Dengan
munculnya Gagasan Persuratan Baru (seterusnya PB) sebagai teori kritikan dan
kaedah penulisan kreatif, maka seluruh teori sastera Barat dicabar dan
dinafikan keabsahannya dalam kritikan sastera Melayu. Tetapi ini tidak bererti
teori Barat tidak boleh digunakan untuk menilai karya sastera Melayu; hanya
penilaian itu mestilah dilihat dalam konteks PB. Ini menimbulkan cabaran besar kepada
kedudukan para sasterawan negara dan Panel Anugerah Sastera Negara. Ukuran yang
digunakan oleh Panel untuk memilih para sasterawan negara tidak memenuhi dua
aspek penting yang dilontarkan oleh PB: pertama, tentang konsep ilmu; kedua,
tentang kaedah dan ukuran yang dipakai dalam penilaian sesebuah karya kreatif.
Dua persoalan besar ini telah dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Ungku
Maimunah Mohd. Tahir dalam tulisan-tulisan beliau, terutama sekali dalam dua
buah buku beliau, Kritikan Sastera
Melayu: Antara Cerita dengan Ilmu (Syarahan Perdana, UKM 2007); Dinamika
Pemikiran Sastera Melayu (DBP 2009).
Dua buah buku ini menghuraikan dengan jelas kedudukan PB dalam kritikan
sastera Melayu dan implikasinya dalam perkembangan persuratan Melayu.
Saya sendiri
telah menghuraikan dengan mendalam
persoalan ini dalam buku saya, Anugerah
Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (Wadi al-Irfan, 2019).
Buku ini menjadi teras kritikan sastera Malaysia; tetapi para sarjana
sastera dan para sasterawan telah menolaknya tanpa sebarang hujah. Mereka tidak
membaca buku ini, juga buku Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, kerana menurut
mereka konsep PB yang dihuraikan dalam buku-buku itu bertentangan dengan teori
sastera Barat, yang menjadi ikutan dan pegangan mereka. Pendapat yang tidak siuman ini, dari segi
ilmiah atau dari segi akademik, adalah
satu jenayah intelektual yang mesti ditolak seperti kita menolak para
pencuri dan penyamun. Dengan terus
berada dalam keadaan tidak siuman sebagai penentang konsep ilmu yang benar
dalam Islam, maka golongan ini meletakkan diri mereka sebagai kumpulan yang
sesat meraba-raba, oleh itu apa juga ukuran yang mereka gunakan untuk menilai
para sasterawan negara, atau yang mereka pakai dalam kritikan sastera, adalah
ukuran palsu berasaskan nilai-nilai palsu yang mereka curi dari teori sastera
Barat tanpa memahami konteks teori itu diwujudkan. Inilah persoalan besar yang
saya bincang dalam buku mengenai sasterawan negara itu. Para sarjana sastera,
pengkritik sastera dan para sasterawan terus berkeras bahawa nilai-nilai palsu
yang mereka pakai itulah nilai-nilai sastera yang dijadikan asas kritikan
sastera Barat, oleh itu mestilah menjadi ikutan para sarjana sastera,
pengkritik sastera, dan para sasterawan kerana itulah yang diterima di
peringkat antarabangsa. Sebenarnya
mereka bercakap benar, kerana inilah penghujahan yang dipakai oleh Pascale
Casanova dalam bukunya, The World
Republic of Letters (terjemahan Inggeris diterbitkan 2004). Buku ini menegaskan sastera Barat mempunyai
dua kiblat: Paris dan London. Kalau anda membaca tulisan para sarjana sastera,
inilah juga yang menjadi ikutan mereka. Sila lihat buku-buku rujukan yang
mereka tayangkan dalam tulisan mereka. Saya tidak perlu memberi contoh, kerana
contoh-contoh itu sudah pun disenaraikan dengan teliti sekali dalam tulisan
saya yang mereka anggap tidak akademik dan tidak berasaskan teori sastera
Barat. Inilah kedudukan yang sebenar,
dan kepalsuan inilah yang saya kritik. Inilah asas pemilihan para sasterawan
negara. Oleh itu, buku Anugerah Sastera
Negara dalam Kesusasteraan Melayu perlu disanggah sekiranya mereka ini
betul-betul mempunyai kefahaman yang mendalam tentang teori sastera Barat.
