Dalam tahun
1980-an (tak pasti 1980 atau 1981)
ketika saya di DBP untuk membeli
buku dan majalah, bertemu seorang guru matematik, Melayu, yang datang ke DBP
untuk berunding tentang buku matematik untuk
sekolah menengah yang ditulisnya. Lama juga kami berbual, dan saya mencadangkan
kepada beliau supaya ditubuhkan Persatuan Matematik Malaysia. Dia tertawa, saya
tak pasti sama ada beliau fikir cadangan itu lucu atau main–main. Saya juga
tidak pasti sama ada Persatuan Matematik Malaysia itu sudah wujud atau tidak.
Semua ini timbul kembali apabila saya membaca buku Prof. Madya Dr. Mat Rofi
Ismail yang saya rujuk dalam entri lepas.
Seperti
biasa, apabila saya melontarkan (sorry
guna perkataan ini yang lumrah dipakai oleh penulis Indonesia) sesuatu idea,
maka cadangan itu bagi saya sangat penting difikirkan dan lebih baik lagi
diusahakan pelaksanaannya. Peranan
bahasa dan matematik sebagai asas tamadun saya ambil daripada pembacaan saya tentang
perkembangan tamadun Islam, yang menurut bacaan saya diasaskan kepada dua
bidang ini. Para ulama dan peneliti ilmu dalam Islam ternyata sangat teliti dan
mereka benar-benar bijak. Dalam pengalaman saya, matematik amat diperlukan
kerana inilah subjek yang memberi kita cara berfikir dengan sistematik. Matematik
memberi kita sistem, yang diperlukan jika anda mahu menjadi penulis yang baik. Bahasa
pula sangat penting kerana yang difikirkan itu perlu diterjemahkan dalam
dokumen untuk diteliti oleh orang lain, selain untuk dibaca secara iseng-iseng. Dua subjek ini mesti ada pada sesiapa juga
yang mahu berada dalam dunia ilmu.
Adakah ini bermakna saya seorang ahli matematik? Tidak, malah tidak
perlu pun. Tetapi saya menyebut perkara ini supaya dijadikan mata pelajaran
terpenting dalam sistem pendidikan kita. Mahu saya beri contoh? Sekali lagi saya
sebut mengenai Menteri Pendidikan Malaysia yang dilantik oleh Dr. Mahathir yang
diambil dari partinya sendiri setelah dia yang mahu jadi Menteri Pendidikan
dibantah oleh orang ramai. Mujurlah beliau bersetuju melantik orang lain,
kerana rekod beliau sebagai Menteri Pelajaran/Pendidikan sangat buruk, tidak
salah jika saya simpul sebagai bangsat, kerana sistem yang cuba beliau
laksanakan tidak mengarah kepada perkara-perkara yang mencerdikkan bangsa
Malaysia, malah sistem yang dilaksanakannya menyekat perkembangan pendidikan
dan kebebasan berfikir di kalangan pelajar. Anda tahu maksud saya, tak perlu
saya jelaskan. Pilihan beliau untuk menjadikan seorang bekas ahli akademik yang
gagal dalam dunia akademik, dan lari dari bidang itu lalu menceburkan diri
dalam politik, dan pandai pula mengambil peluang daripada parti baru Mahathir,
maka jadilah dia seorang Menteri Pendidikan yang paling memalukan seluruh
rakyat Malaysia. Orang ini lebih mementingkan kaki daripada otak. Anda semua
tentu tahu maksud saya. Semua ucapannya
mengenai pendidikan tidak cerdik langsung, malah bertentangan dengan konsep
pedagogi yang difahami di Barat sekali pun.
Bagi seorang ahli akademik yang mengajar di sebuah universiti terkenal
pula, sungguh amat memalukan apabila beliau bertindak sebagai promoter
pendidikan picisan (saya ketagih
betul menggunakan perkataan ini kerana kedudukannya yang istimewa dalam budaya
Malaysia), sama sekali tidak tahu betapa eratnya pendidikan itu dengan konsep
ilmu dan konsep adab dalam perkembangan masyarakat. Sahlah beliau meremehkan
saja sumbangan besar Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bidang ini; dan
bagi saya sangat aneh serta benar-benar biadab untuk melemparkan saja satu
falsafah pendidikan negara yang diutarakan oleh seorang ahli akademik dan ahli
falsafah Malaysia yang sangat terkenal di peringkat antarabangsa dan dihormati
pula. Kalau begitu, tentulah tidak
pantas bagi seorang Menteri Pendidikan mengajar pelajar dan guru-guru menjadi
kurang ajar, seperti yang ditekankan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj.
