Thursday, May 28, 2020

RASUAH YANG DIRASUAHKAN

Cakap-cakap orang politik tidak langsung boleh dipercayai kerana dua sebab utama. Pertama, kerana pembohongan mereka setiap kali mereka bercakap. Kedua, ketamakan mereka kepada kemewahan setelah mendapat kedudukan atau kuasa. Kita belum bertemu orang politik yang berkuasa yang miskin, yang papa kedana. Bodohlah orang politik jika mereka tidak mengambil kesempatan untuk memperoleh kekayaan ketika jalan untuk mendapatnya terbuka luas. Tetapi ini tidak berlaku di Malaysia, jika kita boleh percaya penegasan tokoh-tokoh politik Malaysia yang mengaku dengan bangga tidak seorang pun di antara mereka pernah melakukan perbuatan rasuah.  Mereka hanya didapati rasuah jika mereka tidak lagi berkuasa, dengan itu mereka diberi kemudahan yang luas terbuka untuk menghadapi tuduhan rasuah dan dibicarakan di Mahkamah.  Ahli politik yang berkuasa tidak rasuah, tetapi akan dituduh rasuah apabila mereka sudah hilang kuasa. Kerana yang menuduh itu seorang ahli politik, maka timbul satu keadaan pelik bila seseorang yang hilang kuasa dituduh rasuah. Kesimpulan penting: anda hanya didapati rasuah jika sudah hilang kuasa, tetapi tidak ketika berkuasa.

Kesimpulan ini sangat menarik. Inilah kesimpulan yang amat dihormati oleh Iblis, ketika Iblis meminta Allah Ta’ala memberinya peluang untuk menyesatkan anak Adam, seperti yang diceritakan dalam al-Quran, yang barangkali diketahui oleh semua orang Islam. Apakah makna hakiki yang kita perlu tahu? Walaupun setiap kuasa tidak akan didapati manusia tanpa izin Allah, namun bagi orang Islam sendiri pun mereka tidak terima hakikat ini, jika kita membaca kata-kata politik yang mereka taburkan di sana sini.  Perhatikan yang terbaru daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah satu-satunya tokoh politik Melayu yang tidak rasuah, yang bersih dari rasuah, yang seluruh hidupnya anti rasuah dalam maksud dan makna yang diberikan oleh beliau sendiri. Walau pun tidak jelas apa maksud beliau, namun terlihat sedikit kelibat maksud itu dalam usahanya meminta Ahli Parlimen mengisytiharkan harta dengan memberi maklumat itu kepada Parlimen. Mengapa tidak didedahkan? Inilah kehebatan gerakan anti-rasuah Malaysia, yang tetap bersopan santun tidak mahu memalukan sesiapa pun, dengan itu mereka boleh terus menyembunyikan jumlah harta sebenar mereka, sesuai dengan undang-undang Malaysia yang memberi keistimewaan kepada pemilik harta untuk tidak mendedahkan jumlah harta mereka. Kata mereka, perbuatan ini dilakukan supaya tidak terdapat iri hati dari kalangan manusia yang jahat perangainya lalu mempersoalkan pengumpulan harta para tokoh politik Malaysia.  Cantik!!

