Sunday, August 14, 2016

PENGGUNAAN KONSEP DAN ISTILAH YANG MENGELIRUKAN DALAM SASTERA MELAYU (Bahagian II)

Kumpulan yang mula menggunakan kekeliruan ini sebagai standard dalam kritikan sastera ialah Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporannya.  Hingga sekarang mereka tidak sedar, atau terus bergelumang dalam kekeliruan ini kerana mereka berpendapat kedudukan mereka sebagai pemilih “sasterawan negara” memberi mereka authoriti untuk memesongkan kebenaran.  Saya tidak perlu memperincikan perkara ini  kerana saya telah menulis banyak sekali dalam blog ini membincangkannya. Sekadar untuk memberi gambaran betapa kelirunya kumpulan pakar sastera ini dalam penilaian mereka, saya akan memberi beberapa contoh yang paling menonjol.

Dalam ucaputama Tan Sri Prof. Mohd. Kamal Hassan di Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) 2014, belau memberi penekanan utama dan penting kepada persoalan moral dalam pembinaan tamadun dan dalam penulisan.  Masalah moral ini diremehkan dan ditolak oleh Panel Anugerah Sastera Negara ketika membicarakan karya  A. Samad Said.

Panel menolak sebarang unsur moral kerana mereka menganggap moral adalah didaktik dan dari segi gaya mengadungi unsur khutbah. Ketiga-tiganya tidak diperlukan dalam karya kreatif.  Bagi Panel, karya yang mempunyai unsur didaktik adalah karya yang lemah, oleh yang demikian sebarang imbasan yang mereka gelar aspek khutabah dalam penulisan ditolak dengan keras sebagai unsur luaran yang boleh merosakkan teknik karya kreatif itu.  Tetapi mereka menerima konsep tema, yang mereka anggap antara unsur penting dalam penulisan kreatif.  Mereka tidak menjelaskan bagaimana sesebuah karya yang mempunyai tema tertentu boleh melepaskan diri daripada unsur moral, didaktik dan khutbah.  Oleh itu, Panel memberikan pendapat mereka dengan mengatakan tema tertentu tidak penting, malah bagi mereka yang penting ialah teknik menyampaikan cerita sahaja. Dengan itu mereka memuji A. Samad  Said yang cekap merangkaikan cerita pendek untuk dijadikan sebuah novel yang amat menarik dari segi teknik.  Kata mereka dengan yakin, walaupun tidak dibuktikan dengan hujah.

Cara melihat karya dari perspektif Panel adalah cara yang perverse, yang songsang. Inilah pada keseluruhannya cara mereka menilai karya kreatif dalam laporan mereka seterusnya, yang juga boleh kita lihat dengan jelas dalam laporan terhadap Anwar Ridhwan.  Mereka juga memuji Anwar Ridhwan kerana pandai merangkai cerita pendek dalam Naratif Ogonshoto.  Bagi mereka inilah kekuatan novel ini; mereka tidak mempunyai pengalaman sastera yang meyakinkan bila memberikan pendapat yang perverse ini.  Merangkaikan cerita bukanlah perkara baru, sudah dibuat manusia beribu tahun lagi. Dari segi apa perbuatan merangkaikan cerita itu suatu innovation? Idea karut begini nampaknya mendapat sambutan daripada para sarjana ciritan, seperti misalnya kita boleh lihat dalam ucaputama Prof. Muhammad Haji Salleh ketika membuka seminar “pemikiran” Anwar Ridhwan 2003. (Cuba cari dalam blog ini komen saya tentang komen yang perverse ini.)  Daripada pendapat yang perverse inilah kita mendapat pujian tinggi tentang karya ini, sehigga mencapai klimaksnya dalam penilaian oleh Prof. Madya Dr. Noriah Taslim dalam kertas kerjanya. Apakah yang medorong mereka memberi pendapat yang tidak masuk akal? Pada faham saya, ini terjadi kerana kesan feudalisme intelektual di kalangan sarjana kita, yang berasa mereka mesti memuji tokoh yang telah diberi gelaran, kerana itu merupakan tutuntan budaya feudal itu. Tetapi ini bertentangan dengan tuntutan ilmu.  Menurut analisis Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir dalam aspek ini, semua ini terjadi kerana kelalaian para penilai untuk memahami dengan tepat ukuran yang mereka gunakan; oleh itu ukuran berkata lain, penilaian mereka lain. (Rujuk tulisan beliau dalam Ilmu Teras Persuratan Melayu (UKM 2016);    Islam dan Pengaruh Barat Dalam Kritikan  (UKM 2016). 

Perbuatan ini diteruskan dengan leluasa dan megah pula ketika menilai dan memberi hadiah sesebuah karya, umpamanya terhadap buku picisan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik  (USM, 2012).  Buku kajian ini memberi credit yang amat tinggi kepada karya pornografi dan karya erotik dari Indonesia, manakala untuk karya Malaysia pula penulisnya berpura-pura menggunakan feminisme untuk mengangkat fikiran picisan sasterawan yang menjadi pilihannya.  Penilaian ini saya buat berasaskan konsep ilmu yang benar, yang menjadi pilihan (saya agak) sarjana ini sendiri sebagai seorang sarjana Muslim.  Atau jika sekalipun beliau memisahkan konsep ilmu dengan penulisan kreatif yang bersifat cerita, tesis beliau tetap tidak boleh dipertahankan secara ilmiah. Ini telah dihuraikan oleh saya dalam tulisan yang lain, dan telah mendapat perhatian dalam analisis mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam buku suntingan beliau, Islam Feminisme Barat dan Sastera Melayu (UKM, 2013) dan Gender dalam Sastera Melayu (UKM, 2013).  Di Barat sendiri feminisme menjadi ejekan dan malah kutukan, kerana merendahkan darjat intelektual mereka. Antara pengkritik feminisme yang terkenal ialah Camille Paglia, Sexual Personae: Art and Decadence from Nefertiti to Emily Dickinson  (Yale Universiti Press, 1990).  Buku ini tak pernah didengar, apatah lagi dibaca, oleh sarjana ciritan Malaysia.  Feminisme adalah lambang decadence dalam kesarjanaan Melayu.  Sekadar memberi anda peluang untuk memahami kesimpulan saya, sila rujuk buku penting ini:  Mimi Marinucci, Feminism is Queer: The intimate connecton between queer and feminist theory  (second edition, 2016; terbit 2010; Zed Books, London.)  Bab 7 buku ini memberi gambaran sebenar tentang feminisme Barat yang ditiru di Malaysia.

