Friday, May 1, 2020

PERJUANGAN UNTUK MENCERDIKKAN BANGSA MELAYU

Tajuk ini nampaknya macam hebat; tetapi golongan intelektual Malaysia tertawa lucu membaca tajuk ini, yang menurut mereka ketinggalan zaman. Menurut mereka, Melayu sudah maju sejak seribu tahun dahulu, sebelum mereka memeluk agama Islam. Ini termaktub dalam sejarah, baik yang dapat dibaca dalam sejarah Malaysia, lebih-lebih lagi dalam sejarah Kemboja. Oleh itu, kata mereka, Melayu sudah tahu mereka sudah maju, dan tidak perlu dimajukan lagi. Titik (full stop!)

Bolehkah kita bertanya, Maju dalam konteks yang bagaimana? Sekali imbas, dalam bentuk satira, saya menulis cerita pendek “Sasterawan Negara William Shakespeare”, dengan kesimpulan yang cukup tajam. Saya sudah terbitkan karya bertarikh 2002 itu dalam blog ini, oleh itu jika anda berminat dan hendak tahu apakah maksud saya, boleh baca cerita pendek itu. Kalau tidak, anda tidak perlu bersusah payah menyusahkan diri. Saya sebut perkara ini untuk memudahkan kita memberi tafsiran yang agak tepat apakah yang kita maksudkan dengan “kemajuan” itu.  Sebahagiannya telah saya huraikan dalam beberapa buah buku saya, yang orang tidak berminat hendak membacanya, terutama dari kalangan para sarjana yang menganggap mereka adalah golongan cerdik pandai, oleh itu tidak perlu membaca tentang sesuatu yang mereka anggap karut, seperti konsep Persuratan Baru.  Ketakutan mereka kepada Persuratan Baru sudah sepatutnya, kerana PB menolak projek sasterawan negara, berasaskan konsep ilmu yang benar yang memberi kaedah baru dalam penulisan kreatif dan kritikan sastera. Kaedah ini menolak konsep dan praktik kritikan sastera Barat kerana teori sastera Barat adalah teori yang tidak dapat memberi penegasan konkrit apakah yang dimaksudkan dengan karya sastera yang baik, apakah ukuran yang dipakai, dan adakah ukuran itu hanya terbatas kepada karya sastera Barat saja.  Bukti terbaik mengenai ini ialah Hadiah Nobel Sastera, yang hanya memilih karya Barat.

Walaupun bahasa Melayu digunakan oleh 330 juta orang Melayu, akademi yang memilih sasterawan yang layak menerima Hadiah Nobel Sastera tiada seorang pun tahu bahasa Melayu (satu ketika dulu ada seorang ahli yang tahu bahasa Hindi oleh itu ada yang boleh membaca karya Gitanjali dalam bahasa asal; selain itu penulis kumpulan sajak ini menterjemahkannya sendiri ke dalam bahasa Inggeris.) Hadiah Nobel Sastera adalah lambang rasisme dalam seni sastera yang paling dipertahankan oleh Akademi Sweden yang memilih pengarang yang bagi mereka layak diberi Hadiah Nobel Sastera. Yang layak itu hanya dua kumpulan: mereka mesti berasal dari Eropah; atau mereka mesti memusuhi Islam. (Ada dua orang Islam yang sudah dimurtadkan oleh para ulama, satu dari Mesir dan satu lagi dari Turki yang menerima Hadiah Nobel Sastera.) Dua orang penulis Islam yang anti Islam ini diberi hadiah kerana jasa mereka menentang Islam, bukan kerana karya mereka setaraf dengan karya Barat. Sila baca mengenai perkara ini dalam terbitan Akademi Sweden yang membicarakan Hadiah Nobel Sastera ini.

