Saturday, July 25, 2015

JANGAN MALUKAN DUNIA AKADEMIK DAN CEMARKAN KEBUDAYAAN MALAYSIA



Buku PENA yang diterbitkan oleh ITBM (sebagai penyelenggara bersama) yang memakai judul, Sastera Teras Negara Bangsa,  telah dibahaskan dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 dan satu resolusi yang panjang telah dipersetujui dan dikemukakan kepada kerajaan.  Sebagai langkah utama untuk melaksanakan resolusi itu, novel Anwar Ridhwan, Naratif Ogonshoto, telah diterima oleh kerajaan untuk dijadikan buku teks.  Menurut para sarjana Malaysia, dan seorang sarjana Russia, novel ini adalah yang terbaik pernah ditulis dan diterbitkan di Malaysia, dan telah menerima hampir semua hadiah yang disediakan oleh kerajaan, sampai ke seluruh Nusantara. Jika kita terima keputusan para sarjana, novel ini akan kekal sebagai novel terbaik yang pernah ditulis di Malaysia. Tetapi dalam entri yang baru lepas, saya telah mengemukakan pandangan saya yang berbeza, tetapi adil dan berwibawa, berasaskan prinsip-prinsip tertentu, maka novel Naratif Ogonshoto ini tidak dapat diterima sebagai novel teragung di Malaysia. Saya telah menghuraikannya dalam satu analisis yang mantap, dalam erti ulasan itu berasaskan konsep tertentu yang boleh diuji kebenarannya sebagai satu penilaian yang wajar dan adil.

Sekarang timbul dua soalan penting: (1) Ada masalah untuk menjadikan novel ini teks di sekolah-sekolah, kerana novel ini sukar diterima sebagai sebuah novel yang bermutu jika dinilai daripada perspektif konsep ilmu yang benar, yang menjadi asas novel ini sendiri menurut pengarangnya, tetapi tidak terdapat di dalam novel itu sendiri.  Dengan perincian yang dibahaskan, yang diasaskan kepada beberapa pendapat sarjana terkenal Malaysia, kesimpulan yang diperolehi ialah novel ini tidak sedikit pun menggambarkan dan tidak juga berasaskan worldview Islam.  Jika keputusan menjadikan novel ini buku teks sastera diteruskan, walaupun bertentangan dengan worldview Islam, di samping terdapat salah tafsir yang serius tentang peristiwa banjir Nabi Nuh ‘a.s, dan keghairahan melampau menjadikan kejahatan sebagai tema utama, maka jika diteruskan juga keputusan itu, secara logik novel ini seolah-olah dijadikan bahan bukti bahawa sastera layak dijadikan teras negara bangsa.  Benarkah begitu? Pendapat saya amat berbeza: jika novel yang dikatakan terbaik ini, sebagai hasil sastera yang dangkal, tidak layak dijadikan teras negara bangsa, maka pada keseluruhannya karya sastera yang dikatakan lebih rendah mutunya daripada novel ini, tentulah tidak layak dijadikan teras negara bangsa.  Sekarang, apakah hujah yang boleh dikemukakan oleh para sarjana dan sasterawan sendiri yang melayakkan sastera dijadikan teras negara bangsa.  Kesan yang saya dapat, para sarjana dan sasterawan menyerahkan penilaian itu kepada generasi akan datang menentukannya. Bagi mereka, yang penting kegiatan kesusasteraan yang melahirkan karya dalam berbagai-bagai genre adalah kegiatan yang bermanfaat kepada masyarakat, tidak kira sama ada bermutu atau tidak; tidak kira juga bagaimana sekali pun isinya, termasuk nilai-nilai yang diserlahkannya. Semua ini, kata mereka, bergantung pada tafsiran, oleh itu tidak terikat pada kualiti karya itu. Sekali imbas kedengaran hujah ini seolah-olah munasabah, tetapi jika kita menelitinya daripada perspektif matlamat dan kesan karya itu dalam masyarakat, maka kita akan dapati inilah contoh “pemikiran” yang bersifat ‘iwajan yang saya bangkitkan dalam entri bertarikh 16 Jun 2015. Dalam penelitian saya, karya sastera penuh dengan unsur ‘iwajan ini, dengan itu tidak layak dijadikan teras pembinaan tamadun bangsa seperti yang dikehendaki oleh ITBM dan PENA dalam buku mereka.  Oleh sebab perkara ini sangat penting, perbahasan yang terperinci amat diperlukan dan keputusannya tidak boleh diserahkan kepada generasi yang akan datang, setelah segala-galanya rosak.  Sebagai kumpulan yang mendakwa mereka adalah golongan yang jujur, para sarjana dan sasterawan ini perlu membuktikannya dalam tindakan mereka yang bijaksana, bukan yang berasaskan kepada keperluan Mutual Admiration Club.  Saya maksudkan dengan tindakan yang bijaksana itu ialah kesediaan mereka meneliti hujah-hujah yang berbeza dengan pendapat mereka supaya keputusan yang dibuat tentang novel Naratif Ogonshoto dan gerakan menjadikan sastera sebagai teras negara bangsa itu diterima sebagai satu penyelewengan kebudayaan dan penyelewengan intelektual yang bertentangan dengan konsep ilmu yang benar dalam epistemologi Islam.