 Unsur penglipur lara dalam kesarjanaan Melayu telah dimulai dengan hebat di Malaysia dalam syarahan perdana Profesor Muhammad Haji Salleh, yang memilih seorang Awang Batil dari Perlis sebagai tokoh yang disetarafkan dengan Pendeta Za’ba. Inilah yang dimaksudkan oleh Prof. Syed Muhamad Naquib al-Attas sebagai meletakkan setaraf antara murai dengan merak, yang menjadikan konsep akademik itu sebagai permainan rakyat yang boleh dicapai kecemerlangannya dengan menaiki bumbung kilang berkarat untuk mendapat mimpi yang dijadikan asas penulisan akademik, seperti yang dilakukan beliau ketika membentang kertas kerjanya di Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Feminisme adalah sebahagian daripada penglipur lara dalam kesarjanaan Melayu, yang sedikit pun tidak mempunyai asas akademik seperti “pemikiran” Awang Batil yang dijadikan asas syarahan perdana Prof. Muhammad Haji Salleh.  Bagaimana hal ini boleh dibenarkan wujud dalam dunia intelektual Malaysia? Inilah asas yang kemudiannya menjadi ukuran ketika menilai sumbangan kreatif para sasterawan negara. Tidakkah ini satu penyelewengan besar dalam kebudayaan Melayu yang sedia kala menjadikan ilmu sebagai teras persuratan?  (Lihat pendapat saya dalam entri bertarikh, antara lain, 1/1/2013; 10/12/2014; 24/6/2014 dan lain-lain).  Hujah-hujah saya dalam beberapa entri ini, secara ironik, disokong oleh Sastera Teras Negara Bangsa  dalam kertas kerja yang keseluruhannya menayangkan dengan jelas sikap anti-ilmu, anti-intelektual, dan betapa mendalamnya pengaruh pandirisme dalam penulisan kertas itu. Ke manakah kita hendak dibawa oleh para sarjana ciritan ini? Dengan menolak ilmu sebagai asas tamadun, maka mereka akan hanya membawa kita semua hanyut dalam kesesatan teori sastera Barat dan lemas dalam lautan ambiguiti yang mereka jadikan asas nilai dan ukuran mereka. Inikah pilihan kita?  Tidak mungkin kita semua sebodoh ini.

Untuk keluar dari kandang pandirisme yang menjadi pilihan sarjana ciritan dan sasterawan picisan kita perlu kembali kepada konsep ilmu yang benar. Gagasan Persuratan Baru memberi jalan keluar untuk itu. Masalahnya ialah para sarjana ciritan dengan membabi buta mengikut telatah perverse Profesor Muhammad Haji Salleh dan Dr. Fatimah Busu menggelar para penyokong Gagasan Persuratan Baru sebagai “anjing kurap.”  Ini tidak menghairankan kerana mereka berada di atas bumbung kilang berkarat berkeliaran bersama tikus-tikus di atas bumbung itu, mencari labu untuk dibaiki. Dengan semangat itulah mereka membaiki sastera Melayu dan dengan galaknya pula membuat resolusi segala macam untuk faedah mereka sendiri, bukan untuk mengembangkan dunia ilmu. Mereka seperti tikus melihat besi.  Akhirnya bertemu padi  lalu berhimpun di kepuk padi.  Tikus tetap tikus walaupun perubahan berlaku di mana-mana.  Tikus tetap makhluk yang opportunis.  Sastera Melayu ramai dihuni oleh kumpulan tikus membaiki labu ini, kerana itu pandirisme boleh hidup dengan subur dan selesa.  Itulah pencapaian kita setakat ini.  Sumbangan para sasterawan negara hanya sebagai penglipur lara moden, seperti yang diakui oleh mereka sendiri, para sarjana dan sasterawan. Lihat ucaputama Profesor Muhammad Haji Salleh dalam seminar “pemikiran” Anwar Ridhwan dan kertas kerja Dr. Noriah Taslim  jika anda mahu bukti. Mereka tokoh besar kesarjanaan Melayu, oleh itu mereka tahu makna apa yang mereka ucapkan. Mereka bangga sastera Melayu moden megungkap kembali cerita penglipur lara untuk dihidangkan ke khalayak dunia.  Itulah jenis “pemikiran” para sasterawan negara.

(Bahagian III akan menyusul).

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 14 Ogos 2014.
`




Wednesday, August 10, 2016

PENGGUNAAN KONSEP DAN ISTILAH YANG MENGELIRUKAN DALAM SASTERA MELAYU

Istilah maksiat intelektual yang saya gunakan ditegur oleh seorang pembaca budiman supaya ditukar kepada dosa intelektual, yang lebih lembut dan lebih sopan. Kedua-duanya boleh dipakai dengan selesa; mana satu darinya yang kasar terpulang kepada anda menimbangkannya. Yang penting bagi saya kita harus mempunyai kesedaran yang ikhlas dalam persoalan ini, kerana terlalu banyak sangat berselerak dalam tulisan para sarjana dan sasterawan. Kita tidak boleh diamkan, apatah lagi jika yang berbuat demikian ialah Panel Anugerah Sastera Negara seperti yang anda boleh baca dalam laporan mereka dan yang telah saya kritik dengan objektif dalam tulisan saya. Bagi saya, kita tidak boleh bertolak angsur dengan kesilapan, kononnya untuk mengambil hati. Tidak boleh. Mesti tegas dan tepat mencirikan persoalan yang ingin kita kemukakan. Kalau kita boleh benarkan Profesor Muhammad Haji Salleh menggelarkan orang yang dibenci beliau “anjing kurap”, mendapat sokongan seorang penulis agung dan bakal sasterawan negara seperti Dr. Fatimah Busu, maka tidak ada alasan untuk berlunak dengan kejahatan.  Sila rujuk penjelasan Shah Wali Allah dalam kitabnya ketika membicarakan empat kumpulan musuh Islam menggunakan hujah masing-masing untuk berbohong dan mengelirukan manusia. (Rujuk kitab al-Fauzul Kabir  terjemahan Inggeris, cetakan 2013 diterbit oleh Islamic Book Trust, Kuala Lumpur. Rujuk halaman 3-6.)   Ini masih berlaku hingga sekarang, dan sangat berleluasa dalam kritikan dan teori sastera Barat yang dijadikan pegangan oleh sarjana dan sasterawan Malaysia.  Anda mesti berani untuk bercakap benar dan berhujah untuk mencari kebenaran, bukan untuk mempertahankan pandirisme anda.

Apabila saya menggunakan istilah “sarjana ciritan” dan menulis sebuah seloka tentangnya yang dimuat dalam Balai Maqamat,  saya menerima reaksi positif daripada pembaca saya yang kritis dan objektif, yang memahami aspek “ciritan” yang saya maksudkan.  Paling menarik ialah para sarjana sendiri tidak ambil peduli kerana mereka sangat yakin apa yang mereka lakukan dalam kerja-kerja akademik mereka adalah mempunyai kualiti pemikiran dan analisis yang canggih kerana sandaran mereka yang begitu kuat kepada teori sastera Barat dan tokoh-tokohnya.  Saya telah memberi contoh tentang aspek “ciritan” akademik ini ketika membicarakan buku terbitan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.  Saya menulis beberapa siri entri dalam blog ini.  Malah saya telah mengumpulkan tulisan itu dalam beberapa buah manuskrip untuk rujukan.  Satu usaha yang serius, yang diremehkan oleh para sarjana ciritan dengan panggilan kemegahan mereka sebagai tidak lebih daripada “salakan anjing kurap” (memakai istilah Profesor Muhammad Haji Salleh yang disokong oleh sahabatnya Dr. Fatimah Busu, yang menulis sebuah buku tentang “salakan  anjin g kurap” ini.)  Inilah situasi sebenar yang kita hadapi dalam sastera Melayu.  Wajarkah kita biarkan saja keadaan yang memalukan dunia intelektual kita ini? Kita perlu menentang kepalsuan ini dengan tuntas, dengan mengemukakan hujah dan bukti yang dapat disaksikan sendiri oleh golongan “ciritan” ini.  Kita harus terus menerus memberitahu mereka bahawa “konsep” ilmu yang menjadi pegangan mereka bersandarkan teori sastera Barat adalah keliru dan mengelirukan, yang akibatnya menjadikan perbincangan tentang ilmu dan peranan sastera menjadi amat dangkal, mandul, dan berserabut dengan ambiguiti yang tidak perlu, tetapi masih diteruskan kerana itulah saja yang dapat dilakukan oleh para sarjana ciritan ini.

