Monday, August 22, 2016

KARYA PERSURATAN TIDAK SAMA DENGAN KARYA SASTERA: Cabaran Intelektual Untuk Golongan Indie

Dalam entri lepas saya mencadangkan supaya kumpulan indie mengambil alih gerakan intelektual di Malaysia setelah gagal dilaksanakan oleh ITBM dan DBP. Sehubungan dengan itu, saya ingin mencadangkan seseorang dari kumpulan indie yang berminat kepada penyelidikan menulis sebuah buku tentang sejarah gerakan indie di Malaysia.  Antara isu penting yang perlu dicatat ialah mengapa tiba-tiba saja muncul gerakan indie ini. Apa yang hendak dicapai mereka dan mengapa mereka menggelar kumpulan mereka kumpulan indie.  Dengan latar belakang ini, kita  boleh mengesan peranan yang dimainkan oleh ITBM dan DBP yang mendorong munculnya kumpulan indie ini. Adakah kumpulan ini serius? Isu seterusnya ialah penglibatan mereka dalam penerbitan dan penulisan.  Adakah mereka ini hanya penjual buku di kaki lima atau lebih dari itu? Sejauh mana mereka berbeza daripada kumpulan tradisional (ITBM dan DBP)?  Penjelasan kepada isu ini akan memberi kita sedikit gambaran tentang cita-cita kumpulan indie ini. Adakah mereka hanya peniaga biasa saja? Apakah visi mereka?  Bahagian ketiga buku ini akan membicarakan projek dan program masa depan kumpulan indie. Barangkali inilah bahagian terpenting kerana di sinilah kita dapat melihat sumbangan sebenar yang ingin dicapai oleh gerakan ini. Saya harap cadangan ini mendapat respon yang positif. Kita tunggu siapakah agaknya yang akan mengambil tanggujngjawab besar ini. Menurut perhitungan saya, orangnya sudah ada, tinggal hanya mendorongnya mengerjaksan tugas ini. Kalau ini terlaksana, maka inilah buku pertama yang akan ditulis tentang perkembangan gerakan intelektual di Malaysia. Akan muncul nanti buku-buku yang hampir senada, misalnya yang akan menulis tentang perjuangan (?) Asas 50, peranan GAPENA dalam memalapkan perkembangan intelektual yang bernas di Malaysia, dan lain-lain tajuk yang seiras.  Semoga harapan ini tidak dihampakan.

Perkara kedua ialah mengenai penerbitan Jurnal Persuratan Melayu.  Yang ada dalam fikirn saya waktu ini ialah tugas ini diambilalih oleh UPSI, kerana di sana sudah ada unit khas mengenai pengajaran Jawi. Jurnal ini akan diterbitkan dalam tulisan Jawi ejaan Za’ba yang standard, bukan ejaan baru yang hanya tidak lebih daripada trasliterasi bunyi mengikut fonetik Inggeris, bukan asal Melayu yang kaya dengan konsep ilmu yang dikembangkan oleh para ulama melalui persuratan Melayu,  menggunakan tulisan Jawi. Diterbitkan juga makalah dalam tulisan Rumi, untuk dibaca oleh yang buta Jawi.  ITBM yag menganjurkan SKPM tidak langsung menyebut dan berminat dalam penerbitan jurnal seumpama ini, kerana tidak memberi faedah dan keuntungan secara langsung kepada para sarjana dan sasterawan yang kebanyakannya tidak cekap (malah mungkin ada yang tidak tahu) membaca Jawi.  Mereka anggap Jawi penghalang kemajuan, seperti yang mereka warisi daripada Asas 50.

Sekarang saya akan berbicara tentang karya persuratan dan karya sastera. Konsep sastera yang difahami dan dipraktikkan di Malaysia telah membekukan pemikiran dan gagal melahirkan karya besar dari segi pemikiran. Saya telah menulis panjang tentang perkara ini dalam blog ini, yang anda boleh semak dengan meneliti senarai blog yang saya sediakan. Saya juga telah menulis tentangnya dalam Gagasan Persuratan Baru (2014, edisi kedua).  Para sarjana ciritan dan sasterawan picisan, termasuk sasterawan negara, menolak kategori karya persuratan. Mereka tidak memberikan apa-apa hujah, sekadar menolak kerana tidak dapat menghujahkannya. Ini bukan kerja orang berfikir, seperti yang mereka peragakan dalam tulisan mereka untuk dibaca oleh pembaca yang mereka didik untuk menjadi bodoh, tidak kritis dan tidak kreatif. Bagaiamana pula pendirian golongan indie?  Anda pun tidak ada hujah untuk menolaknya, kerana pilihan yang diberikan kepada anda hanya utuk memahaminya dengan mendalam berasasksn konsep ilmu yang benar. Jika anda menolak konsep ilmu yang benar sekali pun, anda tidak dapat menolak kategori karya persuratan itu. Idea ini telah masuk ke dalam pemikiran Barat sendiri, yang mereka tertawakan seperti mereka tertawakan al-Quran. Adakah itu menjadikan al-Quran tidak relevan? Tidak. Yang tidak relevan mereka, bukan al-Quran. Inilah persoalan yang dibahaskan dengan mendalam oleh Prof. Wilkinson dalam bukunya yang saya minta dibaca dengan teliti dan difahami oleh kumpulan indie.  Jika anda menolaknya, kerana anda fikir dengan sikap kurang ajar dan biadab yang anda banggakan itu anda boleh melakukan apa saja yang bertetangan dengan akal sihat, maka anda tidaklah  berbeza dengan golongan sasterawan konvensional yang anda tolak melalui gerakan indie anda. Apakah cabaran yang perlu anda faham? Al-Quran memberi nama “iwajan”, kebengkokan (crookedness). Rujuk dalam  Surah al-Kahfi dan baca huraian Maulana Ali Nadwi yang menulis buku khusus untuk membicarakan surah ini. Jadilah orang cerdik yang tahu memilih yan g terbaik untuk anda.

Saya harap sekarang sudah jelas mengapa kategori karya persuratan itu penting, kerana inilah jenis karya yang akan kita bina untuk generasi akan datang dan masa kini, dan untuk mencabar karya dunia seluruhnya. Anda boleh melakukannya kerana contoh dalam tamadun Islam terlalu banyak, apabila para ulama dan ahli fikir kita memberi pencerahan kepada kegelapan Barat zaman itu. Kini anda pula diwajibkan memberi pencerahan baru kepada kekejaman dunia yang kita sedang saksikan in stark reality!  Bukan mudah untuk menggelar diri anda golongan indie, jika anda masih mahu menjadi pak turut sastera yang telah menjadikan orang Melayu bodoh selama hampir 100 tahun. Apakah pilihan anda? Hapuskan kebodohan itu dan puncanya. Itulah misi perjuangan anda, yang anda fahamkan kepada saya melalui segala macam kenyataan dan tulisan anda. Adakah anda mahu nafikan sekarang setelah anda dapat merasakan kesukarannya untuk mencapai hasrat anda sendiri?

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 22 Ogos 2016.

Sunday, August 21, 2016

KUMPULAN INDIE MENGAMBIL ALIH PERANAN ITBM DAN DBP YANG GAGAL MEMBAWA PERUBAHAN DALAM BIDANG KREATIF

Apakah yang telah dicapai oleh ITBM dan DBP selama ini? Banyak, tetapi akhir-akhir ini mereka mula meletakkan diri mereka dalam keadaan untuk hanya mempertahankan status quo, tidak kreatif apatah lagi inovatif. Bukti paling jelas ialah kegagalan SKPM anjuran ITBM memberi arah yang betul dan dinamik kepada perkembangan ilmu dan perkembangan kreatif.  Semua kertas kerja yang dibentang di dalam SKPM tidak memberikan apa-apa yang baru, kecuali hanya untuk mengitar semula cerita dan projek lama yang telah gagal. Dalam resolusi yang  dicapai dalam SKPM itu terlalu banyak permintaan untuk memuaskan kumpulan Mutual Admiration Club, yang dikemukakan atas nama sastera. Sila baca dengan teliti resolusi itu. Saya telah memberi sedikit gambaran tentang kegagalan ini dalam komentar saya dalam blog ini. Yang paling menonjol ialah tidak ada arah yang jelas yang ingin dicapai, kecuali hanya untuk membuat cadangan untuk memuaskan anggota Mutual Admiration Club dalam sastera Melayu.  Sila teliti resolusi mereka.  Lagak para penulis kertas kerja melebihi sumbangan yang mereka kemukakan dalam kertas mereka. Paling jelas, mereka sangat gemar bercerita, bukan menganalisis dan menilai pencapaian yang telah dibuat selama ini. Kegemaran bercerita ini sudah menjadi mercu tanda dalam penulisan kertas kerja di Malaysia. Kita juga boleh lihat dalam kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar “pemikiran” sasterawan negara yang dianjurkan oleh DBP.  Jika anda berminat, anda boleh membacanya dalam banyak entri yang dimuat dalam blog ini. Sila rujuk senarai entri blog yang saya siarkan dalam blog ini untuk semakan anda yang berminat.

