Peristiwa
1MDB sangat penting dalam konteks memahami makna pemikiran dalam karya kreatif.
Dalam cerita pendek “Bukan Orang Jahat” (dimuat dalam Biarlah Orang Tahu, juga dalam Bukan
Ahli UMNO ...), saya menegaskan dalam cerita pendek itu, melalui penulis
skrip handalan, “yang penting kemenangan, bukan kebenaran”. Latar belakang
cerita pendek itu mengenai budak sekolah yang mencuri seluar dalam guru
perempuan. Dia dilepaskan kerana tidak ada kes, walaupun dia mengaku. Tetapi
ayahnya telah menulis skrip yang dipaksa oleh ayahnya untuk digunakan dalam
perbicaraan kesalahan disiplinnya. Dia menang tetapi lari ke dalam hutan kerana
tidak sanggup bersama keluarganya kerana dia tahu dia telah menipu dengan
arahan ayahnya sendiri. Terhadap kesedihan ibunya, sang ayah menegaskan, dia
akan menulis sebuah skrip lain untuk menjadikan anaknya itu pulang sebagai
seorang wira. Ceritanya bodoh saja,
tetapi maknanya mendalam bagi manusia yang berfikir. Dalam peristiwa penipuan
dalam kes 1MDB, perubahan skrip begitu cepat berlaku untuk memastikan
kemenangan dan melenyapkan kebenaran. Cerita pendek yang begitu bodoh tiba-tiba
menjadi sesuatu yang begitu bermakna apabila dibaca bersama peristiwa 1MDB. Begitu hebatnya sensasi 1MDB ini sehingga
semua rakyat Malaysisa menjadi gila: satu pihak menafikannya dan menuduh yang
membuka rahsia itu membuat fitnah tanpa asas; satu pihak pula meminta kes ini
disiasat dengan telus dan sesiapa juga yang didapati bersalah mesti dihukum.
Tiba-tiba timbul dua perkara: rakyat mesti dipelihara supaya tidak mendengar
khabar angin yang palsu; dan yang lebih penting, keselamatan negara tidak boleh
digugat dengan cerita tentang 1MDB, oleh itu demi keselamatan negara, kes ini
mesti ditutup dan sesiapa yang cuba bercakap tetangnya dihukum. Paling menarik
dalam hujah ini, seorang pegawai tinggi di RTM berkata untuk keselamatan rakyat
supaya tidak tertipu, apa pun juga yang masuk ke dalam akaun peribadi seseorang
adalah rahsia, tidak kira dari mana puncanya. Katalah anda seorang penyamun,
dan berjaya menyimpan wang samun itu dalam kira-kira bank anda, tiada siapa pun
boleh menyoal dari mana anda dapat wang itu kerana itu hak anda yang tidak
perlu diketahui oleh sesiapa sekali pun sumbernya. Ada undang-undang khusus
untuk membela anda. Dalam hal ini
terdapat dua kedudukan untuk dua jenis penjenayah. Bagi penjenayah yang direkod
polis sebagai penjenayah, semua perkara tentang dirinya boleh dibongkar. Kalau
dia tidak mahu bercakap, boleh disiksa. Ini dibenarkan oleh undang-undang. Tetapi
jika anda seorang penjenayah yang tidak direkodkan sebagai penjenayah oleh
polis, semua perkara tentang diri anda adalah rahsia. Jika anda seorang ahli
politik, rahsia anda tidak boleh diketahui kerana membuka rahsia itu pun satu
jenayah. Tetapi tidak semua ahli politik diberi keistimewaan ini. Jika anda
berada di sebelah pembangkang, kedudukan anda adalah sama seperti penjenayah
yang mempunyai rekod dengan polis. Semua perkara tentang diri anda boleh
didedahkan, hatta yang anda tidak buat pun boleh didedahkan. Inilah bentuk
korupsi dalam sistem demokrasi Barat yang kita di Malaysia praktikkan dan
memang berkesan kerana sesuatu puak yang berkuasa boleh mengekalkan
kekuasaannya melalui sistem ini.
