Catatan: Bahagian ini sambungan kepada posting bertarikh 21 April 2012, dengan
sedikit penjelasan tentang konsep plot.
Kementerian
Pelajaran telah menolak permintaan GAPENA supaya sastera Melayu dijadikan mata
pelajaran wajib di semua peringkat sekolah, bermula dengan peringkat tadika
lagi. Keputusan Kementerian Pelajaran
menolak permohonan itu dikesali oleh para sasterawan, penggiat sastera dan
wartawan sastera. Kata mereka, hilanglah peluang para pelajar untuk diasuh oleh karya sastera supaya mencintai dan
mengamalkan nilai-nilai murni yang terdapat di dalam karya sastera. Benarkah
karya sastera mencerminkan nilai-nilai murni dalam kehidupan manusia? Mungkin
ada, tetapi perkara ini tidak diberi perhatian langsung oleh Panel Anugerah
Sastera Negara. Jika maksud nilai-nilai murni itu ialah persoalan moral dan
etika dalam kehidupan, maka Panel Anugerah Sastera Negara menolaknya bulat-bulat,
menegaskan dalam kata-kata yang berikut: “Salina
membawa perubahan kerana tidak lagi membawa tema tertentu, apa lagi perutusan
yang jitu. ... A. Samad Said sebagai novelis tidak ingin terlalu menonjolkan
tema dan perutusannya. Daripada segi inilah beliau membawa pembaharuan, kerana
beliau lebih suka membawa aliran-aliran Barat seperti realisme atau naturalisme
(dan realisme baru kemudiannya seperti dalam Langit Petang atau Daerah
Zeni), dan mengisahkan segala peristiwa sebagai pemerhati yang terperinci,
daripada sebagai moralist yang memberikan penilaian peribadinya
terhadap watak-watak dan kisah-kisah mereka” (Laporan 1985, hal. 13). Inilah kekuatan A. Samad Said yang
melayakkannya diangkat sebagai seorang sasterawan negara. Di manakah
“nilai-nilai murni” itu? Panel Anugerah Sastera Negara tidak menerima
“nilai-nilai murni” sebagai satu faktor penting dalam penilaian mereka; dan A.
Samad Said sendiri pun mengaku beliau menulis Salina kerana ingin menulis kisah hidup seorang “pelacur yang baik
hati”. Tentu saja beliau tidak bermaksud
hendak menegaskan bahawa seorang pelacur bukanlah seorang yang mengamalkan
nilai-nilai murni, kecuali dalam konteks kepelacurannya. Namun begitu, Salina masih boleh dipakai sebagai teks
wajib, seperti yang diminta, dengan syarat kaedah penelitian terhadap novel ini
menggunakan asas penilaiannya berdasarkan konsep ilmu yang benar, seperti yang
dituntut dalam gagasan Persuratan Baru. Apakah kesannya terhadap nilai novel
ini telah dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Madya Dr. Mohd.
Zariat dalam bukunya, Seksualiti Dalam
Novel Melayu (Penerbit UKM, 2011).
Kembali
kepada penilaian Panel Anugerah Sastera Negara, kita dapati kesimpulan mereka
sangat aneh, tidak masuk akal, bertentangan dengan tabiat semula jadi semua
manusia. Jika anda masih ingat, waktu anda budak-budak lagi, ibu bapa anda
telah bertanya anda akan jadi apa bila dewasa nanti; di sekolah pula guru anda
akan bertanya tentang cita-cita anda; di pejabat, jika anda bekerja makan gaji,
anda diberi tugas tertentu yang mesti dilaksanakan; jika anda bekerja sendiri,
anda akan lebih tertumpu pada kejayaan yang akan anda capai, oleh itu anda
mungkin bekerja lebih keras. Jika anda memandu, anda tahu ke mana anda hendak
tuju. Anda mempunyai matlamat tertentu. Mungkin anda hendak ke suatu tempat
untuk membeli pisang goreng kegemaran anda; mungkin anda hendak ke seminar
peringkat kebangsaan tentang pendidikan sastera di sekolah-sekolah. Pendeknya,
anda mempunyai matlamat. Katalah apa saja yang anda buat, pasti ada matlamat
yang ingin dicapai. Tiba-tiba anda diberitahu oleh Panel Anugerah Sastera
Negara matlamat itu tidak penting, tak perlu; tema pun tidak penting, tidak
diperlukan; tidak ada tujuan apa-apa selain bercerita. Tidakkah bercerita itu sendiri
pun satu matlamat juga? A. Samad Said sedar apa yang dibuatnya, maka itulah dia
menegaskan dia ingin bercerita tentang seorang pelacur cantik yang laris di
pasaran. Sekarang timbul persoalan: Mengapa Panel Anugerah Sastera Negara
menafikan matlamat itu, yang menjadi tema Salina?
Berapa ribu kali pun anda menggeleng kepala kehairanan, anda tidak akan
mengerti mengapa Panel Anugerah Sastera Negara bertindak seperti itu. Di
situlah kehebatan mereka, yang diterima bulat-bulat oleh para sarjana dan para
sasterawan. Dan inilah warisan kritikan yang kita terima dan dipertahankan
dengan gigih oleh kumpulan (atau gerombulan) tertentu di Malaysia. Inilah kemuncak pandirisme! Kerana begitu terikat kepada pandirisme, anda
tidak peduli lagi kepada tujuan dan matlamat hidup anda untuk mencapai al-falah, yang anda dengar dilaungkan
setiap waktu sembahyang. Tidakkah amat terkutuk apabila sasterawan tidak
mempunyai matlamat dalam penulisan mereka? Jika ini bukan satu realiti, mereka
sepatutnya sudah lama menolak laporan Panel Anugerah Sastera Negara kerana
telah membuat kesimpulan yang salah dan tidak benar. Di manakah duduknya
“nilai-nilai murni” yang digembar-gemburkan itu?