Sekarang, apakah yang perlu kita buat? Tugas untuk memberi makna kepada gerakan intelektual di Malaysia harus mula diusahakan oleh kumpulan indie yang lebih dinamik dan terbuka. Walaupun banyak kritikan yang dilemparkan terhadap mereka, kita tidak dapat menafikan memang ada di kalangan mereka yang pintar dan boleh berfikir secara kritis. Mereka sesama sendiri tahu siapa mereka ini. Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah memberi mereka keyakinan bahawa di tangan merekalah kita mengharapkan perubahan positif dalam bidang kreatif dan akademik.  Mereka perlu mencabar orang tua yang sudah lembik otaknya dan tidak mampu lagi berfikir,  kecuali memanjat bumbung kilang berkarat untuk bermimpi di atas bumbung.  Inilah inovasi dan kreativiti yang mereka cuba lemparkan kepada khalayak sastera dan golongan intelektual Malaysia.  Inilah yang kita dapat dalam kertas kerja yang dibentang di dalam SKPM itu.  Beberapa contoh yang saya berikan sudah cukup untuk membuktikan perkara ini. Sila rujuk senarai entri blog.

Apakah yang kumpulan indie ini perlu buat? Saya lebih suka memberi kebebasan sepenuhnya kepada mereka untuk memikirkan bagaimana mereka ingin membina bidang kreatif dan akademik di Malaysia dengan tujuan untuk mencerdikkan masyarakat kita dan memberi peluang kepada golongan muda berfikir dengan kritis dalam segala persoalan masyarakat yang kita hadapi sekarang, khusus dilihat dari perspektif kreatif dan akademik. Untuk menca;pai matlamat ini, satu persidangan besar peringkat kebangsaan perlu diadakan, diuruskan sepenuh oleh kumpulan indie sendiri. Untuk sementara waktu, kita berikan mereka masa untuk memikirkan perkara ini sesama mereka, sekurang-kurangnya melakar rangka persidangan itu untuk dibincang iseng-iseng sesama mereka, mencari idea dan format yang terbaik. Cuma di sini saya ingin memperingatkan mereka supaya menentukan bahawa hasilnya mestilah jauh lebih baik daripada yang telah dicapai oleh ITBM  dalam SKPM dan DBP dalam seminar sasterawan negara.

Saya cadangkan supaya buku Wilkinson yang saya rujuk dalam entri lepas dijadikan bacaan dan dibincang sesama anggota indie untuk mendapat idea bagaimana persoalan yang rumit, sukar dan berat yang dihadapi Islam di Eropah, khususnya di Britain, dijadikan panduan untuk meneroka kelesuan masyarakat intelektual di Malaysia yang semakin materialistik dan mementingkan diri, seperti yang mereka tunjukkan dalam SKPM. Sesuai dengan indie juga menjual buku, bagus sekali jika mereka perkenalkan buku ini di kalangan anak muda Malaysia untuk mengajar mereka berfikir dengan serius dan kreatif. Faedahnya bukan hanya untuk mereka sendiri, tetapi juga untuk masyarakat. Selamat berjuang untuk mencerdikkan bangsa kita dan masyarakat Malaysia seluruhnya.

Mohd. Affandi Hassan

Petaling Jaya  21/8/2016

Saturday, August 20, 2016

ITBM, DBP, “ANJING KURAP”, DUBOK, “KURANG AJAR” DAN SETERUSNYA

Bagaimanakah wajah sastera kita sekarang sejak kita mempunyai sasterawan negara?

Sukar atau mudah menjawab pertanyaan ini bergantung kepada bagaimana anda membaca tulisan para sarjana dan sasterawan, yang akademik atau yang kreatif.  Tetapi yang lebih penting ialah bagaimana reaksi anda ketika membaca laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Apakah yang anda dapat daripada laporan itu? Tidak banyak yang berguna di dalamnya, tetapi yang tidak banyak itu sangat penting dalam perkembangan budaya ilmu di Malaysia. Penting bukan kerana bergunanya, tetapi penting kerana tidak bergunanya.  Sebenarnya saya sudah kerap mengulangi hujah saya, tetapi hingga kini belum ada lagi yang membantah atau mengkritik kesimpulan saya dalam banyak tulisan yang tersiar dalam blog ini dan dalam buku-buku saya.  Kerana tidak adanya reaksi itu, maka bolehlah kita membuat kesimpulan bahawa para sarjana dan sasterawan telah menerima keadaan itu sebagai sesuatu yang sepatutnya, dengan itu authoriti Panel tidak boleh dicabar kerana kedudukan mereka tidak saja rasmi, mewakili pandangan rasmi, tetapi juga kedudukan mereka sebagai ahli akademik dan pakar sastera tidak boleh dicabar oleh sesiapa sekali pun, kerana cabaran itu bermakna kehadiran para sasterawan negara ditolak. Ini tidak boleh berlaku.  Tetapi inilah yang menjadi masalah, kerana para sasterawan negara ini belum dinilai dari perspektif ilmu, walaupun sudah banyak kertas kerja ditulis tentang pemikiran mereka.  Aspek “pemikiran” ini menjadi amat kabur apabila kita dapati tidak ada kertas yang betul-betul membahaskan tiga aspek penting pemikiran: tema asas, seperti Iqbal menjadikan pembinaan peribadi dalam Islam itu sebagai tema asas; bagaimana tema itu dikembangkan dalam puisi dll, seperti Iqbal menggunakan dialog dengan para ahli falsahah dunia yang menarik perhatiannya, seperti Plato, Neitzsche dan lainnya, termasuk bagaimana beliau menggunakan image al-Quran dalam menyalurkan pemikirannya ; dan yang ketiga adakah sumbangan beliau sangat bermakna dalam perkembangan ilmu dan gerakan intelektual dalam Islam, malah secara umumnya secara universal tanpa sempadan khusus.  Siapakah di antara sasterawan negara yang sudah sampai ke peringkat itu? Kalau belum ada, bagaimana kita boleh jadikan karya mereka teras negara bangsa?  Andainya para sasterawan negara ini tidak berbeza dengan sasterawan lain, kecuali gelaran yang diberikan kepada mereka, maka atas dasar apakah ITBM dan PENA mahu menjadikan sastera teras negara bangsa? Semua ini tidak dibicarakan oleh mana-mana laporan yang ditulis oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Tidak juga terdapat dalam mana-mana kertas kerja tentang “pemikiran” para sasterawan negara. Oleh itu, apabila ITBM dan PENA bercakap tentang hegemoni sastera dan tentang sastera sebagai teras negara bangsa, adakah mereka bercakap di atas angin, tidak lebih daripada sejenis “kentut berebus” menurut peribahasa Minangkabau?  Jangan-jangan anda sendiri tidak tahu menahu tentang peribahasa itu? Kalau anda membaca Hikayat Buyung Lurus, anda akan temui aspek ini yang menjadi bahan jenaka di kedai kopi apabila di kampung itu terdapat seorang tokoh kentut yang kentutnya sangat kuat dan busuk pula.  Itulah kentut WMD, yang telah dibuktikan benar dalam kes pemusnahan Iraq oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, yang bermati-matian  mengatakan terdapat simpanan WMD yang besar di Iraq, tetapi kemudiannya didapati bohong oleh suruhanjaya yang menyiasat tentang perang itu, tertulis dalam The Iraq War Report. (Judul rasmi: The Report of the Iraq Inquiry (The Chilcot Report). Yang dikatakan WMD itu hanya sejenis kentut berebus saja, tidak wujud pun. Sebuah negara telah hancur kerananya, dan selepas itu berturut-turut negara Islam dihancur selumat-lumatnya oleh pengganas dunia yang diketuai oleh Amerika Syarikat untuk memastikan Israel tidak terancam dan terus kekal memusnahkan negara-negara Arab, terutama Palestine.  Mungkin juga hegemoni sastera yang ditekankan oleh Dr. Mohamad  Saleeh Rahamad adalah dari spesis “kentut berebus” juga. Sekiranya karya para sasterawan negara tidak sampai ke tahap pemikiran Iqbal, maka kita harus berhati-hati apabila meletakkan mereka lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan, dan kemudiannya menjadikan karya mereka yang picisan dan tidak bermutu itu sebagai teras negara bangsa. Di mana maruah intelektual kita jikalau kita mempunyai nilai yang begitu rendah terhadap ilmu?  Jika anda membaca dengan teliti ulasan saya terhadap pandangan Baha Zain dalam tulisannya, tentang “transformasi sastera,”  anda akan melihat dengan jelas betapa kelirunya sasterawan negara ini tentang konsep ilmu, kerana beliau berada di luar warisan keilmuan Islam seperti yang saya bahaskan. Tidak ada sebarang sebab dan alasan untuk beliau dan teman-temannya dalam Mutual Admiration Club menolak konsep ilmu yang benar, dengan menerima hakikat bahawa sumber ilmu itu ialah Pencipta  seluruh alam dan semua manusia, bukan para sarjana dalam teori sastera Barat atau Awang Batil seperti yang ditegaskan oleh Profesor Muhamad Haji Salleh.  Ini pun anda tidak boleh faham?  Apakah akan jadi kepada tamadun Melayu jika anda benar-benar percaya sastera layak dijadikan teras negara bangsa? Yang boleh kita bayangkan ialah kita akan melihat bangsa Melayu berebut-rebut naik bumbung untuk bermimpi, kemudian turun bersama kertas yang penuh nota untuk dijadikan buku. Adakah itu satu pembaharuan yang kita tunggu-tunggu?  Perkembangan ini hanya mungkin dengan munculnya 1MDB yang telah memberi badan penulis dan penggiat sastera bantuan kewangan yang besar.  Kita telah berbelanja besar untuk mengadakan pembaharuan ini, tetapi akhirnya yang kita hidupkan ialah klise lama yang masih menjadi pegangan sarjana dan sasterawan. Kita lihat ini dalam cadangan mereka untuk memajukan pembelajaran sastera, satu resolusi penting dalam SKPM.

