Wednesday, July 29, 2020

BRAVO…! 1MDB SAH SEBAGAI NARATIF BARU DALAM SASTERA MELAYU!!

Dalam entri yang lepas, saya mulai begini:
Adakah politik, seperti yang diamalkan sekarang, satu kegiatan haram?
Berasaskan kesimpulan ini, kita lihat perkembangan terbaru dalam politik Malaysia.

Bekas PM, anak PM Malaysia ke-2, telah dihukum oleh Mahkamah Tinggi sebagai bersalah dalam kes rasuah besar-besaran dalam penipuan dan korupsi politik dan kewangan terbesar Malaysia.  Orang pertama yang memberi perhatian kepada kes rasuah ini dalam sastera Melayu ialah Mohd. Affandi Hassan, dalam bukunya Hikayat Salim Adil.  Dia memberi nama gaya baru dalam penulisan kreatif itu “Teknik Naratif 1MDB Salim Adil”. (Rujuk entri 19/6/2020.) Kalau anda baca novel satira terbesar Malaysia itu dalam konteks ini, anda akan dapati betapa aspek penipuan itu tidak saja berlaku dalam politik, ekonomi, dalam kegiatan agama terutama dalam konteks pemimpin politik yang menggunakan agama (Islam) sebagai landasan untuk mendapat faedah politik dan prestij dalam masyarakat, dan seterusnya (senarai ini anda boleh tambah sendiri jika mahu).  Dari segi hukum, Dato’ Seri Najib Tun Razak mungkin telah mendapat perbicaraan yang adil dari perspektif undang-undang sekular yang menjadi teras undang-undang Malaysia, tetapi keadilan yang dimaksudkan itu mungkin bertentangan dengan hukum Islam. Apa akan jadi kepada beliau jika digunakan hukum jenayah Islam?  Adakah  beliau akan mendapat keadilan dalam makna dan maksud yang berbeza seperti yang difahami dan dipraktikkan dalam undang-undang sekular. Adakah tangan dan kaki beliau akan dipotong berselang (potong tangan kanan; potong kaki kiri.)  Tidak semudah itu sebenarnya, kerana anda perlu membawa empat orang saksi yang diterima persaksiannya dalam hukum Islam. Siapakah orang itu, yakni saksi itu?  Pertanyaan ini terkena juga kepada hakim yang membicarakan kes itu.  Apakah syarat-sayat wajib yang perlu ada kepada seorang hakim dalam perundangan Islam?  Saya timbulkan persoalan ini untuk menolak sebarang kesangsian terhadap hukuman yang dikenakan ke atas bekas seorang PM. Dalam hukuman itu, tidak langsung diambil kira kebaikan yang diberikannya kepada rakyat dan negara. Berapa ketul agaknya kebaikan itu? Dalam undang-undang moden, istilah lain untuk undang-undang Barat, kebaikan yang dilakukan tidak diambil kira, tidak masuk perhitungan kerana semua kebaikan itu menjadi kejahatan semuanya kerana adanya kesalahan yang dibuatnya yang berhak menjadi asas dakwaan ke atasnya. Itulah yang terjadi kepada bekas PM ini. Mari kita lihat perkara ini dalam konteks perwatakan dalam novel.  Sering disebut, seseorang watak perlu memperlihatkan kebaikan dan kejahatannya, yakni kelemahan dan kekurangannya, kerana dia sebagai watak fiksi pun adalah manusia biasa. Tetapi tidak demikian dalam undang-undang  Barat, yang dengan tegas menafikan semua kebaikan yang telah dilakukan orang yang didakwa. Inilah kebiadaban moden yang menjadi teras undang-undang Barat yang dipakai di Malaysia.  Adakah persoalan yang ditimbulkan di sini sensitif dan haram dibicarakan kerana tidak dibenarkan mengkritik kezaliman undang-undang sekular Barat yang telah diaktakan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat, yang anggotanya semuanya orang istimewa yang tidak pernah melakukan kesilapan, kesalahan dan dosa apa-apa sekali pun. Wah, ini bukan lagi manusia; malaikat pun bukan; jauh sekali Iblis yang kerjanya hanya berbuat onar dan kejahatan.  Siapakah manusia sebenarnya?  Soalan ini tidak boleh dijawab, kerana jika diberi jawapan yang tepat dan padat, tidak ada seorang pun manusia yang sempurna, walaupun dia seorang hakim atau seorang PM atau bekas PM. Perhatikan, betapa hebatnya watak dalam Pujangga Melayu, yang berdiri sebagai manusia yang tetap membuat kesilapan tetapi dengan kesedaran yang jujur untuk mengaku kesilapannya. Watak dalam Pujangga Melayu adalah manusia; tetapi watak dalam politik bukan manusia. Siapakah mereka?

Persoalan ini tidak dapat dielakkan akan ditimbulkan kerana tidak semua rakyat Malaysia sanggup menjadi penjenayah semu dengan mengutuk seorang manusia seperti mereka yang tidak lagi memegang jawatan tertinggi negara sebagai PM.  Ada sesuatu yang tidak kena dalam undang-undang Barat ini. Apakah yang tidak kena itu? Persoalan ini mungkin boleh difahami dengan mudah oleh seorang pengkritik sastera yang salah satu kerja utamanya ialah menganalisis karya rekaan dari segi perwatakan yang terdapat dalam karya itu; tetapi kesedaran itu tidak ada di kalangan orang politik dan manusia biasa yang berpegang kepada undang-undang Barat yang sering kali menafikan hak asasi manusia biasa sekiranya dia dituduh bersalah atau melakukan sesuatu jenayah yang diberi takrifannya mengikut undang-undang Barat yang diaktakan dan diluluskan dalam Dewan Rakyat oleh manusia yang semuanya sempurna belaka, kerana kalau tidak sempurna mereka tidak layak dan tidak berhak menjadi Ahli Dewan Rakyat yang menggubal undang-undang untuk semua rakyat, tetapi bukan untuk mereka sendiri.

Jika kita mengambil kira persoalan ini, kita akan dapati watak yang berada di dalam novel agung Pujangga Melayu adalah manusia; tetapi tidak ahli Dewan Rakyat. Bagaimana boleh jadi begitu?  Jawapannya mudah, jika anda memakai otak yang sihat dan anda seorang yang jujur sebagai manusia; tetapi jika anda seorang ahli politik, anda tidak boleh terima semua kedudukan ini kerana anda berada di luar, sebagai manusia luar biasa. Apakah yang luar biasa itu? Jawapan kepada pertanyaan ini belum pernah diberikan oleh sesiapa pun.  Adakah kita perlu memberi jawapannya sekarang? Jawapan itu memang telah diberikan oleh Hakim yang menghukum Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Puaka 1MDB ini telah memakan diri penciptanya. Kalau anda seorang peneliti sastera Barat, anda akan tahu terdapat watak yang mencipta watak yang kemudiannya membunuhnya. Tahu tidak apakah judul novel itu?  Dalam bahasa Melayu yang baku, pertanyaan itu seharusnya: Tahukah tidak judul novel itu?

Peristiwa 1MDB dalam politik Malaysia adalah tugu yang dibina untuk memperingati erti pembohongan dan pengkhianatan dalam politik Malaysia, yang meliputi semua tokoh politik dari semua jenis parti politik, termasuk yang bukan Melayu. Inilah contoh terbaik apa yang dimaksudkan dengan mobilization of bias dalam politik; oleh itu politik adalah haram dalam Islam kerana asasnya pembohongan dan penipuan, walaupun yang menubuhkan parti yang kononnya berasaskan Islam.


(Nota Penting: Jika anda bukan seorang budiman, anda akan menuduh saya memuji karya sendiri dengan menyebut dua buah karya saya. Apa salahnya? Di mana salahnya? Saya hanya ingin seseorang yang cerdik dan jujur secara ilmiah  memberi hujah mengapa dua buah novel yang saya sebut itu bukan karya agung dalam sastera Melayu. Buktikan hujah anda untuk menjadi panduan penulis dan pembaca karya itu.)

