Dengan tertulisnya (2004) dan terbitnya (2014) Balai Maqamat, para sarjana sastera,
sasterawan dan pengkritik sastera, diberi peluang yang luas terbuka untuk
menerima karya itu sebagai sebuah karya persuratan yang penting, atau
menolaknya terus sebagai sebuah karya yang tidak bermutu. Dua keadaan yang berbeza, tetapi sama dari
segi beban intelektual yang harus dipikul oleh sarjana yang menerima atau yang
menolaknya. Bagi yang menerimanya, anda perlu menghuraikan asas-asas penerimaan
itu supaya dapat difahami oleh golongan kedua yang menolak karya itu. Bagi yang
menolak karya itu sebagai tidak bermutu, anda juga perlu mengemukakan asas-asas
penilaian anda supaya dapat disanggah secara akademik oleh golongan
pertama. Bagaimana jika karya itu tidak
dipedulikan? Inilah yang terbaik kerana “keputusan” itu membenarkan, tanpa
perlu apa-apa hujah dan bukti, bahawa kesimpulan saya selama ini tentang budaya
pandirisme dalam sastera Melayu moden adalah tepat. Keputusan itu penting
kerana ia membuktikan tiga perkara: (1) betapa naifnya kritikan sastera
Malaysia, dan betapa lemahnya kemampuan ilmiah para sarjana ciritan dalam
menghadapi cabaran akademik, oleh itu mereka selesa berada dalam situasi itu;
(2) dengan itu terbuktilah, tanpa ragu
sedikit pun, betapa kelirunya mereka dalam membuat penilaian yang begitu mudah
untuk mendedahkan ketidak-mampuan intelektual mereka dalam memahami konsep
ilmu; (3) dengan itu pula mereka
membuktikan kedudukan mereka yang sebenar sebagai golongan yang boleh dikatakan
bersikap anti-ilmu. Inilah tiga kesimpulan yang boleh dijadikan hujah apabila
kita ingin menilai golongan ini dan peranan mereka dalam kelangsungan
pandirisme yang mereka jadikan gerakan arus perdana.
Saya tujukan tulisan ini kepada golongan ketiga ini,
yang memilih untuk berdiam diri dan dengan megahnya pula meletakkan diri mereka
sebagai penentu ukuran dalam penilaian karya sastera dan dalam usaha mereka
meneruskan pandirisme sebagai gerakan arus perdana dalam kesusasteraan Melayu
moden. Walaupun mereka berdiam diri, mereka sebenarnya bercerita begitu riuh
dalam usaha mereka meneruskan pandirisme itu.
Pelindung mereka adalah Panel Anugerah Sastera Negara dan para
sasterawan negara yang dipilih oleh panel itu. Dua perkara yang perlu
diperhatikan, dan diberi perhatian yang utama, iaitu kepercayaan bahawa Panel
Anugerah Sastera Negara telah menjalankan tugas mereka dengan sempurna dalam
memilih para sasterawan negara ini; dengan itu gelaran sasterawan negara yang
mereka berikan kepada sasterawan pilihan mereka adalah sasterawan terbaik yang
perlu dicontohi dan karya mereka dijadikan bahan kajian utama dalam pendidikan
negara. Dalam banyak tulisan saya yang telah tersiar (termasuk di dalam blog),
saya tegaskan dua kesimpulan ini adalah palsu, tidak berasaskan konsep ilmu
yang benar, tidak juga menampilkan ukuran yang standard yang boleh dijadikan
panduan dalam kemajuan berfikir dan juga dalam mencorakkan perkembangan kreatif
berasaskan ilmu. Antara lain, yang penting, saya menegaskan bahawa Panel
Anugerah Sastera Negara telah gagal memberikan arah yang betul dalam kritikan
dan penilaian karya sastera di Malaysia. Mereka tidak menampilkan asas
epistemologi yang kukuh ketika membuat penilaian mereka, seperti tertera dalam
laporan yang mereka terbitkan. Mereka tidak terdiri daripada golongan pemikir
yang berminat kepada perkembangan pemikiran dalam kritikan sastera Malaysia,
malah mereka adalah golongan yang mesra kritikan sastera Barat. Persoalan ini
telah saya bahaskan dengan panjang lebar, oleh itu tidak perlu diulang lagi
dalam tulisan ini. Sekadar untuk membantu anda memahami kesimpulan ini, saya
kemukakan beberapa contoh yang sudah saya berikan terdahulu.
Panel menggunakan pendekatan “retorik peragaan” untuk
mewujudkan mitos di sekitar para sasterawan negara pilihan mereka. Retorik peragaan merujuk kepada rentetan
pujian dan sanjungan yang disenaraikan oleh Panel untuk menunjukkan seseorang
sasterawan negara pilihan mereka adalah hebat, tiada tolok bandingnya, dan
hanya dapat digandingkan dengan sasterawan negara lain dalam kelompok
mereka. Tidak ada penghujahan dan
analisis yang mendalam kerana tidak perlu, begitu juga tiada bukti dikemukakan
kerana semuanya dicurahkan melalui cerita. Dalam konteks ini, setiap laporan Panel
adalah cerita tentang kehebatan seseorang sasterawan negara, bukan penilaian
berasaskan analisis yang objektif tentang sumbangan mereka. Oleh itu, terdapat
kontradiksi yang amat menonjol sebaik saja kita mulai menganalisis dan menilai
karya para sasterawan negara ini dan kandungan laporan itu sendiri. Kita lihat Laporan 1991 tentang Muhammad Haji
Salleh. Di bawah saya turunkan satu kutipan panjang untuk melihat bagaimana
“masalah” ilmu ditangani.