Menurut resolusi itu, di bawah tajuk “Sastera dalam Pendidikan Negara,”  disenaraikan 6 cadangan yang strategik, menurut SKPM, untuk mendinamiskan pembelajaran sastera di sekolah-sekolah.  Tetapi tidak satu pun daripada cadangan itu boleh dianggap strategik, malah semuanya adalah kitar semula klise lama yang terbukti sudah berjaya menjadikan pengajaran sastera semakin jumud, beku dan keliru. Apakah yang kita perlukan sebenarnya? Kita perlukan kaedah baru yang akan mendidik para pelajar berfikir dengan kritis dan kreatif, bukan cara lama yang masih mahu dipertahankan oleh SKPM yang telah terbukti menjadikan para pelajar membenci pelajaran sastera kerana tidak mencabar kemampuan intelek mereka dan daya estetik mereka.  Cara lama yang klise itu telah berjaya menyelamatkan karya picisan para sasterawan untuk diangkat menjadi karya bermutu dengan menggunakan konsep-konsep yang sudah lumpuh, yang tidak lagi berupaya menyerlahkan pemikiran pengarang, sebaliknya hanya bercerita di sekitar bagaimana mereka menulis novel, cerita pendek, atau sajak. Dengan menggunakan konsep-konsep baru, kononnya, seperti unsur tekstualiti, teks, interteks dan lain-lain, dengan itu pengarang diberi pujian tinggi kerana menurut para penganalisis sastera, pengarang telah berjaya menulis karya baru yang bersifat gobal dan sebagainya, walaupun asasnya, menurut mereka, adalah penglipur lara. Saya telah memberi bayangan tentang perkara ini dalam entri yang lepas dan dalam lain-lain entri yang anda boleh rujuk dengan mudah. Yang ingin saya tekankan ialah kaedah lama yang diberi wajah baru (konon) ini tidak mencabar daya berfikir pelajar, tidak membuat mereka berfikir dengan kritis. Mereka masih diminta hanya berbicara tentang aspek cerita dengan memberi penekanan kepada konsep plot, perwatakan, latar, dialog, permainan (?) bahasa, yang masih dikekalkan ketika mengajar para pelajar membaca karya sastera. Kaedah ini adalah kaedah yang baik untuk mematikan daya berfikir kritis para pelajar, kerana mereka diarah ke arah tertentu seolah-olah mereka adalah lembu yang dicucuk hidung dengan konsep-konsep klise itu. Oleh itu, apabila mereka membaca sesebuah karya, mereka tidak diberi peluang untuk melihat bagaimana idea diwacanakan dalam sebuah karya kreatif. Mereka hanya diberi panduan untuk mengulang balik bacaan mereka berasaskan cerita yang mereka perolehi daripada karya itu. Tidak saja karya itu mati, pengarangnnya juga lumpuh, tidak diberi peluang untuk menunjukkan ketangkasan mereka berfikir sebagai seorang pengarang. Maka itulah dikemukakan Gagasan Persuratan Baru, supaya dinamisme sesebuah karya boleh dilihat daripada perspektif yang berlainan sama sekali seperti yang disarankan dalam Gagasan Persuratan Baru. Sudah banyak dokumen ditulis dan dihuraikan tentang gagasan ini, yang kini sedang disekat oleh para sarjana dan sasterawan supaya tidak didedahkan kepada para pelajar untuk memastikan karya yang tidak bermutu hasil karya para sasterawan negara tetap utuh, walaupun sebenarnya tidak bermutu dari segi pemikiran. Inilah hegemoni palsu yang dibicarakan dengan angkuh oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam kertasnya. Inilah wajah sebenar sastera Melayu.

Salah satu tajuk utama yang cuba dibicarakan dalam SKPM ialah “Wajah Sastera Malaysia: Seharusnya Bagaimana?”, mengemukakan dua kertas kerja.  Membaca kertas kerja ini membuat kita berasa hairan, adakah penulisnya faham tajuk yang diberikan kepada mereka? Tulisan mereka lebih tepat dimasukkan dalam bahagian bertajuk, “Latar belakang dan Perkembangan Semasa dalam Sastera Malaysia”. Itulah yag mereka bincang, lebih tertumpu ke arah mengekalkan status quo yang ada daripada mencadangkan sesuatu yang benar-benar kita perlukan. Apakah yang benar-benar kita perlukan?  Kedua-dua penulis kertas ini takut untuk menyatakan dengan tegas, atau memang tidak tahu apa yang kita perlukan itu. Adalah lucu untuk kita bercakap tentang sasterawan sebagai golongan pemikir dan pembina budaya ilmu, kalau para sarjana tidak jelas apakah yang dimaksudkan dengan aspek pemikiran itu, dan bagaimana dijelmakan dalam karya sastera. Masalah ini telah saya bincang berulang kali, malah dalam entri ini pun saya sentuh ketika membicarakan tentang pegajaran sastera di sekolah-sekolah dan universiti. Itulah yang kita perlukan pada waktu ini: membina persuratan yang dinamik berasaskan konsep ilmu yang benar. Konsep sastera seperti yang difahami sekarang, yang difahami oleh dua orang penulis ini, adalah konsep yang kabur, yang telah megelirukan dunia akademik dan dunia intelektual kita. Ini yang perlu kita bincangkan dengan jelas, bukan hanya sekadar menonjolksan pretensi intelektual yang naif dalam retorik peragaan yang menjemukan, tidak ada pemikiran. Tidak saja sasterawan perlu mewacanakan pemikiran mereka, seperti yang saya contohkan dalam ketokohan Iqbal; para sarjana pun, malah lebih lagi, harus muncul sebagai golongan pemikir yang boleh memberi sumbangan, tidak hanya sekadar bercerita. Kita sudah bosan mendengar cerita daripada sarjana kita. Kita mahu pemikiran mereka yang dikonsepsikan dengan jelas. Inilah kegagalan kita yang menjadi kebanggaan kita, yang menjadikan perbincangan tentang sastera hanya untuk mengekalkan status quo yang sudah sekian lama mengelirukan kita semua.

Jika kita benar-benar serius untuk membincangkan aspek wajah sastera Melayu masa depan, kita harus melihat berkembangannya. Kita harus menjelaskan latar belakang wujudnya masalah ini, tentang peranan Asas 50 yang menentang konsep ilmu dan mencemuh persuratan Melayu sebagai ketinggalan zaman; apakah kesannya terhadap perkembangan selepas itu; kita lihat merebaknya idea Marxis dalam sastera Melayu yang menjauhkan lagi sastera dari perspektif kerohanian dan ilmu; dan seterusnya masa kini, apa yang sudah kita lakukan dan adakah kita sudah kenal pasti masalah kita itu. Sesiapa juga yang ingin berbicara tentang wajah sastera Melayu, perlu bersifat adil kepada ilmu dan perlu tahu perkembangan intelektual dalam bidang penulisan dan bagaimana perkembangan itu melahirkan kekeliruan yang sedang kita hadapi. Sudahkah ada jalan keluarnya? Jika kita meneliti kertas kerja ITBM itu kita tidak menemui jawapan positif, malah yang jelas mereka tidak mahu adanya jawapan positif itu untuk terus melindungi para sasterawan negara dan sastera Melayu moden dalam wajah Asas 50 yang anti-ilmu. Apa yang berlaku pada waktu ini ialah meluasnya ciri-ciri dan unsur-unsur ‘iwajan dalam perkembangan intelektual Malaysia.  Nampaknya kecenderungan sekarang ialah untuk meneruskan dengan lebih gigih lagi perspektif ‘iwajan dalam perkembangan intelektual Malaysia. 

