Saturday, January 11, 2020

KUMPULAN TULISAN UNTUK RENUNGAN



[Sedikit penjelasan untuk memudahkan anda memahami kumpulan tulisan ini.  Sekiranya anda tidak mengikuti perkembangan politik Malaysia, terutama politik Melayu, anda mungkin sukar hendak memahami kumpulan tulisan yang disatukan di bawah tajuk di atas. Oleh itu bagus juga anda memerah otak sedikit sambil merenung kembali beberapa peristiwa menarik dalam politik Melayu, dengan membuat sedikit perbandingan, atau analisis yang dangkal pun tidak mengapa, supaya anda dapat melihat dengan lebih jelas apakah sebenarnya yang terjadi dalam politik Melayu. Adakah pengundi Melayu sudah tidak dikhianati oleh ahli politik?  Pertanyaan ini penting, dan jawapannya lebih penting lagi. Itulah maksud rangkaian tulisan yang disatukan dalam judul di atas.]

ALTANTUYA, PONTIANAK DAN POLITIK PERAK    

Orang Melayu yang masih percayakan hantu, meskipun sudah menjadi ketua parti yang kaya raya dan memegang jawatan politik yang menguntungkan, tidak teragak-agak untuk membuat kesimpulan bahawa apa yang berlaku di Perak sekarang adalah angkara Altantuya, yang kini sudah menjadi pontianak. Menurut kepercayaan orang Melayu, pontianak dapat dihidupkan kembali untuk menjadi perempuan cantik dengan mencabut paku di tengkuknya.  Bomoh-bomoh Melayu yang terkenal ssebagai kumpulan pandai hantu, berkata dengan yakin paku itu di atas kepala pontianak.  Ini sudah disahkan dalam sebuah filem Melayu yang menceritakan betapa seorang pontianak jatuh cinta kepada seorang pemuda Melayu yang budiman. Kalau cintakan hamba, kata pontianak, cabutlah paku di kepala hamba. Maka dicabut; maka dapat pula pemuda Melayu menggantikan paku dengan memaku pontianak dengan paku yang membuat pontianak menjerit sehingga mengejutkan isi rumah di tengah malam. Mujurlah nenek pemuda itu memberi peringatan supaya tidak mengganggu pengantin baru itu; biarlah pontianak itu menjerit kerana kini, kata nenek, keadaan sudah berlainan. Masalahnya sekarang, orang yang akan mencabut paku itu belum tentu menjadi pilihan Altantuya, kerana sudah serek ditipu semasa hidupnya. Maka kata bomoh-bomoh Melayu yang memang pandai menjampi walaupun dia tahu jampi itu tidak menghasilkan apa-apa, negeri Perak yang kini sudah menjadi pontianak dalam politik Malaysia boleh diselamatkan jika paku yang ditanam di tengkuknya dicabut oleh orang yang berbuat angkara. Kata ahli politik pula, tak perlu cabut apa-apa paku pun, cukup dengan membubarkan DUN Perak dan biarkan hantu-hantu yang berkeliaran di Perak membuat pilihan sendiri siapa yang mereka mahu jadikan ketua mereka. Kata ahli politik lagi, masalah ini terjadi kerana para pengundi hantu di Perak diikat kaki tangannya dalam PRU 12, Mac 2008, oleh itu tidak boleh mengundi untuk tuan-tuan mereka yang memang memelihara mereka dengan baik selama ini.

