Perbincangan tentang peranan pandirisme dalam sastera
Melayu dianggap cuba merendah dan menghina para sasterawan negara khususnya dan
para sasterawan umumnya, di samping memperlekeh para sarjana. Pandangan itu
bagus kerana ia membenarkan tesis saya betapa meluasnya budaya pandirisme ini
dalam sastera Melayu, baik yang bersifat kreatif mahu pun (malah terutama
sekali) yang bersifat akademik dan kritikan. Pendapat demikian jelas berasaskan
sikap mental yang mempertahankan pandirisme, bukan datang dari pemikiran yang
rasional dengan hujah yang boleh dipegang buktinya. Hidup atau mati sasterawan
negara dan lain-lain sasterawan bergantung sepenuhnya pada karya mereka, bukan
pada pujian dan kritikan dalam konteks
pandirisme. Demikian juga maruah mereka sebagai sasterawan tidak kena mengenan
dengan kritikan ke atas mereka. Sama ada saya memuji mereka atau mengkritik
mereka, kedudukan mereka hanya dapat diukur daripada kualiti pemikiran dan keunggulan
kreatif mereka, tidak ada sangkut paut dengan pujian atau kritikan Mohd.
Affandi Hassan. Oleh itu, maka saya pernah berkata, pendapat yang menolak
gagasan Persuratan Baru kononnya akan menghumban semua sasterawan negara ke
dalam tong sampah adalah pendapat berasaskan pandirisme, tidak kena mengena
dengan gagasan Persuratan Baru. Jika PB bersikap kritis terhadap karya para
sasterawan negara ini, maka yang harus mempertahankan diri ialah karya itu,
bukan pujian atau kritikan yang ditujukan terhadap karya itu. Perkara ini sudah jelas dan tidak sepatutnya
dijadikan isu, jika bukan kerana pengaruh pandirisme yang begitu kuat
mencengkam para sasterawan dan sarjana sastera.
Apakah yang harus kita buat? Hanya tiga perkara mudah:
(1) pertama memahami kedudukan pandirisme dalam sastera Melayu, sama ada boleh
diterima atau sebaliknya; (2) menentukan ukuran yang standard dalam analisis
dan penilaian supaya semua hujah dan pembuktiannya dapat dinilai dengan
objektif, jitu dan tepat; (3) mendapatkan atau mencari alternatif supaya
pandirisme tidak lagi menjadi budaya arus perdana dalam sastera Melayu. Bagi
faktor pertama, dokumen yang ada sudah lebih dari mencukupi untuk dijadikan
bukti dan bahan analisis. Isunya, adakah cengkaman pandirisme itu sesuatu yang
real atau hanya andaian yang tidak mempunyai bukti? Jika isunya demikian, maka pada bila-bila
masa pun pandirisme boleh ditolak dengan mudah berasaskan analisis dan
pembuktian tadi. Bagi faktor kedua, sudah terdapatkah ukuran yang standard itu
untuk digunakan dengan selesa dalam analisis dan penilaian terhadap keupayaan
kreatif seorang sasterawan dan ketrampilan akademik seorang sarjana?
Kedua-duanya masih belum jelas, malah dalam kes Juara, sudah jelas ukuran yang standard itu tidak ada. Sekarang
isunya ialah, perlukah kita kepada ukuran yang standard itu? Jika anda rasa
tidak perlu, seperti pendapat dan penegasan Panel Anugerah Sastera Negara dalam
semua laporan mereka yang hanya menggunakan common
sense, dan diterima serta disokong oleh para sarjana dan pengkritik
sastera, maka anda haruslah bersedia untuk dikritik kerana pendirian itu
membuktikan wujudnya pandirisme dalam perkembangan sastera Melayu. Bagi faktor ketiga, anda tidak perlu bersusah
payah kerana jalan penyelesaiannya sudah diberikan oleh gagasan Persuratan
Baru. Andainya anda beranggapan PB juga mendukung pandirisme, maka anda
dipersilakan untuk memberikan alternatif yang lebih baik. Pendeknya, anda harus
bersedia untuk berhujah secara akademik, tidak hanya menggunakan pandirisme
sebagai hujah anda. Hanya tiga perkara
saja yang perlu dilakukan, cukup mudah dan boleh dilakukan bila-bila masa
sekali pun. Tetapi sekiranya anda menolak sama sekali wujudnya pandirisme itu,
maka anda harus bersedia untuk membuktikan secara akademik bahawa pandirisme
tidak wujud, walaupun tindakan anda selama ini membuktikan pandirisme itu
memang wujud dan mendapat dukungan kukuh anda sendiri. Contoh-contoh telah
diberikan, oleh itu tidaklah sukar untuk anda menolaknya sebagai tidak tepat,
hanya sejenis salah faham saja. Jika anda melihat pandirisme dalam konteks
perbincangan ini, anda akan dapati pandirisme adalah suatu realiti yang
benar-benar wujud dalam sastera Melayu. Sekarang bagaimana? Sama ada anda seorang sasterawan, seorang
sarjana, atau seorang pengkritik sastera, anda tidak boleh lari dari menjawab pertanya mudah itu. Keseluruhan
tindakan anda menjadi bukti bahawa itulah hasil cengkaman budaya pandirisme yang menjadi panduan anda
selama ini.