Mungkin kita perlu memberi perhatian serius peringatan Prof. Matthew L. N. Wilkinson dalam bukunya, A Fresh Look at Islam in a Multi-Faith World: A philosophy for success through education, yang membuat penegasan ini:  “The natural-social signs (ayat) are objectively real – night follows day (Q: 7: 5), death follows life objectively for all – and yet the meanings of the ontology of the universe at the level of the empirical, the actual and the real do not disclose themselves without reflection, hard intellecutal work and spiritual purificaton of the eye of the heart, as well as the availing oneself to a range of interpretative possibilities at social and individual, emotional and spiritual levels. The application of the criteria of reasonableness and of the probabality of truth is a necessary part  of understanding of the relationship between the universe and the Creator. This proces of spiritual judgemental rationality opens up the possibility of transcendental understanding both within the self and in communication with other people and with God. Critical rationality is a key component part of Qur’anic belief and sets up the conditions for the living connection of principle with context.” (hal. 63.)

Untuk memudahkan anda memahami kutipan ini, lihat seterusnya kutipan ini:  “Seriousness [in religion] is evidenced Qur’anically by the fact that belief and practice enjoy an intrinsic and inseparable relationship in the Revealed Text. The phrase used to characterized believers, ‘Those who believe and do  right acts  (Q. 2: 82-83), is the most repeated of all Qur’anic refrains. The Arabic pronoun for  ‘and’ (wa) in this characterization indicates an intrinsic partnership, not an extrinsic relationship. That is to say, belief and right action in the Qur’an exist in a relationship of essential mutual interdependence.” (hal. 44).

Dua kutipan yang sangat cantik, yang akan membolehkan anda memahami  mengapa konsep ilmu yang benar itu amat penting difahami dan dipraktikkan.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 20/8/2016.








Thursday, August 18, 2016

BAKAT DAN ILMU DALAM PENULISAN: Meneruskan Pandirisme Dalam Perkembangan Intelektual

Bolehkah seorang penulis bergantung hanya kepada bakat? Apakah bakat? Seorang sasterawan Indonesia menulis sebuah buku tentang “bakat alam”, yakni “natural talent” dalam penulisan.  Terpengaruh dengan pendapat sasterawan Indonesia ini, pada keseluruhannya sasterawan Malaysia (Melayu) berpegang kepada konsep bakat alam dan pada umumnya menolak kepentingan ilmu dalam penulisan, tetapi mereka mengakui seseorang penulis perlu mempunyai maklumat yang sekira-kira memadai untuk menulis dengan baik. Tetapi ini pun tidak tepat, kerana pada keseluruhannya mereka menyamakan maklumat dengan ilmu; dan yang amat ketara dalam penulisan mereka ialah penguasaan maklumat itu pun tidak sebaik seperti sepatutnya, dan tidak pula kritis.  Kalau anda membaca kertas kerja para sarjana ini, yang membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara, anda akan dapat melihat dengan ketara penguasaan maklumat tentang teori sastera Barat yang mereka jadikan pegangan itu pun sebenanya cetek. Lihat saja bagaimana mereka menggunakan istilah seperti dekonstruksi, intertekstualiti, konsep teks itu sendiri, tentang perbezaan dalam teori sastera Barat dan mengapa perbezaan itu sentiasa dicari-cari oleh para sarjana mereka. Saya  telah meminta para sarjana ini merujuk sebuah buku penting tentang feminisme, yang ditulis oleh seorang profesor falsafah,  berjudul  Feminism is Queer: The intimate connection between queer and feminist theory, oleh Mimi Marinucci.  Anda akan melihat betapa serabut dan kelamkabutnya feminisme ini dalam pemikiran Barat, hanya kerana satu sebab sahaja, iaitu kerana mereka tidak mempunyai sumber ilmu. Setiap sarjana menyatakan pendapat masing-masing, kerana mereka menolak hakikat manusia itu dijadikan oleh Allah SWT yang berasal daripada Nabi Adam dan isteri baginda Hawa. Yang amat aneh, para sarjana yang membicarakan feminisme di Malaysia juga menolak hakikat kejadian manusia, dan menerima hanya pendapat peribadi daripada para sarjana Amerika Syarikat. Ini jelas dalam buku-buku yang ditulis oleh mereka yang   menyebut kononnya mereka sebagai pakar feminisme dan selain mereka, orang lain tidak berhak berbicara tentang feminisme. Maka lahirlah apa yang disebut sebagai “puitika sastera wanita,” sebuah konsep yang sebenarnya karut. Apakah pendirian para feminis Melayu ini tentang kebenaran? Nampaknya mereka menolak adanya kebenaran, kerana para guru  mereka dari Amerika Syarikat tidak menerima adanya konsep kebenaran itu. Ini dijelaskan dengan mendalam oleh Mimi Marinucci dalam bukunya. Baca di situ jika anda belum yakin dengan penjelasan saya.  Atau, jika anda sendiri tidak pasti di mana kedudukan anda sebenarnya.  Anda akan pasti bahawa anda adalah kumpulan yang  “cetek meraba-raba” tetapi ingin memaksa hegemoni palsu anda kepada orang lain berasaskan kekeliruan anda.  Ini telah dapat kita lihat dalam perbincngan di FB milik salah seorang sarjana ciritan ini yang mengajak teman-temannya yang sama cetek meraba-raba sepertinya memberi pendapat yang cukup merapu hingga kita menjadi hairan bagaimana ini boleh dibenarkan dalam dunia akademik kita. Maklumat itu ada dalam Internet, sila cari atau bertanya orang yang tahu.

Sastera Melayu sudah lama berada dalam dunia mengarut ini, tetapi mereka yang terlibat tidak sedar kerana mereka tidak mempunyai ukuran yang membolehkan mereka mengetahui kedudukan mereka. Itulah sebabnya saya selalu mengajak mereka kembali kepada konsep ilmu yang benar, atau jika mereka tidak mahu sekalipun mengakui ilmu itu bersumber dari Allah SWT, mereka sekurang-kurangnya perlu menjelaskan premis setiap andaian teori sastera Barat, seperti yang telah dilakukan dengan begitu baik dan jelas oleh Frank Lentricchia dalam bukunya, After the New Criticism (1980) atau sekurang-kurangnnya membaca Jacques Derrida, terutama polemiknya dengan beberapa orang sarjana terkenal di Perancis, German, Amerika Syarikat dan Britain. Mereka seharusnya familiar dengan aspek ini. Mereka adalah sarjana, yang melahirkan ramai pelajar sastera. Apakah yang mereka ajar sebenarnya? Kalau dapat, bagus sekali jika para pelajar ini memberitahu kita apa yang mereka pelajari daripada para sarjana ini tentang sastera dan teori sastera. Mereka tidak berani? Atau mereka tidak mahu peduli kerana sudah dapat digri. Mereka selesa dalam dunia pandirisme.

Ternyata konsep “bakat alam” yang mereka fahami, yang dibeberkan oleh sasterawan Indonesia itu, telah menjadikan mereka, para sarjana ciritan ini, keliru besar tentang konsep ilmu, malah secara sedar menolak wujudnya konsep ilmu yang benar.  Seperti yang saya tegaskan berkali-kali, Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) menjadi bukti yang sangat jelas betapa sikap anti-ilmu dan anti-intelektual para sarjana ciritan yang menulis kertas kerja untuk persidangan ini meremehkan saja peranan ilmu dalam pembinaan tamadun negara ini, dengan memilih untuk merayau-rayau dalam belantara sensasi teori sastera Barat, kononnya mereka sedang berbicara tentang persoalan penting. Terdapat kecenderungan untuk mengikut lagak ahli politik dalam memberi cadangan mereka untuk memajukan negara, tetapi tidak mempunyai asas ilmu. Kita digesa oleh Profesor Muhammad Haji Salleh supaya meniru dan belajar daripada teman rapatnya, Baha Zain, seorang sasterawan negara, untuk mengambil contoh bagaimana karya kritikan ditulis. Oleh itu wajarlah jika kita bincang dengan kritis kertas kerja Baha Zain, untuk melihat sejauh mana Profesor Muhammad Haji Salleh bercakap benar. Apakah yang ditulis oleh Baha Zain? Dia mahukan apa yang disebutnya trasformasi sastera. What kind of creature is this? Sorry  to say,  dia hanya meluahkan retorik teh tarik kedai mamak dalam kertasnya. Saya mahu bahaskan beberapa pendapat beliau yang saya anggap penting, walaupun mengelirukan jika tidak diperinci dengan teliti. Transformasi dalam bentuk kekeliruan inikah yang diperjuangkan oleh para sasterawan dan sarjana sastera? Kita lihat pendapat pengkritik contoh ini:

“Sastera bukan sekadar gambar atau potret cerita yang mati, tetapi membawa bersama-samanya idea, persepsi, dan perasaan, terutama daripada pengarangnya. Ia memberikan pujian dan persetujuan, kritikan yang keras atau peringatan yang mesra. Kalau falsafah menuju kepada kebenaran akal, sastera pula menghidangkan kebenaran pengalaman; dan sastera kita akan memberikan tindak balas estetik terhadap transformasi negara.” (hal. 229 edisi pertama).

