Tuesday, December 24, 2019

Persuratan Baru dan Stylization of Ideas




Istilah Melayu yang tepat untuk merujuk stylization of ideas  belum lagi ditemui, kerana konsep style yang saya pakai tidak dapat diterjemahkan sebagai “gaya” atau “gaya bahasa” seperti yang biasa digunakan. Oleh itu istilah style dikekalkan dalam bentuk asalnya, untuk mengelak daripada pengertian sempit seperti yang biasa dipakai dalam penggunaan popular. Pada pandangan saya, style bukan hiasan (seperti dalam “gaya bahasa” yang banyak memakai perbandingan, kiasan, atau apa-apa juga “perhiasan bahasa” atau “bunga bahasa” yang sering kita lihat dalam tulisan-tulisan “sastera”); bukan kelainan ucapan (misalnya dengan menggunakan bahasa daerah, bahasa pasar, dan seumpamanya); bukan pemakaian bahasa yang sukar berbelit-belit (misalnya dengan sengaja menggunakan istilah pinjaman yang pelik-pelik, dilonggokkan begitu saja dengan maksud menunjuk-nunjuk, bukan benar-benar diperlukan); style bukan propaganda dan bukan pujukan (seperti dalam iklan, sajak-sajak protes, atau karya-karya yang secara mentah mengemukakan sesuatu isu yang tidak dianalisis, misalnya dalam “sastera Islam” yang penuh dengan istilah-istilah Arab yang tidak perlu, atau memaparkan ayat-ayat Quran dan hadis sebagai tampalan untuk menunjuk-nunjuk, atau yang banyak menggunakan istilah-istilah IT sekadar untuk memperagakan pengetahuan yang cetek saja), penggunaan bahasa yang rasional (yakni, bukan yang sentimental), dan penguasaan ilmu yang diserlahkan dengan menggunakan perkataan yang tepat, padat, dan memikat. Yang hendak dicapai ialah makna yang mendalam, bukan luahan perasaan. Kerana itu style berbeza dari retorik. Dalam pemakaian yang saya anjurkan, style berusaha mencari kebenaran dalam konteks taklif; manakala retorik (yakni “gaya bahasa” dan “bunga bahasa” yang dipakai dengan meluas oleh para sasterawan Malaysia) mengarah kepada kepuasan emosi, hawa nafsu, dan pemberontakan manusia kepada taklif.
            Berasaskan pengertian di atas, istilah Melayu untuk stylization of ideas ialah “siratan makna”, yang boleh dipakai sebelum ada sesiapa mencadangkan istilah yang lebih tepat. Istilah “siratan makna” diperolehi setelah menimbang beberapa konsep dalam seni tenunan, anyaman, dan pembuatan batik. Terdapat istilah-istilah seperti “ragi” (corak atau warna kain); “kelarai” (corak tenunan, anyaman, batik); “sirat” untuk tekatan, anyaman bakul, raga, dinding, jala, pukat dan lain-lain. Dari kegiatan seni Melayu itu, kita dapat istilah-istilah “sulaman”, “anyaman”, “corak” dan sebagainya. Berdasarkan pemeriksaan konsep-konsep seni Melayu tradisi itu, maka dipilih istilah “siratan makna”. Perkataan “sirat” merujuk kepada sejenis kemahiran yang khusus, yang hasilnya berguna untuk manusia dan cantik ikatannya, yakni hasilnya practical and beautiful. Pada mulanya tertarik kepada ungkapan “kelarai pemikiran”, tetapi ternyata tidak tepat kerana akan diterjemahkan sebagai “pattern of ideas” atau “pattern of thoughts”. Dengan memakai istilah “siratan makna” untuk stylization of ideas, kita menekankan dua aspek penting dalam Persuratan Baru, iaitu ilmu dan kemahiran (bakat seni yang tinggi). Siratan merujuk kepada kemahiran mengarang, yakni bakat yang tinggi dalam mencipta sesuatu yang menarik atau baru. Makna merujuk aspek intelektual, yakni ilmu. Kita boleh ringkaskan begini: suratan kata (yang lahir) membawa kepada siratan makna (yang tersembunyi). Yang “tersirat” (tersembunyi) lebih kaya maknanya daripada yang “tersurat” (bentuk luaran). Style merujuk dua perkara ini: yang tersurat kata-kata, tetapi berasaskan “epistemic choice” (yang tersirat, yakni makna yang mendalam yang lahir daripada pemilihan kata-kata dan siratan ayat yang dipakai pengarang). Ringkasnya, bahasa yang dipakai diberi makna yang mendalam dalam siratan kata yang halus dan berseni, indah ikatannya, dan tepat penggunaannya. Semua ini akan melahirkan wajah seni atau keindahan sesebuah karya.
