Nota: Sempena entri yang lepas, saya siarkan cerita pendek yang lucu ini untuk mengangkat para sasterawan negara ke peringkat antara bangsa sebagai tokoh sastera yang setaraf dengan shekespare!!
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Sasterawan Negara William Shakespeare
Semenjak
bahasa Inggeris dihidupkan semula dengan suburnya di Malaysia, ayahku mula
bekerja keras berkempen seluruh negara supaya kerajaan memberi anugerah negara tertinggi dalam kesusasteraan kepada
William Shakespeare. Kata ayah, kalau P. Ramlee layak digelar Tan Sri selepas
meninggal dunia berpuluh tahun, Shakespeare juga layak diberi anugerah sebab
dialah yang membawa kemajuan di Malaysia melalui drama-dramanya yang indah.
Kata ayah, Shakespeare membuat orang Malaysia jadi cerdik dan fasih berbahasa
Inggeris tinggi, yang membuat mereka berjiwa
maju. Selepas surat-surat khabar menyiarkan berita itu, aku menjadi bahan
tertawa kawan-kawan dan guru-guru di sekolah.
-Huu, tak malu!! Ayah kamu gila,
sorak teman-temanku.
-Heeh, Samad, bilang sama ayah kamu
suruh dia berhenti buat kerja gila itu, kata guru-guru sambil tertawa. Tak ada
calon lainkah? Sampai Shakespeare pun nak dijadikan Sasterawan Negara?
Apa yang aku boleh buat? Tak mungkin
aku menangis, kerana usikan dan ejekan itu pasti akan jadi berganda-ganda lagi
jika aku menunjukkan kelemahanku. Tetapi jika aku terlalu kerap disakan
guru-guruku, aku tidak sabar juga dibuatnya. Aku terus mengejek mereka pula.
-Cikgu tahu siapa Shakespeare? Cikgu
ingat dia driver bas sekolah?
Tetapi guru-guru itu semakin kuat
mengusikku.
-Kamu tahu siapa dia Shakespeare?
Kamu ingat dia pemain rodatkah?
Aku terkebil-kebil memandang mereka.
Aku tidak tahu apa dia rodat. Aku mula gelisah dan ingin cabut lari sebelum
mereka tahu aku tidak tahu.
-Heiii, jangan lari! Kamu mau ke
mana? Bilang sama ayah kamu, dia tak ada kerja lainkah? Mentang-mentang kerajaan
galakkan bahasa Inggeris, ayah kamu lebih-lebih pula nak jadikan Shakespeare
Sasterawan Negara. Kamu ingat orang putih tak marah?
Anehnya ayahku hanya tertawa bila
aku memberitahunya semua kejadian itu.
-Ayah lebih teruk lagi diejek
kawan-kawan ayah, kata ayah sambil tersenyum. Mereka tidak faham. Mereka tidak
mengerti. Kalau kita ada Shakespeare dalam senarai Sasterawan Negara kita, kita
akan dikenali dunia. Kita pun boleh menaikkan darjat bahasa Melayu kerana kini
sasterawan dalam bahasa Melayu sama taraf dengan sasterawan besar macam
Shakespeare. Kita mesti jadi global …
Aku terpinga-pinga, tidak mengerti
langsung apa maksud ayahku. Aku mendiamkan diri sambil menunggu ayahku
menyambung ucapannya. Tetapi sebaliknya ayah merenungku dengan aneh.
-Kamu demam?
Terkejut mendengar pertanyaan yang
pelik itu, tiba-tiba aku tertawa kuat.
-Haaa, mengapa pula tertawa?
-Pertanyaan ayah menggelikan hati,
kataku sambil terus tertawa kecil. Takkan pula saya akan demam kerana
Shakespeare nak dijadikan Sasterawan Negara.
Ayahku tersenyum.
-Kamu silap, kata ayah serius. Ada
orang bukan saja demam, tapi sudah hampir gila bila ayah kemukakan cadangan
ayah supaya Shakespeare dijadikan Sasterawan Negara. Mereka kata ayah sudah
gila. Mereka tidak sedar merekalah yang hampir gila, kalau pun tidak gila
terus. Mereka tidak mengerti! Kita tak boleh sempitkan Sasterawan Negara kepada
sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu saja. Kita mesti global, mesti berani mengakui semua
sasterawan, tak kira menulis dalam bahasa apa sekalipun.
