Walaupun
kejujuran tidak penting dalam kerja-kerja akademik, namun para sarjana dan
sasterawan Melayu selalu “menampilkan” diri mereka sebagai sarjana dan
sasterawan yang jujur, dan para pengkritik mereka semuanya tidak jujur kerana
mempertikai kemampuan akademik dan kemampuan kreatif mereka, yang tidak
sepatutnya dipertikai kerana mereka telah membuktikannya dalam tulisan akademik
dan dalam karya kreatif mereka. Menurut mereka, kritikan haruslah terarah
kepada sanjungan dan pujian, sesuai dengan usaha jujur mereka menghasilkannya.
Inilah yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.
Pada pandangan Panel, apabila seseorang sasterawan telah layak diberi gelaran
sastrerawan negara, maka secara automatik semua karya mereka adalah bermutu
tinggi kerana telah diuji melalui perbincangan dan resensi buku dalam akhbar.
Menurut mereka, semua karya itu telah dikaji dengan mendalam oleh para tokoh
penyelidikan yang amat teliti membaca semua karya itu dan lebih teliti lagi
menganalisis serta membuat penilaian berasaskan ukuran universal yang diterima
oleh semua sarjana sastera dunia. Kualiti perbincangan dan resensi itu tidak
penting, kerana yang penting dan lebih utama karya mereka mendapat perhatian
dan tidak putus-putus dibicarakan oleh para sarjana dan lain-lain peminat
sastera, termasuk guru-guru sastera yang telah menggunakan karya mereka dalam
bilik darjah, oleh itu mempunyai pengalaman empirikal yang mencukupi untuk
membuat kesimpulan bahawa semua karya para sasterawan negara adalah bermutu
tinggi dan hakikat ini telah diakui dengan perbincangan yang panjang dan
beraneka ragam dalam hayat karya itu. Berasaskan andaian ini, apa juga kritikan
terhadap karya para sasterawan negara hanya menunjukkan satu perkara sahaja:
iaitu perasaan benci dan dengki orang yang mengkritik. Mereka adalah golongan
yang tidak jujur.
Di
sini kita tidak berbicara tentang logik dan penghujahan tetapi tentang moral
yang perlu ada di kalangan para pengkritik. Seorang pengkritik sastera hanya
bermoral dan mempunyai integriti jika dia menerima dengan positif karya para
sasterawan negara, tanpa mempersoalkan kualiti karya itu dan apakah ukuran yang
dipakai untuk menentukan kualiti itu. Menurut Panel Anugerah Sastera Negara,
yang menentukan kualiti dan ukuran sesebuah karya kreatif bukan pengkritik,
tetapi sasterawan itu sendiri. Inilah logik yang dipakai oleh Panel Anugerah
Sastera Negara ketika memuji karya A. Samad Said, yang terhasil daripada
kemampuan A. Samad Said meniru dan menggunakan teknik Barat ketika menulis
novelnya. Itulah juga yang dilakukan oleh Muhammad Haji Salleh yang memilih Si
Tenggang sebagai wira dan ikon sastera Melayu moden. Kedua sasterawan ini telah
memperlihatkan daya kreatif mereka yang tinggi, menurut Panel Anugerah Sastera
Negara, apabila mereka “berjaya” mengubah persepsi umum tentang pelacuran dan
kegigihan Si Tenggang untuk menjadi nakhoda yang berjaya dan kaya raya. Kedua-dua sasterawan besar ini telah mengubah
nilai masyarakat apabila mereka berjaya, melalui karya mereka, menjadikan
kejahatan sebagai pendorong kejayaan seseorang, baik dia seorang pelacur
mahupun dia seorang nakhoda. Sebaik saja ada pengkritik mempersoalkan
kesimpulan Panel Anugerah Sastera Negara, maka pada ketika itulah kesusasteraan
akan diikat dengan berbagai-bagai
peraturan yang tidak lagi mencirikan sifat tulen karya sastera yang
mesti bebas dari sebarang ikatan, terutama yang bersifat moral. Inilah yang
terjadi dalam kesusasteraan Melayu moden. Jika anda terima “logik” ini, maka
anda akan mengerti mengapa Kemala, seorang pensajak sufi menurut Panel Anugerah
Sastera Negara, menggunakan alusi Mark Antony dan Cleopatra untuk menggambarkan
cinta berahi seorang pensajak sufi.
