Sunday, June 5, 2016

MAKNA KEJUJURAN DALAM KRITIKAN SASTERA MELAYU

Tidak saja ahli politik yang tahu, pandai, dan kerap berbohong. Terdapat juga sarjana dan sasterawan yang seperti itu. Tidak ada kelainan antara dua golongan ini. Pada waktu ini kedua golongan ini saling membantu satu sama lain untuk memastikan faedah yang mereka dapat (hanya untuk segelintir saja) tidak terlucut dari cengkaman mereka. Bagi para sasterawan, kita melihat betapa hebatnya mereka mempertahankan kepentingan mereka dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, yang diterbitkan dalam Sastera Teras Negara Bangsa.  Cetakan terbaru buku ini memuat ucap utama Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan, yang tidak disentuh dalam perbincangan dan tidak terdapat dalam resolusi yang panjang yang dihasilkan oleh Sidang ini. Dokumen ini amat penting kerana ia memperlihatkan betapa rakusnya para sasterawan ini “memperjuangkan” kepentingan peribadi mereka, yang mereka serlahkan tanpa segan silu lagi dalam Resolusi Sidang Kemuncak.  Dalam resolusi ini, tidak disebut betapa pentingnya konsep ilmu yang benar dalam seni mengarang, malah seberapa boleh mereka mengelak dari membicarakannya kerana ini akan menyentuh kedudukan mereka yang seluruhnya dinilai daripada teori sastera Barat yang jelas anti-ilmu. Tidak berapa lama dahulu, seorang sarjana besar yang juga  seorang sasterawan negara, mengomel betapa bodohnya para sarjana Malaysia yang dengan rakus menggunakan teori sastera Barat untuk menilai “karya kita yang bukan Barat”.  Sekarang sikap mereka berubah sama sekali, dengan melontarkan cabaran berupa pertanyaan yang sangat keras dan mengancam: Apa salahnya dengan teori sastera Barat? Apabila anda berpendapat teori Barat tidak boleh digunakan, anda perlu mengelakkan diri anda daripada bercakap merapu, sebaliknya harus mempertahankan kewibawaan anda sebagai seorang sarjana yang wajar dihormati. Dengan itu, apabila terdapat sanggahan, anda cukup bersedia serta mempunyai asas akademik untuk menolak teori sastera Barat, supaya pendapat tadi menjadi suatu pendapat penting yang perlu dibincangkan dengan mendalam dari segala perspektif. Jika ini tidak berlaku, maka anda sendiri akhirnya dinilai seluruhnya daripada perspektif teori sastera Barat, seperti yang dapat kita lihat dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara terhadap tokoh berkenaan.  Adakah ini bererti penilaian itu palsu?  Kalau begitu, layakkah beliau diberi gelaran itu? Semua ini menunjukkan betapa pentingnya teori sastera Barat dalam kritikan sastera Melayu, oleh itu keraguan yang disuarakan oleh tokoh ini perlukan penjelasan, oleh itu beliau sendiri tidak boleh mendiamkan diri seperti sekarang, malah dengan gigih pula memerintahkan para sarjana menulis tentangnya berasaskan teori sastera Barat, yang boleh kita lihat dalam kertas kerja tentang diri tokoh ini yang seluruhnya berasaskan teori sastera Barat.  Jika penjelasan ini tidak diberikan, mereka boleh dituduh sedang bermain dengan pandirisme yang kini mereka jadikan arus perdana untuk memastikan mereka terus berada dalam kandang Mutual Admiration Club yang mereka jadikan wahana untuk mempertahankan karya picisan mereka. Mereka jadikan teksdealisme sebagai teori sastera yang mereka kaitkan dengan pascamodernisme, untuk kononnya membolehkan para sasterawan negara diletak di takhta keunggulan. Tetapi teksdealisme bukan teori sastera; pascamodernisme pun satu gerakan yang hingga kini masih belum mempunyai wajah yang boleh dipercayai. Menurut sarjana Barat, tidak ada siapa pun yang tahu dengan pasti apakah sebenarnya pascamodenisme.  Apakah matlamatnya? Yang mereka pasti ialah pascamodernisme adalah satu gerakan nihilisme sekumpulan sarjana, penulis dan ahli seni yang sudah kehilangan tujuan kehidupannya. Guru mereka, Heidegger, menegaskan manusia wujud dari tiada dan akan kembali kepada tiada (nothing). Kalau begitu, mengapa manusia mesti wujud dan menjadi penghuni dunia, membunuh dan dibunuh, memulakan peperangan, memusnahkan manusia sendiri. Apakah ertinya peradaban yang mereka bangunkan, jika semuanya kosong? Inilah dunia sastera yang diingini oleh Mana Sikana, seperti yang ditegaskannya dalam dua buah bukunya yang diterbitkan oleh ITBM. Mana Sikana adalah seorang pembicara sastera yang  anti-ilmu yang terbesar dan paling ulung dalam dunia antarabangsa, lebih hebat daripada mana-mana sarjana Barat yang masih mempunyai keaslian berfikir. Untuk itu, anda boleh rujuk beberapa buah buku yang membicarakan pascamodernisme dengan mendalam dan sangat jelas.  Saya pasti anda akan terkejut besar bila membaca buku-buku ini, kerana kandungannya tidak satu pun sama dengan benda-benda yang menarik minat Mana Sikana. Dari mana dia dapat idea tentang pascamodernisme itu dia sendiri pun tidak tahu.  Jelas sekali Buyung Lurus dalam Hikayat Buyung Lurus lebih cerdik daripada Sikana ini. Buku-buku yang saya maksudkan disenaraikan dalam catatan di bawah. Anda perlu membacanya sendiri jika anda berminat dalam isu ini. 