Hampir
keseluruhan penilaian Panel menjadi keliru kerana kekeliruan mereka memahami
konsep plot. Mereka pada umumnya bergantung seratus peratus kepada konsep plot
untuk menilai novel dan cerita pendek yang mereka laporkan. Akibat
ketergantungan mutlak kepada konsep plot yang keliru itu, maka mereka menilai
karya kereatif dari satu jurus saja, iaitu dari aspek ceritanya. Inilah
kelemahan mereka yang paling besar dan paling menonjol, yang membuat mereka
tidak dapat membezakan sebuah karya picisan dengan karya yang bermutu. Dengan
melihat sesuatu novel dan cerita pendek dari aspek cerita semata-mata, maka
mereka tidak dapat menilai kekuatan pemikiran penulis novel, dengan itu
mengabaikan aspek ilmu dan wacana dalam penilaian mereka.
Kita
lihat bagaimana mereka menggunakan konsep plot dalam penilaian mereka terhadap
novel Daerah Zeni. Dalam Laporan 1985 (hal. 17-18) mereka
menulis: “Kisah dalam Daerah Zeni ini
adalah kisah dalam kisah. ... Pada satu tahap cerita dalam novel ini merupakan
cobekan-cobekan yang sengaja ‘dizigzagkan’. Plotnya tidak ada. Ruang masa
tindih menindih dan berselang-seli. Urutan kisah secara tradisional tidak
wujud. Novel ini bagaikan sekeping kertas besdar yang dikoyak-koyak menjadi
kepingan-kepingan kecil dan kemudian dibuang sewaktu angin kencang sedang
bertiup. Kepingan-kepingan itu terbang bertaburan. Tetapi apabila diusahakan
pengumpulan kembali cobekan-cobekan itu, barulah terasa kisah kemanusiaannya.
Dan kemanusiaan di sini sama sekali tidak ada peleraiannya.”
Apakah
yang mahu diperkatakan oleh Panel dengan lukisan perbandingan sedemikian rupa?
Mereka ingin menampilkan betapa hebatnya “plot” yang tidak berplot dalam novel
itu; walaupun “plot” yang dikatakan tidak wujud itu ibarat kepingan kertas yang
diterbangkan angin kencang, masih boleh dicantum dalam satu kesatuan yang
memberi makna tertentu tentang kemanusiaan yang ingin dikemukakan oleh A. Samad
Said. Penggunaan perbandingan (atau
kiasan) berlebihan dan tidak masuk akal seperti ini telah ditegur oleh Pendeta
Za’ba sejak tahun 1934 lagi (lihat Ilmu
Mengarang Melayu, versi Jawi,
1934, hal. 230). Kata Za’ba: “Jangan memakai bahasa kiasan yang terlampau jauh
terpelanting perbandingannya atau maksudnya.
... Jauhi memakai bahasa kiasan yang tiada bererti kepada pembaca atau
pendengar kerana perbandingannya tiada pernah dilihat atau diketahui mereka.
Begitu pula kiasan yang terpaksa dihuraikan terang-terang baharu orang mengerti.”
Teguran dan kritikan ini masih berguna untuk menjadi panduan, terutama sekali
hal ini berkait rapat dengan kemampuan kognitif pemakai bahasa kiasan. Perbandingan yang digunakan oleh Panel tidak
sekali-kali menjelaskan peranan plot dalam penulisan novel, selain kerana tidak
logik dan tidak masuk akal, membandingkan “plot” dengan kertas besar yang
dicobek-cobek kemudian diterbangkan ke angin kencang untuk dicantum kembali,
hanya menyerlahkan kenaifan dan kedaifan intelektual dan lemahnya kemampuan
kognitif Panel sendiri dalam memahami konsep plot dalam cereka.
Ada
beberapsa kelemaan konsep plot yang perlu diberi perhatian. Pertama, plot
bergantung pada cerita, tetapi tidak sebaliknya. Cerita dalam konteks plot ini
dinilai daripada rentetan peristiwa, dengan itu idea dipinggirkan, dan ini
memberi kesan kepada kontangnya “pemikiran” dalam novel yang bergantung pada
plot semata-mata. Sebaliknya, jika cerita diletakkan dalam ruang naratif, dan
penggunaan ruang itu ditentukan oleh wacana, maka cerita tidak lagi perlukan
plot seperti dalam pengertian yang dipakai oleh Panel dan pengkritik sastera.
Sebaliknya cerita akan ditentukan oleh kewarasan (rasionaliti) wacana yang
berfungsi untuk mengolah pemikiran pengarang yang ditentukan oleh konsep ilmu
yang benar; dengan itu realisme tidak lagi realisme semu, tetapi sebaliknya
dilihat dalam konteks realisme hakiki berasaskan konsep ilmu yang benar tadi.
