Monday, December 31, 2018

CATATAN KECIL AKHIR TAHUN 2018



Tahun 2018 banyak juga saya menulis di blog, berjumlah 53 (termasuk entri ini). Paling sedikit 2013, hanya 26 saja, tetapi mengemukakan isu-isu penting. Terbanyak entri 2017, berjumlah 98.  Saya sendiri tidak perasan mengapa rajin sangat tahun 2017 itu. Tiga golongan menjadi perhatian saya: (1) para sasterawan picisan, termasuk sasterawan negara; (2) para sarjana ciritan yang memuji para sasterawan negara; (3) para pengkritik yang cetek meraba-raba.  Nampaknya ketiga-tiga golongan ini tidak membaca tulisan saya, jika kita boleh jadikan sikap membisu mereka sebagai bukti. Walaupun kritikan saya agak keras, namun tidak ada apa-apa reaksi daripada mereka. Benarlah kesimpulan yang diucapkan oleh kenalan saya, bahawa tiga golongan ini memandang saya sebagai anjing menyalak saja. Bukti yang mereka kemukakan ialah sikap dan pandangan Dr. Fatimah Busu dan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang terang-terang mengatakan saya hanyalah anjing kurap dalam sastera Melayu yang cetek pula pengetahuannya tentang sastera. Pandangan ini menjadi sangat menarik kerana Dr. Fatimah Busu memang mengidam hendak diangkat menjadi sasterawan negara; tak dapat, kerana diberikan kepada penulis perempuan lain, bukan beliau. Walaupun beliau disokong oleh Shahnon Ahmad. Saya memang menyokong jika Dr. Fatimah Busu diberi kedudukan tinggi itu, kerana di antara para penulis wanita di Malaysia, bagi saya beliau adalah yang terbaik, jauh melebihi sasterawan negara perempuan yang terpilih itu. Semua ini memberi bukti yang amat jelas betapa kuatnya pengaruh Mutual Admiration Club di kalangan sasterawan. Walaupun Dr. Fatimah Busu juga anggota Mutual Admiration Club ini, tetapi beliau nampaknya tidak berpengaruh di kalangan anggota lain. Lagi pula dia asal Kelantan, oleh itu sering kita dengar cukuplah wakil Kelantan yang seorang itu, yang lain-lain tidak setaraf dengan beliau yang bergelar sasterawan negara. Inilah realiti yang ada, yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun.  Walaupun pun Kelantan digelar Serambi Mekah, dan menjadi pusat perkembangan persuratan dan perkembangan ilmu sekitar pertengahan 1920-an hingga 1950, sekarang Kelantan tidak saja malap, tetapi sudah kehilangan semangat Shah Wali Allah apabila tidak seorang pun penulis Kelantan kenal tokoh yang berpengaruh ini, walaupun ada seorang di antara mereka yang mengikut syarahan tentang Shah Wali Allah, tetapi tidak mendapat apa-apa manfaat daripada kuliah itu, yang diberikan oleh Hj. Nik Mohd Salleh bin Hj. Wan Musa.  Apabila saya perkenalkan idea Shah Wali Allah dalam sastera Melayu, tidak seorang pun di antara penulis Kelantan excited, malah mereka nampaknya tidak pernah dengar nama tokoh besar itu. Yang di luar Kelantan apatah lagi …

Tahun 2018 adalah penting dalam pemikiran politik saya. Pada tahun 1987, ketika UMNO berpecah, saya mencadangkan kepada teman-teman ketika bertemu di UKM supaya UMNO dikalahkan untuk memberi peluang kepada orang Melayu membuat pilihan. Tiba-tiba saya dituduh menjadi penderhaka kepada bangsa Melayu kerana membuat cadangan itu. Akhirnya terjadi juga dalam tahun 2018 apabila UMNO dikalahkan oleh UMNO sendiri yang berpecah. Dalam konteks ini, siapakah pengkhianat bangsa Melayu?  Mana ada golongan yang mahu mengaku. Yang terjadi adalah sesuatu yang sungguh menarik bagi seorang penulis seperti saya yang sepanjang hayatnya mengutuk UMNO sebagai golongan yang menjadikan Melayu yang miskin itu sebagai hamba mereka.  Tidakkah pelik apabila UMNO yang direkon (recon) di bawah Dr. Mahathir muncul sebagai pemenang pilihan raya 2018 dengan memakai nama Pakatan Harapan, yang banyak mendapat sokongan daripada parti yang dibenci Melayu selepas Peristiwa 13 Mei 1969, yang diceritakan dengan mendalam oleh Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putera, dalam bukunya May 13:  Before & After (Utusan Melayu Press, 1969). Buku ini wajar dibaca kembali dan dibincangkan oleh semua lapisan rakyat untuk mengenal siapa mereka dan siapa pula musuh mereka. Versi Rumi dan Jawi juga diterbitkan, jadi semua pembaca boleh memilih versi pilihan mereka.