Seperti yang disebutkan oleh Allen Bloom, Mark Antony dan Cleopatra
adalah dua orang “tokoh sufi” zaman bahari yang setiap masa mengadakan
persetubuhan sebagai kemuncak keberahian sufi mereka. (Lihat Allen Bloom, Love and Friendship, hal. 304, dengan
komen yang berbunyi: “Antony and
Cleopatra are enchanted with each other and unabashedly want to have sexual
intercourse with each other as much as possible”.)
Untuk
melihat ketinggian maqam sufi mereka,
bandingkan dengan komen Panel Anugerah
Sastera Negara dalam laporan mereka tentang kesufian Kemala dalam karya
sufinya yang universal. “Sebagai
penyair yang berjiwa besar, Kemala juga berani
menggunakan alusi daripada budaya lain seperti rujukan kepada Mark
Anthony (sic) dan Cleopatra. Perkara
ini dilakukan bukan kerana tidak ada
tokoh lain dalam kalangan penduduk tempatan, sebaliknya, penggunaan alusi asing
ini memupuk renungan tentang hukum hidup yang universal dan lumrah. Malah dalam
era globalisasi ini perlulah kita menyedari
tentang persamaan dan perbezaan antara Timur dengan Barat. Manusia,
tidak kira negara asalnya, pada dasarnya menghadapi duka lara dan peristiwa
yang amat menggembirakan dalam mengharungi lautan hidup. Justeru, alusi
daripada berbilang budaya menjadikan karya penyair ini universal. Namun demikian,
Kemala tetap bersandar kepada akar umbi Melayu dan ajaran Islam.” (Laporan 2012, hal. 20).
Apakah
reasksi anda sebagai seorang sarjana yang jujur jika anda mendengar rungutan
berupa reaksi seorang pembaca yang bukan cerdik sangat dan tidak pula sarjana
sastera, apabila kutipan di atas ditunjukkan kepadanya, lalu dia berkata: “Apa
ke jadahnya penulis laporan ini cakap? Mereka tahukah apa yang mereka cakap?
Apa konteks Kemala ketika menyebut nama dua orang sufi universal ini? Aku tak faham apa maksud penulis laporan ini
bila mereka berkata Kemala tetap bersandar kepada akar umbi Melayu dan ajaran
Islam kerana memberi contoh alusi ini? Apa jenis sampah yang dilemparkan oleh
penulis laporan ini?”
Walaupun
yang memberi komen tidak berapa cerdik dan tidak pula seorang sarjana sastera,
namun ada juga logiknya komen itu, yang mungkin lebih cerdik daripada komen
Panel Anugerah Sastera Negara sendiri. Supaya perkara ini tidak berlarutan
menjadi kemusykilan, ada baiknya jika ada di antara sarjana kita memberi sedikit
penjelasan apa yang dimaksudkan oleh Panel dan apakah kaitannya dengan
sajak-sajak sufi Kemala. Kalau apa yang disebut oleh Allen Bloom itu betul (dia
tidak ada apa-apa keperluan untuk berbohong), dan kita berpegang kepada komen
Panel, maka bolehkah kita berkata itulah sifat sajak sufi Kemala, yang dalam
bahasa Mana Sikana, telah melanggar kebiasaan dan dengan itu melayakkannya
diletak di takhta keunggulan?
Walaupun
kita tidak dibenarkan mengkritik Panel Anugerah Sastera Negara, kerana kritikan
itu bererti mengkritik para sasterawan negara sendiri yang tidak boleh
dikritik, namun dalam perkara seserius ini, kita memerlukan sedikit penjelasan
supaya sifat kesufian sajak-sajak Kemala itu benar-benar terserlah dan Kemala
benar-benar “menghadiahkan kepada perbendaharaan kesusasteraan Melayu puisi
yang indah, mempunyai gaya khas yang tersendiri, dan sarat dengan renungan jiwa
yang mendalam” (Laporan 2012,
hal. 20). Kesimpulan ini sangat istimewa, sehingga
memerlukan penjelasan, dan mungkin juga perbahasan, yang tidak diberikan oleh
Panel dalam laporan mereka. Walaupun kita tidak dibenarkan mengkritik laporan
Panel, namun tidak salah jika kita meminta mereka lebih bertanggungjawab dalam
analisis dan penilaian mereka, tidak sekadar melemparkan pendapat yang tidak
dihujahkan dengan mantap dan tidak pula dibuktikan.
