Salah
satu unsur “perlambangan” (?) dalam penulisan novel yang mendapat pujian amat
tinggi daripada para pengkritik sastera dan para sarjana kelas pertama ialah unsur
bau dalam novel Anwar Ridhwan yang menceritakan kebodohan seorang “pejuang” (?)
kemerdekaan yang lari seluruh dunia mencari kebenaran dan akhirnya mendapat
Islam dalam pelukan seorang perempuan Palestin.
Walaupun tidak ada yang brilliant
dalam novel yang naif ini, para penilai memberi pujian tinggi dan sanggup
memberi hadiah kerana novel yang agak tebal ini bercerita, dengan dangkal,
perihal perjuangn kemerdekaan. Digunakan
unsur bau oleh penulis novel ini sebagai lambang kepalsuan ideologi politik
palsu seperti (yang diceritakan dalam novel).
Sekarang timbul persoalan: adakah tidak unsur bau itu dalam kritikan
sastera? Kebetulan saya menulis sesuatu yang agak keras dalam entri bertarikh
31 Disember 2014: “Jangan baca karya sasterawan negara, tetapi baca buku-buku
ini”. Saya salin bahagian akhir entri itu untuk perhatian pembaca, memakai
tajuk kecil : “Karya para sasterawan negara tidak perlu dibaca”. Inilah dia:
“Karya para
sasterawan negara tidak seharusnya dibaca kecuali oleh penyelidik, pengkaji,
pengkritik sastera, tetapi tidak untuk umum. Karya itu berbau hancing, masam,
hanyir, dan busuk bagai bangkai. Ini metafora, bahasa sastera yang difahami
oleh para sasterawan, bukan cacian, dan harus dibaca dalam konteks itu. Anwar
Ridhwan menggunakan unsur bau (busuk) ini dalam novelnya; mungkin ketika itu
dia tidak sedar bahawa karya sasterawan negara
sendiri mempunyai unsur bau yang saya sebut itu. Saya sudah acap kali menarik perhatian para
sarjana dan pengkritik supaya dibincangkan dengan mendalam aspek pembakuan
penilaian dalam kritikan sastera, supaya kita dengan mudah dapat membuat
kesimpulan sama ada secara intrinsic sesebuah karya itu betul bernilai atau
sebenarnya tidak. Ini penting kerana pengalaman kita dalam perkara ini meyakinkan saya kita tidak
mempunyai ukuran yang mantap ketika membuat penilaian itu. Panel Anugerah
Sastera Negara sendiri tidak jelas apakah ukuran yang mereka gunakan untuk
membuat sesuatu kesimpulan bahawa seseorang itu layak diberi gelaran sasterawan
negara.
Saya telah dapat “mencium” bau busuk ini sejak 1981,
dan terus mengkritik projek sasterawan negara ini. Para sarjana dan pengkritik
sastera bolehlah berkumpul beramai-ramai untuk mempertahankan para sasterawan
negara ini; kerana mereka sendiri memang
tidak lagi mempunyai indera bau yang sensitif, kerana itu sesuatu yang tidak
berharga mereka kata berharga, tetapi hujah mereka terlalu lemah, malah boleh
dikatakan tidak ada hujah sama sekali. Saya telah tunjukkan beberapa bukti
ketika mengkritik penilaian para sarjana ciritan ini. Saya pertahankan
penilaian saya dengan mempertaruhkan karya kreatif saya dan karya kritikan
sebagai bukti, untuk anda kritik sehabis kritis yang anda mahu, asal saja anda
juga berani mengkritik karya para sasterawan negara ini seperti itu juga.
Lepaskan juara di tengah gelanggang dan kita lihat siapa di antara mereka
adalah “juara” palsu. Akademi Fantasia
pun menggunakan kaedah ini. Mengapa tidak boleh digunakan untuk melihat
keunggulan sebenar para sasterawan negara ini? Buku-buku yang saya cadangkan
itu boleh membantu anda untuk melihat mengapa persoalan ini penting dan perlu
dibincangkan dengan kritis. Sebagai
sarjana dan pengkritik, anda tidak harus bangga melambakkan barang palsu di
pasaran ilmu di negara kita yang sejak dulu telah kenal makna ilmu yang benar
dan dapat membezakannya dengan yang palsu.