Menarik juga untuk dikongsi di sini pendapat saya yang tertulis dalam Pujangga Melayu mengenai isu politik yang amat mirip dengan yang sedang berlaku sekarang. Saya salin bahagian itu untuk makluman pembaca. Inilah dia:

“Sabar!” teriak Pak Tua. Sabar. Jangan bunuh mereka. Biarkan mereka. Kita tidak dapat menolak mereka kerana kita sendirilah yang memberi mereka tempat dalam kehidupan kita. Kita yang mencipta mereka dan memberi mereka kedudukan serta kekuasaan, sama ada kuasa politik atau kuasa ekonomi. Beranikah kita menghapuskan mereka?  Bolehkah kita menentukan bahawa pengganti mereka adalah lebih baik daripada mereka? Kita telah melakukan kesilapan ini dalam sistem kehidupan kita. Kalau tuan-tuan ingin menghapuskan mereka, tuan-tuan tidak ada pilihan lain kecuali membentuk corak  dan cara pemerintahan baru yang tidak membenarkan mereka berdua ini diberi kedudukan penting dan diberi segala kesempatan serta sokongan untuk menipu dan menindas kita semua. Adakah kita mahu?”

Kalau anda tidak mempunyai kesedaran politik, anda mungkin tidak faham maksud kutipan ini. Bagaimana pun, fikirkanlah.  Isu seperti ini perlu dibahaskan dengan kritis dan tuntas supaya Melayu tidak terus tertipu, ditipu oleh para pemimpin politik mereka sejak 61 tahun dulu hingga ke saat ini. Pemimpin yang bercakap tentang perubahan adalah orang yang sama yang telah menggunakan kebodohan Melayu untuk mendapat kuasa politik dan seterusnya menindas mereka, membiarkan mereka terus miskin dan terbiar, tertinggal dalam pembangunan negara. Kita perlu membuat analisis yang kritis untuk memahami mengapa Melayu terus menyokong pemimpin yang telah menipu mereka lebih dari setengah abad! Siapakah yang mendapat faedah dari “kemerdekaan” ini?

UMNO telah mengkhianati bangsa Melayu. Inilah hakikat politik yang mesti disampaikan kepada bangsa Melayu. Kini UMNO yang kalah Mei 2018 muncul dalam bentuk yang tidak berbeza, cuma sekarang menggunakan bahasa Melayu. Yang dipanggil parti PERIBUMI itu ialah bahasa Melayu untuk United Malays National Organization, UMNO!  Pemimpinnya pun masih sama…!

Sekarang orang galak sungguh bercakap tentang para pemimpin yang korup dalam BN/UMNO. Siapakah yang jadi pemimpin BN/UMNO dalam 22 tahun yang tidak korup? Pemimpin UMNO/BN hanya korup ketika diperintah oleh Datuk Seri Najib Razak. Siapakah beliau? Anak didik siapa? Kita semua tahu kekuatan Tun Mahathir ialah kelihaiannya mencampakkan pemimpin “pengganti” kerana beliau tidak mahu wujud persaingan. Maka dimusnahkan Musa Hitam, Tengku Ghazaleih, Anwar Ibrahim  dan … Inilah tindakan bersifat nagarawan, seperti yang saya telah sebut dalam entri terdahulu.  Inilah hakikat politik Melayu yang dibanggakan oleh bangsa Melayu. Satu perkara menarik untuk difikirkan ialah para pemimpin UMNO dari zaman Tunku, Tun Razak, Tun Hussain Onn… adalah dari keluarga terkenal dan berpengaruh dalam masyarakat Melayu. Dato’ Onn Jaafar diiktiraf sebagai penyelamat Raja-Raja Melayu dan bangsa Melayu.  Apakah yang telah diselamatkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed?  Kita perlukan sebuah buku, paling tidak, tentang pemimpin special ini untuk meneliti segala tindak tanduknya dan maknanya dalam politik Malaysia.  Terutama sekali sepanjang yang berkaitan dengan orang Melayu yang dijadikan hamba oleh para pemimpin UMNO dan dibiarkan terus miskin hingga sekarang. Kini mereka dikutuk kerana terus miskin!

Kini kita diberitahu kita berada dalam Malaysia Baru… Jangan tertipu lagi, dong!!

Selamat tahun baru untuk kesekian kalinya dan terus berada dalam keadaan yang diteruskan.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 31 Disember 2018.