Dalam
sastera Melayu moden, keadaan ini
digambarkan oleh Shahnon Ahmad dengan cantik sekali dalam novelnya, TIVI, yang menurutnya sebuah novel sufi
tertinggi berasaskan ajaran Quran yang menghukum manusia berdosa. Novel sufi
ini memaparkan persetubuhan bebas inter-keluarga antara anak perempuan dan ayah
mereka, kononnya kerana pengaruh TV. Mana Sikana telah memuji novel sufi ini
sebagai berikut, “Dalam konteks teks-teks keislaman Shahnon Ahmad ini, saya
cuba hubungkan dengan konsumer pascamoden, apabila citraan erotis anutan
golongan pascamodenis berupa umpan atau daya tarikan. Teks-teks pastik, kitsch, skizofrenia dan povalensik mempunyai unsur erotis.
Keadaan sedemikian sesuai dengan masyarakat Barat yang segala-galanya nihilistik,
namun percikannya dapat dirasakan bertaburan dalam masyarakat kita. Dengan
berpandangan sedemikian, aliran sastera Islam Shahnon Ahmad selari dengan dunia
pascamoden terkini. Malah, jika dilihat dalam konteks masa, TIVI itu sendiri mempunyai unsur teks hipermodenisme, iaitu zaman yang sedang
menanti selepas pascamodenisme, sebagai tanda menjelangnya alaf ketiga. Novel tersebut menyuguhkan gambaran begitu superrealistik atau hiperrealistik, terutama dalam memberi lukisan tentang bagaimana
berlakunya siberseks dalam kalangan
keluarga. Ertinya, novel berunsur Islam dalam tanggapan Shahnon Ahmad ditandai
oleh transparensi sosial. Dengan keterangan itu, saya melihat bahawa
sastera Islam Shahnon Ahmad sempurna dari segi teoretisnya dan selari dengan
suasana masyarakat pascamden dan hipermoden. Maka di situlah kekuatan dan keistimewaan
sastera Islamnya justreu selari dengan zamannya ...” (hal. 38-39, Sasterawan
Negara di Takhta Keunggulan, ITBM 2015.
Huruf condong ditambah). Buku
“penting” Mana Sikana ini ada kemungkinan akan terpilih sebagai buku kritikan
sastera terbaik tahun terbitnya yang akan dinilai oleh panel penilai Hadiah
Sastera Perdana Malaysia, seperti terpilihnya karya picisan tentang feminisme, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan
Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik.
Bahagian II
Dalam
Bahagian I, saya telah memberi sedikit
gambaran tentang realiti yang berlaku dalam sastera Melayu moden, yang
menghambakan diri kepada teori sastera Barat dan dengan itu menilai karya
kreatif daripada perspektif teori sastera Barat. Apabila para pelajar sastera menjadi lebih
cerdik dan lebih terbuka kepada konsep ilmu yang benar yang diajarkan dalam
Islam, mereka akan mengutuk semua para sasterawan negara dan para sarjana yang
meletakkan mereka di atas takhta keunggulan yang palsu sebagai golongan yang
tidak berilmu yang menjadikan kegiatan kreatif dan kegiatan akademik sebagai wadah
untuk memperbodohkan masyarakat untuk menerima nilai-nilai palsu yang mereka
bawa berasaskan pengaruh Barat yang mereka terima tanpa sebarang penapisan
kritis berasaskan konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam. Contoh-contoh yang diambil daripada Panel
Anugerah Sastera Negara dan daripada para sasterawan negara sendiri menjadi
bukti tentang kepalsuan yang dimaksudkan di sini, dilihat daripada sudut
epistemologi Islam. Kita telah melihat bagaimana Panel Anugerah Sastera Negara
menghina konsep sufi dan para penulis karya sufi dalam Islam dengan menjadikan
sebutan ke atas Mark Antony dan Cleopatra sebagai ukuran untuk membolehkan
seorang pensajak sufi (kononnya) mencapai taraf antarabangsa yang memang