Sekarang kita pergi kepada persoalan sama ada retorik
peragaan adalah sebahagian daripada bukti wujudnya pandirisme dalam sastera
Melayu. Saya memberi tumpuan kepada isu
ini kerana semua seminar tentang pemikiran para sasterawan negara menayangkan dengan
jelas betapa meluasnya penggunaan retorik peragaan ini dalam kertas kerja yang
dibentangkan. Melalui retorik peragaan, penulis kertas kerja berpeluang
menonjolkan beberapa aspek sesuatu teori atau pendekatan yang dipilih untuk
dipadankan dengan karya sang sasterawan yang dikira menepati kehendak teori
yang digunakan untuk membicarakan karya sang sasterawan, misalnya teori
semiotik atau apa juga teori yang menarik minat penulis kertas kerja. Beberapa
unsur karya akan disenaraikan dan diberi padanan dengan beberapa aspek teori
pilihan, lalu dibuat kesimpulan bahawa karya itu menepati dengan prinsip-prinsip
yang terdapat di dalam teori, lantas karya itu diisytiharkan sebuah karya yang
berjaya mengikut prinsip-prinsip teori berkenaan. Sering kali unsur karya yang diperagakan
tidak semestinya berkait dengan ukuran yang boleh digunakan untuk menilai
sesebuah karya dari segi pemikiran, pembinaan struktur karya atau penampilan persoalan yang menarik, yang bukan
klise. (Sila rujuk penjelasan saya tentang penilaian novel Juara.) Sering kali
keutamaan diberikan kepada pembaharuan dalam bentuk yang dinamakan eksperimen,
simbolisme, dan macam-macam lagi istilah yang hebat-hebat digunakan untuk
memperagakan bahawa karya itu memang bernilai tinggi dalam pandangan teori atau
pendekatan yang dipilih. Perkara ini telah saya bincang banyak kali dalam
tulisan di blog ini, oleh itu tidak perlu diulang, walaupun mungkin sukar juga
bagi pembaca yang lemah untuk menemui tulisan berkenaan. Asas nilai yang
dipakai ialah nilai-nilai Barat yang bersumber dari kehendak dan kemahuan hawa
nafsu rendah manusia sendiri, yakni “man as the measure of values”. Para sasterawan dan sarjana bertegas
berpegang kepada prinsip ini kerana menurut mereka belum ada lagi sasterawan
Melayu yang murtad atau sesat kerana berpegang kepada prinsip nilai Barat itu.
Perhatikan satu contoh terbaru: A. Samad Said telah menerbitkan Salina dalam dua edisi, satu edisi khas
yang menggunakan kulitnya lukisan seorang wanita yang begitu “sexy”; manakala
yang satu lagi kononnya menggunakan lambang wanita sundal dalam bentuk
rama-rama, untuk edisi popular harga murah! Mengapa kulit buku ini dipilih
demikian rupa? Tujuannya untuk memikat pembaca bahawa novel ini adalah istimewa
dan sangat unggul, oleh itu perlu ditegaskan dalam penampilannya, walaupun hanya kulitnya! Asas pilihan itu ialah prinsip nilai Barat
tadi; jika dipilih nilai Islam, mungkin lebih cocok hanya nama atau judul buku
itu saja tertulis di kulit, tanpa sebarang usaha untuk memikat hawa nafsu
manusia yang akan membelinya. Walaupun A. Samad Said telah menulis sajak
panjang berjudul al-Amin, kononnya
tentang Nabi SAW, namun ajaran dan prinsip-prinsip nilai yang kononnya
mendorong penulisan sajak itu, tidak dijadikan asas dalam membuat keputusan.