Penjelasan kecil untuk memudahkan kefahaman perbincangan ini: Jika anda membaca
novel seperti Kuala Lumpur Kita Punya
atau TIVI, anda hanya melihat realiti
semu tentang kejadian tertentu dalam masyarakat; tetapi anda tidak dapat
melihat realiti hakiki kerana anda tidak melihat realisme itu dalam konteks
taklif, padahal anda berbicara tentang manusia dan pengalamannya. Bagaimana
anda boleh memisahkan realiti hakiki kehidupan manusia yang semuanya terikat
kepada konsep taklif, dengan hanya membicarakan aspek luaran yang disebut
realiti semu itu. Maksud realiti semu ialah realiti yang dipisahkan dari
hakikat kejadian insan, dan hakikat kejadian insan itu hanya boleh difahami dalam konteks hakikat
ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam. Jika plot dilihat daripada
perspektif ini, maka novel seperti Salina
atau TIVI masih boleh ditulis, tetapi
bentuknya akan berbeza sama sekali daripada bentuk yang ada sekarang, yang pada
hakikatnya hanyut dalam cerita hanya untuk bercerita, bukan untuk menyerlahkan
hakikat kejadian insan yang hanya dapat dihuraikan dengan menggunakan konsep
ilmu yang benar.
Panel silap besar apabila mereka berkata Daerah Zeni tidak berplot, kerana ini
akan memberi makna bahawa novel itu tidak mempunyai cerita; padahal Panel
sendiri mengaku novel itu meniru struktur cerita berbingkai. Di sinilah
kekeliruan mereka, akibat ketergantungan kepada konsep plot yang tidak begitu
difahami. Kelemahan ini hanya dapat dilihat jika digunakan konsep “ruang
naratif” yang diperkenalkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam beberapa buah
tulisan beliau. Sebuah cerita berada dalam satu ruang naratif yang ditentukan oleh
pengarang bagaimana ruang itu akan dipergunakan: akan disumbat dengan segala
macam peristiwa, atau diolah begitu rupa untuk mengejapkan tema yang dipilih
dengan memberi isian yang diwacanakan dalam bentuk cerita yang diberi wajah
intelektual melalui stylization of ideas. Tidak tahu bagaimana mengurus ruang
naratif akan menghasilkan jenis novel
yang ditulis oleh Azizi Abdullah, Shahnon Ahmad, A. Samad Said dan lain-lain
penulis popular Malaysia. Prof. Ungku Maimunah, dalam pembicaraannya tentang
novel Azizi Abdullah, Harga Sebuah Maruah,
yang memenangi sayembara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, menunjukkan
bagaimana pengertian konsep plot yang keliru oleh sasterawan diterima oleh
penilai sayembara, walaupun bertentangan dengan syarat yang diberikan oleh
penganjur peraduan. (Lihat analisis Prof. Ungku Maimunah dalam kertas kerjanya,
“Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi
Hj. Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara”. Dibentang dalam Simposium Kebudayaan
Indonesia-Malaysia XII (SKIM XII). UKM, Bangi 29-30 November 2011). Inilah
kesimpulan beliau yang wajar diberi perhatian serius oleh penganjur sayembara,
sarjana, dan pengkritik sastera: “Analisis di atas menunjukkan wujudnya
kepincangan yang amat ketara dalam penilaian dan pengiktirafan novel Harga Sebuah Maruah. Ternyata, kepakaran
mantap dan mendalam tentang sastera yang semestinya
ada bagi urusan penilaian dan pengiktirafan, jelas tidak ketara. Malah
kekeliruan dan kecetekan fahaman yang terserlah, yang seterusnya dijadikan
panduan penilaian. Analisis kritis dengan mudah dapat mendedahkan bahawa
dakwaan tentang kekuatan dan keistimewaan
novel itu sebenarnya tidak mempunyai asas yang kukuh, yang boleh
dipertanggungjawabkan secara ilmiah. Malah dalam banyak hal, dakwaan yang
dibuat terang-terangan bercanggah dengan bukti dalaman novel yang dinilai.
Berdepan dengan keadaan seperti ini, adalah munasabah dan bertanggungjawab
sekiranya kepakaran yang mantap dan mendalam disyaratkan sebagai asas penilian,
sementara laporan yang terhasil daripada penilaian tersebut dipastikan lebih
mantap dan bertanggungjawab, bukan dakwaan atau hujah yang bersifat umum, jauh
sekali retorik yang gah semata.”
Prof.