Dalam peristiwa pelik yang menimpa Altantuya, rakyat Malaysia diminta dengan rayuan yang amat sedih oleh pontianak Altantuya supaya beliau diberitahu apakah sebabnya dia dibunuh dan diletupkan. Mengapa berahsia sangat tentang dirinya yang malang itu, padahal dia orang luar yang datang ke Malaysia mencari tuah, tidak patut dibunuh dan diletupkan. Dia hanya menjadi kekasih orang yang disayanginya. Sekarang baru dia tahu orang yang disayanginya itu sebenarnya tidak sayangkan dia, maka dibunuh tapi ceritanya terus jadi semakin panjang. Maka kata Altantuya, aku sumpah negeri Perak menjadi pontianak seperti aku kerana orang yang merampasnya tidak pun mencintai negeri itu, tapi dibuat kerja jahat itu kerana tamakkan kuasa semata-mata. Maka berkawan baiklah dua jenis pontianak ini dan kedua-duanya membingungkan orang Melayu, sudah tak tahu apa nak buat lagi apabila jampi bomoh tidak berkesan langsung. Hanya satu cara saja boleh diselesaikan, cabut paku di tengkuk pontianak Perak supaya Siti Perak yang cantik, secantik Altantuya itu, dibenarkan memilih sendiri kekasihnya, bukan lagi ditentukan oleh peraturan perlembagaan hantu-hantu politik. Tetapi khalifah kepada segala hantu tidak setuju, kerana menurutnya dia punya kuasa mutlak untuk menjadikan seseorang itu pontianak atau tidak. Akibatnya Siti Perak yang tersiksa terus mengilai dengan suara nyaring, siang malam, tak kira waktu lagi, boleh didengar dari barat ke timur, dari utara ke selatan di seluruh dunia. Bukan saja mengilai-ngilai seperti perempuan gila, tetapi kini sudah mendedahkan dirinya tidur di bawah pokok rendang untuk ditonton kecantikannya di seluruh dunia. Telanjang bulat, tak mahu pakai apa-apa lagi. Sudah marah betul nampaknya. Makin gila bomoh-bomoh politik menjampi, sampai dibawa ke teratak Hakim Bistari di pinggir Sungai Perak untuk disiumankan kembali. Tidak berjaya juga. Tidak ada undang-undang atau apa-apa peraturan sekalipun yang boleh mententeramkan pontianak Siti Perak yang sedang menangis terisak-isak di riba pontianak Altantuya. Celaru betul dibuatnya bila hantu-hantu buat pasal. Kata penganalisis politik yang bijak bistari, kini hantu-hantu pun mempunyai daulat, tidak boleh diderhakai, mesti diberi salut cara hantu berdaulat, “Minta lalu Datuk Hantu, cucu datuk nak lalu pergi cari emas dalam hutan Perak. Bolehkah Datuk?” Walaupun hantu tidak pernah menjawab apa juga permintaan, orang Melayu yang cerdik terus saja meredah hutan mencuri emas dan lain-lain galian berharga. Pontianak Altantuya dan pontianak Siti Perak yang melihat kerakusan anak cucu hantu itu, berasa serabut perut nak muntah melihat kelakuan rakus mereka berkelahi sesama sendiri berebut tanah hutan yang belum tentu ada bijih emas. Maka merayulah pontianak Altantuya sambil menangis tersedu-sedu, “Ampunkan hamba Puteri Siti Perak. Sembah hamba sembah derhaka. Hamba tak mahu lagi duduk di Malaysia. Tolonglah cabutkan paku di tengkuk hamba kerana hamba nak jadi manusia yang sempurna balik. Sekurang-kurangnya hamba boleh mencari kekasih baru di tempat lain pula …” Pontianak Siti Perak pun menangis terisak-isak sambil bertitah dengan suara lemak merdu penuh daulat yang syahdu, “Aku tak boleh buat apa-apa. Mana aku tahu kamu cakap benar nak tinggalkan Malaysia? Sekiranya kamu terus gilakan kendak kamu, aku hendak diletak di mana? Walaupun aku pontianak, aku ada maruah macam kamu juga. Tapi kendak kita tak ada maruah. Bukan saja kamu diletupkan, rekod kamu datang ke mari pun dihapuskan. Sebenarnya kamu tidak ada di sini. Kamu tak wujud pun. Tak ada rekod langsung. Pontianak pun ada rekod, tapi tidak kamu sebagai Altantuya. Baiklah kamu tak usah jadi manusia lagi. Sia-sia dan menyusahkan. Tapi kalau kamu berkeras juga masih ingin jadi manusia yang akan terus dirogol, duduklah di Pahang, negerinya besar tebal pula hutannya. Orang-orang kaya dan bangsawannya sukakan perempuan cantik seperti kamu, jadi kamu tak perlu takut tak dapat pelanggan. Tapi aku mau kasi ingat, ada di antara orang kaya-kaya mereka yang badannya berbau busuk, memang busuk sungguh-sungguh. Tanyalah pontianak Noritta dari Perlis siapa di antara orang kaya yang berbau busuk itu. … Sekarang mari kita usik kendak kita yang jahat perangai itu …”  Kata nenek tua yang sukakan cerita-cerita hantu, cerita dua orang pontianak itu benar-benar memberi keinsafan dan peringatan kepada manusia. Orang baik-baik tidak semestinya tidak boleh jadi pembunuh atau perogol. Kalau boleh hantu yang cantik-cantik pun hendak mereka rogol juga supaya puas nafsu jahat mereka. Hatta kata nenek tersebutlah asal usul kerajaan hantu di Palembang zaman dulu kala. Maka datanglah perlente Keling ke Palembang, mencari negeri untuk dibuat negara. Maka bertemu dengan penghulu Melayu yang bernama Demang Lebar Daun yang sangat lebar daun telinganya, menandakan kecerdikannya. Maka disembah oleh Melayu akan perlente Keling itu, seperti kisahnya dalam Hikayat Sejarah Melayu. Maka dia sudah naik berahi melihat anak-anak dara Melayu yang berkemban, tak tahan lagi nafsu Kelingnya, seperti Tun Ali gilakan Tun Kudu adik Tun Perak, hingga diceraikan sultan supaya puak Keling berdamai dengan puak Melayu zaman Melaka. Lalu dirogolnya semua sekali 39 orang anak-anak dara pertuanan Melayu melalui perkahwinan segera (instant marriage). Esok hari dia cerai, membuat Melayu jadi takut kepada daulat perlente Keling itu. Maka setelah habis 39 anak dara, dia pun tak sabar lagi hendakkan yang satu itu, anak dara Demang Lebar Daun sendiri. Maka dapatlah perlente Keling itu gadis Melayu yang cantik. Bukan itu saja, kini perlente Keling itu dinobatkan menjadi Yang di Pertuan bagi semua orang Melayu, disembah diminta ampun walaupun tidak berdosa. Kata nenek, itulah asal mula sejarah pontianak di negeri Melayu.  Maka dibangunkan sebuah kota besar bernama Pontianak di negeri hutan belantara. Siapa-siapa yang tidak percaya adalah derhaka. Maka nenek pun menyembah dengan tertibnya kepada hantu-hantu itu. Kami anak-anak muda cucu-cicit nenek bertepuk, lucu melihat lakonan nenek itu. “Sembah!,” herdik nenek. Kami yang muda-muda itu lari bertempiaran sambil tertawa sampai tersembur air liur. Ketika itulah kami dengar hilai tertawa pontianak Altantuya dan Siti Perak lucu melihat kelakuan biadab kami tidak mahu menyembah mereka. Gila betul dunia ini. He he he, tertawa Pak Dharma. Tak pasti siapa yang kata “Gila betul dunia ini”. Pak Dharma atau pontianak? He he he. (6/3/2009)