Sebenarnya, jika mereka mempunyai kefahaman yang mendalam tentang teori sastera
Barat, mereka tidak ada pilihan melainkan menerima hujah-hujah yang saya
kemukakan dalam buku Anugerah Sastera
Negara kerana pembohongan intelektual yang saya kupas dalam buku itu memang
sangat wajar dibahaskan oleh mereka yang cetek meraba-raba dan keliru ini. Dengan terus membisu, mereka hanya
membenarkan kesimpulan Pascale Casanova bahawa sastera Melayu moden juga
berkiblatkan Paris dan London. Itulah kedudukan yang sebenarnya. Inilah
persoalan yang saya bincang dalam buku saya Pandirisme
dalam Komuniti Dunia (2016). Dalam
konteks ini saya mencabar mereka mengemukakan sebuah karya para sasterawan
negara yang setanding dengan novel Pujangga
Melayu.
Mengapa para
sarjana, pengkritik dan sasterawan menolak kaedah baru yang dianjurkan oleh PB?
Jawapannya sangat mudah. Jika mereka menerimanya, maka kemunculan para
sasterawan negara dan peranan Panel Anugerah Sastera Negara adalah satu
pembohongan intelektual yang amat memalukan, yang perlu ditolak dengan tuntas.
Kalau ini dilakukan, apakah yang kita ada? Pertanyaan ini akan tinggal pertanyaan
kerana jawapannya akan membenarkan huraian saya dalam buku-buku yang saya sebut
dalam entri ini dan dalam tulisan saya secara umum. Sila rujuk misalnya Gagasan
Persuratan Baru (520 halaman), yang
membicarakan kaedah baru dalam kritikan dan penulisan kreatif. Sehingga ini belum ada lagi sanggahan
terhadap kaedah yang dianjurkan PB, dengan itu membuktikan dengan jelas bahawa
taraf kemampuan intelektual di kalangan para sarjana sastera dan pengkritik
sastera yang menjadi pensyarah sastera di universiti masih belum sampai ke
tahap yang ditunjukkan dalam Gagasan
Persuratan Baru, dengan itu para pelajar masih lagi berada dalam zaman batu
dalam sastera Melayu, yang dikekalkan oleh pensyarah mereka yang anti-ilmu,
yang cetek meraba-raba. Walaupun
persoalan ini penting dan serius, namun tiada usaha untuk memahaminya dan
mengatasinya. Akhirnya para pelajar yang mengambil mata pelajaran kesusasteraan
terus berada dalam kegelapan intelektual kerana itulah yang dikehendaki oleh
guru-guru mereka di universiti. Saya telah cuba membincangkan aspek ini dalam
cerita pendek “Rumah Impian Polan Cupan”, tetapi cerita pendek itu nampaknya
tidak difahami oleh para sarjana sastera yang menjadi pensyarah dalam bidang
kesusasteraan, dengan itu persoalan penting dalam cerita pendek itu tenggelam
begitu saja. Inilah akibat pengaruh teori sastera Barat yang amat jelas gagal
untuk membaca karya itu dan memberi tafsiran yang tepat tentangnya. Maka
amatlah munasabah jika di dalam Pujangga
Melayu anda akan bertemu sebuah
cerita pendek berjudul, “Lembu Masuk Universiti”. Berapa orang yang masih ingat
sindiran tajam Prof. Syed Hussein al-Attas mengenai peranan “profesor kangkung”
di universiti yang gagal mengajar para siswa untuk berfikir dengan kritis dan
sistematik. Masih adakah jenis “profesor
kangkung” ini di universiti? Saya
positif mereka adalah golongan majoriti, menjadi benteng pandirisme yang
dijadikan asas dalam pengajian kesusasteraan, yang sikapnya anti-ilmu. Inilah golongan yang melahirkan
sasterawan negara itu. Sila baca dengan teliti dan kritis Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden. Kalau
anda cerdik, anda akan dapat jawapannya di dalam buku itu.
