Thursday, July 30, 2015

MEMBERI MAKNA KEPADA KEGIATAN KREATIF BERASASKAN KONSEP ILMU YANG BENAR



Walaupun kita telah mempunyai 12 orang sasterawan negara, yang dianggap oleh para sarjana Melayu sebagai kumpulan genius dalam kesusasteraan Melayu moden, namun dari segi makna berasaskan sumbangan mereka terhadap ilmu dan kebijaksanaan terlalu sedikit, tidak ada yang dapat dibanggakan.  Saya telah menulis panjang tentang perkara ini, tetapi ditolak senyap-senyap oleh para sarjana dan sasterawan sebagai tidak relevan dengan alasan bahawa begitu ramai yang memberi pujian kepada para sasterawan negara ini, maka tentulah mereka adalah kumpulan genius yang amat besar sumbangannya dari segi pemikiran dan keaslian kreatif yang boleh dengan mudah mengalahkan kemampuan kreatif di mana-mana saja di dalam dunia ini. Kata para pengkritik dan penyokong mereka, para sasterawan negara ini adalah kumpulan genius yang sangat istimewa, dengan itu membolehkan mereka diberi anugerah oleh Yang di Pertuan Agong dengan gelaran “sasterawan negara”.  Dengan kedudukan itu, mereka berada di puncak keunggulan sebagai kumpulan baru yang jauh meninggalkan kedudukan para ulama dan cendekiawan Melayu yang tradisional.  Pujian yang diberikan oleh Panel Anugerah Sastera, seperti yang saya kutip di sana sini dalam blog ini; dan sanjungan yang begitu tinggi yang dilemparkan oleh para sarjana ketika membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara ini, seperti yang saya salin dalam blog ini, telah menjadikan para sasterawan negara ini seolah-olah kumpulan Brahmin dalam sastera Melayu, kumpulan yang sangat hebat serba-serbinya sehingga tidak mungkin dan tidak wajar diberi penilaian yang kritis, selain hanya pujian dan sanjunghan. Inilah yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, dan diberi pengiktirafan yang tinggi pula oleh seorang sarjana paling terkemuka yang banyak menulis dan menerbitkan buku-buku kritikan sastera, dengan akhirnya melahirkan teksdealisme yang diiktiraf oleh para sarjana dan sasterawan sebagai sebuah teori sastera meskipun bukan satu teori sastera.

Apakah alasan ilmiah oleh kumpulan ini untuk menerima pandirisme dan bullshit dalam sastera Melayu sebagai kemuncak pencapaian “pemikiran kreatif” para sasterawan?  Dengan kesimpulan ini, hasil karya para sasterawan, terutama karya para sasterawan negara dalam bidang kesusasteraan, menjadikan sastera layak diangkat sebagai teras negara bangsa. Dalam penelitian saya, yang dibahaskan dalam blog ini dalam beberapa entri, saya tidak dapati sebarang karya oleh para sasterawan negara, kumpulan genius itu, yang boleh diangkat untuk dijadikan teras negara bangsa jika dinilai daripada perspektif sumbangan ilmu dan pemikiran yang dapat dicontohi dan dijadikan teladan.  Supaya kesimpulan ini boleh ditolak dengan hujah dan pembuktian yang konkrit, contoh karya yang dimaksudkan sebagai teras negara bangsa itu perlu ditonjolksan dengan hujah, bukan dengan pretensi intelektual atau retorik peragaan seperti yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan para sarjana yang memberikan sanjungan tanpa analisis ilmiah. Dengan mengatakan Naratif Ogonshoto setaraf dengan Sejarah Melayu sebagai sebuah karya adab (wisdom literature) hanya boleh diterima jika diberikan sedikit analisis yang diiringi pembuktian yang tidak dapat ditolak.  Para sarjana, dan sasterawan sendiri, tidak harus membiarkan saja kesangsian masyarakat berterusan terhadap sumbangan mereka yang boleh dijadikan hujah untuk melayakkan sastera dijadikan teras negara bangsa.  Sekarang hujah itu tidak ada; malah semua karya para sasterawan negara sendiri tidak mempunyai kualiti pemikiran berteraskan konsep ilmu yang benar, walaupun ada di antara mereka yang mendakwa mereka menulis dalam kerangka epistemoligi Islam.  Berikan contohnya jika benar ada, dan contoh yang diberikan itu mestilah karya yang mempunyai kualiti yang tidak dapat digugat apabila diuji dengan penilaian yang kritis berasaskan konsep ilmu yang benar. 

