Kini
sudah jelas, para pengekor teori dan pendekatan sastera Barat sudah kehilangan hujah untuk menentang
kemaraan wacana ilmu dalam persuratan Melayu.
Mereka berada dalam kecelaruan kognitif yang teruk, yang mungkin boleh
diselamatkan oleh mereka dengan amukan akademik berasaskan kewarasan berfikir
berpandukan gagasan Persuratan Baru. Mereka harus melakukan amukan akademik itu
untuk meyakinkan diri mereka bahawa mereka berada dalam iklim sastera yang
tidak lagi boleh dipertahankan, yang jika digagahi akan membuat mereka jadi
tidak siuman. Apakah pilihan yang terbuka kepada mereka jika mereka mahu
menyelamatkan kewarasan berfikir mereka? Mereka tidak boleh kembali mendukung
biawak hidup yang dinamakan teori sastera Barat, kerana itulah yang menjadi
punca mereka menghadapi kecelaruan kognitif itu. Ada di antara mereka,
kononnya, telah menolak teori sastera Barat, tetapi kedudukan mereka menjadi lebih teruk
kerana mereka tidak tahu apakah yang boleh dijadikan pengganti teori Barat itu.
Akhirnya mereka kembali mempertahankan teori Barat, kerana hanya di situlah
saja mereka boleh bergantung secara akademik. Sekarang sudah jelas terdapat
gerakan dari gerombolan ini untuk mempertahankan teori Barat, supaya kedudukan
mereka menjadi relevan kembali. Jika anda perhatikan perkembangan ini, anda
akan dapat melihat betapa huru haranya kumpulan ini, yang sudah sampai ke
peringkat anti-ilmu. Tetapi kedudukan mereka dalam dunia akademik masih
dipertahankan dalam sistem pendidikan tinggi di Malaysia, walaupun dari segi
pemikiran dan kekuatan akademik mereka tidak lagi dapat memberi sumbangan
positif, kerana seluruh gerakan mereka adalah untuk mempertahankan kedudukan
mereka yang tidak lagi relevan dari segi kecemerlangan ilmu yang dulunya
diharapkan daripada mereka. Mereka sudah kehilangan hujah untuk bertahan
sebagai ahli akademik. Mereka terpaksa menjadi appendik teori Barat, yang satu
ketika dulu mereka kutuk, tetapi kini mereka dakap kembali setelah mereka
menolak alternatif yang disediakan yang berteraskan nilai-nilai Islam dan
pandangan hidup Islam. Adakah kita sekarang menghadapi krisis nilai dan krisis
ilmu? Persoalan ini sudah lama dihuraikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib
al-Attas dalam bukunya, Islam and
Secularism (1978) dan Islam Dalam
Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972).
Ahli
akademik yang berada dalam kecelaruan kognitif ini mungkin telah mendengar
judul-judul buku ini, tetapi belum tentu mereka membacanya. Bagi golongan ini, tidak membaca buku-buku
ini adalah satu keistimewaan, satu bukti bahawa mereka menolak sama sekali apa juga pandangan kritis yang mereka kira
akan menggugat kedudukan mereka. Di
sinilah terserlah keistimewaan mereka secara negatifnya. Mereka sering kali
memuji dan memberi galakan supaya para penulis atau sasterawan mencuba teknik
baru, mengemukakan idea baru dalam karya mereka, tetapi mereka menyekat diri
mereka daripada sebarang pengaruh yang akan membolehkan mereka melihat dunia
ilmu yang lebih luas dan lebih canggih kupasannya daripada yang mereka ketahui.
Maka itulah mereka tidak membaca karya-karya Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas
yang membicarakan persoalan ilmu dan perihal kehilangan adab di kalangan ahli
akademik ini. Mereka rela menjadi pengekor taasub teori dan pendekatan Barat
dan terus selesa berada dalam kegelapan ilmu.
Terdapat
ahli akademik yang menolak sebarang perbincangan
tentang peranan ilmu dalam karya kreatif, kerana menurut mereka semua karya
kreatif sudah mempunyai unsur ilmunya di dalam cerita. Pendirian ini hanya menyerlahkan
kecelaruan kongnitif mereka, mungkin tanpa disedari, apabila ada di antara
mereka berpendapat para sasterawan negara sendiri bukanlah golongn pemikir,
oleh itu tidak ada pemikiran di dalam karya mereka. Ini dinyatakan misalnya
dalam seminar pemikiran A. Samad Said, Abdullah Hussein dan lain-lain,
diucapkan oleh pensyarah yang berpangkat profesor. Dalam hal ini, analisis Prof. Ungku Maimunah
tentang betapa celarunya penilaian panel yang diamanahkan (?) untuk memilih karya terbaik dalam Sayembara Jubli
Emas anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007.
Dengan memberi contoh bagaimana panel berkenaan menilai dan memilih
novel Azizi Hj. Abdullah, Harga Sebuah
Maruah, sebagai salah satu pemenang utama,
Prof. Ungku Maimunah memperlihatkan bagaimana lemahnya analisis dan
penghujahan mereka, yang kemudiannya dilanjutkan dalam satu “humor intelektual”
yang memukau dilakonkan oleh Prof.