Wednesday, December 26, 2018

MENCAPAI KECEMERLANGAN PENERBITAN DAN DALAM BIDANG AKADEMIK



Dalam entri yang lepas, saya akhiri dengan satu maklumat penting mengenai Balai Maqamat, yang dengan sengaja dicetak dengan memuat 5000 kesalahan ejaan, tanda baca dan lain-lain. Kerana begitu banyak kesalahan itu, maka kita bolehlah membuat kesimpulan bahawa semua itu dengan sedar dan sengaja dilakukan oleh ITBM dan Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang diangkat menjadi penyelia buku itu untuk memastikan kesalahan cetak itu wujud dengan matlamat untuk merosakkan penerbitan buku itu, dengan itu konsep Gagasan Persuratan Baru boleh dibuktikan tidak diperlukan, malah jika dibiarkan akan merosakkan sastera Melayu. Walaupun kita tidak tahu matlamat sebenar ITBM dan Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad membiarkan kesalahan itu menjadi sejumlah 5000 kesalahan, kita pasti perbuatan itu disengajakan untuk mencapai maksud tertentu. Kita berharap ITBM dan Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad sendiri boleh memberi kerjasama untuk memberi penjelasan mengapa mereka melakukan perbuatan itu. Mereka tidak boleh menafikannya kerana kesalahan yang disengajakan itu memang terdapat di dalam buku itu dengan jumlah yang begitu besar, sehingga memerlukan penjelasan.  Kesalahan  paling besar ialah apabila Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad meminda nama Persuratan Baru yang sudah diterima sebagai nama rasmi menjadi Persuratan Baharu. Apa tujuan beliau membuat perubahan itu? Ada batu di sebalik udang atau ada udang di sebalik batu? Mana satu yang betul? Sebagai seorang sarjana yang amat dikagumi oleh para sasterawan negara dan ahli akademik, beliau tentulah mempunyai asas akademik untuk meminda nama PB menjadi Persuratan Baharu, tidak mahu menggunakan Persuratan Baru yang telah dibakukan dalam penerbitan rasmi mengenai gagasan itu. Tidak mungkin seorang ahli akademik yang begitu terkenal dan dikagumi melakukan sesuatu yang tidak pantas dilakukannya, atau berbohong dalam bidang akademik. Kita mahu mendengar penjelasan beliau dan juga penjelasan ITBM mengapa begitu banyak kesalahan di dalam penerbitan Balai Maqamat.  Kita perlu tahu mengapa kesalahan itu disengajakan? Apa yang hendak dicapai oleh ITBM dan Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dengan melakukan kesilapan dan kesalahan yang disengajakan itu?  Kesilapan dan kesalahan itu memang disengajakan kerana terlalu banyak terdapat di dalam Balai Maqamat. Penjelasan jujur amat diperlukan.  Rakyat Malaysia, khususnya yang terlibat dalam kegiatan sastera dan penerbitan, perlu diberi penjelasan mengapa kesalahan yang begitu banyak disengajakan dan dibiarkan berada di dalam Balai Maqamat.  Kalau tidak ada kesalahan, semuanya perfect, maka kita  ingin mendapat pengakuan dan pengesahan demikian daripada ITBM dan Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.  Paling penting, mengapa nama Persuratan Baru yang sudah dibakukan dalam penerbitan rasmi mengenainya diubah menjadi Persuratan Baharu? Apa alasan kamu, Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad?

Walaupun saya bukan seorang ahli akademik dan tidak setanding dengan kedudukan Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, anda tidak boleh menafikan kemampuan akademik dan kemampuan intelektual saya yang telah menerbitkan buku-buku penting mengenai PB, seperti Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2. Juga karya kreatif yang jauh meninggalkan semua karya para sasterawan negara. Mahu saya senaraikan karya itu? Biarlah ahli akademik sendiri melakukannya, supaya boleh dipercayai kewujudannya.  Jika kita membuat perbandingan dengan karya Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan karya saya sendiri, mana satu di antara kami yang lebih menonjol dari segi penerbitan ini? Kita perlu diberi bukti bahawa karya Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad jauh lebih berkualiti, kerana dibuktikan telah terpilih untuk mendapat Hadiah Sastera Negara, manakala saya sendiri tidak pernah diberi Hadiah Sastera Negara. Adakah kesimpulan ini wajar dalam pertandingan akademik? Kita perlu diberi penjelasan yang jujur.

Beberapa tahun lepas saya menerima satu sticker daripada sekumpulan mahasiswa sastera di UKM, UPM, USM dan UM tertulis:  “Perintis Gagasan Persuratan Baru, Mohd. Affandi Hassan.  Nyah Sistem Pandirisme. Sudah Tiba Masanya Kita Terima Sastera Intelektual!”.  Adakah mereka lakukan ini dengan gesaan Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad sendiri yang menjadi mahaguru mereka? Sekiranya Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad malu-malu atau takut untuk mengaku, bagus juga jika para mahasiswa yang membuat poster itu tampil memberi penjelasan. Adakah mereka lakukan ini untuk mengajar ahli akademik yang telah gagal memberi input akademik yang terkini dan diberikan dengan kritis dan jujur?  Nampaknya penerimaan terhadap PB menjadi masalah di UM dan USM, walaupun diterima baik di UKM dan UPM. Adakah universiti yang menerima PB itu telah membuat kesilapan akademik? Kita perlu mendapat pandangan kritis daripada Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad sendiri yang kita tahu telah menolak PB untuk menjaga keutuhan para sasterawan negara yang dari perspektif PB adalah penulis picisan.  Saya telah menulis sebuah buku khusus (belum dicetak) berjudul, “Kita Tidak Perlukan Sasterawan Negara”.  Tentulah sangat bermakna jika kita mendapat pandangan kritis daripada Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mengenai perkara ini.  Saya diberitahu, beliau berpegang kuat kepada pendiriannya bahawa PB tidak perlu diberi tempat dalam sastera Melayu. Mengapa ya?  Kerana terdapat manusia siuman yang menerima PB, maka mereka tentulah mahu tahu adakah yang menolak PB seperti Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad itu lebih siuman dan lebih bijak?