Ayahku sebenarnya seorang Sasterawan
Negara yang menulis pada mulanya dalam bahasa Inggeris, tetapi berpindah ke
bahasa Melayu bila dia sedar tidak ramai orang yang akan membeli bukunya dalam
bahasa Inggeris. Kata ayah, penyair Inggeris yang dia paling suka selepas
Shakespeare ialah Philip Larkin. Ayah tersenyum-senyum bila menyebut nama
Philip Larkin, kerana ayahnya sendiri berasal dari Larkin, manakala nenekku
berasal dari Kuala Sedili. Kata ayah, Philip Larkin menggunakan bahasa yang mudah,
bahasa kolokial, dalam sajak-sajaknya. Ayahku juga menggunakan bahasa kolokial
dalam sajak-sajaknya, baik yang dalam bahasa Inggeris maupun yang ditulisnya di dalam bahasa
Melayu. Kami di sekolah pun menggunakan bukunya yang dia tulis lama dahulu, tentu
saja dalam bahasa Inggeris. Dia memang dididik untuk memuja Shakespeare sejak
di bangku sekolah lagi. Dia bercerita begitu kepada kami, anak-anaknya. Dia
memaksa kami membaca drama-drama Shakespeare, dengan dia sendiri menjadi
gurunya. Aku pernah melihat ayah menangis tersedu-sedu apabila membacakan
kepada kami drama King Lear yang
disiksa oleh anak-anak perempuannya.
-Sedihkah ceritanya, ayah?, tanya
kami yang masih kecil ketika itu.
-Memang sedih, tapi ayah menangis
bukan kerana itu, kata ayah sambil menyapu airmatanya.
-Mengapa ayah menangis?, tanya
adikku yang bingung, sambil tersebek hendak menangis sama.
Ayah memandang kami sedih.
-Ayah sedih kerana kita di Malaysia
tidak boleh menonton drama Shakespeare lagi. Sekarang kerajaan pentaskan
drama-drama sasterawan Melayu saja. Tidak bagus. Memang tidak bagus. Ayah tidak
suka melihat pelakon terjerit-jerit di pentas. Ayah meluat mendengar khutbah
yang disemburkan dari mulut pelakon yang tidak berbakat pula. Tidak ada
kata-kata yang indah, yang puitis, dalam drama-drama itu. Tapi penonton
bersorak. Ayah tidak tahu apakah yang disorakkan mereka. Kebodohan mereka? Atau
saja-saja nak bersorak…
Di rumah kami penuh buku-buku drama
karangan Shakespeare, buku-buku yang
memuji drama-dramanya, dan gambar-gambar
pelakon handalan yang terkenal kerana melakonkan drama-drama Shakespeare. Aku
tidak pernah membaca karangan itu. Ayah selalu terkilan apabila tidak seorang
pun di antara kami, anak-anaknya, yang sukakan Shakespeare, atau menonton
filem-filem yang dibuat daripada dramanya. Tetapi setiap kali ayah menonton
filem-filem itu, kami terpaksa ikut sama menonton. Ayahku diam penuh perhatian
menonton drama-drama hebat daripada cerita-cerita Shakespeare itu. Jika sampai
ke babak yang digemarinya, yang ditunggu-tunggunya, dia akan bangun dengan
hebat, melakonkan dengan penuh perhatian babak itu, mengucapkan dengan fasih
dan berirama ucapan-ucapan klasik dalam drama-drama Shakeskpeare…
-Romans,
contrymen, lend me your ears …
-Life
is but a walking shadow …
-Is
that a dagger?…
-Knock knock knock …
Dan seterusnya. Aku mungkin silap
sebut bahagian-bahagian itu, sebab aku bukan ingat sangat.
-Sungguh cantik bahasa Shakespeare! Kata ayah dengan terharu.
Selepas itu dia akan membacakan
sajak-sajak Larkin yang dihafalnya, termasuk yang digemarinya “Church-Going”
yang menurutnya sangat sinis menyindir orang yang berpura-pura beragama. Dia
sendiri kemudiannya menulis sajaknya sendiri, “Dalam Masjid”, walaupun dia
bukan gemar ke masjid, termasuk hari Jumaat. Kami tahu sebab ayah selalu
berkata masjid tempat orang mengumpat dan menghina orang yang tidak disukai.
Walaupun aku tidak pernah dengar orang berbuat begitu, aku tidak membantah. Aku
fikir ayah selalu mendengarnya, mungkin kerana teman-temannya suka berbuat
begitu dalam masjid. Aku tidak tahu, jadi aku percayakan kata-kata ayahku
membuta-tuli saja.
Kami kagum
melihatnya begitu hebat menyebut syair-syair Shakespeare, dengan gaya yang
hampir sama dengan para pelakon Inggeris atau Amerika. Dia menghafal
bahagian-bahagian yang dikatakannya indah itu. Aku tidak pasti berapa banyak
syair-syair Shakespeare yang dihafalnya. Aku fikir banyak, kerana setiap kali
dia membacanya, aku dengar semuanya berlainan. Adakah ayahku menghafal semua
karya Shakespeare? Kata ayah, Lord Macauly memang menghafal semua drama dan
puisi Shakespeare, hingga orang Inggeris berkata jika semua karya Shakespeare
musnah masa itu, mereka dapat menyalinnya semula sambil mendengar Lord Macauly
membacakannya semula dari ingatannya.