Seperti yang anda dapat lihat  dalam rujukan yang tersenarai di bawah, pascamodernisme adalah satu gerakan anti-ilmu yang amat berpengaruh di Barat pada waktu ini. Gerakan anti-ilmu ini kini dijadikan teras perjuangan sekumpulan sarjana dan sasterawan yang kononnya telah membentuk hegemoni melalui sastera.  Sebagai satu gerakan golongan “lunatic” (menurut istilah Lyotard), pascamodernisme tidak memberi apa-apa faedah kepada kita yang mempunyai konsep ilmu tersendiri yang jauh lebih tepat dan serasi dengna kejadian manusia. Semua masalah yang dibincangkan dalam gerakan pascamodernsme ini berpunca dari  keengganan mereka untuk menerima hakikat bahawa mereka dijadikan, oleh itu ada Tuhan yang menjadikan mereka. Sifat “lunatic” membuat, dan mendorong mereka bercakaran sesama sendiri seolah-olah mereka tahu apa yang menjadi masalah manusa moden, seperti yang dijelaskan dengan terang oleh Tan Sri Prof. Dr. Kamal Hassan dalam ucap utamanya.  Bodoh sungguh peserta Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 yang tidak membincangkan ucap utama ini dengan serius. Adakah mereka juga sudah termasuk perangkap yang disebut oleh Lyotard?  (Theory, Culture and Society: Postmodernism, ed.  Mike Featherstone, SAGE Publications,  reprinted 1990; hal. 502).  Saya kutip beberapa kesimpulan menarik tentang pascamodernisme  untuk memberi sedikit gambaran apakah sebenarnya  pascamodernisme ini, yang menjadi ketagihan akademik  sarjana ciritan di Malaysia.

Perhatikan kutipan ini: “The concept of postmodernism is not widely accepted or even understood today.”  (Frederic Jameson, seorang pakar gerakan  pascamodernisme yang banyak menulis tetangnya; dalam Hal Foster, hal. 111.)  Di tempat lain Jameson menulis, “The problem of postmodernism - - how its fundamental charcteristics are to be described, whether it even exists in the first place, whether the very concept is of any use, or is, on the contrary, a mystification – this problem is at one and the same time as aesthetic and a political one.” (dalam Dan Latimer, hal. 370; italics original).  Kutipan ini lebih jelas dan mudah difahami: “Any reference to the term ‘postmodernism’ immediately exposes one to the risk of being accused of jumping on a bandwagon, of perpetuating a rather shallow and meaningless intellectual fad.  One of the problems is that the term is at once fashionable and yet irritatingly elusive to define.  As the Modern-day Dictionary of Received Ideas confirms: “This word has no meaning. Use it as often as possible.” (The Independent, 24 Dicember 1987). Over a decade earlier, in August 1975, another newspaper announced that ‘postmodernism is dead’, and that ‘post-post-modernism is now the thing’ Palmer, R.E (1977) “Postmodernity and Hermeneutics”, Boundary 2  22: 364).  If postmodernism is an ephemeral fashion then some critics are clear as to who are responsible for  its prominance: ‘To-day’s paid theorists surveying the field from their booklined studies in polytechnicts and universities  are obliged to invent movements because their careers  -- no less than those miners and fishermen – depend on it. The more movements they can give names to, the more successful they will be (Pawley, M (1986)  ‘Architecture: All the History that Fits,’ Guardian 3 Dec: 10).”  (Mike Featherstone, “Introduction” kepada buku yang diselenggarkannya, Theory, Culture and Society: Postmodernism, London:  Sage Publications 1988, reprinted 1990, hal. 195).  Semua kutipan ini mudah difaham, tiada masalah untuk memahaminya. Itulah kenyataannya di Barat seperti yang difahami oleh mereka.  Semua kutipan ini bertentangan dengan kefahaman Mana Sikana tentang pascamodernisme yang diikuti membutatuli oleh para pelajar dan pengikutnya yang sama keliru dengannya.

