Kemunculan
sajak-sajak celoteh dalam sastera Melayu memberi wajah baru kepada konsep
mantra dan penglipur lara dalam sastera lisan. Sajak-sajak celoteh adalah dalam
kategori sastera lisan ini. Perkembangan baru ini nampaknya tidak dapat
dielakkan setelah Prof. Muhammad Haji Salleh berjaya memberi kedudukan tinggi
dan utama kepada sastera lisan, dengan menjadikan Pak Mahmud, Awang Batil dari
Perlis, sebagai guru dan mahagurunya yang diberi tempat istimewa dalam syarahan
perdana beliau. Sejak itu, novel-novel pengplipur lara yang ditulis oleh Anwar
Ridhwan mendapat kedudukan yang amat istimewa dalam perkembangan novel Melayu,
sehigga membolehkan Anwar Ridhwan diberi gelaran sasterawan negara. Kelahiran sajak-sajak celoteh, dalam bentuk
penglipur lara ini, menjadi kebanggan para penulis sajak (pensajak) Melayu
kerana kemunculan genre baru ini memberi mereka kemudahan yang luar biasa untuk
berceloteh sambil “bersajak”. Kalau anda
membaca sajak-sajak Muhammad Haji Salleh, Baha Zain, Kemala, sebagai contoh
mudah, anda akan dapati sajak-sajak celoteh ini diberi wajah seolah-oleh sajak
serius, walaupun kering dari segi pemikiran. Contoh terbaik di sini ialah sajak
“Pulang Si Tenggang” oleh Muhammad Haji Salleh, yang dikatakan oleh Panel
Anugerah Sastera Negara sebagai “sajak
intelektual”. Tetapi jika anda membaca dari segi pengolahan idea dan pemikiran
dalam puisi, sajak ini adalah celoteh peribadi pensajak ini untuk seolah-polah
memberi pembelaan terhadap dirinya yang telah “belajar menjadi kurang ajar”
setelah mendapat pengalaman “intelektual” di Amerika Syarikat. Dia menjadikan dirinya sebagai “penderhaka
intelektual”, dan ini diterima dengan baik, dengan segala pujian tinggi, oleh
para sarjana sastera. Para penulis sajak
celoteh menjadikan Muhammad Haji Salleh “sifu” mereka, seperti yang ditegaskan
berkali-kali oleh Leo AWS ketika menyanjung pensajak ini. Dalam satu nota
ringkas oleh Salman Sulaiman dalam FB beliau, pensajak Rosli K. Matari
dibandingkan dengan Sapardi dari Indonesia dan Muhammad Haji Salleh dari
Malaysia, (FB bertarikh 26 Jun 2016).
Dengan penegasan ini, Salman Sulaiman telah menjadikan sajak celoteh
karya Muhammad Haji Salleh sebagai ukuran untuk menentukan kedudukan penulis
sajak yang lain. Ini menjadikan masalah ukuran ini semakin rumit dan
mengelirukan dalam penilaian sastera di Malaysia. Persoalan ini perlukan analisis dan huraian
dalam kritikan sajak.
Benarkah
wujud sajak celoteh? Apakah ukuran kita untuk menentukan sesebuah sajak itu
adalah sajak celoteh? Persoalan ini saya
kemukakan dalam beberapa tulisan dalam blog ini dengan menggunakan istilah “pretensi
intelektual” dan “fatamorgana bahasa”.
Anda perlu membacanya dengan teliti huraian saya mengenai “pretensi
intelektual” dan “fatamorgana” bahasa ini. Sekiranyanya anda menolak kategori
sajak celoteh, anda juga harus menolak pandangan kritis saya tentang dua
persoalan itu. Nota ringkas ini saya hentikan di sini untuk memberi anda
peluang membaca dengan kritis entri tentang “pretensi intelektual” dan
“fatamorgana bahasa” kerana keduanya menjadi asas kategori sajak celoteh yang
saya maksudkan. Anda juga perlu membaca dengan kritis perbezaan antara
“menulis” dan “mengarang” yang saya jadikan pendahuluan kepada Balai Maqamat dan konsep sarjana ciritan yang saya
selokakan dalam buku ini. Semua ini
berkaitan dengan sajak celoteh ini. Adakah kumpulan sajak Lutfi Ishak Dondang Pembukaan berada dalam kategori
sajak celoteh? Dilihat dari segi gaya, penggunaan “dondang” itu sendiri
menjadikan sajak-sajak dalam kumpulan ini adalah sajak-sajak celoteh. Para
pensajak Malaysia tidak perlu gusar dengan munculnya segala macam kategori
sajak di Malaysia, seperti sajak kabur, sajak protes, sajak “metafizik” (?),
malah ada pensajak menamakan sendiri jenis sajaknya untuk membuktikan adanya
kelainan dalam sajak-sajaknya. Pensajak
ini tahu siapa mereka ini dan di mana mereka berada. Seperti yang ditunjukkan
oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, penjenisan ini lebih
penting daripada kualiti; malah bagi mereka penjenisan dalam kategori tertentu
adalah ukuran kepada kualiti sajak-sajak itu.
Walaupun pandangan ini keliru, dan dalam bahasa kasarnya “mengarut”,
semua ini tidak penting asal saja para penulis senang hati mendapat pujian.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 30/7/2016
No comments:
Post a Comment