Ungku Maimunah dalam makalahnya tidak berbicara tentang laporan Panel Anugerah
Sastera Negara, tetapi tentang panel yang ditugaskan untuk memilih karya dalam
sayembara anjuran DBP 2007. Tetapi alangkah tepatnya kesimpulan itu jika
dikenakan kepada hasil laporan dan analisis Panel Anugerah Sastera Negara
sendiri. Hal ini tidak menghairankan, kerana sebuah panel lain yang ditubuhkan
oleh DBP yang menilai karya kritikan melakukan kerja selekeh yang sama, apabila
buku Pendidikan Estetika Daripada
Pendekatan Tauhid dinilai dari segi ukuran yang tidak kena-mengena dengan
kandungan buku itu, tetapi dilihat dari perspektif yang tidak kena-mengena sama
sekali dengan kandungan buku tersebut. Buku itu ditolak kerana pengarangnya
tidak “diplomatik” dalam mengkritik sekumpulan sarjana yang berpura-pura
tentang sastera Islam... (Sila rujuk dan baca Dewan Sastera, Disember 1994). Saya sendiri pernah menolak hadiah
cerita pendek anjuran GAPENA apabila panel yang menilai karya tersebut terlalu
naif dalam penilaian mereka. Akhirnya mereka memberikan hadiah yang saya tolak
itu kepada Azizi Hj. Abdullah! Bagaimana anda mahu tafsirkan beberapa fakta
menarik ini terserah kepada anda; tetapi dalam pemerhatian saya semuanya
membuktikan betapa tepatnya bacaan saya tentang pandirisme dalam kesusasteraan
Melayu moden. (Sekadar perbandingan,
sila rujuk laporan Shamsuddin Jaafar tentang nadwah sastera Islam, Dewan Sastera (Januari 1994), untuk mendapat gambaran yang lebih positif dan
objektif tentang buku itu. Shamsuddin Jaafar dalam laporannya membuat
kesimpulan berikut: “... buku Mohd. Affandi Hassan, Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid banyak disebut di
dalam nadwah itu sebagai model ...” Berbeza
dengan panel penilai yang dilantik oleh DBP untuk menilai buku tersebut, nampaknya
peserta nadwah benar-benar mengamalkan “nilai-nilai murni” dalam perbincangan
mereka!).
Konsep
plot yang sudah lapok dan sudah menjadi klise dalam sastera Melayu, yang
dipakai dan dijadikan ukuran utama sebuah cereka oleh Panel Anugerah Sastera
Negara dalam laporan mereka, sudah tumpul dan sudah habis gigi analisis yang
seharusnya sentiasa tajam menggigit kepalsuan penilaian untuk memastikan hasil
penilaian itu betul-betul mantap dan boleh dipertanggungjawabkan secara ilmiah.
Inilah kelemahan konsep plot yang kedua,
yang wajar diberi perhatian terutama sekali oleh penulis. Dengan menggunakan konsep
plot yang begitu lemah, kabur dan keliru, maka Panel tidak dapat membezakan
sebuah karya picisan dan yang bukan picisan, dengan contoh terbaik ditunjukkan
dalam penilaian mereka terhadap karya A. Samad Said. Malah konsep picisan itu tidak ada dalam kamus
mereka, kerana bagi mereka yang picisan dan bukan picisan adalah sama. Yang
diperlukan, dan yang penting bagi mereka, hanya cerita, tidak kira bagaimana
cerita itu dibina dan untuk tujuan apa. Kerana itulah mereka berkata cerita
tidak mempunyai tujuan, kecuali untuk bercerita, dan itu bukan tujuannya (aneh
bukan pendapat yang saling bertentangan begini, tetapi tidak dalam konteks
Panel Anugerah Sastera Negara.) Inilah yang mereka tunjukkan dalam analisis dan
penilaian mereka terhadap karya Samad Said, dan cerita pendek Anwar Ridhwan,
“Dunia Adalah Sebuah Apartmen”. Mereka memuji karya itu dengan memberi
pencirian yang begitu tinggi, dengan menganggapnya bersifat “filosofikal”.
Mereka tidak dapat menjelaskan maksud mereka kerana yang mereka anggap sebagai
“filosofikal” itu sama saja kedudukannya dan tarafnya dengan yang picisan. Jika
anda membaca cerita pendek itu dengan kritis, anda akan dapati cerita pendek
itu biasa saja, sebuah cerita pendek picisan yang tidak langsung mempunyai
bibit-bibit pemikiran yang boleh dibahaskan. (Sila lihat penghujahan saya dalam
Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan).
Dalam konteks inilah kaedah bacaan yang diajukan oleh Prof. Ungku Maimunah
boleh membantu. Sebuah karya yang benar-benar mantap dan bermutu tinggi, mesti
diuji dengan kayu ukur yang keras mengetuk kepalsuan yang terdapat di dalam
karya itu; maka itulah Prof. Ungku Maimunah mengemukakan kaedah bacaan yang
dinamakannya “mod bacaan intelektual”, berbanding dengan kaedah Panel yang
dipanggil “mod bacaan cerita”. Hanya dengan menggunakan “mod bacaan
intelektual” sahaja sesebuah karya itu dapat diukur dengan tepat, objektif dan
benar-benar mantap. Bagaimana ini dilakukan dijelaskan oleh beliau dalam banyak
tulisan beliau, antaranya yang termuat dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan. Lihat di sana
untuk mendapat penjelasan lanjut tentang cara bacaan yang dianjurkan oleh
beliau, dengan contoh-contohnya sekali. Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat, dalam
buku Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan,
menghuraikan dengan meyakinkan bagaimana novel Abdul Kadir Adabi, Melati Kota Bharu, gagal diberi tafsiran
yang sewajarnya, malah disalah tafsir, jika dipakai mod bacaan cerita seperti
yang dilakukan oleh beberapa sarjana yang disebut oleh beliau dalam makalahnya.