Satu kejayaan besar dalam bidang bahasa dan nahu ialah konsep “ayat” (dalam tradisi Indonesia disebut kalimat, satu penyelewengan dari segi konsep bahasa) yang terjadi daripada susunan perkataan untuk memberi makna tertentu, di samping keindahan penyampaian makna itu. Dalam bahasa al-Quran, “ayat” adalah tanda kewujudan dan kebesaran Allah SWT.  Dari sekumpulan ayat yang dicantum dalam wacana  ketika membicarakan sesuatu ilmu, kita dapat melihat ketangkasan berfikir dan mengolah sang penulis. Samalah keadaannya dengan melihat setiap kejadian alam, kita melihat kewujudan dan kebesaran Allah SWT yang mencipta segala-galanya dari tiada kepada ada (wujud). Persoalan ini sangat penting dalam falsafah Barat, dan bagi orang sastera dalam teori sastera Barat.  Manusia Barat tidak menerima hakikat bahawa mereka dijadikan oleh Yang Maha Pencipta dalam kadar yang amat rumit, tetapi boleh dimengerti oleh akal manusia yang akhirnya mencipta pelbagai ilmu dalam kehidupan bertamadun mereka. Sekiranya tidak ada kadar itu (kadar dalam makna measurement yang tetap), maka manusia tidak akan dapat memahami kejadian alam ini. Tetapi di sinilah para ilmuan Barat bangkit dengan angkuh mengatakan mereka telah menemui ilmu baru atau penemuan asli yang tidak pernah diketahui manusia sebelumnya. Inilah yang membuat mereka kehilangan diri mereka, dan tidak menerima hakikat bahawa mereka sendiri adalah ciptaan Yang Maha Kuasa. Ini melahirkan gaya “lunatic” dalam tulisan atau perbincangan mereka, yang akhirnya menyesatkan mereka kerana mereka tidak menerima sumber sebenar pengetahuan mereka. Mereka seolah-olah berada di tengah lautan bergelora di atas kapal, tidak pasti ke mana arah mereka tuju dan mengapa mereka menuju ke situ.  Semuanya terjadi sendiri: kapal, mereka, dan lautan. Inilah yang membuat mereka kehilangan punca, dan sikap inilah yan g melahirkan cara berfikir pascamodernisme.  Anda boleh lihat semua ini dengan jelas jika anda membaca dan meneliti teori sastera Barat dan falsafah mereka. Ini tidak bererti tidak ada yang dapat kita manfaatkan. Banyak yang boleh kita pelajari dan manfaatkan, tetapi kita perlukan kecekapan berfikir berasaskan konsep ilmu yang bersumber dari al-Quran, Sunah dan pengalaman intelektual ulama Islam yang sentiasa mencuba memahami ayat-ayat Allah dalam kehidupan keilmuan mereka.  Bayangkan seorang ahli falsafah dan ulama seperti al-Kindi, yang juga seorang ahli ilmu hisab dan geometri, merumuskan dalam bukunya, yang tertulis dalam bahasa Arab, yang menjadi asas “inscription” dalam teknologi komputer yang kita pakai sekarang.  (Apa bendanya ini, dan banyak yang lain lagi, anda boleh tahu jika anda bertemu dengan pakar bidang ini yang tahu tamadun ilmu dalam Islam. Ustaz dan Tok Guru biasa tidak akan tahu kerana tradisi yang diwarisi al-Kindi, Ibn Sina, dan lain-lain gergasi ilmu dalam Islam tidak ada lagi dalam tamadun Islam. Mereka tidak lagi pembaca ayat-ayat  Allah, oleh itu mereka menjadi semakin jauh dari kepercayaan agama mereka sendiri, sama ada mereka beragama Islam atau penganut agama lain.)  Dalam sastera Melayu moden, para sasterawan dan pengkritik serta sarjana sastera yang melompat-lompat kegembiraan menerima Si Tanggang sebagai tokoh intelektual, adalah jenis manusia yang tidak tahu membaca ayat-ayat Allah. Malah, dan ini amat menarik, mereka sendiri tidak menulis dalam ayat-ayat  dalam wacana ilmu yang benar yang akhirnya kembali kepada kebesaran Allah. Malah mereka menjadi penipu, seperti yang saya jelaskan dalam “Keunggulan yang Cacat.”

Sekarang anda faham mengapa saya nilai karya para sasterawan negara sebagai picisan, dan para penilai mereka terdiri daripada sarjana ciritan. Saya memberi digniti kepada ilmu, dengan itu menolak apa juga percubaan untuk meremehkan ilmu yang benar, padahal sumbernya daripada yang menciptakan manusia yang menolakannya itu. Jika mereka berdolak-dalik berkata, mereka pun menerima konsep ilmu yang benar, tetapi tidak dalam format yang ditunjukkan dalam gagasan Persuratan Baru. Kalau begitu, mengapa mereka tidak wujudkan yang boleh mereka terima, tetapi sebaliknya masih terus degil menjadikan pandirisme, hasad, dan sikap anti-ilmu untuk menolak sesuatu yang mereka sendiri tidak berupaya mengadakannya. Tetapi mereka berupaya melaksanannya, hanya keangkuhan dan sifat hasad mereka saja yang membuat mereka terus hanyut dalam kejahilan ambiguiti yang menjadi kebanggaan mereka.

