Dalam
bahagian akhir/kesimpulan entri bertarikh 19 Mac 2015, saya menulis begini:
Saya telah memberi perhatian kepada
para pelajar sastera di sekolah menengah dan universiti kerana mereka telah
dinafikan daripada mendapat pilihan terbaik dalam pendidikan sastera dengan
tidak mendedahkan mereka kepada peranan ilmu dan konsep ilmu yang benar. Dalam hal ini, mereka telah dikhianati oleh
ahli akademik yang bersikap anti-ilmu tetapi taasub kepada teori sastera Barat.
Inilah sikap yang melahirkan pandirisme dalam kritikan sastera dan dalam
pengajaran sastera. Dengan membiarkan para pelajar menjadi pengikut pandirisme,
ketika mereka telah diberi peluang untuk mempelajari sastera dan kritikan
sastera berasaskan konsep ilmu yang benar yang ditekankan oleh gagasan
Persuratan Baru, maka para pelajar ini
terus dibiarkan berada di pinggiran dalam budaya ilmu dan budaya intelektual
kita, dengan hanya dibekalkan dengan recipe
knowledge yang cetek meraba-raba, seperti yang dijelaskan dengan mendalam
oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu
(1972). Inilah sebuah buku ilmiah yang
perlu dijadikan bacaan wajib kepada para pelajar universiti, bukan buku
kritikan yang picisan yang ditulis oleh Dr. Fatimah Busu. Para pelajar sendiri
harus bersikap terbuka untuk meneliti dengan kreatif dan kritis Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua, supaya mereka tidak terus berada dalam budaya pendirisme yang sudah dijadikan
arus perdana oleh para sarjana dan pengkritik sastera yang bersikap anti-ilmu
itu. Pesan saya kepada mereka, jangan
biarkan diri anda diajar menjadi bodoh ketika anda sudah ada pilihan terbaik
untuk menjadi cerdik. Kini anda berada
dalam era naratif kritikan yang dinamik, berasaskan konsep ilmu yang benar.
Anda tidak perlu lagi berada dalam kolam pandirisme yang sudah berlumut airnya. Sebagai pelajar, anda boleh mulai untuk
berubah menjadi cerdik dengan membaca “Rumah Impian Polan Cupan” secara kreatif
dan kritis. Kualiti pemikiran dan tahap
kognitif anda boleh diukur dengan mudah dengan melihat cara anda membicarakan
karya ini.
Entri
kali ini khusus untuk para pelajar dan siswa, termasuk guru sastera. Saya tuju
khas untuk para pelajar di UPSI kerana ada di antara mereka akan jadi guru
sastera. Kita perlukan guru sastera yang
berkualiti, yang saya harap akan lahir dari UPSI khususnya. Insha Allah.
Mereka inilah yang akan mencerdikkan bangsa kita.
Perjuangan
untuk mencerdikkan bangsa Melayu ini menjadi tema kepengarangan saya sejak
remaja, baik dalam karya kreatif mahu pun dalam karya kritikan dan akademik. Tidak banyak kejayaan atau kemajuan yang saya
perolehi, tetapi telah ada sedikit kesedaran di kalangan pembaca yang kritis
untuk cuba memahami PB dengan kritis. Jumlah tidak menggusarkan saya. Yang
menggusarkan saya mengapa bangsa Melayu terlalu sukar untuk menjadi cerdik dan
merdeka dari segi pemikiran? Saya sampai kepada kesimpulan bahawa hal ini terjadi
kerana para sarjana tidak memainkan peranan mereka dengan berkesan. Sarjana juga memberi sumbangan untuk tidak mencerdikkan
para pelajar. Bila saya baca tulisan
para sarjana dan pengkritik sastera yang memuji seseorang sasterawan melebihi
langit ketujuh, maka saya selalu bertanya dengan rasa aneh yang melucukan:
Mengapa para sarjana ini memilih untuk tidak menyerlahkan kecerdikan mereka padahal tugas utama mereka ialah mencerdikkan pelajar mereka? Apabila kita baca tulisan mereka yang
berbicara tentang “pemikiran” para sasterawan negara, mereka tidak pun
menyentuh tentang “pemikiran”, hanya membuat senarai tentang kehebatan para
sasterawan negara yang bertentangan dengan karya yang mereka kupas. Agak
melucukan apabila di dalam senarai itu selalu saja disebut “pengaruh” yang
diterima oleh seseorang sasterawan negara dalam tulisan mereka. Paling jelas
ialah pujian terhadap novel Anwar Ridhwan Naratif
Ogonshoto, yang dikaitkan dengan megahnya dengan nama Machiavelli dan
konsep interteks. Adakah ini berupa faktor yang menjadikan novel itu begitu
istimewa? Bila saya baca pujian yang menyeramkan dalam kertas kerja Dr. Noriah