Hawa nafsu manusia yang rendah juga yang menjadi pilihan. Inilah juga yang
terjadi dalam Laporan 2012 tentang
Kemala, ketika Panel Anugerah Sastera Negara memuji sasterawan negara pilihan
mereka. Lihat kutipan ini:
“Sebagai penyair berjiwa besar, Kemala juga berani
menggunakan alusi daripada budaya lain seperti rujukan kepada Mark Anthony dan
Cleopatra. Perkara ini dilakukan bukan kerana tidak ada tokoh dalam kalangan
penduduk tempatan, sebaliknya, penggunaan alusi asing ini memupuk renungan
tentang hukum hidup yang universal dan lumrah. Malah dalam era globalisasi ini
perlulah kita menyedari tentang persamaan dan perbezaan antara Timur dengan
Barat. Manusia, tidak kira negara asalnya, pada dasarnya menghadapi pengalaman
dukalara dan peristiwa yang amat menggembirakan dalam mengharungi lautan hidup.
Justeru, alusi daripada berbilang budaya menjadikan karya penyair ini
universal. Namun demikian, Kemala tetap bersandar kepada akar umbi Melayu dan
ajaran Islam” (hal. 20). Saya tidak
perlu mengulas; anda sendirilah menilainya. Cukuplah bagi saya untuk membuat
kesimpulan, inilah puncak pandirisme dalam sastera Melayu, baik dari segi
penilai mahupun dari segi pensajak sendiri. Cuma sedikit ingatan: pensajak ini
diberi keistimewaan sebagai pensajak “sufi”. Sejak bila Mark Anthony dan Cleopatra menjadi
lambang orang “sufi”?
“Apakah yang
telah dihasilkan oleh para sasterawan selama 70-80 tahun ini? Biasanya jawapan
yang diberikan terlalu lurus, dengan penegasan bersungguh-sungguh bahawa
sastera Melayu telah melahirkan beribu pensajak, “novelis, dramatis,
cer/penis,” kri/tikus, sasterawan, sarjanawan yang semuanya golongan
cendekiawan budiman emas tempawan yang berkilauan. Mereka inilah yang
menghasilkan pelbagai jenis sajak, drama, novel yang picisan dan erotik serta
yang bukan, yang kesemuanya dipanggil karya sastera yang penuh dengan cerita
sensasi yang menegangkan bulu roma dan seterusnya. Dari kalangan mereka inilah lahir para
sasterawan sufi yang menjadikan Mark Anthony dan Cleoptra sebagai model
percintaan “kesufian” hawa nafsu manusia.” (Dikutip daripada naskhah tulisan
tangan, 1990-an, tanpa nama pengarang.)
Penulis naskhah ini terlupa mencatat betapa banyaknya sastera protes
yang ditulis bermodelkan faham realisme sosialis, ditulis oleh yang mendakwa
diri mereka adalah para pejuang kemerdekaan yang menceburkan diri dalam bidang
kewartawanan dan sekali gus menjadi para sasterawan terkenal yang telah
mewariskan karya besar dalam sastera Melayu moden. Selepas merdeka, karya ini
mula dipersoalkan mutunya dan motifnya: benarkah inilah karya bermutu yang
melayakkan penulisnya diberi gelaran besar? Terdapat sedikit kekecohan apabila
ada di antara para sarjana sastera, juga pengkritik, mula berasa sangsi
mengenai cara penilaian itu dibuat: apakah asasnya? Mereka sampai kepada satu
kesimpulan yang agak mengejutkan: nilai-nilai yang dijadikan ukuran tidak
berjiwa Melayu, sebaliknya terlalu pekat dengan keju dan mentega Eropah, tiada
langsung bau belacan Melayu. Itulah kesedaran paling bermakna bagi mereka,
lantas mereka berebut-rebut “mencipta teori” sastera Melayu. Tetapi masalahnya
mereka tidak sedar mereka masih menggunakan nilai-nilai Barat untuk
menghuraikan teori sastera Melayu itu. Contohnya nama yang diberikan kepada
sekumpulan petua yang diberi nama “teksdealisme”: kesempurnaan nilai Melayu
yang diukur dari nilai-nilai Barat, sehingga akhirnya melahirkan seorang tokoh
besar yang diberi gelaran “Raja Novelis Malaysia” atau “Raja Novelis Melayu”!?