ALTANTUYA DAN MAHSURI KORBAN NAFSU LELAKI MELAYU

Selepas Mahsuri, orang Melayu mencipta sebuah legenda baru dalam cerita Altantuya yang dibunuh dan diletupkan hingga berkecai tulangnya. Tiada siapa pun tahu mengapa Altantuya yang berasal dari Monggolia itu datang ke Malaysia untuk dibunuh dan diletupkan. Siapa yang melakukannya hanya diketahui dalam bisikan kabar angin, tidak dibenarkan diceritakan berterus terang. Tidak seperti Mahsuri yang diketahui ceritanya dan pembunuhnya, Altantuya sangat istimewa kerana tiada siapa pun berani mengaku menjadi pembunuhnya. Oleh itu Altantuya yang cantik menawan lelaki Melayu yang misteri itu membunuh dirinya dan meletupkannya sendiri dirinya yang membuat lelaki Melayu jadi gila itu. Persis seperti terjadi kepada Anwar Ibrahim, yang menurut Dr. Mahathir Mohamed mencederakan dirinya sendiri untuk mencari simpati dan publisiti. Penjahat yang memukul Anwar Ibrahim akhirnya diketahui setelah disiasat oleh satu suruhanjaya penyiasat; tetapi Altantuya tidak bernasib baik kerana tiada siapa pun ingin mengetahui cerita sebenarnya. Noritta gadis cantik dari Perlis yang terbunuh di kediaman mewahnya lebih bernasib baik kerana pembunuhnya dikatakan mempunyai bau badan yang busuk. Walaupun pembunuh itu tidak diketahui, sekurang-kurangnya bau badannya diketahui dan ini bolehlah dijadikan bukti memang pembunuh itu wujud walaupun tidak diketahui siapa. Altantuya nampaknya tidak mendekati lelaki yang berbau busuk badannya, mungkin kerana beliau seorang yang pemilih dan tahu menilai harga lelaki yang didekatinya, yang sebenarnya mendekatinya untuk mendapatkan sesuatu yang berharga. Bau badan Altantuya pastilah sangat harum dan benar-benar memikat, sehingga menaikkan nafsu lelaki Melayu yang mendekatinya, yang membuatnya menjadi gila. Ketiga-tiga cerita perempuan cantik ini wajar dijadikan bacaan wajib di sekolah-sekolah di kalangan murid-murid perempuan, supaya mereka lebih berhati-hati ketika mendekati lelaki Melayu yang gemarkan perempuan cantik. Cerita itu hendaklah diajarkan dalam bahasa Inggeris, supaya gadis-gadis Malaysia yang malas belajar bahasa Inggeris menjadi rajin untuk mengetahui cerita sebenar tiga orang perempuan cantik yang terbunuh kerana menjadi mangsa nafsu lelaki Melayu itu. Anak-anak gadis itu hendaklah diperingatkan supaya setiap kali mereka bertemu dengan lelaki Melayu yang berkuasa dan banyak wang, mereka hendaklah bertanya, “Adakah orang ini pembunuh Noritta dan Altantuya?”  (18/2/2009)

ANALISIS ASTRO

Kami harap anda sudah terima komen kami yang panjang dalam e-mail  12/3/2008. Ada beberapa perkara tertinggal, oleh itu kami nak nyatakan dalam e-mail ini.

Menurut perhitungan kami, dalam masa 13 hari sebelum mengundi, semua stesen TV di Malaysia menyiarkan setiap saat lambang dacing BN dengan slogan: pilihlah Malaysia dengan memangkah kami (pilih BN). Secara kasarnya, pendedahan ini berjumlah lebih dari 450,000 kali. Perbuatan ini nyata tidak bermoral, sangat kuat unsur rasuahnya, dan langsung tidak menghormati penonton dan pengundi. Penonton/pengundi jadi meluat, marah kerana diganggu begitu rupa. Iblis pun tidak memujuk sekerap itu. Perbuatan ini lebih dahsyat daripada pujuk rayu Iblis. Hasilnya, BN hampir lingkup. Mengapa perbuatan ini terjadi? Kerana rendahnya moral sesiapa juga yang merancangnya, dan orang2 yang bermoral rendah inilah yang bercakap tentang rasuah sampai berapi mulutnya. Tak seorang pun pakar anda sebut perkara ini. Apa sudah jadi dengan mereka, terutama para ahli akademik yang diharap objektif komennya? Sekarang anda pula melakukan perkara yang sama, tanya bertalu2 bagaimana pelaboran boleh digalakkan oleh kerajaan negeri yang dikuasai BA. Cepat, cepat, dunia globalisasi mahu semua cepat. Waduh, bagusnya sikap prihatin terhadap pelaboran ini.