“Kepadanya pokok persoalan atau tema sesebuah puisi
adalan ilmu. (Huruf condong asal). Ini mencakupi ilmu
tentang manusia dan persekitarannya, kerana menurut Muhammad, tanpa kepekaan
akan dunia sekeliling, seorang penyair tidak dapat bergelut terus dengan
alamnya. Muhammad juga menyedari akan ilmu yang berlainan dengan pengetahuan
dan sains kerana dalam puisi tidak ada undang-undang logik yang saintifik, ilmu
yang diproses secara kreatif untuk memahami perasaan dan peribadi manusia,
untuk memahami adat, kecenderungan dan kebiasaan kehidupan, untuk turut mengalami
detik-detik emosi yang berubah dan genting, serta ilmu untuk turut menilai
kemanusiaan pada tahan-tahap tertentu. Bezanya ilmu yang diproses secara
kreatif menerusi puisi datangnya melalui emosi, pengalaman, renungan, kepekaan,
intuisi dan bisikan kalbu, bukan melalui penyelidikan atau kajian kesarjanaan.
Dengan sendirinya ilmu kepenyairan itu menambahkan ilmu saintifik, menambahkan
pengalaman kehidupan dan berhasil mempertajamkan lagi sensitiviti (kepekaan)
kerana puisi lebih halus dan indah melihat ke dalam jalinan rasa dan lebih
dalam melihat sesuatu menerusi daya persepsi
pancaindera. Dalam erti kata yang lain, meskipun puisi melihat sesuatu
secara kilatan fikiran dan perasaan, namun ia memiliki wawasan bagi meneroka
rahsia-rahsia alam dan kemanusiaan ini. Pada Muhammad, meskipun puisi bertitik
tolak daripada hiburan melalui bahasa dan bentuk, namun hiburan itu terjalin
secara kental dalam persoalan yang menuju ke arah makna-makna yang memperlihat
kebijaksanaan. Lantas puisi itu akan membantu membijaksanakan sikap, membantu
mematangkan kehidupan dengan keluasannya, serta membantu merenungi sudut-sudut
kehidupan yang kaya dengan rahsia ini. Dalam erti kata yang lain, pada
Muhammad, seorang peyair itu adalah sebenarnya seorang pemikir yang selalu
memikirkan tentang kehidupan kemanusiaan, yang selalu memberi penilaian tentang
kehidupan, yang selalu merenugi ke dalam kehidupan, yang selalu mencari jawapan
kepada rahsia-rahsia alam dan yang selalu membincangkan situasi-situasi dalam
kemanusiaan.” (ms. 12).
Apakah yang hendak diberitahu oleh kutipan yang
panjang ini? Inilah contoh “idle talk”
atau omongan, ocehan, yang dikritik oleh Martin Heidegger (rujuk tentang
perkara ini dalam Gagasan Persuratan
Baru: Pengenalan dan Penerapan (UKM, 2008; hal. 46-50). Inilah juga contoh
“bullshit” dalam kebudayaan yang dibincangkan oleh Prof. Harry G. Frankfurt
dalam bukunya On Bullshit. (Lihat Gagasan
Persuratan Baru, hal. 121-132 mengenai aspek bullshit dalam sastera Melayu moden). Dari kutipan ini kita dapat lihat dua
perkara: kekeliruan tentang konsep ilmu Panel Anugerah Sastera Negara dan
Muhammad Haji Salleh sendiri; kedua, betapa ceteknya pengetahuan mereka tentang
ilmu dan perbezaan ilmu dengan pengetahuan, dua perkara yang dibincangkan
dengan agak terperinci dalam Pendidikan
Estetika daripada Pendekatan Tauhid (DBP 1992, 2005). Perkara ini hanya terjadi dalam “retorik
peragaan” yang menjadi amalan dalam kritikan sastera Melayu, yang diulang
beribu kali dalam tulisan para sarjana ciritan untuk memperlihatkan luasnya
pengetahuan mereka, padahal semuanya hanya sejenis idle talk. Sekali imbas,
jika anda tidak bersikap kritis berasaskan fahaman ilmu yang betul, kutipan ini
seolah-olah membicarakan sesuatu yang penting tentang ilmu dan konsep ilmu,
mungkin kelihatan memikat sesiapa juga yang memang tidak mendalam
pengetahuannya tentang ilmu. Di sini tidak disebut sepatahpun sumber ilmu;
tidak juga dijelaskan makna pengetahuan dalam konteks maklumat yang disaring
daripada pengalaman empiris. Semua ini telah dijelaskan dalam Pendidikan Estetika daripada Pendekatan
Tauhid. Antara implikasi penting daripada penjelasan itu ialah konsep
realiti yang difahami dalam sastera tidak lagi totok bersifat empiris yang
sering menimbulkan ilusi, seperti dalam kisah Ratu Balqis mengadap Nabi
Sulaiman ‘a.s. Dengan itu terdapat dua jenis realiti, yakni realiti hakiki dan
realiti semu. Dalam konteks inilah konsep ilmu itu harus difahami oleh para
sarjana sastera, sasterawan dan pengkritik sastera. Perbincangn mendalam
tentang konsep realiti ini telah dilakukan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd.
Tahir dalam kuliah MASTERA beliau, diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka
dengan judul, Dinamika Pemikiran Sastera
Melayu (DBP 2009).