Taslim (“Kembali ke Akar: Menilai Genre, Pemikiran Politik dan Adab dalam Naratif Ogonshoto”) yang antara lain
berkata, “Salah satu pengalaman tekstual yang menyentuh pemikiran semasa
membaca novel ini ialah tentang beratnya muatan politik yang dikendongnya. ... Demokrasi di Ogonshoto mengikut Anwar
adalah demokrasi yang dipenuhi titik-titik kontradiksi – satu mimicy dan mockery sekali gus. ... Salah satu pemikiran politik yang menjadi
teras kebanyakan karya adab (cermin untuk raja-raja) atau hidayat silam ialah
pemikiran politik atau adab Islam. ... Semasa
meneliti karya Anwar ini saya terkesan
wujudnya kelibat-kelibat pemikiran adab yang terdapat dalam teks-teks besar
yang membicarakan tentang politik Melayu abad pertengahan seperti Sejarah Melayu dan Tuhfat al-Nafis, malah Hikayat
Raja Pasai. Teks-teks tersebut
mencernakan pemikiran politik Islam ... Naratif
Ogonshoto sama seperti karya-karya adab Melayu, menjadi sebuah cerita masa
silam yang membawa muatan moral politik yang arkaik dan berulang-ulang dalam
sejarah manusia. Novel ini melihat huru hara alam sebagai manifestasi balasan
Allah terhadap dosa-dosa manusia yang melampau; manusia diberi pelbagai
peringatan, diberi peluang untuk membersihkan dosanya, pun mereka memilih untuk
kekal dalam kemungkaran, justeru wajar menerima balasannya. Idea moral ini yang
mengintipatikan perjalanan sejarah dalam tamadun manusia silam kini dibayangkan
semula dalam karya ini sebagai amaran masa depan ... Novel ini dianggap oleh
ramai pengkritiknya sebagai “luarbiasa”. Saya amat bersetuju ...”, maka membaca semua pujian dan kekaguman ini
mambuat kita terasa ada sesuatu yang pincang kerana tidak dibahaskan secukupnya
supaya boleh difahami. Semua ini hanya sejenis
pretensi intelektual yang kaya dengan fatamorgana bahasa yang amat bertentangan
dengan kualiti sebenar novel ini, yang akan diberi penjelasannya nanti.
Dr.
Noriah Taslim menegaskan akan membincangkan novel penglipur lara itu dari segi epistemologi,
yang boleh difahami berasaskan ilmu, tetapi huraian beliau tidak menjurus ke
arah itu; sebaliknya memberi penekanan kepada beberapa aspek sastera
tradisional yang tidak langsung berkaitan dengan aspek epistemologi. Apa maksud
epistemologi pada fahaman beliau? Tentulah amat menarik jika beliau dapat
membuktikan novel picisan itu (picisan jika dinilai daripada perspektif
epistemologi) ditulis berdasarkan ilmu dan benar-benar menyerlahkan kefahaman
yang mendalam tentang “epistemologi”. Dalam pengertiannya yang paling asas, dan
paling mudah, epistemologi bermaksud teori ilmu. Teori ilmu yang bagaimana? Tentu saja bukan
epistemologi Islam, yang sumber ilmunya tidak sama dengan epistemologi Barat.
Novel
Naratif Ogonshoto tidak sedikit pun
memberi imbasan yang paling minimum sekalipun dilihat dari perspektif
epistemologi Islam. Paling tidak, adakah perwatakan utama dalam novel ini
mencerminkan hakikat insan dari perspektif epistemologi Islam? Jika benar novel ini ditulis berasaskan
epistemologi Islam, bagaimana pula semua wataknya tidak memenuhi prinsip uswatun hasanah yang difahamkan dalam Islam? Tidak satu pun watak
di dalam novel ini yang boleh dicontohi. Semua mereka adalah watak-watak
terkutuk. Para sarjana berkata novel ini mempunyai lapis-lapis makna yang kaya
dan pelbagai, seperti yang ditegaskan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam
kertas kerjanya (akan dibincang kemudian). Apa dia lapis-lapis makna yang kaya
dan pelbagai itu? Contoh-contoh yang
diberikan oleh Dr. Noriah Taslim tidak pula membuktikan adanya lapis-lapis
makna yang pelbagai yang boleh ditafsirkan dalam konteks epistemologi Islam. Sekiranya
bukan epistemologi Islam yang dimaksudkan beliau, maka kita perlu memberi
perhatian kepada klaim Anwar Ridhwan sendiri yang menegaskan bahawa novelnya
ini berwajah Islam dalam bentuk perlambangan yang anti-Islam. Maksud beliau,
wajah buruk yang anti-Islam itu perlu dibaca dalam konteks Islam supaya
terserlah dengan jelas wajah-wajah kejahatan yang mendominasi keseluruhan novel
ini. Dengan dakwaan Anwar Ridhwan ini, beliau sebenarnya telah menolak ciri-ciri Islam kerana asas penulisannya