Para sarjana sastera Malaysia menegaskan, tanpa sebarang huraian ilmiah, bahawa ukuran yang dipakai oleh para sarjana Barat itu bersifat universal, oleh itu boleh dipakai dengan selamat untuk menilai karya Malaysia. Bagaimana pendapat yang bodoh dan karut ini boleh muncul di kalangan sarjana sastera Malaysia tidak menghairankan, kerana mereka, yakni para sarjana sastera itu, telah memilih untuk menjadi pengikut teori sastera Barat kerana bagi mereka itulah jalan selamat, terutama sekali apabila mereka berada dalam seminar sastera di luar negeri. Inilah kecelakaan ilmu yang perlu dikutuk, kerana kita tidak boleh terima kedudukan para sarjana ini hanya sebagai burung kakaktua, memuntahkan segala macam teori Barat yang mereka tahu secara sepintas lalu, tidak membahaskannya dengan kritis berasaskan kedudukan ilmu yang benar dalam perkembangan intelektual di kalangan sarjana Islam.  Adakah mereka bersikap anti Islam? Barangkali jawapan yang lebih baik ialah kecetekan ilmu mereka dan kefahaman mereka yang juga cetek tentang teori sastera Barat telah mendorong mereka untuk memperagakan kebodohan dan kecetekan intelektual mereka dengan bergantung pada teori sastera Barat. Tentulah menarik jika mereka dicabar untuk menilai novel Pujangga Melayu dari perspektif teori sastera Barat. Kita tunggu bagaimana mereka hendak menyahut cabaran ini, yang jika dibiarkan tidak berjawab akan meletakkan mereka dalam kandang para sarjana picisan yang bangga bergelumang dalam teori sastera Barat, sesat meraba-raba dalam belantara kebodohan yang sangat memalukan. Mereka boleh mengembalikan kedudukan mereka sebagai sarjana dengan mengkritik Pujangga Melayu dan menolaknya sebagai hanya sebuah karya picisan yang ditolak oleh teori sastera Barat yang menjadi pegangan mereka.  Mereka boleh kelihatan cerdik dengan menolak Pujangga Melayu sebagai sebuah karya yang berserabut dengan kecetekan mengenai sastera Barat yang bagi mereka telah meletakkan ukuran yang universal dalam penulisan kreatif.

Pandangan kritis yang bersifat satira ini memberi mereka ruang untuk mengkritik Pujangga Melayu, Hikayat Buyung Lurus, dan Hikayat Salim Adil yang mereka tolak sebagai karya sastera, tetapi tidak juga karya Persuratan yang konsepnya mereka tolak kerana tidak menerima sasterawan negara sebagai tonggak sastera Melayu moden. Mereka tidak pernah berada dalam huru-hara intelektual sebelum munculnya Gagasan Persuratan Baru, dan cukup selesa dengan teori sastera Barat yang memberi mereka konsep-konsep yang mereka sanjung dan gunakan dalam membuat penilaian mereka dalam kritikan sastera. Inilah sikap yang saya cabar untuk mereka gunakan bagi menilai Pujangga Melayu, kerana kita hendak lihat sejauh mana ukuran yang disediakan dalam teori sastera Barat itu memberi hujah yang mantap yang boleh digunakan untuk menilai karya para sasterawan negara dan sekali gus digunakan untuk menolak Pujangga Melayu yang tidak mempunyai nilai-nilai sastera yang mereka jadikan ukuran ketika menilai karya para sasterawan negara.  Saya sudah melontarkan cabaran ini sudah lama, tetapi hingga sekarang para sarjana sastera dan para pengkritik bersikap lembu kenyang, tidak ambil kisah kerana menurut mereka, apa yang mereka kehendaki semuanya mereka dapat melalui projek sasterawan negara itu.  Sikap inilah yang saya namakan sebagai huru-hara intelektual kerana mereka seperti cacing kepanasan mahu masuk ke dalam lubang cacing tetapi tidak berdaya, akhirnya bergelimpangan di pentas intelektual sebagai kumpulan pembela pandirisme, membenarkan segala kritikan saya selama ini bahawa pandirisme itulah yang menjadi asas perkembangan sastera Melayu moden. Fakta ini penting dalam sejarah perkembangan sastera Melayu, kerana kehadiran PB tidak saja memberi penilaian sebenar dan tepat terhadap karya para sasterawan negara, tetapi lebih penting ialah PB melakar perkembangan baru yang lebih bererti dan akan menjadi ukuran kepada perkembangan sastera Melayu moden, ukuran yang definitif. Perkara ini telah saya bincang dengan panjang lebar dalam Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (Wadi al-Irfan, 2019).

