Orang Asas
50 berkata, “sastera untuk masyarakat”, mengambil petua daripada Marxisme. Saya
masih menunggu para sarjana dan penyokong Asas 50 tampil menafikan kesimpulan
ini, supaya kita boleh memberikan pembuktian yang kita ambil daripada karya
para penyokong Asas 50 yang kini sudah
ramai yang bergelar sasterawan negara. Mereka telah diberi dedak oleh DAP yang
mahu dikenali sebagai pembela sastera Melayu, walaupun DAPig inilah juga yang
menentang tulisan Jawi. Bagi DAPig, tulisan Jawi adalah najis agama Islam yang
mesti ditentang daripada digunakan dan dipelajari di sekolah-sekolah. Tidak ada sebuah pun persatuan penulis
membantah bantahan DAP terhadap tulisan Jawi. Mereka benar-benar terhutang budi
kerana menerima dedak daripada DAP; malah mereka mahu ditambah kerana menurut
mereka para sasterawan adalah panglima dalam perjuangan bahasa dan sastera. Inilah golongan yang menentang
konsep ilmu yang benar, dan seterusnya menentang keras Gagasan Persuratan Baru
kerana kononnya PB menghalang perkembangan sastera yang mereka rencanakan, yang
anti-ilmu itu. Tiada seorang pun yang
memberitahu kita bahawa tulisan Jawi telah dirosakkan oleh DBP dengan
mengemukakan ejaan baru yang seratus peratus berasaskan linguistik Inggeris.
Ejaan baru Jawi adalah ejaan Inggeris dalam tulisan Jawi. Oleh itu, tidak ada
sesiapa pun yang boleh membaca Jawi baru ini mempunyai kebolehan membaca Jawi
lama yang digunakan oleh para ulama dan cendekiawan Melayu untuk menyebarkan
ilmu. Kemunculan ejaan Jawi baru adalah satu pengkhianatan besar kepada
perkembangan bahasa Melayu. Apa guna tulisan Jawi jenis ini jika tidak boleh
digunakan untuk membaca manuskrip Jawi Melayu yang banyak itu?
Kita tidak
saja menerima begitu banyak penipuan dalam politik; malah kita pun menerima
penipuan intelektual dalam perkembangan bahasa dan sastera. Seterusnya kita mempunyai toleransi yang
tinggi untuk menerima kedudukan para sasterawan negara sebagai sasterawan
picisan; malah istilah picisan itu sendiri sudah tidak digunakan kerana dengan
kedudukan tinggi yang diberikan kepada para sasterawan negara, maka sifat
picisan karya mereka memberikan kedudukan istimewa dalam sastera Melayu. Salah
seorang sasterawan negara, Shahnon Ahmad, sedar akan hal ini, lantas mengkritik
Baha Zain sebagai sasterawan sajak-sajak kontot yang tidak layak diberi taraf
dan gelaran sasterawan negara. Ini merupakan suatu lelucon yang tidak ketara,
dan tidak disedari. Kritikan Shahnon Ahmad itu sebenarnya terkena kepada karya
beliau sendiri, yang picisan dan melampau sekali sifat erotiknya. Semua ini terjadi kerana semua sasterawan
negara menolak konsep ilmu yang benar sebagai unsur utama yang penting dalam
penulisan kreatif. Mereka tidak dapat
menerima konsep ilmu yang benar itu kerana tidak sebuah pun karya para sasterawan
negara ini mempunyai kualiti sebagai hasil pemikiran kreatif berasaskan makna
dan maksud konsep ilmu yang benar itu.
Ulasan dan huraian terperinci dapat dibaca dalam buku saya, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan
Melayu Moden (Wadi al-Irfan, 2019.)
Tentang Baha Zain, lihat ms. 85-92 yang memberi kedudukan sebenar Baha
Zain sebagai pensajak picisan yang dinaik-taraf sebagai sasterawan negara.