Sekarang
anda mesti berfikir dengan cerdik sedikit, menggunakan ibarat atau sindir kias
dalam persuratan Melayu. Adakah perkara yang serupa dilakukan dalam
kesusasteraan Melayu? Jangan jawab dulu, fikir dulu baik-baik, dan cuba
padankan dengan contoh-contoh yang anda ketahui. Kita ambil contoh pelantikan Baha
Zain sebagai sasterawan negara, yang berlaku dengan tiba-tiba, sehingga
menimbulkan kemarahan seorang sasterawan negara lain, Raja Novelis Malaysia
(gelaran ini diberikan oleh Mana Sikana saja, tidak diterima oleh orang lain),
namanya Shahnon Ahmad, dengan tegas menolak pelantikan Baha Zain kerana
katanya, si Baha Zain ini tidak layak kerana sajak-sajaknya kontot-kontot (itu
istilah Shahnon Ahmad sendiri) dan tiada karya baru. Pemerhatian Shahnon Ahmad
adalah tepat; tetapi mengapa Panel Anugerah Sastera Negara tidak melihatnya
begitu? Seolah-olah satu misteri,
sebenarnya tidak. Panel telah diberi hak mutlak sebagai pemilih dan pilihan
mereka adalah mutlak, tidak boleh dibantah oleh sesiapa pun, dan bukan kerja
mereka untuk menjawab segala kritikan, atau dijadikan iktibar dalam pemilihan
seterusnya. Semua yang mereka buat betul belaka, seperti yang kita dapat dalam
politik. Bezanya, mereka tidak mempunyai kuasa untuk menutup sebarang kritikan
seperti yang boleh dibuat oleh ahli politik yang berkuasa; tetapi dari segi
prinsip dan proses membuat keputusan, kedua-dua kumpulan ini berhak dan
dibenarkan untuk meneruskan kesalahan dan kesilapan mereka. Demikianlah
pandirisme ditegakkan dalam politik dan kesusasteraan Melayu. Malah itulah
caranya sasterawan menerima bantuan daripada kerajaan; dan kerajaan pula
menerima pujian dan sokongan daripada sasterawan. Itulah caranya Najib Tun
Razak beri lima juta kepada PENA untuk “memajukan sastera” dan sekali gus
“memajukan” politik beliau sendiri. Dengan wang itu banyak buku sudah
diterbitkan dan hadiah dikeluarkan kepada yang terpilih, yang disenangi oleh
panel pemilih walaupun terdapat karya yang mereka pilih sebenarnya tidak
bermutu, dan picisan. (Contoh terbaik ialah pemilihan buku Dr. Norhayati Ab.
Rahman tentang feminisme, yang menerima perzinaan sebagai satu aspek daripada
puitika sastera wanita Malaysia dan Indonesia. Buku ini diiktiraf oleh panel
pemilih sebagai sebuah buku kritikan/penyelidikan terbaik yang layak diberi
hadiah $10,000). Persoalan ini menarik
perhatian Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir yang menulis tentang pemilihan panel
terhadap buku Azizi Haji Abdullah, Harga
Sebuah Maruah. Saya salin kesimpulan
beliau yang cukup penting diberi perhatian kritis oleh para sarjana:
“Analisis di atas menunjukkan wujudnya
kepincangan yang amat ketara dalam penilaian dan pengiktirafan novel HSM.
Ternyata, kepakaran mantap dan mendalam tentang sastera yang semestinya ada bagi urusan penilaian dan
pengiktirafan, jelas tidak ketara. Malah kekeliruan dan kecetekan fahaman yang
terserlah, yang seterusnya dijadikan panduan penilaian. Analisis kritis dengan
mudah dapat mendedahkan bahawa dakwaan tentang kekuatan dan keistimewaan novel
itu sebenarnya tidak mempunyai asas yang kukuh, yang boleh
dipertanggungjawabkan secara ilmiah. Malah dalam banyak hal, dakwaan yang
dibuat terang-terangan bercanggah dengan bukti dalaman novel yang dinilai.
Berdepan dengan keadaan seperti ini, adalah munasabah dan bertanggungjawab
sekiranya kepakaran yang mantap dan mendalam disyaratkan sebagai asas
penilaian, sementara laporan yang terhasil daripada penilaian tersebut
dipastikan lebih mantap dan bertanggungjawab, bukan dakwaan atau hujah yang
bersifat umum, jauh sekali retorik yang gah semata.
Kepincangan
penilaian yang diperlihatkan dalam analisis di atas menarik perhatian kepada
perkara yang lebih penting iaitu kriteria penilaian yang tertumpu pada
kefahaman prioriti cerita. Adakah kriteria penilaian seperti ini yang terbaik
bagi kita dan dapat menjamin akan terhasilnya karya yang bermutu tinggi untuk
diwariskan sebagai khazanah bangsa yang boleh dibanggakan? Ternyata kefahaman
tersebut mengetepikan ilmu iaitu teras sebuah tamadun yang berjaya. Tentu
sekali mengekalkan kefahaman yang dingin terhadap ilmu bukanlah satu pilihan
yang bijak, lebih-lebih lagi apabila ada pilihan lain, yang bertunjangkan
keyakinan yang murni dan kefahaman yang utuh terhadap keutamaan ilmu dan
kerelevanannya dalam penulisan kreatif.