Betapa naifnya “idle talk” dalam kutipan di atas dapat
kita lihat dengan jelas dalam pendapat Panel seterusnya: “Daripada tangan Muhammad, banyak terhasil
puisi moden yang bermutu. ... Muhammad adalah antara penyair kita, yang
puisi-puisinya akan bertapak lama kerana mutunya yang tinggi serta persoalannya
yang menarik. Beliau mempunyai bakat, berilmu dalam bidangnya dan mempunyai
sikap pilihannya terhadap seni dan kehidupan. Beliau sendiri sering mencari
tema penting dan usaha mencipta puisi yang baik, seperti yang pernah
diungkapkannya sendiri: ‘Teks puisi
haruslah persoalan penting, bukan gambaran sementara, untuk dibaca dan
dilupakan dalam waktu yang singkat, tetapi lebih membuat seseorang pembaca atau
pendengar itu terus memikirkan tentangnya’.” (hal. 30).
Tidak diberikan contoh puisi yang bermutu tinggi itu,
sehingga mendorong kita membuat kesimpulan semua
(ya, semua) sajaknya bermutu tinggi. Ini satu omongan yang Pak Pandir pun
tidak boleh terima. Cukuplah jika diberikan dua tiga buah sajak yang bermutu
tinggi itu untuk menjadi panduan kita, sebagai bukti tentang bakatnya yang
tinggi dan beliau sebagai seorang yang berilmu.
Dalam buku-buku kumpulan sajak beliau sendiri kita banyak menemui
catatan perjalanan yang dijadikan sajak, yang pada umumnya tidak bermutu,
sekadar catatan biasa yang dialami oleh setiap pelancong ketika melawat sesuatu
tempat. Ini saja pun sudah cukup untuk menolak penegasan beliau (i.e. Muhammad
Haji Salleh) bahawa teks puisi haruslah persoalan penting, bukan gambaran
sementara. Saya telah menyebut bagaimana gambarannya tentang azan yang didengarnya
di Kaherah, yang merayau seperti kucing atau anjing liar ... Adakah ini
gambaran sebenar tentang azan? Contoh ini penting kerana Muhammad Haji Salleh
tidak dapat membezakan tema penting dengan lintasan fikiran dangkalnya tentang
peranan dan matlamat azan dalam kehidupan orang Islam. Saya telah mengulas
perkara ini dalam salah satu post dalam blog saya. Orang berilmu tidak begitu
caranya mengolah tema sebesar itu dalam kehidupan penganut Islam. Patutlah di
tempat lain dia memuji Mephistopheles, suatu perkara yang amat mengejutkan kita
dan hingga kini belum lagi diberi penjelasan oleh beliau atau oleh para
pengikut beliau. Semua contoh ini menolak bulat-bulat kesimpulan Panel tentang
pensajak ini, dan amat bertentangan dengan pengakuan pensajak ini sendiri yang
dikutip oleh Panel dalam laporannya.
Lihat omongan dan ocehan Panel seterusnya: “Muhammad
adalah seorang penyair yang bukan sahaja kuat kerana tegas serta jelas sikap
hidup dan aliran intelektualisme yang dianjurkannya dan bukan sahaja kerana beliau
bebas daripada belenggu dogma kekolotan tetapi juga, yang penting, kerana pada
saat para penyair dan sasterawan Melayu umumnya mencari-cari identiti diri,
beliaulah seorang daripada yang paling berjaya menemui identiti dirinya, sekali
gus berjaya menentukan komitmen seninya”. (hal. 28)
Kesimpulan ini tidak mempunyai asas akademik sama
sekali, lahir daripada Panel Anugerah Sastera Negara dalam usaha mereka membina
mitos di sekitar Muhammad Haji Salleh. Memberi gambaran salah bukanlah tugas
penilai sastera yang bertanggungjawab, kerana perbuatan ini akan meletakkan
tokoh yang dipuji terlalu tinggi dan istimewa, padahal dia tidak layak diberi
sanjungan setinggi itu. Kalau pandangan Panel diterima, maka orang akan
menerima perbuatan songsang meletakkan Si Tanggang sebagai ikon Melayu moden
itu sebagai pilihan yang betul; apatah lagi apabila sasterawan ini, menurut
Panel, telah mendapat identitinya dengan memanggil dirinya Tanggang II!
Tidakkah ini songsang? Saya pernah dengar gugu-guru Melayu yang mengajar sastera
mempertahankan pilihan yang songsang ini, dan mengkiritik saya tidak tahu
membaca sajak. Jadi pengaruh buruk ini sudah menular di kalangan guru sastera,
yang secara tidak bertanggungjawab mengajar pelajar mereka bahawa menjadi
biadab itu tidak salah kerana itulah nilai baru yang boleh mendorong para
pelajar untuk berjaya. Pandangan begini sudah mula mendapat tempat di kalangan
para sarjana sendiri. Inilah pandangan salah seorang daripada mereka:
“Hal yang sama jika
diteliti pada cerita si Tanggang. Lazimnya para peneliti,
para
pengkaji sastera mahupun para pelajar ditekankan supaya jangan menderhaka kepada
kedua ibu bapa. Jika derhaka, maka anak-anak akan mendapat balasannya sepertimana
yang berlaku kepada Si Tanggang. Di sebalik unsur moral dan pengajaran yang
ditekankan, kisah “Si Tanggang” juga memperlihatkan nilai positif. Akibat
kemiskinan, Si Tanggang bercita-cita hendak jadi kaya dan terkenal. Di sini memperlihatkan
bahawa Si Tanggang ada matlamat, iaitu ingin menjadi kaya dan terkenal. Untuk mencapai
cita-citanya, ia bekerja dengan Nakhoda kapal apabila sebuah kapal besar
berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang bekerja
keras untuk mencapai cita-citanya hingga menyebabkan Nakhoda amat suka
dengannya kerana dia rajin bekerja. Si Tanggang pun diambil sebagai anak
angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda
baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang. Si Tanggang cekap dan pandai berniaga
hinggakan namanya terkenal. Si Tanggang dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak
lama kemudian, Si Tanggang pun berkahwin dengan puteri Sultan. Si Tanggang
berjaya meniti dari satu tangga ke satu tangga untuk berjaya menjadi saudagar
kaya apabila adanya perancangan.” (Prof. Mohd. Mokhtar Hassan, dalam kertas kerjanya,
“Kesusasteraan Melayu
mutakhir: antara realiti dan harapan”.