bukan epistemologi Islam, tetapi berasaskan faham pascamodernisme yang
dibicarakan dalam konteks pascakolonial, seperti yang ditegaskan berkali-kali
oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam kertas kerjanya. Kalau inilah yang
dimaksudkan dengan pelbagai lapis makna, maka tidak terserlah sama sekali makna
yang boleh dikatakan bersifat Islam secara kabur sekali pun. Maka yang
berlapis-lapis itu tidak ada kaitan langsung dengan nilai-nilai Islam yang ditegaskan
dalam epistemologi Islam, dengan penekanan yang paling utama kepada konsep
insan dan konsep amal dalam kehidupan manusia beragama. Jika ini bukan tujuan
novel ini ditulis, oleh itu tidak boleh ditafsirkan dalam konteks epistemologi
Islam, maka apa yang disebut makna yang berlapis-lapis itu adalah makna yang
berada di luar nilai-nilai Islam. Kalau begitu, nilai siapa yang menjadi teras
novel ini? Jika kita dapat menerima kesimpulan Dr. Noriah Taslim bahawa novel
ini mempunyai keistimewaan dari segi struktur dan imaginasi, maka dalam bentuk
apa kedua-dua ciri ini membolehkan kita membuat tafsiran daripada perspektif
Islam. Dr. Noriah Taslim ada menyebut bahawa novel ini dimodelkan daripada
karya adab dalam sastera Melayu tradisional, dengan memberi rujukan kepada Sejarah Melayu. Rujukan ini terlalu
dicari-cari, bertentangan dengan konteks novel yang purely imaginative dan penuh sensasi, yang bermodelkan cerita
penglipur lara, oleh itu novel itu sendiri adalah novel penglipur lara yang
tidak kena mengena dengan karya nasihat (wisdom
literature) dalam sastera tradisional. Dalam Sejarah Melayu sendiri aspek nasihat ini adalah tambahan oleh
editor yang mengumpul cerita salasilah raja-raja itu, satu tambahan baru yang
tidak wujud dalam teks asal. Mungkin ditambah oleh Tun Seri Lanang atau Tun
Bambang yang menulis semula Sejarah Melayu
(rujuk edisi Raffles yang dirumikan oleh Abdul Rahman Haji Ismail). Dr. Noriah
Taslim menegaskan, interteks dan kecelaruan fakta sejarah adalah biasa dalam
sastera adab, kerana yang penting ialah teladan yang ingin dijadikan
pengajaran. Maksudnya, pengajaran yang
baik, menurut sastera adab Melayu, boleh didapati dalam pembohongan fakta.
Dan inilah yang dijadikan contoh oleh Naratif
Ogonshoto, jika betul bacaan saya terhadap kesimpulan Dr. Noriah Taslim. Andainya
kesimpulan saya salah sekali pun tidak penting, kerana hal ini dibenarkan dalam
sastera adab Melayu. Saya kutip kesimpulan Dr. Noriah Taslim (yang menjadi
panduan saya): “Sebagai karya historiosofi, peristiwa dipilih untuk nilai
moralnya; untuk tujuan moral – cerita rakyat, dongeng-dongeng di pelabuhan,
motif dan tema daripada pelbagai sumber disirat masuk tanpa memperhitungkan
kebenaran/kesahihan sejarahnya.” Inilah
antara lain sifat “istimewa” Naratif
Ogonshoto dan karya adab Melayu. Tentu saja ciri ini bertentangan dengan
epistemologi Islam, yang menjadi dasar penulisan Naratif Ogonshoto, seperti yang ditegaskan oleh Anwar Ridhwan dan
para sarjana yang menyanjung tinggi karya ini.
Tetapi ini dibenarkan, maka itulah Anwar Ridhwan membuat editing yang
sangat berani tentang banjir besar Nabi Nuh ‘a.s., yang terang-terang
memalsukan cerita al-Quran.
Moralnya ialah, untuk mendapat kesan sastera dalam sebuah cereka yang
imaginatif, apa juga kepalsuan boleh saja diselit atau disirat kerana ini
dibenarkan dalam sastera adab Melayu.
(Sebagai perbandingan, sila rujuk tesis sarjana Nur Fatiha Fadila binti
Abu Bakar, “Intelektualisme dalam Lima Novel Anwar Ridhwan dari Sudut Persuratan Baru” (UPM, 2014), hal.
178). Sebagai wejangan kecil, saya kutip
syair yang dibaca oleh Anwar Ridhwan dalam penerimaan anugerah sasterawan
negara: “Sastera itu adab persuratan/ Pelbagai makna serta tafsiran/ Namun
bakat serta indah penulisan/ Tentang Tuhan, makhluk-Nya dan pemikiran” (anda perlu baca
keseluruhan syair ini). Sebagai perbandingan
kecil yang tidak signifikan,
tetapi hanya sekadar “pengajaran moral” dalam sastera adab Melayu,
bandingkan dengan pandangan saya ini: “Makna
adab dalam Persuratan/ Tidak hanya pada ujaran/ Sekadar manis dalam sebutan.
