Novel ini membicarakan dalam bentuk satira perihal
tabiat politik Malaysia, terutama di kalangan orang Melayu. Novel ini tidak
dibaca oleh para sarjana sastera, kerana menurut mereka, hanya karya para
sasterawan negara saja yang wajar diberi perhatian. Para sasterawan sendiri menerima pendirian
ini dengan alasan para sarjana tidak seharusnya membuang masa membaca karya
yang tidak menang hadiah, atau karya yang sukar dibaca. Aspek “sukar
dibaca” ini menarik kerana sikap ini memberi kemudahan kepada para sarjana
untuk tidak perlu berfikir, cukup hanya mengulang-ulang pendapat yang sudah
menjadi klise dalam kritikan sastera Melayu, seperti misalnya pendapat yang
berkata plot novel ini mudah, bahasanya kering dari kiasan, dan segala pendapat
seumpama itu. Kebalikan dari pendapat
demikian ialah pujian melangit, seperti yang dibuat oleh Mana Sikana ketika
memuji karya para sasterawan negara, yang anda boleh baca dalam buku-buku
beliau. Dalam konteks inilah novel Hikayat Buyung Lurus tidak dibaca oleh
para sarjana sastera, untuk dijadikan hujah bahawa karya seperti Hikayat Buyung Lurus itu tidak mencabar
pemikiran tinggi para sarjana.
Kesimpulan ini sangat menarik, bila anda lihat daripada perspektif
Buyung Lurus yang mencadangkan supaya rasuah digalakkan dalam pentadbiran
negara (hal. 115) dengan memberi hujah
bahawa para sarjana mengenai pembangunan menggalakkan rasuah kerana itulah cara
yang paling berkesan untuk mempercepat pembangunan. Agak aneh, dalam politik
Malaysia inilah yang berlaku, seperti yang dibicarakan oleh antara lain Dr.
Rosli Khan (lihat rencana beliau dalam Harakah
bertarikh 14/3/2012, bertajuk “Mahathir’s legacy of camouflaged corruption”). Rencana ini wajib dibaca untuk melihat wajah
sebenar Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dalam novel
tentang politik Melayu itu dihuraikan makna slogan Bersih Cekap dan Amanah
ciptaan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi sebutan itu; mengapa kini tidak
disebut oleh tokoh agung negara yang mencipta Falsafah Rasuah Negara ini
tentulah agak menghairankan (hal. 119).
Slogan BCA hanyut begitu saja dalam pembohongan politik Malaysia kerana
penciptanya sendiri telah gagal menghayati slogan ciptaan beliau. Lebih menarik lagi apabila beliau menegaskan kelmarin,
1 Mac 2020, bahawa beliau telah dikhianati oleh dua orang tokoh Malaysia: oleh
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini PM ke-8, dan oleh Anwar Ibrahim. Menurut Tun
Dr. Mahathir, hanya beliau sendirilah yang boleh dipercayai dan yang tidak
pernah berbohong dalam tindakan politiknya. Pengakuan ini menarik, kerana
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera al-Haj pernah memberitahu Tengku Razaleigh
supaya jangan percaya Mahathir, kerana beliau seorang pembohong besar. Saya
dapat maklumat ini daripada bapa saudara saya yang mendapatnya daripada Tengku
Razaligh. Tetapi pada pemerhatian saya, seorang ahli politik yang tidak
berbohong bukan seorang tokoh politik yang boleh dipercayai. Pembohongan adalah
unsur penting dalam politik. Persoalan ini pun dihuraikan dalam novel Hikayat Buyung Lurus. Kesimpulan: kalau anda tidak mahu berbohong,
jangan masuk politik. Di mana saja dalam
dunia tidak ada ahli politik yang berjaya yang tidak berbohong untuk mendapat
kejayaan itu. Masyarakat tidak mahu mendengar sesuatu yang benar, kerana yang
onar itulah yang benar lahir dari sanubari ahli politik untuk menggetarkan
penerimaan para pengikut dan kebencian yang meluap-luap daripada kumpulan yang
membenci sang politikus. Jika anda mahu contoh dalam politik Malaysia terkini,
lihatlah permainan Muhyiddin dan Mahathir dalam retorik mereka memperagakan kebenaran
tindakan mereka yang tidak difahami oleh masyarakat. Paling menarik ialah pengakuan Muhyiddin
beliau tidak pernah berbohong dalam perjuangan politiknya. Satu pengakuan yang
jujur, oleh itu ditolak oleh masyarakat, terutama oleh Tun Mahathir yang menyatakan
Muhyiddin mengkhianatinya. Bolehkah
seseorang berlaku khianat tanpa pembohongan? Tanyalah Tun Mahathir yang selalu
berbohong, menurut pengkritik beliau.
Satu-satunya
watak yang tidak berbohong ialah Buyung Lurus, sesuai dengan namanya. Tetapi Buyung
Lurus tidak pernah wujud dalam sejarah; itulah yang membuat novel Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik
Melayu, satu karya agung yang akan menjadi rujukan sepanjang zaman. Manusia Melayu akan sentiasa mencari seorang
Buyung Lurus, yang tidak mungkin ditemuinya kerana memang tidak ada. Tentulah rakyat Malaysia dan negara ini
sendiri akan beruntung besar jika Buyung Lurus muncul dalam dunia politik
Malaysia untuk memberi inspirasi, jika tidak pun panduan, bagaimana sebuah
kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab dan benar-benar bersih dari rasuah
dapat diwujudkan. Seperti yang ada sekarang, yang kita dapat adalah golongan
yang berebut kuasa melalui teknik mobilization
of bias, teknik mengajak untuk memihak kepada parti-parti tertentu melalui
penggunaan manifesto yang mengandungi
janji-janji yang hebat, yang tidak semestinya dapat ditunaikan. Inilah yang
terjadi kepada janji-janji Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pilihan raya lepas,
yang diakuinya sendiri tidak dapat ditunaikan, malah dia mengaku dengan jujur
bahawa memang dia berbohong kerana dia
tidak yakin akan menang dalam pilihan raya lepas.
