saya dalam entri 24 Jun 2014), tetapi belum lagi ada keberanian untuk menerima, atau sekurang-kurangnya cuba memahami konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam. Seorang yang mendakwa dirinya pelopor sastera Islam seperti Shahnon Ahmad masih menolak konsep ilmu yang benar itu, dan terus berada dalam kekeliruan yang diciptanya sendiri yang dipertahankannya dengan gigih walaupun beliau mungkin sedar beliau berada dalam kekeliruan. Andainya beliau masih percaya  sastera Islamnya mesti dibumbui dengan unsur erotik dan porno, maka biarkan beliau mendakap kekeliruannya itu sampaik mati. Tetapi kita yang sedar akan kesilapan besar beliau, tidak boleh menerima kekeliruan itu sebagai satu standard dalam sastera Islam. Walaupun kita bersedia mendengar hujah mereka, namun mereka harus sedar bahawa  istilah pelanggaran yang mereka jadikan asas keunggulan karya mereka,  adalah satu kesilapan besar yang menutup mereka dari kebenaran, dengan itu menggunakan logik yang diajar oleh Iblis untuk membenarkan apa yang mereka anggap,  sebagai sasterawan bahawa mereka  bebas menulis tentang kejahatan, dengan itu menolak konsep uswatun hasanah yang diajarkan oleh al-Quran. Dalam konteks inilah peringatan Prof. Fazlur Rahman amat relevan untuk dijadikan renungan yang serius:



“Given the depth of human self-deception, how important it is that man be “awakened” to his real nature, to be responsible before God, to think thoughts and do deeds that would be consequential,  for upon this depends the whole destiny of man and of God’s purposes for man.” (hal. 33). [Major Themes of the Quran].