/Adab sebenar terasnya ilmu/ Pembeza yang benar dengan yang semu/ Dapat
mengenal ocehan palsu./ Adab itu mutiara bermutu/ Bukan hanya longgokan batu”
(dalam entri bertarikh 4 Julai 2015).
Bahagian II
Apakah
yang “luarbiasa” dalam novel ini, seperti penegasan Dr. Noriah Taslim? Yang
dikatakan luar biasa itu ialah ciri umum
karya novel Melayu yang penuh dengan sensasi; dan dari segi ini novel ini
sangat kaya dengan sensasi untuk menarik perhatian pembaca. Semua episodnya
disensasikan begitu rupa untuk menimbulkan kesan dramatik yang palsu, yang
dibuat-buat. Novel ini adalah sebuah novel lucah dari segi idea, seperti juga
novel TIVI sebuah novel lucah dari
segi seks. Kedua-dua novel ini, jika dinilai dari segi pemikirannya, adalah
novel picisan. Sebuah novel picisan menjadi picisan kerana idea (jika ada) yang
cuba diolahnya bantut, tidak dapat diwacanakan dalam konteks naratif yang kemas
dan padat yang disusun dengan cermat
dalam satu ruang naratif yang padu, yang memberi keutamaan kepada wacana dan
ilmu dengan muatan cerita yang cocok dengan matlamat wacana tadi untuk membina
sebuah karya yang indah dan bermakna. (Untuk memahami maksud “indah dan
bermakna” ini sila rujuk Pendidikan
Estetika daripada Pendekatan Tauhid).
Sekiranya novel ini benar-benar berasaskan epistemologi Islam,
berasaskan konsep ilmu yang benar yang difahami dalam Islam (Anwar Ridhwan
membayangkannya dalam syair penerimaan anugerah, tetapi masih lagi dalam
keadaan “cetek meraba-raba”), dan berasaskan konsep adab yang ditegaskan oleh
Dr. Noriah Taslim yang difahami dalam Islam, maka perwatakannya akan memenuhi
syarat uswatun hasanah, yang
memberikan contoh terbaik dari segi moral dan nilai Islam. Semua ini tidak ada dan tidak mungkin
terdapat dalam sebuah novel yang dikosepsikan seluruhnya berasaskan imaginasi
yang tidak terkawal yang hanya mencari sensasi pada peringkat emosi rendah
manusia, yang bersifat kebinatangan. Kalau hal ini tidak jelas bagi seorang
sasterawan negara, yang klaim dia menulis sebuah karya intelektual berasaskan worldview Islam, maka hasilnya ialah
sebuah karya sensasi, sebuah penglipur lara yang hanyut dalam imaginasi
sehingga penulisnya yang klaim dia mendukung nilai-nilai Islam tetapi melakukan editing yang songsang terhadap
kisah seorang Nabi yang bertaraf Ulul Azmi.
Dalam
tulisannya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad cuba mengelak daripada pendekatan yang
dibuat oleh Dr. Noriah Taslim, dengan memilih idea Marxist yang dikonsepsikan
oleh Gramsci menggunakan istilah subaltern (bolehkah kita terjemahkan dengan istilah
Soekarno, golongan Marhaen?). Maka berkatalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dengan
penuh yakin: “Dengan kedudukan sebagai
wacana subaltern, pengarang memulakan
teks ini dengan menceritakan keburukan Presiden Ogonshoto.” Apakah yang dikatakan wacana subaltern itu? Menurut Dr. Mohamad
Saleeh Rahamad, “Episod-episod dalam Naratif
Ogonshoto mewakili suara subaltern,
iaitu golongan yang dipermainkan oleh Presiden secara konspirasi lalu membentuk
sebuah wacana yang discursive”.
Tunggu sekejap: Adakah ini bermakna suara golongan tertindas dan tertipu itu
suara dominan, atau suara diktator itulah yang dominan? Di sini kita dapat dua
tafsiran, iaitu yang diberikan oleh Dr. Noriah Taslim, dan yang diberikan oleh
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Mana satu
yang lebih tepat, atau kedua-duanya tepat, atau ada pilihan ketiga,
kedua-duanya hanya sejenis bullshit
dalam konteks idle talk semata? Saya
cuba menjawab soalan ini dalam entri bertarikh 24 Oktober 2014 dengan judul “Keunggulan yang Cacat”. Anda boleh baca, jika mahu, entri tersebut.