Terpilihnya Baha Zain dijelaskan oleh Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad bahawa
beliau telah diminta memilih seorang calon untuk diberikan anugerah sastera;
lalu ditulisnya tentang Baha Zain dalam dua muka surat, dan penilaian beliau
dalam dua muka surat tulisan tangan itu diterima oleh Panel Anugerah Sastera
Negara. Lelucon ini menjadi mercu tanda tentang kepalsuan kedudukan para sasterawan
negara sebagai penulis picisan. Maklumat
ini saya dapat melalui satu forum yang diadakan di DBP tidak lama dulu. Jika kejadian ini tidak benar seperti yang
diakuinya, kita harap beliau membuat pembetulan, atau terus menolaknya sebagai
satu pembohongan intelektual. Penjelasan
ini penting kerana kita tidak mahu penipuan bermaharajalela dalam sastera
Melayu, terutama sekali dalam pemilihan sasterawan negara. Semua di antara kita wajib mempertahankan
kebenaran, dan tidak menjadikan pembohongan sebagai hujah.
Menjadikan
pembohongan sebagai hujah seperti yang digunakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara ternyata gagal mengangkat
darjat para sasterawan negara kerana karya mereka tidak berupaya memberikan
hujah intelektual untuk mempertahankan para sasterawan negara ini. Kesimpulan ini boleh difahami dengan mudah
jika anda menggunakan kaedah PB untuk menilai karya para sasterawan negara
ini. Inilah yang tidak mahu dilakukan
oleh para sarjana sastera dan pengkritik sastera, kerana mereka tahu tidak
sebuah pun karya para sasterawan negara boleh dipertahankan sekiranya ukuran
yang digunakan dalam PB dipakai untuk menilai karya para sasterawan negara
ini. Sekarang timbul persoalan yang
menarik untuk dibahaskan. Jika karya para sasterawan negara tidak boleh, dan
tidak sah, untuk dinilai mengikut ukuran yang pakai dalam PB, maka atas dasar
apa pula karya itu mesti dinilai mengikut teori sastera Barat? Jika kita andaikan, oleh sebab karya itu
ditulis mengikut teori sastera Barat, maka yang boleh dijadikan ukuran untuk
menilai karya itu mestilah mengikut teori sastera Barat juga. Hujah ini menarik
kerana kepalsuannya. Perhatikan, bagaimana para sasterawan negara sering
mengatakan karya mereka berunsur Islam dan berlandaskan nilai-nilai Islam. Adakah ini bermakna teori Barat yang mereka
pakai itu adalah teori sastera Islam yang memberi keutamaan kepada konsep ilmu
yang benar? Sampai begitu sekali mereka cuba mempertahankan karya picisan
mereka dengan alasan bahawa teori Barat adalah seiring dan sama dengan teori
sastera Islam atau yang berunsur Islam. Jika mereka menolak kesimpulan ini,
maka mereka tiada pilihan melainkan karya mereka dinilai berasaskan konsep ilmu
yang benar dan menggunakan konsep-konsep yang dicadangkan oleh PB. Sebenarnya mereka masih mempunyai peluang
untuk menolak PB secara total sebagai gagasan yang tidak masuk akal. Bilakah mereka akan lakukan ini dengan tuntas? Sudah lama kita menunggu; cara-caranya telah saya bayangkan dan memang
boleh digunakan sekiranya golongan ini benar-benar menguasai teori sastera
Barat dan tahu pula kedudukan teori itu daripada perspektif PB.
Inilah satu-satunya kaedah yang boleh mereka pakai untuk mempertahankan
sifat picisan karya para sasterawan negara. Sebagai peringatan, jika mereka
lakukan kaedah ini untuk mempertahankan kedudukan karya picisan para sasterawan
negara, maka yang mereka lakukan itu ialah menentang nilai-nilai ilmu yang
dianjurkan oleh Islam dalam karya kreatif.