Kedudukan Datuk Najib Razak agak istimewa, kerana beliau dengan sopan dan penuh simpati mendedahkan kekayaan anak-anak lelaki Tun Dr. Mahathir yang tiga orang itu, anak lelaki beliau yang kaya raya itu. Ketiga-tiganya mendapat faedah daripada projek besar kerajaan PH, yang menurut Datuk Seri Najib Razak termasuk “bail out Petronas untuk syarikat milik anak sulung pihak tertentu (maksud beliau Tun Dr. Mahathir PM dua kali) atau pun Vincent Tan yang menjual kumpulan hospital Pantai kepada anak kedua tertentu yang berumur  35 tahun masa itu.   Ini juga bukan konsesi-konsesi Fomema atau kontrak membekal semua hospital kerajaan  yang diberi kepada kumpulan Pantai selepas anak tertentu membelinya. Ini juga bukan melantik syarikat Petron sebagai syarikat rasmi untuk membekal minyak kepada kerajaan sebaik sahaja PH menang PRU14. Ada lagi benda lain yang memberi  faedah besar kepada anak pinak YAB (Yang Amat Berhormat) Tun Dr. Mahathir Mohamad yang disebut Dato’ Najib faedah saham sebuah syarikat yang melonjak 50 peratus milik kumpulan tiga orang anak jantan  itu. (Sumber: Malaysiakini, 16/5/2020.)  Adakah YAB Tun Dr. Mahathir seorang yang menurut Lim Kit Siang Siang dalam Straits Times bertarikh 14 Julai 2019 bahawa dia tidak pernah menuduh YAB Tun Dr. Mahathir seorang yang korup. Tajuk berita: “Kit Siang: I have never said Dr. M was corrupt.” Cantik!! 

Ceritanya tidak habis di sini. YAB Tun M berkata semua MP mesti isytihar harta kepada Dewan Rakyat. Soalnya, mengapa kepada Dewan Rakyat. Kita rakyat papa kedana mahu tahu jumlah kekayaan semua MP supaya mereka tidak dituduh korup walaupun kaya raya. Rupanya MP adalah golongan istimewa sebagai wakil rakyat, oleh itu kekayaan mereka mesti dirahsiakan walaupun kononnya (ejaan rasmi “kununnya” menurut sebutan YAB Dr. M) diisytiharkan di Dewan Rakyat supaya tidak timbul huru-hara di kalangan rakyat andainya mereka tahu perkara yang mereka tidak perlu tahu.

Inilah rahsia Islam mengharamkan perisytiharan harta seseorang, kata para ulama, apatah lagi seorang ahli politik yang menjadi pejuang rakyat dan pejuang keadilan, lagilah haram kerana perbuatan itu akan menimbulkan syak wasangka yang tidak baik terhadap kejujuran para tokoh politik yang kerjanya hanya untuk membela rakyat dan memberi mereka keadilan supaya terjelmalah masyarakat madani yang stabil dan adil. Pendapat ini dituturkan oleh tokoh-tokoh agama (tokoh Islam) yang menjadikan Islam umpan politik mereka kepada rakyat, yang telah membuat fatwa bahawa harta kekayaan seseorang tidak boleh ditunjukkan supaya tidak menimbulkan fitnah. Menurut pendapat rasmi mereka, seseorang tokoh agama yang kaya walau pun tidak bekerja, hanya bercakap dan berceramah di sana sini mengajak rakyat memilih mereka dalam pilihan raya, maka jika mereka didapati mempunyai harta dan kehidupan yang mewah, maka itu adalah anugerah Tuhan kepada kejujuran mereka menjadikan agama modal politik mereka dalam pilihan raya supaya dengan itu rakyat tidak tertipu. Cantik!!

Memerhatikan Ahli Parlimen memakai maska (istiah politik baru, jangan kritik) di Dewan Rakyat untuk mendengar titah Agong, menimbulkan satu keistimewaan baru dalam tingkah laku politik Malaysia. Semua anggota Parlimen adalah pelakon handalan yang mengalahkan Seniman Agung P. Ramlee. Sangat hebat tingkah laku kerajaan Musang Berjanggut ini, yang menurut ahli politik masuk ikut atap atau pintu belakang, betul-betul macam kelakuan musang asli. Para musang politik ini tertawa sesama sendiri sambil memandang muka mereka yang ditutup maska.  Lama dulu, aku menulis sebuah buku, dan diterbitkan DBP (kalau aku tak silap, sekarang buku itu tak ada lagi di tanganku), aku terbitkan kumpulan cerita pendek dengan tajuk Le Masque. (Diterbitkan oleh DBP, 1974; dengan kata pengantar oleh guru sasteraku di Universiti Malaya, Prof. Abu Bakar Hamid.) Mana aku sangka memang wujud kumpulan musang politik ini; tetapi dari sudut lain, macam biasa pemerhatianku tentang tabiat laku manusia amat tajam, dan tepat.  Itulah kehebatan seorang pengarang ulung Malaysia, yang tidak pun diiktiraf oleh para sarjana dan pengkritik sastera kerana tidak atau belum mencapai standard mereka, yang aku panggil standard musang tebuk atap. Sudah wajar jika buku tentang maska ini diterbitkan kembali untuk kegunaan pelajar sastera di universiti; tetapi kerana para sarjana sastera dan pengkritik sastera mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap kebebasan membuat pilihan oleh DBP, maka jauh panggang dari api jika aku mengharapkan DBP menerbitkannya semula. Inilah jenis keadilan maska yang kita semua lindungi dalam sastera Melayu, dengan dipelopori DBP yang dikuasai oleh para sarjana sastera dan pengkritik sastera yang memilih untuk menjadikan mediocrity sebagai nilai unggul dalam sastera Melayu; dan ini memang tepat kerana semua sasterawan negara yang dipilih oleh sesama mereka termasuk dalam golongan yang memakai maska ini.