Bagi saya yang menarik ialah kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang
berbunyi: “Semua ini dimungkinkan oleh
kedudukan teks ini sebagai sastera rakyat, atau lebih tepat, sastera rakyat
moden, bukan lagi sastera feudal.”
Adakah ini bermakna apa yang disimpulkan oleh Dr. Noriah Taslim itu
hanya sejenis omongan saja, kerana beliau nampaknya lebih cenderung untuk
mengatakan novel ini mewakili suara feudal, dalam konteks sastera adab yang
ditonjolkan oleh beliau. Sebenarnya di sini tidak ada kontradiksi, kerana yang
jelas inilah natijah kesarjanaan yang “cetek meraba-raba” yang menolak adanya
konsep ilmu yang benar. Walau apa pun
istilah yang anda gunakan untuk menegakkan keadaan “cetek meraba-raba” itu,
anda hanya berada dalam kekeliruan besar kerana anda tidak meletakkan pilihan
anda berasaskan ilmu. Dengan itu penilaian yang anda buat terhadap novel
picisan ini adalah penilaian yang juga bersifat picisan, yang tidak menjelaskan
keadaan sebenar seperti yang dibayangkan oleh Naratif Ogonshoto sebagai hasil pemikiran yang tuntas, atau jika
anda mahu, sebagai hasil yang benar-benar berciri intelektual, bukan hanya yang
berada pada peringkat pretensi intelektual.
Nampaknya anda tidak mungkin sampai ke peringkat analisis seperti ini,
kerana alat analisis yang anda gunakan tidak boleh dipakai untuk menilai karya
ini dengan objektif dan tepat dengan keampuhan struktur yang membina karya ini
sebagai sebuah karya intelektual. Konsep yang anda gunakan sudah tumpul dan
tidak mungkin dapat digunakan dengan berkesan untuk menilai sebuah karya yang
sebenarnya sangat simple, tetapi
menjadi seolah-olah “kusut dan kompleks” kerana anda berada dalam keadaan
“cetek meraba-raba” dari segi konsep ilmu yang anda faham, sekiranya anda
mempunyai kefahaman yang baik tentang konsep ilmu. Kita dapat melihat yang
berlaku di sini ialah konsep sastera yang difaham dan dikonkritkan dalam karya
kreatif adalah konsep yang sangat cetek, yang tidak sampai ke taraf ilmu. Maka
itulah terjadi kontradiksi dalam penilaian, kerana semua penilaian itu dilakukan dalam konteks penolakan ilmu yang
benar. Jika ini diteruskan dengan
seluruh kesedaran dan kedegilan seorang sarjana ciritan, maka kita akan terus
gagal mencerdikkan bangsa kita. Kita menerima hegemoni pandirisme sebagai
ukuran, bukan hegemoni akademik yang
bersifat keilmuan.
Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad menggunakan pendekatan klise dalam kritikan sastera
Melayu, iaitu menceritakan kembali kandungan buku, dengan itu meninggalkan
begitu saja beberapa aspek penting yang disebutnya sepintas lalu. Sarjana
Melayu masih lagi menulis kritikan cerita, menyalin dengan rajin ringkasan
cerita ketika mereka diperlukan membuat analisis yang objektif. Kita ingin tahu
mengapa konsep subaltern itu begitu penting dalam karya ini, padahal karya
ini sebaliknya mengutarakan kejahatan seorang pemimpin yang dapat berkuasa
dengan cara bertindak zalim. Yang
disebut suara subaltern itu adakah
mempunyai konteks tertentu? Dia menyebut Gramsci, seorang Marxist. Kita tahu
Asas 50 sangat kuat dipengaruhi
pemikiran sosialis bercorak Marxist ini. Adakah maksud beliau novel ini
merupakan lanjutan daripada pengaruh Asas 50? Selain dari itu, apa perlunya
disebut-sebut Machiavelli? Sebuah novel
tidak menjadi agung hanya kerana menyebut nama Machiavelli. Dr. Saleeh Rahamad
sering menyebut Sejarah Melayu untuk
dikaitkan dengan Naratif Ogonshoto,
dengan komen yang menarik, “Format naratif dalam Naratif Ogonshoto mengambil bentuk teks Sejarah Melayu”, dengan episod yang bersifat mendiri tetapi secara
keseluruhannya menerangkan bahawa sesebuah negara akan runtuh akhirnya akibat
kezaliman pemerintahnya. Perbandingan
ini tidak saja tidak tepat, tetapi amat mengelirukan kerana seluruh
cerita/episod dalam Naratif Ogonshoto
berbentuk sensasi, yang tidak ada dalam Sejarah
Melayu. Pembunuhan yang ketara dalam Sejarah
Melayu bukanlah pembunuhan yang sensasi, seperti dalam Naratif Ogonshoto. Dalam
konteks Melaka, pembunuhan itu bukanlah suatu kezaliman pada zaman itu, tetapi
suatu kemestian dalam budaya yang meletakkan maruah lebih besar dan lebih
