Tuesday, August 4, 2015

PLOT ONE MDB: SATU TEKNIK DALAM NARATIF PASCAMODENISME



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (cukup terkenal dengan singkatan SPRM) telah mengisytiharkan YAB Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang kini ditakdirkan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang paling “popular” dari segi kerapnya namanya disebut dalam semua media yang terdapat di dalam dunia sekarang, sebenarnya bebas sari sebarang salah laku dalam urusan kewangannya kerana wang sejumlah RM6.2 bilion (sorry, angka sebenar RM2.6) bukan diambilnya daripada syarikat gergasi yang ditubuhkan oleh beliau dengan nama 1MDB, tetapi sebenarnya wang sumbangan peribadi untuknya sendiri yang diterimanya dari sumber yang tidak perlu diketahui. Yang penting, beliau, YAB Perdana Menteri, bukanlah seorang pemimpin yang korup. Adapun yang korup itu ialah orang-orang yang menuduhnya korup.  Sebagai seorang penulis, saya cukup teruja dengan nama One MDB itu, yang wajar diberi penghormatan dalam kritikan sastera untuk dijadikan satu istilah dalam teknik mengarang. Selama ini kita cukup mesra dengan konsep plot, yang dijadikan asas untuk menulis cerita dan dalam masa yang sama menjadi konsep utama dalam menentukan nilai sesebuah karya cereka. Adakah plotnya bagus atau selekeh? Adakah plotnya melahirkan makna yang berlapis-lapis yang sangat indah-indah dalam karya seorang sasterawan negara seperti Anwar Ridhwan yang menghasilkan novel terbaik di Malaysia, Naratif Ogonshoto?  Novel ini kini dihempap ke riba para pelajar sastera Malaysia untuk dikunyah bersama telur penyu gergasi yang melahirkan tsunami dalam “the ending of the novel”.

Dengan wujudnya konsep baru dalam teknik penulisan cereka yang diambil daripada peristiwa One MDB, maka konsep baru ini bolehkah dijadikan teknik baru dalam pembinaan plot cereka yang akan melahirkan karya cereka yang berlapis-lapis maknanya dan indah-indah pula jalinan ceritanya.  Peristiwa One MDB ini sangat penting dalam sejarah politik Malaysia, dengan itu amatlah wajar jika nama yang mengharumkan negara ini dijadikan satu istilah dalam penulisan cereka.  Wujudnya 1MDB (singkatan ini adalah yang rasmi bagi syarikat One Malaysia Development Berhad yang sangat besar modalnya (tapi ada yang kata modalnya hanya dua ringgit saja!) dan besar pula hutangnya wajar dijadikan satu mercu tanda dalam sejarah kritikan sastera Malaysia kerana One MDB memberikan teknik yang paling canggih dalam menulis cereka. Dalam konsep yang kini sudah menjadi klise, yakni konsep plot, yang menjadi unsur utama dalam pembinaan plot adalah peristiwa dan sebab akibat yang lahir daripada peristiwa itu. Contoh mudah: seorang pemandu kereta menemui bangkai kucing yang sangat besar di lebuh raya, dilanggar oleh sebuah lori tangki yang hampir hancur  terjatuh di dalam gaung. Apakah jenis kucing sebesar itu? Mengapa dilanggar oleh pemandu lori? Adakah dia tidak nampak? Atau kucing itu tiba-tiba melompat dengan cepat dan terus melanggar lori yang sedang bergerak laju? Oleh itu bukan lori yang melanggar kucing, tetapi sebaliknya. Dari mana datangnya kucing besar itu? Adakah inilah satu-satunya kucing sebesar itu yang ditemui di Malaysia? Dan banyaklah soalan yang boleh dikemukakan, tidak ada ujungnya. Dengan menjadikan contoh kucing besar melanggar lori besar itu, maka cocoklah contoh ini dengan nama teknik One MDB yang juga besar serba serbinya. Apakah yang boleh kita simpulkan daripada contoh ini? Pertama sekali, apabila seseorang sasterawan menggunakan teknik One MDB, dia sebenarnya menulis sebuah kisah besar yang hebat yang amat rumit dan penuh dengan teka-teki yang maknanya berlapis-lapis tidak dapat dikira lapisannya. Keduanya, kisah itu mestilah berbentuk sensasi, seperti peristiwa kucing melanggar lori besar tadi. Ketiga, kisah itu mestilah sangat penting dalam kehidupan seseorng tokoh atau watak, yang berupaya menyerlahkan kehebatannya. Keempat, kesudahannya mestilah untuk memberi pengajaran moral yang unggul, yang membuktikan kehebatan watak kerana kejujurannya dan kegigihannya mempertahankan kedudukannya. Dan lain –lain unsur yang anda akan tambah lagi apabila teknik ini dipakai oleh seorang sasterawan genius nanti.