Seminar Sasterawan Negara II, 26 April 2014, UPM).
Selama ini para sasterawan negara menolak
kritikan saya bahawa mereka membawa nilai buruk dan negatif dalam masyarakat
Melayu, terutama sekali di kalangan pelajar. Sekarang mereka sendiri sudah
mengaku, dan memperakukan kejahatan itu dalam bentuk baru sebagai perancangan
untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan. Panel sendiri menggalakkan perubahan
nilai ini, dengan memanggilnya kemajuan, perubahan, kelainan, eksperimen, jalur
kemajuan dan macam-macam istilah lagi. Semua ini diterima dengan baik,
dipertahankan dengan hujah bahawa inilah wajah moden, wajah postmodern. Semua
perubahan ini membawa nilai-nilai baru yang sekular, sama ada disedari atau
tidak. Kutipan daripada Prof. Mohd. Mokhtar Hassan adalah jelas menunjukkan
bahawa perubahan itu digalakkan dengan diberi nama baru, dalam istilah profesor
ini dipanggil perancangan untuk mencapai kejayaan hidup. Peranan sajak “Pulang
Si Tanggang” lebih jelas di sini, kerana sajak itu sudah diberi tempat secara rasmi di sekolah-sekolah melalui
Kementerian Pendidikan. Hujah Prof. Mohd. Mokhtar Hassan, walaupun palsu,
mendapat sambutan kerana akhirnya kejahatan Si Tanggang dapat dipadamkan dengan
dilihat dalam konteks mencari kemajuan dalam kehidupan peribadi.
Palsunya hujah Prof. Mohd. Mokhtar Hassan ini
boleh diuji melalui perbahasan tentang suatu aspek daripada “pemikiran”
Muhammad Haji Salleh, yang juga diberi tekanan oleh Panel Anugerah Sastera
Negara. Saya merujuk kepada konsep kebijaksanaan yang disebut oleh Muhammad
Haji Salleh sebagai matlamat akhir sesebuah sajak. Merumuskan pandangan
Muhammad Haji Salleh, Panel menegaskan begini: “Muhammad berpendapat, puisi
adalah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa dan kebijaksanaan penyair
dan tradisinya. ... bahawa puisi
seharusnya boleh membijaksanakan pembaca, menyebabkan puisi-puisinya mempunyai
jalur serta warna tertentu bukan saja daripada aspek pemilihan diksi serta
pengungkapan, malah peranan yang harus dimainkan oleh otak, akal dan pegangan
dalam menghadapi tantangan duniawi.” (hal. 5)
Menurut Panel, idea puisi membijaksanakan ini diambil oleh Muhmmad Haji
Salleh daripada Robert Frost, penulis sajak Amerika yang terkenal, terutama
sajaknya yang sangat masyhur, “The Road
Not Taken” (hal. 10). Ambiguiti dalam sajak ini dikatakan menjadi perbahasan
berpanjangan di kalangan pembaca sajak Amerika; dari aspek ini kedudukannya
samalah dengan ucapan Shakespeare “to be or not to be” dalam Hamlet. Apakah kebijaksanaan yang
terdapat di dalam sajak Robert Frost yang memikat Muhammad Haji Salleh ini?
Inilah stanza yang menjadi perbahasan itu:
I shall be telling this with a sigh
Somewhere ages and ages hence:
Two roads diverged in a wood, and I —
I took the one less traveled by,
And that has made all the difference.
Kebijaksanaan itu, kata para sarjana
dan pembaca Amerika, terletak dalam ayat “I took the one less traveled by,”. Bagaimana jika sajak ini dibaca oleh seorang pembaca Muslim
berasaskan epistemologi Islam? Sajak ini tidak lebih daripada sejenis permainan
kata, bukan suatu pernyataan tentang kebijaksanaan apa pun. Tepat sekali dengan
pendapat Robert Frost yang amat dikagumi oleh Muhammad Haji Salleh: “puisi
sebagai performance
in words atau suatu persembahan dalam bentuk
perkataan (hal. 10, dipetik daripada buku Pengalaman Puisi, hal. 8). Idea Frost ini berselirat dengan jelas dalam sajak-sajak
Muhammad Haji Salleh. Bahawa sajak-sajak beliau lebih cenderung untuk
dikategorikan sebagai persembahan dalam bentuk perkataan ini telah dibincangkan
dengan panjang lebar oleh Prof. Madya Arbak Othman dalam kertas kerja beliau
yang dibentang dalam “Seminar Pemikiran SN Muhammad Hj. Salleh” (Dewan Seminar,
DBP Kuala Lumpur, 9-10 November 2010). Kertas kerja itu diberi judul yang penuh
sensasi, “Penstrukturan Intelektual dalam Puisi Muhammad Haji Salleh: Suatu
Penelitian Semiotik”. Apakah makna “penstrukturan intelektual”? Saya harap
tajuk yang bombastik ini berjaya membicarakan aspek pemikiran seorang
sasterawan penting di Malaysia. Pendekatan semiotik jarang digunakan di
Malaysia kerana agak sukar, rimbun dengan jargonnya sehingga seorang sarjana
perlu menjadi hamba kepada pendekatan ini untuk memahaminya. Dalam tulisan
Arbak Othman ini, tidak dibezakan antara “mencari makna” dengan “membina
makna”, mungkin kerana semiotik hanya berminat kepada cara “membina makna”
melalui lambang-lambang yang direka-reka untuk melahirkan sejenis logik
semiotik yang menjurus kepada kefahaman yang sepatutnya. Konsep “membina makna”
yang dipakai oleh Arbak Othman tidak ada kaitannya dengan konsep “mencari
makna” kerana yang kedua ini berkaitan dengan pemikiran dan data budaya sesuatu