tinggi kedudukannya daripada agama dan keadilan; malah pembunuhan itu sesuatu
yang adil sama ada untuk menutup maruah atau menjaga maruah dalam konteks
menuntut bela. Untuk kembali ke zaman Melaka dan menyaring pengajaran daripada
perilaku pembesar Melaka adalah suatu pilihan yang tidak bertanggungjawab, jika
tidak diberi konteks yang betul. Apakah konteks yang betul itu? Melaka telah
memberikan satu sistem pentadbiran kepada orang Melayu yang masih diteruskan
hingga sekarang, yang kini dijadikan salah satu unsur penting dalam sistem politik
Melayu moden yang menjadikan raja-raja Melayu sebagai “the custodian of the
Malay race”! Ini sebenarnya adalah sesuatu yang amat istimewa bagi raja dan
orang Melayu sendiri. Adakah ini bermakna mereka mewarisi kezaliman Zaman
Melaka? Soalan ini tidak mungkin dijawab oleh Naratif Ogonshoto yang kelihatan sangat naif dibandingkan dengan Sejarah Melayu. Anda hanya boleh faham
hakikat ini jika anda menelitinya daripada perspektif Dua Mitos Agung dalam politik Melayu. Daripada menyebut
Machiavelli, inilah aspek politik yang perlu anda sebut, dan faham implikasinya
dalam sistem politik yang ada sekarang. Hal ini saya bayangkan dengan agak
jelas dalam Aligupit. Kalau sarjana
Melayu rajin membaca, dia mungkin bertemu dengan Aligupit, dan jika dia seorang yang pintar dan cerdik, dia akan
membuat perbandingan yang lebih menarik antara Aligupit dengan Naratif
Ogonshoto. Aligupit, sebagai
sebuah novel idea, mengajak anda berfikir dan cuba mengerti apakah yang sedang
berlaku dalam politik Melayu sekarang. Sekurang-kurangnya anda tahu bahawa kita
sebenanya mempunyai dua kerajaan. Anda akan mendapat jawapannya jika anda
membaca Aligupit dengan kreatif dan
kritis, yang anda tidak mungkin dapat daripada Naratif Ogonshoto: yang pertama itu berasaskan pemikiran; yang kedua
berasaskan sensasi.
Mengapa setiap penentangan di Tanah Melayu
mesti bercorak sosialis? Soalan ini tidak dapat dielak jika kita meneliti
sejarah perjuangan politik Melayu peringkat awal, selepas dimulai oleh para
ulama jauh sebelum itu. Dari segi sejarah, yang awal menentang penjajahan ialah
para ulama, dengan itu politik di Tanah Melayu dicorakkan oleh mereka. Mengapa
tiba-tiba berubah arah? Semua ini perlukan penjelasan, dan sang sasterawan
sendiri nampaknya menulis dalam sejenis kekosongan sejarah dengan mengambil
jalan mudah untuk berkhayal sepenuhnya, dengan itu membebaskan dirinya daripada
memahami sejarah perjuangan bangsanya. Tidak saja dia tidak berminat kepada
persoalan masyarakat Melayu yang masih mencari pemimpin besar yang boleh dipercayai
dan yang cukup berpengaruh untuk membebaskan rakyat daripada belenggu
feudalisme dan sikap tidak kritis sehingga boleh menerima apa saja yang
dilontarkan oleh ketua mereka seperti yang dapat kita lihat sekarang? Sebuah
novel besar, jika kita percaya kita memerlukan novel besar itu, harus
membicarakan masalah masyarakatnya sendiri, bukan memilih jalan khayal untuk
kononnya melontarkan idea besar sebagai karya universal yang boleh diterima di
mana saja sebagai suatu dongeng? Naratif
Ogonshoto adalah sebuah dongeng moden yang tidak berasaskan apa-apa
pemikiran filsafat yang akan membolehkannya memberi makna baru kepada dunia,
jika benarlah sarjana kita obses sangat dengan aspek universal itu. Dalam
konteks ilmu, yang disorak-sorak oleh para sarjana ini tidak bererti apa-apa,
kerana yang diperlukan oleh bangsa Melayu ialah karya-karya yang boleh
mencerdikkan mereka. Di manakah karya begitu? Novel Anwar Ridhwan ini
lebih-lebih lagi mengusutkan pembaca yang tidak kritis, dengan memberi isyarat
yang palsu tentang makna kehidupan manusia bertamadun. Apakah yang mendorong
sasterawan ini memilih kejahatan untuk diusap oleh para sarjana yang cetek
meraba-raba? Sampai bila para penulis kita hanya menyerlahkan kebolehan mereka
sebagai penglipur lara. Kita perlukan penulis yang tajam pemikirannya dan
memahami keperluan masyarakatnya. Naratif
Ogonshoto tidak dapat memenuhi fungsi intelek itu, walaupun Dr. Saleeh
Rahamad memberitahu kita novel ini memerlukan kecanggihan taakul untuk memahaminya.
