Sunday, February 2, 2020

PEMBOHONGAN DALAM POLITIK DAN SASTERA


Tidak ada ahli politik dan sasterawan negara yang tidak berbohong, demikian juga sarjana sastera dan pengulas politik. Paling utama yang anda perlu tahu ialah sistem demokrasi itu sendiri diasaskan kepada pembohongan, yang dalam istilah politik dipanggil mobilization of bias. Dalam penilaian karya sastera, pembohongan itu dilakukan melalui teori sastera Barat, yang memang diakui diasaskan kepada pembohongan dalam penilaian sesebuah karya. Oleh sebab aspek ini telah dibincang dengan meluas dalam entri blog ini, dan dalam dua buah buku kritikan sastera terpenting di Malaysia, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019), dan Pandirisme dalam Komuniti Dunia (2016), maka sesiapa juga yang berminat hendak tahu mengenai aspek ini dalam politik dan kritikan sastera dan dalam penilaian karya sastera, perlu membaca dua buah buku penting itu.  Masalah kita di Malaysia ialah tidak ada sarjana yang terusik maruahnya untuk menolak kesimpulan itu, kerana keangkuhan mereka yang dengan tegas mengaku dengan bangga bahawa mereka  adalah ahli waris sastera dunia, oleh itu mereka adalah pengikut dan penganut teori sastera Barat yang menerima pembohongan sebagai unsur penting dalam penulisan dan  penilaian sastera. Contoh terbaik dalam penilaian sastera ialah semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara; untuk bukti dalam politik pula tokoh terbesar pembohong di Malaysia, yang mengaku beliau dan teman-temannya berbohong dalam pilihan raya dan dia dengan bangga mengaku dia memang berbohong kerana dia tidak yakin dia dan rakan-rakannya akan menang. Pakatan Harapan dimenangi berasaskan pembohongan itu. Dan Tun Mahathir Mohamad mengaku dengan jujur beliau berbohong dalam pilihan raya lepas kerana beliau tidak yakin akan menang.  Oleh itu, kemenangan beliau berasaskan pembohongan yang beliau mengaku dengan jujur.

Mengapa aspek ini penting? Dalam politik yang penting ialah kemenangan, bukan proses untuk mendapat kemenangan itu. Anda dibenarkan berbohong dan menipu dengan syarat-syarat tertentu untuk mendapat kemenangan. Perkara ini sudah dibicarakan dengan jelas dalam novel Hikayat Buyung Lurus yang tidak dibaca oleh ahli politik dan tidak juga dibaca oleh para sarjana sastera dan pengkritik sastera. Contoh terbaru dalam politik  dan terbaru dalam pemilihan sasterawan negara ialah pemilihan sasterawan negara ke-14, yang secara langsung dipengaruhi oleh Menteri Pendidikan ketika itu. Dia kemudiannya disuruh meletak jawatan kerana gagal melaksanakan tugasnya. Sama ada tuduhan ini benar atau tidak terpulang kepada sejauh mana anda percayakan Perdana Menteri yang menyuruh menterinya meletakkan jawatan. Kesimpulan paling mudah ialah, pemilihan siapa yang akan dilantik menjadi sasterawan negara dicemari oleh seorang menteri yang kemudiannya diarahkan untuk meletak jawatan kerana gagal menjalankan tugas yang diberikan oleh Perdana Menteri. Tidak terdapat sebuah pun badan penulis yang begitu banyak di Malaysia yang membantah keputusan ini, oleh itu boleh saja dibuat kesimpulan mudah bahawa mereka yang berada dalam persatuan penulis itu juga sama korupnya dengan menteri dan seterusnya ….! Semua ini menggambarkan dengan jelas, jika anda cerdik dan bersikap jujur, bahawa kita tidak perlukan sasterawan negara, yang pemilihannya diragui kesahihannya. Sila teliti dengan kritis Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden yang membicarakan aspek ini dengan terperinci.