Kami teringat satu pandangan seorang pesara guru dari Negeri Sembilan yang lama mengajar di Kelantan. Bila balik ke Seremban, dia bilang (dalam TV Malaysia) Kota Baharu lebih maju daripada Seremban. Yang jadi pengacara terkejut. Pesara itu bilang, kemajuan bukan hanya bangunan dan jalan raya, tetapi manusianya. Kalau anda pernah pergi ke Kelantan, anda akan dapati rumah2 besar lebih hebat daripada yang terdapat di PJ. Orang miskin Kelantan hidup mewah kerana mereka kuat bekerja. Tentu saja tidak semewah Tun Mahathir dan anak2nya. Tetapi tetap mewah. Kerana itu mereka tolak bulat2 janji “kemewahan” BN dalam manifesto. Cerita wayang kulit lebih menarik daripada cerita manifesto BN. Prof. Senator Ismail Salleh, pakar ekonomi yang sangat celik hatinya, berkata dalam program yang sama, makna pembangunan itu bukan hanya bangunan dan seumpamanya. Ada perkara lain. Ahli sejarah Islam, ulama dan pakar pembangunan Islam, selalu mengingatkan bahawa yang termaju di dunia ialah Firaun. Tetapi merekalah yang terkutuk, dikutuk oleh Allah Ta’la sendiri. Jadi bila anda buat terlalu banyak bangunan tinggi, sampai masjid pun dibuat hebat untuk memukau pelancong, maka anda berjiwa Firaun. Adakah itu kemajuan? Ada pelaboran lain dalam kehidupan manusia, iaitu yang dinamakan kebahagiaan. Bahagiakah para pemandu kereta yang hendak ke utara yang kena bayar tol lebih seratus ringgit dengan minyak yang hampir sama? Lebih cepat dan murah naik kapalterbang. Apa jenis pembangunan yang menyusahkan demikian rupa? Biarlah pakar2 anda dalam ANALISIS sentuh sedikit perkara ini, supaya ada keseimbangan dalam analisis mengenai perkara ini. Jika anda banyak membaca dan kenal tradisi pemikiran Islam, kenal tamadun Islam, anda tidak akan berasa aneh membaca komen ini.

Pada umumnya di Malaysia terdapat tiga matlamat pembangunan. (1) Untuk menunjuk-nunjuk, pameran, bermegah2. Contoh: Masjid Kristal di tempat tak ada makmum, dibina untuk tontonan pelancong. (2) Untuk membuktikan kerajaan prihatin, tak tinggalkan rakyat. Contoh: Bila ada pilihan raya kecil, jalan2 dibaiki, dibubuh tar, diberi gran tanah, diberi bonus kepada peneroka. (3) Untuk mencari keuntungan. Inilah yang paling utama. Wang dibelanjakan besar2an, disalurkan kepada golongan tertentu seperti peniaga, kontraktor dan sebagainya. Kemajuan dapat dilihat, berapa banyak wang dibelanjakan tidak diketahui. Alih2 kita lihat ahli politik hidup mewah, parti jadi banyak wang. Dan seterusnya. Adakah ini mesti diteruskan? Apa yang rakyat dapat? Mereka harus membayar segala macam cukai, yang nampak dan tidak nampak.  Inilah model pembangunan yang dimajukan oleh BN, yang akhirnya menimbulkan kemarahan rakyat. Kerana itu, antara sebabnya, ditolak oleh rakyat Kelantan. Mereka tahu yang akan senang lenang bukan mereka, tapi para pemimpin yang “membawa” pembangunan itu. Anda di ANALISIS patut bincang perkara ini, sebab inilah antara punca kemiskinan, atau gagalnya “pembasmian” kemiskinan walaupun sudah 50 tahun merdeka. Dengan adanya penswastaan, rakyat harus bayar cukai tiga kali ganda. Bagaimana ini terjadi biarlah para penganalisis  huraikan. Kebajikan rakyat, kemiskinan mereka, keperluan mereka, diperdagangkan dan ada orang jadi kaya raya kerananya. Mereka adalah para wakil rakyat, ketua parti, dan lain2 yang berkenaan. Dalam keadaan seperti ini, tidak mungkin rasuah dihapuskan. Sebab itu ada teori ekonomi yang membenarkan rasuah, untuk memudahkan terlaksananya pembangunan, untuk mempercepatkan. Kami fikir teori ini dipraktikkan dengan cekap di Malaysia.