Kenyataan ini penting kerana sesiapa juga yang meragui kewajaran mod bacaan
intelektual ini dalam penilaian sesebuah karya kreatif boleh mengemukakan hujah
beliau untuk menolak mod bacaan intelektual itu tidak diperlukan dalam kritikan
sastera di Malaysia. Jika inilah pendapat mereka (sebenarnya inilah pendapat
mereka yang tidak dinyatakan dengan jelas kerana sebab-sebab yang mereka
sendiri saja yang tahu), maka bagaimanakah mereka boleh membicarakan dengan
meyakinkan kehadiran “ilmu dan pemikiran” dalam sesebuah karya kreatif? Jika
mereka mempunyai tanggungjawab ilmiah, dan tanggungjawab akademik yang tidak
boleh diragui, mereka harus menjelaskan perkara ini. Sebaliknya, jika mereka menggunakan mod
bacaan intelektual, mereka akan dapat melihat dengan jelas mana yang picisan
dan mana pula yang betul-betul bermutu.
Inilah kelemahan paling menonjol dalam Laporan 2009 (dan yang lain-lain) yang meletakkan cerita pendek
termaklum sebagai karya “filosofikal”, tetapi tidak berdaya menjelaskannya.
Dengan menggunakan konsep ruang naratif, bukan plot dalam pengertian yang kabur
dan keliru yang mereka tunjukkan, maka mereka dengan mudah dapat membezakan yang
picisan dengan yang bermutu. Mereka harus memahami terlebih dahulu apakah yang
dimaksudkan dengan konsep picisan itu, yang boleh mereka dapat penjelasannya
dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan.
Jika
anda menggunakan konsep plot dalam pengertian yang kabur dan keliru seperti
yang dipakai oleh Panel, anda tidak akan dapat melihat ketangkasan berfikir dan
bercerita sekali gus seseorang pengarang.
Tetapi anda boleh melihatnya dengan jelas jika anda menggunakan konsep
ruang naratif, kerana anda boleh melihat bagaimana seseorang pengarang
menggunakan ruang naratif tadi dalam konteks stylization of ideas, bukan lagi dalam konteks susunan peristiwa
seperti yang dilakukan sekarang dengan menggunakan konsep plot yang kabur dan
mengelirukan itu. Inilah aspek ketiga
kelemahan konsep plot yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan para
sarjana, juga pengkritik sastera, dalam analisis mereka. Secara mudah, para
sarjana berkata plot adalah rentetan peristiwa yang disusun dalam karya menurut
urutan sebab akibat. Itu pengertian konsep plot yang paling mudah, tetapi dalam
pelaksanaannya amat mengelirukan. Para pengarang berkata, mereka tidak perlu
plot untuk bercerita, malah menurut mereka plot menyekat kebebasan mereka untuk
bercerita secara spontan. Cerita, menurut mereka, adalah seperti angin, tidak dapat dipaksa
untuk menjadi taufan atau ribut petir. Tetapi itulah sebenarnya yang mereka
lakukan setiap masa dalam tulisan mereka, kerana terdapat kesan lain yang ingin
dicapai, iaitu apa yang mereka sebut sebagai unsur suspen, unsur-unsur yang
mengejutkan, yang akan membuat cerita itu lebih menarik dan sedap dibaca. Semua
ini dicapai, dalam praktik yang selalu mereka tonjolkan, dengan menambah bumbu
yang dinamakan unsur sensasi. Unsur sensasi ini sering kali dikaitkan dengan
unsur-unsur seks dan kekerasan. Unsur sensasi inilah yang menjadi trade mark karya Shahnon dan muridnya
Azizi Hj. Abdullah. Unsur ini juga yang dipakai secara berlebihan oleh Fatimah
Busu dalam novel-novelnya, terutamanya yang paling menonjol ialah dalam novel Salam Maria yang penuh sensasi itu.
Semua aspek ini, jika anda analisis dengan cermat, membuktikan kegagalan plot
untuk menyerlahkan aspek pemikiran melalui wacana yang dihujahkan dengan teliti
dengan menggunakan cerita yang diberi kedudukan kedua, tetapi masih penting
dalam pembinaan sesebuah karya kreatif. Kesatuan antara wacana dan cerita itu
dicapai melalui stylization of ideas,
bukan berasaskan suspen atau sensasi seperti yang menjadi kebiasaan para
penulis Malaysia. Jika anda masih ingat,
Panel Anugerah Sastera Negara sendiri mensensasikan konsep plot ketika
membicarakan novel Daerah Zeni dan Langit Petang.
Itulah
tiga kelemahan konsep plot yang kini masih dipertahankan oleh para penulis
Malaysia kerana mereka terlalu bergantung pada teori dan pendekatan Barat. Kelemahan
ini dipertahankan dengan gigih oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam
kekeliruan mereka tentang makna dan maksud plot ini, dengan menegaskan bahawa
aspek pemikiran dan ilmu tidak perlu dalam karya kreatif, kerana aspek itu
menyekat kebebasan pengarang yang sepatutnya tidak mengarah karya mereka kepada
matlamat tertentu atau tema tertentu. Jika anda faham huraian pandangan keliru
dan cetek Panel Anugerah Sastera Negara tentang konsep plot, anda akan mengerti
mengapa Panel menolak apa juga unsur yang dipanggil “nilai-nilai murni” itu
kerana nilai-nilai itu memang tidak diperlukan dalam konsep plot yang mereka
fahami. Sebaliknya, jika mereka menerima konsep ruang naratif dan bagaimana
ruang naratif itu digunakan untuk dimuat dengan isian ilmu dan isian cerita
dengan menggunakan stylization of ideas, kehadiran apa yang disebut
sebagai “nilai-nilai murni” itu terjamin mengikut takrif bersandarkan konsep
ilmu yang benar. Sekiranya anda tidak memahami analisis yang dikemukakan di
sini, anda akan terus tidak mengerti mengapa laporan Panel ditulis seperti yang
mereka lakukan, kerana itulah yang seharusnya terjadi dalam konteks kefahaman
mereka yang keliru dan cetek terhadap konsep plot tadi. Jika anda memahaminya, anda akan dapat
memahami mengapa penilaian Panel perlu dinilai kembali. Hanya dengan berbuat
begitu saja persuratan Melayu akan mendapat tempatnya yang hak dalam tamadun
Malaysia yang memang dibina di atas prinsip-prinsip Islam dan nilai-nilai
Islam, bukan nilai-nilai murni seperti yang difahami sekarang, yang
mencampur-adukkan unsur mungkar dalam pengertian yang diberikan kepada konsep
“nilai-nilai murni” yang kotor itu.