Jika kita perlukan penyelesaian kepada persoalan ini, mungkin DBP dan/atau ITBM boleh membantu dengan mengadakan seminar kebangsaan untuk menolak PB once and for all!  Saya boleh kasi 20,000 Ringgit Malaysia untuk mengadakan seminar itu. Wang itu saya akan salurkan hanya kepada ITBM atau DBP, bukan kepada organisasi lain yang berminat, jika ada. Salah sebuah kertas kerja penting dalam seminar itu ialah mengenai kesalahan yang berjumlah 5000 yang terdapat di dalam Balai Maqamat. Betulkah sebanyak itu kesalahan yang terdapat di dalam buku itu, atau tidak ada apa-apa kesalahan sama sekali? Biarlah ahli akademik sendiri menentukannya.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 26 Disember 2018.

Tuesday, December 25, 2018

BEBERAPA CATATAN UNTUK RENUNGAN/KRITIKAN



Nampaknya konsep sejarah Abu Gambol (yang dipersetujui oleh Buyung Lurus dan Salim Adil) dipersetujui oleh pembaca blog ini. Tiada apa-apa bantahan terhadap penegasan bahawa sejarah tidak perlu ditulis dengan tepat jika sekiranya dengan berbuat begitu satu pihak akan merasa terhina dan pihak yang lain pula merasa megah.

Inilah yang terjadi dalam sastera Melayu. Pembohongan sejarah paling besar dalam sastera Melayu ialah penilaian terhadap para sasterawan negara. Sebelum mereka diisytiharkan sebagai sasterawan negara, karya mereka biasa saja. Selepas dijadikan sasterawan negara, karya mereka dengan serta-merta menjadi amat bermutu!  Dan sangat istimewa, sehingga tidak boleh dikritik lagi. Mesti dipuji dan disanjung.

Adakah pembohongan seumpama ini berlaku juga dalam pemilihan Hadiah Nobel Sastera?  Anda boleh baca dalam buku penting mengenai perkara ini:  The Nobel Prize in Literature: A Study of the Criteria behind the Choices, oleh Kjell Espmark (Boston: G.K. Hall & Co., 1986; terjemahan Inggeris 1991).  Nampaknya kedudukan Panel Pemilih Hadiah Nobel Sastera sama saja kedudukannya dengan Panel Anugerah Sastera Negara. Oleh itu Panel wajar berasa bangga jika mereka pun membuat pilihan yang boleh dipersoalkan seperti yang dibuat oleh Panel Hadiah Nobel Sastera.  Adakah ini bermakna kedudukan anggota Panel Malaysia setaraf dengan kedudukan Panel Hadiah Nobel? Ya. Setaraf. Demikianlah hebatnya kedudukan Panel Anugerah Sastera Negara, oleh itu para anggota Panel ini layak menduduki Panel Hadiah Nobel Sastera. Maksudnya, para sasterawan negara yang mereka pilih sama saja kedudukannya dengan mana-mana pemenang Hadiah Nobel Sastera.  Kalau begitu, bagaimana pula kedudukan PB yang menolak para sasterawan negara sebagai sasterawan picisan? Dan karya mereka pun karya picisan.

Jawapan yang diberikan oleh para anggota Panel Anugerah Sastera Negara cukup mudah: Malaysia tidak perlukan ukuran atau kriteria yang dicadangkan oleh PB; kerana mereka telah mendapat ukuran yang tepat dan sempurna daripada Panel Hadiah Nobel.

Saya tidak pasti berapa orang daripada sarjana, pengkritik sastera, dan para sasterawan yang menerima kedudukan ini. Tidakkah ada pengecualian? Kalau anda faham maksud saya, anda mungkin tertawa melompat-lompat kerana kini sudah sah bahawa para sasterawan negara adalah setaraf dengan para pemenang Hadiah Nobel Sastera; oleh itu layaklah mereka dipilih untuk diberi Hadiah Nobel Sastera. Inilah pendapat yang disepakati oleh para sarjana sastera yang menyokong kedudukan istimewa para sasterawan negara ini. Adakah ini bermakna kesimpulan saya selama ini bahawa mereka adalah dari kumpulan yang menerima pandirisme dalam sastera sebagai ukuran yang standard, yang berlindung dalam Mutual Admiration Club pimpinan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, merupakan kesimpulan yang tidak sah dan tidak boleh dipakai? Dengan itu, ukuran indah dan bermakna yang menjadi tiang seri PB tidak boleh dipakai dan dengan itu palsu? Sekarang anda harus membuat keputusan yang berani untuk menolak PB berasaskan kepalsuan ukuran yang berpaksikan aspek indah dan bermakna yang dijadikan asas dalam PB.  Saya telah memberi anda ruang dan peluang yang sangat baik untuk menidakkan perlunya PB dalam penilaian karya kreatif dan dalam kritikan sastera.  Anda diberi peluang yang sangat istimewa untuk membuktikan kepalsuan PB yang tidak diperlukan, kerana ini saja yang boleh menyelamatkan kedudukan para sasterawan negara dan kepalsuan penilaian terhadap mereka. Inilah cabaran ilmiah yang perlu diberi sanggahan  akademik yang meyakinkan. Sanggupkah para sarjana, pengkritik dan sasterawan Malaysia melakukannya?