Gerakan hegemoni yang dilancarkan oleh PENA, dengan sokongan ITBM, adalah gerakan palsu yang merugikan perkembangan intelektual yang sihat di negara kita.  Menjadikan karya sastera asas negara bangsa adalah satu usaha yang memalukan dunia ilmu yang sudah sekian lama dikembangkan dalam tamadun Melayu melalui persuratan, yang dipelopori oleh para ulama dan cendekiawan. Ada hati para sasterawan dan sarjana sastera ingin mengambil alih peranan itu daripada ulama dan cendekiawan Melayu, padahal mereka adalah golongan yang cetek meraba-raba dalam dunia ilmu, yang dari segi kemampuan intelektual dan kreatifnya tidak seberapa, mereka yang terdiri daripada  para sasterawan dan sarjana sastera ini.  Kalau ini bukan sejenis penipuan intelektual yang sangat jelas dan buruk, apa lagi nama yang boleh kita berikan kepada gologan ini, yang berada dalam kandang Mutual Admiration Club. Sumbangan mereka dalam dunia ilmu dan akademik adalah sumbangan yang marginal, yang cetek meraba-raba, yang hanya menjadi pengikut kepada faham sastera Barat. Sikap negatif mereka terhadap ilmu telah mereka perlihatkan dengan sangat angkuh dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, apabila mereka meremehkan ucap utama Prof. Tan Sri Mohd. Kamal Hassan, dengan tidak membincangkannya, dan jika pun dibincangkan, tidak mahu dilapor dengan profesional untuk dimuat dalam buku terbitan ITBM, edisi kemas kini itu. Adakah ini kesan hegemoni palsu yang menjadi pegangan PENA dan ITBM?  Isu ini sangat peting kerana isu inilah yang melontarkan slogan palsu “sastera teras negara bangsa”,  padahal yang dikatakan teras itu hanya pinggiran yang menjadi kebanggaan anggota Mutual Admiration Club yang cetek meraba-raba.

Mereka dengan angkuhnya mendesak kerajaan supaya karya para sasterawan negara dan anggota Mutual Admiration Club diperkenalkan secara besar-besaran di peringkat antara bangsa, dengan membutakan mata mereka bahawa sudah terdapat pendekatan alternatif dalam memahami dan menilai karya kreatif berasaskan konsep ilmu yang benar, yang bersumberkan al-Quran dan Sunah, yang lebih berhak diberi perhatian jika mereka benar-benar mahu mencabar teori sastera Barat.  Tetapi mereka memperlekehkannya, padahal mereka sendiri tidak mempunyai apa-apa yang benar-benar  layak diperkenalkan di peringkat antara bangsa dalam dunia ilmu.  Apakah yang menghalang mereka daripada bertindak jujur seperti yang sering mereka jeritkan supaya orang lain melakukannya? Dalam tahun 2004, saya bincangkan isu ini dalam syarahan DAMAI di UKM. (Ringkasan syarahan itu disiarkan dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua.)  Saya sebut tiga perkara yang menjadi persoalan: sikap hasad, anti-ilmu dan pandirisme.  Sikap hasad ini amat kuat mencengkam para sarjana sastera dan sasterawan, sehingga mendorong mereka menghalang apa juga perkembangan yang mereka anggap tidak sesuai dengan kedudukan mereka dalam kandang Mutual Admiration Club itu. Contoh-contohnya boleh kita dapat dengan mudah, kerana kejadian begini berlaku setiap masa. Hasad menjadi senjata yang tajam dan berkesan untuk digunakan dalam melestarikan sikap anti-ilmu, supaya hegemoni pandirisme tidak tergugat.  Dalam konteks ini, kita boleh kemukakan satu pertanyaan yang agak sensitif, tetapi perlu ditanya: Apakah yang menghalang persatuan penulis membincangkan dengan kritis gagasan Persuratan Baru?  Pertanyaan ini tiba-tiba menjadi penting pada waktu ini selepas terbitnya Pandirisme Dalam Komuniti Dunia, yang menurut maklumat yang sampai kepada saya, ditolak bulat-bulat oleh para sasterawan picisan dan sarjana sastera ciritan.  Apakah sebenarnya yang menghalang mereka daripada mendekati dengan kritis gagasan Persuratan Baru dan peranan pandirisme dalam perkembangan intelektual Malaysia? Sama ada bergurau atau serius, saya diberitahu jika seseorang penulis/sasterawan diketahui mendekati gagasan Persuratan Baru,  kemungkinan mereka mendapat tempat di penerbitan seperti DBP atau ITBM agak nipis.  Sekiranya ini satu kenyataan, dan benar-benar berlaku, saya fikir istilah adab, kejujuran dan keberanian intelektual tidak boleh dipakai kerana itulah yang menjadi teras gagasan Persuratan Baru. Karya saya sendiri masih diterbitkan oleh ITBM (Balai Maqamat) walaupun mereka menarik balik keputusan untuk menerbitkan Hikayat Buyung Lurus yang dipersetujui 2013.  Majalah Dewan Sastera, walaupun amat berhati-hati, masih berani menerbitkan “Rumah Impian Polan Cupan.”  Memang benar gagasan Persuratan Baru menjadi masalah besar kepada para sasterawan negara dan para sarjana sastera yang menyokong mereka, tetapi ini tidak bererti gagasan Persuratan Baru menghalang perkembangan intelektual dalam persuratan Melayu, malah dalam perkembangan sastera sekali pun. Dari segi akademik, ternyata tidak ada masalah kerana gagasan Persuratan Baru boleh berdiri dengan gagah sebagai satu pendekatan yang memang diperlukan untuk menilai dengan tepat dan objektif karya kreatif, dan pada waktu yang sama memberi ruang yang terbuka luas untuk digunakan dalam analisis dan penilaian kerja-kerja akademik dalam bidang sastera.  Satu-satunya masalah ialah sikap hasad, yang mungkin sukar dihapuskan apabila sudah mendarah daging dalam perilaku seseorang. Ini pilihan mereka, oleh itu mereka harus diberi kebebasan itu.