Sehingga ini belum ada lagi mana-mana sarjana sastera yang menentang Persuratan Baru muncul dengan gagah perkasa sebagai seorang sarjana untuk menolak Gagasan Persuratan Baru sebagai anti-ilmu, anti-akademik, anti apa saja yang mereka mahu, sambil pada masa yang sama menerima dengan hati terbuka sikap rasis Akademi Sweden yang menolak bahasa Melayu yang dituturkan oleh 350 juta manusia Nusantara, yang bagi Akademi Sweden adalah kumpulan manusia tidak bertamadun yang tidak melahirkan apa-apa karya bermutu. Penghinaan ini tidak dinyatakan berterus terang, tetapi lembu di Malaysia dan Indonesia pun tahu lembu Sweden lebih gemuk, lebih mahal dagingnya, dan tahinya boleh dijadikan juadah intelektual untuk dijual ke seluruh Nusantara, tetapi tidak di Eropah. Jika anda tidak faham maksud kenyataan ini, maka betullah sikap rasis Akademi Sweden yang melihat anda sebagai kumpulan manusia tidak bertamadun, yang tidak mempunyai hasil sastera yang bermutu jika dibandingkan dengan para sasterawan Eropah.  Saya telah mencabar kesimpulan rasis ini dengan meletakkan karya saya sebagai bukti dan hujah bahawa karya para penerima Hadiah Nobel Sastera itu ada yang tidak mencapai standard yang dicapai oleh karya yang ditulis dalam bahasa Melayu itu. Saya harap ada di antara badan penulis Malaysia yang berani menulis secara rasmi kepada Kedutaan Sweden di Kuala Lujmpur mengapa Akademi Sweden yang memilih para penerima Hadiah Nobel Sastera itu bersikap rasis dan ini terbukti daripada sikap rasis menghina terhadap bahasa Melayu, walaupun terdapat karya yang ditulis dalam bahasa Melayu yang jauh lebih bermutu daripada karya penerima Hadiah Nobel. Siapa mereka akan saya senaraikan jika saya diminta berbuat begitu.  Para sasterawan dan sarjana sastera Malaysia/Indonesia harus berani mengisytiharkan perang intelektual terhadap Akademi  Sweden untuk memberitahu mereka sikap rasis mereka tidak boleh diterima oleh manusia yang menghargai ilmu dan seni penulisan.  Walaupun kita yakin mereka tidak akan melayan cabaran kita, namun  kita tidak harus menerima sikap rasis ini sebagai sesuatu yang dibenarkan dan diperjuangkan oleh UN (PBB) sebagai sikap yang perlu dipertahankan oleh manusia bertamadun.  Dalam perang budaya, yang dipertahankan bukan kebenaran dan keadilan, tetapi sikap rasis kaum Eropah yang melahirkan Hadiah Nobel Sastera itu.  Jika anda membaca wasiat yang ditinggalkan oleh Alfred Nobel (anda boleh baca dalam blog mereka), anda akan dapat melihat dengan jelas sikap rasis Alfred Nobel sendiri. Dari perspektif ini, para penulis dan sasterawan Malaysia dan Indonesia yang menulis dalam bahasa Melayu, harus menolak dengan tegas sikap rasis ini, kerana tidak mencerminkan kejujuran intelektual yang nampaknya diperjuangkan oleh orang Barat sendiri. Kejujuran intelektual yang mereka maksudkan adalah sikap rasis mereka yang memandang rendah penulis bukan Eropah, kecuali yang menulis dengan sikap anti-Islam seperti yang dilakukan oleh Naguib Mahfuz dari Mesir dan seorang lagi dari Turki yang anda tahu namanya.  Jika anda membaca karya dua orang tokoh ini, anda akan dapat melihat unsur-unsur yang menjadi kekaguman Akademi Sweden, yang melahirkan dengan jelas sikap rasis mereka.