Apakah yang dimaksudkan oleh pengkritik contoh ini dengan “kebenaran akal”? Akal yang beriman tidak sama dengan akal yang tidak beriman; perbezaan ini mesti diketahui dengan jelas oleh orang Islam. Anda hanya dapat melihat perbezaan ini dengan membandingkan falsafah ulama Islam seperti Imam Ghazali dan Ibn Rushd dengan falsafah Descartes yang selalu dibandingkan dengan Imam Ghazali. Anda boleh lihat perbezaannya? Lebih jelas, ketika membicarakan konsep ilmu dalam kitabnya yang pertama sebelum beliau menghuraikan ilmu-ilmu Islam dalam Ihya Ulumid-Din, beliau menegaskan matlamat ilmu dalam Islam ialah mencapai keyakinan. Ini tidak ada dalam konsep ilmu orang tidak beriman. Mereka akan bertanya: Apa keyakinan? Para sarjana Melayu dan sasterawan juga menyerlahkan tabiat berfikir ini, yang jelas dalam cara berfikir Baha Zain dalam kertasnya ini. Mengapa persoalan ini penting? Ia penting kerana hakikat ini ada hubungannya dengan hakikat kejadian insan, hakikat ilmu, dan hakikat amal.  Tiga perkara ini menjadi keutamaan untuk anda fahami dalam konteks ilmu yang benar, kalau tidak anda tidak akan dapat membaca dengan tepat pemikiran Barat dalam bidang apa pun juga.  Jadi pemahaman ini sangat penting untuk anda mengerti apakah yang dimaksudkan dengan “kebenaran pengalaman” yang disebut oleh Baha Zain.  Kebenaran pengalaman itu hanya bererti jika dilihat daripada perspektif taklif, seperti yang dihuraikan dengan jelas oleh Shah Wali Allah. Bacalah di sana.  Lain-lain perkara, umpamanya tentang hakikat insan, telah dibicarakan dengan amat mendalam oleh Imam Ghazali dan dihuraikan dengan amat jelas oleh Dr. Abul Quasieim  dalam kitabnya The Ethics of al-Ghazali: A Composite Ethics in Islam (1975).  Tekuni buku itu dan lain-lain buku yang membicarakan hakikat insan ini, misalnya dengan meneliti sebuah kitab oleh seorang sarjana Indonesia,  Dr. H. Saeful Anwar, M.A., Filsafat Ilmu al-Ghazali:  Dimensi Ontologi dan Aksiologi  (Penerbit Pustaka Setia, Bandung (2007).  Apabila sudah memahami aspek ini, maka apakah yang diperlukan dalam “transformasi” yang dibicarakan oleh Baha Zain ini? Senang: faham terlebih dulu konsep ilmu yang benar, ketika itulah baru anda boleh bercakap tentang transformasi. Itulah yang cuba dihidangkan kepada anda oleh Gagasan Persuratan Baru. Tetapi kerana anda meremehkan saja pemikiran orang lain yang tidak berada dalam kumplan anda,  kumpulan Mutual Admiration Club, anda sanggup menyesatkan diri anda dalam belantara teori sastera Barat. Kalau begitu, tidak usah dulu bercakap tetang transformasi sastera. Sia-sia dan mengelirukan.

Seterusnya kita lihat penegasan Baha Zain lagi: “Tidak terlalu banyak yang dituntut oleh sasterawan dan penulis untuk dirinya, kecuali kebebasan berucap dan mencipta demi memenuhi panggilan bakat semula jadi atau untuk turut membangunkan warisan kebudayaan dan tamadun. Mereka sedar bahawa bakatnya itu amanah Tuhan demi memakmurkan alam serta megangkat darjat manusia, baik sebagai individu, masyarakat mahupun bangsa. Amanah dan bakat yang dipinjamkan kepadanya juga tidak sekadar meraikan orang atau gagasan yang baik, tetapi juga untuk menegur keburukan, korupsi, penyelewengan, dan ketidakadilan kerana kemakmuran bukan sahaja menyenangkan kehidupan tetapi dapat juga menimbulkan akses sosial, ketamakan, dan perebutan kemewahan yang melanggar ketetapan hukum, amalan etik, dan moral.” (hal. 229).

Apakah maksud Baha Zain dalam retorik teh tariknya ini? Sekali imbas, bagi pembaca yang tidak menilai secara kritis berasaskan konsep ilmu yang benar, beliau seolah-olah sedang mengucapkan sesuatu yang amat bermakna bagi manusia sejagat. Tetapi dengan wujudnya kontradiksi yang bersimpang siur, beliau hanya bermain dengan kata-kata, bukan mengemukakan pemikiran yang boleh dicontohi. Betulkah sasterawan tidak menuntut lebih dari sumbangan mereka? Apabila mereka dilantik menjadi sasterawan negara, mereka telah mengangkat diri mereka lebih tinggi daripada para ulama dan cenekiawan, kerana empat sasterawan negara yang menjadi hiasan dalam SKPM tidak bercakap sepatah pun (tidak direkod pun dalam laporan) tentang ucaputama Profesor Ulung Tan Sri Muhammad Kamal Hassan, apatah lagi memberi sokongan supaya ucap utama itu dijadikan risalah penting sebagai manifesto penulis yang wajar dijadikan rujukan para sasterawan. Sangat jelas sasterawan negara ini mementingkkan diri, tidak mementingkan ilmu, hanya bercakap sahaja dalam retorik teh tarik kononnya mereka sedar amanah mereka sebagai pencinta ilmu.  Seterusnya, menarik juga bila Baha Zain berkata sasterawan mahukan kebebasan bercakap diberikan kepada mereka, dalam kata-kata berikut, “kebebasan berucap dan mencipta demi memenuhi panggilan bakat semula jadi atau untuk turut membangunkan warisan kebudayaan dan tamadun”. Adakah semua sasterawan negara tidak diberi kebebasan itu? Inilah retorik teh tarik yang sunguh memualkan. Sebenarnya yang menyekat kebebasan bersuara itu ialah mereka sendiri, yang berada dalam Mutual Admiration Club. Semua orang tahu bagaimana kumpulan berpura-pura ini berusaha dengan gigih untuk menyekat Gagasan Persuratan Baru dari memasuki universiti untuk dibahaskan dengan tuntas dalam pengajian kesusasteraan.  Kita semua ingin sekali mendengar penapian daripada golongan Mutual Admiration Club ini. Sebaliknya, ketua mereka memanggil penggiat Persuratan Baru sebagai “anjing kurap”. Jika ini tidak benar, bermakna Dr. Fatimah Busu telah berbohong, kerana ungkapan ini tertulis dalam buku beliau. Kita tunggu penapian mereka. Kita mahu lihat betulkah mereka punya maruah atau tidak. Kita juga ingin tahu adakah mereka bersedia mempertahankan maruah orang lain yang ternyata lebih bijak daripada mereka?  Kita tunggu kucing bertanduk ini bertindak.

Ke manakah sasterawan negara Baha Zain ini ingin membawa para sasterawan yang istimewa itu? Beliau ingin membawa para sasterawan ini “turut membangunkan warisan kebudayaan dan tamadun.”  Apakah jenis warisan itu? Apakah jenis tamadun itu? Sebenarnya beliau tidak tahu makna warisan dan tamadun, yang di seluruh dunia berasaskan ilmu, termasuk semua warisan besar dunia yang kita kenal.  Apakah yang harus dilakukan oleh para sasterawan dan sarjana jika betullah mereka ingin membangun warisan dan tamadun? Mereka harus jelas apakah asas warisan dan tamadun itu. Apabila ada manusia yang menegaskan warisan dan tamadun itu haruslah berasaskan konsep ilmu yang benar, mereka menyelar dengan keras anjuran itu sebagai tidak lebih daripada “salakan anjing kurap” saja.  Sebenarnya ke mana Baha Zain dan kawan-kawannya yang terdiri daripada para sasterawan negara dan sarjana ciritan ini ingin membawa rakyat dalam “transformasi sastera” pilihan mereka? Kini kita semua  sudah dapat melihat dengan jelas matlamat mereka. Anda mahu ikut?

