Sunday, October 30, 2016

SANJUNGAN KEPADA SARJANA CIRITAN DAN SASTERAWAN PICISAN: An Apology dalam konteks Satu Apologia.

Meskipun saya  agak keras mengkritik para sarjana dan pengkritik ciritan dan para sasterawan picisan yang menghasilkan karya sampah, seperti yang saya sebut di dalam blog ini, namun saya amat mengagumi mereka dan menghargai jasa mereka kepada budaya pandirisme yang kini telah berada di tengah-tengah kita semua memberikan semacam hegemoni kepada kebudayaan Melayu moden yangh sama sekali berbeza, dan berbeza amat jauh, dengan budaya ilmu yang dibangunkan dengan megahnya oleh para ulama dan cendekiawan dan juga para pujangga kita melalui persuratan Melayu yang telah memberi kita kesedaran ilmu yang amat membanggakan. Kehadiran budaya pandirisme yang anti-ilmu dan yang dengan bangganya meneruskan sikap “ingkar ilmu” dalam kegiatan mereka, memberi kita satu pengajaran sejarah yang amat berguna dalam perkembangan budaya intelektual di negara kita. Kesediaan mereka untuk menerima kritikan dengan begitu berhemah, dengan sikap cool yang disebut dalam bahasa kiasan Kelantan sebagai “lembu kenyang”, dan meneruskan maruah mereka yang tidak bermaruah dari segi ilmiah untuk terus menjadi pejuang yang gigih mempertahankan budaya pandirisme, memberi kita kesedaran yang amat berguna bahawa kita mempunyai kumpulan yang sanggup mempertahankan budaya pandirisme mereka dengan menolak bulat-bulat konsep “ingkar ilmu” tanpa memperdulikan siapakah yang menjadi sumber sikap “ingkar ilmu” itu. Inilah tahap kemajuan intelektual para sarjana ciritan dan sasterawan picisan yang kedudukan mereka begitu kuat sehingga mereka boleh menentukan corak perkembangan intelektual di Malaysia sehingga mendapat sokongan kepemimpinan tertinggi negara, yang telah memberi derma yang besar kepada golongan ini.

Peranan ITBM dan DBP menyokong dan mempertahankan kumpulan pejuang budaya pandirisme ini membuktikan betapa kuatnya hegemoni pandirisme dalam budaya intelektual Malaysia. Dalam SKPM 2014 yang dianjurkan oleh ITBM, tokoh terbesar kumpulan ini, yang telah diberi gelaran paling berprestij (sebenarnya aku jijik menggunakan perkataan ini kerana bau tengik ketiak Barat terlalu kuat), iaitu Tokoh Akademik Negara, telah meluahkan keterampilan intelektual dan keupayaan akademiknya yang sangat tinggai dengan memberi pendapat yang sangat lucu ketika beliau berbicara tentang kritikan sastera Malayu moden. Inilah kata-kata hikmah beliau yang lucu itu:

“Kritikan ialah satu  sayap sastera yang sudah patah – sebahagiannya dipatahkan orang gasang dan tidak berbudi sastera, yang menulis dengan kata-kata racun dan kebencian, tanpa etika dan maruah diri atau hormat terhadap penulis lain. Saya menginginkan suatu kritikan yang dipupuk kembali menjadi bidang yang bermoral, beretika, bertanggungjawab, dan juga membantu penulis berkembang. ...  Penulis juga harus belajar menerima kritikan dan belajar daripadanya.  Kembalilah mencari contoh daripada Goenawan Mohamad dan Baha Zain.” (hal. 206, Sastera Teras Negara Bangsa, ITBM 2014.).

Kata-kata ini menjadi lucu, dan akhirnya bertukar menjadi lucah secara akademik, apabila kesimpulan ini berasaskan a complete ignorance tentang suatu perkembangan dalam kritikan sastera Malaysia sejak lebih dari 30 tahun yang lalu, setelah munculnya gagasan Persuratan Baru yang kini mempunyai berlori-lori bukti yang boleh dilihat dengan mudah, hatta oleh orang yang buta sekali pun. Mengapa Prof. Emeritus ini tidak tahu semua ini? Apa sudah jadi dengan gelaran beliau itu? Saya amat kasihan kepada sahabat saya Baha Zain yang digesa oleh Prof. Emeritus ini untuk dijadikan contoh dalam kritikan,  tanpa diketahui oleh beliau Baha Zain pun sama saja dengan beliau, sudah ketinggalan 30 tahun dan tidak pernah dengar gagasan Persuratan Baru. Bayangkan dua orang pengkritik agung Malaysia ini cuba membaca kira-kira 1300 halaman tulisan dalam blog ini yang membicarakan tentang ilmu dan gagasan Persuratan Baru, tentulah kedua-duanya tidak akan terdaya melakukannya. Tidakkah ini amat memalukan? Mereka berada dalam keadaan yang amat serba salah, meneruskan kedegilannya  menafikan gagasan Persuratan Baru tidak mungkin sama sekali; tetapi menerimanya akan menaikkan prestij (aku tidak suka perkataan ini!) mereka sebagai pengkritik yang bertanggungjawab dan beradab mulia, seperti yang mereka kehendaki orang lain mempunyainya. Adakah pengecualian ini “bermoral, beretika, dan bertanggungjawab”?  Jika mereka mempunyai maruah intelektual yang tinggi dan ikhlas, yang tidak bersalut lumpur hasad, mereka akan menangis mengongoi seperti budak sedang kelaparan. Mereka menghadapi kebuluran ilmu yang amat dahsyat. Mereka hanya boleh diselamatkan melalui gagasan Persuratan Baru. Sikap positif mereka terhadap kritikan cara mereka membuat mereka sanggup kebuluran ilmu dan sanggup pula menghadapi risiko akan diberi catatan dalam sejarah intelektual Malaysia sebagai tokoh yang anti-ilmu dan menerima sikap “ingkar ilmu” tanpa mengetahui padahnya. Sebagai panduan, jika mereka berminat hendak mengkritik gagasan Persuratan Baru, mereka boleh cerakinkan 1300 halaman itu kepada beberapa tajuk utama (mereka boleh tentukan apa yang mereka mahu), seperti yang dibuat oleh Randall Collins dalam bukunya, The Sociology of Philosophies: A Global Theory of Intellectual Change, lihat rajah cerakinan tentang Imam Ghazali di halaman 424 dan tentang Socrates di halaman 56. Semoga rajah-rajah ini boleh membantu. Cerakinan ini boleh juga dibuat oleh sesiapa yang ingin tahu apa yang ada dalam 1300 halman entri blog itu.  Anggap ini sebagai satu latihan berfikir secara sistematik.

Apakah padahnya? Sebenarnya padah itu tidaklah besar sangat, hanya sekadar mendapat kutukan mesra daripada para cendekiawan dan sarjana sastera masa depan yang kasihankan mereka berdua berada dalam keadaan itu, tetapi admire kedegilan mereka berdua untuk terus berada dalam budaya pandirisme. Tuak pandirisme telah membuat mereka terhuyung hayang mencari arah pintu untuk keluar, yang entah ke mana, kerana dalam keadaan mabuk itu mereka tidak boleh membawa kereta besar mereka.  Inilah tragedi yang amat memilukan kita semua yang sangat kagum dengan dua orang tokoh terbesar kritikan sastera Melayu ini, lebih-lebih lagi apabila kita tahu mereka tidak mungkin berupaya membaca 1300 halaman tentang gagasan Persuratan Baru, yang kewujudannya tidak diketahui mereka pun. Sungguh kasihan kepada para pendukung sastera dikhianati oleh tokoh besar mereka sendiri yang memilih untuk bersikap “lembu kenyang,”  kata oramg Kelantan.

Satu tragedi akademik yang mengalahkan semua tragedi Shakespeare yang melucukan itu.  Sebuah tragedi intelektual yang amat melucukan.

Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh ITBM dan DBP untuk membuat pembelaan terhadap dua orang tokoh besar kritikan sastera Melayu ini? Paling kurang yang mereka boleh buat ialah dengan menerima kehadiran gagasan Persuratan Baru sebagai suatu realiti dalam sastera Melayu moden, oleh itu dalam apa juga program sastera yang mereka anjurkan, satu kertas mengenai gagasan Persuratan Baru wajar diberi tempat supaya mana-mana sarjana ciritan dan sasterawan picisan yang tidak pernah mendengar nama Persuratan Baru boleh mendapat manfaat, supaya mereka tidak terus berada dalam gelap gelita hegemoni pandirisme yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menutup sebarang perbincangan ilmiah tentang peranan ilmu yang benar dalam kritikan sastera dan dalam karya kreatif. Sebarang bangkangan boleh dijadikan isu penting yang boleh dibahaskan dengan ilmiah, supaya kedua belah pihak boleh mengemukakan hujah masing-masing secara tuntas. Itulah caranya dalam budaya ilmu Barat sekali pun, yang menjadi ikutan para sarjana ciritan dan sasterawan picisan sudah sekian lama. Tentulah lebih baik jika sumbangan sebenar Panel Anugerah Sastera Negara turut dibincangkan dengan kritis, supaya sumbangan mereka dalam membina kritikan sastera Melayu moden terserlah. Apakah idea baru yang mereka kemukakan, sesuai dengan keriuhan mereka dalam laporan mereka bahawa idea baru itu penting dalam penulisan kreatif, seperti yang mereka senaraikan dalam laporan mereka. Adakah mereka sendiri tidak mempunyai idea baru itu? Ini yang perlu kita debatkan dengan jujur, untuk mengelak dari tuduhan bahawa kita telah dinilai oleh sekumpulan sarjana yang mandul dari segi idea dan cetek meraba-raba dari segi ilmu.

Kita perlu uji sejauh mana puak ini serius dengan perubahan, kelainan dan seterusnya yang kini sudah menjadi klise baru dalam kritikan sastera.  Apabila seorang tokoh besar, seorang Profesor Emeratus berkata bahawa “sudah lama institusi bahasa dan sastera kita tidak menjadi apa-apa, melainkan bahan ketawa” (hal. 248),  maka yang terbayang kepada kita ialah pesta lawak lakonan para  ahli akademik, sarjana yang bergelar profesor atau profesor madya, yang gagal memberi imej sewajarnya kepada institusi bahasa dan sastera tempat mereka mencari makan, sama ada yang berada di universiti mahupun yang di luar universiti.  Kalau begitu, dan andainya teguran Profesor Emeritus ini benar,  maka apakah yang boleh kita harapkan daripada mereka untuk membawa perubahan dan sebagainya? Tepat sekali mereka ini hanya para pelawak yang tidak saja melawak, tetapi benar-benar “pelawak” dalam pengertian yang dipakai dalam budaya masyarakat Kelantan.  Inilah contoh kelakuan schizophrenic   yang pernah disebut oleh Prof. Muhammad Haji Salleh  tentang dirinya: “I was a linguistic and cultural schizophrenic .  English colonized me, yet it was my lifeblood.”   (hal. 20-21,  Critical Perspectives on Muhammad Haji Salleh, ed. Zawiah Yahya, DBP 2003).

Kalau begitu, apakah yang boleh kita harapkan daripada sarjana terbesar Malaysia ini?  Beliau telah memberikan kita sebuah sajak terindah yang memperihalkan sikap schizophrenic budaya beliau, “Pulang Si Tenggang”  berasaskan bacaan dan tafsiran beliau terhadap legenda seorang penderhaka kepada nilai-nilai budaya Melayu menjadi seorang wira dalam diri Muhammad Haji Salleh sendiri.  Inilah perubahan nilai yang diterima baik oleh sebahagian masyarakat Melayu, terutama di kalangan sarjana ciritan dan sasterawan picisan.  Apakah perubahan yang diingini oleh Muhammad Haji Salleh dengan perubahan nilai ini? Ditegaskannya dengan amat angkuh dalam kata-katanya yang sudah menjadi klasik dalam kelakuan schizophrenia ini: “Aku telah belajar, jadi kurang ajar...”  Bandingkan ucapan keramat ini dengan penegasan Buyung Lurus   dalam Hikayat Buyung Lurus: “Kita mesti pertahankan kebenaran di negara kita.” Inilah yang paling siuman untuk dijadikan panduan dalam kehidupan Melayu moden, bukan menjadi kurang ajar. 

Aku menulis novel terbesar Malaysia, mengatasi semua novel para sasterawan negara, Hikayat Buyung Lurus,  perihal seorang intelektual kampung yang jauh lebih cerdik dan lebih bijak daripada mana-mana sarjana ciritan dan sasterawan picisan di Malaysia. Falsafah hidupnuya menjadi ikutanku dalam kerjayaku sebagai seorang pujangga: “Kita mesti pertahakan kebenaran di negara kita”. Novel ini diasaskan daripada gaya bertinju Muhammad Ali, suatu kelainan yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana sasterawan negara yang menurut Panel Anugerah Sastrera Negara banyak membuat kelainan, pembaharuan, eksperimen, anti-kutbah, anti-ilmu dan lain-laian keistimewaan. Buyung Lurus adalah seorang watak kreatif yang paling cerdik dan bijak yang pernah dilahirkan dalam karya kreatif Malaysia. Tentu saja anda dialu-alukan untuk menolak dakwaan ini dengan pembuktian yang cukup, misalnya dengan mengatakan, jika anda mahu, Pak Hassan adalah watak terkuat dalam sastera Melayu kerana kecerdikaknya dan kegedilannya (yang entah apa-apa), atau mungkin juga watak Salina, atau Lahuma. Tentulah menyeronokkan jika dibuat satu perbandingan dari segi perwatakan dan kecerdikan watak-watak terpilih yang sudah menjadi tokoh popular dalam novel Melayu, seperti Lahuma, Salina, Pak Hassan, dan lain-lain yang anda suka hendak jadikan mereka tokoh popular novel Melayu. Anda nanti akan melihat kehebatan Buyung Lurus sebagai seorang pemikir, seorang pengkritik sosial, seorang ahli politik yang jujur, dan seorag yang suka berjenaka tetapi jenakanya cukup serius. Anda juga akan melihat bagaimana tipu daya politik ditonjolkan sebagai pembelaan kepada rakyat, dilakukan oleh para pemimpin politik yang mencari kesempatan untuk menjadi kaya. Di atas segala-galanya, anda akan mengerti makna rasuah dalam politik dan dalam tindakan anggota masyarakat yang berkepentingan.

Dalam sebuah tulisan yang saya tulis sekitar 1980-an, tetapi baru diterbitkan dalam Widya 1983 dan 1984,  saya telah memberi peringatan kepada para sasterawan seperti berikut (dipetik oleh editor dijadikan kutipan tersendiri): 

“Para penulis kita nampaknya tidak dapat menerima hakikat bahawa karya yang bermutu tidak tergugat oleh penilaian, tepat atau tidak penilaian itu.  Mereka lebih mengutamakan kehadiran mereka sebagai penulis daripada kedudukan karya mereka. Yang dipertahankan bukanlah mutu karya, tetapi kehadiran mereka sebagai penulis.” (Widya, Oktober 1983, hal. 57). 

Bandingkan ini dengan motto di blog ini. Jika para sasterawan negara mempunyai semangat seperti yang disarankan dalam kutipan di atas, mereka tidak akan berasa tersinggung jika menerima kritikan keras terhadap karya mereka, kerana mereka sedar sebuah karya yang baik akan dapat berdiri sendiri tanpa bantuan penulisnya.  Kerana itu tidak akan timbul isu bahawa Persuratan Baru akan menolak semua karya  sasterawan negara sebagai karya sampah jika dinilai daripada perspektif konsep ilmu yang benar dan stylization of ideas.  Ukuran yang digunakan dalam Persuratan Baru jauh berbeza daripada ukuran biasa yang klise yang dikenali selama ini, oleh itu penulis dan pembaca serta penilai jenis lama sepatutnya sedar akan perubahan ini dan cuba memahaminya. Kalau engkau bercakap banyak tentang perubahan, eksperimen, kelainan, dan sebagainya yang diajarkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, maka engkau harus bersikap terbuka apabila sudah ada cara yang berbeza untuk menilai karyamu. Isunya sangat mudah, jadi tidak perlu kamu semua jadi schizophrenic. Kalau engkau membaca Hikayat Buyung Lurus dengan kritis dan kreatif, engkau akan melihat teknik dan gayanya tidak lagi seperti yang kamu biasa baca selama ini, dengan itu kamu harus membaca dalam mod bacaan intelektual, tidak lagi dalam mod bacaan cerita seperti yang biasa kamu lakukan. Saya telah bercakap tentang belajar membaca dengan betul ini sudah lama, sejak tahun 1980-an lagi, jadi bukan perkara baru.