Ini satu pendapat yang amat aneh apabila disuarakan oleh seorang ahli akademik,
yang nampaknya membacakan terlalu
banyak “makna” yang tidak terdapat di dalam novel ini, yang hanya diada-adakan
oleh mereka dalam konteks pretensi intelektual yang cukup kaya dengan
fatamorgana bahasa yang tidak memberi apa-apa makna yang boleh mencerdikkan
pembaca, khususnya bangsa Melayu yang masih jauh ketinggalan dalam aspek
pemikiran ini. What a let down!
Inilah yang boleh kita panggil cara berfikir “baju baru sang maharaja”, yang
hanya disedari telah ditipu oleh tukang jahit kelentong yang menggunakan
retoriknya untuk menjahitkan baju paling cantik untuk sang raja. Jika anda
teliti perilaku para sasterawan dan ahli akademik yang memuji mereka, anda akan
dapat melihat perilaku tukang jahit kelentong yang sangat pandai bermain
retorik. Kita masih berada dalam dunia yang penuh dengan pretensi retorik
peragaan yang tidak berisi sebenarnya. Barangkali di sinilah keistimewaan novel
Anwar Ridhwan ini. Jika anda tahu serba
sedikit tentang teori politik dunia, novel ini terlalu naif dan cetek dari segi
“pemikiran” politik, terutama tentang teori demokrasi yang dalam praktiknya
dipergunakan sewenang-wenang oleh “kuasa besar” dunia untuk menakluk negara
yang menolak demokrasi. Demokrasi adalah punca korupsi yang dijadikan projek
dalam pembangunan ekonomi yang ditentukan oleh pemenang pilihan raya. Satu
aspek demokrasi yang jarang dibincang di Malaysia ialah yang diungkapkan oleh
para ahli akademik dalam bidang politik sebagai “the mobilization of bias”. Untuk menang pilihan raya, parti politik
mengemukakan manifesto masing-masing, yang digunakan sepenuhnya untuk mendapat
sokongan pengundi dengan menggunakan pendekatan (strategi) “the mobilization of
bias”, yakni pengundi digerakkan untuk percaya kepada manifesto melalui teknik
“mobilization of bias”. Siapa yang banyak wang dan kuasa, berada dalam keadaan
yang selesa, oleh itulah mana-mana parti yang berkuasa akan mempertahankan
kuasanya bermati-matian melalui “mobilization of bias” itu. Inilah kekejaman tersembunyi, yang melahirkan
kezaliman ekonomi, pendidikan, penerangan/maklumat dan sebagainya. Maklumat dikawal ketat dan
digunakan untuk maksud propaganda, bukan untuk memberi maklumat yang telus. Perbincangan
tentang aspek ini terdapat dalam Aligupit,
tetapi tidak ada dalam Naratif Ogonshoto. Idea tentang dua kerajaan yang dibincang
dalam Aligupit boleh membantu
rakyat/pengundi untuk memahami bagaimana mereka tertipu dan ditipu dalam pilihan
raya dalam sistem demokrasi. Di Malaysia, demokrasi digunakan untuk
memperbodohkan rakyat supaya dengan itu mereka terus bergantung pada parti
pemerintah. Pilihan mereka ditentukan oleh pemerintah, dalam sistem demokrasi yang mengamalkan “the mobilization of bias”.
Adakah demokrasi memberi kebebasan, atau hanya janji tentang kebebasan? Dalam kritikan sastera pun begitu: pujian
yang berlebihan tidak menjanjikan apa-apa, selain dari menutup kelemahan novel
yang terserlah apabila dinilai dengan kritis dan kreatif.