menjadi idaman para sasterawan negara. Kita juga telah melihat kepalsuan hujah
Mana Sikana ketika mempertahankan “konsep sastera Islam Shahnon Ahmad” yang
didapatinya menayangkan kemesuman budaya Barat moden yang dinamakan
pascamodenisme itu, dengan memberi contoh novel Shahnon TIVI sebagai novel sufi seperti yang didakwa oleh Shahnon Ahmad
sendiri (Dewan Sastera, Oktober
1997). Semua ini adalah contoh kepalsuan
yang lahir daripada pengaruh teori sastera Barat, yang menolak bulat-bulat
epistemologi Islam tentang konsep ilmu yang benar. Inilah pegangan para
sasterawan, dan khususnya para sasterawan negara, serta para sarjana yang
menyokong mereka. Sebaik saja para pelajar sastera diberi pendedahan tentang
konsep ilmu yang benar, dan pendedahan tentang kekeliruan yang mengusutkan
dalam teori sastera Barat, maka para pelajar yang sudah celik mata ini akan
mengutuk ahli akademik yang telah menyelewengkan mereka dengan memaksa mereka
menerima sasterawan negara padahal mereka, para sastrerawan negara ini, tidak
mempunyai apa-apa mesej yang akan membolehkan mereka (masyarakat dan para
pelajar) menjadi cerdik dan sensitif kepada nilai yang tinggi dalam penilaian
karya kreatif, berasasksn konsep ilmu yang benar. Para ahli akademik juga akan
menerima kutukan sebaik saja kesedaran kepada konsep ilmu yang benar itu
didedahkan kepada para pelajar sastera, di samping pendedahan kepada kepalsuan
teori-teori sastera Barat. Mereka akan lebih bijak membuat pilihan berasaskan
ilmu, bukan lagi berasaskan hawa nafsu budaya hawa nafsu (the sensate culture) yang kini diberi promosi yang begitu gigih
oleh para sasterawan negara dan ahli akademik yang menyokong dan menyanjung
mereka, seperti yang ditunjukkan oleh Mana Sikana yang menerima kekeliruan dan
penyelewengan Shahnon Ahmad tentang konsep dan matlamat sastera Islam. Tulisan
beliau dalam Dewan Sastera Oktober
1997 adalah contoh pembohongan yang amat nyata tentang kekeliruan beliau
tentang konsep ilmu dan konsep sastera Islam, menggunakan al-Quran sebagai
hujah untuk mempertahankan kekeliruan dan penyelewengan faham sastera beliau. Agama
telah dijual begitu murah untuk
mempertahankan karya picisan.
Kunci
penilaian yang betul dan tepat dengan kualiti karya ialah cara bacaan yang
betul, berasaskan ukuran yang dapat diuji ketepatannya. Prof. Ungku Maimunah
Mohd. Tahir telah menulis dengan agak terperinci cara bacaan Persuratan Baru
dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi
kedua. Sila rujuk di sana untuk mendapat maklumat mengenai cara bacaan
Persuratan Baru. Prof. Ungku Maimunah juga telah menunjukkan dalam beberapa
tulisannya mengenai bacaan yang salah akan melahirkan penilaian yang salah.
Lihat tulisan beliau dalam Ilmu: Teras Persuratan
Melayu, edisi kedua (akan terbit). Saya sendiri telah membuat beberapa
analisis tentang bacaan Panel Anugerah Sastrera Negara yang tidak tepat,
antaranya dalam “Keunggulan yang Cacat” (dalam blog ini, bertarikh 28 Oktober
2014). Menggunakan cara bacaan yang
betul adalah penting untuk memastikan analisis kita tepat dan penilaian yang
dibuat benar-benar berasaskan kualiti karya berkenaan. Bacaan yang salah dan tidak berasaskan ukuran
yang boleh diuji ketepatannya akan melahirkan tafsiran yang bercorak bullshit, yang tidak mencerminkan
kualiti sebenar sesebuah karya. Inilah cara bacaan teksdealisme Mana Sikana,
yang hasilnya hanya longgokan bullshit
semata-mata. (Penjelasan tentang bullshit
dalam entri 10/3/2015, “Pandirisme dalam Komuniti Dunia”.)