            Oleh itu, dari segi konsepnya, stylization of ideas merujuk kepada teknik dan gaya penulisan yang mengutamakan pemikiran dan ilmu, bukan cerita atau peristiwa yang menyeronokkan perasaan. Walaupun watak masih memainkan peranan penting, namun dari segi kedudukannya, pemikiran dan ilmu itlah yang memainkan peranan utama, yang mentakrifkan makna karya berkenaan. Sebagai contoh, Abdul Qahir al-Jurjani dalam kitabnya Asrar al-Balaghah, menyebut bahawa apabila seseorang penyair menyatakan bahawa pada sesuatu khemah terdapat api yang menyala sepanjang masa, tidak pernah pada, maka yang dimaksudkan dengan ibarat demikian ialah sifat pemurah ketua khemah berkenaan, yang apinya sentiasa tersedia untuk memasak makanan pada bila-bila masa sekali pun ketibaan tamu. Sesiapa juga musafir yang singgah di khemah itu terjamin makan minumnya, tempat tidur, dan keselamatannya. Sifat pemurah dibandingkan dengan api yang tidak pernah pada, yang tidak saja menerangi sekeliling sehingga menghindarkan musafir dari tersesat, malah api itu juga menunggu kedatangan seorang pengembara untuk diraikan. Cahaya dan panasnya api menjadi lambang sifat murah hati seorang ketua kabilah. Dalam cahaya api itu terdapat makna tersirat yang amat mendalam, yang tidak perlu kata-kata yang banyak untuk menjelaskannya.
            Gagasan Persuratan Baru menekankan dua aspek utama dalam penulisan: ilmu dan bakat yang tinggi (yakni, kemahiran mengarang yang tinggi). Dalam Persuratan Baru ditekankan pentingnya style penulisan yang bersifat ilmiah dari segi isi, tetapi indah dari segi penyampaian atau persembahan. Konsep style yang sebenarnya, menurut Goethe dan Richard M. Ohmann, merujuk kepada “epistemic choice” (pemilihan berasaskan ilmu) dalam penulisan, iaitu pengarang menyerlahkan kemampuan ilmiah/intelektual dan seninya dalam bahasa kesarjanaan (atau ilmiah) tetapi indah dari segi pengucapannya. Pengarang cukup berhati-hati ketika menyusun ayat dengan memilih kata-kata yang tepat dan sesuai dan memperkenalkan konsep-konsep tertentu untuk mewujudkan persekitaran pemikiran di dalam karyanya, supaya apabila habis dibaca dan dianalisis dengan cermat oleh pembaca yang kritis, dia akan melihat dengan jelas makna karya tersebut dan keindahannya, yakni wajah seninya. Yang dimaksudkan dengan wajah seni ialah bentuk konkrit yang lahir daripada karya tadi, seperti yang dapat dilihat dalam contoh tentang sifat pemurah dan penyantun di dalam syair yang disebutkan oleh al-Jurjani di atas. Lihat juga contoh dalam pantun Melayu yang membicarakan tentang kasih sayang yang tidak sempurna, seperti buah langsat yang kuning mencelah (yakni, tidak masak seluruhnya). Pantun “buah langsat” ini indah dari segi makna dan wajah seninya. Dari segi stylization of ideasi, buah langsat memberikan tiga gambaran: bentuk gugus langsat yang seperti bentuk jantung manusia; rasanya yang masam pahit jika tidak masak betul; buah yang “kuning mencelah” – yakni, yang beberapa biji saja kelihatan masak (jadi tidak masak betul) belum sesuai untuk dipetik. Dari segi makna, keadaan itu dikaitkan dengan hati manusia yang belum sempurna rasa cintanya, masih berbelah bagi, tidak menyeluruh, tidak “masak betul” (yakni, cinta yang belum matang), maka dengan mudah saja akan berubah apabila sudah “dapat gading bertuah”, sehingga “tanduk tidak berguna lagi”. Wajah seni dalam pantun ini dibentuk dari perbandingan antara buah langsat dan jantung manusia: buah yang tidak masak, walaupun kelihatan masak, masih masam, belum boleh dimakan; demikianlah cinta yang belum matang, yang tidak sempurna, atau tidak jujur, membawa makna “masam” dari segi akibatnya kepada kedua belah pihak.