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 29/7/2020.



Monday, July 27, 2020

CABARAN KEPADA PARA ULAMA DAN TOKOH POLITIK MALAYSIA DAN DUNIA

Adakah politik, seperti yang diamalkan sekarang, satu kegiatan haram? Maksudnya, Islam tidak menerima demokrasi dan sistem pilihan raya yang dianjurkan oleh demokrasi kerana demokrasi dan pilihan raya berasaskan pembohongan dan penipuan yang diaktakan menurut sistem undang-undang Barat. Anda mesti faham premis yang dikemukakan di sini sebelum anda memberi atau membuat keputusan bersetuju atau menolak. Bagi orang Islam, persoalan ini penting kerana seluruh amal ibadat mereka akan sia-sia jika mereka menjadikan sistem demokrasi Barat sebagai asas mereka berpolitik, tanpa menyedari dan mengetahui bahawa sistem demokrasi itu diasaskan kepada pembohongan dan penipuan yang dibenarkan dengan maksud untuk menarik minat pengundi untuk memilih calon yang mereka fikir boleh memberi faedah kepada keselesaan kehidupan mereka.  Ini disebut dalam teori demokrasi Barat sebagai mobilization of bias, yang dalam konteks Malaysia diwujudkan dalam manifesto pilihan raya sesebuah parti yang bertanding. Contoh terbaik ialah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diterbitkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad setelah beliau mengaku Wawasan 2020 sudah gagal, digagalkan oleh dua orang PM selepas beliau.

Sudah tiba masanya perkara ini diberi perhatian oleh rakyat Malaysia yang beragama Islam. Bagaimana kedudukan ibadat mereka jika mereka terlibat dalam pembohongan dan penipuan, sekurang-kurangnya percayakan mereka yang menipu dan berbohong itu untuk diangkat menjadi ketua mereka sebagai menteri dan Perdana Menteri.

Masalah ini sekarang sedang didebatkan bila kedudukan PM ke 8 dipersoalkan sebagai PM tebuk atap, yakni yang didapatkan melalui penipuan politik, dan diteruskan dengan segala macam projek yang berunsurkan penipuan itu untuk menarik minat penyokong yang boleh mempertahankan kedudukan PM tebuk atap itu. Dari segi demokrasi yang diamalkan sekarang, PM ke 8 ini tidak mendapat kuasa dalam pilihan raya, malah melalui “pembelian” sokongan dari kalangan para political opportunists yang ramai di Malaysia.  Walau bagaimana pun, persoalan ini tidak wujud dan jika wujud sekali pun ia merupakan persoalan remeh temeh yang ditimbulkan oleh mereka yang tidak mendapat kuasa walaupun mereka berusaha mendapatkannya.  Dalam persoalan penting ini, semua tokoh politik yang berasaskan Islam menerima penipuan dan pembohongan ini sebagai alat politik yang sah, oleh itu sesuai dan serasi dengan nilai-nilai Islam. Keghairahan kepada kuasa politik mendorong mereka melakukan korupsi politik yang amat hebat dan berani dengan menggunakan kedudukan mereka sebagai tokoh Islam.

Saya telah banyak menulis mengenai aspek ini, tetapi tidak mendapat perhatian masyarakat kerana mereka sudah selesa berada dalam dunia penipuan dan pembohongan politik yang sudah dibudayakan di Malaysia.  Semua tokoh politik ini menegaskan bahawa kuasa politik yang mereka dapat adalah sesuai dengan kehendak Islam yang dipraktikkan di Malaysia, dengan memberi bukti dalam contoh bekas seorang Mufti telah diangkat menjadi Menteri Agama yang sah dan sesuai dengan fatwa politik yang diungkap oleh Mufti itu dalam kehidupan barunya sebagai seorang Menteri yang dilantik khusus untuk “menghalalkan” politik tebuk atap ini.  Sekiranya politik tebuk atap tidak wujud sekali pun, kemunculan Mufti ini sebagai ahli politik dan seorang Menteri masih bertentangan dengan Islam. Perkara ini menjadi “halal” dengan adanya fatwa Mufti ini yang tidak dinyatakan, tetapi dilakukan oleh beliau melalui penyertaannya dalam politik.  Seperti biasa, orang Malaysia yang beragama Islam tidak ambil kisah, kerana mereka sudah dibiasakan dengan perilaku haram jadah yang diangkat menjadi perilaku terpuji atas nama politik.

Perilaku haram jadah ini sudah diterima oleh masyarakat Melayu yang mengaku mereka beragama Islam dengan memberi hujah bahawa dalam Islam terdapat konsep syura yang sama dengan demokrasi. Hal ini telah diberi penjelasan yang salah oleh Ketua PAS yang bernama Haji Hadi Awang dalam bukunya mengenai sistem politik demokrasi di Barat dan syura dalam Islam. Kesan saya membaca buku ini amat negatif, tidak tepat dengan sistem politik Barat yang bernama demokrasi itu dan huraian beliau tentang syura dalam Islam pun kabur dan mengelirukan. Tokoh politik yang menggunakan Islam sebagai tunggangannya ini tidak faham istilah dan konsep demokrasi Barat. Dia tidak pernah dengar istilah yang terkenal di Barat, mobilization of bias, yang digunakan dalam demokrasi untuk memujuk pengundi supaya memilih calon tertentu daripada parti tertentu. Konsep mobilization of bias ini tanpa diketahui makna dan matlamatnya digunakan seluas-luas oleh PAS dalam kempen politik mereka. Mereka tidak sedar mereka menggunakan konsep politik demokrasi yang bertentangan dengan konsep syura dalam Islam. Kalau anda membaca buku Haji Hadi Awang tentang demokrasi dan Islam anda dapat merasakan betapa ceteknya huraian beliau tentang konsep demokrasi dalam politik Barat dan bagaimana syura dalam Islam itu bertentangan dengan konsep demokrasi yang berasaskan mobilization of bias itu.

Melalui sistem demokrasi Barat,  masyarakat Melayu tertipu sepanjang hidup mereka dengan memilih tokoh-tokoh politik yang mengkhianati kepercayaan mereka untuk menjadi kaya raya dan berpengaruh dalam masyarakat walaupun mereka adalah golongan penipu yang nyata. Kesan penipuan ini sangat jelas bila kita analisis kemajuan dan pembangunan yang ada di Pantai Timur, yang hingga kini menjadi kawasan terpinggir dari pembangunan dan terus menerus ditinggalkan mundur jika dibandingkan dengan bahagian sebelah Barat Semenanjung.  Ini adalah bentuk kezaliman politik, sosial dan ekonomi yang dipaksakan ke atas rakyat daerah Pantai Timur itu. Tidakkah ini satu perbuatan fasad yang disebut dalam al-Quran?  Saya cabar para ulama untuk menafikan kesimpulan ini, jika mereka bukan ulama palsu yang menggunakan agama untuk mendapat faedah politik dan kekayaan ekonomi dalam kehidupan peribadi mereka.

Kemunculan tokoh politik palsu dan penipu dalam politik Malaysia memerlukan catatan untuk menjadi panduan para pengundi, supaya mereka tidak tertipu dan ditipu setiap kali diadakan pilihan raya. Untuk mencapai maksud ini, kita perlukan satu senarai lengkap mengenai tokoh politik dari semua parti, menceritakan kegiatan mereka dan sejauh mana mereka boleh dipercayai. Untuk mencapai maksud ini, kita perlukan ukuran yang boleh difahami oleh para pengundi, supaya mereka tidak tertipu lagi setiap kali diadakan pilihan raya.  Kita perlu menubuhkan satu badan khusus untuk membuat kerja yang amat diperlukan oleh para pengundi ini, supaya setiap kali diadakan pilihan raya mereka dapat mengenal pasti tokoh yang boleh dipercayai dan yang boleh didekati untuk diberi peringatan supaya tidak menipu dalam kehidupan politik mereka.  Kita mesti menghalang tokoh politik penipu dan pengkhianat ini daripada mendapat kuasa, supaya kekayaan negara dan kehidupan rakyat terjamin. Rakyat juga mahu tahu harta kekayaan para pemimpin mereka sebagai bukti bahawa mereka tidak menggunakan politik untuk mendapat kekayaan. Pada waktu ini kekayaan negara dikuasai oleh segelintir tokoh politik dan konco-konco mereka yang membantu mereka memenangi pilihan raya dan setelah itu mereka diberi segala kemudahan untuk mendapat kekayaan negara. Inilah yang terjadi, inilah hakikat gerakan politik Malaysia. Dan seluruh dunia. Politik dengan itu merupakan satu gerakan yang amat korup dan umat Islam sepatutnya diharamkan daripada menganggotai kumpulan korup ini, yang bergelar parti politik. Memilih pengkhianat dan penipu sebagai pemimpin umat Islam adalah satu dosa besar. Saya cabar para ulama untuk menafikan kesimpulan penting ini.