-Macam
orang hafal Quran, ayah?, tanya adikku hairan.
Ayah
tersenyum sambil menganguk-angguk megah.
-Lebih
hebat lagi, kerana karya Shakespeare banyak, beratus-ratus, dan sukar pula
dihafal. Tapi Lord Macauly boleh hafal semua. Hebat bukan?
Kami
memandang ayah terlongo hairan.
-Ayah hafal
juga?, tanya adikku lagi, lebih hairan, tetapi aku lihat dia bangga dan
menunggu jawapan ayah dengan penuh harapan.
-Ayah pun
hafal, tapi yang penting-penting saja, yang guru sastera ayah ajarkan masa ayah
bersekolah dulu.
-Ayah masih
ingat sampai sekarang?
-Ya, masih
ingat. Masih segar dalam ingatan ayah.
Adikku
tersenyum bangga.
-Saya pun
mau jadi macam ayah, kata adikku.
Tetapi bila
kami sudah besar dan lebih cerdik, aku lihat adikku usahkan hendak menghafal
drama Shakespeare, menyentuh bukunya pun tidak mahu, apalagi menonton drama
yang berat-berat itu bersama ayah. Ayahku sangat kecewa melihat sikapnya,
tetapi adikku pura-pura tidak faham, buat-buat tidak dengar, konon-kononnya dia
terlalu banyak kerja sekolah yang penting-penting yang perlu dibuat dan
disudahkan.
-Kamu
jangan ikut adik kamu, kata ayah hampa. Kamu tidak akan rugi jika kamu hafal
bahagian-bahagian yang ayah berikan itu sedikit demi sedikit. Kita tidak akan
jadi terpelajar jika tidak dapat menyebut bahagian-bahagian drama Shakespeare
yang masyhur itu.
Adikku
tidak saja liat dan malas menghafal syair-syair Shakespeare, dia lebih liat dan
malas lagi menghafal surah-surah pendek al-Quran. Ustaz yang ibuku upah
mengajar Quran selalu menggelengkan kepala sedih melihat telatah adikku. Satu
hari aku dengar ayah memarahi ibu kerana mengupah ustaz yang mengajar cara
lama, suruh budak-budak hafal walaupun tidak faham. Ayah tidak suka adikku
dirosakkan dengan paksaan seorang ustaz yang menggunakan cara lama mengajar
agama. Ibu diam saja. Lepas itu ustaz Jalil tidak datang ke rumah kami lagi,
diganti dengan seorang ustaz baru yang ditugaskan membaca saja, tidak perlu
menghafal lagi. Adikku senang hati dan rajin membaca Quran bila ada ustaz. Tapi
bila ibuku suruh sembahyang, dia kata nantilah dulu. Aku tahu helahnya. Dia
tidak mahu sembahyang lagi kerana belum hafal ayat-ayat pendek, dia beritahu
aku. Bila aku beritahu ibu, aku disuruh ibuku mengajar adikku menghafal ayat-ayat
pendek. Mana dia mahu? Dengan ustaz pun dia tak mahu, apatah lagi dengan aku.
Tetapi aku senang hati kerana ibuku selalu memujiku pandai mengaji dan hafal
pula ayat-ayat pendek. Cukuplah untuk sembahyang nanti, kata ibu.
Walaupun
sangat tersiksa, kerana aku tidak menggemarinya, aku terpaksa juga menghafal
syair-syair Shakespeare, untuk tidak menghampakan ayahku. Untungnya bila
diadakan kelas bahasa Inggeris, aku selalu mendapat pujian dari guru bahasa
Inggeris, kerana kefasihanku mengeluarkan semula bahagian-bahagian yang sesuai
dari syair-syair Shakespeare. Hinggalah apabila ayahku mula berkempen meminta
kerajaan menganugerahkan gelaran Sasterawan Negara kepada Shakespeare. Mulai
saat itu, aku diejek-ejek, dikatakan sudah jadi keju dan mentega Inggeris, tak
tahu belacan dan budu dan cencalok Malaysia lagi.
-Berapa
buah pantun Melayu kamu hafal?, cabar kawan-kawanku.
-Kamu hafal
syair-syair Hamzah Fansuri?, cabar yang lain.
Aku jadi
bingung. Siapakah Hamzah Fansuri? Abang ayahku memang bernama Hamzah, tetapi
bukan bin Fansuri. Lagi pula dia bukan pengarang syair. Dia seorang nelayan
yang pandai belayar dan pandai membuat perahu.
-Kamu hafal
“Syair Perahu”?, jerkah guru bahasa Melayu dengan muka meluat.