Bahagian II


Masalahnya ialah para sasterawan, terutama sasterawan negara, dan para sarjana ciritan, tidak boleh terima peringatan Prof. Fazlur Rahman kerana menurut mereka pesanan itu hanya satu pandangan, yang boleh diterima dan boleh juga ditolak. Sikap dolak dalik ini tidak ada ketika mereka berhadapan dengan teori sastera Barat, dengan itu mereka menerima sepenuhnya teori sastera Barat itu sebagai benar dan sesuai dengan kehidupan manusia biasa. Ketika membaca tulisan mereka membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara, saya tidak bertemu satu pun tulisan yang kritis terhadap teori sastera Barat, malah menjadi kemegahan mereka untuk menyatakan dengan bangga bahawa semua karya para sasterawan negara adalah sesuai dan cocok dengan teori sastera Barat, oleh itu karya mereka adalah universal.  Alasan ini tidak mempunyai asas akademik sama sekali, dan boleh dipatahkan seperti kita mematah lidi yang sudah menjadi arang. Tidak ada teori sastera Barat yang universal, kerana banyaknya teori itu yang saling bertentangan satu sama lain sudah cukup untuk dijadikan hujah bahawa setiap teori sama ada memberi tumpuan kepada satu aspek saja atau menjadi sebahagian daripada kritikan umum suatu pendapat yang pada asalnya dianggap universal. Contoh terbaik ialah kritikan Jacques Derrida terhadap Ferdinand de Saussure. (Untuk keterangan lanjut, rujuk John M. Ellis, Against Deconstruction.)  Tidak mungkin terdapat teori sastera Barat yang universal kerana setiap sarjana yang mengemukakan sesuatu teori cukup insaf bahawa tidak mungkin diwujudkan satu teori yang universal sebagai a general theory of literature. Dalam keadaan sekarang, yang dikatakan dikongkong oleh faham postmodernism, kecenderungan untuk bersikap parokial dan tersendiri adalah kuat, kerana faham postmodernism sendiri mengusulkan kepelbagaian yang berbeza sesuai dengan keperluan yang mendorong timbulnya sesuatu teori.  Jadi hujah universalisme ini tidak saja karut, tetapi juga bertentangan dengan fakta sejarah dan fakta perkembangan individualisme modern yang menekankan faham individu, seperti yang dapat kita lihat dalam perkembangan aliran falsafah di Barat.  Jika benar andaian sarjana ciritan bahawa karya sasterawan negara semuanya cocok dengan semua teori sastera Barat, maka menjadi tuntutan akademik untuk melihat sejauh mana penilaian demikian memenuhi ukuran yang biasa digunakan dalam Islam, berasaskan konsep ilmu yang benar. Tututan ini menjadi sesuatu yang wajib dilakukan kerana selain semua sasterawan negara klaim mereka menulis dari perspektif Islam, yang kesahihannya perlu diuji dengan teliti; maka kita juga ingin melihat mengapa karya para sasterawan negara itu terserlah (?) apabila dikaji daripada perspektif teori Barat?  Tetapi andaian ini telah dibuktikan silap oleh Prof. Madya Arbak Othman dalam kertasnya yang membicarakan karya Muhammad Haji Salleh daripada perspektif semiotik. Lihat entri bertarikh 24 September 2014  untuk melihat betapa liatnya sajak-sajak permainan bahasa Muhammad Haji Salleh yang tidak mesra pembaca, yang tidak dapat ditafsirkan dengan memuaskan menggunakan teori semiotik. Pensajak ini hanya bermain dengan bahasa, tidak bermain dengan idea, oleh itu beliau bukanlah seorang pemikir, tetapi hanya pemain yang masih bertaraf amatur. Panel Anugerah Sastera Negara membuat kesilapan besar tidak dapat mengesan permainan bahasa yang bertaraf amatur ini, dengan membuat kesimpulan beliau seorang pensajak intelektual. Mana satu sajak intelektual yang beliau hasilkan?  Kita tidak boleh terima sajak “Pulang Si Tenggang” sebagai sajak intelektual seperti yang dikatakan oleh sarjana ciritan dan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri. Saya tidak perlu ulang hujah saya, kerana telah kerap dibicarakan dalam blog ini. Antara ciri penting sebuah sajak intelektual ialah terdapatnya visi yang jelas dalam sajak berkenaan, yang memang tidak terdapat dalam “Pulang Si Tenggang”. Kegemaran Muhammad Haji Saleh bukan berfikir, tetapi membuat catatan dan memberi komen. Anda perlu baca dengan kreatif dan kritis kumpulan sajak beliau Sebuah Unggun di Tepi Danau dan Aksara Usia untuk memahami mengapa saya membuat kesimpulan demikian. Jelas tidak ada visi apa-apa dan tidak juga pemikiran yang menarik tentang sesuatu persoalan, kecuali komen biasa dan catatan perjalanan biasa juga. Oleh itu, menggunakan teori semiotik untuk membuat tafsiran sajak-sajak beliau akan sia-sia kerana tidak wujud tanda-tanda seperti yang diimbaskan oleh al-Quran dalam konteks “memahami tanda-tanda kebesaran Allah” misalnya. Anda tentu tahu pendekatan al-Quran amat empirikal, terus kepada pengalaman manusia supaya manusia tahu makna segala perbuatannya dan amalnya dan kesannya dalam kehidupannya. Saya telah memberi beberapa contoh dari syair Iqbal dan mathnawi Rumi tentang perkara ini. Baca kembali dan fahamkan. Ketika itulah anda akan faham makna pemikiran dalam seni mengarang. Jika anda masih belum dapat memahami maksud saya, baca sajak “Al-Andalus” dalam Pujangga Melayu dan kaji maknanya dengan membandingkannya dengan sajak “Pulang Si Tenggang”.  Saya kira pendekatan ini akan memberi peluang kepada anda untuk melihat makna sebenar kedua-dua sajak ini dalam konteks memahami ayat-ayat Allah yang disentuh tadi. Anda boleh gunakan teori mana saja yang anda tahu dan lihat hasilnya. Boleh?  Untuk meyakinkan anda, gunakan tidak kurang dari sepuluh teori sastera yang anda tahu dengan mencukupi untuk digunakan dengan berkesan.  Seorang pengkritik yang bertanggung jawab harus lebih cerdik dan luas pengetahuannya daripada sasterawan yang dikritiknya. Mudah bukan?

Jika anda baca dengan kreatif dan kritis makalah empat orang sasterawan negara dalam Sastera Teras Negra Bangsa, anda akan dapat melihat dengan jelas betapa naif dan ceteknya ilmu mereka yang mereka peragakan dalam tulisan yang tidak wajar dihasilkan oleh seorang yang sudah ditakhtakan sebagai sasterawan negara. Sikap bermain-main nampak jelas dalam tulisan Muhammad Haji Salleh yang menulis dari atas bumbung kilang berkarat; demikian juga tulisan Baha Zain yang terlalu ghairah hendak membodek kerajaan yang telah melantiknya menjadi sasterawan negara (baca betul-betul makalah beliau ini); dari Anwar Ridhwan kita lihat kegopohan yang tak perlu untuk memuji IB yang tidak difahami dengan betul; dari Kemala kita masih membaca tulisan seorang penulis yang kegemarannya menggilap dirinya seolah-olah masih tidak yakin beliau telah diberi kedudukan yang diimpikannya, dengan terus berbicara tentang dirinya yang membosankan. Apakah sumbangan mereka dari segi pemikiran? Nil. Nol. Hanya ocehan yang diulang-ulang. Ketika mereka diharapkan boleh membawa sastera Melayu ke wajah yang diimpikan, seperti dalam tajuk perbincangan tentang wajah sastrera Melayu akan datang, mereka masih mengomel tentang klise lama. Baca dengan kritis dan kreatif, nescaya anda akan dapati betapa sia-sianya kita memberi kedudukan yang istimewa kepada mereka yang sebenarnya tidak berupaya memberi sumbangan pemikiran yang bernas dan berguna untuk difikirkan lebih mendalam. Apa gunanya kembali kepada penglipur lara ... tak ada modal lain lagikah? Ini yang saya maksudkan.  Tidak saja klise, tetapi klise yang telah koyak rabak kerana terlalu kerap diulang-ulang dalam seminar. Mengingatkan saya kepada rubayat Umar Khayam, yang masuk ke majlis dari pintu yang sama untuk keluar. Lagaknya lebih, isinya entah apa-apa. Tentulah sangat lucu, dan lucah dari segi akademik, jika anda perlu memanjat bumbung kilang berkarat untuk mencari ilham? Inilah wajah sebenar ahli akademik kita.