Terdapat beberapa konsep yang sering dipakai tetapi sangat ketara tidak difahami dengan betul oleh penggunanya. Antaranya yang menarik ialah konsep hegemoni, satu konsep puak Marxist yang sangat popular di Eropah.  Dalam pemikiran Barat, konsep hegemoni itu diberi penjelasan seperti berikut:

“The twentieth-century use of this term combines and extends earlier usages. It traditionally indicated the dominance of one country or ruler over others. Secondly, it also signified the principle around which a group of elements was organized.  It is now not only applied to internatonal relations, where it still means dominance, but – mainly under the influence of the Italian Marxist thinker Antonio Gramsci, who developed the concept significantly (1929-35) – has also come to indicate the orginizing principle of a society in which one class rules over others not just through force but by maintaining the allegiance of the mass of the population.  This allegience is obtained both through reforms  and compromises in which the interests of different groups are taken into account, and also through influencing the way people think.  Whereas at first Gramsci (1921-26) used the term in the same way as other Marxists such as Lenin, Bukharin and Stalin with regard to the leadership of one class over others in a system of alliances, in exteding the term he went beyond the usual Marxist concept of state Power as the instruments of a class which employed a monopoly of force, to argue that the state in the modern period could only be understood as force plus consent.”  (artikal tentang hegemony dalam Twentieth-Century Social Thought ed. William Outhwaite & Tom Bottomore et. al (Blackwell Reference, 1993, hal. 255.)

Apakah ciri utama hegemoni dalam kutipan sarjana ini?  Pertama ialah paksaan ke atas rakyat yang ditundukkan dalam revolusi untuk menegakkan Marxism sebagai satu-satunya sistem negara yang sah. Unsur paksaan ini merupakan ciri utama hegemoni. Kedua, terdapatnya hukuman berat jika tidak menurut perintah; dengan itu terjadilah pembunuhan beramai-ramai. Inilah yang kita saksikan  sekarang, apabila Amerika dan sekutunya membunuh beramai-ramai orang Islam puak Sunni di Syria, Iraq, Lebanon dan kini merebak ke Turki untuk memastikan Turki dimusnahkan kali kedua oleh kuasa Barat melalui PBB, yang dijadikan sebuah organisasi besar dunia oleh lima kuasa besar yang menentukan apa yang boleh dilakukan atau tidak boleh dilakukan. Mereka adalah pengganas dunia, hasil dari kemusnahan peperangan dunia. Ketiga, hegemoni menegakkan kuasa Iblis melalui sistem demokrasi yang didefinisikan sepenuhnya oleh Iblis, seperti yang dapat kita lihat di Mesir, Iraq, Syria dan kini di Afghanistan yang dimusnahkan segala-galanya dalam sistem demokrasi Amerika Syarikat. 

Sekarang kita dipaksa oleh ITBM dalam bukunya Sastera Teras Negara Bangsa untuk menjadikan sastera sebagai dasar pembangunan tamadun kita.  Adakah ini wajar? Inilah pandangan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, seorang sarjana penting abad ini yang menulis rencanannya, “Sastera Teras Peradaban Negara Bangsa” yang dijadikan makalah utama buku tersebut.  Kita tidak pasti sama ada sarjana ini sedar atau tidak konsep dan istilah hegemoni itu ialah secara ekslusif dijadikan milik faham Marx yang kemudiannya dijadikan sebahagian daripada alat politik demokrasi kerana konsep itu didapati berguna dalam usaha para pengganas dunia yang bermukin di PBB untuk menghancurkan apa juga jenis penentangan, terutama jika datangnya daripada pejuang Islam atau orang Islam. Tugas mereka  sekarang, dengan menggunakan konsep hegemoni ini, ialah untuk memastikan Islam boleh dihancurkan selumat-lumatnya melalui organsasi pengganas yang diberi nama PBB itu.  Sekiranya anda tidak boleh terima kesimpulan ini, lihat saja bagaimana PBB membenarkan Israel membunuh orang Islam di Palestine dengan sokongan lima kuasa besar yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Apakah jenis hegemoni yang cuba dibawa oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan ITBM?  Saya salin perenggan pertama tulisan beliau:

“Penganjuran Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) ini bertujuan membuka perbincangan ilmiah dengan menghimpunkan penulis daripada pelbagai kelompok dan strata untuk mencari dan membentuk gagasan bagi memenuhi tema “Sastera sebagai teras pembangunan negara bangsa”.  Peredaran masa turut membawa keperluan baharu dan gagasan yang lebih relevan. Walaupun para cendekiawan dan budayawan terdahulu  sudah memberikan pandangan yang sangat membina dan praktis, generasi kini perlulah membuat semakan semula dan menghantar gagasan baharu yang serasi dengan keperluan semasa.” (hal. 19)

Harapan sarjana ini dan ITBM kedengarannya sangat baik, tetapi disampaikan dengan keangkuhan hegemoni yang salah. Oleh itu, semua ucapan perenggan pertama itu tidak boleh dipakai kerana di situ kita dapati asasnya ialah pembohongan intelektual, yang saya gelarkan “maksiat intlektual” dalam entri yang lalu.  Kita dapati tidak berlaku perbincangan ilmiah daripada semua strata penulis kerana hanya kumpulan tertentu saja yang dihadirkan dalam SKPM ini.  Tidak ada perbincangan ilmiah secara terbuka, dengan memberi tumpuan kepada konsep ilmu dalam pembinaan tamadun manusia. Malah ucap utama Prof. Kamal Hassan pun tidak dibincangkan dan tidak disebut dalam resolusi, yang sepatutnya dimulai dengan catatan apakah yang dibincangkan oleh peserta terhadap ucap utama penting itu. Hegemoni palsu yang menjadi pegangan anggota ITBM ini tidak membenarkan wujudnya perbincangan terbuka yang benar-benar ilmiah. Malah makalah yang dikemukakan pun tidak mencapai standard yang kita ingini, terutama sekali yang ditulis oleh para sasterawan negara. Amatlah lucu apabila Muhammad Haji Salleh, sasterawan negara dan Tokoh Akademik Negara, menulis kertas kerja di atas bumbung kilang besi berkarat. Apa yang boleh kita harapkan jika itulah sikap mereka terhadap ilmu? Sangat sedih, berbelanja besar tetapi hanya berjaya membawa kucing yang merangkak di bumbung bangunan mencari tikus?  Kata Dr. Mohamad Saleeh Rahamad seterusnya, “generasi sekarang perlulah membuat semakan semula dan menghantar gagasan baharu yang serasi dengan keperluan semasa.” Apakah yang perlu disemak itu, mengapa perlu disemak, untuk apa perlu disemak? Untuk menghantar gagasan baharu, kata tokoh besar sarjana sastera ini. Gagasan apa? Di mana gagasan itu muncul? Dalam resolusi tidak ada, di tempat-tempat lain pun tidak ada. Ghaib di mana? Kita mahu tahu apakah gagasan baharu yang disebutkan oleh sarjana besar ini. Sesuai dengan kedudukannya, beliau harus membantu khalayak yang berminat tentang ilmu untuk turut serta berbincang tentang aspek tamadun ini, kerana tamadun bukan kepunyaan PENA atau ITBM secara peribadi, seperti yang digambarkan dalam dokumen ITBM ini. Kalau inilah makna dan matlamat hegemoni, maka kita perlu menolaknya dengan keras sekali, kerana perbuatan ini telah melanggar adab tamadun yang dibina oleh tokoh-tokoh ilmuan kita melalui persuratan Melayu.  Keengganan kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba ini untuk menerima sumbangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya 1972 sungguh amat memalukan dunia intelektual kita. Apakah sumbangan mereka? Sehingga ini, menurut analisis saya, mereka hanya berjaya  meluaskan lagi pengaruh pandirisme dalam kebudayaan Melayu.   Seterusnya kita lihat lagi pendapat Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini.