Inilah
permulaan lahirnya idea tentang pandirisme dalam sastera Melayu.
Sebelum Pak
Pandir diangkat menjadi seorang ahli falsafah yang melahirkan pandirisme ini,
Si Tanggang anak derhaka telah dilantik menjadi seorang intelektual agung
bangsa Melayu yang membawa perubahan setelah pulang dari perjalanan di Eropah
dan Amerika Syarikat, tempat sang intelektual ini belajar menjadi kurang ajar. Pada waktu yang hampir sama, Pak Kaduk pula
diisytiharkan sebagai seorang strategis Melayu yang ulung, yang menyelamatkan
rakyat daripada penindasan kezaliman raja-raja Melayu yang telah merampas ayam
Pak Kaduk. Semua ini terjadi setelah seorang sarjana dan ahli fikir Melayu yang
ulung, seorang profesor yang cekap meninjau sajak-sajak Melayu,
melontarkan idea besarnya yang
digelarnya anjakan makna.
Dalam kemelut itu, timbul pertanyaan yang menggegerkan
dan menggegarkan para sasterawan dan sarjana, bagaimanakah bentuk karya kreatif
kita nanti, dan bagaimana pula corak kritikan yang kita wariskan? Golongan
sasterawan dan sarjana yang “cetek meraba-raba” tidak berminat kepada soalan
itu, kerana bagi mereka apa yang ada sudah cukup, lagi pula sudah dipilih dari
kalangan sesama sendiri para sasterawan negara yang sudah terbukti jasa dan
sumbangan mereka untuk diri mereka dan seterusnya ... Kata mereka, tidak perlu apa-apa pertanyaan
yang menyusahkan, kita teruskan saja apa yang kita telah buat dan telah
buktikan, tanpa memperkenalkan apa-apa perubahan, kecuali dalam cara
bereksperimen dan “bersimbolan” dalam karya masing-masing supaya terdapat
pelbagai makna yang akan menjadikan karya itu tidak boleh dikritik kerana ke
mana pun arah yang dipilih akan tetap berdiri teguh sebagai karya berunsur
estetika bahasa yang tinggi, pemikiran yang mendalam, dan penerokaan tema
kemanusiaan yang luar biasa serta beraneka pula coraknya. Kata mereka, kita
sudah pun mempunyai maha karya, masterpiece,
yang tidak dapat diragukan lagi sifat internasionalnya, yang universal
persoalannya, yang mencerminkan nilai-nilai kemanusiaan yang diterima di
seluruh dunia. Kita telah ada karya demikian, kata mereka, seperti Salina, Juara, Salam Maria, Srengenge, Tunggul-tunggul Gerigis, Tikus
Rahmat, dan lain-lain yang sudah disenaraikan dan diterbitkan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka sebagai karya abad ke-20. Tetapi sarjana yang nakal, yang
masih tidak puas hati, yang selalu menimbulkan masalah kepada para sasterawan
dan sarjana sastera, masih juga melontarkan soalannya: Benarkah begitu?
Betulkah? Maka bermulalah kemelut baru yang ditingkatkan persoalannya menjadi
persoalan epistemologi dan adab dalam persuratan Melayu.
Para sasterawan dan sarjanawan yang “cetek
meraba-raba” tiba-tiba mendapat cabaran baru yang belum pernah berlaku
sebelumnya. Kini pengetahuan mereka tentang sastera yang ditiru dan diciplak
dari Barat itu terhuyung-hayang ditiup taufan epistemologi yang mereka tidak
pernah kenal dan baru hanya mendengar namanya, belum lagi tahu betul-betul.