Dalam kutipan panjang yang saya salin daripada pidato
umum Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, anda dapat melihat makna keadilan dan
kezaliman dalam budaya ilmu, yang tepat sekali mengenai projek sasterawan negara ini sebagai satu kezaliman
ilmiah apabila pemilihan para sasterawan negara ini tidak diasaskan kepada
maksud keadilan seperti yang difahami dalam Islam, sehingga gagak yang bising
disetarafkan dengan merbuk yang merdu suaranya. Pemilihan mereka dilakukan oleh
mereka yang tidak dapat membezakan yang benar dengan yang palsu, oleh itu
meletakkan setaraf gagak yang bising dan kotor dengan merbuk yang merdu
suaranya. Tepat sekali kutipan Prof.
Syed Muhammad Naquib al-Attas daripada
al-Qur’an tentang buih terapung “sebagai hampas yang tiada berguna” untuk
mencirikan karya para sasterawan negara ini.”
Wajarkah
karya para sasterawan negara ini dikategori sebagai “buih terapung” sebagai
hampas yang tiada berguna? Sekiranya
karya mereka dilihat dan dinilai daripada perspektif ilmu yang benar,
kesimpulan itu tidaklah boleh dikatakan melampau. Sebaliknya, jika karya mereka dinilai daripada
perspektif teori Barat, karya mereka bolehlah dikatakan bernilai juga walaupun
tidaklah istimewa sangat. Sekarang anda mempunyai dua pilihan: kesimpulan mana
satu yang lebih tepat, atau kedua-duanya tidak tepat? Para sarjana dan penilai tidak suka diajukan
pertanyaan ini, kerana mereka perlu berfikir sambil membuat pertimbangan berasaskan
hujah yang mantap. Mereka tidak suka berbuat demikian, selain agak sukar
dilakukan, hasilnya juga boleh mengejutkan mereka dalam erti semua pujian
tinggi yang mereka lemparkan selama ini hanya omong kosong saja. Ini membawa
kita kepada isu bau tadi. Betulkah
banyak di antara karya kritikan, karya akademik termasuk tesis banyak yang
berbau tengik, masam, hanyir, malah ada yang busuk sekali pun? Apa yang
dimaksudkan dengan kata-kata kiasan itu?
Kita ambil beberapa contoh. Panel Anugerah Sastera Negara telah memuji
keharuman karya Kemala yang berunsur “sufi”, menggunakan alusi Mark Antony dan
Cleopatra untuk membuktikan sifat universal karya beliau. Adakah yang dikatakan
oleh Panel itu tepat dan boleh diterima? Saya fikir tidak tepat, malah melampau
dan alusi tentang Mark Antony itu amat memalukan jika anda tahu maknanya. Dalam
kategori bau yang macam mana kita hendak berikan kepada pujian Panel ini? Saya
serahkan kepada anda menentukannya daripada senarai yang disebut di atas. Demikian seterusnya untuk para sasterawan
negara yang lain (untuk mendapat pandangan saya, sila rujuk entri dalam blog
ini). Bolehkah kita berkata, penilaian
Panel sering kali berbau hanyir, hapak, busuk dan sebagainya? Misalnya,
walaupun mereka memuji keharuman karya Kemala, cara mereka melakukannya
berbau hanyir kerana tidak cocok dengan karya yang mereka puji. Demikian juga, pujian tinggi terhadap karya
Muhammad Haji Salleh dan Anwar Ridhwan
boleh dikatakan berbau hapak dan ada pula yang berbau hanyir. Dan seterusnya. Isunya ialah: adakah cara ini,
yakni kategori bau ini sesuai digunakan dalam kritikan sastera. Jawapannya amat
menarik. Menurut perhitungan para ahli, terdapat tidak kurang dari 10 orang pengkritik sastera dan sarjana yang amat harum
karya mereka, antaranya: Muhammad Haji Salleh, Baha Zain, Mana Sikana, Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad, Dr. Norhayati Ab. Rahman, Shahnon Ahmad (penulis Shit),
Fatimah Busu, S. Othman
Kelantan, Prof. Zawiah Yahya, Prof.