Kegiatan
sastera di Malaysia sekarang berada dalam suasana ketakutan kepada perubahan,
khususnya jika perubahan itu mengenai kedudukan para sasterawan negara dan
kedudukan konsep sastera itu sendiri yang
sudah gagal menghadapi perubahan yang dibawa oleh Gagasan Persuratan
Baru, maka dengan itu kegiatan sastera sekarang tidak relevan dan tidak lagi berupa
gerakan intelektual, kerana tiadanya dialog ilmiah yang amat kita perlukan pada
waktu ini dalam keadaan para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera sedang
berada dalam kekeliruan besar tentang kedudukan ilmu yang benar dalam kegiatan
sastera, seolah-olah sastera itu hanya untuk hiburan sambil bercerita untuk
melestarikan konsep budaya hawa nafsu (the
sensate culture) yang menjadi ikutan dan pegangan para sasterawan, jika
kita menilai karya mereka. Elok juga jika persoalan ini dibaca dengan kritis
dalam buku terbaru saya, Anugerah Sastera
Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden.
Sekarang
orang sastera menghadapi perubahan besar dalam cara memahami konsep itu sendiri
dan ini dikaitkan pula dengan penulisan kreatif. Maknanya, karya kreatif tidak lagi hanya
untuk bercerita dan berhibur, tetapi
telah bertukar arah untuk membuka jalan baru untuk menuju ke matlamat baru
untuk mencerdikkan masyarakat, bukan semata-mata untuk berhibur. Perhatikan ini baik-baik. Walaupun Asas 50 dan para pengikutnya melontarkan
slogan “sastera untuk masyarakat,” atau
“sastera untuk rakyat”, mereka hanya mengemukakan slogan yang jelas dipengaruhi
oleh idea Marxisme, tanpa sebarang agenda yang jelas berasaskan matlamat yang
jelas dan tepat. Asas 50 menjadikan karya sastera terpisah langsung daripada
hakikat kejadian insan, dengan itu secara terang-terangan menolak peranan Islam
dalam penulisan kreatif dan ini juga bermaksud tidak diterima nilai-nilai Islam
dalam penilaian karya. Menurut para
pengikut Asas 50 yang hingga sekarang masih ada, malah kita boleh berkata semua
sasterawan negara yang terpilih adalah pengikut Asas 50, agama tidak boleh
dijadikan unsur penting dalam sastera,
kerana menurut mereka jika ini diterima, maka sastera Melayu akan terbantut
kemajuannya. Sikap ini masih kuat tertanam dalam penulisan kreatif, seperti
yang dibuktikan dari penolakan mereka terhadap Gagasan Persuratan Baru.
Sampai
berapa lama karya picisan dan penulisnya boleh bertahan? Inilah pertanyaan yang amat menakutkan para
sasterawan negara dan sarjana sastera yang mempertahankan mereka. Jika kita melihat perkara ini dari aspek
positifnya, maka kedudukan para sasterawan negara ini memerlukan penjelasan
ilmiah untuk membuktikan mereka layak
diberi gelaran itu, mengatasi para ulama dan cendekiawan Melayu yang sejak
beratus tahun membina budaya ilmu dalam masyarakat Melayu dan Malaysia. Golongan sasterawan yang menolak konsep ilmu
yang benar tidak mungkin diberi kedudukan lebih tinggi daripada golongan ulama
dan para cendekiawan itu. Gilalah masyarakat yang mengangkat Pak Pandir atau
Lebai Malang sebagai lebih berilmu daripada para ulama dan cendekiawan itu.
Inilah yang dimaksudkan dengan pandirisme itu.
Seperti yang sudah saya jelaskan beratus kali dalam blog ini dan dalam
buku, para sasterawan negara yang picisan itu
tidak mungkin setaraf dengan para ulama dan cendekiawan yang
dimaksudkan. Maka apabila mereka diberi
kedudukan istimewa dengan gelaran tertentu yang tidak secocok dengan sumbangan
mereka, maka terjadilah kecelakaan budaya dalam masyarakat, apabila golongan
yang tidak berilmu diberi kedudukan yang tidak layak bagi mereka, seperti para
sasterawan negara itu.