Apa kaitannya perkara ini dengan tajuk tulisan ini? Itulah keistimewaan aku sebagai seorang penulis intelektual yang sering melihat sudut lain dari sifat unggul para sasterawan dan sarjana sastera yang mediocre dari perspektif Pujangga Melayu.  Jika anda baca dengan teliti segala tulisanku mengenai rasuah ini, terutama sekali seperti yang aku huraikan dalam Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu (Petaling Jaya: Gerak Budaya Enterprise, 2006), anda tentu dapat melihat maksud “rasuah yang dirasuahkan” itu. Tajuk itu sendiri sebenarnya sesuatu yang brilliant, yang mungkin akan menjadi satu tajuk penting dalam perbincangan politik dan gerakan “intelektual” di Malaysia. Jika anda mengikuti gelagat Tun Dr. Mahathir dalam politik, anda akan dapati beliau adalah tokoh besar dalam gerakan “rasuah yang dirasuahkan” itu. Ini pun telah lama aku bicarakan dalam novel Hikayat Buyung Lurus itu.

Tanggal 18 Mei 2020 adalah tanggal keramat dalam politik pembohongan di Malaysia, apabila Dewan Rakyat dibuka oleh Agong untuk memberi ucapan Covic-19 yang menjadi rahmat besar kepada kerajaan tebuk atap dan kerajaan pintu belakang yang ada sekarang. Jika anda melihat bagaimana semua Ahli Dewan Rakyat memakai maska masing-masing, anda mungkin dapat memahami Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu  dengan lebih mudah, dengan wajah mereka persis seperti kulit buku Le Masque itu.  Itulah wajah tokoh politik; dan itulah juga wajah para sasterawan negara. Terima kasih kepada pelukis kulit buku itu, yang dengan tajam mencerminkan hakikat sebenar tokoh-tokoh yang menjadi penghuni buku Le Masque itu. Siapa sangka, itulah juga wajah ahli politik kita, yang mereka tunjukkan dalam sidang Dewan Rakyat setengah jam pada hari ini, 18 Mei 2020. Mengapa hanya setengah jam, tanpa sebarang perbincangan?  Ini satu sejarah baru yang sangat penting dalam politik Malaysia, yang dengan jelas memperlihatkan gelagat sebenar ahli politik sebagai pembohong kepada rakyat. Dan yang istimewanya, rakyat menyambut baik pembohongan itu sebagai satu kebijaksanaan baru yang amat dihormati.  Dengan itu rakyat menerima dan menyanjung perbuatan “rasuah yang dirasuahkan” oleh ahli politik. Perkembangan terbaru ini betul-betul seperti dalam novel Aligupit, yang kemudiannya diperinci dalam Hikayat Buyung Lurus.  Pada umumnya kedua-dua buah buku/novel ini membicarakan perihal penipuan dalam politik yang sudah dibudayakan, dengan itu konsep rasuah yang sering disebut-sebut adalah budaya politik yang menjadi anutan dan ikutan semua penggiat politik Malaysia. Tidak ada kecualinya. Semua mereka adalah pengamal “rasuah yang dirasuahkan.”

