Jika anda membaca Balai
Maqamat, apakah kesan yang anda dapat? Bergantung sepenuhnya kepada kemampuan
intelektual anda dan pengalaman ilmiah anda dalam kesusasteraan sebagai pembaca
yang kritis dan dapat menilai sesebuah karya berasaskan ukuran yang standard,
sama ada mengikut teori sastera Barat mahupun berasaskan Gagasan Persuratan
Baru. Jika anda seorang sarjana yang
bukan dalam kategori sarjana ciritan yang diselokakan dalam Balai Maqamat, anda akan dapat dengan
mudah meletakkan Balai Maqamat di
tempat yang sesuai dalam perkembangan persuratan Melayu moden. Anda boleh
berhujah dengan meyakinkan Balai Maqamat
itu sekian sekian, berasaskan pengetahuan anda dalam membaca karya kreatif, dan
sejauh mana pula jangkauan pengalaman anda dalam membaca karya dunia. Katalah
anda ingin mempersoalkan bentuk naratif dalam Balai Maqamat, anda tentu sudah maklum akan wujudnya pandangan baru
di kalangan sarjana dan sasterawan Barat tentang peranan naratif ini. Kalau
anda tidak mempunyai maklumat itu, anda akan terus kabur, meraba-raba tak tentu
arah, tapi ingin menilai suatu karya yang anda sendiri tidak punya kemampuan
dari segi akademik dan pengalaman intelektual. Balai Maqamat mencabar anda mendekatinya sebagai pembaca yang dapat
membezakan antara mod bacaan intelektual dan mod bacaan cerita. Katalah anda
tolak pembahagian yang dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah
dalam beberapa buah tulisan beliau, maka apakah hujah anda untuk dijadikan
ukuran dalam penolakan itu? Mahu tidak mahu, anda tetap akan menyerlahkan
kemampuan intelektual anda bila berdepan dengan persoalan kaedah bacaan ini.
Dari perspektif itu, Balai Maqamat menjadi ukuran sejauh mana anda
sebenarnya seorang pembaca dan penilai yang punya kemampuan intelektual yang
sekira-kira dapat menghindarkan diri anda terjerumus ke dalam budaya pandirisme
yang menjadi arus perdana dalam sastera Melayu sekarang. Sekiranya anda tidak
dapat ikuti hujah ini, maka tidak dapat diragukan lagi anda berada dalam
golongan yang menjadikan pandirisme sebagai ukuran dalam penilaian anda.
Sekarang anda perlu membaca dengan teliti dan amat kritis episod “Rumah Impian
Polan Cupan” untuk memahami kedudukan intelektual anda. Misalnya, anda boleh
saja menolak karya itu sebagai karut; atau secara sedar meletakkan diri anda
sebagai penganut faham pandirisme dalam kesusasteraan, sebagai pewaris
“pemikiran” para sasterawan negara yang meletakkan pandirisme sebagai ukuran
dalam analisis dan penilaian karya kreatif, seperti yang dibuat oleh Panel
Anugerah Sastera Negara. Saya telah menulis agak mencukupi tentang perkara ini
untuk difahami oleh pembaca yang paling tumpul sekali pun kemampuan
intelektualnya.
Bagaimana membaca Balai
Maqamat? Sarjana ciritan tidak bertanya soalan penting ini, oleh itu mereka
dengan beraninya merempuh dunia gelap pandirisme mereka untuk memperkatakan
tentang Balai Maqamat dalam konteks
pandirisme mereka sendiri. Hal ini boleh dielak, jika mereka membaca dengan
kritis episod pertama tentang perbezaan konsep menulis (pandai tulis) dan mengarang,
(pandai mengarang) dan perbezaan antara persuratan dan kesusasteraan. Katalah
anda tidak menerima perbezaan ini, apakah alternatif yang boleh anda kemukakan?
Jika anda menerimanya, anda akan dapat pula menghuraikan mengapa perlu
dibezakan antara kritikan wacana (ilmu) dengan kritikan cerita. Yang terjadi
sekarang, kita masih berada dalam dunia kritikan cerita, maka itulah sebabnya
kesusasteraan Melayu moden tidak menyerlahkan pemikiran, makna dan maksud
pemikiran dalam penulisan kreatif, walaupun sudah acap kali diadakan seminar
tentang pemikiran para sasterawan negara. Dalam seminar itu, penulis kertas kerja
dan peserta seminar masih bercerita, bukan berbicara tentang “pemikiran”
seperti sepatutnya. Kini anda harus cuba memahami aspek ini secara mendalam
untuk melihat mengapa aspek “pemikiran” ini penting dalam persuratan Melayu.
Persoalan ini cuba dihuraikan dengan ringkas dalam episod pertama itu; manakala
episod akhir tentang Mat Komando berbicara tentang aspek penilaian itu.
Sekiranya anda baca dengan teliti, dan kritis, dua episod ini, anda akan dapat
membaca semua episod dalam Balai Maqamat
dengan selesa. Ketika itulah anda mungkin mula memahami apakah yang dimaksudkan
dengan stylization of ideas dalam
Gagasan Persuratan Baru. Ketika itu juga anda dapat melihat mengapa penting
dibezakan mod bacaan intelektual dengan mod bacaan cerita; dan anda akan faham apa
yang diaksudkan dengan kritikan cerita yang dikritik oleh Persuratan Baru. Selamat
belajar!