Jikalau kita membaca dengan teliti dan kritis ucap utama Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Kamal Hassan untuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, kita akan dapati ukuran yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara ternyata bertentangan dengan pandangan kritis dalam ucap utama itu.  Bagaimana ini boleh terjadi? Seperti yang saya jelaskan dalam beberapa entri dalam blog ini, Panel Anugerah Sastera Negara tidak mengemukakan ukuran yang boleh diuji ketepatannya, sebaliknya mereka menggunakan ukuran yang mereka anggap sesuai dengan karya para sasterawan negara yang mereka pilih.  Saya telah memberi beberapa contoh dalam entri yang lepas, yang anda boleh semak sekiranya anda membaca laporan Panel. Isunya ialah: Adakah istilah atau konsep yang dipakai oleh Panel untuk menilai karya para sasterawan negara itu benar-benar mencerminkan kualiti sebenar karya para sastrerawan negara? Saya dengan tegas mengatakan tidak, dan menulis satu entri yang panjang :  “Keunggulan Yang Cacat”.  Isu paling besar dalam kes ini ialah: Jika kita membenarkan sarjana sastera dan sasterawan menggunakan sikap  hasad mereka untuk menolak gagasan Persuratan Baru, maka  mereka tidak mempunyai alasan untuk menghalang penggunaan gagasan Persuratan Baru dalam penilaian karya kreatif dan dalam kerja-kerja akademik dalam bidang ini.  Walaupun saya tidak menggalakkan hasad sebagai pakaian peribadi seseorang yang menyukai pakaian itu,  saya tidak boleh memaksa sesiapa pun untuk menerima gagasan Persuratan Baru sebagai satu alternatif yang berupaya menghadapi  teori sastera Barat secara tuntas.  Mereka boleh meneruskannya dengan bebas,  kerana mereka pun sedar dan tahu bahawa sikap mereka tidak beradab, anti-ilmu dan menjadikan pandirisme sebagai arus perdana.  Bolehkah kita menggunakan sikap hasad mereka sebagai ukuran dalam menentukan keunggulan kreatif dan akademik dalam bidang sastera?  Apa pun juga pendirian, dan jawapan anda, tradisi keilmuan Islam menolak dengan keras sikap hasad, anti-ilmu, dan pandirisme itu.

Era sastera sudah mati. Tiada lagi zaman sastera. Sastera telah membawa keburukan dan kemunduran kepada kita, membawa nilai-nilai songsang yang asing sama sekali dalam  tamadun kita. Sastera telah membuat kita tandus dalam pemifikiran, tidak boleh berfikir kerana memang bukan tugas sastera untuk membuat orang berfikir, kerana itu apa juga unsur didaktik dan khutbah yang boleh mendorong orang berfikir dihapuskan dan dikutuk. Sastera dan penilai sastera, seperti yang dibuktikan dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara, mengutuk kebaikan, mengutuk pemikiran berasaskan konsep ilmu yang benar, dan mengutuk moral sebagai ciri hidup yang terkongkong. Celakalah bangsa yang menerima sastera yang demikian sifatnya. Untuk membuat kita semua berfikir, kita harus memulai penulisan gaya baru untuk membuat pembaca berfikir dan bertindak untuk membuat kebaikan kepada masyarakat, membina tamadun berasaskan ilmu dan ajaran moral yang agung yang diajarkan oleh Islam dan disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada umat manusia. Kepada umat manusia, bukan hanya kepada orang Islam. Itulah cabaran yang dihadapi oleh para pengarang kita, tidak saja membina persuratan baru, tetapi juga mencabar segala hasil karya dunia yang tidak membantu manusia mengenal diri manusa yang hakiki. Ini mesej kita untuk kita dan untuk dunia. Inilah mesej yang ingin disampaikan oleh Tan Sri Prof. Mohd. Kamal Hassan dalam ucap utamanya untuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Tidakkah satu pengkhianatan besar telah dilakukan para sasterawan dan sarjana sastera bila amanat ini diperlekehkan dan dijadikan ejekan, seperti yang dilakukan oleh para peserta Sidang. Mana buktinya mereka menerima amanat itu? Tidak ada. Tidak ada laporan atau sekurang-kurangnya catatan mengenai mesej penting ini. Sungguh amat memalukan, dan inilah yang akan dikutuk generasi baru nanti. Mereka telah dikecewakan oleh generasi khayal dan hasad dan anti-ilmu. Generasi baru ini  berhak untuk mengutuk generasi yang telah mengabaikan pemikiran dan pembinaan tamadun berasaskan konsep ilmu yang benar dalam dunia penulisan.