Dalam kekalutan itulah ditimbulkan tiga kategori karya yang tidak dapat dielak
atau ditolak kerana memang telah wujud dalam dunia penulisan Melayu, hanya yang
satu itu dibiarkan mati beragan kerana kemampuan ilmiah yang terbatas tidak
dapat mendukung kategori yang satu itu, yang telah dimulai penulisannya dalam
bentuk moden oleh Al-Adib Abdul Kadir Adabi melalui novel-novelnya. Selepas ini kategori karya persuratan akan
menjadi kategori utama, yang menjadi standard kepada karya kreatif di Malaysia.
Dengan bertambahnya ilmu dan sikap terbuka para penulis muda, perubahan ini
nampaknya tidak dapat dielakkan, kerana itulah sebenarnya pilihan terbaik untuk diri penulis
itu sendiri dan untuk masyarakat yang menjadi khalayaknya.
Karya kreatif ketika itu tidak lagi berlegar di
sekitar cerita yang tidak matang, seperti yang dapat dilihat dalam novel Juara misalnya. Dengan memberi tumpuan
kepada konsep ilmu yang benar, aspek pemikiran yang selama ini seolah-olah
menjadi semacam obsesi ketika membicarakan para sasterawan negara, akan diberi
bentuk yang jelas apabila para pengarang
kita dapat benar-benar menguasai ruang naratif untuk memberi keutamaan kepada
wacana yang bersifat ilmu sambil bercerita dengan berhemah dan matang, tidak
lagi seperti yang dihidangkan di dalam novel seperti Juara dan lain-lain karya sastera seumpamanya. Jika kesedaran
begini sudah ada, dan mendapat perhatian serius para penulis, maka karya
kreatif kita tidak lagi meleret dengan cerita sensasi yang hanya memberi
tumpuan kepada kepuasan hawa nafsu rendah pembaca dan pengkaji, sebaliknya akan
menyentuh kalbu para pembaca yang cerdik yang akan membawanya kenal diri dan
tahu pula arah kehidupannya sebagai manusia yang dicipta oleh Allah SWT. Inilah
kekuatan karya persuratan, yang seluruhnya diasaskan kepada konsep taklif.
Melalui penguasaan konsep taklif dalam penulisan kreatif, pengarang akan
dibimbing oleh tiga rahsia taklif seperti yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah,
iaitu ilmu, keadilan, dan usaha ikhtiar
yang terbaik. Jadi sejak awal lagi penulisan kreatif dituntut untuk memenuhi
tiga ukuran itu, yang menjadi standard dalam mencapai kesempurnaan seni
mengarang. Jika anda mahu menjadi
seorang pengarang yang berjaya dunia akhirat, anda harus memahami dengan
mendalam tiga rahsia taklif yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah itu. Itulah
prinsip yang paling sempurna untuk dikuasai oleh setiap pengarang yang
mempunyai tidak saja bakat yang tinggi, tetapi juga kesempurnaan adab sebagai
pengguna bahasa dan idea yang benar-benar bertanggungjawab ke atas dirinya dan
pembaca karyanya. Dialah yang layak dipanggil al-adib dalam seni mengarang.
Karya kreatif abad 21 tidak lagi berlegar dalam istilah
palsu seperti eksperimen, kelainan, pembaharuan dan lain-lain istilah atau
konsep yang sering disebut-sebut oleh para sasterawan dan sarjana sastera, yang
sekali imbas kelihatan hebat dan menarik, seperti Pak Pandir terpesona melihat
timbunan padi hampa dan terus memikulnya, tanpa memberi perhatian kepada
isinya. Sudah lama para sasterawan
memikul beban akademik yang palsu dan hampa ini, yang dijaja dengan riuh kepada
masyarakat sebagai sesuatu yang berguna, padahal itik dan ayam pun tahu mutunya
dan tidak mahu disudu atau dipatuk oleh mereka. Inilah kepalsuan yang menjadi
obsesi Panel Anugerah Sastera Negara, yang sudah 40 tahun memberi gambaran
palsu dalam ukuran mereka yang berasaskan common
sense yang lebih cenderung kepada sensasi. Anda perlu membaca dengan kritis
laporan mereka untuk memahami kesimpulan ini.