PB
menyediakan satu gagasan yang jelas tentang peri pentingnya ilmu itu
diutamakan, di samping peka pula terhadap kedudukan, fungsi dan bentuk
kehadiran cerita, dan dengan itu memastikan karya kreatif dihasilkan dan
dinilai dengan penuh wibawa, bebas dari kekeliruan dan kekaburan di samping
peka kepada seni. Ini adalah anjakan yang dinamik, yang menjanjikan hasil
persuratan yang tinggi ilmunya dan halus pula seninya. Dalam konteks
kesusasteraan Melayu, inilah sebenarnya anjakan yang diperlukan.” (Lihat makalah beliau, “Novel Harga
Sebuah Maruah oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah
Pemenang Sayembara,” kertas kerja yang
dibentangkan di Simposium Kebudayaan Indonesia – Malaysia XII (SKIM XII)
anjuran bersama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universitas Padjadjaran,
Indonesia di Universiti Kebangsaan
Malaysia, Bangi, 29 – 30 November,
2011.)
Apa yang dibicarakan oleh Prof.
Ungku Maimunah itu adalah sesuatu yang asing bagi para sarjana dan mereka yang
dilantik menjadi juri sesuatu peraduan atau hadiah sastera. Mereka telah
terputus daripada tradisi keilmuan dalam persuratan Melayu, dan dibelenggu
dengan dahsyat oleh teori sastera Barat
sehingga mereka ini sanggup menjadi keldai di kincir air, berjalan beribu batu,
tetapi di tempat yang sama. Kias ibarat begini pun mereka tidak boleh faham
lagi, dengan itu kemampuan intelektual mereka menjadi amat tumpul dan hanya
boleh memberi respon dalam konteks keldai di kincir air, bukan sebagai sarjana
sebenar. Satu contoh ialah pendapat yang diutarakan oleh Prof. Mohd. Mokhtar
Abu Hassan dalam kertas kerjanya, yang dimuat dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa, mengenai pentingnya Si Tenggang dalam
kehiduap pelajar Melayu yang ingin maju dan mempunyai cita-cita tinggi. Si
Tenggang, anak derhaka, tiba-tiba menjadi ikon dalam proses motivasi untuk
mencapai kejayaan. Tidakkah ini sejenis bullshit?
Tetapi mentaliti keldai di kincir air tidak dapat melihat lagi kerana matanya
memang tertutup dan ditutup!
Semua ini terjadi kerana
terdapat keanehan yang luar biasa di kalangan para sastrerawan dan sarjana
sastera. Yang paling menonjol di sini
ialah mengenai penilaian terhadap Naratif
Ogonshoto, yang begitu hebat pujiannya. Pada mulanya kita tidak berapa
peduli sangat apabila Dr. Mawar Shafie memuji Anwar Ridhwan yang mengutip dan
menggunakan idea Machiavelli, tetapi apabila perkara ini dijadikan satu ukuran
tentang kejayaan Anwar Ridhwan, maka jelaslah mereka yang menyebut nama
Machiavelli ini tidak sedar bahawa watak utama dalam Naratif Ogonshoto adalah seorang ketua Mafia, bukan seorang ahli
politik seperti yang ditafsirkan oleh para sarjana selama ini. Sebenanya
hakikat inilah yang menarik, kerana usaha Anwar Ridhwan membawa Mafia dalam
sastera Melayu moden, dalam bentuk cerita penglipur lara, memang boleh diterima
sebagai satu kemajuan dalam penulisan novel kerana usahanya memperkenalkan
watak Mafia sebagai watak utama dalam cerita penglipur laranya. Dari perspektif
itu, dia telah berjaya menjadikan kegiatan jenayah Itali sebagai “idea” baru
dalam politik Malaysia, tanpa menyebut nama Malaysia tetapi menggunakan nama
samaran Ogonshoto untuk mendapat
kesan sensasi. Sesuai dengan dakwaan Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad bahawa novel ini mempunyai berlapis-lapis makna yang
tersembunyi yang menjadikannya sebuah karya agung sastera Melayu moden, maka
tepat sekali tafsiran kita bahawa Anwar Ridhwan mecipta inovasi dalam novel
Melayu dilakukannya dengan menjadikan gerakan Mafia Itali, yang diilhamkan oleh
Machiavelli, sebagai satu anjakan penting dalam perkembangan tema penulisan
novel. Kita tidak perlu bertanya sama ada perkembangan ini kita terima dengan
bangga tanpa sebarang kritikan, kerana dari segi teori sastera Barat yang
digunakan oleh sasterawan negara ini semua ini adalah kemungkinan yang boleh
digunakan dengan bebas dalam penulisan novel. Sama ada kita terima atau tidak
bukan soal penting. Bagi saya yang penting ialah apakah yang mendorong Anwar
Ridhwan menggunakan alusi bahtera Nabi