tamadun. Ini dijelaskan oleh al-Jurjani dalam kitabnya Asrar al-Balighah. Sebuah contoh yang dikemukakannya cukup menarik. Dalam sebuah syair
Arab, disebut di situ api sentiasa meninggalkan bara di sebuah khemah, yang
bermaksud sheikh khemah itu sangat pemurah kerana sentiasa menyalakan api untuk
memastikan setiap pengembara atau tamunya boleh dihidangkan dengan makanan
panas yang enak. Soalan: Adakah sajak-sajak Muhammad Haji Salleh sudah sampai
ketinggian kebijaksanaannya dan keintelektualannya setinggi itu? Dengan membina
makna berasaskan semiotik, nampaknya Arbak Othman cenderung ke arah itu. Tetapi
bacaan saya sangat berbeza, kerana saya dapati, setelah “mencari makna” yang
cuba disampaikan oleh pensajak, sajak yang dicontohkan oleh Arbak Othman itu
hanya sejenis permainan kata-kata, sejenis retorik dalam “permainan kata”
seperti yang dikonsepsikan oleh Robert Frost, yang diminati oleh Muhammad Haji
Salleh itu. Anda boleh membaca sajak yang dikemukakan Arbak Othman dalam
kumpulan sajak pilihan Aksara Usia, hal. 153, berjudul
“sebuah sajak” ditulis 1996.
Arbak Othman
menghadapi masalah kognitif yang besar ketika “membina makna” sajak-sajak
Muhammad Haji Salleh, dengan memberikan pengakuan beliau seperti berikut:
“Kemungkinan maksud
penyair yang dijangkakan dalam puisi ciptaannya, meskipun diusahakan melalui
pengetahuan puitik yang mendalam dan rahsia, boleh jadi tidak benar. (Huruf condong ditambah). Kebenaran
untuk mencari makna-makna yang dimaksudkan oleh penyair juga tidak
termungkinkan kerana, sesuai dengan konsepsi bahawa ‘pengarang sentiasa
ditanggap sudah mati’, penafsir tidak diberikan lampu hijau untuk merujuk
kepada penyair bagi mendapatkan maksud sajak ciptaan penyair tersebut. Daya
yang ada hanyalah kebolehan pembaca atau penafsir menentukan maksud-maksud yang
dicapai berdasarkan sains tanda yang dimilikinya mengikut konteks yang terbina
dalam puisi yang dikaji itu. Jika relevansinya tidak wajar atau tidak logik,
usaha menentukan kemungkinan yang lain harus diteruskan supaya sajak yang
mempunyai nilai intelektual tidak terabai, malahan harus diraikan, dalam
perkembangan perpuisian Melayu tanah air. Tujuan penulis menggunakan
interpretasi sebagai alat yang ada untuk meneroka kandungan sajak di atas ialah
supaya kita dapat mengenal mana satu daripada sajak-sajak yang dikaji itu
tergolong kepada kategori sajak intelektual atau sebaliknya. Sajak-sajak MHS
didapati mempunyai kuasa intelek yang menarik untuk dikenal pasti dan terus
dijelajahi dari semasa ke semasa”. (hal. 6 kertas).
Itulah rintihan
seorang sarjana/pengkaji yang meraba-raba mencari makna yang diragui bermakna
atau dangkal dengan “membina makna” yang difikirkan relevan dan logik oleh
pengkaji berkenaan. Rintihan ini, dalam
konteks yang lain, membenarkan prinsip-prinsip dalam Gagasan Persuratan Baru
bahawa kita pada akhirnya harus kembali kepada konsep ilmu yang benar sebagai
asas untuk memahami perilaku manusia, sama ada dalam kelakuan biasa, mahu pun
dalam kelakuan berbahasa (seperti yang ditunjukkan oleh seorang pensajak). Dari
segi perilaku biasa, berupa gerakan, kita dapat menikmati gerakan cantik dalam
seni ballet; juga dalam ketangkasan pemain bola yang berotak dan menggunakan
otak mereka untuk mempelajari teknik permainan yang diasaskan kepada strategi
tertentu menggunakan ilmu matematik. Terdapat keindahan dalam tarian ballet dan
permainan bola yang asasnya kesempurnaan gerakan itu. Bagaimana pula dengan ketangkasan berbahasa?
Adakah Muhammad Haji Salleh seorang pengguna bahasa yang tangkas, dengan itu
berupaya melahirkan keindahan yang tersembunyi dalam bahasa itu? Arbak Othman
tidak dapat menjawabnya, malah tidak memperdulikannya
sama sekali, oleh itu dalam pemikiran beliau, pertanyaan penting yang saya
kemukakan itu tidak pernah ditanyakan oleh bukan saja beliau, malah oleh Panel
Anugerah Sastera Negara dan para sarjana yang membicarakan sajak-sajak Muhammad
Haji Salleh. Hal ini terjadi kerana semua mereka, termasuk Arbak Othman,
menggunakan pendekatan common sense yang saya namakan
“pendekatan boleh apa saja”. Melalui pendekatan
boleh apa saja ini para sarjana, terutama sarjana jenis sarjana ciritan,
berlumba-lumba dan berebut-rebut menonjolkan segala macam pendekatan Barat yang
dihasilkan oleh teori sastera mereka. Mereka tidak sedar, bahawa mereka hanyut
dalam menaiki kapal pelbagai teori tadi, dan sesat dalam pelayaran mereka,
kerana tidak pasti arah manakah yang mereka tuju. Jadi mereka singgah di
mana-mana saja yang kapal hanyut itu terdampar, dan ini amat menggembirakan
mereka kerana menurut mereka, mereka telah sampai ke tempat yang mereka tidak
pernah sampai! Oleh itu, hasilnya sangat bagus. Inilah yang terjadi kepada para
penulis kertas kerja yang membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara ini.