Hashim Awang, Prof. Rahman Shaari, Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan, dan ramai
lagi. Kesemua sarjana yang dilantik menjadi anggota Panel Anugerah Sastera
Negara adalah mereka yang amat harum karya kritikannya. Nampaknya kita tidak ada masalah. So what?
Prof.
Emeritus Dr. Hashim Awang yang termasuk di dalam senarai itu mengemukakan satu
“kertas kerja” paling pendek dalam sejarah kritikan sastera Malaysia,
dibentangkan dalam Seminar Pemikiran
Sasterawan Negara Anwar Ridhwan, membicarakan
novel Penyeberang Sempadan daripada
perspektif “teori firasat.” Tajuknya
sangat menarik, mengenai perbomohan dalam kritikan sastera, tetapi hasilnya
terlalu mengecewakan. Kertas 5 halaman itu tidak dapat mencium bau mayat dalam
novel itu, membuktikan bahawa kritikan perbomohan berasaskan “firasat” itu
tidak berguna langsung dalam kritikan sastera, padahal unsur bau itu sangat
signifikan menurut para ahli kritikan Malaysia.
Itulah unsur pembaharuan yang sangat penting dalam penulisan novel,
membuktikan Anwar Ridhwan benar-benar seorang ahli eksperimen dalam penulisan,
yang menjadi teras “pemikiran”nya.
Inilah unsur yang menjadikan novel itu sebuah novel intelektual, yang
kaya dengan wacana intelektual yang mendalam tentang ideologi politik
universal. Walaupun saya menolak kesimpulan yang naif ini, namun usaha Anwar
Ridhwan seharusnya dapat dijadikan “firasat” dalam kecanggihan pemikiran
sasterawan ini. Prof. Emeritus Hashim Awang memang terpesona dengan
“kecanggihan” novel ini. Di bawah tajuk kecil “pencanggihan struktur cerita”,
profesor ini memuji aspek cerita yang canggih yang kaya unsur “berkias dan
berlapis”. Tetapi semua ini hanya
retorik yang amat naif untuk dijadikan unsur yang dapat memberi makna yang
mendalam yang dijadikan “perutusan, pemikiran dan falsafah” sang
pengarang. Kecetekan pengarang dalam
menyampaikan “perutusan, pemikiran dan falsafah” tiba-tiba menjadi amat bermakna kerana naifnya pula
kecetekan sarjana yang menilai novel ini. Jelaslah “firasat” Hashim Awang gagal secara total untuk mengangkat novel
yang gah pada nama tetapi kerdil dari segi pemikiran kerana tidak diwacanakan
dengan cermat dan benar-benar canggih. Konsep
“firasat” Hashim Awang tidak dapat membantu kita melihat aspek intelektual
dalam novel ini, yang pada dasarnya adalah sebuah novel penglipur lara yang
dikuasai sepenuhnya oleh cerita yang tidak membantu “mencanggihkan” aspek
intelektual yang dikatakan menjadi unsur utama novel ini. Sila lihat tesis
sarjana Nur Fatiha Fadila binti Abu Bakar, “Intelektualisme dalam Lima Novel
Anwar Ridhwan dari Sudut Persuratan
Baru” (UPM, 2014) untuk mendapat analisis yang lebih akademik tentang novel
ini.
Dengan
wujudnya konsep naratif One MDB dalam kritikan sastera Melayu,
mengambil sempena peristiwa 1MDB dan
masuknya 2.6 bilion ringgit dalam akaun YAB Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak
(yang pada mulanya dinafikan oleh beliau, kemudian diakui setelah SPRM
membuktikan wang itu adalah hadiah/derma ikhlas daripada seorang sahabat kepada
YAB untuk kegunaan UMNO dalam pilihan raya untuk memastikan UMNO terus menang),
maka kita dapati unsur bau ini amat besar pengaruhnya dalam dunia
akademik dan kritikan sastera Malaysia.