Dengan penjelasan yang dihuraikan di sini, ilmu
persuratan Melayu, sama ada dalam bidang kreatif mahu pun dalam bidang akademik dan ilmu-ilmu
khusus, akan diperkembangkan melalui bahasa Melayu tinggi berasaskan konsep
ilmu yang benar. Maka itulah saya pernah mencadangkan, dalam tahun 2006, ketika
membentangkan kertas kerja saya di seminar DBP, supaya diwujudkan Hadiah
Persuratan Petronas. (Sila rujuk kertas kerja, “Hadiah dan Anugerah Sastera di
Malaysia: Satu Penilaian Kritis”, Seminar Impak Anugerah dan Hadiah Sastera ke
Atas Perkembangan Sastera Kebangsaan, DBP 25 Mei 2006; dan pos bertarikh
15/12/2012 untuk penjelasan pendek.) Matlamat utama Hadiah Persuratan Petronas
ini ialah untuk memberi pengiktirafan kepada para penulis dalam bidang-bidang
ilmu tertentu yang dipilih yang menulis dan menerbitkan karya mereka dalam
bahasa Melayu, di samping memberi penghargaan kepada para penulis kreatif.
Karya persuratan adalah satu peningkatan dalam kerjaya kreatif seorang pegarang
Melayu, tetapi pada waktu yang sama para sasterawan yang kemampuan kreatif tidak
tinggi dan cetek pula ilmunya, akan terus menulis karya sastera dan karya
picisan dan erotik. Itu pilihan mereka, yang tidak dapat dihalang. Malah
terdapat di kalangan sasterawan negara sendiri, seperti Shahnon Ahmad, yang
masih menulis karya picisan dan erotik ini. (Mengenai karya persuratan, karya
sastera dan karya picisan lihat pos bertarikh 23/1/2012).
Abad 21 adalah abad penting dalam membina generasi
persuratan dengan penekanan kepada keutamaan membina generasi ilmu berasaskan
konsep ilmu yang benar, yang sentiasa sedar kepada peranan taklif dalam
kehidupan manusia, terutama sekali dalam bidang penulisan yang bersifat kreatif
dan akademik. Satu corak penulisan baru
dalam bidang kreatif akan menjadi satu gerakan penting dengan wujudnya gagasan
Persuratan Baru. Untuk mencapainya, kita
tidak perlu kepada jumlah penyokong yang ramai, walaupun sokongan itu penting
dalam apa juga usaha kebajikan yang kita lakukan. Ajaran Islam yang menekankan
amar makruf nahi mungkar itu pada umumnya tidak dijadikan panduan oleh para
sasterawan yang amat mengutamakan kebebasan, sehingga sanggup melanggar
larangan agamanya sendiri. Walaupun tindakan demikian merupakan kerja sia-sia
dan merugikan masyarakat, namun bagi para sasterawan kelangsungan kebebasan itu
menjadi matlamat berkarya, maka sikap itulah yang melahirkan novel-novel
seperti Juara, Salina, TIVI dan
lain-lain yang ditulis oleh para sasterawan negara sendiri. Dengan munculnya gagasan Persuratan Baru,
karya-karya begini dapat dinilai dengan lebih objektif, tepat dan jitu
berasaskan ukuran yang boleh diuji dengan mudah akan kesahihannya. Dari perspektif
inilah karya para sasterawan negara perlu dinilai semula supaya perkara yang
sia-sia dan merugikan masyarakat tidak diberi pujian dan sanjungan sehingga
kualiti sebenar karya itu tenggelam dan ditenggelamkan dalam mitos palsu yang
dibina oleh misalnya Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka. Generasi
Persuratan akan lebih terbuka dan lebih bersedia untuk dinilai dengan kritis
berasaskan ukuran yang standard berasaskan konsep ilmu yang benar. Keterbukaan
demikian tidak ada dalam generasi sastera yang diwakili oleh para sasterawan
negara dan Panel Anugerah Sastera Negara, seperti yang jelas ketara dalam
laporan mereka. Walaupun para sasterawan
dan sarjana sastera tidak menerima dengan positif kesimpulan itu, mereka tidak
pula dapat menolak hakikat bahawa generasi sastera lebih tertutup dari segi
sikap positif kepada pembaharuan yang mereka anggap akan meruntuhkan status quo
mereka. Oleh itu, tepatlah jika dikatakan bahawa mereka yang bergelar
sasterawan dan sarjana sastera yang sering bercakap tentang pembaharuan,
eksperimen, kelainan dan sebagainya itu, adalah penentang kepada pembaharuan
sebenar yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru.
Mohd. Affandi Hassan,
25/4/2013.