Seterusnya, bolehkah diberi jaminan para pemimpin yang mengaku mereka tokoh agama ini benar-benar boleh dipercayai, dan tiada seorang pun dari mereka yang korup. Untuk mencapai maksud ini, kita harus memberi definisi yang paling tepat tentang konsep korupsi itu; dalam konteks inilah dicadangkan supaya kita menggunakan konsep fasad yang dipakai dalam al-Quran untuk memberi penjelasan mengapa perbuatan yang menyeleweng ini dilakukan manusia.  Apakah matlamat yang ingin mereka capai melalui kegiatan korup yang mereka lakukan? Dalam politik Barat, korupsi adalah unsur penting yang mesti dilaksanakan dengan bijaksana oleh parti politik, dengan menggunakan retorik tertentu untuk menutup korupsi terpendam itu daripada kelihatan dengan jelas oleh para pengundi.  Contoh terbaik ialah yang berlaku di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah,  seperti contoh yang diberikan dalam buku-buku berikut   (lihat senarai dalam entri 22 Jun 2020).

Telah diterbitkan sebuah buku yang sangat penting dan wajib (wajib di sini dengan maksud sangat digalakkan) dibaca oleh semua ahli politik Malaysia dan para wartawan serta manusia yang berkeliaran dalam badan-badan bebas (?) yang kononnya memerhatikan dengan teliti masalah negara dalam konteks penipuan para penggiat politik dalam usaha mereka mendapat kedudukan dalam pentadbiran negara.  Buku ini mengenai korupsi dalam Parlimen Inggeris. Judul dan pengarang: Sleaze: The Corruption of Parliament, oleh David Leigh dan Ed Vulliamy. (London: Fourth Estate, 1997; dihadiahkan oleh bapa saudara saya, Tan Sri Ahmad Noordin Zakaria, adik ibu saya, Hjh. Zaharah binti Hj. Zakaria. Ibu saya tidak bersekolah, tetapi dia tahu membaca Rumi dan Jawi, termasuk buku-buku dari Indonesia yang tertulis dalam ejaan lama. Semua karya saya dibacanya, termasuk Pujangga Melayu. Al-Fatihah.)

Satu pertanyaan bodoh yang tidak semestinya memerlukan jawapan: Sejauh mana ahli politik Malaysia terlibat dalam rasuah? Adakah ahli Dewan Rakyat semuanya tidak seorang pun yang korup?  Pertanyaan ini dianggap berunsur fitnah, oleh itu sesiapa juga yang bertanya boleh ditangkap dan dihukum hanya kerana melontarkan pertanyaan yang tidak disukai oleh ahli politik. Oleh itu saya ingin membuat penegasan, bahawa dua pertanyaan itu sebenarnya meminta para sarjana membuat penyelidikan teliti mengenai persoalan ini, dan menghasilkan buku seperti buku tentang Parlimen Britain itu.  Dalam keadaan politik yang kita alami sekarang, buku seumpama Sleaze itu sangat perlu diusahakan. Kita berhak tahu sejauh mana ahli Dewan Rakyat kita bersih dari fitnah korupsi itu. Sesiapa juga yang menghalang rakyat dari mengetahui maklumat ini adalah korup dari segi intelektual dan moral, yang demikian akan membawa kepada korupsi berupa kewangan dan salah guna kuasa dan kedudukan rasmi.  Kalau dan andainya ada yang tidak faham maksud penjelasan ini, maka dia tidak saja lemah otaknya, malah dia secara sah berada dalam kumpulan yang korup moralnya.
Dalam konteks ini para ulama perlu tampil memberi pendapat melalui buku tulisan mereka. Satu-satunya buku yang boleh dijadikan bukti ialah karangan Mohd. Affandi Hassan, Hikayat Salim Adil.  Walaupun buku ini sebuah karya kreatif, tetapi isinya mengenai persoalan politik secara umum seperti yang difahami dan dibincangkan dalam masyarakat Malaysia. Saya ingin mengambil kutipan ini untuk perhatian anda semua:  [sila baca dengan teliti Ruang 6 hingga habis (hal. 117-123)].

“Dalam bab bercerita, aku menolak konsep penglipur lara, tukang cerita yang hanyut dalam intertekstualiti yang karut, yang telah berjaya memesongkan ramai sarjana ciritan di negaraku. Aku bercerita dalam konteks suatu wacana berdasarkan konsep ilmu yang benar.  Kamu pernah dengar semua ini, tetapi kamu dapati sukar memahaminya kerana warisan yang mencetuskan idea itu telah terputus daripada kamu, tidak kamu kenali lagi. Semuanya terjadi kerana kamu menolak konsep persuratan.

Kini aku akan ajar kamu satu teknik baru dalam penulisan kreatif yang aku namakan “Teknik 1MDB”. Aku kira semua rakyat Malaysia tahu apakah Projek 1MDB dalam pembangunan negara Malaysia yang kaya ini, yang memungkinkan terciptanya Projek 1MDB. Orang selalu berkata 1MDB adalah cerita korupsi dan penipuan ahli politik untuk menyumbat wang ke dalam poketnya sendiri. Tidak. Bagiku tidak. …”   [anda perlu baca sendiri sampai ke halaman 123 untuk memahaminya.]