Apabila seseorang memakai teknik naratif One MDB, maka dia dituntut untuk menghasilkan sebuah karya besar yang amat kaya dengan makna yang berlapis-lapis, mengenai seorang tokoh besar yang agung dalam sejarah hidupnya, memperihalkan perjuangannya untuk menyerlahkan kehebatan perwatakannya supaya dapat dijadikan contoh moral paling unggul dalam kehidupan manusia agung tadi. Semua ini tersirat dalam karya, sebaik saja seseorang sasterawan memilih untuk menggunakan teknik naratif One MDB ini. Oleh itu, istilah lama plot tidak lagi sesuai digunakan dalam konteks ini, kerana dalam istilah lama itu apa saja boleh terjadi, seperti yang dapat dilihat dalam karya para sasterawan negara Malaysia. Dalam karya mereka, watak-watak yang dijadikan tokoh tidak semestinya seorang tokoh besar yang cerdik atau bermoral tinggi, dan tidak hanya manusia yang menjadi tokoh, hatta tahi pun boleh ditokohkan dalam novel seperti yang dilakukan oleh sasterawan negara Shahnon Ahmad dalam karya besarnya berjudul Shit.  Dengan penjelasan ini, naratif One MDB adalah teknik khusus yang hanya boleh digunakan oleh seorang sasterawan yang berpengalaman dan sudah banyak membuat “pelanggaran” dalam karyanya. Dengan kata lain, teknik One MDB adalah teknik pelanggaran yang akan melahirkan karya besar dalam konteks budaya pascamodenisme.  Inilah teknik avant-garde  yang terbaru yang belum lagi wujud dalam sastera dunia, terutama sekali sastera Barat. Inilah teknik milik Malaysia yang diilhamkan oleh seorang ahli politik ulung Malaysia.

Dengan teknik One MDB ini karya kreatif dalam bahasa Melayu akan memberi perhatian istimewa kepada gerakan korupsi yang berleluasa dalam segenap bidang kehidupan di Malaysia, termasuk dalam bidang kesusasteraan dan penulisan kreatif yang melahirkan sekumpulan sasterawan negara yang memberi sumbangan besar dalam budaya pandirisme, sejenis korupsi intelektual yang kini menjadi arus perdana dalam kesusasteraan Melayu moden.  Para penulis muda yang berbakat yang kini menjadi pengikut para sasterawan negara, yang memuja para sasterawan negara ini sebagai sasterawan unggul yang telah ditakhtakan di singgahsana gemerlapan pandirisme, akan terus menjadi pengikut para sasterawan negara ini, tetapi dengan sedikit perubahan dari segi kecanggihan teknik  penulisan kreatif yang ditumpukan kepada idea besar dalam konteks pandirisme.  Untuk memudahkan perkara ini difahami, kita ambil contoh yang diberikan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 yang meminta para sasterawan menulis cerita penglipur lara menggunakan teknik yang digunakan Salman Rushdie untuk mengutuk Nabi Muhammad SAW dalam novelnya The Satanic Verses. Dengan lahirnya sejumlah sasterawan jenis Salman Rushdie dalam sastera Melayu moden, teknik One MDB diberi kedudukan tinggi di kalangan para sasterawan dengan sokongan dan naungan para sasterawan negara sendiri. Adakah anda faham maksud saya? Dengan mudah saya boleh jelaskan begini: jika Salman Rushdie menjadikan Nabi SAW sebagai tokoh yang dikutuknya dalam karya besarnya, maka para penulis muda yang menerima saranan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh boleh pula menulis tentang tokoh-ptokoh besar dalam politik Malaysia, seperti seorang Perdana Menteri atau sesiapa saja yang dipilihnya, termasuk dari golongan para sasterawan negara sendiri, untuk dijadikan tokoh utama dalam karyanya menggunakan teknik One MDB.

Inilah cabaran baru dalam penulisan kreatif Malaysia, menggunakan teknik One MDB yang ternyata amat berkesan dalam perjuangan politik yang berslogan “rakyat diutamakan, pembangunan dirancang memberi keuntungan.”  Teknik One MDB juga akan menjadi satu teknik naratif yang berkesan dalam penulisan novel atau lain-lain bentuk cereka, lebih-lebh lagi dalam cereka berunsur penglipur lara seperti yang dicontohkan dalam Naratif Ogonshoto, novel terbesar Malaysia itu.  Dalam novel ini, kejadian tsunami yang menjadi “the ending of the novel” diilhamkan daripada Banjir Besar Nabi Nuh ‘a.s. dalam al-Quran, dengan editing yang berani berasaskan teknik One MDB apabila tsunami itu dikaitkan dengan keluarnya dari pertapaan seekor penyu gergasi untuk menghapuskan Pulau Ogonshoto. Dengan adanya tokoh penyu gergasi itu, maka lengkaplah sensasi yang menjadi teknik utama dalam novel ini, yang juga menjadi contoh teknik One MDB pertama dalam karya kreatif Malaysia, yang sesuai dengan saranan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang memberi saranan kepada para sasterawan supaya mencontohi Salman Rushdie dalam menulis karya penglipur lara pascamodenisme, yang maknanya berlapis-lapis dalam simbolisme yang indah-indah seperti yang diceritakan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika membicarakan novel Naratif Ogonshoto ini. Dengan  wujudnya contoh ini, maka para penulis muda Malaysia telah diberi galakan untuk menulis dalam teknik One MDB ini. Selamat berjaya kepada mereka yang gigih mencipta dongeng penglipur lara moden yang dipopularkan kembali oleh para sasterawan negara.  Dengan menggunakan kaedah One MDB ini, maka layaklah para sasterawan negara berada di tempat mereka di singgahsana keunggulan yang ditetapkan oleh Mana Sikana melalui dua buah bukunya.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 4 Ogos 2015.

No comments:

Post a Comment