Nuh ‘a.s. sebagai kemuncak novelnya, padahal penggunaan alusi itu bertentangan
dengan yang disebut dalam al-Quran. Adakah ini berupa satu bentuk Mafia dalam
sastera? Para sarjana yang memuji novel ini perlu tampil memberi penjelasan,
sesuai dengan andaian mereka bahawa novel ini mempunyai lapisan makna yang amat
menakjubkan. Jika tafsiran ini salah,
maka apa gunannya konsep kepelbagaian lapisan makna itu dijadikan ukuran
penting dalam menilai kehebatan novel ini. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang
memberi penekanan kepada aspek ini tentu saja akan menolak tafsiran yang
dikemukakan di sini sebagai sengja dicari-cari dan tidak munasabah. Apakah
tafsiran yang tidak dicari-cari dan yang munasabah itu? Jika penulis novel ini
mengaku dia mendapat ilham daripada Machiavelli, bagaimana pula boleh ditolak
unsur Mafia di dalam novel ini kerana watak utama novel ini memang berlagak
sebagai seorang Mafia, bukan sebagai seorang ahli politik. Dalam hal ini, saya
fikir para sarjana ini tidak boleh berfikir dan tidak pula cukup sensitif
tentang persoalan ini, walaupun jelas terserlah dalam novel ini. Apa akan jadi
kepada para pelajar yang membaca novel ini, yang mengagungkan Mafia, tidak
berkemungkinan akan mendidik mereka (seorang dua pun sudah cukup) untuk
kemudiannya menjadi Mafia Melayu dalam politik dan perniagaan, atau dalam
kegiatan jenayah sekali pun. Semuannya mungkin, jika kita terima andaian para
sarjana bahawa novel ini mempunyai berlapis-lapis makna yang mendalam. Tidak
wajar untuk menolak pengaruh pemikiran Mafia itu jika betullah seperti kata Dr.
Mawar Shafie bahawa novel ini dipengaruhi oleh pemikiran Machiavelli.
Sebenarnya inilah kesudahan yang
diterima kerana terlalu terikat kepada pengaruh teori sastera Barat dan
pengaruh pemikiran Barat dalam sastera Melayu. Anda tidak akan terkesan dengan
perkembangan yang amat negatif ini kerana anda tidak menilai karya kreatif
daripada perspektif ilmu yang benar, padahal itulah tradisi persuratan Melayu
yang anda warisi, dan itulah juga hakikat epistemologi dalam Islam andainya
anda memahaminya dalam konteks ilmu. Jika itulah keadaannya, maka tentulah
sangat aneh apabila anda menentang begitu hebat konsep ilmu yang benar itu. Sekiranya
anda bersumpah bahawa anda, sebagai sasterawan dan sarjana, memang menganut
faham ilmu yang benar, maka apakah hujah anda untuk menjadikan teori sastera Barat
sebagai ukuran yang definitif dalam penilaian anda? Kontradiksi begini sepatutnya tidak wujud
jika anda benar-benar memahami konsep ilmu yang benar dalam Islam, yang
sepatutnya anda terap tanpa ragu-ragu dalam karya kreatif dan dalam kaedah
penilaian yang anda gunakan. Sekarang,
apakah maksud anda kekayaan makna yang berlapis-lapis itu? Jika anda tidak
dapat menjelaskan perkara ini, maka anda berada dalam kumpulan yang
melangsungkan bullshit dalam sastera
Melayu, dan inilah yang anda mahu jadikan teras budaya bangsa. Tidakkah ini
suatu perkara yang jelas tergelincir terlalu jauh daripada epistemologi Islam,
atau sastera adab berasaskan nilai-nilai Islam, yang anda jadikan hujah untuk
memuji Naratif Ogonshoto.
Aspek pemikiran para sasterawan negara
yang digembr-gemburkan selama ini bukanlah pemikiran, tetapi kekeliruan dan penyelewengan
yang terjadi akibat anda berada dalam kekeliruan dalam konsep ilmu dan cetek meraba-raba dalam kefahaman
anda tentang konsep ilmu serta unsur-unsur kebudayaan tinggi dalam persuratan Melayu.
Anda telah terputus dari tradsi keilmuan berteraskan Islam dalam persuratan Melayu;
oleh itu bagaimana anda boleh melantik para sasterawan negara yang telah jelas berada
dalam kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba, seperti yang dihuraikan oleh Prof.
Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau (1972). Sebenarnya anda tidak mempunyai hujah dan bukti
untuk mempertahankan para sasterawan negara ini, dan tidak juga hujah yang akan
membolehkan anda menjadikan sastera sebagai teras negara bangsa.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 31 Julai 2015.
No comments:
Post a Comment