Masalah sampah dalam kegiatan intelektual juga bukan perkara baru. Ini cerita lama, paling terkenal sudah dihuraikan oleh Pitirim Sorokin dalam bukunya yang terkenal,  The Crisis of Our Age (terbit 1941). Dalam teori pengurusan Amerika Syarikat, perihal belantara teori pengurusan ini dan banyaknya sampah dalam teori pengurusan telah dibincangkan oleh James Lee sejak 1960-an lagi.  (Rujuk Medan-medan Dalam Sistem Persuratan Melayu, hal. 42.) Sekarang sastera sampah menjadi  kemegahan para sarjana ciritan dan sasterawan picisan, diberi sanjungan dan sokongan oleh ITBM dan DBP.  Sejauh mana keadaan ini membawa kemajuan berfikir dalam masyarakat Malaysia?  Yang berlaku adalah sebaliknya, iaitu apabila konsep ilmu yang benar ditinggalkan atau diremehkan, maka perkara-perkara aneh yang dibincang dalam entri yang lepas, mengenai faham pascamodenisme. Kemuncak pascamodernisme ini ialah apabila mangkuk kencing (urinal) diangkat oleh Marcel Duchamp sebagai seni, dan kini mendapat harga yang sangat mahal, berpuluh juta kerana telah diangkat menjadi karya seni di Barat. Persis inilah  yang terjadi dengan karya sastera sampah yang ini  diangkat oleh Mana Sikana di atas takhta keunggulan, kerana sebab yang sama, iaitu menentang tradisi ilmu dan mengubah nilai-nilai tradisi, seperti yang dilakukan oleh Muhammad Haji Salleh melalui sajaknya, “Pulang Si Tenggang.” Kepalsuan sajak ini sudah saya bincang dengan agak terperinci dalam sebuah tulisan yang disiarkan dalam Widya,  Januari 1984.  Tulisan itu penting dan perlu dirujuk, kalau anda serius dengan kecemerlangan pembohongan dalam sastera.

Saya perlu cerita sedikit tentang Marcel Duchamp, kerana Mana Sikana tidak pernah dengar namannya, apatah lagi para pengikut beliau terdiri daripada para sarjana ciritan dan sasterawan picisan, oleh itu mereka tergila-gila seolah-olah tidak siuman lagi mendewakan faham pascamodernisme yang anti manusia itu (anti-Tuhan tak usah katalah, memang falsafah mereka untuk menentang kebenaran.)  Tidaklah aneh sekiranya kita dapati Shahnon Ahmad, yang digelar oleh Mana Sikana Raja Novelis Malaysia, dan Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh,  Raja Pensajak Malaysia (gelaran yang diberikan oleh Mana Sikana juga), menjadi penyokong Mana Sikana dengan menerima pujian beliau kerana semua karya dan gerak laku mereka sesuai dan selari dengan pascamodernisme. (Baca kembali pujian Mana Sikana terhadap Raja Novelis Malaysia.)  Apakah keistimewaan faham pascamoderisme ini? Jawapannya diberikan oleh Marcel Duchamp.  Beliau adalah tokoh dan pelopor avant-guarde, yang selepas itu djadikan ikon pascamodernisme. Sekali peristiwa dalam tahun 1917, sebuah gerakan seni di Amerika Syarikat yang menggelar dirinya American Society of Independent Artists mengadakan pameran April 1917,dengan slogan “No jury. No prizes.” Menurut Catherine Belsey dalam bukunya, Poststructuralism: A Very Short Introduction  (OUP 2002),  “In order to avoid even the most unintentional hierarchy, Marcel Duchamp,  an influential member of the Independents, is said to have suggested that the works should be hung in alphabetical order, starting with a letter drawn from a hat. For his inventive idea he was elected chair of the hanging committee.) (hal. 84).  Perhatikan perkataan hierarchy di situ, yang sangat penting sebagai falsafah avant-garde dan pascamodenisme, tetapi kemudiannya kita dapati inilah kedudukan yang mereka klaim untuk diri mereka: mereka adalah yang terbaik dan yang paling bebas di antara seniman.  Apakah yang terjadi kemudiannya?

Inilah seterusnya cerita Marcel Duchamp dan sahabat karibnya Richard Mutt.  Sangat lucu, tetapi sekali gus amat serius.  Richard Mutt mengemukakan karyanya berjudul Fountain, berupa mangkuk kencing (urinal) untuk pameran itu, tetapi ditolak oleh Independents. Marcel Duchamp serta-merta menarik diri dari  jawatan Pengerusi memilih dan menggantung karya yang akan dipamerkan. Karya  yang ditolak, Fountain, yang memakai nama Richard Mutt, sebenarnya Marcel Duchamp sendiri, oleh itu sesuai dengan kedudukan Duchamp, Fountain diiktiraf sebagai “one of the most highly prized works of the 20th century.” (hal. 85). Yang anehnya, karya itu tidak pernah wujud, kecuali gambarnya, dan gambar itulah yang dicetak untuk dijual dengan harga mahal. Fountain, atau bahasa Melayunya pancutan zakar kencing, mendapat tempat istimewa dalam seni halus Barat.  Seorang ahli falsafah dan ahli estetiks Eropah, Thierry de Duve, menurut Belsey, “has argued that Duchamp’s  work in general, and Fountain in particular, mark a turning-point in aesthetics.” (hal. 86).  Pancutan kencing dari zakar “mark a turning-point  in aesthetics.”

Kebenaran pedapat ini telah dibuktikan oleh Shahnon Ahmad, penulis novel Shit (agaknya boleh diterjemahkan sebagai tahi; tetapi ada yang terjemahkan atau tafsirkan sebagai Mahathir, seperti Duchamp memanggil pencipta Fountain Richard Mutt). Novel ini mendapat sanjung para sasterawan dan pengkritik sastera, yang dianggap oleh Mana Sikana karya avant-garde dan karya absurd paling unggul di Malaysia, yang melayakkan penulisnya diletak di atas takhta keunggulan. Apa pun juga pendapat kita, sama ada jenis gila dan tidak siuman, atau yang khayal dalam angan-angan pascamodernisme, karya Shahnon Ahmad ini adalah sebuah karya klasik dalam pascamodernisme Malaysia. Yang menariknya kedua-dua karya besar dunia ini adalah mengenai najis. Adakah pascemodernisme itu sendiri sejenis najis budaya?

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 30/10/2016.



Tuesday, October 25, 2016

MAKNA PASCAMODERNISME DALAM SASTERA MELAYU: KEKELIRUAN YANG MEMBANGGAKAN

Perbincangan tentang pascamodernisme dalam sastera Melayu mungkin yang paling lucu dalam dunia, selain menyerlahkan  keunggulan kecacatan mental yang dipanggil schizophrenia di kalangan sarjana dan sasterawan. Raja lawaknya ialah Mana Sikana, “peneroka” pascamodernisme dalam sastera Melayu.  Antara penyokong intimnya ialah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Sasterawan Negara Prof. Emeritus Shahnon Ahmad.  Kedua mereka adalah tokoh besar dalam bidang akademik di Malaysia, oleh itu jasa mereka berdua mempertahankan pascamodernisme adalah amat memeranjatkan sarjana Barat yang menolak pembohongan pascamodernisme ini.  Kita lihat beberapa contoh daripada tulisan Mana Sikana.  Kita akan lihat bagaimana persampahan akademik yang diselerakkan oleh sarjana ini telah menjadikan pengajaran sastera di universiti menjadi beku dan tidak lagi diminati.  Kalau ini bukan salah beliau sepenuhnya, sekurang-kurangnya beliau dan rakan-rakannya memberi sumbangan besar menjadikan sastera Melayu lumpuh dan bangkut dari segi pemikiran kerana  kegiatan kumpulan penyampahan sastera ini terarah kepada mempertahankan sasterawan negara sebagai pencetus sastera sampah dalam konteks “ingkar ilmu” yang dibincang dalam tiga entri yang lepas.  Oleh sebab isu ini sudah menjadi semakin serius sekarang, setelah dibangkitkan secara konkrit dengan meletakkan isu ini dalam konteks “ingkar ilmu” itu, maka kedudukan penilaian sastera perlu dilihat kembali dengan lebih kritis dan serius.  Mana Sikana adalah wira yang angkuh mempertahankan penyampahan sastera oleh sasterawan negara ini, yang ditunjukkan oleh beliau dalam tiga buah bukunya (yang isinya dikitar semula dari tulisan lama beliau): (1) Berdiri di Akar Diri: Kritikan Sastera Melayu Pascamoden  (ITBM 2013); (2)  Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan  (ITBM 2015);  (3) Penulisan Akademik Sastera  (DBP 2015).