Kesimpulan saya menolak sasterawan negara sejak 1981 adalah tepat, dibuktikan dengan cukup jelas pada waktu ini apabila kumpulan ini hanya berjaya membentuk Mutual Admiration Club, bukan memajukan sastera dan pemikiran tentang sastera. Mereka bukan golongan pemikir, tidak juga penulis kreatif yang berfikir. Sekali lagi, teliti kritikan saya dalam “Keunggulan Yang Cacat” dan kritikan saya mengenai dua buah buku Mana Sikana yang meletakkan para sasterawan negara ini di atas takhta keunggulan yang bukan layak bagi mereka. Jalan keluar telah saya berikan dalam tahun 2006 dalam seminar yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Sudah jelas kewujudan kumpulan sasterawan negara ini tidak relevan dan bertentangan dengan sejarah kebudayaan Melayu yang menempatkan ilmu yang benar sebagai teras, perkara yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana sasterawan negara pun.

Kesimpulan tegas.

Sesuatu teori sastera yang bermakna haruslah dapat mengembalikan manusia ke alam alastu, ketika semua manusia masih berada di alam ruh tetapi sudah bersaksi bahawa Allah adalah pencipta mereka yang berhak disembah dan ditaati. Inilah ajaran tauhid yang membimbing manusia dengan taklif. Hanya jalan ini saja yang boleh mencerdikkan manusia seperti yang ditegaskan oleh Prof. Fazlur Rahman, dalam kutipan yang saya ulang berkali-kali dalam blog ini. Saya pernah memakai slogan “kembali menjadi manusia” ketika memperkenalkan idea pentadbiran Islam sebagai menyambut abad baru Hijrah, 1978.  Kini slogan itu ternyata sangat relevan untuk para sasterawan negara dan lain-lain sasterawan yang hanyut dalam khayalan yang dilhamkan oleh teori sastera Barat. Mereka harus kembali menjadi manusia dengan segala implikasinya.