Jika
kita perhatikan dengan kritis bagaimana para sasterawan ini membawa nilai-nilai
palsu dalam masyarakat, dan diiktiraf oleh Panel Anugerah Sastera Negara
sebagai “kelainan” melalui eksperimen dalam penulisan, maka kita akan dapat
melihat persamaan yang intim antara ahli politik dan para sasterawan. Dalam
dunia politik, sudah banyak sekali perubahan dilakukan, yang kesemuanya
mendapat sokongan dan dukungan media, terutama akhbar. Sekarang perbuatan
fitnah-memfitnah tidak lagi dipandang jijik; malah sudah disempurnakan dengan
amat baik dengan menggunakan teknologi moden. Misalnya, untuk membunuh karier
politik seorang musuh politik, “orang-orang terhormat” dalam politik
menggunakan fitnah sebagai wahana, dilakukan melalui pornografi yang ditayang
dengan leluasa, hatta melalui RTM sekali pun. Inilah realiti, kata mereka.
Inilah wajah ahli politik yang menipu rakyat, yang rendah moralnya dan dengan
itu tidak layak menjadi atau dijadikan pemimpin/ketua. Perhatikan bagaimana
perbuatan jahat memfitnah dan menuduh tanpa bukti diterima oleh sebahagian
masyarakat, diasak beribu kali sehari kepada perhatian masyarakat, lalu
dijadikan hujah bahawa orang yang dituduh tidak mahu bersumpah di dalam masjid,
dengan itu membuktikan dia bersalah. Perhatikan, bagaimana “sumpah” dalam
konteks fitnah itu dijadikan hujah untuk membenarkan pembohongan, walaupun
mereka tahu “sumpah” seperti yang mereka lakukan untuk membuktikan kebenaran
fitnah mereka adalah bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang mereka
gembar-gemburkan merekalah yang memperjuangkannya. Dengan itu pembohongan,
fitnah, umpatan, tuduhan palsu, gosip, diangkat menjadi “nilai murni” yang amat
kotor dalam perkembangan nilai-nilai baru di kalangan orang politik ini. Akhbar memainkan peranan yang amat penting
dalam membentuk dan memperkenalkan nilai-nilai pembohongan ini, dengan
menerbitkan setiap minggu lampiran dalam akhbar yang khusus untuk melemparkan
pelbagai jenis gosip yang amat digemari pembaca. Sekarang kita mempunyai
wartawan khusus untuk itu, iaitu wartawan gosip. Kerjanya ialah memburukkan
orang, menulis tentang perkara-perkara yang tidak ada bukti, tetapi cukup
menarik kepada pembaca yang memang meminati kejahatan yang digosipkan itu. Jika anda perhatikan pula penampilan
nilai-nilai palsu di kalangan para sasterawan, anda akan dapati satu perkembangan
yang selari dengan apa yang berlaku di kalangan ahli politik itu. Melalui
laporan Panel Anugerah Sastera Negara, kita dapati “nilai-nilai murni” yang
kotor ini dijadikan asas eskperimen dalam penulisan kreatif, diberi kedudukan
terhormat dan digalakkan. (Periksa dengan teliti Laporan 1985 dan Laporan 2009). Perbahasan tentang aspek ini
sudah saya lakukan dalam banyak tulisan saya, yang boleh dirujuk dengan mudah,
termasuk yang terdapat dalam blog ini. Oleh itu sebelum anda terjebak sama
dalam pembohongan ini, anda harus meneliti tulisan saya terlebih dahulu dan
memeriksa dengan teliti segala hujah dan bukti yang saya kemukakan. Anda boleh
membacanya dalam buku Kedudukan Ilmu
Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis.
Sekarang
apa yang disebut “nilai murni” itu telah dilacurkan untuk kepentingan puak atau
peribadi. Ambil contoh pemberian wang kepada rakyat. Mengapa perbuatan ini dipestakan begitu rupa?