Lebih
menarik ialah apabila tokoh yang jujur mengaku berbohong ini sangat bangga
memberitahu rakyat Malaysia bahawa tugas utamanya ialah membasmi korupsi yang
dilakukan secara besar-besar oleh Najib Tun Razak ketika beliau menjadi PM.
Nampak seimbas lalu apa yang diucapkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk
membasmi korupsi ke akar umbi itu macam bagus saja, tetapi jika anda faham
makna korupsi dalam Islam anda akan mempunyai pandangan berbeza. Islam menyatakan dengan jelas, pemberi dan
penerima rasuah kedua-duanya masuk neraka. Perkara ini tidak pernah disebut oleh
tokoh-tokoh politik Malaysia, dengan itu rasuah hanya sebelah pihak, yakni yang
memberi. Galaknya pemberi rasuah kerana begitu ramai yang menunggu untuk
menerimanya. Dilihat dari perspektif Islam, adakah Tun Dr. Mahathir Mohamad
boleh terlepas daripada salah seorang pengamal korupsi terpenting di Malaysia,
dengan menggunakan politik sebagai cara mendapat kuasa. Bagaimana perkara ini
dilakukan oleh orang politik? Jangan tanya saya; tanyalah tokoh-tokoh politik
Malaysia. Kita mahu tahu bagaimana mereka akan menjawabnya.
Dalam Islam,
konsep korupsi itu dijelmakan dalam konsep fasad
yang lebih meluas, termasuk di situ makna korupsi. Mari kita lihat makna fasad mengikut sebuah
kamus Arab-English yang terkenal susunan Hans Wehr, A
Dictionary of Modern Written Arabic (Arabic-English) (4th
edition, 1979). Saya salin penjelasan beliau di halaman 834-835: “fasad (fa-sin-alif-dal):
rottenness, spoiledness, corruption, decay, decomposition, putrefaction,
putridity; depravity, wickedness,
viciousness, iniquity, immorality; corruptness (e.g., of an official,
politician), corruption (of public life); pervertedness, wrongness;
incorrectness, imperfection (of a legal transaction; Isl. Law).” Kita lihat pula
penjelasan yang diberikan oleh Elsaid M. Badawi dan Muhammad Abdel
Haleem dalam buku mereka, Arabic-English
Dictionary of Qur’anic Usage (Brill:
Leiden, Boston, 2008): fasad: 1. mischief, wrongness,
destruction, causing corruption (al-Quran 5: 32); 2.
disorder, corruption (al-Quran 8:73); 3. physical damage, drought,
death, malfunction, scarcity of goods (al-Quran 30: 41).
Begitu kaya
sekali makna fasad dalam Islam.
Bolehkah penggiat politik yang amat gigih berbuat sesuatu untuk mendapat kemenangan
dalam pilihan raya terlepas dari perbuatan fasad? Dalam politik Malaysia, hanya seorang saja
yang tidak melakukan fasad dalam kegiatan politiknya, iaitu Tun Dr. Mahathir
Mohamad. Hakikat ini diakui oleh beliau
sendiri.
Beruntunglah
Malaysia dan rakyatnya. Salahlah penegasan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj
yang mengatakan Mahathir Mohamad seorang pembohong besar. Kalau
begitu, yang berbohong ialah Tunku.
Dari
analisis politik yang saya lakukan berasaskan tingkah laku para tokoh politik
Malaysia yang berjaya (yakni, yang mendapat kedudukan hasil dari penglibatan
mereka dalam politik), saya dapati tiada seorang pun tokoh politik yang tidak
berbohong. Keadaan ini memang sudah
sepatutnya, kerana semua mereka bermati-matian mengaku mereka menyokong
demokrasi, yang menurut Ketua PAS, seperti yang tertulis dalam buku beliau,
politik Islam dan demokrasi itu sama. Tetapi saya tidak melihat begitu, kerana pengetahuan
politik Barat yang saya kaji diasaskan kepada konsep mobilization of bias, yakni
pembohongan yang terancang. Itulah sifat demokrasi, seperti yang diakui oleh
orang Barat sendiri. Oleh itu, jika kita terima pandangan ini, sahlah tiada
seorang pun ahli politik Melayu dan bukan Melayu, yang Islam atau yang kafir,
yang tidak terlibat dalam pembohongan dalam konteks mobilization of bias itu, yang menjadi asas politik demokrasi.
Tetapi
persoalan ini tidak penting, oleh itu kita dapati tiada seorang pun tokoh
politik Malaysia yang membantah analisis yang kita dapati dalam pembicaraan
tentang politik Barat yang dipakai di Malaysia. Malah ahli politik Malaysia
dengan bangganya berkata, dan mengaku, model yang dipakai di Malaysia ialah
yang ditiru dari England. Bacalah Hikayat
Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu, untuk mengetahui apa maknanya
pengakuan ini dalam kegiatan politik Malaysia.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 9 Mac 2020.
No comments:
Post a Comment