ANDA MESTI BERBOHONG UNTUK BERJASA

Menurut YB Ibrahim Ali yang digelar Raja Lompat oleh orang ramai, Ahli Parlimen yang bebas bernaung di bawah PAS dan menang atas tiket PAS, masalah politik Malaysia menjadi begitu gawat kerana ahli-ahli politik pembangkang (tidak termasuk bebas) semuanya munafik.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                          Mereka pembohong dan sangat pandai menggunakan pembohongan untuk mendapat kuasa hingga hilang kuasa di Perak. Rakyat Malaysia patut bangga kerana adanya orang seperti YB Ibrahim Ali ini yang seumur hidupnya tidak pernah berbohong. Sebenarnya inilah masalah politik Malaysia yang merumitkan iaitu apabila semua pemimpin UMNO atau bekas pemimpin UMNO yang ditendang keluar seperti Ibrahim Ali tidak saja tidak pernah telanjang seperti Elizabeth Wong, tetapi juga tidak pernah berbohong. Pembohongan sangat penting dalam politik. Tanpa pembohongan tidak akan wujud muslihat politik. Hal ini disedari oleh para pemimpin UMNO, yang menggunakan strategi “tidak bercakap benar” sebagai senjata politik yang amat berkesan. Tidak bercakap benar tidak sama dengan berbohong. Seseorang itu berbohong jika dia tidak bercakap benar; tetapi orang yang tidak bercakap benar bukan berbohong, hanya menggunakan strategi untuk mengelirukan musuh politik yang jahat dan bodoh. Peristiwa rampasan kuasa di Perak adalah contoh paling baik untuk dijadikan kajian kes (case study) tentang makna bohong yang tidak sama dengan tidak bercakap benar. Orang yang  tidak bercakap benar adalah orang yang sempurna akalnya, bersih hatinya daripada segala penyakit hati, jujur dalam kata-kata dan mulia semua kelakuannya serta tindakannya. Semua ini telah dibuktikan dalam kes rampas kuasa di Perak. Rampasan kuasa itu dilakukan untuk membela kebenaran dan menjaga kepentingan rakyat kerana rakyat telah malakukan kesilapan besar dengan memberi kuasa kepada puak yang tidak boleh dipercayai. Menurut ulama yang tidak pernah berbohong, dan tahu betapa jahatnya berbohong, rampasan kuasa itu menjadi wajib dan berdosa jika tidak dilakukan kerana rakyat menderita di bawah pentadbiran para pembohong yang tidak tahu mentadbir negara. Oleh itu ulama berkata ada bohong sunat, ada bohong wajib, ada bohong harus. Bohong sunat, kata ulama, ialah bohong kecil yang terpaksa dilakukan untuk memelihara maruah; manakala bohong wajib pula ialah jenis bohong yang tidak dapat tidak mesti dilakukan untuk memastikan kuasa yang ada terus kekal kerana jika kuasa itu terlucut celakalah rakyat dan pemimpin yang sudah biasa dengan pembohongan itu; sementara bohong harus pula ialah jenis bohong main-main untuk memujuk rakyat mengundi seseorang calon pilihan yang dijamin kebaikannya dan tidak pernah berbohong serta tidak pernah telanjang seumur hidupnya. Barangsiapa yang tidak percayakan pembohong akan jadi susah, akan dituduh menderhaka, biadab, kurang ajar, pembelit, tak tahu undang-undang, jahil dan lain-lain kutukan yang dilemparkan dengan rakus dan angkuh oleh para pembohong yang jujur. Para pembohong yang jujur ini akan menggunakan apa juga ruang yang ada atau diadakan untuk menunjukkan kejujuran pembohongan mereka kepada rakyat. Merekalah orang paling berjasa dan paling jujur serta paling prihatin kepada rakyat. Mereka tidak main-main dengan pembohongan mereka, kerana berasaskan pembohongan itulah mereka melaksanakan pembangunan negara dan mendapat faedah besar daripadanya. YB Ibrahim Ali mempunyai pengalaman luas dalam aspek pembangunan ini dan beliau boleh menghuraikan dengan mendalam mengapa pembohongan menguntungkan para pemimpin yang berkuasa. Krisis politik di Perak tidak akan berlaku andainya para pemimpin bercakap benar memberitahu rakyat bahawa mereka berbohong kerana itulah jalan terbaik dan jujur untuk membela rakyat yang sudah lama tertipu.  (21/2/2009)