Sejarah cemerlang kesarjanaan Mana Sikana diberi sorotan agak kritis oleh seorang penulis bernama K. B. Tan dalam tulisannya, “Antara Ilmu dan Retorik Kosong” (Dewan Sastera, Mei 1997, hal. 56).  Saya telah memberi komentar saya terhadap tulisan ini  dalam entri bertarikh 23/10/2012:  Saya tertarik membaca ayat pertama beliau: “Sastera Melayu masih ditukangi penukang sastera yang lemah pemikirannya.” Kesimpulan K. B. Tan saya kira tepat, dan ini mendorong saya mengumpulkan beberapa tulisan mengenai tokoh jempulan ini, “Teakdealisme Lambang Pandirisme Dalam Kritikan Sastera Melayu” (boleh dirujuk di Perpustakaan DBP, UM, UPM, UKM, USM dan UPSI).  Bagi saya inilah contoh bullshit  dalam sastera Melayu, yang saya huraikan lebih mendalam dalam buku saya, Pandirisme Dalam Komuniti Dunia. (Diterbitkan Klasika Media, 2016.)  Ketiga-tiga buah buku Mana Sikana yang saya senaraikan di atas adalah contoh terbaik antara beberapa contoh terkenal dalam kritikan sastera Melayu (termasuk kritikan saya terhadap buku Dr. Norhayati Ab. Rahman dan Dr. Mawar Shafie.)

Apakah jenis penyakit yang dihidapi oleh para sarjana ciritan ini?  Dalam tiga entri terdahulu, saya telah menjelaskan bahawa mereka adalah kumpulan yang cetek meraba-raba yang menentang konsep ilmu yang benar, yang kemudiannya terserlah apabila kegiatan mereka dinilai daripada perspektif “ingkar ilmu” yang dikemukakan oleh Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud.  Mereka melakukannya dalam tiga gaya atau teknik yang hebat: menggunakan pretensi intelektual, retorik peragaan, dan fatamorgana bahasa. Anda boleh membaca mengenai tiga teknik ini dengan merujuk kepada senarai entri yang saya berikan di hujung entri ini. Sila rujuk di sana.  Ketiga-tiga teknik ini digunakan secara meluas dengan amat berkesan dalam tulisan Mana Sikana, terutama sekali dalam buku yang saya senaraikan di atas.  Implikasinya ialah semua penilaian beliau adalah contoh penyampahan akademik yang membanggakan para sasterawan kerana penuh dengan penilaian yang bersifat bullshit seperti yang dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya yang terkenal, On Bullshit.  Dalam caranya yang tersendiri, inilah keistimewaan Mana Sikana sebagai seorang sarjana terkenal Malaysia.  Keistimewaan beliau yang lain ialah “kegilaannya” kepada gerakan pascamodenisme yang bersifat schizophrenic. Kita lihat keistimewaan ini pula.

Amat jelas, dari tulisan beliau, Mana Sikana tidak tahu apa-apa tentang gerakan pascamodenisme ini, kecuali menyebut beberapa perktaaan (istilah?) yang disalin oleh K. B. Tan seperti berikut: analepsis, ikonikal, hipogram, reduksi trsnssendental, hogomolistik, idiogrsamatik, diparadiksiti, endeksikal,diparalelisasikan, konkritisi, plutonikal, purgasi, sisop0osisi, stikometri, melaforisme, epigramatik, metahistorikgrafik, genrologi, kutasi, afrodesiatik, rasional seminalis, teksdelaisme, paseigo debola, gynokritik, doxa, sui generis, per se notum, notum, anatheia.  Semua ini ditayangkan olleh Mana Sikana dalam tulisannya di Utusan Malaysia 1994 melalui tulisannya yang diminta oleh Chief Editor untuk menulisnya. Kita pun akan dapati perkataan-perkataan ini dalam tiga buah bukunya, dengan beberapa tambahan baru.  Inilah lagak sarjana besar kritikan sastera Malaysia, yang kini sudah pun diberi gelaran Raja Pengkritik Malaysia. Kalaulah “sastera” boleh bercakap, dia akan meludah penutur kata-kata ini kerana menghina sastera serendah itu.  Tetapi inilah yang dinamakan pascamodenisme dari perspektif Mana Sikana!

Satu perkara yang amat memeranjatkan kita ialah bagaimana seseorang yang siuman boleh tertarik kepada pacamodenisme.  Apakah istimewanya konsep ini dalam perkembangan intelektual Malaysia?  Senarai retorik peragaan dan pretensi intelektual yang diberikan oleh K. B. Tan yang saya salin menunjukkan  kesan yang amat negatif dari segi perkembangan tamadun berasaskan ilmu yang benar yang menjadi paksi dalam tamadun Islam. Apa yang diberikan oleh Mana Sikana melalui kegilaannya terhadap pascamodenisme adalah sensasi yang bertunjangkan sepenuhnya kepada cara hidup dan cara berfikir hedonistik berasaskan hawa nafsu. Inilah yang mendorongnya membuang apa juga unsur Islam dalam teksdealisme yang dulunya diakuinya mempunyai unsur-unsur Islam yang disaring dengan teliti, tetapi dibuang terus dalam teksdealisme yang dijadikannya asas menilai karya para sasterawan negara, diganti dengan unsur pascamodenisme yang penuh sensasi. Ini ditunjukkannya dalam pujiannya terhadap Shahnon Ahmad:

“Dalam konteks teks-teks keislaman Shahnon Ahmad ini, saya cuba hubungkan dengan konsumer pascamoden, apabila citraan erotis anutan golongan pascamodenis berupa umpan atau daya tarikan. Teks-teks pastik, kitsch, skizoprenia dan povalensik mempunyai unsur erotis. Keadaan sedemiian sesuai dengan masyarakat Barat yang segalannysa nihilistik, namun percikannya dapat dirasakan bertaburan dalam masyarakat kita. Dengan berpandangan sedemikian, aliran sastera Islam Shahnon Ahmad selari dengan dunia pascamoden terkini. Malah jika dilihat dalam konteks masa, TIVI itu sendiri mempunyai unsur teks  hipermodenisme, iaitu zaman yang sedang menanti selepas pascamodenisme, sebagai tanda menjelangnya alaf ketiga. Novel tersebut menyuguhkan gambaran begitu superrealistik atau hipererealistik, terutamanya dalam memberi lukisan tentang bagaimana berlakunya siberseks dalam kalangan keluarga. Ertinya, novel berunsur Islam dalam tanggapan Shahnon Ahmad ditandai oleh transparensi sosial.

Dengan keterangan itu, saya melihat bahawa sastera Islam
Shahnon Ahmad sempurna dari segi teoretisnya dan selari dengan suasana masyarakat pascamoden  dan hipermoden. Maka di situlah kekuatan dan keistimewaan sastera Islamnya justeru selari dengan zamannya yang gemerlap dengan tanda-tanda, imej, kejutan, display, prestij, hiperealiti. Bagaimanapun, saya bersetuju seandainya Shahnon Ahmad tidak membatasinya, tidak mustahil teks-teksnya akan tergelincir kepada dunia keterpesonaan dan erotisme.” (hal. 38-39, Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan.)

Inilah contoh kesampahan (pure rubbish) dalam tulisan kritikan sastera yang sepatutnya mempunyai unsur akademik yang jelas. Inilah contoh bullshit dalam kritikan sastera. Perhatikan betapa berseleraknya sampah “istilah” yang bukan istilah, tetapi hanya ciri-ciri yang belum tentu mencerminkan pascamodenisme ala Malaysia yang menjadi kebanggaan Mana Sikana, tanpa sebarang penjelasan yang masuk akal. Saya hanya ingin membangkitkan dua isu yang memerlukan penelitian dan perdebatan: adakah novel TIVI itu novel Islami? Jika betul, adakah inilah contoh novel Islami yang unggul? Mana Sikana memberi kredit yang terlalu tinggi kepada kegiatan “sastera Islam” Shahnon Ahmad, yang pada hakikatnya tidak mencerminkan worldview Islam, tetapi hanya mengagungkan budaya hawa nafsu yang kononnya inilah keadaan masyarakat Islam sekarang di Malaysia. Kalau kita menerima bebelan Mana Sikana, kita akan dapati Malaysia sudah betul-betul sebuah negara Barat seperti Perancis, Jerman, Amerika Syarikat, Britain kerana memenuhi ciri-ciri pascamodenisme yang disenara000ikannya, dan semua para sasterawan adalah penganut faham pascamodenisme. Adakah ini suatu penilaian yang tepat dan siuman?