“Tenaga hegemoni yang dimiliki oleh kesusasteraan melampaui kuasa ketenteraan yang keras atau undang-undang yang rigid kerana kesusasteraan beroperasi secara halus, menjinakkan pemikiran  dan perlakuan yang liar atau pun mengabsahkan konsepsi yang wujud dalam minda setiap anggota masyarakat. Keberdayaan kesusasteraan sebagai tenaga hegemoni berkait erat dengan sifatnya yang diskursif. Bahasa sebagai alat penjanaan idea dalam karya sastera tidak bersifat neutral, sebaliknya mempunyai upaya dan ideologi tertentu. Atau dalam erti kata lain, karya sastera adalah wacana, discourse, yang memiliki ideologi tersirat.” (hal. 21)

Apakah yang hendak disampaikan oleh sarjana ini dalam kutipan di atas?  Suara siapa yang kita kesan di sini? Pembacaan saya terhadap karya kreatif oleh para sasterawan negara, satu kumpulan istimewa, menolak bulat-bulat kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini. Sekiranya pendapat beliau betul, maka ternyata tidak sebuah pun karya sastera Malaysia sampai ke taraf yang beliau sebutkan, sehingga membolehkan karya sastera dijadikan landasan pembinaan tamadun bangsa.  Di mana letaknya peranan ilmu dan pemikiran dalam rumusan beliau yang begitu lekeh ini? Jelaslah beliau telah menolak peranan ilmu dalam pembinaan tamadun, kerana saya agak beliau tahu jika ini dijadikan asas, tidak sebuah pun karya para sasterawan negara dapat memenuhi syarat itu. Kalau anda betul-betul serius, dan tidak hanya berceloteh dalam retorik peragaan yang remeh-temeh, anda harus membuktikannya daripada contoh yang ada pada kita sekarang, yakni karya para sasterawan negara. Bila kita membaca bahagian akhir tulisan beliau, “Peranan sastera dalam negara bangsa,” (hal. 29 seterusnya), maka kita megharapkan beliau menyediakan sedikit analisis dan hujah yang mantap untuk membuktikan karya sastera boleh dijadikan teras negara bangsa. Tetapi beliau hanya menyebut sambil lewa Arena Wati dan Abdullah Hussein, tanpa memberikan analisis mendalam untuk membuktikan karya mereka layak dijadikan teras negara bangsa dalam pembinaan tamadun berteraskan ilmu yang benar.  Seharusnya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad bermurah hati untuk mencurahkan ilmunya supaya dapat membimbing  pembaca seperti saya yang sangat cetek tentang sastera dan bukan pula dari kalangan sarjana yang hebat, hanya seorang penulis blog yang saja pandai-pandai memberikan pendapat yang agak kritis. Kerana saya juga menulis karya kreatif, maka beliau boleh saja membuat perbandingan yang objektif berasaskan pembcaan beliau terhadap pemikiran dalam karya saya, sekurang-kurangnya untuk membuktikan bahawa memang terdapat karya yang boleh dijadikan asas pembinaan tamadun ilmu di Malaysia. Adakah anda sendiri tidak sampai ke tahap itu? Kalau saya mengatakan konsep hegemoni yang dilagakkan oleh beliau dalam makalahnya ini hanya sejenis omongan saja (idle talk, kata Heidegger), maka di manakah asas pembinaan tamadun bangsa yang boleh diberikan oleh karya sastera Malaysia? 

Kesimpulan

Tajuk yang dipilih oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad adalah tajuk yang serius, yang berat, yag memerlukan pemikiran dan analisis yang mendalam sebelum dikemukakan oleh beliau dalam tulisannya yang begitu selekeh tanpa kualiti akademik yang boleh dijadikan sandaran untuk perbincangan ilmiah, yang disebut oleh beliau pada permulaan tulisannya. Saya ingin menarik perhatian anda semua kepada satu konsep yang amat baik yang pernah dilontarkan oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam tulisannya, iaitu betapa perlunya sesuatu tulisan ilmiah dimulai dengan apa yang disebutnya “langkah kaedah.”  Saya telah memberi pandangan positif saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (UKM 2010, hal. 327-331) mengenai konsep ini. Walaupun Prof Muhammad Haji Salleh sendiri tidak menggunakannya dalam tulisan beliau sendiri (lihat tulisan atas bumbung kilang berkarat termuat dalam Sastera Teras Negara Bangsa), namun yang baik tetap baik walaupun beliau sendiri menolaknya.  Dr. Mohamad Saleeh Rahamad boleh belajar daripada tokoh besar negara ini, yang telah diberi gelaran Tokoh Akademik Negara selain gelaran sasterawan negara. Saya kemukakan ini sebaga seorang peneliti sastera yang berminat kepada ilmu, walaupun nasihat itu tidak saya perlukan dalam kerja-kerja akademik saya. (Baca tulisan saya dalam buku itu untuk mengetahuinya.)

(Nota: Bahagian II dan III dalam siri ini akan menyusul.)

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 10 Ogos 2016.





Sunday, August 7, 2016

MAKSIAT INTELEKTUAL DALAM KESENIAN DAN PENULISAN

Bagi orang Islam, terdapat tiga jenis maksiat: maksiat zahir berupa perbuatan terlarang yang dilakukan secara zahir;  kedua, maksiat batin yang dibicarakan dengan mendalam dalam Ilmu Tasauf; ketiga maksiat intelektual yang tak pernah dibincang padahal inilah jenis maksiat yang berkaitan dengan konsep ilmu.  Kerana tidak pernah dibincang, atau tidak disedari walaupun mungkin diketahui, maka kesan maksiat intelektual ini tidak dipedulikan. Inilah jenis kecelakaan intelektual yang kita hadapi sekarang.

Istilah “maksiat intelektual” perlu digunakan sekarang setelah konsep ilmu yang benar tidak memberi kesan kepada para sarjana, pengkritik sastera dan sasterawan. Tetapi ini tidak bermakna konsep ilmu yang benar itu diabaikan, malah diberi penekanan yang lebih besar dengan mengaitkannya dengan “maksiat intelektual” yang kini menjadi pegangan rasmi (hegemoni, dalam istilah popular para sarjana) golongan sarjana, pengkritik dan sasterawan.  Maksiat intelektual ini mereka tonjolkan dengan bebas dan angkuh dengan menggunakan istilah-istilah yang mereka curi dari teori sastera Barat, seperti tekstualiti, teks, interteks dan macam-macam istilah “teks” lagi. Mereka bangga sekali menggunakan istilah “pelanggaran” untuk membolehkan para sasterawan berada di atas takhta keunggulan kerana telah melakukan “pelanggaran” dalam menulis karya mereka.  Seperti yang telah saya tegaskan berkali-kali dalam blog ini, konsep ini adalah konsep yang digunakan Iblis ketika memujuk Nabi Adam ‘a.s. untuk menipu baginda. Malangnya, para sarjana dan sasterawan berpendapat mereka jauh lebih cerdik daripada Nabi Adam ‘a.s. kerana telah terdedah kepada teori sastera Barat dengan meluas, oleh itu dapat mengelak daripada ditipu Iblis. Adakah ini benar?  Tulisan mereka sendiri menjadi bukti bahawa anggapan mereka ini tidak benar.  Mereka tidak saja tertipu, malah menjadikan penipuan itu sebagai landasan untuk menilai karya kreatif dengan memberi hadiah kepada karya terbaik menurut penilaian mereka.  Lihat beberapa contoh untuk sekadar menarik perhatian anda.  Sumber terbaik ialah tulisan mereka ketika membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara.

