Kritikan saya
terhadap kegagalan Panel Anugerah Sastera Negara memberi arah yang betul dalam kritikan
sastera, para sarjana ciritan dalam sastera Melayu moden yang menjadi Pak Turut
dalam kritikan sastera, dan munculnya karya sastera yang tidak bermutu, tetapi
kerana ditulis atau tertulis oleh para sasterawan negara sehingga dianggap
bermutu, sudah cukup untuk mendorong tertulisnya satu sanggahan yang ilmiah
tentang Gagasan Persuratan Baru, dalam kajian ilmiah di peringkat sarjana atau
doktor falsafah. Kita sudah sering mendengar gosip sastera di kalangan
sasterawan dan para sarjana sastera sendiri, bahawa Gagasan Persuratan Baru
terlalu ideal, oleh itu tidak mungkin dijadikan panduan dalam penulisan kreatif
dan tidak pula berguna untuk dijadikan pendekatan utama dalam kajian dan
kritikan sastera Melayu moden. Kata mereka, jika Gagasan Persuratan Baru
dijadikan landasan analisis, penilaian dan pendekatan kritis dalam kajian
terhadap karya sastera Melayu moden, maka yang akan terjadi ialah semua
sasterawan negara akan hilang kelayakan untuk diberi sanjungan begitu tinggi
dan diasingkan sebagai contoh terbaik dalam sastera Melayu moden. Tetapi
andaian ini tidak pernah dibuktikan secara menyeluruh, dengan membina satu
(sekurang-kurangnya) kajian mendalam aspek-aspek negatif dan merugikan sastera
Melayu moden jika pendekatan berasaskan Gagasan Persuratan Baru dijadikan
landasan dalam analisis, kritikan dan penilaian karya sastera. Itulah cara yang
paling sopan, objektif dan ilmiah untuk membuktikan kewajaran munculnya gelaran
sasterawan negara dan penerimanya. Sehingga munculnya kajian yang dikehendaki
itu, maka selama itulah kewajaran gelaran sasterawan negara dan kemunculan para
sasterawan negara akan terus diragui dan diremehkan dan para sasterawan yang
diberi gelaran itu akan tetap menerima kesangsian dari segi kejujuran akademik
dalam pemilihan mereka, dan penolakan terhadap keunggulan pemikiran para
sasterawan negara ini. Jangan biarkan ini berlarutan dalam sastera Melayu
moden, kerana ini akan melahirkan kesan yang amat negatif terhadap para
sasterawan dan para sasterawan negara yang diberi kedudukan tinggi itu, padahal
mereka tidak layak diberi kedudukan itu kerana bertentangan dengan tradisi
persuratan Melayu selain kerana membawa pengaruh buruk dan nilai-nilai palsu
dalam kebudayaan Melayu. Aspek ini telah diberi perhatian dalam banyak tulisan
ilmiah, dengan kemuncaknya berupa syarahan pengukuhan Prof. Syed Muhammad
Al-Attas (1972).
Apakah yang dimaksudkan oleh para penggosip sastera
dan sarjana ciritan bahawa Persuratan Baru terlalu ideal dan tidak dapat
dilaksanakan? Sebenarnya mereka tidak
faham maksud “ideal” itu, dengan anggapan negatif bahawa sesuatu yang ideal
tidak boleh dipraktikkan, dan lebih dekat menyamai khayalan dan angan-angan
saja. Tetapi di pihak yang lain, mereka menerima wujudnya insan kamil, dengan
menyodorkan satu “teori” sastera (kononnya, padahal bukan teori, malah lebih
tepat hanya sejenis petua atau panduan sastera yang lebih mengusutkan
perbincangan akademik tentang sastera), bernama takmilah. Kegagalan takmilah
sebagai pendekatan kritikan (?) telah ditunjukkan oleh seorang pengamal
takmilah, Dr. Kamariah Kamarudin, dalam kertas kerja beliau yang dibentang di
dalam Seminar Sasterawan Negara II, 26 April 2014 di UPM. Kertas ini telah
memberi gambaran yang salah dan tidak tepat terhadap novel Shahnon Ahmad yang
dikritik (?) oleh pengkaji takmilah ini, yang telah menerima title doktor
falsafah melalui “kajian” menggunakan pendekatan takmilah. Jenis novel yang
dikaji beliau ini telah dibincang dengan kritis oleh seorang sarjana sastera
Islam, khusus menyentuh beberapa perkataan Arab yang dipakai Shahnon Ahmad
dalam “novel-novel Islam” beliau, yang menurutnya tidak tepat, kabur dan
mengelirukan. Sebaliknya, Dr. Kamariah Kamarudin yang nampaknya tidak mempunyai
pengetahuan tentang sastera Islam, dengan agak gelojoh memberi sanjungan tinggi
dalam bentuk retorik peragaan yang tidak dibuktikan dalam perbincangan kritis.
