Wednesday, October 9, 2019

ANDA PERLUKAN DUA PERKARA UNTUK MENYELAMATKAN KEHIDUPAN ANDA



Sedikit sekali yang faham mengapa saya memberi penekanan yang begitu besar kepada dua konsep dalam Islam:  tauhid dan taklif. Tauhid untuk mengenal hakikat Pencipta anda; taklif untuk memahami makna kehidupan anda yang anda alami seharian.  Khusus untuk para pengarang, saya rumuskan dua perkara ini dalam  Gagasan Persuratan Baru, yang berteraskan konsep ilmu yang benar.  Itulah yang saya cuba gambarkan dalam Pujangga Melayu, dengan memberi segala jenis teknik yang dapat dikuasai oleh mana-mana penulis jika dia benar-benar faham maksud dan matlamat penulisan kreatif dalam Islam. Saya pernah menegaskan, persuratan adalah perjuangan. Dua jenis perjuangan yang tidak dapat dielakkan. Pertama,  perjuangan untuk mendapat kefahaman yang mendalam tentang makna kehidupan dunia.  Kedua, sebagai seorang penulis, anda wajib memahami dengan mendalam matlamat perjuangan anda dalam persuratan. Dalam konteks inilah saya sebut bahawa persuratan adalah perjuangan; dan setiap perjuangan mempunyai matlamat yang jelas, yang telah saya simpulkan dalam Pujangga Melayu, dalam dua muka surat terakhir, yang berakhir dengan ayat yang amat pendek dan mudah,  sebagai penamat novel itu; yang dari segi makna adalah permulaan kepada satu perjuangan yang panjang: untuk menegakkan sebuah negara Islam di Nusantara.  Alangkah menariknya jika anda tertawa bila membaca kesimpulan ini,  kerana anda sekarang pada peringkat permulaan untuk memahami makna sebenar satu perjuangan yang anda sendiri tidak sempat menyempurnakannya, oleh itu perlu disempurnakan oleh orang lain. Itu sebabnya saya pernah berkata, saya beri seratus tahun kepada bangsa Melayu untuk memahami makna  Pujangga Melayu.  Dengan penjelasan ini, saya harap anda faham mengapa saya tolak sasterawan negara yang memang berjaya menulis karya picisan yang sering kali bertentangan dengan konsep ilmu yang benar yang telah ditradisikan dalam persuratan Melayu beratus tahun yang lalu.  Apa yang berlaku dalam sastera Melayu, itulah juga yang berlaku dalam politik Melayu.

Kita baru saja disuap dengan mimpi baru yang diberi nama Wawasan Kemakmuran Bersama 2030  (Shared Prosperity Vision 2030).  Inilah antara contoh penipuan dalam sistem demokrasi yang ditegakkan melalui  konsep mobilization of bias.  Yang dipanggil WKB 2030 itu ialah contoh terbaru, mungkin yang terbaik, tentang konsep mobilization of bias itu.  Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu kasi tahu sama rakyat bahawa inilah kerajaan terbaik Malaysia yang akan memberi pembelaan terancang kepada semua rakyat. Mereka dijamin akan makmur  jika terus menyokong PH.  Kini sudah timbul suara yang belum lantang menyatakan PH sudah gagal melaksanakan janji pilihan rayanya. Antara contoh yang diberikan: harga barang mahal; pekerjaan sukar dapat;  pilihan istimewa (kroni) di kalangan penyokong masih berlaku;  dan seterusnya seperti yang anda boleh dapat melalui Internet. 