Perbincangan ini ialah perbincangan tentang konsep ilmu. Kita tidak perlukan “transformasi sastera” seperti yang dikemukakan oleh Baha Zain dan ITBM, sebaliknya kita perlukan perbincangan lebih mendalam tentang konsep ilmu yang benar sebagai asas pembinaan tamadun negara kita. Para sasterawan dan sarjana sastera telah gagal membina tradisi intelektual berasaskan ilmu yang benar itu, maka tidak ada alasan sama sekali untuk kita membiarkan mereka meneruskan “transformasi sastera” yang mereka cadangkan itu, kerana semua itu akhirya kembali kepada kegagalan lama yang kini mahu diberi wajah baru dan “istilah” baru, atau slogan baru untuk meniru kemahuan pemerintah yang kini sedang bergelumang dengan korupsi dalam skandal 1MDB. Adakah para sarjana dan sasterawan menyokong kemunculan gergasi korupsi 1MDB itu? Kita lihat ini dalam konteks yang diberikan oleh Baha Zain, yang menegaskan bahawa “kemakmuran” menimbulksan akses kepada ketamakan dan perebutan kemewahan. Adakah ini terlepas daripada perilaku para sastrerawan negara dan lain-lain sasterawan serta para sarjana? Yang boleh menjawab soalan ini hanya sejumlah resolusi yang diputuskan oleh mereka dalam SKPM 2014 itu, yang sayangnya tidak dimasukkan ke dalam edisi terkini Sastera Teras Negara Bangsa. Tidak pentingkah resolusi itu, atau resolusi itu agaknya memalukan mereka kerana banyak sangat permintaan mereka yang bukan-bukan, hingga menjadi duta sastera (?) dan dimestikan ikut serta apa juga rombongan kerajaan ke luar negara supaya mereka dapat memperkenalkan diri mereka sebagai sasaterawan negara. Ada resolusi yang dengan tegas mesti melantik hanya para sasterawan negara menduduki beberapa organisasi baru yang dicadangkan. Dan banyak lagi yang agak pelik jika kita lupa bahawa mereka juga manusia biasa yang juga ingin kemewahan dan kedudukan secara rasmi untuk ditayang-tayang kepada masyarakat, seperti yang dibuat oleh ahli politik.  Dalam hal ini nampaknya mereka tidak original, walaupun mereka klaim dengan bangga bahawa mereka paling original dalam karya mereka. Anda boleh percaya? Perbincangan saya di sini hanya untuk menarik perhatian anda semua kepada beberap perkara yang agak menonjol. Banyak lagi yang boleh kita persoalkan dalam tulisan tokoh contoh Baha Zain ini.  Tepat sekali bila saya meggunakan ungkapan “retorik teh tarik” satu masa dulu, kerana inilah yang kita dapat daripada kertas kerja tokoh contoh Baha Zain ini.

Cadangan Baha Zain supaya kerajaan Malaysia menubuhkan Pusat Dokumentasi Melayu terbesar perlu dilihat dalam konteks sejarah bagaimana para sarjana Melayu sendiri, ada di antaranya sahabat baik Baha Zain sendiri, mengkhianati penubuhan IBKKM di UKM oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas.   Mereka berusaha gigih untuk memusnahkan IBKKM kerana perasaan hasad yang tidak terbendung. Kini  mereka mahu satu lagi pusat yang dulu sudah dimusnahkan itu? Anda perlu baca catatan saya dalam Gagasan Persuratan Baru (edisi kedua, hal. 199 nota 10) untuk mendapat sedikit gambaran tentang perkara ini.  Walau bagaimana pun, saya fikir kita patut ada pusat seumpama itu. Tempatnya yang sesuai tentulah di DBP. Tetapi ini memerlukan rombakan besar-besaran di DBP, dari segi struktur pentadbiran dan pelantikan kakitangan yang pelbagai disiplin, dengan mengkhususkan bahagian pentadbiran kepada pakarnya yang arif dalam management.  Saya lebih cenderung untuk menjadikan DBP sebuah organisasi pelbagai bangsa, kerana kita sudah ramai mempunyai pakar bahasa Melayu dalam pelbagai bidang yang tidak lagi terbatas kepada orang Melayu saja. DBP mesti bersifat dan bersikap terbuka. Para sarjana Melayu, jika mereka benar-benar berkualiti, tidak harus takut menghadapi cabaran ini.

Jika anda tiada perasaan malu untuk menggesa manusia menjadikan sahabat anda sendiri, yang tidak pula seorang ahli ilmu, untuk dicontohi, sebagai uswatun hasanah dalam sastera Melayu, maka jelaslah anda tidak ada maruah. Malu. Belajarlah menjadi malu yang positif.

Keterbatasan bakat alam sangat jelas dalam kes Baha Zain dan Profesor Muhammad Haji Salleh ini. Walaupun profesor yang gah ini seorang sarjana, belum tentu beliau mempunyai ilmu. Bukti dari tulisan beliau hanya menunjukkan beliau ada sedikit maklumat yang tidak mencukupi untuk dijadikan tokoh yang boleh dicontohi. So sorry for that!  Begitu juga dengan Baha Zain, oleh itu amatlah aneh apabila Profesor Muhammad Haji Salleh mencadangkan kepada kita yang mereka anggap bodoh ini supaya mencontohi Baha Zain yang tidak ada bezanya dengan Profesor Muhammad Haji Salleh sendiri sebagai seorang tokoh biasa-biasa saja yang telah dimitoskan oleh Mana Sikana sebagai dua orang sasterawan terbesar Malaysia sepanjang zaman.

Kesimpulan: Meneruskan Pandirisme Dalam Perkembangan Intelektual

Konsep bakat alam, atau bakat semula jadi dalam istilah yang dipakai oleh Baha Zain, tidak cukup untuk menjadikan anda seorang penulis yang cemerlang tanpa sokongan ilmu. Maklumat saja tidak cukup untuk membuat anda faham, kerana setiap teori sastera Barat yang anda baca anda akan dapati mempunyai hingga 12 wajah, seperti feminisme misalnya. Tetapi semua teori hanya berkisar kepada tiga paksi saja: kepada pengarang (melahirkan romantisisme); kepada karya (melahirkan  New Criticism); kepada pembaca (melahirkan bermacam-macam teori pula). Di manakah para sarjana Malaysia berada?  Mereka berada di mana-mana untuk tidak ke mana-mana. Suatu keadaan yang aneh, tetapi inilah corak kesarjanaan Melayu dalam sastera. Banyak sekali mereka tayangkan segala macam teori yang mereka jiplak daripada teori sastera Barat, tetapi tidak satu pun mereka kuasai dengan baik. Tahu serba sedikit, lalu berlagak tahu semuanya, akhirnya mereka lebih banyak merapu tak tentu arah di atas bumbung kilang berkarat untuk bermimpi mencari ilham, tetapi hasilnya ocehan kosong saja. Inilah hasil tulisan manusia yang meminta kita meniru dan belajar daripada Baha Zain, yang tidak lebih baik kualiti tulisannya daripada beliau sendiri yang membuat cadangan itu. Itulah saja yang dapat diberikan oleh “bakat semula jadi” atau bakat alam. Akhirnya mereka mempromosikan pandirisme.  Amatlah besar kemaluannya!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 18 Ogos, 2016.

LAMPIRAN  (Untuk makluman yang berminat)

RESOLUSI
SIDANG KEMUNCAK PENULIS MALAYSIA 2014
DARULAMAN GOLF & COUNTRY RESORT, JITRA KEDAH
24 – 26 OKTOBER 2014

Sumbangan sasterawan dan intelektual dalam pembinaan peradaban negara bangsa sangat besar ertinya. Tidak ada peradaban yang diingati kebesarannya tanpa memiliki khazanah kesusasteraan yang tinggi. Oleh itu, untuk membina sebuah negara bangsa yang berharkat tinggi dan meneguhkan peradaban yang sedia kita miliki, kesusasteraan khususnya, dan persuratan amnya, perlulah diperkukuh dengan dimensi baharu, mengikut perkembangan zaman.
Bagi melunasi cita-cita tersebut, satu perhimpunan telah diadakan pada 24-26 Oktober 2014, bertempat di Darulaman Golf and Country Resort, Jitra, Kedah. Perhimpunan yang dinamai Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) ini menghimpunkan 250 pengarang, sasterawan, budayawan, dan  cendekiawan yang mewakili 46 institusi yang terdiri daripada persatuan penulis, syarikat penerbitan, aktivis bahasa dan kebudayaan, pengamal media, serta ahli akademik yang berkaitan. Pertemuan yang diisi dengan perbincangan ilmiah serta perbahasan intelektual itu berhasrat mencari gagasan yang diharapkan dapat memantapkan martabat persuratan bangsa. Lanjutan daripada itu telah terhasil sebuah resolusi yang praktis untuk diusulkan kepada pihak-pihak yang berwewenang:

A.  Sastera dalam Pendidikan Negara

Menyedari bahawa kesusasteraan semakin dilemahkan dan dipinggirkan dalam sistem pendidikan, Kementerian Pendidikan diminta memulihkan dan memperkasakan subjek sastera dalam sistem pendidikan kebangsaan dengan beberapa saranan yang strategik:
1.   Mewajibkan subjek sastera sejak di peringkat sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi mengikut kesesuaiannya.
2.   Sastera daripada huraian ketamadunan dijadikan subjek wajib dalam sistem pendidikan negara.
3.   Teks kesusasteraan daripada tamadun Islam, India, dan Cina yang representatif dimasukkan sebagai unsur luar yang memperkaya subjek sastera dalam huraian ketamadunan.
4.   Menggunakan teks kesusasteraan yang representatif dalam subjek sastera, iaitu teks-teks yang memancarkan akal budi tamadun wilayah ini dari abad ke-16 hingga ke-21.
5.   Penambahbaikan kurikulum subjek Kesusasteraan Melayu dengan penekanan kepada nilai sejagat.
6.   Memperkasakan semula kurikulum mengkaji teks klasik dan karya agung Melayu di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi sebagai asas pengukuhan keperibadian tamadun Melayu.