Perubahan
nilai yang dilakukan menerusi pemilihan para sasterawan negara ini memberi
kesan buruk yang bersifat serta-merta dalam tindakan dan persepsi kita terhadap
nilai yang dipakai dalam membuat penilaian itu. Paling jelas ialah kita
menerima sifat picisan sesebuah karya para sasterawan negara ini sebagai nilai
yang unggul dalam perubahan nilai itu. Ini bererti sifat picisan sesebuah karya
kreatif, jika karya itu karya para sasterawan negara, maka yang picisan itu boleh dijadikan nilai
utama dalam kritikan sastera. Inilah yang terjadi ketika para sasterawan negara
dijadikan contoh dalam penulisan kreatif
hanya kerana telah diangkat
menjadi sasterawan negara, tidak lagi berasaskan analisa yang kritis terhadap
karya itu. Maka terjadilah penilaian yang juga picisan ketika karya picisan
oleh Anwar Ridhwan, Naratif Ogonshoto,
diberi kedudukan sebagai karya teragung dalam sastera Melayu berasaskan
kedudukan penulisnya sebagai sasterawan negara, bukan berasaskan analisis
mendalam dan kritis terhadap karya itu. Kata
orang-porang yang berkuasa dalam sastera Melayu sekarang, itu novel sangat
istimewa kerana memenuhi syarat keunggulan mengikut pascamodernisme (postmodernism). Jika mereka ini benar-benar percaya begitu,
maka pendapat ini amat bagus kerana tepat sekali dengan kesimpulan saya bahawa
novel ini tidak menggambarkan nilai-nilai ilmu dalam Islam, malah sebaliknya
mencerminkan nilai-nilai pascamodernisme. Masalahnya, pascamodernisme menolak semua
jenis nilai, kecuali nilai mereka sendiri yang menolak apa juga faham agama
dalam sastera. Bacalah buku-buku mengenai postmodernism jika anda tidak faham. Jangan terus diperbodohkan oleh teori sastera
Barat; oleh itu faham betul-betul kemajuan baru yang sedang kita hadapi
sekarang dengan munculnya Gagasan PB sejak tahun 1990-an lagi. Tidak wajar sarjana sastera tidak baca buku
sastera!
Walaupun
pada waktu ini orang Melayu yang berminat dalam sastera belum sedar bahawa
pelantikan sasterawan negara adalah satu kesilapan besar dalam perkembangan
intelektual dan kebudayaan Melayu yang berteraskan Islam, namun kesedaran itu
akan muncul juga sekiranya penentangan terhadap Gagasan Persuratan Baru
didedahkan kepada masyarakat. Penjelasan
terperinci tentang persoalan ini telah dibuat dalam buku Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden, tetapi
nampaknya buku ini dilarang daripada digunakan dalam pengajian sastera di
universiti Malaysia. Walaupun kita
diberitahu kerajaan baru yang
menggelarkan dirinya Pakatan Harapan bersikap terbuka dan menggalakkan
kebebasan bersuara yang diizinkan, namun
Kementerian Pendidikan Malaysia tidak membenarkan buku ini dijadikan telaah di
kalangan pelajar sastera di universiti.