Pembohongan dalam sastera dilakukan secara besar-besaran dalam tiga bidang menggunakan tiga arah yang dipertahankan dengan gigih walaupun arah yang diikuti itu menyesatkan dan bidang yang dipertahankan itu palsu.  Dalam bidang kreatif, ditegaskan betapa pentingnya kebebasan berkarya supaya tidak terjadi halangan apa-apa pun yang dipaksa ke atas sasterawan untuk dijauhkan dan diketepikan. Kebebasan berkarya adalah mutlak, sesuai dengan keadaan yang berlaku dalam sastera Barat. Contoh yang selalu dipakai ialah kedudukan D.H. Lawrence dalam sastera Inggeris. Sebuah novel beliau pada mulanya diharamkan; tetapi kemudiannya dibenarkan diterbitkan dalam bentuk original. Di Malaysia Salina tidaklah sampai diharamkan, hanya dikesali pada mulanya, tetapi kini diterima sebagai karya terbesar dalam sastera Melayu. Hanya saya seorang yang terus menerus menegaskan bahawa karya ini adalah sebuah karya picisan dan wajib ditolak oleh para pengkritik sastera kerana sifat picisannya. Mujurlah hanya saya seorang saja yang menolak karya ini, oleh itu karya picisan ini terus menjadi sanjungan para sarjana sastera, malah diberi kedudukan tertinggi sebagai sebuah karya sastera yang bertaraf antara bangsa. Tetapi amat malang apabila tidak seorang pun dari sarjana sastera berupaya memberi penjelasan mengapa Pujangga Melayu itulah karya terbesar dalam sastera Melayu, yang kehadirannya dalam sastera Melayu meletakkan Salina sebagai sebuah karya picisan. Dengan berani terdapat para sarjana yang menegaskan Pujangga Melayulah yang sebenarnya karya picisan, kerana karya itu hanya diberi sanjungan oleh penulisnya sendiri, tetapi ditolak oleh masyarakat, terutama di kalangan para sarjana dan pengkritik sastera.  Cacatnya pandangan ini ialah sikap yang dikatakan menjadi pegangan para sarjana sastera itu sendiri adalah sikap picisan yang tidak berasaskan ilmu, dan tidak ada pula asas intelektualnya. Sifat-sifat ini (yakni mengenai ilmu dan unsur intelektual) terdapat dalam Pujangga Melayu.  Penilaian yang bersifat perbandingan ini amat penting kerana masyarakat sastera yang cetek meraba-raba dan berada dalam kekeliruan tentang makna ilmu dalam penulisan kreatif perlu diberi penjelasan dari perspektif apa Salina itu sebuah karya unggul dan Pujangga Melayu pula sebuah karya picisan. Siapa agaknya di kalangan para sarjana sastera yang sering bercakap besar itu berani tampil memberikan penjelasan ini. Kedudukan mereka yang berpendirian begini dengan jelas kelihatan sifat picisannya.

Pembohongan dari segi penilaian dan ukuran yang digunakan juga dilakukan oleh   Panel Anugerah Sastera Negara ketika memilih para sasterawan negara.  Bagaimana pembohongan ini dilakukan? Apakah yang dimaksudkan dengan pembohongan; mengapa pembohongan penting dalam penilaian Panel Anugerah Sastera Negara?  Persoalan ini saya bincang dalam buku saya, Pandirisme dalam Komuniti Dunia (2016).  Dari komen-komen yang kita dapat dalam tulisan para sasterawan negara dan sarjana sastera, nampaknya mereka tidak membaca buku ini, oleh itu timbul pandangan negatif tentang kritikan, seperti yang dinyatakan oleh antara lain sasterawan negara Anwar Ridhwan. Perhatikan kutipan ini: “Kita memerlukan kritikan sastera yang sihat dan membina, sebagaimana gelanggang politik juga memerlukan kritikan yang konstruktif demi kemaslahatan penduduk negara ini” (hal. 53-54). Kesimpulan ini membuktikan penulisnya tidak mengikuti perkembangan baru dalam kritikan sastera Melayu, yang dicetuskan oleh Gagasan Persuratan Baru. Inilah contoh pembohongan yang paling jelas cuba menafikan perkembangan baru yang dibawa oleh PB. Kita perlukan sedikit penjelasan, sejauh mana tidak membinanya PB dalam perkembangan penulisan Melayu? Dari segi apa PB itu tidak sihat sebagai satu gagasan yang pada dasarnya amat revolusioner dalam perkembangan kritikan sastera Melayu. Tentulah kita memerlukan penjelasan yang  tidak bersifat picisan, tetapi yang bersifat kritis dari segi penghujahannya ketika menolak PB sebagai gagasan yang mengarut saja, seperti yang ditegaskan oleh Anwar Ridhwan tanpa menyebut gagasan ini. Tentulah amat menarik jika seorang tokoh sehebat Anwar Ridhwan menganggap PB tidak konstruktif dalam kritikan sastera Melayu dan dengan itu perlu ditolak kerana kedudukannya sebagai pengacau saja, bukan sebagai satu alternatif yang ditunggu-tunggu.