(Rujuk kertas kerja beliau, “Revolusi yang
ditangguhkan karya
Shahnon Ahmad berdasarkan perspektif takmilah”.) Walaupun takmilah mempunyai maksud yang baik,
tetapi pengguna petua sastera Islam ini telah gagal menyerlahkan kualiti
sebenar novel yang dikajinya menggunakan
pendekatan takmilah ini. Malah penggunaan takmilah lebih mengusutkan lagi
penilaian dalam kritikan sastera, kerana terdapat kecenderungan untuk
mengangkat karya yang sederhana menjadi sebuah karya besar dalam janru (Jepun
untuk genre) “sastera Islam”.
Semua ini terjadi kerana pengkaji
tidak dapat membezakan pendekatan kritikan dengan fatwa penulisan. Kalau
dalam perbincangan tentang “sastera Islam” pun terdapat begitu banyak
kekeliruan, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, maka kita boleh bayangkan
betapa besarnya kekeliruan ini ketika para sarjana kita dengan agak gelojoh
menggunakan pendekatan Barat yang dari segi akademik tidak dikuasai mereka dengan mendalam.
Ini pun dapat kita lihat dalam kertas kerja yang mereka tulis yang
membincangkan perihal “pemikiran” para
sasterawan negara.
Kemuncak kekeliruan akademik ini boleh dilihat
dalam pemilihan sebuah buku mengenai feminisme yang memenangi Hadiah Sastera
Kebangsaan, iaitu buku Norhayati Ab. Rahman, Puitika Sastera Wanita
Indonesia dan Malaysia (USM
2012). Buku ini berupa kajian beberapa buah novel terpilih dari Indonesia dan
Malaysia yang ditulis oleh pengarang wanita, tanpa mengira kualitinya, kerana
antara novel yang dipilih itu terdapat novel picisan yang bertaraf pornografi.
Buku ini hanya berminat hendak melihat bagaimana pengarang wanita memberontak
dalam karya mereka dengan mengemukakan watak wanita yang berani melepaskan diri
daripada cengkaman lelaki, walau pun ada di antara watak itu menerima cengkaman
hawa nafsu lelaki untuk memuaskan nafsu mereka sendiri. Bebas untuk membuat
maksiat, tetapi tetap terikat kepada kejantanan lelaki ketika mereka memerlukan
kepuasan hawa nafsu mereka. Itulah yang dinamakan “puitika wanita” oleh sarjana
yang menulis buku ini, yang berasal daripada tesis Ph.D. beliau. Kebejatan moral akademik ini diterima dengan
baik oleh para sarjana yang membicarakan buku ini, dengan melontarkan pujian
tinggi tanpa sebarang hujah ilmiah yang boleh diterima oleh akal sihat. Paling
memeranjatkan, Prof. Hashim Awang dalam resensinya (Dewan Sastera) memuji berlebihan buku ini. Seperti yang kita
tahu, beliau telah mengemukakan satu pendekatan yang beliau namakan
“pengkaedahan Melayu” yang di dalamnya termasuk juga unsur Islam, sebagai salah
satu prinsip penting. Adakah ini memberi isyarat “pengkaedahan Melayu” tidak
berupaya menapis kebejatan akademik yang disodorkan oleh Dr. Norhayati Ab.
