Ketika
menulis latihan ilmiahnya yang bertajuk “Pengarang-pengarang Melayu di
Saingapura Selepas Perang Dunia II (1946-1958)” (Bahasa, no. 7, akhir
1965; hal. 3-55), Ismail Hussein (kini Tan Sri Prof. Emeritus) menunjukkan
istilah “kesusasteraan” dan “sasterawan” tidak terkenal/popular sehingga
pertengahan (?) tahun 1950-an. Beliau menggunakan istilah “pengarang” untuk
judul latihan ilmiahnya dan dalam analisisnya. Apa yang disebut golongan tua
yang menulis novel, cerita pendek dan lain-lain, tidak memanggil diri mereka
“sasterawan”, tetapi pengarang. Hanya penulis-penulis muda seperti Keris Mas,
A. Samad Ismail, Usman Awang, Hamzah, MAS (Mohammed Ariff Singapura), dan
lain-lain yang mendapat dan menerima pengaruh dari Indonesia, yang menganggap
diri mereka maju atau progresif, dengan bangga menggelar diri mereka sebagai
“sasterawan”, sebagai tanda terputusnya mereka dengan “golongan tua” yang
mereka anggap sudah ketinggalan zaman, bukan golongan progresif. Maksud
progresif itu ialah kecenderungan kepada faham sosialis, atau golongan kiri,
dalam politik dan kebudayaan, sedangkan golongan tua lebih dekat kepada Islam.
Maka apabila mereka menubuhkan Angkatan Sasterawan 50 (seterusnya Asas 50),
mereka dengan lantang meneriakkan slogan “sastera untuk masyarakat”. Selepas
Tanah Melayu merdeka 1957, apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (yang ditubuhkan
1956 di Johor Bahru) dipindahkan ke Kuala Lumpur, para sasterawan Asas 50
memainkan peranan penting dalam perkembangan kesusasteraan Melayu baru. Mereka
juga rapat dengan ahli-ahli politik UMNO, dan berjaya mempengaruhi ahli politik
itu untuk memberi hadiah “Pejuang Sastera” kepada sasterawan golongan kiri dari
kumpulan Asas 50. Dalam tahun 1981, Keris Mas, tokoh Asas 50 yang terkenal
sebagai penulis cerita pendek dan penulis esei sastera, dinobatkan oleh
Kerajaan Barisan Nasional sebagai Sasterawan Negara pertama. Selepas itu
berturut-turut sasterawan Asas 50 atau yang bersimpati dengan mereka diberi
anugerah yang sama; terakhir ialah Anwar Ridhwan yang banyak membantu dan
membela golongan ini dalam tulisan-tulisannya dan dalam kuliah sasteranya di
Jepun. Dengan terlantiknya Anwar Ridhwan sebagai Sasterawan Negara ke-10, maka
berakhirlah pengaruh Asas 50. Bolehkah kita membuat kesimpulan bahawa dengan
kehadiran 10 orang Sasterawan Negara ini istilah “kesusasteraan” dan
“sasterawan” yang dipopularkan oleh Asas 50 dan diterima untuk dirasmikan oleh
Kerajaan Barisan Nasional akan kekal dan tidak boleh dicabar lagi? Perkara ini
akan dibincangkan kemudian.
Kemunculan istilah “kesusasteraan” dan “sasterawan” menandakan berakhirnya
tradisi persuratan yang kaya dalam tamadun Melayu. Malah istilah “persuratan”
itu sendiri tidak disukai dan dimomokkan sebagai mencerminkan kemunduran,
sedangkan “kesusasteraan” itu mencerminkan kemajuan, sifat progresif para
“sasterawan”. Bagi Asas 50, usaha mereka yang pertama ialah menghapuskan
tulisan Jawi, meskipun terdapat di antara mereka yang menjadi editor akhbar dan
majalah yang bertulisan Jawi. Akhbar Warta (Bil. 58, bertarikh 6 April
1954) menggunakan tajuk berita yang besar dan panjang untuk menarik perhatian
orang Melayu tentang matlamat sebenar Asas 50 dalam perjuangannya. Inilah tajuk
berita itu: “Memorandum Asas 50: Sebabnya Pertubuhan Mereka Menyokong KGMS
(Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura) Mencadangkan Rumi Menjadi Tulisan Rasmi
Melayu. Tulisan Jawi tidak ada hubungannya sama sekali dengan Agama Islam.