B.          Pengembangan Sastera Melayu  Nasional, Serantau dan Antarabangsa
Menyedari bahawa kesusasteraan nasional akan lebih maju dan dikenali di peringkat antarabangsa beberapa strategi perlu dilaksanaka. Dalam konteks ini, SKPM menyokong penubuhan Yayasan Penulis Malaysia yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir, dan dalam masa yang sama meminta kerajaan menyalurkan bantuan tahunan secara tetap untuk Yayasan terus memainkan peranan dalam konteks pembangunan kesusasteraan nasional. Yayasan Penulis Malaysia perlu memberikan penekanan kepada kebajikan penulis, sama ada dalam konteks kebajikan peribadi mahupun penataan, pengkaryaan, dan penerbitan.
          Di samping itu, kerajaan perlu memperuntukkan dana tetap untuk tujuan pengembangan dan penterjemahan karya sastera nasional kepada agensi-agensi yang berkaitan, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Perbadanan Kota Buku, dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Secara konkrit dan praktisnya, langkah yang perlu dilakukan adalah seperti yang berikut:

1.       Penterjemahan:
1.1    Mempergiat penterjemahan karya sastera Melayu Malaysia pelbagai genre dan peringkat khalayak ke dalam bahasa-bahasa utama dunia. 

1.2    Mewujudkan geran untuk melantik penterjemah tamu bagi menterjemahkan sastera Melayu ke bahasa natifnya. Misalnya, dilantik penterjemah dari Perancis untuk menterjemahkan sastera Melayu ke bahasa Perancis bagi menghasilkan terjemahan yang berwibawa.

1.3    Menterjemahkan karya kontemporari yang berpotensi untuk dikemukakan kepada pihak yang menganjurkan anugerah sastera di peringkat antarabangsa seperti Anugerah Sastera Komanwel.

2.       Anugerah Persuratan Melayu-Islam:
                    Mewujudkan Anugerah Persuratan Melayu-Islam Nusantara yang dinaungi oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong.  Selain bertujuan mengiktirafkan sasterawan Melayu-Islam,   anugerah ini bersungsi sebagai medan solidariti ummah di peringkat Nusantara.

3.       Kerajaan, melalui agensi-agensi yang berkaitan, sama ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan & Buku     Malaysia (ITBM), Perbadanan Kota Buku, atau Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, perlu menyediakan Dana Pembangunan Penulis bagi tujuan penyelidikan, penciptaan karya, penyertaan dalam kegiatan sastera peringkat antarabangsa, mengikuti kursus berkaitan, dan residensi penulis muda, yakni berusia 40 tahun ke bawah.

4.      Kerajaan perlu menubuhkan Majlis Sastera, Bahasa, dan Kesenian Malaysia yang berperanan sebagai badan pemikir bersifat autonomi dan bertanggungjawab kepada menteri yang berkaitan bagi tujuan menyemarakkan pengkaryaan dan penciptaan, peluasan kegiatan apresiasi, penataran bakat, kemahiran, dan keilmuan serta merancang strategi pemasaran karya dalam dan luar negara, sekali gus mencipta peluang pekerjaan baharu yang berasaskan modal insan kreatif dan inovatif.

5.       Kerajaan perlu memilih dan melantik penulis tempatan yang berwibawa untuk menduduki Kerusi Pengajian Bahasa dan Sastera Melayu di luar negara, termasuk di universiti-universiti antarabangsa yang menawarkan kursus bahasa dan sastera Melayu. Keutamaan hendaklah diberikan kepada penulis mapan yang memperlihatkan mutu pemikiran yang tinggi, karya yang teruji serta sumbangan yang jelas terhadap dunia kesusasteraan.

6.       Menyediakan anugerah untuk penulis muda berumur 40 tahun ke bawah yang memperlihatkan mutu pemikiran garda depan dan komitmen dalam pembangunan dunia sastera kontemporari. Hadiah tersebut adalah dalam bentuk penyediaan prasarana untuk penulis memajukan pengkaryaannya serta untuk memasyarakatkan karyanya.


8. Mewujudkan sayembara penulisan esei dan kajian ilmiah sastera untuk penulis muda, tidak terhad kepada pelajar institusi pengajian tinggi sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh DBP dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (Pengajian Tinggi).

9 .      Penubuhan Institut Penulisan Sastera Kreatif berwibawa yang berada di bawah satu bumbung bagi melatih bakal penulis dan profesionalisme penulisan kreatif. Hal ini telah dilakukan oleh negara-negara Barat seperti Universiti Iowa di USA.

10. Meminta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan universiti tempatan menerbitkan jurnal akademik dalam talian yang berfokus pada sastera Melayu dalam dwibahasa yang bertaraf Scopus dan International Science Index (ISI).

11.    Promosi
11.1. Kerajaan melalui Kementerian Luar hendaklah mewujudkan atase kebudayaan di peringkat kedutaan bagi membantu memperkenalkan dan menyebarluaskan sastera Melayu di luar negara.

11.2  Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia perlu mewajibkan semua syarikat penerbangan tempatan menyisipkan karya terjemahan daripada sastera kebangsaan (cerpen dan puisi) di dalam majalah yang diletakkan di dalam pesawat.

11.3  Kerajaan hendaklah membawa sasterawan sebagai delegasi dalam setiap lawatan rasmi pemimpin tertinggi negara bagi tujuan promosi sastera.

11.4  Kerajaan perlu mewajibkan semua Badan Berkaitan Kerajaan (GLC) khususnya, dan menggalakkan syarikat swasta untuk memperuntukkan sumbangan tahunan bagi menampung pembiayaan program sastera dan bahasa kebangsaan serta kos operasi Yayasan Penulis Malaysia yang akan ditubuhkan.

11.5  DBP perlu mengaktifkan semula Majlis Sastera Pelbagai Kaum bagi melaksanakan fungsi penataraan, pengiktirafan, penterjemahan (daripada bahasa Melayu kepada bahasa etnik lain), dan penerbitan.

12.    Kerajaan perlu menubuhkan Muzium Penulis Malaysia bagi tujuan pendokumentasian dan pelestarian bahan tentang persejarahan persuratan Melayu, merangkumi susur galur penulis dan perkembangan penulis di Malaysia.

13. Pihak Kerajaan Negeri Kedah khususnya wajar menjadikan rumah pusaka Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad di Sik sebagai Muzium/Galeri  Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Pewujudan muzium atau galeri tersebut membuktikan pengiktirafan Kerajaan Negeri kepada bidang sastera di samping dapat menjadikannya sebagai produk pelancongan.


C.      Dasar Kesusasteraan Negara.
Menyedari bahawa kedudukan sastera di negara ini masih belum
mempunyai dasar yang jitu untuk menentukan falsafah dan hala tujunya dalam agenda pembangunan Negara,  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu menggubal Dasar Kesusasteraan Negara. Dasar ini bertujuan melegitimasi bidang kesusasteraan sebagai suatu hasil kreativiti bidang ilmu yang sama nilainya dengan bidang-bidang lain dalam agenda pembangunan negara.
Penggubalan sebuah Dasar Kesusasteraan Negara dapat menjadi panduan, landasan kukuh serta penegasan teguh bagi membina falsafah, hala tuju penciptaan karya, penerbitan, pengedaran, dan matlamatnya bagi memenuhi aspirasi nasional.
Jawatankuasa penggubal Dasar Sastera Negara perlu dilantik daripada kalangan Sasterawan Negara, ahli akademik, wakil persatuan penulis yang tertentu, pengamal undang-undang di samping wakil daripada agensi kerajaan yang berkaitan


Dibentangkan pada 26 Oktober 2014
(Sumber: DBP). 

Anda perlu baca ini dan beri pandangan kritis anda. Misalnya, cadangan untuk menggubal  Dasar Kesusasteraan Negara adalah naif, penjelasannya bercelaru, dan cadangan siapa yang akan duduk dalam penggubalan itu membuktikan betapa tamaknya golongan ini kepada kedudukan, kemewahan (?), dan prestij, walaupun mereka tidak memberikan sumbangan yang cemerlang di mana-mana pun dalam bidang apa pun. Mereka akan hanya meneruskan pandirisme dalam budaya Melayu, bukan dinamisme bersifat ilmu. Klise. Itulah sebenarnya.