Sama ada anda terima huraian saya tentang isu ini adalah pilihan anda
sendiri, tetapi isu ini cukup penting dalam konteks kedudukan para sasterawan
negara sendiri dan para sasterawan secara umum. Panel Anugerah Sastera Negara telah
mengisytiharkan betapa wanginya sajak-sajak Kemala, memberi kekayaan kerohanian
yang amat mendalam kepada pembaca, satu-satunya pensajak sufi terunggul dalam
sastera Melayu moden yang menjadikan
Mark Antony dan Cleopatra simbol cinta kesufian (ini pandangan Panel,
yang saya tolak mentah-mentah.) Mujurlah Prof. Muhammad Haji Salleh tidak memasukkan
saya dalam kategori sasterawan, jauh sekali dalam kategori pengkritik sastera, apatah
lagi sebagai seorang ahli akademik, maka kedudukan saya agak unik, terelak daripada isu bau itu kerana saya
hanya seorang penulis biasa, bukan sasterawan, bukan sarjana dan bukan
pengkritik sastera. Terima kasih kepada
profesor kerana menyelamatkan saya daripada dunia yang memang saya tidak mahu berada di dalamnya. Tetapi bagaimana dengan karya saya sendiri?
Yang pasti memang tidak harum, oleh itu apa jenis bau yang sesuai untuk saya?
Kita telah ada senarai seperti di atas, anda boleh gunakan mana satu unsur atau
jenis bau yang anda suka, tidak menjadi hal kepada saya kerana saya tetap yakin
karya saya yang tidak bagus dari segi bau, tetapi mempunyai ciri-ciri yang mungkin berguna untuk
pembaca yang cerdik dan kritis, seperti yang selalu saya tegaskan. Itu sebabnya
saya tidak keberatan jika sajak-sajak saya dibicarakan dengan kritis oleh para
pengkritik dan sarjana untuk dinilai dengan membuat perbandingan dengan karya
para sasterawan negara. Andainya kedudukan saya terlalu rendah untuk dapat
dinilai dengan karya bermutu lagi berbau harum daripada para sasterawan
negara, anda perlu membuktikannya sesuai
dengan kedudukan anda sebagai pengkritik dan sarjana, kerana jika tidak anda
hanya berlagak sebagai pengamal bullshit
dan seorang tokoh humbug seperti yang
dihuraikan oleh Max Black. Jika ini terjadi, maka karya saya akan dianggap
sebagai terlalu rendah mutunya, walaupun karya para sasterawan negara belum tentu
dapat mengatasi karya saya yang tidak bermutu itu. Kalau begitu, apakah akan
jadi kepada karya para sasterawan negara ini. Tidak mungkin kedudukannya begitu
rendah daripada karya saya yang memang rendah kedudukannya itu. Sesuatu mesti
dilakukan untuk menaikkan darjat para sasterawan negara ini, iaitu dengan
membicarakan karya mereka sehabis kritis seperti anda juga akan membicarakan
karya saya sehabis kritis. Jika anda tidak mampu, atau tidak mahu melakukannya
kerana anda anggap sia-sia dan tidak berfaedah, maka anda hanya membuktikan
kualiti anda sendiri sebagai kumpulan sarjana ciritan yang bangga memperagakan
kualiti bullshit karya dan pemikiran
anda. Tidakkah ini akan jadi lebih memalukan?
Tetapi yang paling menjatuhkan maruah anda ialah sikap sombong dan
angkuh anda, yang juga melewati sikap biadab yang dikutuk oleh budaya ilmu
kita, yang akan terjadi jika anda meletakkan diri anda terlalu tinggi padahal
anda belum lagi menyanggah kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas
bahawa anda adalah daripada golongan pinggiran yang cetek meraba-raba. Syukur saya tidak termasuk dalam golongan
biadab itu, dengan memberi sumbangan kepada penerbitan buku Adab
Dan Peradaban. Buku ini tidak
berfaedah kepada golongan pinggiran yang biadab, yang keliru dan cetek
meraba-raba. Keangkuhan mereka membuat mereka sanggup mengkhianati persuratan Melayu.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 9 Ogos 2015.
No comments:
Post a Comment