            Sebenarnya, cara melukiskan keindahan makna dalam wajah seni begini telah diajarkan oleh al-Quran, dan memang dimaklumi serta dipakai dalam seni mengarang para pujangga Islam. Kita lihat beberapa contoh lagi untuk menjelaskan makna stylization of ideas ini. Daripada al-Quran, perhatikan contoh yang terdapat dalam ayat 17:24, yang menggunakan sayap burung untuk menggambarkan kasih ibu. Perhatikan bagaimana ibu burung, yang terbang mencari makan untuk anaknya, kembali membawa makanan, melebarkan sayapnya seketika, kemudian hinggap perlahan-lahan, dan menutup sayapnya perlahan-lahan. Ibu burung tidak terus hinggap, kerana perbuatan itu akan membahayakan sarang dan anaknya sekiranya dia turun mengejut. Tetapi perhatikan keindahan perbuatan ibu burung itu: sambil melebarkan sayapnya, dia merenung anak-anaknya, kemudian perlahan-lahan hinggap di tepi sarang, lalu menyuapkan makanan ke mulut anak-anaknya. Dari segi gambaran alam pun kita dapat membayangkan betapa indahnya peristiwa yang begitu biasa dan kecil, tetapi dari segi hakikatnya memberikan makna yang sangat mendalam. Dari segi makna pula, wajah seni yang terpancar daripada perbuatan ibu burung itu mentakrifkan makna kasih sayang si ibu terhadap anak-anaknya. Jadi jika di kalangan binatang pun kasih sayang itu begitu indah, maka apatah lagi jika di kalangan manusia yang beriman. Kerana itulah al-Quran mencegah seorang anak berkata “uh” yang perlahan sekali pun terhadap ibunya, yang dikira sebagai dosa besar (Quran, 17:23). Aspek keindahan begini tidak mungkin dapat dirasakan sepenuhnya jika tidak dihuraikan daripada perspektif taklif.
            Dalam syair-syair Iqbal, contoh-contoh stylization of ideas ini banyak sekali diberikan. Perhatikan beberapa contoh yang diberikan dalam Pujangga Melayu. Pada halaman 220, terdapat petikan satu bait syair Iqbal. Ungkapan “menggempur langit angkasa” dalam petikan itu merujuk kepada walaupun semua perkara telah ditentukan (ditakdirkan) oleh Allah Taala, tetapi manusia disuruh berdoa. Dengan usaha dan doa, takdir tadi menjadi suatu ketentuan yang dinamik, yang mendorong manusia untuk terus berusaha gigih di samping terus berdoa (menyerahkan kepada Allah untuk menentukan kejayaannya). Usaha beginilah yang dinamakan amal salih (seperti yang digambarkan dalam “Ayat 1000 Dinar” yang masyhur itu), dan doa merupakan penyerahan usaha tadi ke hadrat Allah Taala. Dalam syair ini Iqbal menggambarkan  maksud manusia berwatak kuat, manusia bertakwa yang selalu disebut ketika membicarakan peribadi Muslim yang sempurna. Watak yang kuat, menurut Iqbal, ialah yang dapat “menggempur langit angkasa”, yang sanggup meminta kepada Allah untuk mengubah nasibnya di  dunia dengan kegigihan usahanya yang ikhlas. Dia mendapat apa yang dimintanya berasaskan janji Allah seperti dalam “Ayat 1000 Dinar” itu. Pada halaman 167, Iqbal menggambarkan kreativiti manusia yang tak terbatas yang mendapat ilham daripada ciptaan Allah Taala. Perhatikan yang ditekankan di sini ialah hal-hal kebaikan, kekuatan peribadi; bukan keburukan atau peribadi yang lemah. Inilah sifat asasi persuratan Islam, dan ini dicapai melalui stylization of ideas.