Satu perkara yang paling asas, yang tidak dapat tidak kita perlu jelaskan jika kita menerima novel-novel Shahnon Ahmad itu novel Islami yang unggul, kita perlu memberi analisis dan panilaian kita yang sekira-kira tepat dan jitu yang mencerminkan worldview Islam, bukan yang hanya bermain dengan Islam. Kita perlukan satu pendekatan yang boleh mengarah kita kepada mendapatkan jawapan yang kita cari itu. Sudah jelas teksdealisme sama palsunya dengan konsep novel Islami Shahnon Ahmad yang hanya mengutip ayat Quran dan hadis tetapi tidak mencerminkan worldview Islam yang berasaskan tauhid dan manusia yang terikat kepada taklif. Adakah watak-watak dalam novel Shahnon Ahmad watak-watak Islam yang memenuhi dua prinsip itu? Sudah sampai masanya Mana Sikana dan kawan-kawannya merasa dulu rasa intelektual Persuratan Baru, selepas itu ludahlah gagasan itu jika tidak bersetuju dengan selera anda. Jika itu keputusan anda, maka anda telah membuktikan Persuratan Baru bukanlah pendekatan Islam. Cabaran sudah dilontar kepada anda, ludahlah semahu anda, tetapi rasa dulu isinya.

Penyakit sensasi berlebihan yang ditunjukkan Mana Sikana tidak saja membuahkan kesimpulan yang tidak bertanggungjawab seperti dalam kutipan di atas, tetapi juga telah melampaui sifat schizophrenia yang membelenggu kewarasannya. Kita lihat pula pujiannya terhadap sajak-sajak Kemala. Pensajak ini diberi tempat kedua oleh Mana Sikana, selepas Muhammad Haji Salleh; yang ketiga ialah Baha Zain. Inilah tiga orang pensajak agung Malaysia. Masuk akal? Bagi saya ketiga-tiga mereka tidak dapat mengatasi, dari segi persajakan, T. Alias Taib. (Lihat entri paling terkemuka dalam blog ini, jika dilihat dari pageviews, bertarikh 30/10/2010, “Sajak sebagai mantra baru dalam sastera Melayu moden.”).  Nampaknya penilaian saya diterima baik, dan mereka bersetuju T. Alias Taib telah diketepikan dengan tidak adil. Tiga tokoh besar pensajak Mana Sikana itu kelihatan seperti budak-budak nakal jika dibandingkan dengan sajak-sajak intelektual, sajak pemikiran, Wan Mohd. Wan Daud.  Jika anda membaca puisi Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas (tidak banyak, tetapi bermutu), anda akan dapati sajak-sajak tiga tokoh Mana Sikana itu adalah sajak-sajak ingusan. Jangan terima bulat-bulat penilaian saya; anda perlu menelitinya dengan jujur, dan sebagai pembaca yang cerdik. Saya tidak ragu-ragu meletakkan Wan Mohd. Nor Wan Daud sebagai pelopor sajak intelektual Malaysia. Sesiapa juga yang mahu mencabarnya, silakan. Kita boleh berdebat panjang tentangnya.

Kembali kepada Mana Sikana dan Kemala. Kedua-duanya memiliki keangkuhan yang luar biasa. Kata Mana Sikana: “ukuran seorang pengkritik itu dapat dilihat dalam kemampuannya mengkritik puisi – pengkritik yang tidak pernah mengkritik puisi sebenarnya belum teruji  dan absah sebagai pengkritik yang asli.” (hal. 240, Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan.)  Jika pendapat Mana Sikana ini benar, jelaslah beliau bukan pengkritik yang absah itu, bukan asli. Dia barangkali menulis tentang sajak dan memberi pandangan tentang sajak, tetapi tidak membuat kritikan yang mantap, yang boleh dipercayai. Padangannya terhadap tiga raja pensajak Malaysia itu terlalu cetek dan terlalu diada-adakan sesedap hatinya saja. Tetapi keangkuhannya boleh dilihat dengan amat jelas apabila Mana Sikana berkata: “Tugas mutlak yang dituntut oleh seorang pengkritik ialah keberaniannya dalam menghukum dan memberikan kedudukan.” (hal. 241).  Dia berlagak sebagai seorang maharaja yang memberi bintang-bintang kebesaran. Perhatikan perkataan “mutlak” yang dipakainya. Ini betul-betul gaya budak nakal, bukan gaya seorang sarjana. Seorang ulama pun tidak berani berkata, “Fatwa aku ini mutlak, tidak boleh ditolak!” 

Dengan sikap yang seangkuh itulah Mana Sikana menulis tentang Kemala dalam tulisannya yang berjudul, “Tariq al-Islami dalam sajak-sajak Kemala”. Tajuknya nampak seolah-olah hebat, tetapi setelah kita membaca pandangannya tentang Kemala, yang kita dapat adalah rubbish and bullshit.  Perhatikan ini: “Aroma dan isti’arahnya serta balaghahnya juga memang terasa mistifikasinya, tetapi Kemala seolah-olah tidak mahu menenggelamkan  dirinya secara mutlak ke lautan madu al-khamriyyat al-suffiyyah. Kebanyakan puisinya ialah tasawur dan nazariyyah tentang taabuddiyyah dan taqarrubiyyah seorang hamba kepada Tuhan-Nya tetapi dengan segala kekhusyukan dan kekhususannya, Kemala telah berdiri sebagai imam di negerinya itu.”  (hal. 246-247).  Beberapa perkataan Arab yang dipakainya hanyalah perhiasan kosong dalam konteks retorik peragaan yang penuh dengan pretensi intelektual yang kosong.  Tidak sebuah pun contoh sajak Kemala yang dipilihnya mencerminkan ciri-ciri yang diarabkannya itu. Sebaliknya, yang kelihatan jelas ialah betapa naifnya Kemala sebagai pensajak yang terlalu ghairah memuji dirinya. Lihat saja contoh panjang yang diturunkan Mana Sikana: Marilah kita membaca puisinya yang pertama:/Mim apa yang kau kenangkan Kemala/Mim rasa dalam terbenam di laut sukma/terpancar pada kata pada bisik/terhampar pada wajah dalam sepi/bagi puisi diam menarik ingin, lahir penyair/lipatlah sejarah ungu lembaran sobek/kata-kata kelam oleh titis air mata seniman.... (panjang lagi!).

Adakah inilah yang dipanggil tariq al-Islami itu? Di mana pula al-khamriyyat al-suffiyyahnya? Yang pasti Kemala sedang mabuk memuji dirinya. Inikah puisi Islam, puisi sufi? Tidak nampak apa-apa yang bersifat sufi dalam sajak-sajak naif yang mengada-ada ini, yang telah memeningkan kepala para Panel Anugerah Sastera Negara sehingga telah memutuskan dengan sewenang-wenang dalam kata-kata bombastik mereka, “Beliau menghadiahkan kepada perbendaharaan kesusasteraan Melayu puisi yang indah, mempunyai gaya khas yang tersendiri, dan sarat dengan renungan jiwa yang mendalam” Laporan 11, 2012, hal. 20) Lalu berkatalah Panel, dengan amat celupar dan tidak bertanggungjawab:  “Kemala juga berani menggunakan alusi daripada budaya lain seperti rujukan kepada Mark Anthony (sic, untuk Antony) dan Cleopatra. Perkara ini dilakukan bukan kerana tidak ada tokoh di kalangan penduduk tempatan, sebaliknya, penggunaan alusi asing ini memupuk hukum hidup yang universal dan lumrah. ... Justeru, alusi daripada berbilang budaya menjadikan karya penyair ini universal. Namun demikian, Kemala tetap bersandar kepada akar umbi Melayu dan ajaran Islam.” (hal. 20.)  Apakah yang ingin disampaikan oleh Panel? Pastilah ketika mereka memuji Kemala ketika mereka menulis laporan ini, mereka sedang mabuk al-khamriyyat al-suffiyyah yang sedang dinikmati oleh Mark Antony dan Cleopatra, seperti yang disimpulkan oleh Allan Bloom dalam bukunya, Love and Friendship, hal. 304:

“Antony and Cleopatra are enchanted with each other and unabashedly want to have sexual intercourse with each other as much as possible.”

Alusi ini digunakan Kemala bukanlah kerana minum khamar sufi, tetapi kerana khamar cinta berahi asmara dana!

Kucing betinaku yang baru lepas mengawan malu tersipu-sipu sambil menjilat bulu selepas mendengar aku bacakan episod ini. Dia tahu apa makna al-khamriyyat al-suffiyyah yang dimaksudkan oleh Mana Sikana, yang tidak diketahui oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Yang tahu dan yang tidak tahu kedua-duanya minum tuak pandirisme.

