Wednesday, August 6, 2014

MENAPAK DI BALAI MAQAMAT ...



Balai Maqamat ditulis 2004, dikemukakan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk diterbitkan, tetapi ditolak oleh seorang editor wanita dengan alasan isinya bertentangan dengan dasar kerajaan dan terlalu kritikal terhadap kerajaan Malaysia. Saya menulis kepada Ketua Pengarah untuk berbincang, tidak mendapat layanan. Naskhah itu terperap dalam simpanan beberapa lama, sehinggalah seorang penulis muda mengemukakannya kepada Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Setelah mengalami beberapa “pembaikan” (yang sebenarnya tidaklah baik, tetapi memperlihatkan sikap positif yang tidak terdapat ketika naskhah ini dalam tangan Dewan Bahasa dan Pustaka, yang secara positif memang berusaha untuk tidak menerbitkannya), maka terbitlah Balai Maqamat dengan segala kecacatan editorial yang sepatutnya tidak berlaku sekiranya terdapat profesionalisme yang tinggi dalam pengeditan. Kesalahan maha besar ialah perubahan Gagasan Persuratan Baru menjadi, dijadikan dan diberi nama baru Gagasan Persuratan Baharu. Walaupun saya telah memberi teguran supaya nama khas itu tidak diubah, editor yang bertanggungjawab (?) tetap mengubahnya tanpa kebenaran saya, malah tanpa memperdulikan keberatan saya. Persoalan tentang Persuratan Baru (bukan Persuratan Baharu) telah dibincangkan secara akademik, dan saya persetujui, oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir. Kepekaan akademik ini tidak ada di kalangan para editor kita, yang menganggap diri mereka lebih pandai daripada ahli akademik yang meneliti persoalan ini dengan penghujahan yang mantap.  Adalah amat ironis apabila salah satu episod dalam Balai Maqamat (hal. 51-63) membicarakan aspek penyuntingan ini, dengan memberikan beberapa pertunjuk tentang sifat-sifat editor yang ideal. Dalam keadaan yang ideal, sepatutnya tidak berlaku keadaan tikus membaiki labu atau tikus melihat besi dalam bidang penyuntingan di negara kita. Tidak adakah ruang untuk mewujudkan editor yang ideal itu? Sekiranya kita masih terus melahirkan editor tikus, maka profesionalisme yang kita harapkan dalam bidang penyuntingan ini tidak akan muncul selagi para tikus editor ini diberi kuasa untuk menikusi naskhah yang mereka hadapi.  Editor tikus di Dewan Bahasa dan Pustaka yang menilai Balai Maqamat akhirnya menikus (mendiamkan diri) setelah berjaya melempar Balai Maqamat di kaki saya untuk saya kutip.

Sebenarnya penerbitan Balai Maqamat menjadi batu tanda yang penting dalam penulisan kreatif di Malaysia, yang menjadi bench mark kepada penerbitan sebelum dan selepasnya. Karya-karya para sasterawan negara wajar dinilai dengan menjadikan Balai Maqamat sebagai rujukan perbandingan dalam penilaian itu. Sejauh mana karya para sasterawan negara ini menonjol, tanpa bandingan dengan karya sebelum dan selepasnya, jika dinilai dari segi pemikiran dan penampilan kreatif mereka. Oleh itu, sejauh mana pula Balai Maqamat jauh terkebelakang (ketinggalan) daripada para sasterawan negara ini, dengan itu memberi makna bahawa karya mereka mempunyai keunggulan tersendiri yang tidak mungkin dapat diatasi oleh para penulis/sasterawan yang muncul selepas mereka. Untuk sampai kepada kesimpulan ini, anda perlu mngemukakan hujah dan bukti berasaskan bacaan yang sesuai, sama ada mod bacaan intelektual, atau mod bacaan cerita. Jika anda ingin membuat kesimpulan, mod bacaan cerita itu lebih tertonjol dari segi intelektualnya daripada mod bacaan intelektual, maka anda perlu membincangkan dengan mendalam mengapa mod bacaan cerita itu lebih utama daripada mod bacaan intelektual. Apakah implikasinya dari segi penilaian dan peranan ilmu dalam karya kreatif? Jika anda tidak dapat membuktikan mod bacaan cerita itu lebih utama daripada mod bacaan intelektual, maka seluruh kesimpulan anda yang memberi keutamaan kepada mod bacaan cerita itu, tidak dapat dipertahankan. Adakah ini menjadi bukti yang paling tepat dan kuat tentang tiadanya pemikiran dalam karya para sasterawan negara ini. Kesimpulan ini memerlukan penghujahan dan bukti yang sekira-kira mencukupi untuk terus mengekalkan mod bacaan  cerita itu sebagai jenis bacaan yang menyerlahkan pemikiran para sasterawan negara ini. Saya sendiri menolak kesimpulan ini, yang saya anggap sejenis klise yang hanya berguna jika dilihat dalam konteks bacaan dalam  mod bacaan intelektual. Mod ini belum lagi difahami oleh kebanyakan sarjana kita, oleh itu mereka masih merayau dalam belantara mod bacaan cerita dan khayal di situ. Itulah kelemahan kritikan sastera Melayu sekarang. Bercakap tentang pemikiran, tetapi tulisan mereka sendiri tidak mencerminkan adanya pemikiran yang mantap, yang membolehkan kita mengenal betul-betul kenal nilai sebenar karya para sasterawan negara ini. Sekarang para sarjana ciritan ini hanya berjaya memperagakan retorik peragaan mereka, yang dangkal dan penuh dengan pendapat orang lain yang tidak ditapis dengan kritis. Baca saja kertas kerja mereka tentang “pemikiran” para sasterawan negara ini, kita tahu tidak saja sasterawan negara kontang pemikiran, penulis kertas kerja itu pula kering idea, hanya memperagakan maklumat yang tidak dicerna. Bacalah kertas kerja mereka, kalau anda tidak yakin dengan kesimpulan ini. Baca dengan kritis sebagai seorang sarjana yang bukan dalam kategori sarjana ciritan. Kalau anda sendiri sarjana ciritan, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Saya hanya boleh berkata, anda boleh tuduh sayalah sarjana ciritan itu, dan buktikan kebenaran pendapat anda dengan menganalisis karya akademik saya. Kerja mudah, bukan? Kalau ini pun anda tidak mampu kerjakan, maka sempurnakanlah budaya pandirisme yang anda sangat banggakan itu.  Anda akan terkesan betapa mereka ini menulis kritikan cerita, bukan kritikan analisis dan penilaian yang menyerlahkan kemantapan wacana ilmiah mereka. Tanpa kesedaran ini, anda akan terus berada dalam budaya pandirisme dan terus kekal sebagai seorang sarjana ciritan saja.