Dalam penelitian saya, 1MDB tidak hanya berlaku dalam politik Malaysia, tetapi sudah lama terjadi dalam perkembangan sastera Melayu, bermula sejak tahun 1981 lagi apabila projek Anugerah Sastera Negara diperkenalkan.  Perkara ini sudah saya bincang panjang lebar dalam blog ini, secara khusus dalam buku saya, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden. (Penerbit Wadi al-Irfan, 2019.)  Buku ini tidak dibaca oleh sarjana dan sasterawan picisan dan sarjana sastera yang cetek meraba-raba, oleh itu jadilah mereka pengkhianat intelektual yang terus berada dalam dunia pandirisme, tidak malu dan tidak segan menjeritkan kebodohan mereka yang sesat dalam belantara teori sastera Barat yang tidak pun mereka kuasai dengan mendalam, seperti yang telah dibuktikan dengan jelas dalam buku di atas dan di dalam blog ini.  Kalau anda belum lupa, saya telah menulis tentang pengkhianatan intelektual ini ketika membicarakan dua orang sarjana yang menjadi pensyarah sastera, yang karya mereka yang berasal dari tesis Ph.D. telah mendapat hadiah istimewa dari universiti dan dari badan sastera, padahal yang mereka bicarakan itu jika dilihat dari perspektif ilmu adalah karya picisan saja, diberi hadiah kerana ukuran yang digunakan adalah juga picisan.  Inilah situasi yang kita hadapi sekarang, yang belum berubah dan sedang dipertahankan dengan gigih untuk melindungi sasterawan picisan dan sarjana yang cetek meraba-raba.  Kalau ini bukan pengkhianatan intelektual, apakah nama yang boleh kita panggil terhadap penipuan akademik ini? Supaya kita tidak terheret lebih jauh ke dalam belantara akademik, atau lubuk pengkhianatan akademik dan intelektual,  kita perlu menyediakan ukuran yang tepat dan kukuh dari segi akademik supaya apa pun yang kita buat keputusan, maka keputusan itu tepat dan tidak dapat digugat. Dunia ilmu, dunia akademik, dan dunia perbahasan yang tidak dapat dielakkan perlu dihadapi dalam perbincangan tentang perkara penting dalam kehidupan manusia, perlu dipertahankan dengan benteng penghujahan yang tepat dan boleh diukur pembohongan dan kejituannya. Ini permintaan, dan harapan, yang memang boleh diwujudkan jika kita mahu. Para ulama Islam telah membina berbagai-bagai ukuran yang kemas teguh ketika mengemukakan petua dan keputusan yang bersifat hukum.  Kita pun perlukan ukuran begini dalam kegiatan intelektual dan kegiatan persuratan kita pula.  Ada satu istilah yang sangat indah yang digunakan oleh Imam Abu Hanifah ketika membicarakan masalah fatwa, iaitu istilah istihsan  (memaniskan atau mengindahkan fatwa/hukum). Anda boleh cari maknanya dan maksudnya dari pakar hukum yang ramai di negara kita, dan anda akan kagum dengan istilah ini.  Saya gunakan istilah ihsan ketika membicarakan keindahan bahasa dalam karya sastera, dalam tulisan berjudul, “Keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan”, dimuat dalam buku Adab dan Peradaban: Karya Pengiktirafan untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas (MPH Publishing, 2012).  Saya sendiri mengemukakan konsep bahasa sastera berasaskan konsep ihsan itu dalam novel Pujangga Melayu. Bagus juga jika ada di antara sarjana dan pengkritik sastera kita yang tampil membahaskan  dan menilai novel itu dari perspektif teori sastera Barat dan kemukakan hujah yang mantap untuk memutuskan novel itu tidak bermutu!  Kita tunggu kemunculan tokoh besar ini untuk menafikan adanya keunggulan intelektual dan keindahan bahasa dalam novel agung itu. Bagi saya adalah wajar jika kita mempunyai tokoh besar dalam kritikan sastera yang dengan tuntas menolak Pujangga Melayu sebagai sebuah karya yang indah khabar dari rupa.  Dengan itu tertolaklah semua hujah mengenai kedudukan ilmu dalam penulisan kreatif yang dirumuskan dalam Gagasan Persuratan Baru.  Itulah gagasan yang dipakai untuk menulis novel agung itu.

Sesuai dengan tajuk tulisan ini, bolehkah kita pakai konsep ihsan dalam kegiatan politik di Malaysia?  Kita tunggu jawapan “ulama politik” untuk memberi pandangan kritis mereka.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 26 Julai 2020.
















Thursday, July 23, 2020

SALAKAN ANJING DALAM POLITIK MALAYSIA

Patutlah seorang novelis dari Britain menulis sebuah novel berjudul Animal Farm, cerita tentang Babi yang menjadi pemimpin besar sebuah negara babi. Rupanya negara babi itu memang wujud, dipimpin oleh para babi hutan yang kini berkeliaran di seluruh Kelantan selepas banjir besar 2014. Dari Hulu Kelantan sampai ke Tumpat, babi berkeliaran sebelah menyebelah sungai. Di kampung saya, Kg. Seberang Pasir Mas, ramai sungguh babi hutan yang besar-besar setinggi pinggang orang dewasa berkeliaran di kampung kami, sehingga kampung kami tidak lagi dapat menghasilkan apa-apa jenis sayuran kerana dibaham oleh  babi hutan. Babi hutan ini pun kadang-kadang masuk ke bandar Kota Bharu mencari makan, mengacau umat manusia yang menjadi penyokong PAS selama-lamanya. Tak boleh buat apa, babi itu terlalu ramai. Jadi begitu kerana kerajaan PAS tebang kayu balak tepi sungai, jadi air hujan turun seperti air terjun, menghanyutkan rumah, membongkar jambatan … Banjir  besar 2014 yang membawa babi ke seluruh Kelantan akibat penebangan balak di tepi sungai. Sungguh celaka sesiapa juga yang memberi kebenaran menebang balak ini.  Menurut rakyat Kelantan yang hanya berani membisikkan, inilah kerja PAS yang memerintah Kelantan, cara mudah mendapat wang. Siapakah tauke balak yang jahat itu? Rakyat Kelantan tahu siapa dia, tetapi saya tidak percaya dia berasal dari Singapura. Sesiapa yang betul-betul tahu cerita ini bolehlah beritahu kami semua cerita sebenarnya. Kita hendak tahu mengapa babi hutan kini menjarah seluruh Kelantan, memusnahkan segala tanaman dan berkeliaran di rumah-rumah orang kampung.

Tokoh-tokoh dalam Animal Farm kini berada dalam politik Malaysia, kononnya diberi kuasa oleh rakyat untuk memerintah mereka. Ketua babi dalam Animal Farm diberi nama Napoleon, kerana orang Inggeris amat marah dengan general Perancis yang hebat itu, yang pengaruhnya amat besar dalam tamadun Barat moden.  Hingga kini pun tiada seorang pun tokoh British yang sebesar-besarnya yang dapat menandingi Napoleon; oleh itu cara terbaik untuk menghina Perancis dan Napoleon ialah dengan memberi nama Ketua Babi itu dengan nama Napoleon!

Benarkah Napoleon yang muncul dalam Animal Farm itu terdapat juga dalam politik Malaysia. Siapakah orangnya?  Tokoh itu memang wujud dalam politik Malaysia, oleh itu terpulang kepada anda untuk membuat pilihan anda sendiri. Cuma anda perlu ingat, Napoleon yang dimaksudkan di sini ialah yang terdapat dalam Animal Farm, bukan Napoleon yang dari Perancis. Ini mesti jelas, supaya anda tidak keliru dalam menentukan kemunculan tokoh Animal Farm ini dalam politik Malaysia. Tokoh ini sudah lama bermaharajalela dalam politik Malaysia, yang dengan angkuh menjadikan dirinya sebagai pembina Malaysia Baru, padahal yang berlaku adalah sebaliknya.  Tokoh Animal Farm Malaysia ini kini sudah disisihkan kerana tokoh-tokoh politik Malaysia sudah sedar bahawa manusia yang dari Animal Farm ini mengganggu ketertiban politik dalam negara Malaysia.  Walaupun dia terus berdegil mahu terus berada dalam Animal Farm supaya gelaran Napoleon itu kekal, namun masyarakat politik Malaysia sudah sedar tentang penipuan dan pengkhianatannya dalam politik Malaysia selama ini.

Kemusnahan sudah berlaku di mana-mana dalam negara Malaysia, hasil usaha ketua babi hutan yang menjadikan Malaysia sebuah Animal Farm supaya mudah dikuasai oleh tokoh gila ini.  Tokoh gila yang ketagih kuasa ini masih berusaha untuk mendapat kembali kuasanya sebagai Napoleon Malaysia seperti yang terdapat dalam Animal Farm,  seolah-olah Malaysia tidak mempunyai tokoh  berkaliber seperti Ketua Babi hutan yang kini sedang menggila untuk mendapat kuasa balik setelah kuasa itu dicuri, lebih tepat disentap, oleh seekor tokoh lain yang kini berusaha gigih untuk mengekalkan kuasa curiannya.  Semua ini terjadi dalam politik Malaysia gara-gara kegilaan Napoleon Malaysia seperti yang diceritakan dalam novel Animal Farm itu.  Sampai sekarang tokoh agung Animal Farm Malaysia ini percaya dialah pembina Malaysia Baru yang maju, dengan memiskinkan orang Melayu di Pantai Timur supaya tidak memilih selain beliau dan rakan-rakannya sebagai tokoh Malaysia yang layak berkuasa sebagai pemimpin rakyat. Inilah kesilapan besar orang Melayu, apabila mereka sanggup diperbodohkan dan diperkuda oleh seorang tokoh politik yang menurut Tunku Abdul Rahman seorang pembohong besar yang tidak boleh dan tidak patut dipercayai sama sekali. Amaran telah dibuat, tetapi orang Melayu masih membuntut tokoh yang mereka tahu telah mengkhianati mereka, tetapi mereka tetap “sayang” (?).  Adakah ini masalah psikologi atau masalah kebodohan asasi yang turun temurun di kalangan pengundi Melayu atau orang Melayu secara umum?  Kini orang Melayu digelar dengan gelaran baru oleh tokoh politik yang mereka sanjung, sebagai bangsa yang bacul yang tidak mahukan kemajuan walaupun telah diusahakan oleh kerajaan di bawah tadbirannya. Kenyataan ini sangat pelik, dan jahat, kerana ia merupakan bukti yang nyata tentang penipuan dan pengkhianatan yang dilakukan terhadap orang Melayu yang telah dilakukan oleh tokoh yang mereka hormati dan percayai.