Kesimpulan: demikianlah penyampahan kritikan sastera Melayu. Kesampahannya melucukan, tetapi implikasinya sangat serius.

Apakah kekuatan pascamodenisme? Faham Iblis ini menolak adanya kebenaran (the truth), dengan itu agama  tidak ada peranan dalam pascamodenisme. Seratus peratus menggalakkan budaya hedonisme ke kemuncaknya, tanpa memperdulikan moral dan apa juga nilai, kecuali nilai kebebasan penuh. Maksudnya, jika ada manusia ingin menjadi lembu, kambing, kuda, anjing, ikan paus, kelawar, mereka bebas melakukannya. Teknologi AI sudah ada, boleh buat semua itu. Sekarang manusia pascamoden mahu menjadi mesin dalam bentuk manusia.  Kata mereka, boleh dilakukan. Inilah kebudayaan yang ingin dibawa dan dijadikan asas tamadun negara Malaysia oleh Raja Pengkritik Malaysia, Mana Sikana. Kalau bukan itu maksudnya, buat apa tergila-gilakan faham pascamodenisme ini? Lagi pula, lihat saja apa jenis istilah yang dipakai oleh Raja Pengkritik Negara ini dalam tiga buah bukunya itu. Sangat hebat, tetapi tidak ada ilmu, hanya kepura-puraan intelektual yang dikenali sebagai pretensi intelektual. Usahanya untuk meletakkan para sasterawan negara di atas takhta keunggulan gagal seratus peratus, kerana tidak ada ukuran yang membolehkan mereka dinilai dengan objektif dan jitu. Panel Anugerah Sastera Negara sendiri memang tidak boleh diharapkan, jika kita mengambil laporan mereka sebagai dokumen yang penting. Apa ukuran yang mereka pakai? Hanya ukuran hawa nafsu mereka sendiri. Akhirnya segala-galanya ditentu oleh pandirisme, yang kini menjadi  sejenis hegemoni budaya, iaitu budaya pandirisme. So sorry for that!

Nota kecil: saya gunakan istilah kesampahan (contoh: “kesampahan idea dalam sastera Melayu)  dan penyampahan (contoh:  penyampahan penilaian dalam kritikan sastera.)

Senarai entri untuk rujukan:
23/10.2012, “Kecelaruan kognitif dalam pembinaan teori sastera: Kes Dr. Mana Sikana aka Dr. Abdul Rahman Napiah.”
30/10/2012, “Diperlukan penjelasan lengkap tentang konsep teori dalam kritikan sastera.”
24/3/2013, “Retorik peragaan dalam seminar enam orang sasterawan negara.”
28/10/2014, “Keunggulan yang cacat.”
10/10/2014, “Pretensi intelektual dalam kritikan sastera Melayu.”
9/9/2014, “Fatamorgana bahasa dalam kritikan sastera dan penilaian karya.”
14/10/2014, “Kritikan sastera Melayu antara retorik peragaan dan fatamorgana bahasa: Pandirisme yang gigih dipertahankan.”
8/9/2014, “Fatamorgana bahasa dalam karya akademik dan karya kreatif di Malaysia.”
1/6/2015, “Teksdealisme lambang pandirisme dalam kritikan sastera.”
19/4/2015, “Mana Sikana penulis Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan: Kegagalan teksdealisme memahami keunggulan sejati.”


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 25/10/2016.


Sunday, October 23, 2016

BUDAYA SAMPAH DALAM KEHIDUPAN MODEN DAN DALAM PERKEMBANGAN INTELEKTUAL MALAYSIA

Dua entri tentang “ingkar ilmu”  sudah saya bicarakan, tanpa menggunakan istilah itu, dalam beberapa tulisan di majalah Widya 1982, dan sebuah dalam Mastika 1991 tentang peranan ilmu yang benar. Kini saya baru saja menyiapkan sebuah hikayat, dalam siri “hikayat” yang sedang saya usahakan untuk membicarakan isu-isu masyarakat secara kreatif. Saya baru saja selesai menulis “Hikayat Salim Adil” yang khusus membicarkan “budaya sampah” dalam masyarakat Malaysia. Saya menjadikan “sampah” sebagai paksi naratif suatu pembicaraan tentang budaya sampah ini dan bagaimana budaya ini diberi kedudukan tinggi dalam masyarakat, terutama melalui kesusasteraan.  Hikayat itu ditulis seluruhnya dalam konsep stylization of ideas,  untuk menambah lagi contoh tentang peranan ilmu dalam karya kreatif, yang amat galak dijadikan isu oleh para pembicara yang anti-ilmu, dan kini yang kita sebut sebagai yang “ingkar ilmu”.  Mereka yang galak mengutuk kehadiran ilmu dalam karya kreatif sebenarnya tidak tahu apa-apa tentang konsep ilmu, tidak pernah memikirkannya, dan tidak mahu memikirkannya. Kerana ilmu itu menjadi asas kepada adab dan pembinaan peradaban, maka mereka yang keliru dan anti ilmu ini adalah golongan biadab yang kini sudah muncul sebagai golongan yang berkuasa, yang mempunyai hegemoni, dalam menentukan wajah kesusaseraan Melayu moden. Merekalah yang menjadi juara budaya sampah yang saya jadikan paksi naratif dalam “Hikayat Salim Adil”. Mereka telah berjaya mengadakan satu pertemuan penting anjuran ITBM, yang mereka gelar Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Dalam sidang itulah hegemoni budaya sampah itu dirasmikan dengan penerbitan sebuah buku berjudul, Sastera Teras Negara Bangsa (ITBM 2014).

Dalam pemikiran Barat, isu-isu kesampahan ini dibicarakan dengan mendalam dan terperinci oleh Pitirim Sorokin dalam buku-bukunya, antara yang terkenal ialah The Crisis of Our Age (terbit pertama kali 1941),  dan The Basic Trends of Our Times (1964).  Sorokun berbicara tentang keruntuhan nilai dalam budaya hawa nafsu Barat (the sensate culture) yang seluruhnya berasaskan materialisme. Sejauh mana budaya hawa nafsu ini menguasai kesusastreraan Melayu moden? Bayangkan konsep kesusasteraan itu sendiri adalah penjelmaan daripada budaya hawa nafsu, maka sudah wajar dan munasabah jika karya sastera Melayu yang kita panggil sastera moden itu adalah hasil budaya hawa nafsu ini. Jika anda mahu contoh, bacalah karya para sasterawan negara. Karya terbesar sastera moden, menurut para sarjana sastera, ialah Salina oleh A. Samad Said, sebuah karya yang pertama kali diiktiraf sebagai yang bertaraf antarabangsa oleh Teeuw. Hebat. Apakah asas karya ini? Saya tidak perlu menjelaskannya, kerana telah dibicarakan dengan riuh dan geger oleh para sarjana yang memuji tinggi kemunculan seorang pelacur berjiwa murni (?) dalam budaya sampah Melayu.  Berasaskan andaian itu, para sarjana ciritan dan sasterawan picisan bangkit mempertahankan kedudukan Salina  sebagai sebuah karya besar Malaysia, yang melayakkan penulisnya, A. Samad Said, dicalonkan sebagai penerima Hadiah Nobel.  Usaha ini sangat bagus kerana Sweden sekarang adalah sebuah negara yang tidak mempunyai sampah, oleh itu mengimpot sampah dari luar negeri di sekitar negara Eropah. Sebaliknya Norway, sebuah negara yang kaya sampah, memohon kepada Sweden untuk menerima sampahnya, dengan membayar kepada Sweden sebagai royalti untuk membawa sampahnya masuk ke Sweden.  Sekarang Malaysia, melalu beberapa badan penulis dan  organisasi kerajaan seperti ITBM dan DBP, ingin membawa karya-karya sampah ini untuk dinilai kesampahannya sama ada sudah layak atau tidak diberi Hadiah Nobel. Dengan mencontohi Norway yang membayar Sweden untuk mengekspot sampahnya ke Sweden, Malaysia juga boleh berbuat demikian dengan membayar Sweden sekian banyak wang untuk memberi tempat kepada karya sampah dari Malaysia dinilai dalam jawatankuasa Hadiah Nobel. Idea ini munasabah dan patut sangat dilaksanakan oleh Malaysia kerana contohnya telah ada dalam konteks Norway tadi. Badan penulis, terutama PENA dan GAPENA,  perlu membuat keputusan untuk mendesak kerajaan melaksanakan idea ini, jika belum lagi dibuat atau tidak dijadikan resolusi dalam SKPM.