Kesimpulan Kritis
Perbincangan
kritis yang diangkat di sini memberi isyarat bahawa banyak sekali yang tidak beres dalam kritikan dan
penilaian sastera. Pujian yang luar
biasa terhadap novel Naratif Ogonshoto
menimbulkan kemusykilan bersifat psikologi dan sekali gus akademik: Adakah para
sarjana yang berlumba-lumba memberikan pujian yang begitu bombastik itu akibat
dari keinginan untuk menumpang kedudukan Anwar Ridhwan, bukan kerana kualiti
novelnya yang tulen. Bagi orang yang
tidak terpesona, atau sekurang-kurangnya yang tidak lekas terpesona, novel
Anwar Ridhwan adalah begitu biasa dan cetek pengolahannya, tetapi sangat kaya
dengan sensasi yang bertaraf rendah. Sensasi yang bertaraf tinggi, jika kita
boleh berkata begitu, ialah satu episod dalam The Brothers Karamazov
apabila seorang paderi mencium kaki
seorang watak yang dianggap hina dalam novel itu, sehingga menjadi satu episod
yang terkenal dalam sastera Barat. Saya
telah mengkritik pujian yang bombastik dan keliru seperti ini dalam kertas
kerja yang dibentang dalam Seminar Jenaka Nusantara (anjuran DBP di Universiti
Malaya, 2003) ketika membicarakan novel Kawin-kawin
yang menang Hadiah Sako. Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir telah meneliti
dengan cermat penilaian terhadap novel Harga
Sebuah Maruah (rujuk makalah beliau, “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian
Sebuah Pemenang Sayembara,” kertas kerja
yang dibentangkan di Sim;posikum Kebudayaan Indonesia – Malaysia XII (SKIM XII)
anjuran bersama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universitas Padjadjaran,
Indonesia di Universiti Kebangsaan
Malaysia, Bangi, 29 – 30 November, 2011.) Analisis dan huraian Prof. Ungku Maimunah
sangat penting kerana kertas ini meneliti dengan cermat bagaimana sesuatu
keputusan pertandingan menulis dinilai. Saya salin kesimpulan beliau yang
penting, untuk menjadi renungan dan peringatan kepada para sarjana, terutama
yang menjadi penilai.
“Analisis
di atas menunjukkan wujudnya kepincangan yang amat ketara dalam penilaian dan
pengiktirafan novel HSM. Ternyata, kepakaran mantap dan mendalam
tentang sastera yang semestinya ada
bagi urusan penilaian dan pengiktirafan, jelas tidak ketara. Malah kekeliruan
dan kecetekan fahaman yang terserlah, yang seterusnya dijadikan panduan
penilaian. Analisis kritis dengan mudah dapat mendedahkan bahawa dakwaan
tentang kekuatan dan keistimewaan novel itu sebenarnya tidak mempunyai asas
yang kukuh, yang boleh dipertanggungjawabkan secara ilmiah. Malah dalam banyak
hal, dakwaan yang dibuat terang-terangan bercanggah dengan bukti dalaman novel
yang dinilai. Berdepan dengan keadaan seperti ini, adalah munasabah dan
bertanggungjawab sekiranya kepakaran yang mantap dan mendalam disyaratkan
sebagai asas penilaian, sementara laporan yang terhasil daripada penilaian
tersebut dipastikan lebih mantap dan bertanggungjawab, bukan dakwaan atau hujah
yang bersifat umum, jauh sekali retorik yang gah semata.
Kepincangan penilaian yang
diperlihatkan dalam analisis di atas menarik perhatian kepada perkara yang
lebih penting iaitu kriteria penilaian yang tertumpu pada kefahaman prioriti
cerita. Adakah kriteria penilaian seperti ini yang terbaik bagi kita dan dapat
menjamin akan terhasilnya karya yang bermutu tinggi untuk diwariskan sebagai
khazanah bangsa yang boleh dibanggakan? Ternyata kefahaman tersebut mengetepikan
ilmu iaitu teras sebuah tamadun yang berjaya. Tentu sekali mengekalkan
kefahaman yang dingin terhadap ilmu bukanlah satu pilihan yang bijak,
lebih-lebih lagi apabila ada pilihan lain, yang bertunjangkan keyakinan yang
murni dan kefahaman yang utuh terhadap keutamaan ilmu dan kerelevanannya dalam
penulisan kreatif.
PB menyediakan satu gagasan yang
jelas tentang peri pentingnya ilmu itu diutamakan, di samping peka pula
terhadap kedudukan, fungsi dan bentuk kehadiran cerita, dan dengan itu
memastikan karya kreatif dihasilkan dan dinilai dengan penuh wibawa, bebas dari
kekeliruan dan kekaburan di samping peka kepada seni. Ini adalah anjakan yang
dinamik, yang menjanjikan hasil persuratan yang tinggi ilmunya dan halus pula
seninya. Dalam konteks kesusasteraan Melayu, inilah sebenarnya anjakan yang
diperlukan.”
Naratif Ogonshoto juga menghadapi masalah yang
sama. Inikah jenis sastera yang ingin
dijadikan teras negara bangsa? Hanya Pak
Pandir yang boleh menjawab soalan cepu mas ini.
Dirgahayu pandirisme.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 21 Julai 2015.
PB menyediakan satu gagasan yang jelas tentang peri pentingnya ilmu itu diutamakan, di samping peka pula terhadap kedudukan, fungsi dan bentuk kehadiran cerita, dan dengan itu memastikan karya kreatif dihasilkan dan dinilai dengan penuh wibawa, bebas dari kekeliruan dan kekaburan di samping peka kepada seni. Ini adalah anjakan yang dinamik, yang menjanjikan hasil persuratan yang tinggi ilmunya dan halus pula seninya. Dalam konteks kesusasteraan Melayu, inilah sebenarnya anjakan yang diperlukan.”
ReplyDelete