Bolehkah
seseorang mengkritik sebuah karya yang belum ditulis? Satu pertanyaan yang bodoh, kerana yang
bertanya jelas tidak tahu mengapa pertanyaan itu bodoh dan kurang ajar. Kalau anda seorang yang cerdik, anda tentu
sudah boleh menilai mengapa kritikan saya terhadap karya para sasterawan negara
begitu keras dan menusuk seperti lembing Awang pulang ke Dayang! Jangan
tertawa, jika anda faham maksud saya. Itulah yang berlaku pada waktu ini dalam
sastera Melayu.
Kemunculan
para sasterawan negara yang palsu dan picisan itu menjadikan kritikan sastera Melayu bergelumang dengan
penghujahan picisan yang memalukan, seperti yang dibuat oleh Prof. Mohamad
Saleeh Rahamad ketika memuji novel picisan Naratif
Ogonshoto. Novel picisan ini hanya
akan berubah menjadi sebuah novel penting jika ada di antara sarjana dan
pengkritik sastera berani membuat andaian dan penilaian bahawa novel itu
sebenarnya mengenai politik Dr. Mahathir Mohamed dan ketokohan beliau sebagai
seorang ahli politik putar belit yang lihai.
Sesiapa juga yang tidak membaca dengan kritis novel Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu tidak akan faham maksud saya dan akan terus
tinggal bodoh dalam memahami peranan pemimpin palsu (bagaimana seorang pemimpin
boleh dinisbahkan sebagai pemimpin palsu?) dalam politik Melayu yang terus diperbodohkan
oleh tokoh yang digelar pemimpin itu? Tetapi kesimpulan ini masih boleh diterima
jika kita sedar bahawa memang sifat utama para tokoh politik untuk bertindak
sebagai penipu rakyat melalui konsep mobilization
of bias yang saya telah sebut banyak kali dalam blog ini. Tidakkah sangat pelik jika anda menggunakan
frasa “pemimpin palsu” jika anda faham sifat utama para tokoh dalam bidang apa
sekali pun ialah sifat jujur dan ikhlas.
Jika anda faham konsep pemimpin
dalam makna sebenarnya yang ditayangkan oleh istilah itu (bukan hanya satu perkataan, tetapi satu istilah
penting), maka mustahil dan tidak masuk akal jika kita menggelarkan tokoh
politik palsu sebagai pemimpin
palsu. Mereka bukan pemimpin dalam makna
sebenarnya istilah itu.
Sekarang
kita boleh bertanya, siapakah pula seorang sasterawan? Kalau ada sesiapa juga berkata bahawa
sasterawan negara itu adalah sasterawan palsu dan picisan, maka yang palsu dan
picisan itu ialah “konsep” (?) sastera
itu sendiri, yang melahirkan karya
picisan dan sasterawan picisan. Seperti
yang saya sering peringatkan, konsep
sastera itu sendiri tidak berasaskan konsep ilmu yang benar; sebaliknya
berasaskan imaginasi dan khayalan yang memang menjadi asas karya sastera
seluruh dunia. Untuk memahami kesimpulan
yang mudah, tetapi mengejutkan ini, anda perlu membaca keseluruhan karya para
sasterawan negara dalam konteks Gagasan Persuratan Baru. Jika anda bertegas
mengatakan karya para sasterawan negara tidak boleh dinilai dari perspektif
Persuratan Baru, mengapa anda membuat pengecualian itu? Ke mana pun anda arah
hujah palsu anda, anda akan tetap kembali kepada konsep imaginasi dan khayalan
yang anda pelajari dari teori sastera Barat. Inilah yang kita perlu tolak, jika
kita seorang pemikir sastera yang tahu makna ilmu dalam penulisan. Tetapi ini
tidak bererti kita tidak perlu tahu dan kenal teori sastera Barat, yang dinilai
daripada perspektif PB. Inilah yang anda tidak mahu lakukan kerana anda tidak
mempunyai hujah untuk menangkis secara ilmiah bahawa karya para sasterawan
negara adalah karya picisan hasil dari penulisan tokoh picisan pula. Semua ini
telah saya hujahkan dengan jelas dalam buku Anugerah
Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (Wadi al-Irfan, 2019). Perincian dari segi “teorinya” dijelaskan
dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi
ke-2.