Soalan pertama tadi membawa kita kepada soalan (2): Kalau itulah kedudukannya, yakni sastera tidak layak dan tidak dapat dijadikan teras negara bangsa, maka bagaimana pula kedudukan para sasterawan negara dan karya mereka? Sebelum kita menjawab soalan ini, kita perlu tahu dengan pasti mengapa projek sasterawan negara ini diwujudkan. Projek ini adalah projek para pengikut  Asas 50 yang menganggap mereka telah memberi sumbangan besar dalam perkembangan intelektual dan perkembangan kebudayaan Melayu moden, yang memajukan dan menjadikan penulisan kreatif berbentuk moden setelah mereka menolak tulisan Jawi yang mereka anggap tidak ada hubungannya dengan Islam, dengan itu golongan Asas 50 ini menjadikan persuratan Melayu sesuatu yang lapuk dan tidak wajar dijadikan warisan, lalu mereka ini terikut-ikut dengan gerakan sastera moden di Indonesia yang berkata “sasterawan Indonesia adalah ahli waris sastera dunia”, dengan demikian “sasterawan Melayu adalah ahli waris sastera dunia”. Kepercayaan ini diwarisi dalam perbincangan di Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 yang menegaskan betapa perlunya sastera Melayu mencapai taraf sastera dunia, iaitu menjadi sastera sekular sepenuhnya. Mereka menolak konsep ilmu yang benar yang menjadi teras epistemologi Islam.  Dengan penolakan ini, sastera Melayu moden dinilai sepenuhnya daripada perspektif teori Barat, yang pada waktu yang sama menolak sebarang percubaan untuk menjadikan konsep ilmu yang benar itu sebagai asas penulisan kreatif dan boleh pula digunakan dalam analisis dan penilaian terhadap hasil kreatif di Malaysia.  Mereka menolak sebarang perubahan, yang mereka anggap boleh menjejaskan perkembangan sastera Melayu moden sekiranya pengaruh Barat itu tidak dijadikan asas perkembangan sastera Melayu moden. Bagi mereka, semua perubahan haruslah dalam konteks teori sastera Barat, dengan itu mereka menolak sebarang usaha untuk menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai ukuran dalam sebarang penilaian karya kreatif dan akademik. Penolakan terhadap konsep ilmu yang benar ini menjadi punca mengapa penilaian mereka tidak tepat, menyeleweng dari kebenaran, kaya dengan pretensi intelektual yang dari segi makna sebenarnya adalah bullshit sahaja. Isu penting, yang sarjana dan sasterawan perlu sedar, dalam kes ini projek sasterawan negara ini bukan untuk  kepentingan negara. Semua projek ini untuk kepentingan para pengikut  Asas 50 dan penyokong mereka. Tidak sedikit pun ada sangkut paut dengan keperluan negara. Negara tidak perlukan sasterawan negara. Negara perlukan pembinaan tamadun yang lebih canggih berteraskan konsep ilmu yang benar. Itu yang kita perlukan.