Dalam keadaan sekarang, arah yang dituju terlalu kabur, keliru dan tiada matlamat yang jelas yang ingin dicapai dalam jangka masa tertentu. Dengan itu sastera Melayu hanyut dalam lubuk hedonisme dan lemas dalam telaga hiburan yang tidak berjejak di bumi intelektual.  Inilah ciri utama karya para sasterawan negara yang mendapat pembelaan dan sanjungan daripada para sarjana ciritan yang cetek meraba-raba merayau dalam belantara ilmu yang ditiru sepenuhnya daripada pengalaman sastera Barat.  Inilah keadaan yang ingin dilanjutkan oleh para sasterawan negara dan para sarjana sastera yang tenggelam dalam lubuk teori sastera Barat itu.  Mereka memperkenalkan segala macam istilah yang menurut mereka baru, oleh itu perlu mendapat pengiktirafan dalam kritikan sastera dan dalam penilaian karya.  Antara jaguhnya ialah Ketua 1 PENA sekarang (semua orang tahu nama beliau), yang menulis satu rencana 2005 dan mendapat Hadiah Sastera tahun itu, kerana tulisan itu memuji sebuah novel Anwar Ridhwan. Jika Anwar Ridhwan jujur (tidak ada sebab untuk beliau tidak jujur), maka tulisan yang memuji novel beliau itu tentulah termasuk dalam kategori “kritikan tidak konstruktif” kerana memuji sebuah novel picisan walaupun diberi hadiah istimewa.  Dalam konteks inilah saya mencabar “tukang karut sastera” ini membuktikan karya mereka lebih baik dan lebih bermutu daripada Pujangga Melayu. Cabaran itu tidak mungkin diberi pandangan “konstruktif” kerana mereka tahu karya mereka akan meraung meminta ampun sekiranya diberi kedudukan tinggi melebihi Pujangga Melayu padahal karya mereka adalah karya picisan, seperti yang diberi huraiannya oleh Gagasan Persuratan Baru. Jika para “tukang karut sastera” ini benar-benar percaya karya para sasterawan negara itu karya unggul, maka cara terbaik untuk membuktikannya ialah dengan menilai dan menganalisis karya itu berasaskan kaedah yang dianjurkan oleh PB.  Jika betul-betul “tukang karut sastera” ini benar-benar percaya karya para sasterawan  negara itu tidak dapat dicabar keunggulannya, maka cara terbaik untuk membuktikannya ialah dengan menilai karya itu berasaskan kaedah yang dianjurkan oleh PB. Sekarang anda diberi peluang untuk meletakkan PB sebagai pencabar teori sastera Barat, dengan itu anda diberi peluang untuk membuktikan bahawa teori sastera Barat itu adalah teori terbaik untuk digunakan dalam menilai karya para sasterawan negara. Maka dengan itu saya cabar mereka semua menilai Pujangga Melayu dan lain-lain karya kreatif saya dengan menggunakan teori sastera Barat. Kita mahu lihat sejauh mana keunggulan karya para sasterawan negara ini jika dinilai secara konstruktif untuk menilai karya kreatif Mohd. Affandi Hassan.

Kita telah melihat secara ringkas cabaran dalam bidang kritikan; oleh itu kita akan bincang pula cabaran dalam bidang pemikiran ketika membicarakan sumbangan para sasterawan negara dan para penyanjung mereka yang bergelar sarjana sastera itu.  Oleh sebab saya telah membicarakannya dengan panjang lebar dalam dua buah buku yang saya rujuk tadi, oleh itu tidak perlu lagi dihuraikan dengan mendalam dalam tulisan ini. Rujuk saja dua buah buku tadi. Hujah dan analisis yang diberikan dalam dua buah buku itu perlu dinilai sehabis kritis untuk membuktikan pemikiran yang dihuraikan dalam dua buah buku itu tidak “konstruktif” untuk membina teori sastera kita sendiri berasaskan konsep ilmu yang benar. Kita mahu lihat konsep “ilmu yang benar” tidak konstruktif untuk membina teori sastera kita sendiri, sikap yang menjadi pegangan para sasterawan negara seperti yang jelas dalam kutipan daripada Anwar Ridhwan. Para “tukang karut sastera” diberi peluang terbaik untuk membuktikan falsafah (?) “tukang karut” yang mereka anjurkan itu adalah konstruktif untuk dijadikan asas kritikan sastera.  Berapa lama lagi para “tukang karut sastera” yang bergelar sasterawan negara dan sarjana sastera ini hendak menafikan kemunculan PB dalam pemikiran baru tentang kritikan sastera dan penulisan kreatif, tidak menjejaskan kemunculan PB yang berdiri gagah mencabar tidak saja para sarjana ciritan dan sasterawan picisan, malah mencabar keabsahan teori sastera Barat sebagai panduan dalam penulisan kreatif dan penilaiannya. Asas teori sastera Barat adalah sikap hedonistik para sarjana mereka, yang menolak apa juga pendekatan yang berasaskan konsep ilmu yang benar yang menjadi asas penulisan dan kritikan sastera di kalangan karyawan Islam.  Berapa lama lagi para sasterawan negara dan sarjana sastera mahu berada dalam belantara teori sastera Barat, hanyut dalam kesesatan ilmu yang dipilih sendiri, walaupun mereka sudah didedahkan dengan konsep ilmu yang benar sejak kira-kira setengah abad perkembangan sastera Melayu moden.  Seandainya mereka memilih untuk terus sesat sambil menentang konsep ilmu yang benar dalam kritikan dan penulisan kreatif, maka kita letakkan kesesatan ini ke atas DBP yang gagal memberi arah yang betul dalam perkembangan sastera berasaskan konsep ilmu yang benar. Contoh terbaru kesesatan ini ialah apabila DBP menjadikan novel picisan Salina sebagai kemuncak pencapaian kreatif dalam sastera Melayu moden.  Keputusan ini tidak saja bodoh dan tidak berasas, malah menghina budaya ilmu dalam perkembangan kreatif dan kritikan sastera yang sedang dibina oleh Gagasan Persuratan Baru.  Inilah kemuncak pembohongan dalam sastera Malaysia.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 2 Februari 2020.


No comments:

Post a Comment