Siapakah yang mematikan daya berfikir sastera Melayu? Mereka ialah para sarjana ciritan dan para sasterawan picisan yang berkumpul dalam kandang Mutual Admiration Club. Kerana anggota kandang ini dilihat sebagai kumpulan yang berjaya dan banyak pula mendapat kemudahan, maka para sasterawan berlumba-lumba masuk ke dalam kandang bersama mereka. Jadilah sastera Melayu itu sastera kandangan yang dangkal, penuh pretensi, mandul dari segi pemikiran; tetapi diberi pujian oleh para sarjana ciritan yang ingin menumpang kedudukan penghuni kandang Mutual Admiration Club, sehingga para sarjana ciritan ini sendiri, yang dulunya menentang Mutual Admiration Club, menjadi penyokong kuat dan dengan bangga pula menerima pelantikan sebagai jurucakap dan ketua Mutual Admiration Club.  Inilah kumpulan yang menentang konsep ilmu yang benar, walaupun mereka mengaku mereka juga Islam.

Apakah yang mendorong mereka menjadi penentang konsep ilmu yang benar itu? Sebenarnya mereka tidak tahu kandungan agama mereka, dengan itu mereka dengan mudah menjual agama untuk faedah diri mereka. Peristiwa Teknik Surah Yusuf adalah perkembangan paling berjaya dalam penjualan agama ini. Melalui apa yang disebut Teknik Surah Yusuf, mereka menerbitkan apa yang mereka namakan novel Islami, yang satu ketika dulu amat laku di kalangan anak-anak muda yang jahil. Mereka tidak boleh dipersalahkan, kerana di dalam kumpulan ini terdapat juga ustaz, yang memperjuangkan dengan  gigihnya Teknik Surah Yusuf, kerana menurut mereka al-Quran juga menggunakan cerita untuk memberi pengajaran kepada penganut Islam. Pendapat karut ini tidak sepatutnya dikeluarkan oleh para ustaz yang opportunist ini. Tidak ada fiction dalam ceirta-cerita al-Quran, semuanya cerita benar, seperti yang ditegaskan oleh al-Quran dalam Surah al-Kahfi ayat pertama lagi, mengenai iwajan atau  crookedness (kebengkokan) seperti yang menjadi ciri utama fiction, cerita dalam novel. Para ustaz yang turut menjual agama ini tidak dapat membezakan antara fakta dalam bentuk cerita (kissah) dengan fictionality dalam novel. Dengan itu, dengan menggunakan apa yang mereka namakan Teknik Surah Yusuf, mereka telah meletakkan fiksi dalam novel setaraf dengan kisah al-Quran. Para ustaz yang cetek ilmu agama dan tidak mempunyai pengetahuan pula dalam teori sastera Barat yang menjadikan fictionality itu sebagai reality, telah menipu pembaca dan para penulis Melayu yang tidak ada ilmu agama untuk menulis fiction atas nama Islam. Satu pengkhianatan yang amat besar dan sudah wajar dikutuk sekeras-kerasnya kerana dengan sengaja menghina Islam untuk mendapat sedikit keuntungan dunia dengan menipu dari segi ilmu. Apabila saya memperkenalkan kategori karya persuratan, mereka yang tidak ada ilmu ini menjerit marah bahawa dalam karya sastera pun sudah terkandung konsep ilmu yang benar itu, dalam cerita yang dituturkan mereka. Kerana pendapat ini terlalu bodoh dan karut, saya tidak perlu membicarakannya di  sini.