Monday, August 15, 2016

PENGGUNAAN KONSEP DAN ISTILAH YANG MENGELIRUKAN DALAM SASTERA MELAYU (Bahagian III)

Penerbitan Sastera Teras Negara Bangsa yang gagal sebagai hasil akademik itu sebaliknya menjadi bukti dan hujah betapa tidak perlunya  gelaran sasterawan negara diwujudkan. Karya mereka tidak dibicarakan dengan mendalam dalam SKPM, untuk dijadikan bukti bahawa hasil sastera yang bermutu boleh diberi keduduan sebagai sebahagian daripada unsur pembinaan tamadun ilmu di Malaysia. Oleh sebab perkara ini tidak terjadi, maka kehadiran para sasterawan negara sudah jelas dibuktikan tidak layak diberi kedudukan begitu istimewa kerana karya mereka tidak mencapai taraf yang membolehkan kita menerimanya sebagai sumbangan ilmu yang bermakna yang menjadi kebanggaan kita.  Kesimpulan ini dibuktikan lagi kebenarannya apabila kita meneliti dengan kritis kertas kerja yang membincangkan “pemikiran’ para sasterawan negara ini, yang keseluruhannya hanya tidak lebih daripada keghairahan penulisnya memperkenalkan segala macam pendekatan seolah-olah semua itu akan menjadi bukti kehebatan karya para sasterawan negara; sebaliknya yang dapat kita lihat bukanlah kehebatan karya para sasterawan negara ini, kerana yang terjadi ialah betapa rakus para sarjana menggunakan segala macam pendekatan yang semuanya tidak menyerlahkan pemikiran para sasterawan negara, sebaliknya menyerlahkan aneka ragam teori sastera Barat yang tidak dapat dibuktikan memberi manfaat untuk menilai karya para sasterawan negara ini dengan objektif dari segi pemikiran mereka.  Adakah pendekatan yang dipilih tidak sesuai atau sememangnya karya para sasterawan negara tidak menyerlahkan apa-apa keistimewaan sebagai hasil pemikiran yang mendalam walau apa pun pendekatan yang dipakai.  Saya cukup terbuka untuk memberi peluang kepada para sarjana ini menulis kertas kerja yang benar-benar menyerlahkan “pemikiran” para sasterawan negara ini dalam satu perbincangan khusus untuk itu, untuk dijadikan bukti bahawa karya sastera, terutama yang dihasilkan oleh para sasterawan negara, memang layak dijadikan teras negara bangsa dalam membangun tamadun ilmu di Malaysia. ITBM saya harap akan bermurah hati untuk mengendalikan pertemuan itu sekali lagi, dengan fokus kepada sumbangan  ilmu para sasterawan ini dalam perkembangan intelektual Malaysia.  Ketakutan para sarjana dan sasterawan untuk membincangkan dengan mendalam aspek ilmu ini membuat kita hairan, apakah yang menghalang mereka dari bercakap tentang ilmu yang dikaitkan pula dengan sumbangn para sasterawan negara dan lain-lain sasaterawan.  Sekiranya sastera tidak mencerminkan kecemerlangan ilmu, seperti yang terserlah dalam karya, maka sudah pasti sastera tidak layak dijadikan teras negara bangsa. Jika hakikat ini ditolak atau paling tidak diabaikan, maka apakah asas yan g boleh dijadikan hujah bahawa sastera layak menjadi teras negara bangsa?  Kita telah melantik ramai sasterawan negara, yang secara popular dianggap hebat, tetapi mereka belum lagi dinilai daripada perspektif ilmu, mengenai sumbangan mereka dalam perkembangan ilmu. Itulah yang menjadi fokus kita sekarang.  Penelitian saya selama ini menolak bulat-bulat bahawa sastera yang dicipta oleh para sasterawan negara sekalipun layak dijadikan teras negara bangsa. Saya telah menjelaskan persoalan ini panjang lebar, dengan itu anda boleh dengan mudah mematahkan dan menolak hujah-hujah saya supaya kedudukan para sasterawan ini menjadi lebih jelas dari perspektif sumbangan mereka terhadap perkembangan ilmu dan pemikiran.  Tetapi sekiranya semua para sarjana dan sasterawan menganggap pandangan kritis saya hanya sejenis “salakan anjing kurap”, seperti yang ditegaskan oleh Prof. Muhammad Haji Salleh dan Dr. Fatimah Busu, maka pandangan anda juga perlu dinilai lebih kritis lagi, untuk mengelak daripada dianggap sebagai tidak lebih daripada sejenis salakan serigala ganas yang liar!  Tentu saja tamadun kita tidak dibangunkan daripada salakan serigala liar ini.  Tetapi inilah hegemoni yang dipaksa ke atas kita, supaya menerima pandirisme yang berada dalam karya para sasterawan negara sebagai  asas pembinaan tamadun ilmu kita. Adakah ini yang kita mahu?

Beberapa istilah kampungan sering digunakan oleh peneliti sastera ketika membicarakan kehebatan karya kreatif, dimulai oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang mereka selerakkan dalam laporan mereka. Antaranya yang terkenal ialah “istilah” kelainan, eksperimen, perubahan,  pembaharuan, gaya bahasa yang indah dan lain-lain.  Tetapi semua “istilah” yang disebarkan oleh Panel dan diikuti oleh para sarjana ciritan, tidak diberi penjelasan dan definisi,  oleh itu kita tidak tahu apakah maksud mereka sebenarnya. Misalnya, apabila mereka bercakap tentang kelainan, apakah yag mereka maksudkan? Contoh-contoh yang diberikan oleh Panel hanya sekadar untuk membela para sasterawan yang mereka pilih untuk dilantik menjadi sasterawan negara.  Tentang A. Samad Said, mereka berkata kelainan  sasterawan ini ialah dalam pendetailan gambaran dalam novel atau cerita pendeknya, umpamanya tentang longkang yang kotor. Mengapa “kelainan” begini diperlukan dan diberi pujian? Adakah dengan “kelainan” seumpama ini sesebuah karya akan menjadi hebat dari segi pemikirannya? Tidak, malah yang menonjol ialah sifat sensasinya. Malah inilah maksud kelainan yang dibanggakan oleh Panel, seperti yang kita dapat dalam laporan mereka.  Raja sensasi dalam penulisan novel barangkali tepat sekali jatuh kepada Anwar Ridhwan, yang boleh kita temui dalam novel-novelnya, dengan mencapai tingkat tertinggi dalam Naratif Ogonshoto yang penuh sensasi itu; hingga kisah bahtera Nabi Nuh dalam al-Quran pun dijadikannya sensasi. Kalau anda tidak dapat memahami maksud saya, baca kembali novel ini dan lihat bagaimana sasterawan ini dengan sewenang-wenang menjadikan kisah al-Quran itu hanya sejenis legenda, seperti yang ditegaskan oleh Dr. Noriah Taslim dalam kertas kerjanya.  Mengapa “kelainan” itu tidak dikaitkan dengan pemikiran yang mencabar pembaca dan mencabar keseluruhan konsepsi kita tentang penulisan kreatif? Ambil contoh konsep stylization of ideas yang menjadi salah satu prinsip dalam penulisan karya persuratan, tidakkah konsep ini, apabila dipakai dalam penulisan kreatif, memaksa anda menyirat pemikiran anda dan cara anda melahirkannya dalam ruang naratif yang tidak lagi hanya untuk bercerita dan mencari sensasi, tetapi untuk mewacanakan pemikiran anda sehingga tercapai matlamat penulisan kreatif untuk mencerdikkan pembaca dan pada waktu yang sama membuat anda menjadi bijaksana untuk membaca ayat-ayat Allah dalam kehidupan manusia keseluruhannya. Inilah satu aspek yang dibincangnan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir ketika membicarakan episod kecil dalam Pujangga Melayu ketika Awang mencadangkan nama kediaman mereka “Teratak Desa.”  (Anda boleh baca dalam Kulah MASTERA Prof. Ungku Maimunah 2008, anjuran DBP.)

Demikian juga konsep (?) pembaharuan dan perubahan yang dilemparkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, tidak pernah diberi definisi oleh mereka dalam laporan mereka, sehingga apa yang mereka maksudkan dengan pembaharuan dan perubahan itu hanya aspek sensasi biasa yang sama sekali tidak memberi makna yang mendalam dalam konteks stylization of ideas yang saya maksudkan.  Lain-lain “istilah” yang mereka pakai yang tidak perlu saya ulas di sini, sama juga keadaan dan kedudukannya, hanya sejenis usapan jempul yang tidak memberi apa-apa makna yang mendalam dalam penulisan kreatif. Sebabnya sangat mudah: mereka berada dalam dunia klise yang sudah hanyut menjadi sampah sarap dalam pemikiran manusia kerana konsep-konsep klise itu (seperti plot, perwatakan, dan seterusnya yang anda  sudah tahu) tidak membawa kita kepada kesedaran untuk mengenali matlamat hidup manusia yang sebenar. Dengan itu, kita tidak ada pilihan lain, kecuali untuk kembali kepada konsep ilmu yang benar, kerana itulah saja yang boleh membawa kita memahami tindakan manusia sejagat ketika mereka membuat keputusan dalam kehidupan mereka. Itulah yang dilakukan dalam Pujangga Melayu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 15/8/2016