Ayat pertama
dalam entri ini, berupa pertanyaan, Bolehkah
seseorang mengkritik sebuah karya yang belum ditulis?, adalah satu kritikan terhadap tabiat para
sarjana dan pengkritik sastera yang menilai karya picisan oleh penulis picisan
sebagai karya kreatif yang bermutu, walaupun tidak diasaskan kepada konsep ilmu
yang seharusnya menjadi asas setiap penilaian dalam bidang apa sekali pun. Apabila
sarjana dan pengkritik sastera memilih untuk menjadi jongos para sasterawan
negara, maka kecelaruan penilaian dikanunkan sebagai standard yang mesti diterima, walaupun asas penilaian itu salah
atau paling tidak amat longgar ukurannya. Lebih tepat penilaian itu satu pembohongan
intelektual yang nilai kepalsuannya lebih tinggi daripada Gunung Tahan!
Pemilihan
karya picisan hasil tulisan sasterawan picisan
untuk dinobatkan sebagai karya
pilihan yang bermutu tinggi menjadikan kedudukan karya sastera yang ditulis
oleh para sasterawan negara menjadi lambang
pandirisme yang telah dikutuk oleh para pelajar sastera seperti tertera
dalam poster ini. Kesedaran di kalangan
para mahasiswa sastera tidak diterima oleh para pensyarah sastera, kecuali di
UKM dan di UPM. Hanya di dua buah
universiti ini saja kedudukan Gagasan Persuratan Baru dijadikan pendekatan
alternatif dalam pengajian sastera. Usaha para sarjana sastera di universiti
selain dari dua buah universiti ini untuk
menghalang pendekatan baru dalam kritikan sastera yang diberikan oleh PB,
telah berjaya mengajar para pelajar sastera menjadi bodoh yang membanggakan
pensyarah sastera sendiri yang merasakan mereka telah menang dalam pertarungan menjadikan siswa sastera terus menjadi bodoh
ketika mereka sudah terdedah kepada pendekatan yang disediakan oleh PB. Sama ada para sarjana sastera ini sedar
mereka telah memperbodohkan diri mereka sendiri dalam usaha mereka
memperbodohkan para pelajar mereka, maka sikap begini telah membantut kefahaman
kita terhadap aspek kreativiti dan penilaiannya dalam kritikan sastera. Contoh
paling baik ialah dalam pemilihan para sasterawan negara. Sila lihat dan baca
dengan kritis buku saya mengenai kedudukan para sasterawan negara ini. Sikap Menteri
Pendidikan yang lebih mengutamakan kasut hitam daripada pemikiran dalam
pengajaran sastera di universiti dan di sekolah-sekolah sebenarnya bertentangan
dengan hasrat para pelajar sendiri, seperti yang mereka tunjukkan dalam
poster yang anda lihat. Poster ini saya
terima April 2014, jadi bukan perkara baru. Menteri Pendidikan kasut hitam baru
saja lagi dilantik sebagai menteri, tetapi kerana beliau tidak dianugerahi
sikap terbuka kepada ilmu, maka beliau menjadi salah seorang penentang PB yang
tegar, dengan sokongan para sasterawan negara dan para penggiat sastera
sendiri. Inilah yang berlaku dalam kegiatan intelektual di Malaysia. Kita tidak
saja mempunyai ramai sasterawan yang mediocre
yang picisan; kita pun mempunyai menteri pelajaran yang sama taraf dengan
mereka yang mediocre itu. Sikap anti ilmu di kalangan ahli politik
sudah lama dipelihara oleh mereka, untuk memastikan mereka boleh terus
bermaharajalela menipu rakyat. Dalam konteks ini, para sasterawan negara
sendiri bersekongkol dengan mereka. Tetapi nampaknya ada satu keanehan baru
yang disebut oleh Ketua PENA dalam ucapan perasmian mesyuarat agung PENA 2
November lepas. Perhatikan kata-kata beliau.