Dengan munculnya
Gagasan Persuratan Baru dalam gelanggang kritikan sastera Melayu, para sarjana
dan pelajar mereka di setiap peringkat pengajian di universiti perlulah
memahami Gagasan Persuratan Baru supaya tidak kelihatan terlalu ketinggalan
zaman dalam pemikiran tentang kritikan sastera yang kini berada di
tengah-tengah gelanggang sastera Melayu. Sebagai pendekatan kritikan yang
berasaskan konsep ilmu yang benar dalam Islam, Persuratan Baru mencabar semua
teori sastera dunia, tanpa kecuali, untuk membuktikan bahawa bacaan berasaskan
teori-teori Barat dan lain-lain adalah berbeza dengan bacaan yang dianjurkan
oleh Persuratan Baru. Perbezaan itu telah dihuraikan dengan mendalam dalam
tulisan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua. Sila lihat di sana. Memahami perbezaan ini adalah satu kewajiban
akademik dan kewajiban intelektual yang tidak dapat diabaikan oleh sesiapa juga
yang ingin berbicara dengan ilmiah tentang kesusasteraan dan karya
kreatif. Selepas kemunculan Persuratan
Baru dalam dunia kritikan sastera Melayu, kita dapat melihat dengan jelas
kumpulan sarjana ciritan yang sebelumnya tidak disedari kewujudannya. Kumpulan sarjana ciritan ini telah berjaya
mewujudkan Mutual Admiration Club di kalangan para sasterawan dan sarjana, yang
akhirnya berjaya memilih sekumpulan yang dipanggil “sasterawan negara” di
kalangan mereka. Dalam tahun 1973, sewaktu membentangkan sebuah kertas kerja di
Seminar Kritik Sastera 1973 (seminar pertama kritikan), seorang sarjana bernama
Dr. Muhammad Haji Salleh, penulis sajak “Batu-batu” yang terkenal kerana
dikritik hebat oleh para sasterawan, telah mengutuk kemunculan Mutual Admiration
Club dalam sastera Melayu. Lihat kutipan panjang tentang perkara ini dalam
entri bertajuk, BEBERAPA PERKEMBANGAN MENGGALAKKAN DALAM SASTERA MELAYU:
Kemunculan Mutual Admiration Club di Kalangan Para Sasterawan Negara dan
Penyokong Mereka (entri bertarikh 14 Ogos 2013). Disalin sedikit sedutan:
“Sebagai seorang
pengadil, seorang kritikus itu bukanlah manusia yang mudah bertolak angsur di
dalam hal nilai-nilai sastera – yang mungkin dilonggarkan untuk kawan-kawannya
dan diperketatkan untuk musuhnya. Tulisan begini sebenarnya bukanlah kritikan
tapi propaganda: dan ini leluasa sekali pada hari ini. Ada kumpulan-kumpulan
penulis yang saling memuji antara satu sama lain sebagai ahli-ahli suatu mutual admiration club. Di dalam kumpulan-kumpulan begini
penulis-penulis yang terlalu sederhana kebolehannya dan daya kreatifnya ataupun
fikirannya dipuji tinggi-tinggi dan dibandingkan dengan pujangga yang besar di
Barat. Atau pun dicarinya saja
sifat-sifat yang baik dan dibesar-besarkannya,
dan dibutakannya mata penilainya kepada keburukannya”. (Dalam Kritik Sastera di Malaysia, KKBS 1975, hal. 66).
Selepas diwujudkan gelaran sasterawan negara
1981, Mutual Admiration Club muncul
sebagai satu gerakan yang amat berpengaruh dalam sastera Melayu moden, diketuai
oleh Prof. Muhammad Haji Salleh sendiri yang menjadi salah seorang anggota
Panel yang memilih sasterawan negara 1981.
Beliau sendiri diberi gelaran itu sepuluh tahun kemudian, dalam tahun
1991. Bukti paling kukuh betapa besarnya pengaruh Mutual Admiration Club ini
ialah dengan pemilihan Baha Zain sebagai sasterawan negara 2013 sebagai
sasterawan negara ke 12. Pemilihan beliau ditentang hebat oleh Shahnon Ahmad
yang berpendapat Baha Zain tidak layak diberi kedudukan itu kerana beliau hanya
menulis sajak-sajak kontot. Ketika membuat kritikan ini, Shahnon Ahmad mungkin
lupa bahawa Baha Zain, bersama Dr. Muhammad Haji Salleh adalah antara anggota
Panel terawal (anggota pelopor?) Panel Anugerah Sastera Negara. Rujuk senarai anggota
Panel 1981 (Dr. Muhammad Haji Salleh) dan 1985 (Baha Zain duduk bersama Dr.