Keengganan untuk
kembali kepada konsep ilmu yang benar ini menjadikan para sarjana kita
menggunakan seluruh masa yang ada untuk membingungkan mereka dan para pelajar
mereka, dengan berebut-rebut menyondolkan segala macam teori sastera yang pada
hakikatnya menjauhkan mereka dari kebenaran, seperti yang dialami oleh Ratu
Balqis, ahli sihir Firaun dan perempuan Mesir yang melukai tangan mereka
sendiri kerana terpengaruh dengan
kemahuan hawa nafsu mereka. Ratu Balqis dan ahli sihir Firaun akhirnya
menemui kebenaran itu melalui Nabi Sulaiman ‘a.s. dan Nabi Musa ‘a.s. Siapakah
nabi para sarjana kita? Manusia yang mereka anggap nabi itu tidak seorang pun
menerima hakikat ilmu yang benar, sebaliknya menggunakan akal mereka sendiri
untuk menentukan nilai-nilai yang mereka mahu. Inilah kedudukan yang menjadi
ikutan para sarjana sastera, pengkritik sastera, dan penilai karya sastera
Malaysia. Akibatnya ialah mereka
meraba-raba mencari kepastian makna, padahal yang dianggap dan dikatakan
bermakna itu pada hakikatnya tidak bermakna, hanya sejenis permainan yang
amatur sifatnya. Itulah kedudukan sajak-sajak Muhammad Haji Salleh yang cuba
dirungkai oleh Arbak Othman yang menganggapnya, tanpa sebarang alasan kukuh,
sebagai sajak-sajak intelektual yang mesti dihargai dan disanjung. Saya mahu tegaskan di sini, tidak sebuah pun
sajak Muhammad Haji Salleh yang terdapat dalam antologi beliau yang dapat
dipanggil sajak intelektual. Contoh-contoh yang dikemukakan oleh Arbak Othman
tidak meyakinkan beliau sendiri bahawa itulah sajak intelektual. Apakah yang
sebenarnya yang dimaksudkan dengan sajak intelektual itu? Arbak Othman tidak memberikannya, dengan
kepercayaan aspek intelektualnya akan muncul di dalam analisis nanti. Itu pun
tidak terjadi, kerana tidak satu pun di
antara sajak itu, yang dikaji beliau, boleh digolongkan sebagai sajak
intelektual. Inilah juga pengalaman Panel Anugerah Sastera Negara, yang
bersungguh-sungguh mencanangkan keistimewaan sajak-sajak intelektual Muhammad
Haji Salleh. Apakah sajak intelektual? Apakah syarat yang perlu ada untuk membuktikan
sajak itu sebuah sajak intelektual? Juga tidak diberikan. Maksud sajak
intelektual itu hanya berada dalam angan-angan para pengkaji, tetapi tidak
muncul dalam karya Muhammad Haji Salleh.
Berbeza halnya dengan
hasil karya penyair besar Islam. Saya memberikan beberapa contoh yang saya
ambil daripada karya Iqbal, dimuat dalam novel Pujangga Melayu. Khusus untuk maksud sekarang,
saya ingin mengambil contohnya daripada karya mathnawi Jalaluddin Rumi. Saya
rujuk buku The
Essential Rumi, terjemahan Coleman Barks dengan bantuan
John Moyne; disaring daripada terjemahan A. J. Arberry dan Reynold Nicholson.
Saya rujuk bab 16, bertajuk “Rough Metaphors: More Teaching Stories.” Di situ terdapat cerita seorang
jariah yang mendapat kepuasan nafsunya daripada seekor keldai. Tuannya, seorang
perempuan kaya, dapat tahu rahsia itu, lalu mencubanya. Kerana tidak tahu
kaedahnya, dia mati serta merta apabila ditusuk kemaluan keldai itu. Maka
berkatalah Sang Jariah:
“... Yes, you saw my
pleasure,
but you didn’t see
the gourd
that put a limit on
it. You opened
your shop before a
Master
taught you the
craft.” (Delicious
Laughter, hal. 137; The Essential Rumi, hal. 182)
Sejauh mana Arbak
Othman mendalami teori semiotik sebelum menggunakannya untuk meneliti
sajak-sajak Muhammad Haji Salleh? Pertanyaan ini hendaklah dilihat dalam
konteks konsep ilmu dalam epistemologi Islam, supaya tidak timbul tuduhan
bahawa pertanyaan ini terlalu angkuh bunyinya. Kata Rumi mengenai perkara ini:
If your thought is a
rose,
you are a rose garden;
if it is a thorn
you are fuel for the
bath stove.
