Cerita
pendek ini memberi jalan keluar yang terbaik kepada kemelut yang dihadapi oleh
para sasterawan negara yang picisan dari segi pemikiran dan kemampuan
kreatifnya. Dengan meletakkan para sasterawan negara ini setaraf dengan
Shakespeare, maka sifat picisan mereka akan terhakis kerana kini mereka setaraf
dengan Shakespeare, sama-sama menjadi anggota sasterawan negara dan sekali gus sasterawan
dunia yang ulung. Jika ini benar-benar
berlaku, maka sesiapa juga yang ingin mengkritik para sasterawan negara ini tidak lagi mempunyai
hujah, kerana kini mereka setaraf dengan pengarang besar dunia, yang paling
agung di Barat. Cuma, kamu semua mesti ingat pesan Annemarie Schimmel tentang
Goethe dan Shakespeare, yang menurutnya hanya pemain guli jika dibandingkan
dengan Rumi. Siapakah di antara sasterawan negara ini yang menjangkau
kehebatannya mengatasi Rumi? Ada yang mencadangkan Prof. Emeritus Dr. Muhammad
Haji Salleh boleh diangkat setaraf dengan Rumi, malah dalam beberapa buah
sajaknya dia melampaui jauh daripada Rumi yang menulis sajak-sajak kontot!! Lebih baik, kata para sarjana, ialah kedudukan
Kemala, yang ternyata mengatasi Rumi melalui sajak-sajak sufinya yang murni
itu, menurut Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.
Tetapi ada
satu halangan besar yang harus dilalui oleh para sasterawan negara ini. Saya telah mencabar para penilai mereka dan
mereka sendiri untuk mengkritik dan melemparkan ke dalam Sungai Kelang sajak “Al-Andalus” dan novel Pujangga
Melayu, Hikayat Buyung Lurus, yang saya klaim tidak mungkin diatasi oleh
mana-mana karya para sasterawan negara ini. Para sarjana perlu menolak klaim saya; kerana jika mereka tidak mampu
melakukannya, dan membiarkan cabaran ini tergantung seribu tahun dalam sastera
Melayu, maka yang mereka buktikan ialah
keselekehan para penilai dan karya yang mereka nilai yang tetap picisan itu.
Demikianlah pentingnya cerita pendek “Sasterawan Negara William Shakespeare”
itu sebagai hujah untuk membela para
sasterawan negara.
Seberapa
boleh, para sarjana dan pengkritik sastera harus menjauhkan diri mereka
daripada melakukan pembohongan ilmiah dalam penilaian mereka. Biarlah ahli
politik saja yang menjadikan pembohongan sebagai hujah tentang kejujuran
mereka; para sarjana dan sasterawan negara tidak wajar meletakkan diri mereka
jauh ke bawah daripada kedudukan para ahli politik yang menjadikan pembohongan
itu sebagai kejujuran politik mereka. Saya harap tidak ada di antara para
sarjana dan sasterawan negara, dan para sasterawan secara umumnya, tidak faham
maksud pandangan saya itu. Walaupun para
sasterawan negara telah diberi dedak oleh ahli politik dan para sasterawan
negara meminta jumlah dedak yang lebih besar daripada 5000 dolar yang mereka
terima sekarang, menjadikannya 10,000 kerana kebesaran jasa mereka dalam
pembohongan intelektual yang mereka
tunjukkan dalam karya mereka, namun
kedudukan mereka sebagai sasterawan
negara akan lebih terjamin jika mereka disetarafkan dengan Shakespeare dengan
melantik tokoh Inggeris ini sebagai seorang sasterawan negara. Saya harap tiada sarjana dan rakyat Inggeris
membantah cadangan ini. Berilah peluang kepada anak jajahan mereka untuk
mencapai kedudukan tertinggi sebagai pemuja keagungan penjajahan intelektual
dalam sastera Melayu. Inilah
satu-satunya cara untuk menolak Gagasan Persuratan Baru yang kini mencabar
seluruh teori sastera Barat yang menjadi asas penilaian para sasterawan negara
ini.
Menurut
Ketua Pengarah DBP, semua sasterawan negara dijadikan idola (?) para mahasiswa
di semua universiti, seperti yang dikehendaki oleh Menteri Pendidikan kasut
hitam. Untuk memastikan cadangan ini bukan lawak Pak Pandir, para mahasiswa ini
perlulah diberi peluang oleh para pensyarah sastera untuk memahami kedudukan PB
dalam kritikan sastera, dan bagaimana penilaian berasaskan konsep ilmu itu
lebih tepat dan jitu daripada penggunaan teori Barat yang ternyata palsu itu. Beri peluang kepada para mahasiswa sastera
untuk berfikir dengan kritis, dan tahu meletakkan karya picisan di tempatnya
dan dengan itu dapat mengenal siapakah sasterawan picisan dalam sastera Melayu.
Satu permintaan yang mudah untuk dilaksanakan dengan wujudnya Gagasan
Persuratan Baru sebagai satu alternatif. Untuk itu, bacalah dengan kritis buku
Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir yang diterbitkan oleh DBP berjudul, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP,
2009).
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 24/11/2019.
No comments:
Post a Comment