Muhammad Haji Salleh dan Y. Bhg. Datuk
Prof. Haji Shahnon Ahmad sebagai anggota panel untuk memilih A. Samad Said
sebagai sasterawan negara. Sebelum itu A. Samad Said adalah anggota Panel, yang
sejak 1981 dilantik sebagai anggota Panel).
Sekadar satu makluman yang mungkin boleh menarik perhatian, A. Samad
Said setelah dipilih sebagai sasterawan negara, memberitahu saya secara lisan
bahawa dia “terpaksa” terima anugerah itu setelah didesak oleh kawan-kawan. Dia
telah menolaknya ketika dicadangkan kali pertama.
Setelah tiada lagi sasterawan yang layak
diberi gelaran sasterawan negara, maka Panel memilih Baha Zain sebagai
sasterawan negara 12 (2013). Tentu saja pemilihannya tiada kaitan dengan Mutual
Admiration Club; tetapi timbul kemusykilan mengapa Baha Zain diketepikan begitu
lama? Dalam masa yang panjang itu, menurut Shahnon Ahmad, tiada karya yang outstanding yang dihasilkan oleh Baha
Zain yang melayakkannya untuk dijadikan sasterawan negara. Hanya selepas beliau
dilantik sebagai sasterawan negara barulah karya lamanya menjadi outstanding. Sekali lagi Shahnon Ahmad
terlupa bahawa memang tidak ada di antara sasterawan negara itu yang betul-betul
menghasilkan karya yang outstanding
itu. Hanya selepas dipilih sebagai sasterawan negara barulah mereka didapati
menghasilkan karya yang outstanding. Cerita ini agak rumit dan panjang ceritanya
untuk difahami; tetapi konsep Mutual Admiration Club yang diberikan oleh Dr.
Muhammad Haji Salleh 1973 dan dikutuknya ketika itu, nampaknya memainkan
peranan yang besar dalam pemilihan sasterawan negara ini dan dalam menentukan
kualiti karya mereka. Nampaknya terdapat semacam pembinaan mitos yang dirancang
dan disengajakan. Sekadar penjelasan cetek tentang persoalan ini, anda boleh
rujuk entri bertarikh 28 Oktober 2014, “Keunggulan yang Cacat”. Tajuknya agak lucu, sesuai dengan hakikat
yang terserlah apabila karya para sasterawan negara ini dinilai dari perspektif
Persuratan Baru berasaskan konsep ilmu yang benar. Tidak seorang pun di antara para sasterawan
negara ini boleh bertahan jika dianalisis dan dinilai daripada perspektif ilmu.
Mereka perlukan teori sastera Barat untuk mengunggulkan karya mereka sehingga
layak didudukkan di takhta keunggulan menurut teksdealisme Mana Sikana. Semua
ini, jika dilihat daripada perspektif konsep ilmu yang benar, adalah lambang
pandirisme, bukan lambang pemikir yang
layak diberi kedudukan lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan
Melayu yang telah membina budaya ilmu melalui persuratan Melayu. Para sasterawan, termasuk sasterawan negara,
tidak sedar bahawa mereka telah mengetepikan dengan angkuh tradisi intelektual
Melayu yang dibina melalui persuratan Melayu yang berasaskan konsep ilmu yang
benar yang diajar oleh Islam, apabila mereka menolak tradisi bersumber ilmu
yang benar itu dengan mengambil teori sastera Barat sebagai panduan dan
perlindungan. Mereka telah meletakkan diri mereka dalam kandang perhambaan
intelektual dan berasa amat selesa menjadi jurucakap teori sastera Barat.