Pembohongan adalah ideologi politik Malaysia yang sudah dibudayakan.

Kalau begitu, semua cakap-cakap tentang pembasmian rasuah oleh ahli politik adalah pembohongan politik yang amat dihormati dan dengan itu diterima dengan bangga oleh para pengundi dan rakyat.  Tepat sekali istilah mobilization of bias yang dipakai dalam sistem demokrasi yang dipraktikkan di Malaysia. Apakah kesimpulan anda? Saya telah menjelaskannya dalam entri berjudul “Pembohongan Sebagai Ideologi Politik Malaysia”.  Semua parti politik Malaysia menjadikan pembohongan sebagai ideologi atau panduan mereka, sekali pun ada parti politik yang mengaku berteraskan Islam.  Ketua-ketua parti yang kononnya berteraskan Islam tidak ragu-ragu menyokong tokoh-tokoh politik yang berbohong, dengan itu pemberian habuan politik melalui jawatan yang mereka sandang adalah halal dan boleh membawa mereka ke syurga!  Siapa yang boleh turunkan ayat Quran yang memberi amaran terhadap pembohongan agama ini?  Ada satu istilah yang dipakai untuk membenarkan pembohongan ini atas nama Islam. Istilah itu ialah pembohongan untuk maslahah am!  Semudah itu agama Islam dipergunakan untuk kepentingan politik pembohongan ini oleh para tokoh parti yang menjadikan Islam sebagai asas pembohongan politik mereka.

Inilah antara contoh terbaik “rasuah yang dirasuahkan”.

Seperti yang ditegaskan dalam Islam, pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya masuk neraka.  Ada yang buat joke, tak mengapa kita boleh bertaubat bila sampai waktunya! Hebattt…

Rakyat yang menerima rasuah politik dalam berbagai-bagai jenis dan dalam pelbagai gaya adalah kumpulan yang dimaksudkan oleh hadis tentang rasuah itu. Kalau sudi, bagus amat jika ada ulama yang mahu tampil memberi ulasan tegas dan jelas tentang maksud sebenar hadis itu.  Lebih baik jika yang memberi penjelasan itu ketua parti yang menggunakan Islam untuk mendapat kedudukan dan kuasa dalam politik.  Melalui kedudukan dan kuasa itulah mereka mendapat kemewahan dalam pelbagai bentuk, termasuk menggunakan kereta Mercedes yang termahal untuk kononnya mengenang jasa rakyat yang memberi mereka kuasa, dan menang pilihan raya, dan jadi ahli EXCO misalnya. Tetapi apabila penipuan dan pembohongan telah dibudayakan dalam politik apa jenisnya sekali pun, penjelasan tidak diperlukan, kerana pembohongan dan rasuah itu sendiri menjadi saksi ahli politik jenis ini.

Oleh sebab Agong tidak boleh dikritik dalam politik Malaysia, kita terima saja peraturan itu dan semua penjelasan yang dibuat oleh Agong dalam ucapan baginda di Dewan Rakyat pada hari ini, 18 Mei 2020.  Alangkah baiknya jika ucapan yang penting dan berterus terang itu dicetak dengan logo di raja untuk makluman dan peringatan semua rakyat, di samping memberi legitimasi kepada kerajaan tebuk atap atau pintu belakang yang sering disebut-sebut pada waktu ini.  Biasanya Pejabat Penerangan buat kerja ini, tetapi sekarang nampaknya tidak aktif lagi.