Rumusan Dr. Noriah Taslim

Ketika membicarakan “pemikiran” Anwar Ridhwan dalam novel beliau, Naratif Ogonshoto,  Dr. Noriah Taslim mengemukakan beberapa pedapat yang menarik yang memerlukan penjelasan daripada beliau kerana rumusan yang dikemukakannya tidak jelas, saling bertentangan dan tidak langsung memberi penjelasan bahawa itulah pandangan Islam seperti yang diklaim oleh beliau dalam  makalahnya.  Malah apa yang dirumuskannya itu bertentangan dengan prinsip Islam dan budaya Melayu sekali pun.

Antara rumusan Dr. Noriah Taslim yang paling menarik ialah seperti berikut: “Sebagai karya historiosofi, peristiwa dipilih untuk nilai moralnya – cerita rakyat, dongeng-dongeng di pelabuhan, motif dan tema daripada pelbagai sumber disirat masuk tanpa memperhitungkan kebenaran/kesahihan sejarahnya. Dalamnya cereka dan fakta, mitos dan realiti bertimbal-balik untuk mengukuhkan moral yang ingin disampaikan” (hal. 11 makalah).  Seperti yang tertulis, ambiguitinya terlalu jelas sehingga boleh menimbulkan kekeliruan, oleh itu penjelasan yang lebih terperinci dengan bukti-bukti rujukan diperlukan. Seperti adanya, rumusan ini tidak boleh diterima, malah sangat menyeleweng daripada prinsip Islam dan budaya Melayu. Dalam bidal Melayu kita tahu bidalan berbunyi, “yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan”, satu rumusan yang tepat dengan prinsip Islam “amar makruf nahi munkar” (berbuat baik, mencegah kemungkaran).  Dalam rumusan Dr. Noriah Taslim,  kebenaran tidak penting kerana menurut sastera tradisional moralnya lebih penting untuk dijadikan pengajaran. Bagaimana kebenaran boleh dipisahkan daripada moral yang terpuji? Atau makna moral yang dimaksudkan di sini bukan moral seperti yang kita fahami.   Tetapi persoalan yang lebih besar yang kita perlu bahaskan dengan tuntas ialah peranan moral dan kebenaran dalam novel Anwar Ridhwan ini.  Bagaimana sebuah karya sensasi, yang mengemukakan perilaku manusia tidak siuman yang tidak bermoral, boleh dijadikan sebuah karya bermoral tinggi?  Tidak sedikit pun perbahasaan yang diberikan oleh Dr. Noriah Taslim dalam kertasnya menjawab persoalan penting ini. Semua ini terjadi kerana tidak ada ukuran yang boleh dijadikan sandaran untuk menentukan kedudukan novel ini sebagai karya intelektual (ini dakwaan Anwar Ridhwan sendiri dan dipersetujui oleh para pengulas, termasuk Dr. Norah Taslim sendiri).  Perkara ini mungkin boleh diuji dengan menjadikan konsep ilmu yang benar dalam Islam (novel ini dianggap sebuah novel Islam) sebagai ukuran, tetapi inilah yang tidak mahu dilakukan kerana semua sarjana sastera cukup sedar bahawa jika ukuran ini dipakai, novel ini akan muncul sebagai sebuah novel picisan saja. Tidak mungkin seorang sasterawan negara menulis novel picisan.  Inilah masalah “kebenaran” (the truth) yang sebenar yang ingin dielakkan untuk menyelamatkan novel ini dan Anwar Ridhwan sendiri.  Apabila the truth tidak penting, tetapi penulis dan karyanya itulah yang penting, maka kita menghadapi masalah “maksiat intelektual” yang cuba dilenyapkan supaya tidak dibincangkan dengan jelas.  Contoh yang diberikan oleh Dr. Noriah Taslim tentang kisah bahtera Nabi Nuh sebagai legenda amat memeranjatkan. Adakah cerita benar itu legenda? Itu pandangan Anwar Ridhwan sendiri, dan Dr. Mawar Shafie yang mengulasnya bagaimana interteks daripada al-Quran diadun ke dalam karya besar Anwar Ridhwan ini. Saya telah sentuh perkara ini dalam tulisan yang lain. Kita lihat contoh berikutnya untuk memahami kelihaian para sarjana mengetepkan the truh dalam kerja-kerja akademik mereka.

Rumusan Dr. Muhamad Haji Salleh dan Dr. Fatimah Busu

Dua orang sasterawan dan sarjana besar Malaysia telah sepakat menolak the truth itu kerana tidak cocok dengan karya mereka sendiri.  Dalam karya besar Dr. Fatimah Busu dalam kritikan sastera,  Nyanyi Sunyi Salam Maria VS Sarjana Nasi Dingin (2007) terdapat sebiji zamrud dari Sailan yang pernah dipakai oleh Permaisuri Maharaja Rawana satu masa dahulu. Inilah wajah zamrud itu:

“Benar seperti kata Sasterawan Negara Profesor Muhammad Haji Salleh, situasi seumpama ini samalah seperti kita dikerkah oleh seekor anjing kurap. Justeru kita tidak mungkin dapat menendang anjing itu bagi membalas kerkahannya pada waktu itu juga kerana kulitnya yang berkurap” (hal 162.)

Tidak dinyatakan siapakah anjing kurap itu; tetapi kita dapat agak dalam konteks Dr. Fatimah Busu, anjing kurap itu ialah Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, yang beliau gelar “Sarjana Nasi Dingin.”  Ungkapan “nasi dingin” dalam loghat Kelantan merujuk kepada nasi basi yang tidak boleh dimakan.  Tidak diketahui dengan pasti mengapa Dr. Fatimah Busu yang amat menjaga kesantunan berbahasa, menggunakan bahasa sastera yang sering digunakan ketika seseorang ingin memaki hamun seseorang yang amat dibenci. Siapakah yang dibenci oleh Dr. Fatimah Busu? Adakah konsep ilmu yang dibawa oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir, atau beliau secara peribadi sebagai seorang sarjana yang bertaraf  “nasi dingin”?  Kutipan ini menjadi lebih menarik kerana lahir daripada seorang sarjana besar yang telah diberi gelaran Tokoh Sarjana Negara (selain gelaran Sasterawan Negara), yang juga amat tertib dan rapi serta amat santun penggunaan bahasanya dalam kerja-kerja akademiknya.  Dalam konteks Profesor Muhammad Haji Salleh, siapa agaknya yang dipanggil “anjing kurap” dan mengapa orang itu diberi gelaran itu?  Kita sekarang sedang berhadapan dengan dua orang tokoh besar negara, dengan itu mereka berdua sudah sepatutnya bermurah hati memberitahu kita siapa “anjing kurap” sastera Melayu itu. Kita perlu tahu kerana kita tidak perlukan “anjing kurap” dalam sastera kita yang murni ini.  Saya kini akan menulis nota kecil tentang penerbitan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa (2014) yang judulnya dikemukakan sebagai slogan baru dalam sastera Melayu.

Rumusan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.