Sama ada mereka sanggup atau tidak, bagi saya tidak penting. Yang penting ialah kedudukan mereka seperti yang disepakati mereka yang dijelaskan di atas, dengan amat jelas membuktikan betapa tepatnya penilaian saya ke atas mereka. Tepat sekali kesimpulan saya bahawa para anggota panel, sarjana dan pengkritik sastera, dan para sasterawan negara, adalah golongan yang totok berada di atas tunggul buruk sastera tempat bertenggek para sasterawan negara, sarjana dan pengkritik sastera. Mereka tidak boleh lari dari kedudukan mereka sebagai golongan picisan, walaupun mereka amat degil mempertahankan kedudukan picisan itu sebagai kedudukan yang mulia kerana itulah juga kedudukan yang menjadi ikutan mereka, yang diberikan oleh anggota panel Hadiah Nobel sastera itu. Tunggu: saya tidak mengatakan Hadiah Nobel itu picisan dan penerimanya penulis picisan. Saya hanya menegaskan bahawa bertenggeknya para sarjana, pengkritik dan sasterawan negara di bahu Hadiah Nobel itulah yang picisan, suatu pendirian yang tidak ada pendirian sebenarnya. Oleh itu, apakah pendirian kita yang sewajarnya, dan sepatutnya, kita tegaskan sebagai hak kita? Itulah kedudukan yang ditonjolkan oleh PB dengan dua tonggak yang saya tegaskan, indah dan bermakna.  Tidak ada seorang pun di antara sasterawan picisan, sarjana ciritan dan pengkritik yang cetek meraba-raba sanggup menghadapi cabaran PB secara kontan walaupun mereka diberi peluang dan ruang yang luas untuk menonjolkan sifat picisan mereka dalam satu dialog intelektual yang bertaraf tinggi, bukan dialog yang picisan seperti yang ditunjukkan oleh para sasterawan negara dalam perbincangan panel yang diadakan sebagai acara kemuncak Himpunan Penulis Malaysia baru-baru ini di UKM.  Bakul sampah pun tidak mahu menerima ocehan mereka dalam forum itu. Kesimpulan ini agak keras, oleh itu anda perlu mendengar sendiri ocehan para sasterawan negara ini, lepas itu beri pandangan kritis anda, yang tentunya tidak pula bersifat picisan!

Dengan huraian ini, kita lihat betapa kukuhnya kedudukan PB dalam perkembangan ilmu di Malaysia, yang tidak ada sedikit pun di kalangan para sarjana ciritan, sasterawan picisan dan pengkritik sastera yang cetek meraba-raba   Mengapakah golongan ini sanggup berada di dalam kandang pandirisme cetek meraba-raba.  Mereka sedar akan hal ini, lalu bertindak jahat yang boleh membuat anda pengsan jika anda tidak biasa dengan perangai jahat mereka ini. Saya kembali kepada entri bertajuk “Cerita Sebenar Komando Mat Melayu”; dengan memberi judul baru yang khusus ditujukan kepada para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera: “Cerita Sebenar Komando Sastera Melayu” yang mengamuk mempertahankan kepalsuan pegangan mereka. Contoh yang saya jadikan  bukti  pasti akan memeranjatkan anda jika anda tidak tahu hakikat sebenar penerbitan Balai Maqamat oleh ITBM, 2014 (Balai Maqamat disiapkan 2004.)

Balai Maqamat adalah istimewa, dan amat istimewa dalam sastera Melayu. Buku setebal 400 halaman itu mempunyai kesalahan cetak berbagai-bagai jenis tidak kurang dari 5000 kesalahan.  Setiap halaman terdapat sekurang-kurangnya sepuluh (10) kesilapan cetak dan ejaan. Mengapa hal ini berlaku dan tiada seorang pun sedar? Tentunya yang amat aneh ialah mengapa ITBM yang mencetak buku itu dengan sengaja melakukan kesalahan begitu banyak?  Kesalahan cetak ini dibuat dengan kerja sama Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang ditugaskan oleh ITBM untuk membuat pembetulan dan pengeditan terhadap buku itu.  Sebagai seorang tokoh akademik yang unggul, beliau telah melaksanakan tugasnya dengan baik, oleh itu terdapat tidak kurang dari 10 kesalahan dalam setiap muka surat yang memang terdapat dalam teks asal yang telah saya semak berkali-kali dan dalam pemerhatian saya tidak terdapat apa-apa kesilapan. Bagi seorang editor yang unggul yang bertindak sebagai seorang sarjana sastera yang terkenal, kesilapan paling besar ialah dalam ejaan Gagasan Persuratan Baru, yang dibetulkan oleh Prof. Dr. Saleeh Rahamad menjadi Persuratan Baharu. Mengapa perubahan ini diperlukan? Menurut sarjana terkenal ini, dalam bahasa Melayu ejaan yang betul ialah “baharu”, bukan “baru”. Maka dipindalah oleh beliau menjadi Persuratan Baharu. Bagaimana pula dengan ejaan bandar Kota Bahru dan Johor Bharu? Ternyata ejaan kedua-dua bandar itu salah, dan perlu dibetulkan menurut ITBM dan Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.  Demikian juga ejaan Angkatan Pujangga Baru yang dikepalai oleh Prof. Sutan Takdir Ali Sjahbana, perlu diubah menjadi Pujangga Baharu!  Kalau ini bukan satu kegilaan akademik yang melampau, apa panggilan tepat yang boleh kita pakai? Tidak sia-sia orang tua-tua kita mencipta ungkapan “tikus membaiki labu”!  Masalahnya ialah apa juga yang dibaiki tikus akan rosak…

