Sunday, August 17, 2014

MENGHADAPI CABARAN: SATU CABARAN UNTUK PARA SASTERAWAN, SARJANA, PENGKRITIK DAN PENILAI SASTERA.



Dalam esei “Kritikan yang naif, keliru dan anti-ilmu”, saya mengemukakan cabaran untuk sesiapa juga yang membaca BALAI MAQAMAT menolaknya sebagai sebuah karya tidak bermutu, atau sebaliknya. Cabaran ini penting kerana keutuhan dan kewibawaan Gagasan Persuratan Baru dapat dibuktikan, atau ditolak, dengan menyahut cabaran yang dikemukakan. Saya telah menjelaskannya dalam esei itu, dengan menegaskan bahawa apa yang sering disebut sebagai aspek pemikiran dalam karya kreatif/sastera hanya dapat dihuraikan dengan konkrit dan memuaskan selepas cabaran tadi disambut oleh para sasterawan, sarjana, pengkritik dan penilai sastera. Aspek pemikiran telah gagal dihuraikan dan ditunjukkan dalam kertas kerja mengenai “pemikiran” para sasterawan negara. Saya telah memberi ulasan kritis ketika membicarakan laporan tentang Muhammad Haji Salleh yang ditulis oleh Panel Anugerah Sastera Negara, dengan memberi contoh konkrit bagaimana aspek pemikiran ini menjadi kusut dan keliru dalam kertas kerja salah seorang sarjana sastera yang menulis tentang “pemikiran” Muhmmad Haji Salleh. Saya mengatakan dalam esei itu Arbak Othman tidak saja bercelaru dalam penilaiannya, tetapi juga telah memberi penilaian yang tidak tepat dan mengelirukan terhadap sajak-sajak Muhammad Haji Salleh. Hujah-hujah saya tidak perlu diulang di sini. Tujuan esei ini hanya untuk menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan “pemikiran” dalam karya kreatif. Tujuan huraian ini ialah untuk membuka satu gelanggang intelektual yang besar dan luas yang akan memberi manfaat yang besar pula jika dikendalikan dengan penuh tanggungjawab akademik.

Mengapa persoalan yang dibangkitkan ini penting dan diulang-ulang? Hanya kerana satu sebab: kita perlu membicarakan dengan kritis aspek pemikiran ini supaya setiap kali kita membicarakannya kita tahu apa yang kita maksudkan. Dengan itu, kemungkinan untuk membuat tafsiran yang salah dan tidak tepat terhadap kedudukan karya para sasterawan negara dapat dikurangkan, jika tidak pun dihapuskan. Hanya ketika itu saja barulah kita dapat menilai karya para sasterawan negara ini daripada perspektif pemikirannya. Membuat penilaian yang tepat ini amat penting, kerana Panel Anugerah Sastera Negara ternyata sudah gagal melakukannya dalam laporan mereka, seperti yang telah dijelaskan. Memberi penilaian yang betul dan tepat adalah penting supaya kita tidak melakukan kesalahan yang akan merosakkan lagi masyarakat sekiranya kita menerima penilaian yang salah itu sebagai benar. Ini sudah terjadi, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. Kesilapan seperti ini mesti dibetulkan supaya beban pandirisme itu tidak diteruskan berpanjangan, sehingga diisytiharkan sebagai budaya arus perdana.  Kita sudah pun tahu hanya kebaikan yang telah diuji saja yang boleh dijadikan arus perdana, yang disebut sebagai makruf. Menjadikan pandirisme sebagai arus perdana adalah satu jenayah budaya yang tidak boleh dipandang rengan.  Demikian pentingnya meletakkan kebenaran dan kebaikan pada tempatnya; dan celakalah sesuatu bangsa yang menjadikan kejahatan sebagai nilai penting dalam perkembangan tamadunnya, seperti yang difahami dan dipraktikkan oleh para sasterawan dan dijadikan ukuran dalam penilaian, dengan menggunakan nama realisme dan sebagainya, termasuk realisme magis seperti yang selalu disebut dalam kertas kerja tentang para sasterawan negara ketika para sarjana kita membicarakan “pemikiran” mereka. Saya telah memberi contoh pembelaan Prof. Mohd. Mokhtar Hassan yang memuji Si Tanggang yang kononnya cekap merancang kehidupannya sehingga berjaya. Semangat utama dalam legenda itu disembunyikan. Inilah kecelakaan budaya yang kita hadapi apabila kita keliru dalam konsep ilmu dan tidak tegas menolak kejahatan. Panel Anugerah Sastera Negara melakukan kesilapan besar ini dengan memberi nama kemajuan, kelainan, eksperimen dan sebagainya ketika menilai karya para sasterawan negara. Persoalan ini telah saya bincang dalam banyak tulisan saya, oleh itu sesiapa juga yang dengan tegas mengatakan saya silap, saya persilakan mereka supaya membetulkan kesilapan saya, dengan menunjukkan kebenaran anda. Segala bentuk kemajuan, kelainan, eksperimen dan sebagainya tidak wajar dan tidak boleh dijadikan ukuran dalam sebarang penilaian karya kreatif jika tidak diberi takrif yang sesuai dengan konsep ilmu yang benar; apa juga yang bertentangan dengan konsep ilmu yang benar adalah penyelewengan dan tidak sah untuk dijadikan ukuran dalam apa juga penilaian.  Jika prinsip ini ditolak, anda perlu membuktikan prinsip yang anda pegang, yang anda ambil dari teori Barat, adalah prinsip yang benar kerana prinsip pegangan anda itu menentang konsep ilmu yang benar yang seharusnya menjadi pegangan anda. Persoalannya begitu jelas sehingga tidak ada ruang untuk sesiapa pun berdolak-dalik.

Kembali kepada BALAI MAQAMAT. Dengan menjadikan karya ini ukuran atau standard dalam penilaian, anda hanya perlu melakukan dua perkara yang mudah: (1) karya ini tidak sah dijadikan ukuran atau standard dalam ukuran itu kerana mutunya rendah dan bertentangan dengan konsep ilmu yang benar; atau (2) jika karya ini dijadikan ukuran dan standard dalam ukuran, tidak ada lagi kebebasan berkarya dan ini akan membantut perkembangan seni penulisan di Malaysia.   Jika anda tidak mempunyai hujah untuk membuktikan kesahihan andaian anda, maka anda sendirilah yang sebenarnya menjadi penghalang kepada kemajuan dalam seni penulisan berasaskan konsep ilmu yang benar. Jika ini pun anda tidak mampu melakukannya dengan meyakinkan, maka pilihan paling mudah untuk anda ialah membuktikan penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara adalah yang terbaik dan menepati semua prinsip yang menjadi ukuran terbaik dalam penilaian karya sastera kerana cocok dengan teori sastera Barat yang menjadi pegangan para sasterawan dan sarjana sastera Malaysia kerana sudah terbukti berkesan dalam perkembangan sastera Melayu moden. Dengan itu anda menolak, dengan bukti yang cukup, betapa tidak perlunya karya persuratan yang ditunjukkan oleh BALAI MAQAMAT kerana tidak mempunyai nilai estetik dan tidak pula mempunyai nilai pemikiran. Itulah cara yang paling mudah untuk anda menolak Gagasan Persuratan Baru yang mencabar kehadiran karya sastera dan para sasterawan negara itu. Malaysia boleh. Anda juga boleh membuktikan kebenaran kepalsuan pegangan anda.

Mohd.  Affandi Hassan,
16/8/2014

No comments:

Post a Comment