Rahman ini? Kita perlukan sedikit
penjelasan daripada beliau, supaya “pendekatan” yang beliau lontarkan kepada
kita itu tidak diremehkan oleh beliau sendiri. Dalam penelitian saya, feminisme
adalah kemuncak kezaliman terhadap wanita di Barat yang tidak memahami konsep
insan dan menolak agama sebagai sumber nilai yang sah, oleh itu hak wanita
sebagai manusia dinafikan sepenuhnya. Keadaan ini berbeza dengan kedudukan
wanita dalam Islam, yang boleh mewarisi harta, dengan hak-hak tertentu sebagai
isteri yang tidak boleh dizalimi. Oleh itu, amatlah aneh sekiranya sarjana
Islam menerima pembohongan akademik dari Barat ini, apatah lagi buku tentang
feminisme diberi hadiah dan dijadikan rujukan untuk menghina darjat wanita
dalam Islam. Melalui feminisme, wanita Barat tidak diberi status seperti wanita
Islam yang tetap santun dan tahu peranan mereka dalam masyarakat dan rumah
tangga; sebaliknya wanita Barat yang berfaham feminis muncul sebagai kumpulan
pemberontak, yang kesan utamanya ialah memecah-belahkan institusi perkahwinan
dan kekeluargaan.
Takmilah bukan sebuah teori, tidak juga satu
pendekatan dalam kritikan, tetapi merupakan sejenis petua dalam penulisan
“sastera Islam.” Menggunakan takmilah untuk menilai sebuah novel akan
menghasilkan kekeliruan kerana tidak berasaskan ukuran dari segi teknik
pembinaan sesebuah novel. Jika anda mahu menggunakan takmilah selepas itu, anda
boleh melakukannya, tetapi anda tidak akan dapat melihat dan menentukan
kewujudan novel itu sebagai sebuah karya seni. Tidak ada prinsip yang boleh
digunakan untuk maksud itu dalam takmilah. Prinsip-prinsip penilaian itu
diberikan dengan jelas dalam Gagasan Persuratan Baru. Pada hemat saya, takmilah tidak sesuai untuk
digunakan dalam menilai karya kreatif, seperti yang dapat kita lihat dalam
kertas kerja Dr. Kamariah Kamarudin. Dalam kertas itu, kita tidak menemui
prinsip-prinsip kritikan sastera yang membolehkan kita menilai karya Shahnon
Ahmad dengan kritis. Apa yang dibuat oleh Dr. Kamariah Kamarudin ialah
memadankan petua takmilah dengan istilah Arab dan ayat-ayat Quran yang
digunakan oleh sasterawan negara ini tanpa melihat dengan kritis adakah
perbuatan Shahnon Ahmad itu mencerminkan pemikiran Islam, atau hanya sejenis
perhiasan yang ditempel secara superficial yang pada hakikatnya terapung-apung dalam karya
itu, tidak disebatikan secara “berseni” (istilah yang sering digunakan oleh
Shahnon Ahmad sendiri) di dalam karya itu. Kalau anda berasa sukar hendak
memahami kesimpulan ini, cuba gunakan takmilah untuk menilai Pujangga Melayu, atau Balai Maqamat. Lihat sejauh mana dua buah karya itu menyeleweng
dari takmilah, dan sebanyak mana pula sesuai dengan takmilah. Tetapi yang lebih
penting ialah bagaimana anda menentukan kualiti pemikiran dan teknik yang
digunakan dalam karya itu, untuk dijadikan kriteria dalam menentukan sejauh
mana pula nilai karya itu sebagai karya persuratan. Cubalah … anda akan menemui
sesuatu yang mungkin membingungkan anda nanti!
Atau sebaliknya … iaitu menemui sesuatu yang membuat anda berfikir
dengan serius tentang kritikan “sastera”! Selamat mencuba dan selamat belajar.
Mohd. Affandi Hassan,
18/8/2014.
Salam Tuan Penulis
ReplyDeleteIzinkan saya copy paste. Terlalu bermanfaat utk dibiarkan. Teruskan menulis untuk bijaksanakan orang Melayu.
Khadijah, Putrajaya
Terima kasih Sdr. Khadijah Putrajaya.
ReplyDeleteSaya tiada halangan sekiranya tulisan ini dimanfaatkan seperti yang dikehendaki.
Terima kasih.