Nampak perbezaannya
antara orang berilmu dengan yang hanya tahu sedikit maklumat? Dalam seni
mengarang, dibezakan antara “pandai menulis” dengan “pandai mengarang”. Aspek ini dihuraikan dalam episod pertama Balai Maqamat; manakala episod akhir memberi gambaran tentang “pandai
mengarang”. Dalam Persuratan Baru,
pandai menulis merujuk kepada penulis yang bermain dengan bahasa, untuk hanya melahirkan karya sastera, seperti yang dilakukan oleh Muhammad Haji
Salleh dan sasterawan negara lainnya. Pandai mengarang merujuk kepada kemampuan
“bermain” dengan idea untuk melahirkan karya persuratan yang berasaskan ilmu
yang benar. Yang pertama itu diibaratkan oleh Rumi sebagai “duri” dari ranting
yang memang bagus untuk jadi kayu pembakar; yang kedua diibaratkan dalam
kutipan itu sebagai mawar, yang menghiasi taman mawar. Perkara ini telah saya
huraikan dalam Pujangga
Melayu, apabila saya menggambarkan karya
persuratan itu seumpama sebuah taman indah yang setiap orang ingin berada di
dalamnya. Sarjana pun begitu keadaannya, oleh itu maka saya mulai Balai Maqamat dengan seloka “Sarjana Ciritan” sebagai peringatan bahawa terdapat perbezaan
antara karya persuratan dengan karya sastera, yang tidak dimaklumi oleh para
sasterawan dan sarjana sastera.
Sajak-sajak Muhammad
Haji Salleh tergolong dalam karya yang kusut dengan permainan kata atau bahasa,
yang tidak mesra pembaca, malah sangat hostile (sengaja menggunakan perkataan Inggeris!) terhadap pembaca.
Sifat-sifat ini tidak mencerminkan keunggulan intelektual, tetapi hanya sejenis
inferiority
complex yang memakai kedok superiority intelektual yang palsu. Hal ini terjadi kerana keupayaan bahasa Melayu
yang terbatas, yang berlegar di peringkat bawahan, bukan mencerminkan dan
menggambarkan kemampuan berfikir yang tinggi menggunakan istilah-istilah asli
yang digali daripada kosa kata Melayu. Ini telah dilakukan oleh Hamzah Fansuri,
menurut penelitian Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam tesis Ph.D. yang
diterbitkan. Percubaan Arbak Othman untuk menaikkan kemampuan intelektual Muhammad
Haji Salleh tersangkut di sini, kerana dalam penelitian yang mengarah kepada
pemikiran tinggi, Muhammad Haji Salleh tidak dapat menawarkan apa-apa yang
bermakna dari segi pemikiran, malah sebaliknya. Dalam buku saya, ketika
menyanggah syarahan perdana beliau, saya persoalkan bagaimana seorang “pakar”
sastera Melayu lama seperti yang didakwanya, tidak dapat membezakan istilah
estetik gharib dengan istilah teologi ghaib, padahal kedua
istilah ini sering dipakai dalam bidang masing-masing. Kesalahan ini tidak patut berlaku dan
dilakukan oleh seorang profesor sastera Melayu pula. Hingga kini kesilapan ini
tidak dibetulkan. Jelas tidak ada sifat
murah hati seorang sarjana yang ikhlas terhadap ilmu. Apa untungnya seorang
sarjana berdegil dengan kesalahannya yang begitu terserlah? Inilah sifat
sarjana ciritan: ada fakta dijeling saja/ analisis awak berciciran.
Adakah Arbak Othman
melampau apabila beliau membuat kesimpulan ini: “... puisi MHS dapat
menggantikan mitos dan agama dari segi kebijaksanaan biasa-biasa serta kebaikan
unggul yang disasarkan pada mesej.”
Sebelum itu beliau berkata: “Hanya penafsir yang peka pada kuasa estetik
dalam seni karya sahaja dapat memahami nilai kebijaksanaan MHS yang terungkap
dalam sajak di atas.” [Sajaknya: “dari ilham moon dok su”, Aksara Usia, hal. 92). Dalam kutipan
pertama, Arbak Othman menegaskan mutu sajak-sajak Muhammad Haji Salleh begitu
tinggi nilai intelektualnya sehingga dapat menggantikan mitos dan agama dari
segi kebijaksanaan yang terkandung di dalam karyanya. Untuk sesiapa yang tidak
bersetuju dengannya, dia menegaskan bahawa mereka adalah penafsir yang tidak
peka pada kuasa estetik dalam seni karya, kerana itulah sahaja satu-satunya
syarat yang mesti ada untuk memahami kebijaksanaan MHS yang terungkap di dalam sajak-sajaknya. Inilah contoh ocehan, idle talk yang bertaraf bullshit, yang hanya berani
diutarakan oleh seorang sarjana ciritan. Kesimpulan beliau tidak mempunyai asas
epistemologi sama sekali, hanya sejenis lontaran pendapat tidak berasas yang
lahir dari kekeliruan besar dalam konsep ilmu.
Sajak-sajak Muhammad Haji Salleh sendiri tidak berasaskan konsep ilmu
yang benar yang difahamkan dalam Islam, oleh itu kebijaksanaan yang disebut
oleh Arbak Othman itu tidak muncul di mana-mana sekali pun dalam karya beliau,
dan tidak juga dalam mana-mana sajak beliau yang terdapat di dalam kumpulan
antologinya yang digunakan oleh Arbak Othman untuk menjadi rujukan kertas
kerjanya. Sebagai ahli linguistik, Arbak Othman tidak mempunyai sensitiviti
untuk melihat, walaupun terbentang jelas di depan matanya, bahawa Muhammad Haji
Salleh bukan menulis puisi, tetapi menulis prosa yang dikerat-kerat untuk
dijadikan puisi. Keupayaan kognitifnya terbatas sekali, oleh itu dia tidak
dapat merumuskan ideanya dalam bentuk pemikiran yang canggih, seperti yang
dapat kita lihat dalam puisi Rumi tentang mawar dan durinya. Walaupun puisi
Rumi itu amat pendek, tetapi maknanya, dan kebijaksanaannya amat mendalam.