Salleh dalam sajaknya. Kemudiannya saya diberitahu menteri ini peminat
sasterawan negara ini! Bukan urusan saya
untuk beliau memilih sesiapa juga yang beliau minati. Tetapi bagi saya seorang
menteri pendidikan perlu memberi penekanan kepada konsep pendidikan yang
matlamatnya untuk melahirkan masyarakat beradab.
Sebagai satu
kompromi, saya ingin mencadangkan kepada menteri pendidikan ini supaya
menubuhkan Persatuan Bahasa dan Matematik di setiap sekolah, kerana inilah dua
perkara yang kita perlu ajar kepada anak-anak kita untuk memudahkan mereka
memberi sumbangan kepada negara sebagai anggota masyarakat yang berfikir, yang
cerdik. Boleh saja pakai kasut hitam, tetapi jangan pula hitamkan otak
anak-anak kita untuk meneruskan budaya pandirisme
dalam masyarakat kita dan dalam sistem pendidikan. Ketika saya bersekolah 1950-1960-an dulu
sudah ada persatuan bahasa Melayu dan persatuan Sains di sekolah. Tetapi ketika itu matlamatnya sangat mundane, kerana guru-guru sendiri tidak
mempunyai kesedaran intelektual seperti yang saya kira sudah mula berkembang
pada waktu ini. Persatuan yang saya
cadangkan itu bertujuan untuk memperkenalkan keagungan tamadun Islam dalam dua
bidang penting ini. Pelajar kita tidak tahu apa-apa tentang tamadun Islam,
tetapi mereka tahu sedikit tentang tamadun Barat. Guru mereka pun tidak tahu bahawa tanpa
perkembangan ilmu yang begitu pesat dalam tamadun Islam tidak mungkin Barat
maju seperti sekarang. Barat mencuri dengan bangga prinsip-prinsip kemajuan
yang diasaskan oleh cendekiawan dan ulama.
Kalaulah
para sarjana sastera kita bijak dan jujur, mereka sepatutnya mengangkat Gagasan
Persuratan Baru ke seluruh dunia ilmu dalam bidang ini. Alhamdulillah, usaha
ini telah dibuat oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan Prof. Madya Dr.
Zariat Abdul Rani. Bagusnya pula, blog
saya mendapat sambutan agak luar biasa di luar negeri berasaskan pageviews setiap entri. Saya agak bahasa
Melayu/Indonesia sudah mendapat tempat selayaknya di negara Barat dan Amerika
Syarikat. Yang paling mengecewakan dunia
ilmu ialah sikap negatif DBP yang anti-ilmu dan sangat megah menjadi salah satu
organisasi yang menentang sebarang kemajuan berfikir dalam penulisan kreatif
dan kritikan sastera. Adakah anda
mempunyai apa-apa cadangan untuk membantu DBP dan menjadikannya relevan seperti
di bawah pimpinan Syed Nasir dan Hassan Ahmad? Tentulah aneh sebuah organisasi
bahasa bersikap anti ilmu. Kritikan ini
bukan main-main, telah saya sampaikan secara bertulis kepada DBP. Saya tidak
mengharapkan akan terjadi apa-apa perubahan kerana kita semua tahu, dan cukup
maklum, sebarang perubahan dalam negara Malaysia ini mestilah memberi faedah
kepada pihak-pihak yang amat menghargai faedah itu.
Untuk
mengakhiri catatan ringkas ini, saya ingin tegaskan bahawa iklim budaya dan
kegiatan intelektual kita perlu berubah kepada konsep ilmu yang benar seperti
yang ditekankan dalam al-Quran; oleh itu kita hanya mempunyai satu pilihan,
yakni untuk mencerdikkan bangsa Melayu berasaskan konsep ilmu menurut
al-Quran. Sesiapa juga yang menentang
usaha ini akan menemui kegagalan total betapa besar sekali pun tentangan
mereka. Kebenaran tidak pernah
dikalahkan.
Mohd. Affandi
Hassan,
Petaling
Jaya, 4 April 2019.
No comments:
Post a Comment