            Setiap karya yang ditulis dalam kesedaran konsep stylization of ideas memerlukan strategi penulisan (retorika) yang sesuai. Novel saya yang berjudul Aligupit boleh dibaca dari mula hingga akhir, atau boleh dimulai dari akhir, atau di tengah-tengah, atau di mana saja – sama seperti kita melihat awan larat atau kelarai/corak permaidani, boleh dimulai dari mana saja. Jika permaidani itu dari sutera buatan tangan yang halus, setiap sudut memberikan kita warna yang berbeza. Cubalah perhatikan sendiri untuk mendapat pengalaman seni yang mempesonakan ini. Tiap tirai dalam Aligupit boleh berdiri sendiri, boleh dinikmati sebagai adanya, tetapi semua tirai mempunyai kaitan satu sama lain utnuk memberikan makna keseluruhan kepada karya tersebut. Judul Aligupit merupakan sejenis teka-teki yang menyimpulkan makna tersirat karya itu. Jika dibaca dari kanan ke kiri, kita dapat Tipugila, dengan itu maksud “aligupit” itu diselesaikan; jadi  kini judul boleh pula dibaca Gilatipu. Dengan itu kita mempunyai tiga judul sebenarnya. Konsep “tirai” yang dipakai menggantikan “bab” (bab ialah pintu: mungkin terbuka, atau tertutup, pokoknya pintu perlu dibuka dan ditutup) menyembunyikan sesuatu, yang juga bermakna menutupi dari penglihatan; tetapi apabila tirai dibuka, bermulalah kisah (seperti dalam drama pentas dulu yang memakain tirai untuk membuka babak baru dan menutupnya). Untuk memahami bagaimana stylization of ideas digunakan dalam Pujangga Melayu, lihat tulisan saya dalam Dewan Sastera, Ogos 2002. Jika tulisan itu ditelaah betul-betul, sambil membaca Pujangga Melayu dengan cermat, konsep stylization of ideas ini akan dapat difahami dengan mudah.
            Saya ingin memberikan contoh terakhir yang diambil daripada sajak terkenal Amir Hamzah berjudul “Berdiri Aku”. Semua pelajar sastera dan guru-guru sastera harus menghafal sajak ini, yang boleh didapati dengan senang dalam antologi sajak-sajak Indonesia. Dalam sajak ini, Amir Hamzah “berdiri di senja senyap”, yang sebenarnya bising dan riuh kerana “camar melayang menepis buih, berayun alun di atas alas”, “berjulang dengan obor terkembang”, kerana pada senja itu “angin pulang menyejuk bumi, lari ke gunung memuncak sunyi”. “Dalam rupa maha sempurna” itulah Amir berkata dia “ingin datang merasa sentosa, menyecap hidup bertentu tuju”. Perhatikan wajah seni, atau keindahan, yang terdapat dalam sajak ini: semua anasir alam yang dilukisnya “bertentu tuju”, tahu ke mana hendak pergi, pasti ke arah mana hendak dituju. Perhatikan perkataan “pulang” yang amat sederhana, tetapi besar ertinya itu: semuanya akan “pulang” bila tiba waktunya; tetapi dalam sajak ini “pulang” dipakai dalam tiga konteks: secara umum (semua akan pulang), konteks khusus (angin pulang), dan konteks kerohanian (pulang sebagai hamba Allah yang hidupnya bertentu tuju). Inilah salah satu contoh stylization of ideas yang sangat indah. Konsep “pulang” yang dipakai oleh Amir Hamzah adalah sama dengan konsep “pulang” (ar-raji’) yang disebut dalam al-Quran, yang menggambarkan bagaimana air yang dihisap matahari menjadi awan, akhirnya “dipulangkan” ke bumi sebagai hujan (Quran, 86:11). Perhatikan betapa indahnya perbandingan dan kiasan yang dipakai al-Quran: air yang kembali atau pulang ke bumi sebagai hujan adalah rahmat Allah yang disambut girang dan sukaria oleh semua makhluk, seperti kegembiraan kita menyambut kepulangan pengembara yang ditunggu-tunggu yang baru pulang dari perantauan. Tetapi semua keindahan ini tidak mungkin dirasai dan diketahui maknanya tanpa konsep taklif.