Gagasan Persuratan Baru Mencabar Kewarasan Sarjana dan Sasterawan

Maksud “kewarasan sarjana dan sasterawan” merujuk kepada sifat terbuka mereka untuk mendekati teori dastera Barat secara kreatif dan kritis dengan memberi perhatian serius kepada cabaran dari segi ilmu yang benar yang diketengahkan oleh Gagasan Persuratan Baru dalam dunia akademik dan kreatif Malaysia. Pengaruh teori sastera Barat tidak mungkin dihapuskan begitu saja; sebaliknya perlu difahami dengan kreatif dan kritis dalam konteks hakikat ilmu yang diajarkan oleh Islam. Kita ambil satu aspek daripada dekonstruksi yang menjadi masalah kepada teori ini, iaitu aspek makna dan tafsiran terhadap sesebuah teks.  Siapakah yang menentukan makna sesebuah teks, pengarang atau pembaca?  Bagi Prof. Madya Arbak Othman yang meneliti sajak-sajak Muhammad Haji Salleh daripada perspektif semiotik, pengarang tidak boleh menentukan makna dan tafsiran karyanya, kerana yang menghadapi masalah makna dan tafsiran itu ialah pembaca dan pengkaji. Sejauh mana mereka bebas menentukan makna sesebuah teks dan bagaimana  tafsiran yang mereka buat itu boleh diyakini tepat? Inilah persoalan besar yang dihadapi dalam teori sastera Barat, yang dihuraikan dengan mendalam oleh John M. Ellis dalam bukunya, Against Deconstruction (lihat terutama sekali bab 4 dan 5.)  Sekiranya anda seorang sarjana atau sasterawan yang berminat dalam persoalan ini, anda harus membacanya sendiri supaya anda sendiri dapat melihat masalah ini seperti yang dihadapi oleh teori sastera Barat.  Persoalan ini tidak dihadapi oleh Persuratan Baru, kerana konsep ilmu yang benar yang menjadi tunjang PB memberinya laluan untuk menentukan ukuran yang boleh dipakai secara objektif dalam menentukan makna sesebuah teks dilihat daripada perspektif ilmu yang benar. Sekali lagi, saya cadangkan anda sendiri melakukan sedikit eksperimen dengan menggunakan apa juga teori Barat yang anda suka untuk membaca dan membuat tafsiran terhadap sajak “Pulang Si Tenggang” atau novel-novel Anwar Ridhwan sperti Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Naratif Ogonshoto, dan Penyeberang Sempadan. Uji tafsiran anda itu dengan melihatnya daripada kaedah PB. Apakah yang anda dapat? Para sarjana selalu menegaskan novel Naratif Ogonshoto itu boleh ditafsirkan dalam pelbagai makna, atau mereka katakan mempunyai makna yang berlapis-lapis. Bagaimana anda menentukan ini dan menghujahkan makna yang berlapis-lapis itu? Saya mengatakan novel-novel itu bukanlah novel yang bermutu, seperti yang diklaim oleh para sarjana dalam dan luar negeri, dan saya beri pandangan saya dalam “Keunggulan Yang Cacat”. Sejauh mana saya telah melakukan kesilapan tafsiran, dan sejauh mana pula tafsiran para sarjana itu tepat? Dengan menggunakan pendekatan ini, anda akan memberi peluang kepada karya itu sendiri menentukan kekuatannya yang terserlah dalam kesempurnaan kreatif sang sasterawan. Saya mengatakan, novel-novel ini menghadapi satu kelemahan besar, yakni kelemahan dari segi perwatakan, yang dapat pula dikaitkan dengan aspek pemikiran dan penyerlahan unsur intelektual dalam karya ini. Sejauh mana saya silap dan sejauh mana pula tafsiran anda dan para sarjana tepat? Dengan mengadakan ujian ini, anda memberi kesempatan kepada karya itu sendiri berbicara dan anda juga dapat menentukan ukuran anda adalah tepat sehingga membolehkan anda membuat kesimpulan bahawa karya itu mempunyai berlapis-lapis makna. Semua ini memerlukan hujah dan analisis yang padat, sebelum sesuatu penilaian diketengahkan. Sekarang hal ini tidak berlaku, dan ini kita akan dapati dalam kertas kerja para sarjana yang menulis tentang “pemikiran” Anwar Ridhwan dalam seminar khusus untuknya yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (2013).  Apakah penyelesaian terbaik? Diperlukan jawapan konkrit untuk pertanyaan ini. Saya telah memberinya. Sekarang giliran anda pula.

Saya tutup entri ini dengan menukilkan kembali kesimpulan dalam entri 14/8/2013 untuk renungan bersama:

Kemunculan Mutual Admiration Club ini telah menghalang perkembangan ilmu dalam kesusasteraan Melayu, menggalakkan budaya pandirisme, dan menjadi gerakan arus perdana yang penuh dengan buih terapung di lautan sastera Melayu. Sasterawan dan para sarjana menjadi penghalang kepada pemikiran baru dalam persuratan Melayu, tetapi amat bangga menjadi pengikut pemikiran Barat yang tidak pun difahami dengan mendalam. Adalah sangat aneh, dan melucukan, apabila para sarjana yang dulunya mengkritik pendekatan dan teori Barat dalam sastera Melayu, tiba-tiba muncul sebagai penggerak utama dalam usaha mempertahankan teori dan pendekatan Barat ini, kerana mereka sedar bahawa mereka tidak ke mana tanpa teori Barat. Mereka hanya boleh hidup dengan suburnya teori dan pendekatan Barat dalam sastera Melayu moden. Inilah pilihan yang terbaik, menurut Panel Anugerah Sastera Negara; dengan itu Panel Anugerah Sastera Negara ini menjadi pelindung dan pembela Mutual Admiration Club ini. Itulah, sebenarnya, Naratif Agung dalam sastera Melayu, yang menerima dengan bangga Naratif Ogonshoto, teman setia Si Tanggang moden itu. Kalau ini bukan kekacauan yang memalukan, yang merendahkan darjat intelektual kita semua, maka apakah nama yang lebih sesuai dengan matlamat  Mutual Admiration Club yang melahirkan para sasterawan negara ini?

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 13 Julai 2015.