ANTARA ARGUMENT DAN SENTIMENT: BIARKAN MAHATHIR DENGAN LABU-LABUNYA

Orang Melayu nampaknya masih terpesona dengan borak Dr. Mahathir Mohamed, masih mahu mendengar celoteh poli-tikus lihai yang pandai menjerat lawannya sehingga hampir semua pemimpin UMNO yang baik-baik dan pandai-pandai dihumban ke telaga buruk politik UMNO. Semua yang dihumban ke telaga buruk itu tidak muncul-muncul lagi, kecuali Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tampil dengan gerakan politik yang memukau rakyat Malaysia, sehingga tiga parti pembangkang terbesar (PKR, PAS dan DAP) dapat disatukan untuk menjadi Pakatan Rakyat. Inilah yang menakutkan Dr. Mahathir Mohamed dan UMNO, walaupun mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkan diri mereka dan rakyat bahawa tokoh-tokoh dalam Pakatan Rakyat hanya pandai bermain dengan retorik, tetapi tidak mampu menjadi pemerintah yang baik, dengan memberi bukti Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dapat dirampas dengan mudah, dan yang lain-lain di empat negeri sedang digoncang untuk dicabut akarnya. Maka tertubuhlah Kabinet Rakyat, sebuah kabinet kitar semula yang di dalamnya berkeliaran ketua-ketua parti yang telah ditolak rakyat, atau dipilih dalam perhimpunan parti yang bergolak dengan rasuah politik. Dengan memberi definisi rasuah politik itu sebagai pertukaran wang dalam perundingan pencalonan untuk memilih ahli Majlis Tertinggi UMNO, maka konsep rasuah disempitkan begitu rupa sehingga terbatas kepada pertukaran wang dalam beli-membeli undi di kalangan perwakilan UMNO. Padahal erti rasuah itu jauh lebih luas, yang seharusnya diketahui oleh anggota UMNO yang dididik dalam Islam Hadhari selama lebih dari lima tahun. Dalam Islam, konsep rasuah itu diungkapkan dengan menyeluruh dalam konsep fasad, atau kerosakan besar dan terancang oleh manusia yang menentang hukum Allah. Siapakah yang menentang hukum Allah itu dalam politik Malaysia? Maksud pertanyaan ini dikhususkan kepada orang Melayu yang beragama Islam, terutama sekali kepada UMNO yang bersumpah untuk membela bangsa, negara, dan agama (Islam). Oleh sebab mereka telah mengaku dengan sesungguhnya bahawa mereka telus, jujur, ikhlas,  dan beradab, maka mereka seharusnya, sewajarnya, menggunakan konsep rasuah dalam konteks fasad yang disebut oleh Al-Quran. Konsep fasad seharusnya menjadi teras dalam membasmi rasuah dalam Islam Hadhari, kerana itulah ajaran Islam yang jelas tentang perbuatan rasuah. Dalam konteks inilah seharusnya pembangunan ekonomi, pembangunan politik, dan pembangunan masyarakat ditakrifkan dan dilaksanakan.  Penjelasan tentang perkara ini boleh diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang-bidang yang disebutkan, oleh itu tidak perlu dijelaskan di sini. Yang lebih penting ialah pertanyaan-pertanyaan yang menjurus kepada penjelasan yang membolehkan kita mengerti mengapa kita menghadapi masalah sosial yang teruk, masalah ekonomi yang menekan rakyat, masalah politik yang memberi keutamaan kepada kuasa dan penggunaan kezaliman dalam mendapatkan kuasa itu melalui undang-undang yang diwujudkan untuk menyekat kebebasan bersuara dan bertindak dalam lingkungan nilai-nilai peradaban yang memihak kepada kebenaran dan kesejahteraan manusia, bukan kelangsungan kezaliman yang mencengkam rakyat. 

Apakah pertanyaan-pertanyaan itu? Antaranya ialah: Mengapa kita perlu sebuah Putrajaya, yang di dalamnya termasuk litar lumba kereta yang membawa segala budaya lucah yang jelas bertentangan dengan Islam? Sejauh mana kita telah terjebak dalam tindakan berpaksikan fasad dalam membina bandar baru itu? Adakah Putrajaya contoh pembangunan berteraskan Islam?  Seorang pakar seni bina dari sebuah universiti di Lembah Kelang berkata, kurang daripada 5% ciri Islam dan Melayu di Putrajaya. Jadi ciri siapa yang menjadi kebanggaan kerajaan itu? Kita jangan lupa, pada mulanya Putrajaya dicadangkan diberi nama Taman Firdausi. Apakah tujuan sebenar nama itu dipilih pada mulanya, kemudian ditukar kepada Putrajaya? Jawapan kepada pertanyaan ini akan memberikan kita penjelasan yang tepat erti dan makna pembangunan yang dipakai dalam pembangunan ekonomi Malaysia yang dirancang oleh UMNO/BN. Inilah satu kajian kes yang perlu dibuat, kerana ini akan menyerlahkan hakikat sebenar projek pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan di Malaysia. Kerajaan Malaysia menyewa Putrajaya, bukan memilikinya. Berapa sewanya setiap bulan? Siapa pemiliknya? Putrajaya Holdings Berhad. Siapakah tokoh-tokoh anggota pengurusannya? Siapa yang mendapat faedah daripada penyewaan harta itu? Sepatutnya tidak ada perkara yang perlu dirahsiakan tentang Putrajaya. Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah nanti, bolehkah kerajaan Pakatan Rakyat menyewa Putrajaya?  Kalau sudah ada “Kabinet Rakyat”, sudah patut benar rakyat tahu rahsia Putrajaya ini. Sepandai-pandai Si Luncai pun, rahsia khianatnya terbuka juga.