           
Kesimpulan

Bolehkah seorang bukan Islam menggunakan Persuratan Baru sebagai kerangka penilaian karya kreatif, khususnya karya persuratan? Orang-orang yang tidak memahami konsep ilmu, atau yang kefahamannya tentang ilmu amat kabur dan keliru, akan memberi alasan bahawa apa juga pemikiran yang bercorak Islam harus ditolak oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum, kerana sesuatu yang bercorak Islam tidak dapat diterima oleh orang-orang bukan Islam. Hujah seperti ini jelas bersifat perkauman, tidak bersifat terbuka seperti yang difahamkan apabila orang menyebut pluralism atau kepelbagaian kaum dan budaya. Selain itu, hujah begini tidak diasaskan kepada ilmu dan analisis, iaitu hujah yang diasaskan kepada perasaan dan kejahilan semata-mata. Perkauman dan kejahilan tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak apa juga gagasan yang tidak disetujui. Hanya analisis berasaskan kefahaman yang mendalam saja yang boleh dijadikan hujah untuk menolak atau menerima sesuatu gagasan atau pemikiran. Sepanjang mengenai Persuratan Baru dan konsep taklif yang menjadi dasarnya, sesiapa juga boleh memakainya untuk menilai sesebuah karya kreatif. Yang berlaku pada waktu ini ialah keadaan kelam-kabut dalam membuat penilaian, oleh kerana nilai dan ukuran yang dipakai tidak dijelaskan dan matlamat penilaian itu pula tidak ditunjukkan. Saya telah menyebut berulang kali bagaimana sebuah karya picisan seperti Salina diberi sanjungan tinggi semata-mata kerana seorang sarjana Belanda memujinya. Kerana takut dikata bodoh jika tidak bersetuju dengan sarjana Belanda itu, maka orang terus akur dengan beliau. Tidak dipersoalkan lagi apa asas penilaian beliau, dan adakah asas-asas itu, jika ada, wajar dan munasabah. Lebih penting, adakah cara penilaian demikian yang dikehendaki oleh para penulis Melayu yang beragama Islam? Jika itulah yang mereka anggap yang terbaik, maka apakah kesan dan implikasinya terhadap sistem nilai masyarakat mereka? Adakah sistem nilai mereka akan bertambah baik dan jelas, atau akan menjadi semakin kabur dan sesat? Semua persoalan ini perlu dihuraikan, jika kita ingin membuat penilaian yang benar-benar ilmiah dan bertanggungjawab. Dalam masyarakat Barat yang melahirkan pelbagai teori dan pendekatan kritikan, hal-hal begini tidak dipedulikan, kerana asas pemikiran mereka adalah anti-agama. Adakah ini yang kita inginkan untuk masyarakat kita yang kononnya berbilang kaum itu?