Mohd. Affandi Hassan,
22 Julai 2014.
Salam Tuan Mohd. Affandi Hassan
ReplyDeleteDiucapkan terima kasih sebab dengan PB saya dah dapat letakkan karya sastera pada tahap spatutnya. Saya tak lagi menjadi pemuja karya sastera tulisan 'gergasi sastera melayu' sbg terbaik krn sy sudah ada kayu ukur terbaik lagi tepat, bkn utk karya sastera saja tapi dlm setiap bahan baca sy. Saya sekarang dah pandai memilih. Itulah yg saya suka!
Terima kasih daun keladi
Perjuangan Tuan saya hargai
Semoga kekal dalam perjuangan ini
Salam.
ReplyDeleteSy dah baca Balai Maqamat. Susunan balainya kemas. Pembaca mulanya diperkenalkan dengan konsep ilmu, taklif, dalam Balai Satu sebelum dipertemukan dengan wacana-wacana yang lebih luas khususnya tentang politik, dan keinsanan. Bila baca Balai Maqamat, baru saya makin jelas tentang konsep keutamaan idea. Ada banyak idea, dalam setiap episod, saya pula sebagai pembaca, dapat berfikir dan ada pilihan utk menilai idea mana yg terbaik mengikut takflif. Terima kasih! Saya tunggu karya Tuan seterusnya!
p/s : saya paling suka bab Orang Berjasa. Terima kasih kepada Nenek cerdik. Saya kira saya ni 'samalah' macam cucu-cucu Nenek.
wasalam
Wan Norma
Kuala Terengganu
Terima kasih kepada Saudara berdua yang memberikan komentar yang positif. Semoga pembaca lain juga mendapat manfaat daripada komentar anda berdua. Tentang Orang Berjasa, tokoh besar Turki yang menawan Istanbul adalah contoh terbaik seorang pemimpin yang seluruh hidupnya menunggu Ramadan untuk mendapat Lailatul Qadar, seperti yang diimpikan dalam episod itu. Bayangkan betapa bahagianya rakyat dan negara kita yang mempunyai pemimpin sesimple itu! Semoga akan muncul di antara pembaca muda yang mendapat manfaat daripada episod ini apabila dia menjadi seorang pemimpin nanti. Amin.
ReplyDeleteMantop. Balai Maqamat saya beli dua. Satu uyk saya. Satu utk adik. Terima lasih Tuan. Saya enjoy membacanya. Baru saya sedar yg saya lebih puas baca karya Tuan ini betbanding karya kreatif yg pernah sy baca sebelum ini. Teruskan menulis! TQ
ReplyDeleteHasnol
USM
Sdr. Hasnol USM.
ReplyDeleteTerima kasih atas perhatian dan penghargaan Sdr. Setelah hampir satu abad sastera Melayu moden wujud, tentulah aneh jika para sasterawan dan sarjana masih belum matang. Kematangan itu hanya dapat dilihat apabila terdapat sikap terbuka kepada kritikan. Hal ini nampaknya belum wujud, apabila ada golongan yang menganggap yang sah ialah yang dinamakan arus perdana, the status quo, kerana disokong ramai. Ini telah ditolak mentah-mentah dalam al-Quran, tak payah saya beritahu ayat mana surah mana. Tidak ada status quo, yang ada kebenaran, yang haq. Jadi menentang kebenaran itu sudah jadi budaya dalam tamadun manusia Jahiliah yang menentang ajaran tauhid, dengan pelbagai alasan berasaskan hawa nafsu. Ini pun dikutuk dalam al-Quran. Saya timbulkan perkara ini kerana status quo yang dianggap sah dalam sastera Melayu moden itu seringkali bertentangan dengan kebenaran. Inilah yang perlu kita bahaskan. Inilah yang tidak mahu dilakukan kerna terdapat sasterawan dan sarjana yang menyokong mereka yang berpendapat perbahasan itu tidak perlu, kerana tidak ada seorang pun sasterawan dan sarjana yang menentang kebenaran. Anggapan ini sebenarnya tidak betul, selagi belum diuji dengan perbahasan yang kritis. Mengapa perbahasan itu perlu? Supaya pembaca, sasterawan sendiri, dan para sarjana, diberi peluang membuat pilihan terbaik berasaskan konsep ilmu yang benar yang diajarkan dlam Islam. Oleh kerana hampir seluruh sasterawan yang besar-besar di Malaysia, misalnya sasterawan negara, beragama Islam, maka mereka dituntut oleh keperluan ilmu untuk dinilai dan diuji dengan kritis supaya tidak sedikit pun timbul kekeliruan di kalangan pembaca. Ini belum lagi wujud di Malaysia, dengan itu sastera moden Malaysia masih hanyut dalam dunia sensasi yang dinilai pula secara sensasi menggunakan ukuran yang tidak berasaskan konsep ilmu yang benar. Itulah cabaran yang dilontarkan oleh Balai Maqamat, yang perlu disambut dengan kritis oleh para sarjana dan sasterawan sendiri. Sdr. Hasnol USM telah memulai langkah itu. Salam intifadah.