Dalam dunia yang memuja dan memperjuangkan pandirisme, saya terlebih dahulu “menterjemahkan” Persuratan Baru sebagai “genuine literature” dalam bahasa Inggeris, supaya maksud dan matlamat Persuratan Baru tidak diselewengkan oleh sarjana ciritan yang mengambil jalan mudah untuk  menterjemahkan Persuratan Baru sebagai “the new letters”.  Memang terdapat usaha untuk memesongkan makna dan maksud Persuratan Baru, kerana menurut mereka “persuratan” bukan “sastera”, oleh itu istilah sastera itu adalah definitif, tidak boleh diubah lagi. Konsep Persuratan Baru yang diperkenalkan itu sangat penting dalam membuat penilaian ke atas karya sastera, terutama dalam konteks para sasterawan negara. Kita ingin menjawab soalan mudah, yang mungkin kedengaran bodoh, yang tidak boleh dielakkan untuk dilontarkan demi untuk menjaga status tinggi para sasterawan negara ini.  Soalan itu ialah: Benarkah para sasterawan negara ini mewakili kemuncak perkembangan intelektual dan perkembangan ilmu dalam tamadun Melayu moden?  Soalan ini menjadi sangat penting apabila dikaitkan dengan kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang beliau kemukakan dalam syarahan pengukuhan beliau 1972, bahawa yang dinamakan pujangga dan sasterawan itu ialah kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba. Sekiranya kesimpulan ini tidak benar, yakni salah, mengapa hingga kini belum ada seorang sarjana pun yang cuba menjawab dan menolak kesimpulan itu. Walau pun ada usaha untuk meletakkan para sasterawan negara ini di atas takhta keunggulan, tidak ada hujah yang dikemukakan yang membuktikan mereka layak diberi kedudukan tinggi itu. Oleh itu, siapakah mereka, para sasterawan negara ini,  yang sebenarnya?  Siapa mereka? Penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara ke atas karya mereka tidak sedikit pun membuktikan keunggulan mereka, malah laporan yang ditulis oleh Panel itu membuktikan dengan jelas sifat karya mereka yang picisan dan tidak mempunyai kualiti pemikiran yang unggul yang membolehkan mereka diletak lebih mulia daripada para ulama dan cendekiawan yang selama beratus tahun membina tamadun intelektual Melayu melalui persuratan.  Sekarang para sarjana ciritan ini harus menjawab dan menolak dua kesimpulan yang dilontarkan oleh Prof. Syed Naquib al-Attas dan oleh saya sendiri.  Sekarang mereka, para sarjana ciritan ini, tidak boleh mendiamkan diri lagi. Mereka perlu tampil mempertahankan para sasterawan negara ini dan menolak kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquig al-Attas dan kesimpulan saya sendiri.

Izinkan saya membantu mereka memberi jawapan tuntas supaya seluruh tamadun intelektual Melayu tidak menjadi hina dina dengan kehadiran para sasterawan negara ini.  Saya ingin merujuk mereka kepada sebuah buku penting yang ditulis oleh seorang sarjana Eropah, yang telah memeluk Islam 1991,  Matthew L. N. Wilkinson,  A Fresh Look at Islam in a Multi-Faith World: A Philosophy for success through education (Routledge,  London 2015).  Dengan berpandukan kepada idea yang dihuraikan dalam buku ini, para sarjana ciritan ini akan faham mengapa saya menggunakan istilah “genuine literature” untuk menterjemahkan gagasan Persuratan Baru. Mereka akan sedar betapa mereka tidak mempunyai pilihan untuk menolak gagasan Persuratan Baru kerana PB adalah jawapan saya kepada persoalan yang dikemukakan oleh penulis buku ini. Ucapan terima kasih dan penghargaan saya kepada Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir kerana memperkenalkan buku penting ini.  Selamat membaca.

@@@@@

[Rujukan:  Stephen R.C. Hicks, Explaining Postmodernism: Skepticism and Socialism from Rousseau to Foucault  (New Berlin/Milwaukee: Scholarly Publishing, 2004).  Thomas Docherty, ed.  Postmodernism: A Reader  (New York : Columbia University Press, 1993).   Antologi terbaik dari segi kandungan. Lihat terutamannya tulisan Frederic Jameson, “Postmodernism, or the Cultural Logic of Late Capitalism”.  Juga Ihab Hassan, “Toward a Concept of Postmodernism.”  David odge, ed. Modern Criticism and Theory: A Reader  (London: Longman, 1988). Tulisan  Frederic Jameson dan Terry Eagleton patut dibaca.  Hal Foster, The Anti-Aesthetic: Essays on Postmodern Culture  (Seattle, Washington: Bay Press, 1983).  Tulisan Frederic Jameson, “Postmodernism and Consumer Society,”  patut dibaca.  Christopher Norris, The Truth About Postmodernism  (Oxford: Blackwell,  1993 (reprinted 1996).  DanLatimer, ed. Contemporary Critical Theory  (New York: Harcourt Brace Jovanovich,  1989.)  Lihat Frederic Jameson, “The Politics of Theory: Ideological Positions in the Postmodern Debate.”  Walter Truett Anderson, ed.  The Truth About the Truth:  De-confusing and Re-constructing the Postmodern World.  Jean-Francois Lyotard, The Postmodern Condition: A Report on Knowledge  (Minneopolis: University of Minnesota Press, 1984 (English);  9th printing 1993.) 

[Catatan: Saya diberitahu Mana Sikana ada masalah buah pinggang. Sila dapatkan  al-Manna daripada Natural Prebiotik (M) Sdn Bhd.;  12-B Jalan Bangsar Utama 1, Bangsar Utama, 59000 Kuala Lumpur (depan MayBank Complex).  al-Manna bagus untuk buah pinggang.