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 21 Disember 2018.





Tuesday, December 11, 2018

Sebuah kisah untuk direnung kembali (disalin daripada Balai Maqamat)



CERITA SEBENAR KOMANDO MAT MELAYU
(Sebuah Dongeng Politik)

Oleh Mohd. Affandi Hassan

            Peristiwa itu dikenali dalam sejarah sebagai “Peristiwa Pembunuhan Babi Hutan”. Nama itu diberikan sendiri oleh Komando Mat Melayu, ditemui dalam buku catatannya dan disebarkan selepas pembunuhan itu dilakukan. Ahli sejarah tidak ada pilihan lain selain menerima nama yang telah diberikan oleh Komando Mat Melayu, walaupun terdapat bantahan kuat daripada beberapa pihak tertentu yang memberi alasan sejarah tidak perlu ditulis dengan tepat jika sekiranya dengan berbuat begitu satu pihak akan merasa terhina dan pihak yang lain pula merasa megah. Sejarah harus mencerminkan kemahuan manusia yang menulisya, bukan hakikat sebenar yang berlaku. Atas dasar itu, kata mereka, “Peristiwa Pembunuhan Babi Hutan” tidak boleh dimasukkan di dalam buku teks yang dipakai di sekolah-sekolah. Peristiwa itu akan membangkitkan kemarahan yang berpanjangan sehingga kiamat jika didedahkan kepada murid-murid sekolah. Untuk menyelamatkan peristiwa itu daripada menjadi sumber kemegahan sesuatu puak, maka Komando Mat Melayu telah dipersetujui oleh ahli-ahli psikologi supaya diisytiharkan sebagai seorang pemuda Melayu yang gila, yang dipengaruhi oleh anasir jahat berupa ajaran tuk-tuk guru pondok. Bagaimana tuk-tuk guru ini boleh berada dalam peristiwa ini tidak dijelaskan oleh ahli sejarah, tetapi pihak yang berkuasa, yang menerima keputusan ahli-ahli psikologi itu, terpaksa mencari sumber yang munasabah dan boleh diterima untuk dikaitkan dengan kegilaan Komando Mat Melayu. Tidak lain yang bersalah itu ialah tuk-tuk guru pondok yang memang berusaha menegakkan negara Islam di Malaysia, yang ditentang hebat dengan nyawanya oleh tokoh politik yang mati ditembak itu. Dengan itu Komando Mat Melayu tidak saja disahkan gila oleh para doktor jiwa; dia juga disahkan sebagai seorang yang sudah diselewengkan akidahnya oleh tuk-tuk guru yang mencampuradukkan politik dengan agama. Tiba-tiba Komando Mat Melayu mendapat pengiktirafan yang dipersetujui  ramai sebagai pengganas Islam yang paling terkemuka dan paling bengis dalam sejarah Malaysia.
            Pada hakikatnya Komando Mat Melayu tidak kena mengena dengan tuk-tuk guru pondok, dan bukan seorang pengganas, tidak juga gila. Dia hanya seorang nasionalis kerdil yang tidak boleh menerima penghinaan yang dilemparkan terhadap bangsa Melayu. Dia bukan seorang yang cerdik, tidak terdidik tinggi, tidak juga berpengaruh di kalangan para penjahat sekali pun. Malah dia dibenci oleh para penjahat dari pelbagai peringkat dan puak, kerana ketegasannya mempertahankan hak bangsa Melayu untuk dihormati dan diterima sebagai tuan punya Semenanjung Tanah Melayu ini. Kata ahli psikologi, itulah alasan yang mereka pakai untuk mengisytiharkan Komando Mat Melayu seorang yang tidak siuman, seorang gila yang khayal dengan semangat kemelayuan yang melampau. Kata ahli psikologi, dari segi sejarah, tidak seorang pun yang siuman menafikan hakikat sejarah bahawa penduduk Melayu adalah penduduk asal Kepulauan Melayu dan seluruh daerah Nusantara. Tetapi hakikat sejarah itu telah berubah sebaik saja Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu diterima oleh semua penduduk Malaya sebagai syarat mendapat kemerdekaan. Itulah hakikat sejarah yang baru, yang menghapuskan hakikat sejarah yang lama. Dilihat dari segi itu, kata ahli undang-undang dan para hakim yang menghukum mati Komando Mat Melayu, semua warga negara berhak mempersoalkan apa juga perjuangan perkauman sesuatu puak yang hendak dipaksakan ke atas warganegara yang tidak bersetuju dengan perjuangan itu. Tokoh politik yang ditembak oleh Komando Mat Melayu dengan jujur, sebagai seorang tokoh politik yang prihatin kepada kesejahteraan pengikutnya, telah mempersoalkan kedudukan jawatan Perdana Menteri yang tidak seharusnya dihadkan kepada orang Melayu yang beragama Islam saja, dan sesiapa juga harus menghormati perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang tidak membenarkan negara ini dijadikan sebuah negara Islam, walaupun sekiranya seluruh orang Islam bersetuju dengan perancangan itu. Kata para hakim dan ahli psikologi, Komando Mat Melayu telah keliru besar apabila dia dengan marah dan bengis menembak tokoh tersebut.