Kita perlukan jawapan yang tepat terhadap persoalan mengapa orang Melayu anggup diperbodohkan dan dikhianati oleh pemimpin mereka? Mereka terus miskin tetapi para pemimpin mereka yang mereka hormati kaya raya dan semakin kaya setiap kali memenangi pilihan raya dan diberi kedudukan?  Nampaknya orang Melayu tidak nampak penipuan dan pengkhianatan yang mereka terima daripada para tokoh politik yang mereka sanjung, yang boleh kita lihat dalam kedudukan ekonomi mereka yang tidak berubah padahal begitu banyak  wang, kononnya, dibelanjakan  untuk memajukan orang Melayu.  Di mana silapnya, atau kesilapan itu memang disengajakan oleh pemimpin atau tokoh politik yang diikuti oleh orang Melayu?  Saya sudah membaca beberapa analisis mengenai persoalan ini, tetapi nampaknya Melayu masih lagi berada dalam keadaan “sarung indeks” yang dibangkitkan oleh Prof. Ungku Aziz lama dulu, ketika meneliti kemiskinan Melayu di Terengganu. Sejauh mana sarung indeks ini telah lenyap dalam kehidupan biasa orang Melayu yang diakui oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad masih terus miskin dan terbiar?  Adakah ini kesilapan pemimpin politik yang telah menipu mereka, atau mereka sendiri tidak mahu berubah?

Kalau tidak ada penipuan, pembohongan dan pengkhianatan, maka itu bukan politik. Di mana saja di dunia ini, kalau seseorang itu menggelar dirinya seorang ahli politik, maka dia akan melakukan tiga perkara itu; malah jika dia tidak melakukannya dia bukanlah seorang ahli politik yang sebenar.  Jika anda ikuti perkembangan politik masa ini di Amerika Syarikat, itulah yang anda akan dengar dan dibincangkan berkali-kali supaya para pengikut, yang akan memberi undi nanti, akan faham peranan mereka.  Inilah teras demokrasi, seperti yang telah dihuraikan dengan mendalam dalam beberapa buah buku yang pernah saya senaraikan dalam blog ini.  Demokrasi adalah alat kapitalis untuk mengangkat wakil-wakil mereka supaya undang-undang yang akan digubal nanti memihak kepada mereka. Tentu saja contoh terbaik ialah yang dilaksanakan dengan gigih sekali di Amerika Syarikat dari dulu hingga sekarang. Di Malaysia juga begitu, seperti yang dibuktikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad. (Baca balik tulisan Dr. Rosli Khan dalam Harakah 14 Mac 2012).

Kerana penipuan dan pengkhianatan ini sudah dijadikan amalan utama dalam demokrasi, termasuk yang dilaksanakan dengan gigih di Malaysia, maka demokrasi sudah dijadikan pelacur politik yang sungguh memuaskan hawa nafsu sesiapa juga yang mendapatnya. Di Malaysia sejak beberapa bulan ini sudah ada istilah baru “kerajaan tebuk atap”, kerajaan “pintu belakang” dan beberapa gelaran lagi yang menjadi bukti bahawa demokrasi ditunggangi seperti pelacur yang menjadi rebutan setiap ahli politik kerana keseronokan yang akan mereka dapat selepas mendapat pelacur demokrasi yang menjadi rebutan semua ahli politik itu, termasuk yang menjadikan Islam sebagai tunggangan untuk mendapat kuasa dan kemewahan.  Seperti pelacur, demokrasi boleh dijual beli, boleh dirasuahkan kepada pengundi yang memang mengharapkan habuan tertentu dalam pertandingan merebut kuasa itu.

Hari ini, 14 Julai 2020, Dewan Rakyat bersidang.  Begitu hebat tuduh menuduh dan kutukan sesama sendiri pada hari pertama Dewan R. Sesiapa yang pernah melihat anjing bertengkar, boleh membayangkan kebisingan itu. Penipu dan pengkhianat besar paling kuat jeritannya dan penafiannya terhadap kejahatan yang telah dilakukannya, padahal dia tahu semua ahli Parlimen tahu  ceritanya. Tetapi cerita itu tidak penting, oleh itu tidak perlu diketahui kerana dalam politik demokrasi yang berasaskan mobilization of bias, tidak ada penipuan yang dimaksudkan, yang ada hanya pujukan supaya pengundi mempercayai mereka.  Dengan itu demokrasi dapat diselamatkan sebagai satu sistem politik daripada sebarang penipuan. Inilah hujah tokoh agama ketika menerima demokrasi sama kedudukannya dengan syura.
NONE






Mohd. Affandi Hassan,

 Petaling Jaya.

Monday, July 20, 2020

USAHA YANG SIA-SIA DAN MEMBUANG MASA

(Sebuah rencana yang wajar difikirkan dengan saksama maksud dan maknanya dalam perkembangan persuratan Melayu.)


            Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional yang diadakan di Port Dickson, 4-6 Ogos 2006, anjuran Pena/DBP, telah berjaya menerbitkan dokumen setebal 591 halaman, diberi judul Persuratan dan Peradaban NasionalTujuan dan matlamat seminar itu ialah untuk merumuskan sejenis dasar baru yang dipanggil Dasar Kesusasteraan Kebangsaan (juga dipanggil Dasar Sastera Nasional; kemudian dibesarkan menjadi Dasar Seni Kebangsaan, dan lain-lain nama yang seiras). Dasar itu tidak dimuatkan dalam buku berkenaan, barangkali belum sempat dibincangkan, atau mungkin juga terlalu banyak pertelagahan dari segi memberi nama, menentukan ukuran yang hendak dipakai, atau boleh jadi juga masih terlalu kabur kerana terdapat jerebu intelektual yang tebal, oleh itu prinsip-prinsip yang hendak dipakai tidak nampak dengan jelas.
            Sesiapa juga yang membaca dokumen ini dengan kritis akan berasa amat terkilan kerana masalah yang hendak dibincangkan tidak dijelaskan dengan sempurna dan terang. Apa sebenarnya yang menjadi masalah? Tidak cukup hanya dengan berkata sambil lewa bahawa sastera Melayu dipinggirkan, diketepikan, tidak diberi tempat yang setaraf dengan sains, sehingga memerlukan sebuah dasar. Siapakah yang memerlukan dasar itu? Sebagai seorang penulis, saya tidak perlukan apa-apa dasar untuk menjadi panduan saya. Panduan itu terdapat dalam tradisi Islam, tradisi Melayu, selain sudah disimpulkan dengan kemas dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Jadi masalahnya bukan tidak ada “dasar”. Masalahnya “dasar” itu tidak mahu diikuti, malah sering kali dimusuhi dan ditentang membuta tuli. Jadi masalah kita bukan masalah dasar, tetapi masalah ilmu.
            Kerana masalah ilmu ini tidak beres, maka pelaksanaannya menjadi masalah besar. Masalah pertama, pelajar sastera di universiti terdiri daripada kumpulan pelajar yang kurang pintar. Yang pintar-pintar dimasukkan dalam aliran sains. Hal ini terjadi kerana pembuat dasar pendidikan kita terdiri daripada orang yang keliru konsep ilmunya, oleh itu mereka tidak sedar bahawa yang mereka lakukan melalui dasar pendidikan ialah meruntuhkan peradaban, bukan membinanya. Peradaban bermula dari manusia yang berfikir, dan ini hanya terdapat di kalangan ahli fikir, penulis, ahli sejarah, ahli bahasa (pakar nahu), ahli matematik. Dalam peradaban Islam, yang memberi wajah kepada peradaban itu ialah para ulama, ahli sejarah, ahli nahu, ahli falsafah, ahli matematik, dan para penulis yang dididik oleh tokoh-tokoh dalam bidang itu. Dasar utama sesebuah peradaban ialah bahasa dan matematik, bukan sains dan teknologi. Oleh itu, kita perlu bincangkan dua dasar utama pembinaan tamadun ini. Tokoh yang layak membicarakan aspek ini ialah seorang pakar dalam sejarah intelektual, yang boleh berbicara dengan meyakinkan bagaimana bahasa dan matematik memainkan peranan yang definitif dalam pembinaan tamadun manusia. Sains dan teknologi wujud setelah dua bidang ini dikuasai, bukan sebaliknya. Para sasterawan, pengkritik sastera dan sarjana yang mengajar sastera perlu jelas tentang perkara ini, kerana inilah dasar peradaban.
            Di mana letaknya sastera? Sastera yang bermutu hanya akan lahir daripada penulis yang mahir menggunakan bahasa, dan mahir pula menggunakan konsep, pemikiran, dan logik. Pengajaran sastera di Malaysia dipermudahkan begitu rupa dengan memberi penekanan kepada aspek cerita dan pembinaan cerita yang sering kali tidak masuk akal, sehingga akhirnya karya sastera menjadi beku, kaku, gersang, membosankan, dan sangat cetek analisisnya. Cerita-cerita yang cetek dan dangkal seperti dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan atau Seorang Tua di Kaki Gunung diberi pujian tinggi, dijadikan teks dalam pengajaran sastera, walaupun ceritanya bertentangan dengan akal sihat. Pengajaran sastera di Malaysia menjadi sejenis proses songsang untuk mengajar murid-murid menjadi bodoh, bukan mencergaskan pemikiran mereka. Ini terjadi kerana penilaian yang dibuat tidak berasaskan konsep ilmu yang benar. Kalau anda mahukan buktinya, lihatlah bagaimana sastera kita dinilai, seperti yang dapat dilihat dalam Wacana Novel Abad 20 anjuran DBP (Disember 2005); juga penilaian yang dibuat oleh panel Anugerah Sastera Negara. Merekalah yang jadi penghalang perkembangan pemikiran dalam sastera, yang membantut kemajuan dalam penulisan kreatif. Para penilai ini keliru dalam konsep ilmu dan diragui cita rasa sasteranya. Bagaimana orang-orang ini boleh merumus dasar sastera jika merekalah yang menjadi penghalang pembinaan sastera yang berteraskan ilmu yang benar? Tidak mungkin lahir dasar yang baik daripada golongan yang keliru ini.
            Jadi bereskan dulu konsep ilmu. Tetapi inilah yang ditolak oleh sarjana, pengkritik dan sasterawan. Mereka mengejek apa juga yang mereka anggap sebagai pandangan yang bersifat preskriptif (hal. xiii, Pengenalan) ketika menyinggung gagasan Persuratan Baru; tetapi mereka menerima dan mendesak supaya diterima apa yang mereka sebut Dasar Kesusasteraan Nasional, yang seratus peratus bersifat preskriptif itu. Dolak-dalik begini memperlihatkan sikap mereka yang anti-intelektual, yang berasa sangat pandai, tetapi sebagai sarjana tidak berupaya mengkritik sebuah gagasan cetek sekalipun seperti gagasan Persuratan Baru. Keengganan untuk berbahas secara rasional dan akademik tentang masalah ilmu ini membuat golongan anti-intelektual ini berebut-rebut memperagakan sikap negatif mereka terhadap ilmu, tanpa sebarang usaha bersungguh-sungguh dan jujur untuk memahami pandangan orang lain yang mereka anggap remeh. Apabila sarjana meremehkan ilmu, lebih-lebih lagi jika sarjana itu berada di universiti sebagai pengajar, maka hasilnya ialah kehilangan adab. Bagaimana orang-orang seperti ini boleh bercakap tentang peradaban?
            Perbincangan tentang “peradaban” menjadi begitu cetek dan keliru apabila soal pokok tentang konsep ilmu yang benar itu diketepikan. Perhatikan pemahaman mereka tentang konsep “persuratan” dan “kesusasteraan”. Sekali lagi mereka keliru, tidak dapat membezakan dua konsep penting yang menjadi tajuk seminar mereka. Paling baik yang mereka dapat berkata tentang dua konsep ini ialah: “Soal nama, sama ada kesusasteraan atau persuratan, boleh difikirkan semula kerana kedua-duanya membawa makna yang bertindih dan berbeza sekali gus” (hal. 522). Jika itulah pendirian penganjur, maka apa gunanya diadakan seminar tentang “peradaban dan persuratan” jika tajuk itu tidak mahu dibahaskan dengan mendalam dan bertanggungjawab? Mengapa mesti difikirkan semula jika seminar itu memang diadakan untuk memikirkan persoalan itu? Akhirnya yang digembar-gemburkan ialah soal-soal remeh-temeh di sekitar “peminggiran” sastera dalam pendidikan dan kecilnya ruang sastera di akhbar; atau penerimaan masyarakat (dengan andaian, sastera Melayu tidak bermutu dan tidak bersifat kebangsaan jika diragui dan tidak diterima oleh orang bukan Melayu, seolah-olah merekalah yang menentukan sifat kebangsaan sastera tersebut); atau tentang perlunya meniru teknik Barat untuk memastikan karya itu berupaya menjadi “mahakarya”. Semua preskripsi ini akhirnya disimpulkan dalam sejenis keangkuhan yang agak biadab apabila dengan beraninya ditegaskan bahawa sastera Melayu itu terkurung  dalam tradisi Melayu-Islam, oleh itu tidak akan maju-maju (hal. 280). Jika sebuah seminar yang begitu mahal ongkosnya, yang mengumpulkan begitu ramai golongan intelektual kelas pertama bertaraf dunia, pada akhirnya mengusulkan tradisi Melayu-Islam itu menjadi penghalang kemajuan, yang “mengurung” sastera Melayu dalam dunianya yang sempit dan terasing, oleh itu harus “dipecahkan” dengan mewujudkan apa yang dinamakan “sastera kebangsaan” (dan Dasar Kesusasteraan Kebangsaan yang menjadi payungnya), maka seminar Pena/DBP ini tidak saja hanyut begitu jauh dalam khayalan liar, tetapi menolak hakikat sejarah dan keadaan semasa yang ditegaskan dengan jelas dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Tentulah sangat menghairankan, dan sukar difahami, apabila seorang sarjana tidak tahu menahu tentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan (yang barangkali masih terpakai, atau sudah diketepikan?), yang dengan tegas menetapkan bahawa kebudayaan kebangsaan itu berteraskan kebudayaan rantau Nusantara, dengan Islam sebagai unsur penting. Adakah Dasar Kesusasteraan Kebangsaan bertujuan mengetepikan Dasar Kebudayaan? Jika kesimpulan yang disebut tadi boleh dipercayai (mengapa penulisnya perlu berbohong?), maka nampaknya begitulah.
            Kekeliruan dan kekacauan seperti ini terjadi kerana tidak dibahaskan dengan mendalam konsep “persuratan” dan konsep “sastera” tadi. Jika hal ini telah jelas, tidak akan timbul kutukan bahawa sastera Melayu terkurang dalam kepompong Melayu-Islam yang menjadi sebab kemundurannya, kerana sejarah, seperti yang dibuktikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya, telah membuktikan tanpa syak lagi bahawa Islam itulah yang telah mentakrifkan dan menjadi umbi kemajuan orang Melayu dalam semua bidang kehidupan mereka. Apakah alasan Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional untuk menolak hakikat sejarah ini?
            Memahami perbezaan antara konsep “persuratan” dengan “sastera”  adalah penting, kerana konsep “sastera” itu tidak saja baru, tetapi secara kognitif dan praktik berselirat dengan kekeliruan dari aspek epistemologinya. “Sastera” bukan bahasa yang indah, seperti yang dijeritkan oleh para sasterawan dan sarjana sastera; tetapi tidak lain daripada lubuk kotor yang penuh bau hanyir, busuk, hancing, masam dan sebagainya. Hal ini akhirnya disedari oleh SN Shahnon Ahmad, yang mengaku kesilapannya dan memohon maaf daripada pembaca yang telah tertipu dengan karya sastera ciptaannya (rujuk Mingguan Malaysia, 12/3/2006). Sebaliknya konsep persuratan itulah yang harus diterima dan dijadikan asas pembinaan tamadun, seperti yang telah dibuktikan dari sejarah. Seminar ini telah mengambil langkah dan keputusan yang betul dengan menggunakan istilah persuratan, tetapi semuanya menjadi bercelaru apabila istilah itu dipakai seolah-olah seerti dan sama dengan istilah kesusasteraan. Kekeliruan ini perlu dibereskan. Yang paling senang dilakukan oleh sesiapa saja yang ingin membahaskan perkara ini dengan mendalam dan bermakna, ialah dengan mengkritik gagasan Persuratan Baru, yang memang dijana untuk menjadi panduan dalam penulisan kreatif Abad 21. Wallahu a’lam.