            Dilihat dalam konteks yang disebutkan di atas, gagasan Persuratan Baru harus diterima sebagai salah satu kerangka penilaian dan teknik penulisan kreatif yang diajukan sebagai alternatif dan penyelesaian kepada kemelut nilai dan kekacauan pendekatan dalam persuratan Malaysia pada waktu ini. Para penentang Persuratan Baru harus bangkit menentangnya dengan memberikan hujah dan bukti ilmiah, bukan berasaskan sentimen dan kejahilan. Dalam hal ini, orang harus sedar bahawa dalam pandangan Islam, semua manusia mempunyai keupayaan dan kemahuan untuk berbuat baik. Kebaikan adalah matlamat hidup yang diingini oleh semua manusia. Bagaimana kebaikan itu dinilai dan diberi kedudukan tertentu bergantung kepada worldview tertentu. Islam menerima kebaikan, malah al-Quran menyebut dengan jelas bahawa yang makruf, yakni kebaikan yang dikenal dan diketahui umum, memang dikenalioleh semua manusia tanpa mengira agama; demikian juga yang mungkar. Tetapi Islam menegaskan bahawa kebenaran adalah milik Islam. Ini persoalan akidah, yang tidak boleh dipaksakan ke atas sesiapa pun. Persuratan Baru tidak tergolong dalam medan akidah, tetapi tergolong dalam medan kebaikan atau makruf, oleh itu tidak salah untuk diterima oleh sesiapa pun juga. Tidak juga salah untuk ditolak, seperti orang tidak menggemari sesuatu hidangan yang ia tidak biasas melihat atau merasanya. Jadi andaian bahawa Persuratan Baru, kerana berasaskan taklif, tidak wajar diterima sebagai satu kaedah penilaian dan teknik penulisan kreatif bagi Malaysia, adalah andaian karut yang tidak mempunyai asas ilmiah dan asas sejarah sama sekali.
            Penjelasan yang diberikan di sini mungkin sekali imbas dirasakan terlalu sukar untuk difahami, terutama sekali oleh pelajar bukan Islam yang tidak biasa dengan konsep-konsep yang dikemukakan. Menurut pengalaman saya, orang Islam sendiri pun berasa asing dan terpinga-pinga berada dalam satu wacana yang mereka tidak biasa atau belum biasa mengalaminya. Malah ada dalam kalangan sarjana sastera sendiri yang saya dapati sukar memahaminya, dilihat dari carai mereka membicarakan Persuratan Baru atau pendekatan tauhid dalam kritikan. Seolah-olah mereka berada dalam hutan rimba yang tebal, tidak tahu ke arah mana hendak dituju. Tetapi semua ini boleh diatasi dengan muda oleh orang yang cerdik, yang terlebih dahulu mempersiapkan diri sebelum memasuki hutan, melengkapkan diri dengan kemahiran membaca peta dan kompas, serta persediaan lain yang boleh digunakan apabila menghadapi malapetaka atau keadaan darurat. Demikianlah sedikit persediaan ilmiah dalam memahami gagasan Persuratan Baru dan ciri-ciri pentingnya, dengan rujukan mudah yang dikemukakan dalam tulisan ini, seseorang yang paling tumpul otaknya pun akan dapat memahami wacana yang dihidangkan dalam tulisan ini. Dengan itu, dia akan melihat perspektif baru dalam estetika dan penilaian karya kreatif, yang mungkin berbeza daripada yang sudah diketahuinya, tetapi tidak menyimpang jauh sehingga tidak dapat dikenali sama sekali kerana keasingannya. Yang diperlukan tidak lain daripada sejenis orientasi baru, yang hanya memerlukan sedikit usaha untuk mengalihkan pandangannnya ke daerah yang belum diteroka, yang sebenarnya menjanjikan kekayaan ilmu yang tidak terhingga jika dia berusaha menggali khazanah ilmu yang memang sudah disediakan untuk digali sejak beribu tahun lagi. Kerana itu, janganlah takut untuk menjadi pandai  dan bijaksana, dan beranikanlah diri untuk menggeledah khazanah ilmu yang anda akan perolehi dengan meneroka gagasan Persuratan Baru yang dianjurkan sebagai satu alternatif dalam kritikan dan penilaian karya kreatif, juga sebagai panduan untuk menulis karya kreatif yang lebih bermutu dan tahan uji dari segala sudut (apabila ada yang nakal mahu menguji kehebatannya).
