Saturday, May 9, 2020

BODOHLAH SARJANA MELAYU DAN PARA SASTERAWAN YANG TIDAK SEDAR SIKAP RASIS AKADEMI SWEDEN YANG MEMILIH PEMENANG HADIAH NOBEL SASTERA

Tidak hairan dan sudah sepatutnya entri saya mengenai sikap rasis Akademi Sweden tidak mendapat reaksi para sasterawan dan sarjana sastera Malaysia. Mereka tidak membaca tentang Akademi Sweden yang rasis itu; oleh itu mereka amat berharap terdapat sasterawan Melayu/Indonesia yang akan terpilih untuk diberi HADIAH Nobel Sastera. Jika selepas tulisan ini ada di antara sasterawan Indonesia yang akan terpilih untuk menerima Hadiah Nobel, maka hal itu terjadi kerana mereka tidak mahu dituduh rasis, walaupun pada hakikatnya mereka memang pekat lendir rasisnya.

Dua perkara yang perlu disedari dan difahami mengenai sikap rasis Akademi Sweden ini. Pertama, Eropah adalah sumber penilaian dan cara dalam membuat ketentuan sebarang hadiah seluruh dunia, jika hadiah itu bersumber dari Eropah. Kedua, dan ini amat penting, kriteria yang digunakan mestilah yang memperlihatkan kehebatan Eropah dalam seni dan budaya. Berasaskan dua ukuran ini, tidak ada calon yang layak sekiranya bukan dari kalangan sasterawan Eropah, walaupun yang terpilih menulis dan menghasilkan karya picisan yang jika dilihat dari perspektif Islam, adalah jenis karya lucah. Contoh terbaik ialah penulis yang diberi Hadiah Nobel tahun 2002. Siapa orangnya anda perlu cari sendiri, dapatkan bukunya, dan baca dengan kritis. Akademi Sweden memilih pengarang ini (seorang perempuan) kerana kehebatannya menulis karya porno yang ilmiah (?) dan kritikal terhadap kepalsuan kehidupan manusia. Bagaimana kesimpulan begini boleh diberikan oleh Akademi Sweden mungkin terasa pelik bagi yang tidak faham sistem nilai Eropah yang menjadikan manusia Eropah sebagai sumber nilai. Klaim mereka bahawa mereka bertaraf universal adalah karut dan jahat, sejenis penjajahan budaya yang amat jelas. Sarjana dan pengkritik Malaysia, juga para sasterawan, terlalu jahil untuk memahami aspek penipuan intelektual ini. Satu masa lama dulu, sudah agak lama, saya anjurkan orang (yang saya sebut tadi) supaya membaca dengan kritis sebuah buku penting berjudul The World Republic of Letters, oleh Pascale Casanova (2004). Beliau menegaskan, semua penilaian berasaskan dua tempat di Eropah. Sila baca penjelasan beliau mengenai perkara ini. Kalau sukar untuk mendapat buku penting ini, sila beritahu saya jika ada di antara sarjana sastera berminat.

Oleh sebab Eropah telah menetapkan bahawa semua nilai ditetapkan di Eropah, maka perbezaan nilai yang muncul di tempat lain tidak terpakai. Semua nilai yang menjadi pegangan Eropah berasaskan hawa nafsu mereka, tiada nilai-nilai agama dan tidak ada pula nilai-nilai yang jelas dan tegas diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Mudah saja difahami mengapa terjadi demikian. Bagi Eropah, agama dan nilai-nilai berasaskan agama adalah nilai-nilai parokial dan yang tidak bersifat universal, yakni yang bersumberkan kemahuan nawa nafsu rendah manusia. Untuk memahami aspek ini, anda perlu tekuni buku Sorokin yang terkenal, P. A. Sorokin, The Crisis of Our Age (terbit sejak 1941 lagi). Bacalah buku ini bersama buku Casanova tadi, untuk memudahkan anda memahami aspek ini. Kemudian baca buku-buku pemenang Hadiah Nobel yang saya sedut tadi. (Rujuk entri lepas.)

Sikap rasis Akademi Sweden diakui sendiri oleh mereka yang telah memilih beberapa tokoh bukan sasterawan yang diberi Hadiah Nobel kerana “kecantikan” tulisan mereka yang setaraf dengan karya sasterawan yang bersifat cerita. Siapa mereka telah disenaraikan dalam dua buah buku yang saya sebut dalam entri yang lepas. Anda perlu lihat senarai itu, dan cuba fahami mengapa mereka terpilih. Salah seorang ialah seorang ahli falsafah Britain yang menolak agama sebagai tidak relevan dalam kehidupan manusia kerana semua agama berasaskan mitos palsu! Kata tokoh ini, agama tidak saintifik, tidak mempunyai logik. Beliau adalah seorang tokoh logik yang terkenal.  Bagi tokoh ini, sesuatu pendapat adalah logik jika menolak agama dan menolak wujudnya Tuhan. Bandingkan pendapat tokoh ini dengan seorang ahli falsafah dari Perancis yang terkenal, yang menulis buku yang juga terkenal, namanya Blaise Pascale (1623-1662).  Judul karya beliau cari sendiri, jika perlu dengan pertolongan Pustakawan di universiti (tetapi jangan cari di DBP atau ASWARA kerana memang tidak ada.) Menurut tokoh ini, seseorang yang percayakan agama dan wujudnya Tuhan dan hidup dalam nilai-nilai agama, dia tidak rugi kerana jika benarlah ada syurga dan neraka, dan segala amalannya  untuk mendapatkan syurga, padahal syurga itu tidak ada, maka dia tidak rugi kerana yang dilakukannya hanya kebaikan yang memberi manfaat kepada semua manusia. Kata orang yang tahu, beliau ambil pendapat ini dari hujah yang diberikan oleh Sayidina Ali ketika ditanya mengenai perkara ini. Ahli agama sila beri penjelasan kerana aspek ini penting dalam penulisan kreatif.  Anda nanti akan faham mengapa konsep ilmu yang benar itu perlu dijadikan dasar dan asas dalam penulisan kreatif dan kritikan sastera. Lebih mudah nanti untuk anda faham mengapa Gagasan Persuratan Baru memberi penekanan kepada konsep ilmu yang benar.  Anda akan kelihatan sangat bodoh dan cetek jika anda masih juga menganggap para sasterawan negara itu istimewa, walaupun karya mereka picisan dan tiada asas ilmu sama sekali. Sila rujuk dalam buku saya mengenai projek sasterawan negara ini.

Berasaskan perbincangan ringkas ini, saya ingin menegaskan bahawa novel-novel saya jauh lebih bermutu daripada novel para pemenang Hadiah Nobel Sastera.  Kesimpulan ini tidak mungkin ditolak oleh sesiapa sekali pun, yang memahami penghujahan saya yang saya ambil dalam buku-buku Barat yang saya sebut tadi. Sekali lagi saya cabar mana-mana sarjana sastera, di Malaysia mahu pun di Indonesia, jika anda betul-betul jujur sebagai seorang ahli akademik yang faham dengan mendalam aspek kesusasteraan Barat, nilai yang terdapat di dalam karya itu dan peranan ilmu dalam penulisan kreatif, supaya tampil sebagai seorang ahli ilmu untuk menolak kesimpulan bahawa Akademi Sweden adalah rasis dan perlu dikutuk kerana sudah terlalu lama memperbodohkan manusia untuk menerima sikap rasis mereka.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 9 Mei 2020.


No comments:

Post a Comment