Bahasa Melayu Tidak Perlukan Tulisan Jawi. Orang Turki Telah Menyingkirkan
Tulisan Arab.” Menurut pandangan Asas 50, hanya dengan tulisan Rumi saja
“kesusasteraan” Melayu baru dapat dimajukan. Pada ketika itu, pendirian Asas 50
amat mengejutkan orang Melayu, dengan itu akhbar Warta menyiarkan
sepenuhnya Memorandum Asas 50 untuk diteliti oleh orang Melayu. Walaupun
pendirian Asas 50 tentang bahasa Melayu dan tulisan Jawi itu karut,
bertentangan dengan fakta sejarah perkembangan bahasa Melayu sendiri, namun
dengan pendirian itu mereka telah membuktikan kebenaran kesimpulan Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya di Universiti Kebangsaan
Malaysia 1972 yang mengatakan, “Golongan pujangga dan penulis yang mensifatkan
dirinya mewakili sesuatu yang ‘baru’ dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia
sebenarnya terdiri dari orang-orang yang tiada benar-benar mendalami kefahaman
mengenai sifat-sifat asasi kebudayaan Barat dan sifat-sifat asasi kebudayaannya
sendiri; orang-orang yang dari segi kebudayaan mewakili masyarakat perpinggiran
atau marginal society, yang kedudukannya dalam kebudayaan itu tiada jelas,
tiada mendalam. Penganut-penganut golongan ini pun mereka yang terkeliru, yang
kebanyakannya terdiri dari masyarakat bandar, yang sungguh pun terpelajar sedikit
cara Barat tetapi tiada benar-benar menyerapi kebudayaan Barat itu, mahupun
kebudayaan sendiri, dan dari itu nilai-nilai kebudayaan yang terbayang dalam
kesusasteraan ‘baru’ ini sebenarnya nilai-nilai yang dinilai oleh mereka yang
keliru yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu”.
Kita lihat nanti bagaimana para pengasas Asas 50 membuktikan sekali lagi
kebenaran kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itu, dalam tahun 1981,
apabila mereka mewujudkan Sekretariat Anugerah Sastera Negara, dengan Keris Mas
muncul sebagai penerima gelaran “sasterawan negara” yang pertama. Dengan
tertubuhnya sekretariat itu dan terpilihnya sasterawan negara dari kalangan
mereka, maka kesusasteraan dan sasterawan diberi kedudukan istimewa, dengan itu
tidak saja meminggirkan tulisan Jawi, tetapi juga meminggir dan mengetepikan
persuratan Melayu yang telah berjasa besar dalam membina dan mengembangkan
bahasa Melayu itu. Yang muncul dengan megah dan bergaya sekarang ialah para
sasterawan dan karya mereka yang diberi sanjungan tinggi, walaupun pada
hakikatnya mereka adalah dari kumpulan orang yang “keliru” seperti yang
ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan
pengukuhannya. Adakah perubahan dari persuratan kepada kesusasteraan memberi keuntungan
kepada orang Melayu?
Dalam makalahnya, Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman menjelaskan bagaimana
konsep al-adab dalam persuratan Arab berubah makna, sehingga disempitkan
menjadi “kesusasteraan” dalam zaman moden. Persis inilah yang terjadi dalam
persuratan Melayu sendiri. Sekitar tahun 1920-an hingga 1940-an, majalah yang
diterbitkan dalam bahasa Melayu, terutama di Kelantan, menggunakan istilah
“al-adib” untuk memperkenalkan seseorang penulis, atau istilah pengarang yang
sama maksudnya. Penggunaan istilah “al-adib” memperlihatkan kepekaan para
editor majalah dan akhbar ketika itu kepada tradisi penulisan dalam Islam yang
berasaskan al-adab itu. Sebaliknya, ketika Asas 50 ditubuhkan, para pendukung
pertubuhan itu tidak lagi mengenal istilah itu, oleh itu dalam tulisan-tulisan
mereka tidak wujud sama sekali kesedaran kepada wujudnya tradisi penulisan
dalam Islam. Asas 50 mengambil contoh dan teladan dari Barat sepenuhnya, dengan
itu memutuskan sama sekali apa juga ikatan dengan warisan persuratan Melayu
yang berasaskan ilmu dan nilai-nilai Islam. Apabila mereka memperkenalkan sajak
dan cerita pendek dalam karya-karya mereka, mereka membebaskan diri mereka
daripada apa juga pengaruh Islam. Demikianlah akhirnya sebuah novel Salina
yang pada mulanya ditolak oleh juri peraduan kerana dianggap bertentangan
dengan nilai-nilai Islam, menjadi karya besar setelah diiktiraf oleh seorang
sarjana Belanda sebagai sebuah karya bertaraf antarabangsa. Maksudnya, sebagai
sebuah karya yang tidak lagi bercorak Islam yang dianggap mundur dan menghalang
kemajuan itu. Kini nilai-nilai Islam yang menjadi panduan dalam penilaian para
juri itu disisihkan sepenuhnya, dengan itu Salina muncul sebagai karya
besar sastera Melayu moden dan diletakkan sebagai sebuah karya unggul sehingga
memungkinkan penulisnya dilantik menjadi sasterawan negara. Demikian cepatnya
perubahan nilai berlaku dalam masyarakat Melayu: sesuatu yang mereka tolak pada
mulanya, mereka terima dengan bangga setelah diiktiraf oleh sarjana Barat, dan
mereka dengan itu tidak lagi berasa janggal memisahkan diri mereka dengan
tradisi persuratan Melayu yang berasaskan nilai-nilai Islam itu. Dalam
penilaian mereka terhadap karya itu, mereka memakai nilai-nilai sastera Barat
sepenuhnya, seperti yang ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam Laporan
1985.
(Disiarkan pada mulanya 2010. Disiarkan kembali kerana sesuai dengan tajuk perbincangan dalam beberapa entri terbaru.)
No comments:
Post a Comment