“Tidak gugur
sehelai daun melainkan dengan izin Allah.”
Kini apa
halnya dengan Covid-19? Tidak muncul Covid-19 melainkan dengan izin Allah! Persoalannya,
mengapa wabak yang bengis ini dengan mendadak menimpa seluruh manusia? Inilah keadilan Allah Taala yang tidak
mungkin dapat dibaca oleh orang kafir, maksudnya orang bukan Islam. Jika
penelitian politik anda agak tajam, anda akan dapat melihat dengan mudah negeri
atau negara mana yang paling teruk diserang virus yang bengis ini. Kini timbul
perbalahan antara dua kuasa dunia yang sama jahat, masing-masing tuduh menuduh
bahawa yang satu mencipta virus ini untuk melemahkan yang lain. Bagi kita ini
tidak penting, kerana dalam kehidupan biasa kumpulan samseng (perkataan ini asal dari mana?) akan sentiasa wujud kerana kumpulan ini juga
mempunyai peranan untuk memaksa manusia biasa jadi lebih berhati-hati, kerana
kumpulan samseng ini sebenarnya lebih banyak dalam politik. Di Malaysia sendiri,
peranan politik samseng ini sangat penting, sehingga dapat membentuk kerajaan
hasil gerakan licik mereka yang tersusun rapi.
Bezanya, samseng politik sangat
dihormati dan dibanggakan. Sekiranya anda masih bodoh tidak dapat membaca
bagaimana para samseng politik ini bertindak, cubalah anda perhatikan bagaimana
masalah politik di Malaysia tidak dapat dielakkan untuk tidak dikaitkan dengan
peranan UMNO dalam politik Malaysia.
Selepas
merdeka, Malaysia tidak pernah diperintah oleh tokoh-tokoh bukan UMNO yang
berubah bulu untuk disesuaikan dengan keadaan. Tengoklah sendiri senarai mereka
dalam perubahan politik yang semuanya dicetuskan oleh tokoh-tokoh UMNO dan
bukan oleh orang lain. Jika anda tidak percaya, cuba senaraikan tokoh-tokoh
yang berjasa itu. Bacalah perkembangan ini dalam konteks pembohongan politik
yang saya tulis dalam blog ini.
Jangan jadi
bodoh untuk bertanya, Tidakkah ahli politik
di kalangan orang Melayu semuanya beragama Islam? Jadi, bagaimana mereka
boleh menjadi penipu dan pembohong dalam tindakan politik mereka? Di sinilah
kehebatan orang Melayu, yang dihuraikan dengan sangat cermat oleh Dr. Faisal
Tehrani dalam tulisannya mengenai watak-watak penting dalam politik Melaka
seperti yang diceritakan dalam Sejarah
Melayu. Terima kasih Dr. Faisal Tehrani kerana tanpa anda maksudkan, anda
telah menyokong kesimpulan saya mengenai penipuan politik Melayu ini.
Saya sudah
kasi tahu sama anda yang membaca blog ini, penipuan dalam politik dilakukan
melalui proses demokrasi yang digelar oleh sarjana politik Barat sebagai mobilization of bias. Konsep ini penting
difahami, kerana inilah konsep yang dilaksanakan oleh seluruh negara yang
menggelarkan kegiatan politik mereka adalah bersifat atau berasaskan demokrasi.
Itu Haji Hadi Awang yang selalu berubah pendiriannya itu sudah pun menulis
sebuah buku mengenai persoalan ini, yang dia kasi judul yang cukup mentereng, Islam dan Demokrasi (diterbitkan oleh
PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2007). Sekiranya anda mempunyai sedikit pengetahuan
tentang konsep demokrasi dan sedikit maklumat tentang “konsep” politik dalam
Islam, anda akan dapati buku ini cukup penting dalam politik Melayu kerana
inilah dokumen yang membenarkan tesis bahawa pembohongan adalah ideologi
politik yang dijadikan panduan utama dalam mendapat kuasa politik. Dengan kuasa itu, melimpah ruahlah kekayaan
ahli politik yang mendapat kuasa politik melalui pilihan raya. Buku Haji Hadi Awang ini membincangkan
beberapa aspek konsep mobilization of
bias dalam demokrasi Barat tanpa beliau sedar bahawa beliau sedang bercakap
tentang konsep demokrasi tanpa mengetahui makna dan operasi demokrasi dalam
politik Barat. Demokrasi adalah alat golongan kapitalis untuk mendapat kuasa
supaya kedudukan mereka sebagai kapitalis terus terjamin. Di Malaysia golongan
agama menggunakan demokrasi untuk mendapat kuasa politik mereka sendiri. Golongan
kapitalis menggunakan demokrasi untuk mengekalkan kedudukan mereka, seperti
yang kita boleh lihat dengan jelas dalam politik Barat, terutama sekali dalam
negara kapitalis terbesar di dunia, Amerika Syarikat. Bagus juga jika anda tahu
sedikit perkembangan positif wabak Covic-19 di USA, yang memberi penegasan yang
jujur bahawa yang paling banyak menderita dan menjadi korban ialah golongan
kulit hitam yang miskin yang kediamannya dikelompokkan dalam kawasan tertentu. Mereka golongan terbiar yang terdedah kepada
serangan Covic-19. Dalam konteks ini,
Amerika Syarikat sebenarnya tidak pernah melaksanakan demokrasi seperti yang
difahami oleh rakyat biasa yang hanyut dalam penipuan golongan kapitalis yang
menggunakan demokrasi untuk memeras mereka. Adakah aneh jika Haji Hadi Awang
juga “tertipu” dengan konsep demokrasi?