Para sarjana ciritan tidak perlu berada dalam kelompok Persuratan Baru untuk keluar dari kandang ciritan mereka. Mereka hanya perlu membaca dengan kritis segala dokumen mengenai PB yang telah ada, setelah itu memberikan kritikan mereka yang paling keras sekali pun untuk membuktikan PB bukan sebuah “teori” sastera yang sesuai dipakai dalam apa juga bentuk kritikan di Malaysia. Sebenarnya inilah yang diharapkan oleh para sasterawan dan ahli akademik. Mereka menunggu satu sanggahan yang ilmiah untuk menyelamatkan kesusasteraan Melayu moden di samping memberikan pembelaan sewajarnya kepada para sasterawan negara yang menurut anggapan umum akan kehilangan kedudukan mereka sekiranya konsep persuratan menjadi konsep utama dalam penulisan, sementara kesusasteraan menduduki tempat kedua, di bawah persuratan. Ketika perubahan itu berlaku, kewujudan para sasterawan negara tidak diperlukan lagi, sudah menjadi satu perkara yang songsang dalam dunia kreatif Melayu/Malaysia. Para sasterawan negara ini tidak relevan lagi, dan tidak wajar lagi diberi kedudukan yang bukan mendorong ke arah pembinaan tamadun ilmu berasaskan konsep ilmu yang benar. Dalam konteks inilah PB perlu disanggah dan ditolak. Inilah tugas penting para sarjana ciritan yang terpaksa mereka kerjakan jika mereka masih mahu jadi relevan dalam persuratan Melayu dan dalam bidang akademik. Kita menunggu sanggahan mereka. Sebenarnya mereka boleh melakukannya dengan mudah kerana mereka mempunyai dana yang cukup di Dewan Bahasa dan Pustaka, dan mungkin juga di ITBM. Selain dari itu, seluruh badan penulis, baik yang dikepalai oleh PENA mahu pun GAPENA, adalah pendukung kesusasteraan dan sudah terbukti mereka adalah anti-ilmu. Mereka tidak perlu menunggu lama untuk melaksanakan projek mereka menjadikan khayalan dan imaginasi aspek penting dalam pembinaan kebiadaban baru untuk mempertahankan kedudukan para sasterawan dan sarjana ciritan dalam dunia penulisan, supaya dengan itu kedudukan para sasterawan negara tetap terpelihara dalam budaya pandirisme dan kebiadaban baru itu. Bagaimana dengan kedudukan universiti? Nampaknya telah ada kesedaran ke arah yang dituju oleh Gagasan Persuratan Baru dengan terbitnya buku tentang dekolonisasi universiti terbitan USM (2012). Termasuk juga di situ dekolonisasi ilmu yang diajar di universiti.

Mohd. Affandi Hassan
4 Ogos 2014.

3 comments:

  1. Nama buku itu:

    Book Title: Decolonising Our University: The Emerging Quest for Non-Eurocentric Paradigms
    Editors: Claude Alvares & Shad Saleem Faruqi
    Publisher: Penerbit USM, 2012
    Price: not available

    ReplyDelete
  2. Saya ni bukan ahli sastera, tapi minat baca dan dok perhati tu memanglah. singgah2 baca blog ni, saya dok terpikat dengan ayat bawah ni, buat saya pikiaq diam-diam:
    "Para sarjana ciritan tidak perlu berada dalam kelompok Persuratan Baru untuk keluar dari kandang ciritan mereka. Mereka hanya perlu membaca dengan kritis segala dokumen mengenai PB yang telah ada, setelah itu memberikan kritikan mereka yang paling keras sekali pun untuk membuktikan PB bukan sebuah “teori” sastera yang sesuai dipakai dalam apa juga bentuk kritikan di Malaysia.'

    Masalahnya, disebabkan mereka ni sarjana ciritan, mana nak ada masa dok menelaah PB dgn kritis! kalau sarjana ciritan terus tercirit sombong nak kutip hikmah PB, itu masalah depa yg depaendiri tak mau selesaikan. budak-budak la ni, yang cerdik2 saja yg dapat manfaat.

    bak kata Tuan dlm buku Balai Maqamat ni (dah dua round saya baca ni) Salam intifadah!

    Tasek Gelugor

    ReplyDelete
  3. Sdr. Pencinta Ilmu.

    Terima kasih atas komen Sdr. Saya harap para sasterawan dan sarjana baca Balai Maqamat dengan kritis. Lebih baik jka dikritik betul-betul, bukan main-main. Saya nak tengok betulkah tidk andaian saya bahawa kita boleh menilai kualiti pemikiran dan daya intelek pengkritik buku ini daripada kritikan mereka.

    Salam intifadah.

    Mohd. Affandi Hassan

    ReplyDelete