Mereka menjadi buntu, terhuyung-hayang dalam kekeliruan ilmu, sambil menjerit
lantang bahawa mereka adalah ahli waris sastera dunia. Dalam Sidang Kemuncak
Penulis Malaysia 2014, mereka menegaskan bahawa mereka harus dilonjakkan oleh
Kerajaan Barisan Nasional untuk menjadi warga negara sasterawan dunia. Sidang
Kemuncak tidak langsung membicarakan
konsep ilmu yang benar dan peranan ilmu dalam penulisan kreatif. Mereka anggap
perkara itu terjadi secara tabii, tidak perlu diberi penekanan. Tetapi anggapan
ini ternyata salah dan menyeleweng, seperti yang mereka lahirkan dalam karya
mereka dan telah dibicarakan dengan kritis dalam blog ini. Sekali lagi, bacalah
dengan kritis entri “Keunggulan yang Cacat” dan kritikan terhadap teksdealisme
kerana memberi gambaran yang salah tentang sasterawan negara. “Keunggulan yang
Cacat” berdiri di gelanggang kritikan untuk mencabar para pengikut teksdealisme
bahawa mereka adalah kumpulan yang tidak bertanggungjawab dari segi ilmu
apabila mereka mendewakan modenisme dan pascamodenisme dengan menjadikan
nilai-nilai Islam mesti serasi dengan pascamodenisme dan haipermodenisme,
seperti yang diisytiharkan oleh Mana Sikana dalam bukunya Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan. (Rujuk, antara lain, hal. 37, perenggan 3,
hingga hal. 39). Kesimpulan Mana Sikana
di sini tidak saja cacat, tetapi yang lebih penting kesimpulan ini bertentangan
dengan Islam. Tidak mungkin Mana Sikana membawa ajaran sesat dalam kritikan
sastera; yang jelas beliau tidak mempunyai konsep ilmu yang jelas, dan tidak
menerima konsep ilmu yang benar dalam Islam. Baginya, semuanya relatif, selalu
berubah, dan itulah makna universalisme dalam sastera menurut fahamannya yang
dicedok secara total daripada faham sastera Barat. Itulah makna kemajuan dalam
sastera, menurut pencetus teksdealisme ini, yang pada hakikatnya tidak lebih
hanya sejenis bullshit saja.
Penjelasan lanjut tentang bullshit
boleh dibaca dalam entri bertajuk, “Pandirisme Dalam Komuniti Dunia”.
Memahami
aspek bullshit dalam sastera Melayu
ini penting bagi sesiapa juga yang berminat dalam sastera, terutama para
pelajar dan guru-guru mereka ahli akademik.
Sastera Melayu moden terlalu kaya dengan unsur bullshit ini sehingga kebiasaan berada dalam dunia bullshit ini menumpulkan daya berfikir
golongan yang sepatutnya boleh berfikir, seperti para sarjana dan pengkritik
sastera. Kerana terlalu gelojoh dengan budaya bullshit, seorang sasterawan negara dan seorang profesor emeritus
yang dihormati kepakaran sasteranya tidak mempunyai perasaan malu dan bangga
dengan maruah intelektualnya sehingga dia sanggup memperbodohkan dirinya
sendiri dalam keangkuhan bullshitnya
dengan memberi wejangan kepada sasterawan Melayu untuk meniru Salman Rushdie. Adakah
ini satu tindakan atau wejangan yang siuman?
Kegilaan seperti ini hanya terjadi apabila anda berada dalam budaya bullshit dan tidak tahu pula anda berada
dalam budaya itu. Kalau kita mahu, kita boleh berkata inilah tragedi
intelektual yang tidak sepatutnya wujud di kalangan para sarjana dan sasterawan
kita. Semuanya ini akibat daripada sikap
anti-ilmu yang benar. Mereka sepatutnya cekap dan pintar membaca ayat-ayat
Allah, bukan tenggelam dalam dunia gelita meraba-meraba dalam bimbingan
syaitan. Hal ini memang diberi peringatan dalam al-Quran, dan anda tidak patut
berasa tersinggung jika anda diberi peringatan.
Sekiranya anda seorang sarjana atau pengkritik sastera, anda tidak
sepatutnya bangga menjadi sarjana ciritan.
Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 telah
mengemukakan satu tajuk perbincangan yang penting tentang arah tuju sastera
Melayu, diberi tajuk yang cukup menarik, “Wajah sastera Malaysia: Seharusnya
bagaimana?” Tetapi buku terbitan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, tidak cuba
menjawab soalan tadi dalam konteks yang jelas.
Isi kandungan buku itu berserabut dengan kekeliruan liar yang diberi
kebebasan penuh untuk mencampakkan semua perbincangan dalam pretensi
intelektual yang penuh dengan fatamorgana bahasa yang hanya menyerlahkan unsur ‘iwajan berasaskan sepenuhnya kepada
kehendak budaya hawa nafsu yang hedonistik (the
sensate culture of hedonism) seperti yang dihuraikan dengan mendalam oleh
Pitirim A. Sorokin dalam bukunya, The Crisis of Our Age (New York: E. P.