Nampaknya begitulah, jika yang beliau tulis dalam buku beliau itu boleh
dijadikan bukti.
Bukan
golongan kapitalis saja yang menggunakan demokrasi untuk kepentingan mereka.
Golongan politik pun turut serta menjadi penipu dalam apa yang disebut politik
demokrasi ini. Sebelum anda melenting mengkritik saya, baca dulu buku-buku yang
membicarakan persoalan ini yang ditulis oleh sarjana Amerika sendiri, atau
sarjana Eropah. Sebenarnya, inilah virus
politik yang dengan sengaja digunakan oleh ahli politik seluruh dunia untuk
mendapat kuasa. Saya telah menulis mengenai perkara ini dan telah pun
memberikan judul beberapa buah buku yang boleh dijadikan rujukan. Sebuah buku
yang menyenaraikan pembohongan dan penipuan dalam politik telah lama
diterbitkan di England. Sila rujuk buku yang membincangkan perkara ini
berjudul, Political Corruption, ed.
Paul Heywood (Blackwell Publishers, 1997).
Sejauh mana ahli politik Malaysia tidak pernah mengamalkan “political
corruption” ini dalam kegiatan politik
mereka? Sebagai ahli politik, mereka ini ada saja alasan untuk mengelak
daripada melakukan korupsi yang dibenarkan (anda tentu tahu jenis-jenis korupsi
yang dibenarkan), dengan itu mengisytiharkan mereka tidak pernah korup dalam
tindakan politik mereka, malah mereka sering dituduh korup hanya untuk
memburukkan kedudukan politik mereka. Jika kita terima argumen ini, kita akan
dapati tidak seorang pun tokoh politik Malaysia yang korup, apa pun makna
korupsi itu dalam definisi kita. Dengan itu, mereka tentu dapat menerima bahawa
semua mereka adalah “wali politik” yang tidak pernah berbuat perkara jahat
dalam kegiatan politik mereka. Yang jadi masalah ialah, jika pengakuan mereka
benar, mengapa kita semua menjadi mangsa penipuan dalam politik ini? Siapa agaknya yang boleh memberikan
penjelasan mengenai perkara ini, untuk menjawab persoalan ini.
Dalam
konteks tindakan politik, penipuan dan pembohongan dibenarkan asalkan tidak
melanggar peruntukan tertentu dalam Akta tertentu yang melindungi korupsi
politik ini. Akta mana saya tidak pasti,
tetapi dari berita akhbar dan melalui perbincangan politik, nampaknya macam ada
Akta tertentu yang melindungi korupsi politik ini. Ada yang mahu bicara tentang
perkara ini? Saya harap kita tidak menghadapi masalah korupsi intelektual di
kalangan pembicara politik ini. Saya
sengaja tidak menyatakan perkara ini untuk memberi peluang kepada anda menolak
pandangan saya dengan membuktikan bahawa Akta tertentu itu telah berjaya
sepenuhnya mengawal korupsi politik dalam bidang dan bentuk apa sekali
pun. Bila tiba waktunya nanti, saya akan
memberi beberapa contoh mengenai perkara ini, terakhir bagaimana PM menggunakan
kuasanya dan kedudukannya untuk melantik
orang tertentu yang mendapat upah besar sebagai peneraju atau penasihat
badan-badan tertentu yang mereka panggil GLC.
Mengapa orang ini yang dipilih,
tidak saya sebagai pesara PTD yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran
dan planning. Apakah yang tersirat dalam
tindakan ini? Mungkin Tuan Guru Yang Mulia Haji Hadi Awang boleh menjawab
pertanyaan, atau persoalan ini. Lagi pula beliau adalah penulis buku yang saya
sebut tadi. Soalnya, saya hanya kutu,
bukan ahli politik yang berbisa. Mungkin juga kejahatan politik saya tidak ada,
oleh itu tidak perlu diberi perhatian. Apa komen anda?
Walaupun
virus Covic-19 sangat bahaya, nampaknya bahaya virus korupsi politik jauh lebih
bahaya kerana virus politik ini tidak mungkin dihapuskan, kerana memang perlu
dalam kegiatan politik yang bersih dari penipuan dan korupsi.
Jika anda ingin memahami bagaimana korupsi politik itu dilaksanakan dengan jujur oleh tokoh politik Malaysia, silalah baca Hikayat Buyung Lurus yang hebat itu. Novel ini mengenai politik Melayu dan Malaysia. Sekiranya anda bertekad untuk terus menjadi bodoh dan senang ditipu oleh tokoh politik, jangan baca buku ini. Beri perhatian penting tentang perisytiharan harta, yang menjadi permainan korupsi oleh Mahathir Mohamad.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 11 Mei 2020.
Baik.Boleh dapat penjelasan tuan iaitu beri perhatian penting pengisytiharan harta,menjadi permainan korupsi oleh Mahathir..!!,
ReplyDeleteTerima kasih.
Walau bagaimana pun saya tidak dapat menafikan kebenaran kenyataan iaitu virus korupsi politk lebih berbahaya dari Covid-19 yang secara alaminya tetap bertapak kukuh mencengkam ganas mangsanya, rakyat jelata.Sekian.WA.
ReplyDelete