            Sebelum digantung, Komando Mat Melayu meminta diberi peluang untuk memberi wasiat kepada bangsanya. Permintaannya ditolak, tetapi Komando Mat Melayu sempat menjeritkan kata-kata berikut: Pertahankan Maruah Melayu Dengan Darah dan Nyawa Sehingga Kiamat. Kesan ucapan itu sangat serius. Orang yang membawa keluar jeritan Komando Mat Melayu itu didakwa menyebarkan fitnah dan cuba mengapi-apikan semangat perkauman, lantas dibicarakan dan diputuskan untuk dipenjara selama dua puluh tahun dengan sepuluh sebatan. Dia hanya sempat berada dalam penjara selama 15 tahun dan menerima 6 sebatan saja. Dia mati sambil menjeritkan wasiat Komando Mat Melayu. Kata ahli sejarah, pada saat kematiannya, penjara menjadi medan pertempuran antara banduan dan para pengawal. Berpuluh-puluh banduan ditembak mati dan ditangkap sekali lagi untuk dibicarakan sebagai banduan kedua.
            Cerita Komando Mat Melayu tidak habis setakat itu saja. Seorang wartawan, ketika membuat penyelidikan tentang kebangkitan Komando Mat Melayu sebagai seorang pahlawan, menemui sebuah buku catatannya yang berbugkus kain merah. Catatan itu tidak bernilai dari segi sejarah dan politik, kerana hanya mencatat berapa ekor babi hutan yang dibunuhnya ketika dia berburu di Gunung Tahan. Ada tidaknya nilai catatan itu hanya pada kegigihan Komando Mat Melayu memburu dan membunuh babi hutan. Yang menjadi persoalan ialah: Benarkah babi hutan yang ditempaknya, atau manusia yang dipanggilnya babi hutan? Dalam penyiasatan polis, orang-orang hilang yang tidak ditemui, yang ramai juga bilangannya, tidak ada kaitan dengan Komando Mat Melayu. Semua kehilangan itu berlaku di tempat lain, bukan di Gunung Tahan tempat Komando Mat Melayu berburu. Tetapi seorang ahli sejarah keturunan Cina yang meneliti semula penyiasatan polis mendapati beberapa tanda-tanya yang tidak berjawab, antaranya yang paling penting ialah: Mengapa Komando Mat Melayu menamakan pembunuhan tokoh politik itu “Peristiwa Pembunuhan Babi Hutan”?  Ahli sejarah itu membuat kesimpulan, Komando Mat Melayu adalah seorang pengikut Nazi berbangsa Melayu yang pertama, berasaskan catatannya pada gambar Hitler yang ditemui dalam lipatan baju Melayunya yang menyatakan Hitler adalah seorang pemimpin berani yang telah mengorbankan dirinya untuk mempertahankan maruah bangsa Jerman daripada dimusnahkan oleh gerakan orang Yahudi antarabangsa. Menurut ahli sejarah itu, catatan itu membuktikan Komando Mat Melayu seorang pengikut Nazi dan seorang penjahat yang sangat berbahaya, sama bahayanya dengan Hitler sendiri.
            Penemuan ahli sejarah keturunan Cina itu dibantah keras oleh Persatuan Sejarah Pejuang Politik Malaysia, yang mempersoalkan kesahihan catatan itu. Dalam satu seminar yang diadakan khas untuk meneliti kesahihan catatan itu, pakar-pakar sejarah bersetuju bahawa catatan itu ditulis kemudian, setelah Komando Mat Melayu sudah mati digantung, ditulis sendiri oleh ahli sejarah yang menemuinya. Ahli-ahli sejarah Persatuan Sejarah Pejuang Politik Malaysia memutuskan bahawa satu penipuan sejarah telah sengaja dilakukan, lalu dibuat rumusan supaya ahli sejarah yang cuba menipu itu dihukum dengan menarik balik ijazah Ph.D. yang diperolehinya. Universiti yang menganugerahkan ijazah itu menolak mentah-mentah desakan itu, dengan alasan bahawa tesis yang menjadi asas penganugerahan ijazah itu tidak mengandungi unsur-unsur menipu, malah dibuktikan sahih dari segi sejarah. Penipuan itu dibuat setelah penerima ijazah itu diterima sebagai pakar sejarah, oleh itu beliau hendaklah dihukum dalam konteks lain, bukan dalam konteks akademik. Akhirnya beliau dibiarkan saja, dan akhirnya beliau menerbitkan catatan Komando Mat Melayu setelah membayar dengan harga dua juta ringgit kepada waris beliau.