Kalau anda
cerdik dan waras, tentu anda terkesan bagaimana saya selalu meminta pembaca
saya bersikap kritis dan kreatif menilai pandangan saya yang kadang-kadang
mengejutkan pembaca yang kurang cerdik, malah mungkin juga yang memang tidak
cerdik, walaupun dia mungkin seorang sarjana yang berpangkat doktor! Contoh terbaik ialah kritikan saya terhadap
seorang sarjana yang dengan bangganya menjadikan perzinaan sebagai dasar
estetika baru dalam kritikan sastera. Saya beri nama yang cantik kepada satu
kajian yang menurut penulisnya mengenai feminisme, yang menjadikan karya lucah
dan porno sebagai bahan kajian. Saya namakan kajian itu sebagai kajian mengenai
the aesthetics of adultery (estetika perzinaan) dalam sastera Melayu.
Kajian ini telah mendapat dua hadiah utama yang kononnya amat dibanggakan dalam
penyelidikan akademik, satu penerokaan baru yang mengasyikkan para sarjana
membacanya. Maka marahlah seluruh kaum
akademik yang menuduh saya tidak mempunyai wibawa ilmiah sehama pun, lalu kata mereka saya
begitu gelojoh mengkritik hasil kerja akademik yang amat tinggi kualiti
ilmiahnya itu! Kritikan itu bagi saya sangat bagus dan tepat, kerana ia
membenarkan kesimpulan saya selama ini,
bahawa sikap picisan dalam kesarjanaan sastera Melayu memang menjadi
sanjungan dan diberi penghargaan yang tinggi, membuktikan betapa dangkalnya analisis
para sarjana berpangkat kedoktoran ini. Untuk itu, bacalah dengan kritis Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan
Melayu Moden (2019). Buku ini bukan
hasil karya akademik; tetapi kualiti pemikiran dan analisisnya sukar ditandingi
oleh mana-mana karya akademik yang membicarakan subjek yang sama. Dengan
kesimpulan ini, anda bolehlah membuktikan kepalsuan analisis dalam buku ini,
jika anda mahu dan bersedia untuk dinilai keampuhan akademik anda sendiri.
Pembohongan
akademik ini tidak boleh dibiarkan dengan mengambil sikap bahawa apabila
seseorang sudah mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang pilihannya, maka dia
secara automatik boleh dipercayai dan diyakini kualiti akademiknya. Sikap dan cara ini tidak akademik, malah
inilah yang boleh disebut sebagai pembohongan akademik. Bukti terbaik dan paling mudah disahkan ialah
melalui penulisan ilmiah seseorang ahli akademik. Saya bukan seorang ahli akademik, tetapi
tulisan yang bersifat akademik yang saya tulis dan terbitkan tidak diminati
oleh ahli akademik yang menurut mereka tidak mencapai standard yang mereka
tetapkan di kalangan mereka, para ahli akademik. Apakah standard itu? Kita
tidak perlu tahu; tetapi anda perlu tahu standard karya kreatif dan karya
ilmiah yang saya hasilkan kerana ini lebih mudah dijadikan perbandingan dengan
karya akademik para sarjana ini.
Perlukah saya senarai pencapaian saya? Tidak perlu, kerana semuanya
terselit dengan megah dalam karya itu. Bacalah, kemudian berilah penilaian
sehabis kritis yang anda mampu, dan mahu. Karya itulah yang meletakkan anda di
tahap yang anda mahu. Itulah hakikat intelektual, dan hakikat akademik, yang akan meletakkan anda pada kedudukan yang
anda pilih.
Itulah
falsafah PB yang rupanya ditakuti oleh para intelektual dan ahli akademik. Seperti bahtera Nabi Nuh ‘a.s., bahtera PB
akan melayari seluruh lautan ilmu dengan gagah, tidak dapat ditenggelamkan
walaupun dipukul ombak besar bertalu-talu. Itulah kedudukan PB dalam dunia
akademik.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 17 Januari 2020.
No comments:
Post a Comment