Kehadiran karya sampah ini penting dalam perkembangan budaya dan perkembangan intelektual di Malaysia dan telah dirasmikan oleh kerajaan sendiri yang memberi sumbangan kewangan yang besar kepada badan penulis yang disebut di atas, masing-masing mendapat 5 juta. Sekiranya Sweden bersetuju menerima 100 juta untuk maksud membeli Hadiah Nobel, maka sumber kewangannya sudah tersedia di dalam 1MDB yang telah memberi sumbangan kepada jemaah haji terpilih untuk naik haji. Mereka telah pun pergi dan sudah pun balik. Contoh telah ada, tinggal melaksanakannya saja. Para sarjana dan sasterawan boleh membuat desakan kepada kerajaan supaya menerima cadangan ini, demi kebaikan sastera moden Malaysia.

Dari segi akademik, belum lagi terdapat penyelidikan yang secara khusus menganalisis karya sampah ini pada peringkat MA dan Ph.D.  Oleh hal yang demikian, kehadiran karya sampah dalam sastera dan juga dalam bidang akademik masih agak kabur. Tetapi adakah ini bererti tidak ada karya sampah? Saya telah menulis tentang persoalan ini dalam beberapa entri, mempersoalkan kemenangan beberapa penerbitan akademik yang amat diragui kualitinya sebagai karya akademik. Saya memberi contoh buku Dr. Norhayati Ab. Rahman dan Dr. Mawar Shafie yang mendapat pengiktirafan yang amat tinggi dari universiti (UKM untuk buku Dr. Mawar Shafie) dan dari DBP (untuk buku Dr. Norhayati Ab. Rahman).  Kedua-duannya menerima hadiah istimewa peringkat negara. Bagaimana dan mengapa ini terjadi sudah juga saya jelaskan dalam beberapa entri, juga telah dipersoalkan dalam beberapa buah buku sastera. Sarjana sastera dan sasterawan tahu judul buku-buku itu, tidak perlu saya sebut satu persatu.  Berasakan bukti-bukti yang dibincangkan dalam entri dan dalam buku-buku berkenaan, sudah jelas memang terdapat karya sampah. Apakah sikap kita terhadap karya sampah ini?

Pertanyaan di atas boleh diberi jawapannya dengan mudah dan jelas jika anda menerima konsep “ingkar ilmu” yang dibicarakan dalam dua entri yang lepas.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 23/10/2016.



Saturday, October 22, 2016

KESAN POSITIF DAN NEGATIF KONSEP INGKAR ILMU PROF. WAN MOHD NOR WAN DAUD DALAM PERSURATAN MELAYU

Entri tentang “ingkar ilmu” ini mendapat sambutan yang amat luar biasa, jika dilihat dari jumlah pageviews yang direkodkan seluruh dunia, bukan di Malaysia sahaja.  Memang ramai peminatnya. Oleh itu saya perlu memberi sedikit lagi catatan mengenainya.

Yang saya maksudkan dengan kesan positif dan negatif itu bukan merujuk kepada ingkar ilmu sebagai satu konsep, tetapi merujuk kepada kefahaman dan penerimaan para penulis atau sarjana dan masyarakat secara umum. Adakah ingkar ilmu satu konsep atau satu ungkapan? Kedua-duanya.  Sebagai konsep ia merujuk kepada cara kita melihat sesuatu masalah, yang kita sedar atau tidak sedar, yang membolehkan kita meneliti masalah itu dengan cermat dan melihat keadaan sebenarnya masalah itu dan keadaan kita sendiri, sama ada kita menghadapi masalah itu atau pura-pura tidak menghadapinya atau memang tidak tahu apa-apa. Di mana anda berada? Saya tidak tahu, yang tahu anda sendiri. Adakah itu penting bagi anda? Ini pun terpulang kepada cara anda meneliti sesuatu masalah. Katalah anda memang tidak bermasalah dengan ilmu, dan bagi anda belajar bukan untuk mendapat ilmu, tetapi hanya untuk mendapat maklumat (sekadarnya saja) dan sedikit kemahiran, apa juga jenis kemahiran itu. Adakah sikap ini sikap orang yang cerdik, yang tahu menggunakan otak dan akalnya? Bagi saya tidak. Inilah sikap Pak Pandir. Katalah anda belajar hanya sekadar untuk mendapat maklumat, apakah jenis maklumat itu? Anda perlu tahu sumbernya, betul atau tidak, tepat atau tidak. Adakah sumber itu authentik? Nah, kalau anda mula berfikir sejauh itu, anda sudah bermula menjadi orang yang mahu mencari ilmu. Ini tidak terjadi dalam sastera Melayu moden. Para sarjana dan pengkritik sastera tidak mempunyai maklumat yang menepati ciri-ciri yang saya sebutkan itu. Anda boleh tahu semua ini jika anda membaca tulisan mereka dengan kritis, DAN kreatif.  Untuk berlaku kritis, anda perlu mempunyai kelebihan tersendiri dalam bidang anda, dapat menempatkan di mana duduknya tulisan yang anda baca itu, jenis yang benar-benar akademik atau hanya penuh dengan pretensi intelektual semata-mata. Anda tidak dapat ini dalam tulisan para sarjana yang menulis tentang sasterawan negara. Tidak percaya? Bacalah makalah mereka tentang “pemikiran sasterawan negara”. Anda akan tahu, dan dapat melihat dengan jelas, kualiti “pemikiran” dan analisis mereka sendiri, yang sangat jelas dalam kesimpulan yang mereka dapat dari bukan penelitian mereka, tetapi dari andaian mereka. Satu lagi, setiap maklumat adalah amat berguna untuk anda berkomunikasi. Perhatikan bagaimana para pakar kita bercakap dalam temu ramah di TV misalnya? Atau jika kita mendengar ceramah para ustaz dan ahli politik. Kita akan berasa kasihan kepada diri kita sendiri kerana terpaksa mendengar “rubbish” disogok dengan begitu bangga. Jarang kita boleh mendengar orang berilmu bercakap, mereka tidak diketahui dan jika diketahui pun tidak dijemput kerana takutkan kebenaran yang akan mereka ucapkan. Ini masalah kebebasan yang setiap orang di Malaysia mesti peka, oleh itu dia amat selesa berbohong atau pura-pura bercakap benar. Misalnya, apabila ada orang bercakap-cakap tentang “maqasid syariah”, dia hanya memasukkan perkara-perkara yang ingin didengar oleh ahli politik dan kerajaan. Tidak ada seorang pun bercakap tentang kedudukan 1MDB  dalam konteks “maqasid syariah” ini. Semua orang jadi takut, takut tak boleh keluar TV, takut dimarahi orang politik, takut macam-macam. Begitu juga apabila orang politik bercakap tentang bantuan dan segala macam insentif (perkataan ini sangat mulia dan popular di Malaysia), mereka tidak mahu bezakan aspek korupsi dan bukan korupsi. Sebab? Mereka tahu apa yang mereka buat itu amat jelas ciri korupsinya. Di sinilah konsep ilmu itu penting, kerana jika hanya maklumat yang kita cari, kita akan dapati ada teori pembangunan ekonomi yang menegaskan korupsi adalah suatu amalan yang diperlukan dalam menjana pembagunan, tetapi diberi istilah dan nama-nama yang sesuai yang menutup hakikat sebenarnya. Dua perkara yang saya sebut di sini, maklumat dan komunikasi, gagal diberikan oleh kebanyakan sarjana dan sasterawan. Anda tentu dapat agak sebabnya.

Sekarang saya beralih kepada ingkar ilmu sebagai ungkapan yang perlu dibiasakan supaya dapat didengar dan diketahui oleh masyarakat. Sebagai ungkapan, ingkar ilmu menyerlahkan sikap anda terhadap kebenaran, terhadap ilmu, dan terhadap kejujuran anda sendiri. Anda tidak mahu mendengarnya kerana anda, sebenarnya, tahu di mana anda berada. Mahukah anda ingkar? Tentu saja tidak mahu, oleh itu tidak perlu disebut kerana ini akan membuat anda rasa benci kepada yang menyebutnya dan benci kepada diri anda sendiri yang rendah maruahnya (low in self esteem). Ini melahirkan sejenis keangkuhan yang luar biasa, yang anda lemparkan kepada orang lain, “Ehh, dia ingat dia baik sangat.” Ada tidak anda pernah mengucapkan ayat itu? Saya biasa dengar, walaupun saya diberitahu tidak ada orang yang pernah mengucapkannya!