Pertanyaan lain yang tidak dapat dielakkan ialah: Mengapa kita perlu menggunakan bahasa Inggeris untuk belajar matematik dan sains? Dr. Mahathir Mohamed telah memberikan 26 dalil, yang sebenarnya bukan dalil, untuk mempertahankan kewujudan PPSMI dalam sistem pendidikan negara Malaysia. Yang dianggap dalil oleh Dr. Mahathir Mohamed bukanlah dalil, tetapi hanyalah sentimen beliau terhadap bahasa Inggeris, berasaskan andaian yang salah dan keliru tentang peranan bahasa dalam pembinaan tamadun manusia. Jika anda mempelajari sejarah pemikiran manusia dan melihat bagaimana tamadun manusia dibina, maka anda akan dapat melihat dengan jelas dan terang, bahawa asas utamanya ialah bahasa dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan penggunaan bahasa yang tepat dan fasih. Sebelum ilmu perubatan dan fizik berkembang dalam tamadun Islam, telah lahir terlebih dahulu para genius dalam bidang-bidang sejarah, ilmu-ilmu bahasa dan sastera, filsafat (yang memerlukan penggunaan bahasa yang tepat dan jelas), undang-undang, politik dan semua jenis ilmu yang kini dipanggil ilmu-ilmu kemanusiaan. Hanya selepas itulah baru lahir ahli sains dan ahli matematik, termasuk fizik, kimia dan lain-lain. Asasnya tetap bahasa. Tetapi di Malaysia terbalik, bahasa diabaikan. Yang terjadi ialah ramainya pakar-pakar sains dan teknologi yang bisu, yang tidak berupaya berbicara dengan teratur, tersusun dan fasih dalam ilmu yang mereka kuasai. Jika ada orang berkata, dengan kesedaran itulah maka Malaysia mengutamakan sains dan teknologi dengan menggunakan bahasa Inggeris kerana bahasa itulah yang senang dikuasai oleh rakyat Malaysia sebab mereka sudah biasa menggunakannya, dan itulah tujuan dan matlamat PPSMI. Jika kita bertemu dengan orang itu, kita harus melemparkan tahi lembu ke mukanya, kerana cara berfikirnya bercorak dan bersifat kelembuan. Rasulullah SAW telah mengingatkan umat Islam dalam sebuah hadis sahih, yang dikutip oleh Sheikh Abdul Samad al-Palembangi dalam kitabnya, bahawa jika seseorang memuji seseorang lain, maka simbahlah debu ke mukanya. Pemikiran bercorak kelembuan ini tidak diasaskan kepada pengertian yang mendalam tentang prinsip-prinsip pembinaan tamadun manusia. Pemikiran bercorak kelembuan ini bukanlah pemikiran dalam pengertiannya yang hakiki, tetapi hanyalah peluahan sentimen berasaskan kejahilan tentang bagaimana ilmu-ilmu baru dibangunkan oleh ahli fikir dan pakar-pakar bidang tertentu. Penjelasan tentang aspek ini amat diperlukan, kerana hampir semua ahli politik yang berada dalam UMNO dan Barisan Nasional tidak saja jahil tetapi menentang dengan gigih sebarang gerakan intelektualisme untuk mencerdikkan bangsanya. Adalah tepat dan jitu sekali jika orang membuat kesimpulan bahawa UMNO dan rakan-rakannya telah berjaya membodohkan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia selama lebih 50 tahun, sehingga sampai ke kemuncaknya dalam projek PPSMI tajaan Dr. Mahathir Mohamed dan UMNO ini. Apa juga “hujah” palsu yang bercorak sentimen oleh Dr. Mahathir Mohamed dan rakan-rakannya adalah tidak lebih daripada sejenis bullshit semata-mata. Seorang profesor filsafat dari Amerika Syarikat telah menghuraikan dengan terperinci mengenai masalah bullshit ini dalam budaya Amerika sendiri, dibahas dan dijelaskan dengan lebih mendalam oleh ahli-ahli falsafah dari Amerika dan England. Sila rujuk buku dan tulisan mengenainya oleh Prof. Harry G. Frankfurt berjudul “On Bullshit” (mula terbit seawal 1980-an, diterbitkan semula oleh Princeton University Press, 2005). Corak pemikiran (??) bullshit seperti yang diutarakan oleh Dr. Mahathir Mohamed dan rakan-rakannya dalam UMNO telah dikritik dengan tajam oleh Prof. Syed Naquib al-Attas sejak tahun 1970-an lagi di Malaysia, dalam buku-bukunya yang tertulis dalam bahasa Inggeris (terutamanya Islam and Secularism, 1978) dan dalam rencana serta syarahannya. Apa yang disebut oleh Prof. Frankfurt sebagai bullshit itu dihuraikan oleh Prof. Naquib sebagai masalah kekeliruan dalam konsep ilmu. Orang-orang yang keliru konsep ilmunya itu menjadi biadab, lantas muncullah kehilangan adab secara meluas dalam masyarakat. Akibatnya yang paling parah ialah munculnya para pemimpin palsu, yang memperoleh kuasa politik dan lain-lain dengan cara tidak beradab. Buku Prof. Syed Naquib al-Attas berjudul “Islam and Secularism” wajib dibaca oleh sesiapa saja yang ingin berbicara tentang adab dan ilmu. Orang-orang tidak beradab dan keliru ini tidak malu sedikit pun melontarkan bullshit mereka dalam akhbar, di TV, dalam syarahan mereka, dan dalam percakapan mereka. Dokumen palsu tentang 26 dalil mengapa PPSMI perlu dikekalkan adalah contoh klasik tentang aspek bullshit di kalangan ahli politik kita. Hujah bercorak sentimen yang mengatakan bahasa Inggeris menjadi asas sains dan teknologi tidak saja karut dan bohong, tetapi juga satu penghinaan terhadap ahli-ahli ilmu Islam yang meletakkan asas tamadun moden Barat. Jika anda membuat kajian paling dasar sekali pun, anda akan dapat lihat berapa banyak istilah Arab digunakan dalam Ilmu Kimia, tak kurang dari 400 istilah. Jika anda teliti pula matematik moden, anda akan melihat di mana-mana anda berpaling wajah tersenyum dan warak seorang al-Khawarizmi, yang memperkenalkan aljabar dan mempopularkan angka sifar yang berasal dari India. Malah angka yang kita pakai sekarang masih dipanggil Arabic Numerals oleh orang Barat sendiri. Angka itu kemudiannya ditinggalkan oleh ahli ilmu Islam kerana mereka mempunyai angka mereka sendiri yang serasi dengan tulisan Arab. Yang penting bukan menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar sains dan matematik, tetapi menggunakan kaedah yang membolehkan murid-murid mengenal keagungan sains dan matematik dalam Islam, yang menjadi asas tamadun Barat. Itu yang kita perlukan. Itulah yang akan memberi ilham dan dorongan kepada anak-anak kita untuk mencapai taraf seorang Al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rushd (ulama besar dan ahli falsafah yang menghuraikan pemikiran Aristotle yang menjadi rujukan dan model kepada Barat), dan beratus lagi ahli sains dan matematik yang dilahirkan oleh tamadun Islam melalui bahasa Arab. Dengan berpaksikan Islam, orang Melayu pun akan mencapai ketinggian Ilmu dengan menggunakan bahasa Melayu. Hanya pemikiran kelembuan yang jahil saja yang tidak dapat melihat hakikat ini.