Tujuannya supaya rakyat anggap kerajaan adalah pembela rakyat. Itulah
tujuannya. Itu sebabnya dilakukan pada waktu ini, dengan segala riuh rendah dan
pesta para pemimpin UMNO menabur wang di sana sini. Mahu menang pilihan raya,
mahu berkuasa lagi hingga kiamat. Jadi perbuatan yang asalnya baik, terpuji,
iaitu menderma dan memberi sedekah, menjadi satu perbuatan keji dan kotor
kerana pelakunya mempunyai niat tertentu yang tidak ada sangkut paut dengan
kebaikan menderma itu. Inilah antara contoh bagaimana “nilai murni” menjadi
amat kotor dan menjijikkan apabila dilakukan seperti yang dilakukan oleh para
pemimpin kerajaan pada waktu ini. Kebalikan
daripada perbuatan keji ini ialah sikap negatif terhadap ilmu, seperti yang
ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka selama
lebih dari 30 tahun ini. Mereka mungkin
tidak mempunyai apa-apa agenda besar seperti ahli politik, kecuali untuk
membina mitos di sekitar para sasterawan negara yang mereka pilih. Secara tidak
sedar, mereka telah mengetengahkan pandirisme sebagai nilai baru dalam
kesusasteraan Melayu moden, yang mereka anggap sebagai “nilai murni” dalam
kritikan sastera. Sikap tidak kritis
terhadap karya yang mereka nilai memberi gambaran yang keliru terhadap
kedudukan karya itu, lebih-lebih lagi apabila digunakan ukuran yang saling
bertentangan (rujuk Laporan 1985 yang
menolak adanya tema tertentu dan matlamat dalam Salina, tetapi pada waktu yang sama mengakui memang terdapat tema
tertentu, hal. 13). Kekeliruan begini tidak seharusnya ada dalam laporan
sepenting itu; tetapi inilah akibat budaya pandirisme yang menjadi landasan
analisis dan penilaian Panel Anugerah Sastera Negara. Dalam konteks ini
kedudukan mereka sama saja dengan ahli politik yang menjadikan pembohongan dan
penipuan sebagai strategi untuk mendapat kemenangan; manakala Panel pula
menggunakan kontradiksi, pandirisme dan kekeliruan dalam falsafah nilai untuk
membina mitos di sekitar para sasterawan negara. Akibatnya, penilaian mereka
yang rapuh dan keliru itu dipaksakan untuk diterima, dijadikan ukuran muktamad,
dengan itu dinafikan sebarang usaha untuk menilai kembali para sasterawan
negara dan laporan Panel itu sendiri.
Tidakkah ini bertentangan dengan “nilai murni cintakan ilmu dan
kebenaran” yang dituntut oleh tamadun manusia beriman di negara kita? Bagaimana
kita boleh menerima “nilai murni yang kotor” yang diamalkan sekarang sebagai
asas sebarang penilaian? Sudah nyata betapa kita harus membina kembali tamadun
kita berteraskan konsep ilmu yang benar. Itulah kemuncak nilai murni yang harus
kita perjuangkan dalam pembinaan tamadun negara kita.
Konsep
nilai murni ini perlukan asas epistemologi yang serasi dengan nilai-nilai Islam
yang dianuti oleh orang Islam. Asas itu tidak ada di kalangan para sasterawan,
tidak juga nampak di kalangan anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Jika kita
meneliti teori dan pendekatan Barat yang diguna dan dipromosi oleh para sarjana
kita sendiri, kita pun tidak bertemu dengan persoalan nilai-nilai murni ini.
Masuknya nilai-nilai murni dalam penilaian sastera hanya terjadi apabila
kerajaan ingin mempropagandakan konsep pembangunan material mereka, yang tidak
diimbangi dengan “pembangunan kerohanian” seperti yang difahami dalam Islam.
Oleh hal yang demikian, apa yang disebut dan dianggap sebagai “nilai-nilai
murni” itu lebih mengusutkan lagi persoalan kerana memang tidak terdapat dalam
karya sastera. Lagi pula, Panel Anugerah Sastera Negara sendiri menolak
“nilai-nilai murni” untuk dijadikan ukuran dalam menentukan bernilai tidaknya
karya para sasterawan negara yang mereka pilih. Bagi mereka, yang peting ialah
pembaharuan, dan ini dikaitkan dengan apa juga bentuk eksperimen dalam
penulisan kreatif. Dalam konteks inilah Panel Anugerah Sastera Negara (Laporan 2009) memuji “eksperimen” Anwar
Ridhwan dalam cerita pendeknya yang kemudian dijadikan tajuk kumpulan Abad 20
terbitan DBP, iaitu “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”. Cerita pendek itu diangkat setingkat lagi
dengan memberinya tafsiran “simbolisme”, dengan ulasan berikut: “Cubaan
bereksperimen ini sudah mula maju ke arah yang matang. ‘Dunia Adalah Sebuah
Apartmen’ mengemukakan apartmen sebagai satu simbol kehidupan manusia. Apartmen
adalah dunia yang sempit, panas, seragam bentuknya dan kuat pengaruh Baratnya.
Kehidupan yang cuba digambarkan ialah kehidupan yang dipengaruhi oleh cara dan
nilai Barat seperti seks bebas dan ketagihan arak. Kehidupan watak-wataknya
berkisar pada keseronokan semata-mata.
Cerpen ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’ mengemukakan persoalan
filosofikal. ... ”
Apakah
yang ‘filosofikal’ itu? Panel tidak
menjelaskannya kerana memang tidak ada apa-apa yang dapat dikatakan bersifat
‘filosofikal’ dalam cerita pendek yang biasa saja itu; kecuali jika yang
dimaksudkan dengan ‘filosofikal’ itu ialah kehidupan berzina dan minum arak.