Dalam buku penting ini terdapat sebuah tulisan Profesor Muhammad Haji  Salleh yang judulnya sangat memikat, “Mimpi Sastera di Atas Bumbung Kilang Yang Berkarat”.  Antara kandungan mimpi beliau ialah kutipan penting ini:

“Kritikan ialah satu sayap sastera yang sudah patah – sebahagiannya dipatahkan orang gasang dan tidak berbudi sastera, yang menulis dengan kata-kata racun dan kebencian, tanpa etika dan maruah diri atau hormat terhadap penulis lain.  Saya menginginkan suatu kritikan yang dipupuk kembali menjadi bidang yang bermoral, beretika, bertangggungjawab, dan juga membantu penulis berkembang. “Criticism with kindness” ialah suatu prinsip yang dapat diikuti. Penulis juga harus belajar menerima kritikan dan belajar daripadanya. Kemnbalilah mencari contoh daripada Goenawan Mohamad dan Baha Zain” (hal. 206).

Criticism with kindness” ialah jenis kritikan yang dilontarkan oleh sahabat beliau, Dr. Fatimah Busu dalam buku beliau tentang “sarjana nasi dingin” itu. “Criticism with indness” tentunya merujuk kertas kerja beliau sendiri dalam buku ITBM ini. Kerana kertas ini terlalu ringkas dan melompat-lompat, ditulis dalam masa yang tidak membenarkan diadakan persediaan sewajarnya (ini rintihan beliau sendiri), maka kertas beliau tidak mencapai standard akademik yang dicita-citakan oleh beliau dan yang kita sendiri sebagai pembaca berasa amat hairan bagaimana seorang profesor yang diberi gelaran Tokoh Akademik Negara menulis begitu selekeh padahal beliau mempunyai pengalaman akademik yang amat luas dan lama pula, oleh itu tidak menjadi masalah sama sekali dari segi persediaan ilmiahnya.  Sebagai seorang peminat T. S. Eliot, tentu beliau masih ingat sajak terkenal T.S. Eliot, “The Hollow Men” yang perlu saya salin sebahagiannya kerana sangat relevan dengan  perbincangan kita.

We are the hollow men
We are the stuffed man
Leaning together
 Headpiece filled with straw. Alas!
Our dried voices, when
We whisper together
Are quiet and meaningless
As wind in dry grass
Or rats’ feet over broken glass
In our dry celler.

Shape without form, shade without colour,
paralysed force, gesture without mition;

Inilah gambaran “pemikiran” Profesor Muhammad Haji Salleh sendiri dalam tulisannya yang terhasil daripada mimpi di atas bumbung berkarat itu. Maka apabila beliau mengherdik “anjing kurap” yang tidak diketahui itu, maka beliau sebenarnya mengherdik dirinya sendiri sebagai “the hollow man, the stuffed man, leaning together headpiece filled with straw”,  oleh itu maka tepat sekali kesimpulan T. S. Eliot ini:

Between the idea
And the reality
Between the motion
And the act
Falls the Shadow

of the “stuffed man, the hollow man”.  Itulah Eliot, seorang penyair!

Kritikan sastera Melayu sekarang tidak lagi seperti yang dibayangkan oleh Profesor Muhammad Haji Salleh sebagai seorang “the stuffed man, the hollow man” kerana kita kini sudah mempunyai alternatif yang canggih yang boleh kita gunakan dengan selesa dalam membuat analisis dan penilaian karya kreatif. Itulah Gagasan Persuratan Baru, yang tidak dikenali oleh Profesor Muhammad Haji Salleh dan yang ditolak bulat-bulat oleh sahabatnya Dr. Fatimah Busu dalam buku kritikan cacian beliau terhadap Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir.  Mungkin beliau, Profesor Muhammad Haji Salleh, dan sahabatnya Dr. Fatimah Busu yang layak menduduki tempat pengkritik gasang yang disebut oleh Profesor Muhammad Haji Salleh itu.


Rumusan Dr Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana)

Semua ini terjadi sebagai akibat langsung daripada “pemikiran” Mana Sikana dalam dua buah bukunya yang diterbitkan oleh ITBM:  Berdiri di Akar Diri: Kritikan Sastera Melayu Pascamoden (2013);   Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan (2015).  Kedua-dua buah buku ini cukup kaya dengan pretensi intelektual dengan segala retorik peragaan yang tidak membantu kita memahami dan menilai seseorang tokoh pilihannya dengan objektif. Sebaliknya kata-kata bombastik menggunakan fatamorgana bahasa terutama ketika membicarakan sasterawan negara jelas bertentangan dengan kualiti karya para sasterawan negara itu sendiri. Semua ini telah saya bincang dengan mendalam dalam beberapa siri tulisan dalam blog ini, yang kemudiannya dikumpulkan dalam satu manuskrip untuk rujukan.  Lihat tajuknya di bawah.

Sebagai seorang penglipur lara dalam krtikan sastera Melayu, beliau merayau-rayau mencari kononnya “pendekatan baru” untuk diperkenalkan kepada khalayak sastera Malaysia, padahal yang dianggapnya baru itu sudah pun ditulis oleh pengembara Islam beratus tahun dahulu.  Tetapi sumbangan beliau sangat penting sebagai seorang penglipur lara kritikan sastera, bukan kerana kualiti pemikirannya yang sebenarnya “cetek meraba-raba” seperti yang anda boleh baca dalam dua buku beliau itu.  Obsesinya kepada gerakan pascamodenisme membawanya menjadi “tukang karut” kritikan sastera apabila pembicaraan beliau tentang pascamodernisme hanya sekadar menyebut istilah-istilah yang dipungutnya untuk diperagakan kepada pembaca Malaysia yang “cetek meraba-raba” seperti beliau sendiri. Saya telah menulis satu siri rencana mengenai perkara ini dan intipatinya saya masukkan dalam buku saya Pandirisme Dalam Komuniti Dunia (2016). Saya juga telah mengumpul tulisan itu dalam satu manuskrip yang anda boleh dapat membuat rujukannya di perpustakaan DBP, UKM, UPM, UPSI, USM dan lain-lain. Tajuk manuskrip itu ialah, “Teksdealisme Lambang Pandirisme Dalam Kritikan Sastera Melayu.” 

Sumbangan terpenting Mana Sikana ialah dalam memperkenalkan “konsep” pelanggaran dalam penulisan kreatif dan kritikan sastera. Yang amat memeranjatkan kita, konsep pelanggaran itu mula-mula sekali diperkenalkan oleh Iblis ketika memujuk Nabi Adam ‘a.s.  untuk melanggar perintah Allah SWT supaya tidak mendekati pokok terlarang itu.  Mana Sikana mendapatnya daripada Harold Bloom, yang menulis dalam konteks psikologi Freud untuk merumuskan bahawa terdapat unsur “dehaka bapa” (Oedipus Complex) dalam penentangan terhadap para tokoh terdahulu yang mesti diderhakai (dilanggar) untuk mencipta idea baru sambil mencipta ketokohan sendiri.  Anda boleh baca semua ini dalam tulisan Harold Bloom atau dalam buku After the New Criticism oleh Frank  Lentricchia. (Lihat bab 9: “Harold Bloom: The Spirit of Revenge”). Apakah yang original dalam sumbangan Mana Sikana? Yang original itu ialah peniruan dan penciplakan beliau terhadap idea Harold Bloom. Sebagai seorang sarjana Malaysia, itu satu kejayaan besar.