Dutton & Co., Inc., 1941). Sebagai
para sarjana yang jujur yang selalu menekankan betapa perlunya kejujuran
akademik dalam perbincangan tentang sastera, mereka seharusnya cuba memberikan
penjelasan seberapa jelas yang boleh tentang wajah sastera Malaysia yang mereka
mahu jadikan teras negara bangsa itu. Mengapa ini tidak dilakukan? Soalan ini
perlu diberi jawapan, kerana mereka yang mendakwa mereka adalah paling jujur
dalam kegiatan akademik, tidak sedikit pun menampakkan kejujuran itu dalam
konteks adab yang selalu mereka jadikan tuduhan liar bahawa sesiapa juga yang
mempersoalkan kejujuran mereka adalah biadab dan tidak diplomatik. Bagaimana
mereka boleh klaim merekalah golongan yang paling beradab dan berakhlak tinggi
jika mereka sendiri sebenarnya tidak tahu makna adab dalam konteks yang betul
seperti yang dibicarakan dengan mendalam oleh Prof. Syed Muhammad Naquib
al-Attas? Jika mereka tolak penjelasan Prof. Al-Attas, maka apakah jenis adab
yang mereka perjuangkan dan ingin dijadikan teras negara bangsa? Inilah makna
kejujuran akademik, dan maksud adab yang sebenar: mereka dituntut untuk tidak
menolak sesuatu idea tanpa perbahasan yang mendalam dan jelas; mereka juga
dituntut untuk menyerlahkan ketinggian adab mereka dengan menerima sesuatu idea
setelah mereka tidak dapat mematahkan hujah yang dikemukakan oleh idea
berkenaan. Inilah makna yang dibawa oleh konsep ilmu yang benar yang selalu
diulang-ulang, yang melahirkan adab, yang memberi akibat kehilangan adab itu
munculnya para pemimpin palsu dalam semua bidang kehidupan, termasuk dalam
bidang sastera. Adakah para sarjana ciritan ini begitu yakin bahawa merekalah
pemimpin tulen dalam bidang kesusasteraan, sehingga membolehkan mereka mengemukakan
gesaan yang begitu berani bahawa sastera harus dijadikan teras negara bangsa?
Untuk dapat dijadikan teras negara bangsa, mereka perlu menjelaskan arah tuju
sastera seperti yang mereka ajukan dalam tajuk, “Wajah sastera Malaysia,
seharusnya bagaimana?” Adakah wajah sastera Malaysia itu seperti yang
ditunjukkan oleh para sasterawan negara dalam karya mereka? Saya telah
menolaknya dengan hujah-hujah yang kuat, dan sebagai kumpulan sarjana dan ahli
akademik yang jujur dan beradab, anda perlu mengemukakan hujah anda pula
mengapa sumbangan para sasterawan negara itu boleh dijadikan teras pembinaan
budaya ilmu di Malaysia? Saya kira satu permintaan yang wajar, tetapi tidak
diberikan dalam buku Sastera Teras Negara
Bangsa. Saya tidak keberatan
menerima keangkuhan akademik anda, yang dengan gelojoh menuduh semua pendapat
yang anda tidak setuju sebagai biadab. Tetapi anda harus buktikan pendapat anda
itulah yang terbaik, dengan mengemukakan hujah yang tegas dan jelas. Mengapa
anda tidak mahu lakukan ini? Sastera
Teras Negara Bangsa tidak memberikannya; tidak juga terdapat dalam karya para
sasterawan negara. Ke manakah arah tuju
Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 yang melahirkan Sastera Teras Negara Bangsa? Sampai bila anda harus bermain dengan
retorik? Keempat-empat sasterawan negara
yang menulis kertas kerja dalam buku ini telah gagal memberikan arah tuju yang
anda sendiri kemukakan dalam pertanyaan, “Wajah sastera Malaysia, seharusnya
bagaimana?” Yang boleh menjawab soalan
itu Gagasan Persuratan Baru, yang anda tolak. Di manakah kejujuran akademik
anda?
Makna adab dalam Persuratan
Tidak hanya pada ujaran
Sekadar manis dalam sebutan.
Adab sebenar terasnya ilmu
Pembeza yang benar dengan yang semu
Dapat mengenal ocehan palsu.
Adab itu mutiara bermutu
Bukan hanya longgokan batu.
Mohd. Affandi Hassan,
2 Julai 2015.
No comments:
Post a Comment