Petaling Jaya,

4 September 2006.

Monday, July 13, 2020

YANG FAKUS DAN YANG FAKTUS DALAM KRITIK SASTERA MELAYU


Mulai sekarang saya ingin perkenalkan dua perkataan baru yang diambil daripada bahasa Inggeris. Perkataan fakus berasal daripada perkataan Inggeris fake; manakala  perkataan faktus daripada perkataan fact. Perkataan fact itu telah dijadikan Melayu dengan sebutan fakta. Boleh juga digunakan fakta jika anda mahu; tetapi saya fikir faktus lebih power dari segi retorik. Semua perkembangan ini timbul gara-gara munculnya Hikayat Salim Adil dalam sastera Melayu.

Hikayat Salim Adil ialah sebuah karya retorik yang first class, yang berada dalam kelasnya yang tersendiri. Tak mungkin seorang sarjana ciritan yang suka menulis cerita menulis sebuah lagi Hikayat Salim Adil tiruan. Tetapi kerana hikayat ini bermodelkan Persuratan Baru, maka satu-satunya sarjana yang boleh menulisnya ialah Prof. Dato’ Rahman Shaari, yang mengatakan PB itu mudah, beratkan ilmu ringankan cerita. Katanya, jika beliau terdorong, beliau boleh menulisnya dengan mudah.  Sekarang beliau masih belum terdorong, masih menunggu ilham untuk menulis sebuah karya retorik yang lebih canggih daripada Hikayat Salim Adil. Tetapi saya suka memberi amaran, menulis Hikayat Salim Adil bukan kerja senang, yang boleh dibuat bila terdorong. Anda perlu menguasai segugus ilmu retorik dan ilmu-ilmu bantu (sekarang istilah ini muncul kembali) yang sesuai. Apakah ilmu bantu yang sesuai itu tertera dalam Hikayat Buyung Lurus.  Kalau anda tidak dapat mengesannya, buktinya anda tidak tahu apakah maksud ilmu bantu itu. Jangan jadi seperti pemburu sial yang berburu di padang datar!

Adakah anda perlu berguru untuk menulis Hkayat Salim Adil tiruan?  Bagi seorang tokoh intelektual dan tokoh akademik “tersohor” (aku sungguh tidak suka menggunakan perkataan fakus ini?) seperti Dato’ Prof. Rahman Shaari  yang telah menulis beratus sajak, mungkin beratus cerita pendek, dan pastilah sudah menulis berpuluh-puluh buah novel (sebuah pun belum saya baca kerana sukar mendapatnya di pasaran, selalu out of print), menulis sebuah karya persuratan tentulah mudah bagi beliau. Cuma, yang menjadi kemusykilan, mengapa mesti menunggu digatali rasa terdorong? Mengapa tidak terus menulisnya? Sebenarnya tidak semudah yang dianggap oleh profesor tersohor ini. Anda tidak perlu mengada-ada untuk membuktikan kemampuan intelektual dan kemampuan kreatif anda; terus saja menghasilkannya. Tetapi sekarang sangat sukar, kerana Hakayat Salim Adil tercokol di depan batang hidung anda. Jika anda menulis sesuatu yang fakus, yang rendah kualitinya daripada Hikayat Salim Adil, anda akan diketawakan oleh katak kembung sastera Melayu. Seperti yang saya selalu tegaskan, kemunculan Hikayat Salim Adil membuat penulis kentut-kentutan serba salah, tidak berani menulis sekiranya tidak pasti dapat menulis karya yang jauh lebih baik daripada Hikayat Salim Adil. Sebenarnya boleh, jika anda ada ilmu dan menguasai retorik penulisan dengan baik dan punya kemampuan kreatif yang tinggi. Sudah ramai yang mempunyai syarat-syarat itu; tetapi kedudukan  dan kemampuan Prof. Dato’ Rahman Shaari masih menjadi persoalan kepada beliau. Saya tidak boleh berkata apa-apa kerana saya tidak membaca karya beliau, belum terdorong. So sorry for that!

Sebenarnya banyak sekali yang mengarut dalam sastera Melayu, terutama dalam kritikan sastera. Saya sering menyebut contoh penilaian terhadap Naratif Ogonshoto yang terang-terang  mengarut, bullshit, dan tidak ada kualiti akademik yang biasa-biasa sekali pun.  Jangan gopoh, seorang teman memberi amaran.  Kertas bullshit oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang mendapat hadiah  berharga dua ribu itu sudah menjadi klasik dalam kritikan sastera Moden, yang telah mencetuskan “teori kerancuan sastera” yang menjadi asas untuk menilai Naratif Ogonshoto. Tiada siapa pun boleh menafikan kenyataan ini, oleh itu silap besar jika kertas yang berkualiti akademik tinggi itu dijadikan bullshit saja.  Dalam standard yang dipakai dalam kritikan sastera Melayu argumen ini betul, kerana itulah dipilih sebagai esei terbaik oleh para juri.  Perkara ini hanya menjadi masalah apabila “teori kerancuan sastera” bikinan Dr. Muhammad Saleeh Rahamad itu digunakan untuk menilai Hikayat Salim Adil.  Dua perkara akan terjadi: pertama, Hikayat Salim Adil kelihatan begitu kerdil dan bodoh kerana terlalu keras mempertahankan kualiti kreatif dan kualiti pemikiran dalam karya kreatif.  Teori “kerancuan sastera” itu sesuai untuk karya picisan, seperti Naratif Ogonshoto yang dari segi pemikiran amat jelas Pak Pandir atau Si Lunchai lebih cerdik. Hujah-hujahnya telah banyak dilemparkan dalam blog ini, sehingga akhirnya sampai kepada kesimpulan Naratif Ogonshoto itu sebuah karya nihilis.  Siapa yang boleh menafikannya? Tidak ada. Dua perkara dia perlu lakukan jika dia mahu menafikannya. Pertama, dia mesti jelaskan apa makna dan maksud nihilisme dalam era pascamodernisme. Kedua, dia harus mengemukakan hujah bahawa unsur sadisme, nihilisme, sensasi, dan macam-macam lagi yang telah dibincang dalam beberapa entri blog ini, semuanya tidak terdapat dalam novel agung sepanjang zaman itu. Apakah nilai-nilai murni yang ditonjolkannya? Adakah benar novel ini memberi keutamaan kepada perwatakan seorang Mafia? Selepas itulah baru anda boleh kemukakan kesimpulan anda, tetapi tidak sebelum penjelasan itu diberikan secara akademik.  Let me tell you, tidak mudah untuk melakukan kerja akademik seberat itu, kecuali jika anda seorang sarjana kelas pertama yang betul-betul kelas pertama!  Jika kelas pertama itu dalam bentuk kerancuan idea, maka … (anda sendiri yang habiskan ayat ini!).