Keindahannya terletak pada permainan idea antara mawar sebagai bunga yang harum
dengan duri di rantingnya yang boleh menusuk jari atau badan manusia. Yang satu
boleh membentuk taman yang indah; manakala yang satu lagi, ranting berduri,
hanya baik untuk dijadikan bahan api untuk memanaskan air mandi. Tidak mungkin
Muhammad Haji Salleh melahirkan kebijaksanaan seumpama ini kerana keupayaan
intelektualnya tidak sampai ke tahap itu. Di Nusantara, antara yang dapat
melakukannya ialah Amir Hamzah, dengan contoh yang diperlihatkannya dalam
sanjak “Berdiri Aku”. (Saya telah banyak kali mengulas sanjak ini, terutama
tentang penggunaan perkataan ‘pulang’ dalam baris, “Angin pulang menyejuk
bumi”.) Tidak saja sajak-sajak Muhammad
Haji Salleh adalah sajak-sajak yang naif dan dibuat-buat, malah analisis Arbak
Othman sendiri tidak kurang pula naifnya, baik dalam analisis mahu pun (dan ini
yang lebih menonjol) dalam rumusannya. Tidak satu pun rumusan beliau menepati
dengan nilai sajak yang tidak seberapa. Mereka berdua dapat melihat hakikat ini jika mereka mempunyai konsep ilmu
yang benar yang menjadi panduan mereka, bukan hawa nafsu dan keangkuhan ego
seorang penulis biasa-biasa saja, walau bergelar sasterawan negara. Saya berhak
dikutuk jika apa yang saya huraikan di sini tidak benar dan palsu.
Mohd. Affandi Hassan,
12 Ogos 2014.
Kepada Pembaca Yang Kritis.
ReplyDeletePuisi Rumi yang saya sebut dalam pos ini sangat penting untuk menjadi panduan anda semua memahami aspek pemikiran dalam penulisan atau seni penulisan. Perhatikan bagaimana Rumi menggunakan imej mawar/rose dan duri/thorn untuk menimbulkan kontras bagaimana aspek pemikiran itu dijelmakan dalam puisi ini: mawar membentuk taman mawar; duri menjadi kayu api. Keduanya berguna untuk manusia, tetapi dlam kedudukan yang berbeza. Fikirkan perkara ini, nescaya anda akan mengerti apa yang dimaksudkan dengan "pemikiran", yang saya istilahkan stylization of ideas. Fikirkanlah. Anda akan dapat menikmati dengan mudah keindahan pemikiran pengarang besar macam Rumi, Iqbal dll; dan bagaimana menyampahnya bila anda disogokkan sajak dangkal oleh sasterawan negara dengan ulasan yang juga dangkal oleh para pemuja mereka. Selamat belajar. Salam intifadah.
BALAI MAQAMAT dan Pemikiran dalam Persuratan
ReplyDeleteAnda diberi peluang mengkritik BaLAI seberapa kritis yang anda mahu. Misalnya dengan melontarkan pertanyaan: Mana pemikirannya? Aku tak nampak pun! Itulah permulaan anda untuk menayangkan kecetekan ilmu anda atau kehebatan pemikiran anda. Perhatikan tingkah laku Pak Pandir. Dia disuruh beli padi, dia memilih padi hampa. Pak Pandir menyelesaikan masalahnya membawa balik sesuatu, jadi dia telah menyempurnakan permintaan Mak Andeh. Tetapi dia membuat kerja sia-sia, kerana yang diperlukan Mak Andeh bukan padi hampa, tapi padi berat. Dalam puisi Rumi itu, bunga mawar membentuk taman yang indah. Ketika mana anda perlukan keindahan dalam kehidupan anda? Duri dan ranting boleh dijadikan bahan bakar untuk memanaskan air mandi anda. Waktu mana pula anda perlukan ini? Dari satu pohon anda dapat dua kegunaan, dan tiap-tiap kegunaan itu mengikut keadaan dan waktu anda berada. Anda tidak pakai air panas untuk membersihkan najis ketika basuh berak. Contoh ini penting kerana kita dapat melihat MAKNA dalam konteks yang kita pilih/berada. Dan seterusnya. Ini hanya bayangan untuk anda fikirkan ... Sekarang, anda boleh lihat BALAI itu mawar atau duri atau kedua-duanya? Bacalah dengan kritis dengan pengalaman intelektual yang cukup; bukan mengambil pendekatan Pak Pandir, walaupun emprikal dan boleh menyelesaikan masalah, anda hanya menyelesaikan masalah dalam konteks pandirisme. Nampak, perbezaan bunga mawar dengan durinya? Itulah pemikiran ... Selamat belajar. Salam intifadah.
Salam Tuan
ReplyDeleteBagi saya sebagai pembaca dan pemerhati sastera, Balai Maqamat ros merah yang indah dan harum. Kenapa? sebab itulah yang saya rasa dan nikmati yang tak saya dapat semasa baca karya2 sastera sebelum ni. Terima kasih. Teruslah tulis! p/s, saya baca balai ni dua kali, asyik-masyuk! harap2 adalah kritikan sastera ttg balai ni tak lama lagi. paling penting, kritikan tu mesti mampu memahami balai dan membacanya dgn tepat.
Shah Alam
sbg pembaca tulisan Mohd. Affandi dan ikut juga perkembangan sastera melayu, saya tahu sangat PB ni tak diterima arus perdana. dengan cabaran-cabaran mohd. affandi di sini, saya tertunggu2 kalau ada respons daripada orang2 sastera yang selalu sok sek sok sek tentang PB tak relevan. Ayuh, gelanggang dibuka, masuklah!
ReplyDelete