“Selain itu,
campur tangan politik dalam hal-ehwal sastera mestilah yang dapat mengimarahkan
dunia sastera, bukannya memporak-perandakan dunia dan komuniti sastera. Misalnya,
dalam isu Anugerah Sastera Negara, telah berlaku kemelut yang wajar dicurigai. Ada
banyak cerita di sebalik tabir yang mencemaskan. Ini tidak sewajarnya berlaku. Para penguasa politik,
berhemahlah dalam menggunakan kuasa,
bukan memusnahkan sistem yang sedia ada.”
Ucapan tokoh
besar sastera ini agak aneh, seolah-olah beliau tidak sedar (inilah yang aneh
itu!) bahawa terjelmanya projek sasterawan negara ialah hasil usaha Asas 50 ketika
Keris Mas mencadangkan para sasterawan generasi beliau diberi kedudukan lebih
tinggi daripada para ulama dan cendekiawan Melayu. Maka lahirlah “sasterawan
negara”. Tanpa campur tangan ahli politik, tidak mungkin lahir projek
sasterawan negara. Jika yang
dimaksudkan oleh tokoh PENA ini mengenai
peristiwa Malim Ghazali PK tidak dinobatkan sebagai sasterawan negara,
sebaliknya dilantik seorang “bidadari sastera” (ini istilah Menteri Pendidikan
sendiri) sebagai sasterawan negara 14,
maka campur tangan Menteri Pendidikan untuk memilih tokoh yang
digemarinya bukanlah sesuatu yang aneh
atau mengejutkan. Itulah yang seharusnya berlaku, dan kita tidak boleh berkata
kejadian itu sebagai campur tangan ahli politik. Tanpa campur tangan ahli politik, tidak mungkin
para sasterawan negara diberi pencen $5000 ringgit sebulan. Satu jumlah yang besar, tetapi menurut
sasterawan negara Siti Zainun Ismail
sepatutnya jumlah itu $10,000.00 kerana jasa para sasterawan negara amat
besar! Jasa mereka yang terbesar ialah untuk
mengelirukan masyarakat dalam memahami konsep ilmu dan peranan ilmu dalam
penulisan kreatif dan penilaiannya. Jika anda paling bodoh sekali pun, anda dapat
melihat bahawa peranan ini ditolak bulat-bulat oleh Menteri Pendidikan kasut
hitam ini.
Pencen
$10,000.00 untuk menegakkan pandirisme?
Anda perlu membaca makna tajuk entri ini dalam konteks ini.
Saya pasti,
dengan amat yakin, bahawa Ketua PENA tidak menyokong hasrat para mahasiswa
sastera yang tertera dalam poster mereka itu. Tentu saja inilah yang aneh
sebenarnya, bukan campur tangan ahli politik yang dikesalinya.
Kegiatan
sastera di Malaysia yang dikuasai sepenuhnya oleh kumpulan Mutual Admiration
Club yang diketuai oleh Prof. Emeritus sasterawan negara Dr. Muhammad Haji Salleh
tetap tidak dapat menerima PB kerana mereka tahu karya mereka akan
terserlah sifat picisannya jika dinilai daripada perspektif PB; dan mereka
sendiri adalah sasterawan picisan yang diberi kedudukan sebagai sasterawan
negara, mengatasi kedudukan para ulama dan cendekiawan Melayu yang berjasa
dalam perkembangan ilmu. Sekarang anda mungkin faham mengapa tajuk entri kali
ini seperti yang tertulis.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 17 November 2019.
No comments:
Post a Comment