Dua Buah Buku Penting:  (1)  Ilmu Teras Persuratan Melayu;  (2) Islam dan Pengaruh Barat Dalam Kritikan  (UKM, 2016)

Dua buah buku ini berupa edisi kedua buku asal, Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (UKM, 2010).  Tiga buah buku ini diedit oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir.  Edisi kedua ini diiringi tambahan  penting untuk melengkapkan buku-buku ini.  Buku-buku ini harus dibaca bersama buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.  Saya cadangkan buku-buku ini dibincangkan dengan mendalam melalui satu pertemuan khusus untuknya,  supaya ketiga-tiga buah buku ini diberi perspektif yang tepat. Pada waktu ini pengaruh Mutual Admiration Club (yang diketuai oleh Profesor Muhammad Haji  Salleh) memberi kesan yang amat negatif dalam perkembangan intelektual di Malaysia. Kita harus menolak maksiat intelektual ini jika kita ingin membina peradaban berasaskan ilmu. Nampaknya anda tidak mempunyai pilihan, kecuali menyokong cadangan ini. DBP dan ITBM bolehlah mula bekerja sekarang untuk membuat persediaan.

Kesimpulan Umum

Perbincangan umum tentang maksiat intelektual ini perlu dibincang dengan lebih mendalam dalam konteks perkembangan ilmu dalam persuratan Melayu.  Kita belum lagi mempunyai sebuah analisis yang mendalam tentang sejarah intelektual dalam kebudayaan Melayu.  Sumbangan awal oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bidang ini, melalui syarahan pengkukuhan beliau 1972, belum lagi diperhalusi supaya kita dapat melihat apakah yang telah kita capai dalam kesusasteraan Melayu moden, dari segi kreatif dan akademiknya.  Beberapa catatan kecil di atas memperlihatkan kepada kita akan betapa miskinnya aspek “pemikiran” dalam kesusasteraan Melayu moden.  Sikap negatif terhadap ilmu yang menjadi pegangan para sarjana sastera telah menyesatkan perbincangan tentang sastera dalam belantara teori sastera Barat; yang akhirnya hanyut dalam lautan ambiguiti nilai yang tidak diasaskan kepada konsep ilmu yang benar.  Dengan sikap anti ilmu ini, kita telah berjaya melahirkan ramai sekali tokoh-tokoh palsu yang sampai ke kemuncaknya dalam pemilihan para sasterawan negara.

Sejak tahun 1970-an saya menekankan pentingnya membaca dengan betul, dan kini saya tekankan betapa perlunya kita membaca dengan kritis dan kreatif. Untuk maksud itu, Prof. Ungku Maimunah mengemukakan dua cara membaca: mod bacaan intelektual, dan satu lagi mod bacaan cerita. Yang berlaku sekarang ialah semua sarjana hanya membaca dalam mod bacaan cerita, maka dengan itu yang mereka dapat serlahkan hanya perkara-perkara klise yang kerap kali disebut dalam tulisan para sarjana ciritan ini. Kita juga dapat melihat ini dengan amat jelas dalam cara bacaan Dr. Noriah Taslim yang totok membacanya dalam mod bacaan cerita. Semua ini hanya menimbulkan klise yang berulang-ulang tentang aspek plot, struktur, bahasa dan segala macam. Di mana wacananya? Itu kamu semua ignore (apabila ingin mengejek dan mengkritik dengan keras, saya gunakan bahasa Inggeris), malah bagi kamu konsep wacana itu tidak wujud dalam pembacaan karya kreatif. Itu sebab saya tekankan pentingnya membaca dengan kritis dan kreatif. Ini pun telah saya bincang berkali-kali dalam blog ini, carilah jika anda mahu.  Saya hanya ingin menegaskan, jika anda tidak membaca dengan kritis dan kreatif, maka anda sebenarnya bersikap biadab kepada ilmu. Anda sudah kehilangan adab, seperti yang dijelaskan dengan mendalam dan jelas oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Kehilangan adab menimbulkan munculnya sarjana palsu, pemimpin palsu, dan ini semua mengarah kepada sikap anti ilmu. Itulah yang diberi tekanan yang amat sangat oleh Profesor Muhammad Haji Salleh dan Dr. Fatimah Busu apabila mereka berkata sesiapa juga yang mereka benci dan tidak sependapat dengan mereka adalah “anjing kurap”. Bagaimana dengan anda sendiri, bukan “anjing kurap” juga? Jangan mudah lupa peribahasa Melayu: mengata dulang paku serpih ...Kehilanghan daya membaca dengan betul dan tidak membaca dengan kritis dan kreatif membuat tulisan para sarjana ini amat hambar, penuh dengan klise yang diulang-ulang dengan bangga pula. Tidak ada wacana, tidak ada pemikiran. Mandul. Inilah wajah sastera Melayu sekarang. Prof. Syed Hussein al-Attas pernah menempelak sarjana mandul ini dengan kata-kata yang sangat lucu tetapi serius: ibarat pokok yang rimbun berbunga, tetapi tidak berbuah. Celakalah bangsa atau dunia ilmu yang begitu keadaannya.

Orang telah jauh ke depan 100 km, kamu baru cari basikal buruk. Dua tiga kali kayuh sudah letih, jatuh terjelepok di tepi jalan, lalu menjerit marah, “Hei anjing kurap..”  Akhirnya kamu naik bumbung kilang berkarat untuk bermimpi sambil menulis kertas kerja. Maka lahirlah dokumen terpenting Abad 21 dalam sastera Melayu moden yang kamu beri judul,  Sastera Teras Negara Bangsa, menghujahkan betapa pentingnya peranan maksiat intelektual dalam sastera Melayu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 3 Ogos 2016.

Nota: Sila rujuk entri bertarikh 31/5/2014 dan 1/9/2015 untuk membantu anda memahami lebih jelas entri ini. Terima kasih.








Friday, August 5, 2016

ADAKAH SAJAK-SAJAK CELOTEH PENTING?

Nota ringkas tentang kemunculan sajak-sajak celoteh penting bukan kerana sajak-sajak jenis itu mempunyai kualiti pemikiran yang tinggi, tetapi sajak-sajak jenis ini menjadi bukti akan betapa pentingnya peranan pandirisme dalam penulisan kreatif dan penilaiannya.  Di kalangan para penulis sajak-sajak jenis ini, mereka amat bangga menulisnya  kerana mereka anggap sajak-sajak celoteh itu mempunyai kelainan yang luar biasa dari segi gaya.  Dengan gaya yang bersahaja, pembaca yang paling tumpul kemampuan kognitifnya boleh memahaminya, seperti orang kampung boleh memahami borak di kedai kopi. Oleh itu sajak-sajak celoteh ini menjadi pilihan untuk dibaca dan digayakan dalam “majlis baca puisi”, walaupun mereka tahu sajak celoteh bukanlah puisi.  Kerana mudahnya sajak-sajak jenis ini difahami, maka kedudukan sajak-sajak ini tidak boleh menandingi pantun-pantun Tukang Karut dalam Dikir Barat yang jauh lebih medalam sindiriannya dan  jauh lebih tajam kritikannya tentang masyarakat walaupun dihidangkan secara lucu dan lawak jenaka.  Perbezaan yang lebih besar dan menonjol ialah para penulis sajak celoteh ini melihat ke dalam diri mereka, membicarakan angan-angan mereka (yang mereka gelar “pemikiran”), manakala pantun-pantun Dikir Barat oleh Tukang Karut adalah kritik sosial yang tajam.  Tukang Karut adalah pelopor seni retorik dalam ucapan yang sangat menarik penggunaan bahasa kiasannya. Perbezaan ini penting ditekankan kerana pada keseluruhannya sajak-sajak celoteh adalah “pujian terhadap diri sendiri” yang melakukan sesuatu yang bagi mereka  sangat bermakna dalam konteks kehidupan individu mereka.  Anda boleh lihat aspek ini dalam sajak “Pulang  Si Tenggang” misalnya.