Jika itulah maksud Panel, apakah yang ‘filosofikal’ tentang zina dan tabiat
mabuk itu? Sebenarnya inilah ciri penting dalam laporan yang disediakan oleh
Panel (baca semula laporan tentang A. Samad Said). Panel tidak berminat, atau tidak berusaha
untuk memberikan penjelasan di mana diperlukan penjelasan. Ini terjadi
kerana Panel tidak jelas (malah lebih tepat tidak ada) falsafah nilai
(axiologi) yang menjadi pegangan mereka; kerana mereka keliru dalam memahami
aspek epistemologi dalam kritikan sastera, sama ada yang dicedok dari Barat
atau yang difahami mereka daripada epistemologi Islam. Ringkasnya, analisis dan kesimpulan yang mereka ajukan
tidak akademik, tidak berasaskan konsep ilmu yang jelas. Hal ini menimbulkan
keanehan yang luar biasa jika kita terima mereka sebagai pakar dan ahli
akademik dalam bidang sastera. Keanehan itu ialah mereka tenggelam dalam dunia
“common sense” mereka sendiri, dengan itu analisis dan penilaian mereka amat
longgar, malah dari segi akademik tidak bertanggungjawab. Mereka memuji dan menyanjung realisme dalam
karya para sasterawan; tetapi mereka sendiri tidak realistik dalam analisis dan
penilaian mereka. Tidak ada “realisme
ilmiah” yang diperlukan dalam analisis dan penilaian mereka: semuanya
bertenggek di atas pentas “common sense” yang sudah lapok dan bobrok, yang
runtuh dengan hanya sedikit jentikan, belum lagi digoncang dengan kuat dalam
hujah yang mencabar kewibawaan mereka. Inilah kedudukan sebenar Panel Anugerah
Sastera Negara dalam bidang kritikan sastera Melayu moden. Selama lebih dari 30 tahun kita telah
tertipu. Adakah ini sebahagian daripada “nilai-nilai murni” yang ditekankan
oleh para sasterawan itu? Jika anda
bandingkan perbuatan ini dengan perbuatan ahli politik tadi, anda akan dapati
banyak sekali persamaannya. Sesuatu yang buruk, diberi sanjungan dan pujian
oleh Panel Anugerah Sastera Negara, dengan itu pembaca tidak dapat melihat lagi
batas-batas sempadan antara yang baik dengan yang buruk tadi. Mereka menjadi
amat keliru untuk membezakan “nilai murni” kerana konsep itu telah dikotorkan
dengan memberinya ciri terpuji dalam konteks “pembaharuan” yang dikaitkan
dengan eksperimen. Oleh itu perbuatan zina dan segala maksiat besar yang lain,
yang menjadi tema cerpen, diberi pujian atas nama “pembaharuan” dan eksperimen,
padahal kedua-duanya tidak bermakna sama sekali jika dilihat dalam konteks
“nilai murni”; kecuali dalam konteks “nilai murni yang telah dikotorkan” dengan
memberinya ciri “pembaharuan” dalam eksperimen kreatif. Lihat betapa karutnya
hujah Panel Anugerah Sastera Negara ini jika dianalisis dan ditafsirkan dengan
kritis berasaskan kefahaman yang mendalam dalam konsep ilmu yang benar.
Berdasarkan analisis ini (secara ringkas saja), benarkah “nilai murni” itu
wujud dalam karya sastera, terutama dalam karya para sasterawan negara, dan
dicerminkan dalam analisis dan penilaian Panel Anugerah Sastera Negara?
Jika
anda berminat hendak menjawab soalan ini, anda harus menjelaskan tiga perkara:
(1) sejauh mana karya para sasterawan negara mencerminkan nilai-nilai murni
yang betul-betul murni? (2) Panel Anugerah Sastera Negara menolak, melalui
laporan mereka, nilai-nilai murni sebagai ukuran yang menentukan bernilai
tidaknya karya para sasterawan negara: Adakah ini mencacatkan penilaian mereka
atau pada hakikatnya itulah realiti mutu karya para sasterawan negara ini? (3)
Jawapan kepada dua soalan di atas sangat penting kerana dari situ kita
akan dapat menentukan kedudukan sebenar sasterawan negara, dan pada masa yang
sama kita juga dapat melihat sejauh mana tepatnya penilaian Panel Anugerah
Sastera Negara sendiri. Sekarang kita sampai kepada soalan yang paling penting:
Adakah penilaian Panel Anugerah Sastera Negara sudah muktamad, tidak boleh
diusik lagi? Jika jawabnya tidak, adakah perlu kita nilai semula para
sasterawan negara ini dengan melihat kemampuan mereka sebagai pemikir dan juga
sebagai pencipta karya yang sedar tentang aspek pemikiran dalam kesusasteraan?
Dari situlah baru kita dapat menentukan apakah nilai-nilai murni yang
mendominasi karya mereka. Jika anda berpendapat semua ini tidak penting,
membuang masa, maka anda telah meremehkan para sasterawan negara dan Panel
Anugerah Sastera Negara yang telah memilih mereka. Nampaknya inilah yang
terjadi, jika anda faham maksud saya. Wallahu
a’lam.
Mohd.
Affandi Hassan
2/5/2012
Hmmm...kadang-kadang saya terfikir pula, kerana Persuratan Baru, Tuan Affandi Hassan melihat Pak Pandir dan Tenggang sebagai "ikon" sastera. Tertanya juga di manakah letaknya "sense of humour", "self-reflexivity", dan mata "satire" di dalam teori yang begitu kukuh ini.
ReplyDeleteSekian untuk pedoman saya.