            Ahli politik Melayu memberikan pandangan yang berbeza tentang “Peristiwa Pembunuhan Babi Hutan” itu. Menurut seorang ahli politik Melayu yang terkenal, Komando Mat Melayu bertindak bersendirian, tidak mencerminkan kehendak bangsa Melayu. Ahli-ahli politik Melayu menggunakan kecerdikan mereka untuk menangkis tuduhan ahli politik bukan Melayu, dengan menggunakan saluran demokrasi dan undang-undang. Dari segi itu, katanya sesiapa juga boleh mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu, hak mereka untuk menjadi Perdana Menteri, dan hak mereka menubuhkan Negara Islam jika mereka mahu. Tetapi orang bukan Melayu sendirilah yang telah membuat kesilapan besar kerana kegopohan dan keangkuhan mereka. Jika mereka tidak gopoh dan tidak angkuh, tidak terlalu biadab menakutkan orang Melayu selepas pilihan raya 1969, mereka mungkin telah menduduki kerusi Perdana Menteri sejak tahun 1969 lagi. Ketika itu mereka mempunyai kerusi majoriti di Parlimen dan di Dewan Undangan Negeri Selangor. Kata ahli politik itu, sekiranya pemimpin Cina dan India lebih realistik dan tidak perkauman, dapat menerima toleransi Melayu sebagai satu kompromi, orang Melayu sudah bersedia menerima seorang Perdana Menteri Cina dengan timbalannya seorang Melayu dan seorang lagi India. Peluang itu telah tertutup sekarang, kata ahli politik itu. Katanya, orang Melayu tidak perlukan kemunculan Komando Mat Melayu untuk mempertahankan hak-hak Melayu. Malah kemunculan Komando Mat Melayu lebih membahayakan pemimpin Melayu sendiri. Sekiranya pemimpin Melayu gagal membela nasib bangsa Melayu, mereka akan dibunuh dalam “Peristiwa Pembunuhan Babi Hutan” kedua oleh seorang lagi Komando Mat Melayu.
            Ketika bangsa Melayu menghadapi zaman hanyut yang menakutkan orang Melayu sendiri, Komando Mat Melayu diketengahkan semula selepas 30 tahun terbunuh di tali gantung. Satu siri drama yang diterbitkan oleh para peniaga hiburan yang melihat cerita Komando Mat Melayu boleh dipasarkan, kini telah siap digambarkan, menunggu kebenaran untuk ditayangkan saja. Dalam drama itu Komando Mat Melayu adalah seorang perompak yang jahat, dan tokoh Cina yang dibunuhnya dalam “Peristiwa Pembunuhan Babi Hutan” itu adalah majikannya sendiri yang tidak membayar gajinya dengan memuaskan setelah menyelamatkan tauke itu dari rompakan sekumpulan pemuda India yang telah merogol tiga orang gadis Melayu di sebuah taman perumahan yang terbengkalai. Gadis itu merayau-rayau mencari mangsa sebelum dijadikan mangsa oleh pemuda India itu. Ketika itulah tauke itu berhenti di tempat itu untuk melihat projek itu yang akan dipulihkan semula, dan dia berminat memajukannya. Dia dirompak oleh pemuda-pemuda India yang masih basah kemaluannya dan perlu wang untuk membeli arak. Komando Mat Melayu yang menjadi pemandu tauke itu menggunakan pistol majikannya untuk menghalau perompak-perompak itu. Seorang dari mereka ditembak mati. Tauke yang tidak berasa terhutang budi diselamtakan dari rompakan, menolak permintaan kenaikan gaji Komando Mat Melayu.
            Tauke yang memanggil pemandunya Melayu saja, membuat keputusan itu dengan tegas.
            -Aku tak boleh bagi apa-apa padakmu, Melayu. Kalau hendak bolehlah aku lanjutkan tiga bulan lagi kontrak kamu dengan aku.
            Komando Mat Melayu tidak ada pilihan lain, kecuali menembak taukenya dengan pistol yang digunakan untuk menghalau perompak tadi. Versi drama itu pada mulanya dibantah, tetapi setelah didapati penceritaannya dibuat secara objektif, akhirnya ditayangkan. Bahagian akhirnmya berbunyi: Cerita ini tidak kena mengena dengan siapa-siapa yang hidup atau yang sudah mati.
            Itulah cerita sebenar Komando Mat Melayu yang dipinda oleh seorang pengarah filem untuk menghidupkannya semula dalam sejarah bagi tujuan perdagangan.

                                                                                    P.J. 17/6/2004.