Apabila rasuah telah dirasuahkan, maka inilah yang terjadi.  Kita bersimpati sangat dengan rintihan dan perasaan kesal yang amat sangat bekas MB Kedah yang mengatakan PAS telah mengkhianati beliau. Sekarang Ketua PAS Kedah yang ambil tempat anak Tun Dr. Mahathir Mohamad itu. Tahniah!  Cuma, sekadar peringatan, Ketua PAS Negeri ini kini menghadapi masalah apabila tindakannya yang pertama ialah memberi konsesi balak yang menurutnya untuk menunaikan janji kepada pembalak, padahal hutan Kedah perlu dijaga untuk tadahan hujan yang diperlukan para petani. Nampaknya cerita 2014 di Kelantan akan berlaku di Kedah pula. Akibat penebangan balak yang tidak terkawal, satu banjir besar menimpa Kelantan 2014 yang menghanyutkan babi hutan dari ulu ke Tumpat, dan kini Kelantan dihuni babi hutan yang besar-besar, sudah membiak di seluruh Kelantan. Banyak kerosakan terjadi akibat banjir besar itu, hasil kerakusan para pemimpin mendapatkan wang balak!  Kejayaan besar kerajaan PAS Kelantan ialah membawa babi ke seluruh Kelantan, sehingga para penanam sayur tidak lagi dapat menanam sayur. Datanglah ke Kelantan untuk menyiasat bala besar ini. Baru-baru ini tertera di TV seorang penduduk kampung di sempadan Sungai Golok di kerekah babi hutan begitu serius, ketika dia keluar dari rumahnya. Babi berkeliaran di kampung tepi sungai itu. Tahniah kepada kerajaan PAS kerana memberi kesempatan kepada babi hutan membiak di seluruh Kelantan.  Adik perempuan saya yang tinggal di Kg. Seberang Pasir Mas, Salor, terpaksa membuat pagar kerawat berduri tiga lapis untuk mengelak dimasuki babi hutan setinggi paras pinggang. Nampaknya kemunculan babi hutan ini sudah menjadi pusaka (mungkin lebih tepat puaka) ahli politik Kelantan yang terpaksa mereka terima.

Itulah politik namanya, oleh itu tidak wajar jika pembohongan dalam politik dikritik apabila sudah tidak berkuasa. Giliran masing-masing, kata orang kampung yang bodoh tetapi amat pintar memberi pandangan politik mereka yang praktikal.  Giliran masing-masing, terima sajalah YB!

Sekarang anda faham apa yang dimaksudkan dengan ungkapan “rasuah yang dirasuahkan”.

Tidak ada ahli politik yang tidak rasuah, termasuk yang menggunakan Islam sebagai landasan berpolitik. Makna ayat ini jelas, tidak berbelit-belit seperti ayat yang sering digunakan oleh tokoh politik yang menggunakan agama sebagai landasan politik.  Ini bererti sesiapa juga yang menggunakan Islam sebagai landasan politiknya tetap berbohong. Tidak perlu dibuktikan dengan memberi contoh, kerana contoh itu diketahui dan orangnya juga dikenali. Demikianlah gagahnya ungkapan “rasuah yang dirasuahkan.”

Apa yang perlu kita buat? Senang. Ikut saja mereka, kerana mereka sangat jujur dalam pembohongan mereka.  Yang perlu diingat hanya satu: yang memberi dan menerima rasuah kedua-duanya masuk neraka!

Demikianlah hikayat politik Malaysia yang diceritakan oleh Buyung Lurus, tokoh terbesar dalam sastera Melayu.  Buyung Luruslah yang mengupas dengan mendalam makna dan maksud korupsi dalam politik Malaysia.

Selamatlah jiwa yang sempurna…

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 18 Mei 2020  --  26 Mei 2020.

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Sistem demokrasi memegang dan menjalankan peranan si dajjal durjana.
    Mereka menjadikan wadah politik untuk berbohong, memutar-belitkan segala institusi dalam negara dengan kerakusan memuaskan nafsu serakah yang tak pernah kenyang.
    Melalui permainan dan agenda politik kepartian segala hukum boleh berubah dan bertukar sesuka hati mengikut situasi semasa.
    Malah pembohongan dan penipuan itu semua berlaku secara terancang dengan disedari atau pun tanpa disedari.
    Apakah masih ada harapan rakyat marhaen melihat dunia yang lebih cerah dan bersih ada bahagia yang muncul di hadapan sana?. Wallahu a'lam bishowab.
    Terima kasih.

    ReplyDelete