            Sebuah karya seperti “Birokrat Tulen” tidak mungkin dinilai dengan wajar jika pendekatan textbook yang dipakai sekarang terus digunakan. Malah pendekatan textbook ini harus diketepikan dan tidak digunakan lagi untuk “mengajar sastera” kepada pelajar-pelajar Tingkatan 6 atau pelajar-pelajar universiti. Mereka harus didedahkan kepada pemikiran, bukan semata-mata cerita dan segala aspek formalistik yang kaku-beku, yang menumpulkan akal itu. Semua karya bermutu boleh dianalisis daripada perspektif Persuratan Baru, malah itulah yang seharusnya dilakukan jika kita ingin melihat kekuatannya sebagai hasil kreatif yang bermutu. Dengan menggunakan konsep stylizaton of ideas, saya telah menunjukkan bagaimana sebuah pantun Melayu yang popular menyerlahkan keindahannya yang begitu menakjubkan; demikian juga contoh dari sajak Amir Hamzah. Anda boleh mengambil contoh-contoh lain untuk dianalisis daripada perspektif stylization of ideas. Anda akan melihat dengan jelas keselekehan (dan keselekehan teknik) sesebuah karya yang tidak bermutu, seperti misalnya novel-novel picisan yang secara popular dianggap sebagai karya agung sastera Melayu moden. Kita harus berani berdepan dengan kenyataan, dan tidak ragu-ragu memberikan penilaian yang tepat berasaskan ilmu, bukan sangkaan atau gossip. Tidak ada faedahnya mengangkar tinggi sesebuah karya tidak bermutu semata-mata untuk menyenangkan hati penulisnya atau untuk menjadi pak turut. Jika anda berilmu, anda tidak saja berani memberikan pendapat yang bernas, tetapi sanggup mempertahankannya secara bertanggungjawab.
            Sebuah karya seperti “Birokrat Tulen” tidak lagi ditulis dalam kerangka kreatif yang biasa diketahui umum. Karya itu telah menyimpang daripada kebiasaan yang ada, ditulis berasaskan kerangka baru yang berupaya memberi nilai baru kepada pembaca yang kritis. Jika aspek ini diketepikan, maka orang akan menilainya berasaskan kejahilan dan kebencian kepada sesuatu gagasan atau pendekatan, padahal yang dicabar dalam karya itu ialah sikap baru dan cara baru melihat persoalan biasa dalam masyarakat. Sebagai satu gagasan, Persuratan Baru tidak akan menghampakan sesiapa juga yang cintakan ilmu dan berani mengharungi lautan ilmu yang luas itu. Seseorang penulis, apatah lagi yang telah menerbitkan banyak karya, harus bersedia untuk dinilai sehabis kritis, dengan menggunakan ukuran yang sehabis jitu. Emas tulen tidak akan muncul dari ketulan batu, tetapi harus dibakar menjadi cair dan ditapis dengan cermat. Demikianlah karya yang baik harus bersedia untuk “dibakar” dengan ukuran yang sehabis jitu dan analisis yang sehabis kritis. Jika tidak, anda hanya membazirkan masa dan berasa megah hanya untuk mendapat ketul-ketul batu tidak berharga.

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Perumpamaan kalimat yang benar,mantap tetap kukuh tiada mampu digugat oleh omongan kosong atau direka-reka menurut nafsu.
    Tuhan membuat ibarat tentang kebenaran dan kebatilan,buih yang akan hilang sia-sia bila datang waktunya sedang setiap kebenaran itu bermanfaat kepada manusia sepanjang zaman terus terpelihara kekal selamanya.
    Terima kasih tuan haji dengan kegigihan,pencerahan bermakna ini dan secara istiqamah.
    Moga terhitung kebaikan belaka.Inshaa-Allah.

    ReplyDelete