Dengan latar belakang ini, kita akan lebih mudah melihat penyelewengan intelektual melalui projek  sasterawan negara ini, yang tidak berminat kepada kemajuan budaya ilmu, tetapi hanya berminat untuk mendapatkan pengiktirafan kerajaan terhadap usaha mereka menjadikan sastera Melayu itu berfaham sekular sepenuhnya. Gelaran sasterawan negara itu mencerminkan dengan jelas sifat dan sikap sekular ini. Dalam pandangan mereka, para sasterawan adalah golongan yang jauh lebih berjasa daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang mewariskan kita tradisi persuratan Melayu berteraskan Islam dan mengutamakan konsep ilmu yang benar dalam bidang persuratan.  Asas 50 dan para sasterawan negara serta para sarjana menolak konsep ilmu yang benar itu, yang mereka anggap boleh menyekat kebebasan mereka sebagai sasterawan dan sebagai sarjana yang dipengaruhi sepenuhnya oleh teori sastera Barat.  Sebarang penafian untuk menolak kesimpulan ini adalah sia-sia, kerana karya yang dihasilkan menjadi bukti kepada kejituan kesimpulan ini. Usaha Panel Anugerah Sastera Negara untuk meletakkan Kemala sebagai apa yang sebut sebagai “penyair sufi” menjadi sejenis lawak jenaka murahan apabila mereka mengambil contoh alusi Mark Antony dan Cleopatra untuk menjadi bukti kesufian Kemala. Jika bukan itu yang mereka maksudkan, maka mengapa mereka memberikan contoh itu? Semua ini menjadi contoh pandirisme yang ketara dalam sastera Melayu.

Sebarang usaha untuk melindungi para sasterawan negara daripada kritikan adalah satu perbuatan khianat dalam perkembangan budaya ilmu yang sihat yang menerima kebebasan memberi pendapat yang pada umumnya dipertahankan oleh para ahli akademik, sekurang-kurangnya dalam perjuangan mereka untuk mengekalkan autonomi dalam perkembangan ilmu di universiti. Para sasterawan sendiri selalu menjeritkan kemahuan mereka  supaya diberi kebebasan menulis untuk memastikan mereka boleh menghasilkan karya yang mereka suka, maka tentulah sangat aneh apabila mereka, di kalangan sasterawan negara dan para pengikutnya, cuba menghalang sebarang perbincangan kritis tentang karya mereka dan motif mereka dalam perkembangan sastera.  Alasan bersifat bullshit yang mereka selalu ajukan ialah sebarang kritikan mestilah disuarakan secara beradab dan penuh diplomasi; tetapi mereka sendiri cukup biadab untuk menulis karya erotik dan berunsur pornografi atau karya yang menonjolkan kejahatan sebagai tema agung. Mencari alasan untuk menyekat kebebasan berfikir adalah perbuatan yang paling biadab, tetapi inilah yang cuba dan sedang dilakukan oleh kumpulan anti-ilmu ini. Dalam hal ini, Dewan Sastera yang selama ini memberi fokus yang berlebihan kepada sasterawan negara harus lebih berani dan lebih terbuka kepada kritikan walau yang sehabis kritis sekalipun, asal saja semua kritikan itu berasas dan cukup dengan hujah serta bukti. Dewan Sastera tidak harus menjadi penghalang kepada kebebasan berfikir dalam sastera, seperti yang cuba dilakukan oleh para sasterawan negara dan sebahagian ahli akademik yang menyokong mereka. Tidak wajar pula menjadikan persatuan penulis untuk menyekat kebebasan berfikir dalam perkembangan ilmu, yang secara tidak disedari dan mungkin juga disengajakan, tidak menggalakkan perbincangan serius tentang peranan ilmu dalam penulisan sebagai satu kegiatan penting persatuan penulis. Paling penting, apa juga organisasi yang dibiayai oleh rakyat menerusi kerajaan tidak harus dikongkong atau dijadikan alat golongan anti-ilmu dalam bentuk apa sekalipun.  Semua ini, pada akhirnya, memerlukan keberanian intelektual dan kejujuran akademik untuk menolak sebarang usaha menjadikan pandirisme sebagai gerakan arus perdana dalam perkembangan ilmu di Malaysia.  Ini bukan pilihan, tetapi satu tuntutan ilmu yang perlu dilaksanakan.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 25 Julai 2015.

No comments:

Post a Comment