-Tapi bapa
saudara saya tidak buat syair, cikgu. Dia hanya buat perahu, jawabku bangga.
Mereka,
guru-guru dan teman-temanku, tertawa kuat.
-Bodoh. Aku
bukan bercakap pasal bapa saudara kamu. Aku bercakap pasal Hamzah Fansuri.
Siapa beritahu kamu Hamzah Fansuri itu bapa saudara kamu?
Mereka
tertawa kuat.
-Bapa
saudara saya memang namanya Hamzah, tapi bukan bin Fansuri, kataku jujur.
Mereka
tertawa lebih bergemuruh. Kemudian aku ditinggalkan begitu saja, seolah-olah
macam sampah kotor. Aku sangat tersinggung dan sedih. Bila aku beritahu ayah,
dia menepuk-nepuk bahuku dengan mesra.
-Biarlah
mereka buat begitu. Mereka tidak mengerti, kata ayahku.
-Bila pula
Pak Long tulis syair, ayah?, tanyaku hairan.
Ayah
tertawa kecil.
-Bukan Pak
Long kamu. Yang mereka maksudkan Hamzah Fansuri seorang ulama Sumatra yang tulis
syair. Orang Belanda tolong perkenalkan dia dengan menulis tentangnya. Sebab
itu kita kenal Hamzah Fansuri. Tapi apa yang dia cakap orang tidak faham, lagi
pula tidak indah macam syair-syair Shakespeare.
Aku
merenung ayahku lama-lama, kerana berasa kesal tidak diberitahu perkara itu
sehinggalah aku diejek-ejek teman-teman dan guru-guru.
-Mengapa
ayah tidak beritahu saya?, aku mencabar ayah.
-Bukankah
ada dalam buku bahasa Melayu dan buku sastera?, kata ayah hairan.
Tetapi aku
tidak bertemu, mungkin ayah betul, cuma aku tidak bertemu. Lagi pula aku tidak
ambil mata pelajaran itu. Di rumah kami pun aku tidak pernah lihat buku Hamzah
Fansuri. Aku hairan, bagaimana dia jadi pengarang tanpa menulis buku? Tetapi
aku tidak bertanya ayahku kerana aku tahu ayahku tidak suka sangat bercakap
tentang Hamzah Fansuri, walaupun abangnya bernama Hamzah. Ayah pernah berkata,
dia bukannya boleh baca tulisan Jawi cara lama yang ejaannya banyak salah,
menurut sarjana Belanda yang dia baca.
-Macam mana
bentuknya “Syair Perahu”, ayah? Macam perahukah?
-Perahu itu
lambang saja. Bukan betul-betul. Perahu itu hidup kita yang dilambangkan selalu
dilambung ombak macam kita naik perahu. Sebab itu jika kita pandai mengemudikan
hidup kita, kita akan berjaya.
Aku
merenung ayah, tidak faham apa maksud
ayah.
-Tapi Pak
Long tetap susah, miskin dan susah hidupnya. Dia cekap mengemudikan perahu.
Mengapa pula dia miskin dan susah?
Giliran
ayahku pula merenungku dengan hairan.
-Siapa yang
ajar kamu faham sosialis ini?, suara
ayah tegang saja.
-Sosialis?
Sosialis apa, ayah?
-Sudahlah.
Guru-guru bahasa Melayu dan guru-guru sastera memang merosakkan fikiran
budak-budak sekolah, rungut ayahku. Para sasterawan ini pun ramai yang sosialis
. Jadi aku tidak tahu jawapan
pertanyaanku yang aku fikir mudah itu. Aku tidak faham mengapa ayahku marah
bila mendengar pertanyaanku tadi.
Selepas
peristiwa itu, aku lupakan saja Hamzah Fansuri, tetapi setiap kali aku ke Kuala
Sedili bertemu Pak Long, bila ikut ayah pulang ke kampung, aku sering memandang
Pak Longku, yang bernama Hamzah itu, dengan perasaan sedih. Mengapa agaknya
orang yang pandai berperahu sepertinya hidup susah? Padahal ayah selalu
berkata, barangsiapa yang tahu mengemudikan perahu hidupnya akan berjaya. Bila
sudah bosan memikirkan soal-soal yang berat-berat dan membingungkan aku itu,
aku merungut sendirian:
-Agaknya
Pak Long pandai kemudi perahunya saja, tapi tak pandai kemudikan hidupnya.
Aku tidak
bertanya ayah lagi selepas itu. Sementara ayahku makin sibuk berkempen supaya
Shakespeare dijadikan Sasterawan Negara, dan semakin besar sambutan orang ramai
yang menyokongnya, kami anak beranak lupakan saja Hamzah Fansuri.
***tamat***
Tarikh: 13
Mei 2002.
No comments:
Post a Comment