Kedua, minta murid atau pengikut Mana Sikana betulkan pandangan saya terhadap teksdealisme jika tidak tepat; juga tentang pascamodernisme yang bagi saya Mana Sikana terlalu jauh menyeleweng.  Tanggungjawab bersama untuk membetulkan kesilapan. Terima kasih.]

NOTA PENTING:  Judul asal entri ini ialah, “Pembohongan dalam kritikan sastera Melayu.”  Dalam dunia pascamodernisme, perbezaan antara “pembohongan” (yang dikaitkan dengan penipuan) dan kejujuran (yang dikaitkan dengan kebenaran) tergantung kepada context dan content. Di Malaysia, contoh terbaik ialah kes 1MDB dan derma RM2.6 bilion.  Saya tidak perlu jelaskan, semua orang tahu.  Dunia pascamodern menerima “schizophrenia” sebagai satu ciri penting. Fredric Jameson menulis sebuah buku penting membicarakan poscamodernisme daripada perspektif “schizophrenia”: Postmodernism, or, The Cultural Logic of Late Capitalism (1991).  Kes 1MDB adalah contoh “schizophrenia” dalam politik Malaysia. Banyak lagi contoh lain. Paling terkenal ialah teksdealisme Mana Sikana.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 22/5/2016.




4 comments:

  1. Bagaimana hendak apply postmodernism dalam konteks blog Affandi Hassan? Senang, guna konsep binary opposition (yang diketengahkan oleh Jacques Derrida melalui teori deconstruction-nya). Centre/margin: Centre= the so-called "mutual admiration club" yang tidak akan terpisah dari kritikan Affandi Hassan. The centre in adalah "unconscious" (menggunapakai Freud's psychoanalysis) Affandi, dan kini Affandi perlu resist "mutual admiration club" kerana beliau adalah "margin" nya. Seperti biasa, dalam mana2x discourse, perlu ada resistance of ideology, walaupun mungkin pada pemikiran "conscious" Affandi ini tidak perlu (sebab beliau pernah berkata bahawa kita tidak perlu "unseat" mana-mana fahaman/falsafah pun). Tetapi nampak gayanya beliau perlukan binary discourse ini untuk terus mengetengahkan idea/idea (ataupun bak kata beliau "gagasan"- lebih tepat mungkin gagasan Syed Naquib Al-Attas yang beliau petik disana sini dicampur dan disebatikan maka terciptalah Persuratan Baru) beliau. Caranya? Senang, terus mengkritik sahaja sesiapa yang "berkuasa" (pemegang ideoologi sastera negara) dan mengingatkan pembaca bahawa ada sastera "alternatif" yang berilmu/bermanfaat (disini bolehlah kita advertise sedikit hasil nukilan kita; balai maqamat kah, pujangga melayu kah..dan sebagainya). Tidak berkenan dengan pascamoden? Tidak mengapa, guna hujah yang bersifat "selektif" yang boleh "bolster" pemikiran bias kita (siapa yang mampu lari dari bias bukan?), contohnya memuntahkan berulang kali kritikan Francis Leotard terhadap paskamodenisme.

    Kadang kadang kita terlupa, tapi tak apalah. Kita semua pun manusia, khilaf disini sana. Mungkin kita semua boleh berfikir sejenak-- kebetulan pula ramadhan tiba --- "where do we go from here?" Tiada pemikiran baru pun dari Persuratan Baru, kalau tidak menuding jari ke "mutual admiration club" atau mengimbau kembali cerita silam tentang bagaimana kurangnya "keislaman" sastera kita: A Samad Said, Shahnon Ahmad, Fatimah Busu. Atau betapa silapnya ahli akademik kita menulis buku menggunakan Julia Kristeva, gagasan persuratan baru tidak mampu move on: either we are right or you are wrong. Either your work "berilmu" atau "bercerita'. Nampak tak betapa pascamoden nya pendekatan ini, yakni pendekatan binary opposition? Mungkin pemilik blog ini lebih arif tentang tradisi Islam dan barat, kerana dia suka mengulang ayat2x Heidegger yang sama.

    Mari sejenak berfikir. Bak kata pemilik blog, "lu fikir lah sendiri".

    ReplyDelete
  2. Peliknya komen Anonymous atas ni. Melompat-lompat. Tak macam tulisan Hj Affandi. "Where to go" sebenarnya?

    ReplyDelete
  3. Anon 1, bila pula Tuan Haji guna Lyotard? Beliau guna Frederic Jameson lah. Cuba berhati-hati sikit bila nak mengkritik tu. Apa kaitan arif tradisi Islam dan Barat dengan Heidegger? Aduhai!

    ReplyDelete
  4. Salam. Tidak ada yang pelik bagi yang ikhlas. Komen panjang itu ditulis dengan seluruh kesedaran betapa pentingya ikhlas dalam apa juga perbuatan kita. Apa juga jenis teguran yang kita terima adalah baik, dan tidak mungkin kita dapat jika tidak dizinkan Allah. Itulah caranya orang Islam diselamatkan dari segala kekeliruan. Tidakkah itu satu rahmat?

    ReplyDelete