Alasan yang diberikan ialah buku ini menolak dan menghina para
sasterawan negara. Alasan ini aneh dan tidak masuk akal, kerana hanya
berasaskan prasangka, bukan berasaskan kajian kritis dan wajar seperti yang
diizinkan dalam pendidikan tinggi di universiti. Tidak wajar para sarjana sastera mengambil
sikap memusuhi ilmu dan pendapat orang lain sebelum pendapat itu dibahaskan
dengan saksama dan kritis. Baru-baru ini
Menteri Pendidikan kasut hitam memperkenalkan pendidikan sivik di sekolah;
tetapi beliau sendiri tidak memperlihatkan adanya unsur sivik itu dalam diri
beliau. Celakalah sesiapa juga yang menentang perkembangan ilmu dalam bidang
apa pun, terutama bagi manusia yang diharapkan untuk memajukan pemikiran bernas
dalam masyarakat. Kementerian Pendidikan
tidak harus menjadi jaguh perkembangan ilmu dengan menyekat kehadiran buku Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden itu,
tanpa sebarang hujah. Jangan gelincirkan Pakatan Harapan ke dalam gaung
kebencian yang dalam…
Kita
mengharapkan seorang Menteri Pendidikan dapat membezakan antara sivik dengan
adab. Kita tidak perlu pendidikan sivik, bukan cara hidup kita sebagai orang
Islam. Kita wajib tanam konsep adab dalam pendidikan. Untuk mengetahuinya lebih
lanjut dan lebih mendalam, anda harus membaca buku-buku Tan Sri Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas yang membicarakan aspek adab ini dalam
pendidikan. Masalahnya ialah Menteri
Pendidikan kita tidak sukakan tokoh besar Malaysia sendiri, yang terkenal
seluruh dunia. Apakah yang menghalang seorang Menteri Pendidikan untuk
melaksanakan program pendidikan adab di sekolah-sekolah, semua jenis sekolah
yang terdapat di Malaysia. Kalau kamu tidak tahu, maka inilah kamu diberitahu
sudah pun ada pendidikan adab itu dicerakin dengan baik sekali oleh Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas dalam buku-bukunya tentang adab. Sekiranya konsep adab ini difahami, engkau pun
akan faham dengan mudah dan jelas mengapa sasterawan negara itu wajib ditolak,
kerana mereka tidak mencerminkan aspek
adab yang difahami dalam Islam. Mengapa perkara ini penting? Mudah sahaja. Jika anda pernah membaca kitab
yang ditulis oleh para ulama Melayu, dan anda bandingkan dengan karya yang
ditulis oleh para sasterawan, apakah kesan anda? Sekiranya anda tidak dapat
membezakan dua perkara ini, maka anda akan berada dalam kebiadaban seumur hidup
anda. Itulah yang diberikan oleh karya sastera yang dihasilkan oleh para
sasterawan negara. Karya itu tidak membawa anda ke matlamat yang telah
ditetapkan untuk manusia beragama; sebaliknya anda akan mengikuti kehidupan
yang disediakan untuk anda oleh Iblis dan Syaitan yang menolak adab dengan
angkuh ketika disuruh tunduk hormat kepada Adam AS. Cerita ini anda boleh dapat dalam al-Quran; tetapi anda telah menolaknya kerana sastera
tidak membenarkan anda menerima hakikat kejadian insan sebagai asas penulisan.
Semua ini tidak ada dalam sastera Barat yang anda contohi. Sekarang anda perlu membuat pilihan, atau
memang anda telah pun membuat pilihan. Amatlah memalukan apabila terdapat
sarjana dan pengkritik sastera mengangkat novel Naratif Ogonshoto begitu tinggi, padahal novel itu tidak
menggambarkan hakikat kejadian insan seperti yang difahami dalam Islam. Ada
tidak sesiapa yang mahu mempertikaikan kesimpulan ini? Kita mahu lihat siapa
orang itu dan apakah hujahnya.
Sekarang
anda faham mengapa anda perlu membaca dengan kritis entri yang lepas, untuk memahami entri ini.
Jika tidak, anda akan terus berada dalam kehilangan adab merayau dalam keadaan
“cetek meraba-raba” kerana tidak jelas konsep ilmu. Anda pastilah akan terus
menerus “sesat Barat”, satu ungkapan yang terkenal di kalangan orang kampung di
Kelantan!
Selamatlah
jiwa yang sempurna!
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 26 Oktober 2019.
No comments:
Post a Comment