Saya cadangkan GAPENA dan PENA menulis secara rasmi menyatakan sikap rasis Akademi Sweden yang memilih para pemenang Hadiah Nobel Sastera itu. Saya tidak fikir mereka berani, kerana sebenarnya mereka menerima dengan rela penghinaan Akademi Sweden terhadap para sasterawan bukan Eropah, terutama sekali para sasterawan yang berasal dari Malaysia dan Indonesia. Jika mereka berani dan jujur, mereka boleh mencampakkan karya saya kepada Akademi Sweden untuk mendapat reaksi mereka, yang pastilah akan membenarkan sikap rasis mereka. Sebagai usaha permulaan, para penulis kita yang berada dalam GAPENA dan PENA bolehlah menulis kepada Kedutaan Sweden di Kuala Lumpur mengenai sikap rasis Akademi Sweden yang memilih para pemenang Hadiah Nobel Sastera itu.  Jika anda membaca laporan Panel Hadiah Nobel, anda akan dapat melihat dengan jelas kebenaran penipuan intelektual berasaskan sifat rasis ini. Untuk permulaan, anda boleh rujuk dua buah buku ini, dan menilai sendiri sifat rasis Akademi Sweden. Buku-buku tersebut ialah: Kjell Espmark, The Nobel Prize in Literature: A Study of the Criteria behind the Choices. (Boston: G. K. Hall & Co.1986).  Sture Allen, Kjell Espmark: The Nobel Prize in Literature: An Introduction  (Svewnska Akademien, tanpa tarikh.)

Moga-moga anda jadi lebih cerdik!

Mohd.  Affandi Hassan.
Petaling Jaya, 1 Mei 2020.

3 comments:

  1. Assalamu a'laykum wbt..
    Hujang Mac dan sepanjang April tiada sebarang "masukan" artikel diblog ini, perasaan saya.
    Di mana Tn. Haji menghilang diri?.
    Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Sesungguhnya kebenaran, suara kebangkitan Islam itu amat dibenci dan mereka sama sekali tidak pernah meredai untuk ia bangkit di muka bumi ini.
    Ia merupakan perjuangan asas kepada tentera Dajjal dan konconya.
    Hasrat mereka itu hanyalah untuk meneruskan penaklukan sistem yang ada selama ini terus kekal menerajui, menentukan hala tuju pergerakan dunia ini, politik,ekonomi, hiburan, seni, sastera dan sebagainya.
    Penakluk dunia mahu kekal dan para pengikutnya pula bersedia untuk mendokong wawasan yang dihadapkan kepada mereka.
    Kekallah mereka menjalani kehidupan ini yang berteraskan pohon kedangkalan fikir,tahayul dan khurafat, memomokan agama seperti ketagihan candu, mereka tidak bersedia membuat perubahan pemikiran untuk bersikap lebih kritis dan membuka minda mencelikkan mata melihat dengan deria yang dibimbing wahyu yang datang daripada Tuhan dan rasulnya.
    Maka mereka pun berpuashati di dalam dunia yang diciptakan dan disuguhkan kaum pendusta itu dan menikmati puji-pujian yang memperdaya mereka dilontarkan pihak musuh itu tanpa dapat keluar daripada lingkungan yang dibinakan ke atas diri dan bangsanya.
    Sikap itu hanyalah mengundaang padah yang berpanjangan.
    Menjadilah mereka budak suruhan yang dibutakan mata, ditanggalkan pemikiran hebat yang Tuhan bekalkan di dalam diri mereka.
    Ibarat budak hamba yang dibiuskan untuk terus dibuai mimpi-mimpi indah dalam lena yang panjang.
    Kemandulan intelektual inilah perangkap terbesar dipergunakan mereka untuk secara mudah dan kekal mengekalkan kuasa dominan terhadap dunia seluruhnya.
    Berabad-abad lamanya selama yang mereka inginkan.
    Wahai umat,insaf, bangkit dan majulah demi kemuliaan diri dan agama yang suci ini.
    Sekian. Sedikit respon yang saya kutip daripada bacaan terhadap tulisan di atas. .
    Terima kasih banyak tuan haji. Barokallah fikum.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saudara Wan yang dihormati,

      Terima kasih di atas perhatian dan dorongan. semoga saf kita akan berjaya, Insha Allah.

      Delete