Majlis baca sajak celoteh ini penting bagi para penulis sajak celoteh kerana di sinilah mereka boleh saling memuji sesama mereka tanpa sebarang gangguan, oleh itu tidak berbangkit sama sekali soal kualiti sajak celoteh. Antara organisasi penulis yang sangat aktif dalam kegiatan ini ialah majlis baca sajak mingguan oleh PENA, yang mereka namakan majlis merakyatkan puisi.  Dalam majlis seperti ini para penulis sajak celoteh akan menggayakan bacaan mereka seperti yang kita selalu lihat dalam program Akademi Fantasia.  DBP sendiri telah mengadakan majlis Akademi Sastera meniru Akademi Fantasia. Satu perkembangan yang menarik dalam program menggayakan sajak celoteh ini ialah para penulis telah berjaya melahirkan beberapa orang penggaya sajak yang hebat, sedangkan Akademi Fantasia baru saja dapat melahirkan seorang tokoh dalam diri Mawi yang popular itu.  Kemajuan ini amat menggalakkan dalam usaha merakyatkan sajak celoteh ini.  Kemuncul sajak celoteh memberi kepuasan yan g tinggi kepada para pembaca sajak celoteh ini, sehingga dijadikan pesta tahunan dengan memberi nama “Deklamasi Sajak Merdeka” dengan pemenangnya diberi gelaran “Deklamator”, satu gelaran yang hebat, walaupun  tidak atau belum lagi seunggul gelaran sasterawan negara.  Mungkin orang tidak tahu bahawa pendeklamator paling ulung di Malaysia pada waktu ini ialah Tukang Karut dalam Dikir Barat. Mereka adalah ahli seni rakyat, yang jauh lebih tinggi nilai seninya daripada para penglipur lara seperti Awang Batil di Perlis, yang telah diangkat oleh Prof. Muhammad Haji Salleh, seorang sasterawan negara, sebagai ikon dalam bidang ilmu dalam  syarahan perdana beliau.  Tetapi dari segi sumbangan kesenian dalam bidang retorik, Tukang Karut dalam Dikir Barat jauh lebih unggul, dan lebih berjasa. Oleh itu mereka wajar dijadikan salah seorang juri dalam memilih deklamator negara ini.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya,  31 Julai 2016.



Sunday, July 31, 2016

SAJAK-SAJAK CELOTEH DALAM SASTERA MELAYU MODEN

Kemunculan sajak-sajak celoteh dalam sastera Melayu memberi wajah baru kepada konsep mantra dan penglipur lara dalam sastera lisan. Sajak-sajak celoteh adalah dalam kategori sastera lisan ini. Perkembangan baru ini nampaknya tidak dapat dielakkan setelah Prof. Muhammad Haji Salleh berjaya memberi kedudukan tinggi dan utama kepada sastera lisan, dengan menjadikan Pak Mahmud, Awang Batil dari Perlis, sebagai guru dan mahagurunya yang diberi tempat istimewa dalam syarahan perdana beliau. Sejak itu, novel-novel pengplipur lara yang ditulis oleh Anwar Ridhwan mendapat kedudukan yang amat istimewa dalam perkembangan novel Melayu, sehigga membolehkan Anwar Ridhwan diberi gelaran sasterawan negara.  Kelahiran sajak-sajak celoteh, dalam bentuk penglipur lara ini, menjadi kebanggan para penulis sajak (pensajak) Melayu kerana kemunculan genre baru ini memberi mereka kemudahan yang luar biasa untuk berceloteh sambil “bersajak”.  Kalau anda membaca sajak-sajak Muhammad Haji Salleh, Baha Zain, Kemala, sebagai contoh mudah, anda akan dapati sajak-sajak celoteh ini diberi wajah seolah-oleh sajak serius, walaupun kering dari segi pemikiran. Contoh terbaik di sini ialah sajak “Pulang Si Tenggang” oleh Muhammad Haji Salleh, yang dikatakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara  sebagai “sajak intelektual”. Tetapi jika anda membaca dari segi pengolahan idea dan pemikiran dalam puisi, sajak ini adalah celoteh peribadi pensajak ini untuk seolah-polah memberi pembelaan terhadap dirinya yang telah “belajar menjadi kurang ajar” setelah mendapat pengalaman “intelektual” di Amerika Syarikat.  Dia menjadikan dirinya sebagai “penderhaka intelektual”, dan ini diterima dengan baik, dengan segala pujian tinggi, oleh para sarjana sastera.  Para penulis sajak celoteh menjadikan Muhammad Haji Salleh “sifu” mereka, seperti yang ditegaskan berkali-kali oleh Leo AWS ketika menyanjung pensajak ini. Dalam satu nota ringkas oleh Salman Sulaiman dalam FB beliau, pensajak Rosli K. Matari dibandingkan dengan Sapardi dari Indonesia dan Muhammad Haji Salleh dari Malaysia, (FB bertarikh 26 Jun 2016).  Dengan penegasan ini, Salman Sulaiman telah menjadikan sajak celoteh karya Muhammad Haji Salleh sebagai ukuran untuk menentukan kedudukan penulis sajak yang lain. Ini menjadikan masalah ukuran ini semakin rumit dan mengelirukan dalam penilaian sastera di Malaysia.  Persoalan ini perlukan analisis dan huraian dalam kritikan sajak.

Benarkah wujud sajak celoteh? Apakah ukuran kita untuk menentukan sesebuah sajak itu adalah sajak celoteh?  Persoalan ini saya kemukakan dalam beberapa tulisan dalam blog ini dengan menggunakan istilah “pretensi intelektual” dan “fatamorgana bahasa”.  Anda perlu membacanya dengan teliti huraian saya mengenai “pretensi intelektual” dan “fatamorgana” bahasa ini. Sekiranyanya anda menolak kategori sajak celoteh, anda juga harus menolak pandangan kritis saya tentang dua persoalan itu. Nota ringkas ini saya hentikan di sini untuk memberi anda peluang membaca dengan kritis entri tentang “pretensi intelektual” dan “fatamorgana bahasa” kerana keduanya menjadi asas kategori sajak celoteh yang saya maksudkan. Anda juga perlu membaca dengan kritis perbezaan antara “menulis” dan “mengarang” yang saya jadikan pendahuluan kepada Balai Maqamat  dan konsep sarjana ciritan yang saya selokakan dalam buku ini.  Semua ini berkaitan dengan sajak celoteh ini.  Adakah kumpulan sajak Lutfi Ishak Dondang Pembukaan berada dalam kategori sajak celoteh? Dilihat dari segi gaya, penggunaan “dondang” itu sendiri menjadikan sajak-sajak dalam kumpulan ini adalah sajak-sajak celoteh. Para pensajak Malaysia tidak perlu gusar dengan munculnya segala macam kategori sajak di Malaysia, seperti sajak kabur, sajak protes, sajak “metafizik” (?), malah ada pensajak menamakan sendiri jenis sajaknya untuk membuktikan adanya kelainan dalam sajak-sajaknya.  Pensajak ini tahu siapa mereka ini dan di mana mereka berada. Seperti yang ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, penjenisan ini lebih penting daripada kualiti; malah bagi mereka penjenisan dalam kategori tertentu adalah ukuran kepada kualiti sajak-sajak itu.  Walaupun pandangan ini keliru, dan dalam bahasa kasarnya “mengarut”, semua ini tidak penting asal saja para penulis senang hati mendapat pujian.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 30/7/2016