Dalam dunia ilmu, jika para sasterawan ini mendakwa mereka pengembang ilmu dalam kesusasteraan,  setiap dakwaan perlukan pembuktian. Di mana pembuktian itu? Untuk dapat diterima, pembuktian itu mestilah berasaskan ukuran yang mantap, yang kebenarannya boleh diuji dengan mudah. Apakah ukuran itu? Ini pun tidak pasti, malah tidak pernah diberi perhatian dengan serius. Tiba-tiba kita diberitahu sastera adalah teras negara bangsa, padahal perbincangan mendalam tentangnya tidak wujud dalam buku yang diterbitkan oleh PENA dan ITBM itu. Dalam resolusi pun aspek ini tidak ada; sebaliknya banyak sekali resolusi untuk kepentingan peribadi kaum sasterawan ini. Yang jelas dalam resolusi ini bukan betapa pentingnya sastera dalam pembangunan negara kerana sastera memberi sumbangan besar dalam pembangunan budaya ilmu dan mengandungi unsur-unsur positif yang boleh mencerdikkan bangsa, diikuti dengan contoh daripada karya yang membina ilmu dan mencerdikkan negara bangsa itu; sebaliknya resolusi itu hanya untuk kepentingan para sasterwan yang berlindung di bawah payung Mutual Admiration Club.  Seperti yang telah dijelaskan berkali-kali, wujudnya projek sasterawan negara ini adalah untuk memberi faedah kepada para pengikut Asas 50 dan penyokong mereka; maka demikian pula projek menjadikan sastera teras negara bangsa adalah bertujuan untuk mengkanunkan kedudukan para sasterawan negara, tidak ada sangkut paut dengan kepentingan nasional mahu pun kepentingan sastera. Inilah dua kekeliruan yang perlu difahami sebelum kita dapat menerima projek menjadikan sastera teras negara bangsa itu. Kalau kekeliruan ini boleh ditolak sambil menolak kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau 1972, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, tentang para sasterawan itu golongan pinggiran yang cetek meraba-raba, sebenarnya sudah cukup baik. Mengapa perkara ini masih belum dibahaskan dengan mendalam? Tiba-tiba kita diberitahu sastera itu teras negara bangsa.  Apakah dasarnya? Apa pula ukurannya? Kalau ini tidak jelas, jangan pandai-pandai meletakkan dasar tamadun tentang perkara besar seperti ini.  Sukar dipercayai golongan sarjana sastera ini tidak mempunyai maruah akademik yang tinggi, bercakap tentang perkara yang mereka tidak pasti. Jika sastera itu memang penting, dan layak dijadikan dasar negara bangsa, kemukakan hujah dan bukti anda. Beri contoh daripada pemikiran para sasterawan negara sendiri. Baca entri bertarikh (antara lain) 24 Oktober 2014; 16 Jun 2015;  4 April 2015;  14 Januari 2015; 8 Jun 2015;  19 Januari 2015 dan lain-lain mengikut pilihan anda) untuk mendapat sedikit saranan, kalau dapat berilah sanggahan anda yang gigih.  Sanggahan ini penting untuk memastikan saya telah membuat kesilapan besar dalam huraian dan tafsiran saya.  Yang jelas kepada kita ialah kekeliruan ini perlu diteruskan untuk melindungai kumpulan Mutual Admiration Club yang ditunjangi para sasterawan negara dan diiktiraf oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Dalam analisis terakhir, semua kekeliruan dan kekacauan ini berlaku akibat kelahiran Asas 50 yang memainkan peranan penting dalam gerakan anti-ilmu dan anti-agama dalam pembinaan budaya ilmu di Malaysia.  Walaupun kesimpulan ini tepat dan disokong oleh bukti dan dokumen yang masih wujud, namun kesimpulan ini masih perlu dibahaskan supaya peranan sebenar Asas 50 dalam perkembangan intelektual di Malaysia dapat difahami dengan tepat, terutama sekali dalam kaitannya dengan pembentukan Mutual Admiration Club yang mewujudkan projek sasterawan negara, dan kini projek yang lebih besar untuk menjadikan sastera yang bersifat anti-ilmu yang benar itu sebagai teras negara bangsa. 

Sehingga sanggahan itu dikemukakan, maka buku ITBM dan PENA itu hanya bullshit, yang diilhamkan oleh novel Shit nukilan Raja Novelis Malaysia, Shahnon Ahmad. Inilah corak sastera yang ingin dijadikan teras negara bangsa. Inilah yang perlu kita tolak. Kita harus menerima hakikat bahawa kita tidak perlukan kehadiran para sasterawan yang diberi gelaran “sasterawan negara” untuk membina budaya ilmu di negara kita. Kumpulan ini sebenarnya telah merosakkan pembinaanm budaya ilmu berasaskan persuratan dan konsep ilmu yang benar apabila mereka menjadikan karya kreatif itu bersifat sekular sepenuhnya. Mereka tidak layak bercakap tentang sastera Islam, kerana mereka telah menolak konsep ilmu yang benar yang sepatutnya dijadikan teras pembangunan budaya ilmu di negara kita.  Kita harus berbincang tentang persoalan ini dalam konteks ilmu yang benar dan sesuai dengan perkembangan akademik yang telah kita lalui.  Ini bererti kita harus menolak pandirisme dalam bentuk apa sekali pun. Kini pandirisme dijadikan gerakan arus perdana dalam perkembangan budaya ilmu di Malaysia. Dan di antara penyokong pandirisme ialah para sasterawan negara sendiri. Rujukan yang saya berikan di atas membenarkan kesimpulan ini.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 30 Julai 2015





No comments:

Post a Comment