Kembali kepada “teori kerancuan sastera” dan kedudukan Hikayat Salim Adil dalam penilaian berasaskan teori kerancuan sastera. Sehingga Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan kawan-kawannya muncul dengan penghujahan yang konkrit yang mengatakan Hikayat Salim Adil itu belum cukup gila untuk diberi kedudukan tinggi dalam “teori kerancuan sastera”,  maka yang akan kelihatan dengan jelas sifat tidak siumannya ialah “teori kerancuan sastera” itu, bukan  Hikayat Salim Adil yang tetap utuh sebagai sebuah karya besar dalam persuratan Melayu. Let me tell you, tidak mudah untuk menumbangkan Hikayat Salim Adil dalam gelanggang ilmu, jika anda sendiri hanya boleh berbangga dengan sifat-sifat pandirisme yang dijadikan arus perdana oleh kawan-kawan anda yang sejenis dengan anda.

Sekarang anda boleh lihat dengan jelas mengapa saya gunakan perkataan fakus dan faktus dalam teori sastera Melayu, dalam kritikan sastera Melayu. Kalau masih kabur dan ragu-ragu, panggillah Pak Pandir dan Si Lunchai untuk memberi penjelasan akademik yang pasti akan memuaskan anda.


Mohd. Affandi Hassan
Petaling Jaya, 11/12/2017.


Wednesday, July 8, 2020

BETULLAH MELAYU BODOH, SENANG-SENANG DITIPU 22 TAHUN CAMPUR 2 TAHUN LAGI JADI 24 TAHUN PENGKHIANATAN

Kesilapan terbesar, dan paling bodoh, yang pernah dilakukan orang Melayu ialah apabila mereka menyokong dan memberi peluang kepada seorang manusia bernama Mahathir Mohammad (kemudiannya bergelar Tun) untuk menjadi pemimpin mereka dalam UMNO. Tunku Abdul Rahman telah memberi amaran bahawa Mahathir Mohammad adalah seorang pembohong besar, tetapi nampaknya tiada siapa memberi perhatian kepada amaran Tunku. Akhirnya seluruh orang Melayu dicucuk hidung oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad, digiring ke sana ke mari untuk membuktikan beliau mendapat sokongan Melayu. Hanya baru sekarang mereka sedar mereka telah ditipu selama 22 tahun plus 2 tahun kerana menerima manusia bernama Mahathir Mohammad itu menjadi pemimpin mereka. Segala-galanya telah terlewat, kemusnahan terlalu banyak dilakukan oleh orang yang bernama Mahathir ini. Kelantan dan seluruh negeri Pantai Timur ditinggalkan terbiar, malah ketika orang ini sedang memuncak pengaruhnya, dia menindas kawasan PAS ini untuk mengajar orang Melayu supaya tidak menyokong PAS. 

Yang paling celaka tentang sesiapa juga yang bergelar manusia yang menjadi pemimpin ialah semua keputusan yang dibuatnya adalah untuk dirinya, untuk kemegahan dirinya supaya diberi gelaran sebagai seorang pemimpin yang hebat. Itulah pegangan Mahathir Mohammad, yang akhirnya berakhir dengan penipuan demi penipuan.  Jika anda mahu tahu cerita sebenar tentang manusia ini, bacalah analisis dan ulasan dalam YouTube yang diberikan dengan terperinci oleh Jufazli Shi Ahmad. Anak muda ini perlu diberi perhatian kerana usahanya memberi maklumat penting tentang penipuan tokoh-tokoh politik yang kesemuanya menjadikan penipuan sebagai panduan mereka untuk mendapat kejayaan politik yang tidak kekal dan yang pasti akan menjadi kutukan masyarakat sebaik saja masyarakat tahu tentang pengkhianatan tokoh-tokoh politik ini.  Yang menarik perhatian ialah tokoh-tokoh politik yang menggunakan Islam sebagai teras politik mereka sama jahatnya dengan tokok politik sekular yang memang sepanjang hidupnya hanya mengumpul harta untuk memperkaya diri dan para kroni serta kaum keluarga terdekat.  Berapakah jumlah kekayaan yang dipunyai Tun Dr. Mahathir Mohammad anak-beranak?  Walaupun mereka simpan wang mereka di Bank of Israel di Singapura, Jufazli Shi Ahmad boleh memberikan anda  nombor akaun orang kaya Malaysia ini. Dalam politik, mencuri dan menipu adalah kewajipan penting seorang tokoh politik yang ingin berjaya. Tidak ada pengecualian, kecuali jika ahli politik itu seorang pemimpin tulen yang berjuang untuk membela rakyat. Jelaslah Tun Dr. Mahathir anak-beranak tidak boleh digolongkan dalam kumpulan ini. Tokoh politik yang menjadikan agama sebagai unta mereka pun melakukan perkara yang sama. Kemahiran berpolitik bukan untuk mendapat tempat istimewa di akhirat, sebaliknya untuk mendapat kejayaan cemerlang di dunia, terkenal dan dikagumi para penyokong.  Contohnya ramai di Malaysia, dan anda tentu tahu siapa mereka.

Tun Dr. Mahathir Mohammad dengan jujur telah memberitahu kepada kita semua bahawa beliau telah berbohong dalam kempen pilihan raya 2018, kerana dia dengan jujur mengaku dia tidak yakin akan menang. Kejujuran untuk berbohong dan mengaku dengan jujur pula seseorang ahli politik berbohong, adalah satu tindakan yang amat dikagumi oleh ahli politik dan para pengundi yang memberi kemenangan kepada pembohong tadi.  Kata Tun Dr. Mahathir Mohammad degan jujur, bayaran toll tidak boleh dihapuskan walaupun telah dijanjikan, kerana wang yang dikutip diperlukan untuk memelihara lebuh raya itu tidak rosak. Katanya, wang itu digunakan untuk kesejahteraan rakyat yang menggunakan lebuh raya itu.  Bolehkah kita berkata, ahli politik yang dengan jujur mengaku dia berbohong, kejujurannya itu akan membawanya ke syurga? Tetapi, siapakah di antara ahli politik yang percayakan adanya syurga dan neraka? Walaupun mereka sering berkata kepada lawan mereka, You can go to hell!

Dengan itu para pembohong ini akan terus menang dan menjadi tokoh besar yang menguasai pentadbiran negara, dan layak diberi bintang kehormatan yang dikeluarkan oleh negara.  Demikianlah pembohongan memainkan peranan penting, malah peranan utama, dalam percaturan politik dan sesiapa juga yang bijak berbohong akan diberi kedudukan istimewa sebagai tokoh negara yang menguasai pentadbiran negara.  Dalam politik, seseorang yang pandai berbohong akan diberi dan mendapat kedudukan mulia dalam negara dan di mata rakyat. Tetapi di sini terjadi satu keanehan yang agak lucu. Jika itulah kedudukannya, mengapa seseorang yang kalah didakwa telah menipu dan rasuah? Sekiranya menipu dan melakukan rasuah itu sebahagian daripada tindakan politik yang perlu dilaksanakan dengan jujur, mengapa pula para penipu dan perasuah didakwa di mahkamah jika mereka kalah? Itulah yang lucunya…  Lebih lucu lagi, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang dengan jujur mengaku dia berbohong untuk menang pilihan raya, tidak pula diseret ke mahkamah. Demikianlah untungnya sekiranya anda muncul sebagai seorang tokoh yang menang. Anda tidak akan didakwa kerana telah melakukan penyelewengan dan pembohongan. Itulah hakikat politik yang membuat politik itu sangat menarik.  Inilah antara keistimewaan yang dimiliki oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad dalam politik Malaysia.

(Catatan: Dalam beberapa entri yang lepas, saya telah memberi beberapa judul buku mengenai persoalan ini. Sesiapa juga yang berminat boleh rujuk entri berkenaan. Antaranya buku The Democratic Facade.)

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 7 Julai 2020.