Tiga matlamat WKB 2030:  (1) pembangunan untuk semua  melalui struktur baru yang progresif;  (2)  menghapuskan jurang kekayaan di kalangan rakyat tanpa mengira bangsa; (3) membina negara bersatu, makmur dan bermaruah untuk muncul sebagai paksi ekonomi Asia.   Adakah selama ini tiga perkara ini tidak ada dalam pembangunan ekonomi Malaysia? Nampaknya begitulah; dan ini diakui sendiri oleh pelopor Wawasan 2020 yang dengan syukur dan ikhlas mengaku wawasan itu gagal, digagalkan oleh Abdullah  Badawi dan Najib Tun Razak yang menolak wawasan itu. Oleh itu direka pula wawasan baru untuk menebus kegagalan wawasan lama yang juga dicipta oleh orang yang sama yang mencipta WKB 2030!  Menurut  pengakuan pencipta WKB 2030, seluruh rakyat Malaysia menerima dengan gembira projek baru ini supaya semua rakyat dalam masa 10 tahun ini akan menikmati kemakmuran bersama. Ini termasuk negeri-negeri Melayu yang mundur yang akan muncul sebagai negeri yang paling maju setelah dilaksanakan WKB 2030 ini. Lampu ajaib Aladin kini berada dalam tangan YAB Tun Dr  Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia.  Kerana lampu itu dalam tangan YAB Tun Dr. Mahathir, maka terloponglah mulut Anwar Ibrahim  yang begitu berahi hendak menduduki takhta Perdana Menteri yang semakin hari semakin tebal ditutupi jerebu politik Tun Dr. Mahathir yang lihai itu.  Siapakah agaknya yang akan mewarisi WKB 2030 itu?  Agak aneh, semua orang tahu dengan pasti siapa orang itu; dengan anak Mahathir sendiri menjadi Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.  Kata budak-budak nakal dalam politik Malaysia, itulah makna WKB 2030 yang orang tidak tahu.  Sekarang rakyat Malaysia harus memilih sama ada mahu terus memeluk WKB 2030 tanpa Anwar Ibrahim, atau menolak WKB 2030 sekiranya Anwar Ibrahim menduduki takhta Perdana Menteri.  Kata budak-budak nakal dalam politik Malaysia, susah betul hendak membuat pilihan: dipilih mati emak, dilepas mati bapa!  Kalau ditendang kedua-duanya, siapa pula yang jadi pengganti?  Kata budak-budak nakal dalam politik Malaysia, jika benarlah terjadi perkahwinan politik antara PAS dan UMNO, maka merekalah yang akan naik dan dengan itu WKB 2030 akan dicampak ke dalam Laut Sunda (kini dipanggil Laut China Selatan, tak fasal-fasal diberi nama itu oleh penjajah).  Nampaknya orang Melayu sudah agak yakin itulah pilihan terbaik, mengembalikan perpaduan Melayu melalui perkahwinan itu.

Betulkan begitu?  Menurut nagarawan (bukan negarawan) Tun Dr. Mahathir Mohamad,  perkahwinan itu tidak mungkin terjadi, kerana UMNO telah dikafirkan oleh PAS dan dokumen pengkafiran itu belum dimansukhkan  oleh Tuan Guru Haji Hadi yang membikin dokumen penting itu.  Dari segi perhitungan politik, lebih baik jika dokumen pengkafiran itu ditarik balik dan dihumban ke Laut Sunda; dengan itu jika perkahwinan politik ini benar-benar terjadi, maka terbukalah peluang kepada Tuan Guru Haji Hadi Awang dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Kata budak-budak nakal dalam politik Malaysia, pilihan ini adalah yang terbaik dan paling menguntungkan politik Melayu yang dipecah-belahkan oleh Tun Dr. Mahathir  Mohamad dengan pertolongan DAPig!  Sudah patut Amanat Haji Hadi dilempar ke dalam Laut Sunda; kerana Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengkafirkannya dan menolaknya sebagai penyelewengan akidah.  Anda boleh dapat dokumen itu di JAKIM.

Jika ini berlaku, jelaslah tajuk entri kali ini tidak tepat, terlalu jauh dari realiti politik sekarang yang menolak peranan Islam sebagai peranan definitif dalam politik Malaysia.  Bagaimana pun, anda sekarang menghadapi dua jenis amaran. Amaran pertama, yang menjadi tajuk entri ini. Amaran kedua, yang menjadi hakikat politik sekarang.  Yang penting, Vision 2020 telah menolak peranan Islam dalam pelaksanaan Wawasan 2020 itu. Anda boleh baca ini dalam dokumen penting, SEMINAR KEBANGSAAN KE  Arah Masyarakat Maju dan Perindustrian: Memahami Konsep, Implikasi dan Cabaran Wawasan 2020, bertarikh 5-7 Disember 1991.  Dengan jujur Tun Dr. Mahathir  Mohamad telah mengaku Wawasan 2020 telah gagal mencapai matlamatnya; maka itulah diperlukan  WKB 2030 yang kali ini PASTI berjaya sepenuhnya.   Kalau gagal pun tidak mengapa, kerana beliau tidak ada lagi waktu itu.

Berapa lama Melayu akan terus hanyut dalam arus mobilization of bias ini?  Oleh sebab Melayu telah diajar untuk menerima penipuan politik sebagai takdir kehidupan mereka, maka mereka tidak keberatan untuk ditipu oleh ahli politik seterusnya.  Inilah hakikat politik Malaysia yang mengasyikkan ahli politik terus berjuang dalam mencipta mimpi Mat Jenin dalam politik Melayu.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 9 Oktober 2019.




No comments:

Post a Comment