Sama ada sebagai konsep, mahu pun sebagai ungkapan, “ingkar ilmu” akan membawa anda kepada sikap dan konsep anda terhadap ilmu. Dan kalau anda sebagai seorang yang beriman dan iman itu tulen, maka anda tahu di mana tempat anda di akhirat.  Ini satu malapetaka besar yang jarang disedari oleh orang Islam sendiri.  Inilah kegagalan dalam memahami konsep ilmu, yang menjadikan anda ingkar ilmu.  Saya berhenti di sini.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 22/10/2016.

Monday, October 17, 2016

KONSEP “INGKAR ILMU”: SATU CATATAN KECIL UNTUK RENUNGAN SERIUS PARA SARJANA

Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud, seorang yang banyak menulis tentang konsep ilmu dalam Islam, mengemukakan satu istilah baru, “ingkar ilmu”, untuk menyaingi istilah “anti-ilmu” dan “anti-intelektual” yang kerap dipakai dalam  perbahasan akademik di Barat. Istilah ini penting kerana trerdapat dua prinsip utama yang menjadi tunjangnya: Pertama, istilah ini merujuk kepada makna “ingkar ilmu” itu terus kepada sumber ilmu, yakni al-Quran.  Implikasinya ialah yang “ingkar ilmu” itu ialah Iblis. Kedua, implikasinya yang lain ialah sangat penting dalam hubungannya dengan sikap para sarjana sastera Malaysia yang menerima teori sastera Barat secara tidak kritis, tanpa meperdulikan sumber ilmu yang menjadi asasnya, dengan itu para sarjana ini tidak dapat meletakkan teori Barat itu pada tempatnya seperti yang dikehendaki dalam Islam. Kesannya amat buruk dalam kegiatan ilmiah dan kreatif dalam sastera Melayu. Itulah antara persoalan penting yang dibincang di dalam entri yang lepas (bertarikh 29/9/2016).

Sikap anti-ilmu dan anti-intelektual yang berleluasa dalam kegiatan sastera Malaysia tidak kelihatan dengan jelas sifat dan cirinya kerana pada waktu ini para sarjana dan sasterawan boleh berselindung dalam kepuraan ilmiah dan kepuraan kreatif mereka dengan berkata bahawa mereka tidak menolak konsep ilmu yang benar, tetapi tidak dapat menerimannya seperti yang dikonsepsikan dalam gagasan Persuratan Baru. Jika diterima konsep ilmu yang benar seperti yang dihuraikan dalam Persuratan Baru, sasterawan negara tidak lagi wujud kerana tidak seorang pun di antara mereka menulis dalam konteks yang dibicarakan oleh PB. Kata mereka, ini satu penyelewengan sejarah yang sangat memalukan, yang mesti, tidak dapat tidak, ditolak dengan tuntas hatta sekiranya perlu dengan menolak kosep ilmu yang benar itu sekalipun. Inilah pendirian rasmi para sarjana dan sasterawan Malaysia. Adakah pendirian ini berasaskan kefahaman yang betul atau hanya gambaran pandirisme yang menjadi pegangan mereka yang tidak dapat menghuraikan dengan jelas kedudukan para sasterawan negara yang mereka pertahankan itu.  Selalu ditamsilkan, keadaan seumapama ini adalah situasi  burung unta (kasawari) yang membenamkan kepalanya di dalam pasir, seolah-olah menyembunyikan kepalanya; padahal perbuatannya itu ialah untuk menentukan dari mana sumber bahaya yang dihadapinya supaya dia senang melepaskan dirinya. Tetapi para sarjana dan sasterawan yang menyembunyikan kepala mereka di dalam pasir pandirisme bukan untuk mendapat kepastian tentang bagaimana menyelamatkan diri dari kekeliruan, sebaliknya kekal berada dalam pasir pandirisme mereka. Nampaknya burung unta jauh lebih cerdik daripada para sarjana dan sasterawan ini!

Saya telah mengulang berkali-kali bahawa ini bukanlah isunya; malah saya menegaskan para sasterawan negara ini boleh terus tercokol dalam sastera Melayu moden, tetapi sebagai penulis karya sastera, bukan sebagai penulis karya persuratan. Perbezaan antara karya persuratan dan karya sastera sangat jelas: satu berasaskan ilmu yang benar; yang satu lagi berasaskan fictionality dan emosi serta sentimentaliti.  Dalam konteks dan maksud ingkar ilmu yang difahamkan dalam Islam, sastera seperti yang dikonsepsikan di Barat dan diikuti di Malaysia oleh para sasterawan dan sarjana, sudah jelas berada dalam konteks “ingkar ilmu” itu.  Akibat dari ingkar ilmu maka lahirlah keadaan kehilangan adab dan berleluasanya kekeliruan akibat dari kekeliruan dalam konsep ilmu. Ini menimbulkan keadaan biadab, yang diterjemahkan dalam kegiatan sastera oleh para sasterawan dan sarjana sebagai kegiatan golongan pinggiran yang keliru dari segi kefahaman ilmunya dan akibatnya mereka adalah golongan yang cetek meraba-raba. Sekarang anda boleh faham dengan mudah, dan jelas, kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengkukuhan beliau di UKM tahun 1972, yang terangkum dalam buku beliau Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kesimpulan beliau sehingga kini belum lagi dicabar secara ilmiah oleh mana-mana sarjana sastera. Sudah tiba masanya mereka tampil untuk menolak atau menerima kesimpulan itu, demi menjaga dan mempertahankan maruah akademik dan maruah intelektual mereka. Mereka harus belajar daripada burung unta yang cerdik itu, dengan itu mereka akan dapat mengenal pasti sumber kekeliruan mereka dan terus membetulkannya.  Itulah tindakan yang paling siuman; jikalau mereka menolak sifat siuman ini, maka mereka akan berada dalam dunia schezophrenia yang dibincangkan dalam entri yang lepas.  Kesediaan burung unta menerima rahmat Allah yang memberinya kepandaian membenamkan kepalanya ke dalam pasir untuk menentukan sumber bahaya yang akan dihadapinya, diterima oleh burung unta dengan rasa syukur. Tetapi tidak manusia, yang lebih rela menurut Iblis yang ingkar ilmu untuk membuktikan dialah yang paling unggul dari antara makhluk Allah. Tetapi keunggulan itu dalam  bentuk ingkar ilmu, dan tempatnya telah ditentukan Allah di neraka jahanam. Inikah pilihan sarjana dan sasterawan yang ingkar ilmu?  Nampaknya begitulah, sekiranya kita menerima teksdealisme sebagai teori sastera yang mengagungkan pelanggaran sebagai unsur utama dan penting dalam mencapai keunggulan para sasterawan negara yang membuat mereka berhak berada di atas takhta keunggulan kerana telah melakukan pelanggaran yang sangat hebat dalam karya mereka. Bolehkah akal sihat menerima logik sinting ini? Tetapi kerana para sasterawan dan sarjana sastera mengaku mereka berada dalam kumpulan yang mengalami schizophrenia, maka mereka menerima “ingkar ilmu” sabagai hujah dalam bentuk pelanggaran yang diajarkan oleh Mana Sikana dan diterima dengan baik oleh semua sasterawan negara, para sarjana dan sasterawan lain.


Nota Tambahan

Dalam tahun 2014 ITBM mengadakan satu pertemuan besar dan penting yang dipanggil  Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 (SKPM), dengan penerbitan semua kertas kerja dalam buku berjudul Sastera Teras Negara Bangsa. Apakah yang diberikan oleh buku ini dan oleh para penulis kertas kerja?  Dokumen ini penting kerana ia menjadi bukti betapa karutnya tulisan yang diselaputi dan diselubungi “ingkar ilmu” yang hanya berjaya mengusutkan semua persoalan tentang peranan ilmu dalam perkembangan penulisan (akademik dan kreatif.)  Tidak ada sebuah pun kertas yang secara serius membicarakan konsep ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan tamadun manusia.  Walaupun dokumen ini penting dari segi bukti betapa hanyut dan kelirunya para sarjana dan sasterawan, namun kehadirannya pada waktu ini menjadi bukti kegagalan sastera dalam pembinaan negara bangsa, yakni dalam pembinaan tamadun Malaysia.  Para penulis kertas kerja dan ITBM sendiri tidak sedar dan tidak dapat melihat kepalsuan projek mereka kerana mereka sudah dibelenggu oleh gerakan “ingkar ilmu” yang menjadi asas perkembangan sastera Melayu moden. Inilah kecelakaan yang kita terima daripada Asas 50 yang melahirkan para sasterawan negara.



Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 16 Oktober 2016.