Adalah tepat untuk kita membuat kesimpulan bahawa hanya orang yang berfikiran bullshit saja yang sanggup mengemukakan PPSMI untuk rakyat Malaysia dan bermati-matian pula mempertahankannya. Jika anda melihat PPSMI dalam konteks yang dihuraikan oleh Prof. Frankfurt  tentang bullshit dan Prof. Syed Naquib al-Attas tentang adab dan kekeliruan dalam konsep ilmu, anda akan faham mengapa PPSMI hanya sejenis bullshit sahaja, yang tidak perlu diwujudkan sama sekali. Membersihkan bullshit dalam pemikiran dan mengusahakan wujudnya konsep ilmu yang benar dalam masyarakat adalah tugas penting rakyat Malaysia, terutama di kalangan orang berilmu dan ahli akademik.  Kerja begini tidak boleh dan tidak mungkin dilakukan oleh Si Luncai yang secara tabi’i jenis manusia penipu. [12/4/2009]

(Dihimpun dan diedit sekadarnya pada 11 Januari 2020.)

2 comments:

  1. Seolah-olahnya mereka semua memilih untuk kekal di dalam dunia yang penuh kegelapan.
    Terpinga-pinga,masih meraba-raba tidak bertemu jalan keluarnya.
    Sehingga bila lagi kegelapan akan menyelubungi kejumudan pemikiran serentak menghalang kemajuan kehidupan sebenar mereka di dunia ini?.
    Sekian.Salam hormat.

    ReplyDelete
  2. Semua terima kasih kepada mrs KARINA ROLAND untuk membantu saya dengan pinjaman saya selepas ditangkap oleh orang-orang palsu yang kerang menjadi peminjam pinjaman.
    Nama saya Annika amahle mokoena, saya dari Afrika Selatan dan saya tinggal di bandar Johannesburg. Suatu bulan yang lalu saya sedang mencari pinjaman dalam talian dan saya melihat pemberi pinjaman pinjaman yang berbeza di internet dan saya memohon dari mereka dan semua saya mendapat adalah penipu saya menggunakan lebih daripada 2 syarikat dan saya ditipu semua melalui. Jadi saya berputus asa sehingga saya memutuskan untuk menyemak semula jika saya akan mencari bantuan seperti yang saya cari dan saya menetap untuk mencari syarikat pinjaman legit saya jumpa syarikat ini bernama KARINA ROLAND LOAN COMPANY saya melihat banyak testimoni yang dimaklumkan oleh orang dia tetapi kerana saya ditipu secara serentak saya fikir ia adalah penipuan tetapi saya melakukan apa yang saya diminta lakukan dan saya menunggu untuk pinjaman saya dan Puan KARINA ROLAND memberitahu saya dalam masa kurang dari 24 jam anda dengan pinjaman saya dengan selamat saya tidak percaya sebab saya fikir ia juga satu penipuan sehingga hari itu adalah waktu malam di Afrika Selatan dan saya tidur pagi esok ketika saya bangun saya menerima amaran dari akaun bank saya dan segera saya memanggil pengurus bank saya untuk mengesahkan dan pengurus bank memberitahu saya untuk datang ke bank dengan serta-merta dan saya pergi dengan serta-merta ketika saya sampai di sana pengurus bank memeriksa akaun saya dan melihat sejumlah $ 127,000.00 USD yang Dolar Amerika Syarikat dan saya menjelaskan kepada pengurus saya bahawa saya memohon pinjaman dalam talian dan bank saya pengurus terkejut jika ada masih sebuah syarikat pinjaman sebenar dan legit online saya sangat gembira semua terima kasih kepada MRS KARINA ROLAND saya memutuskan untuk menulis di internet kerana saya melihat orang lain melakukannya dan memberi keterangan tentang syarikat ini sebabnya saya menghantar mesej ini secara online kepada sesiapa sahaja yang memerlukan pinjaman walaupun anda telah ditipu sebelum memohon dari syarikat ini dan yakinlah bahawa syarikat ini tidak akan membiarkan anda turun. Salam kepada sesiapa sahaja yang membaca mesej saya dan anda boleh menghubungi syarikat ini melalui pos (karinarolandloancompany@gmail.com) atau whatsapp sahaja +1 (585) 708-3478, Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang membaca kesaksian ini, anda boleh menghubungi saya juga untuk maklumat lanjut ..... annikaamahlemokoena@gmail.com

    ReplyDelete