Madya Dr. Siti Hawa Che Man, yang mengangkat novel itu dengan menggunakan kaedah
feminisme. (Rujuk makalah Prof. Ungku Maimunah, “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian
Sebuah Pemenang Sayembara”, kertas kerja untuk Simposium Kebudayaan
Indonesia-Malaysia XII (SKIM XII), Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 29-30
November 2011). Kertas kerja yang
penting ini wajar dijadikan kajian kes dalam cara menganalisis beberapa
persoalan penting dalam kritikan dan penilaian karya kreatif; di samping itu
novel itu sendiri juga perlu dijadikan kajian kes untuk melihat sejauh mana
hasrat yang dinyatakan oleh penganjur sayembara dengan segala syarat yang
ditetapkan telah dicapai oleh penulis novel, dan bagaimana penilaian para juri
mentafsirkan syarat-syarat itu sehingga tercapainya keputusan untuk memilih novel
itu sebagai pemenang. Adakah syarat-syarat itu dipenuhi oleh para juri sendiri
dan penulis novel? Semua persoalan ini dibincangkan dengan mendalam oleh Prof.
Ungku Maimunah dalam kertas ini. Antara persoalan besar yang dibangkitkan ialah
makna “pemikiran” dalam penulisan novel; tentang kemajuan dalam bidang teknik
penulisan yang dipakai pengarang; juga
tentang tempat novel itu dalam keseluruhan kemajuan penulisan novel di
Malaysia, adakah telah mencapai kemajuan yang benar-benar membanggakan; dan
lain-lain persoalan yang akan timbul atau ditimbulkan dalam perbincangan.
Kajian kes seumpama ini penting dalam pendidikan kesusasteraan, kerana pelajar
akan didedahkan kepada bagaimana sesuatu istilah digunakan, tepat tidaknya,
bagaimana istilah-istilah itu ditafsir oleh penilai dan oleh penulis sendiri;
dan adakah istilah itu menjurus kepada penilaian yang tepat kepada mutu sebenar
novel yang dinilai. Sekiranya penilai
tersalah tafsir, maka kesilapan itu akan berterusan, diterima sebagai sesuatu
yang benar; dengan itu penilaian terhadap karya berkenaan tidak mencerminkan
hakikat sebenar kualiti karya berkenaan. Inilah yag terjadi dalam kritikan
sastera Melayu, seperti yang dapat dilihat dalam laporan Panel Anugerah Sastera
Negara. Aspek ini telah dihuraikan oleh saya sendiri, di samping oleh Prof.
Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani. Bacaan kami dan
penilaian kami harus dibahaskan dengan objektif, terutama sekali dilihat dari
segi konsep dan istilah yang kami gunakan dalam analisis dan penilaian kami.
Inilah cara terbaik untuk menjelaskan beberapa isu penting dalam kritikan
sastera Melayu, misalnya tentang pemikiran, teknik, wacana, cerita, plot,
perwatakan dan sebagainya. Paling utama, dan paling penting pada waktu ini
ialah konsep keindahan bahasa, yang bagi saya amat bercelaru. Contoh yang diberikan oleh para pengkritik dan sarjana
tentang konsep keindahan bahasa ini pada dasarnya bertentangan dengan kosep
“keindahan” yang harus merujuk kepada cara ucapan, matlamat ucapan itu, dan
makna yang mendalam yang dibawa bersama melalui ucapan yang indah tadi.
Bagaimana kita menentukan sesuatu ucapan itu indah atau tidak? Ini tidak jelas.
Jika kita mengambil tulisan Shahnon Ahmad, kita akan menolak mentah-mentah cara
beliau “membawa cerita” seperti dalam Ranjau
Sepanjang Jalan, yang terlalu banyak perulangan yang kosong dari segi
makna, lebih mirip kepada mantra, dan tidak langsung membawa makna dilihat dari
segi estetiknya. Semua persoalan dan isu
ini perlu dibahaskan kembali, supaya apabila kita bercakap tentang keindahan
bahasa, kita dapat memahaminya dengan jelas dan tahu pula bagaimana keindahan
bahasa itu dicapai. Beberapa istilah yang digunakan untuk maksud ini mungkin
masih boleh dipakai, tetapi sejauh mana pemakaian itu perlu dikawal atau dibiarkan,
baik dari segi banyaknya mahu pun dari segi gayanya. Isu-isu ini disebut oleh
Prof. Ungku Maimunah dalam makalahnya, terutama sekali dalam hubungannya dengan
analisis berdasarkan pendekatan feminisme yang dipakai oleh Prof. Madya Dr.
Siti Hajar Che Man, yang menurut Prof. Ungku Maimunah gagal menyerlahkan
keistimewaan novel Azizi itu, padahal penulisnya (Dr. Siti Hajar) begitu gigih
berusaha mengangkat kualiti novel itu, tetapi akhirnya, dalam penilaian Prof.
Ungku Maimunah, gagal menyerlahkan kesesuaian feminisme itu sendiri dan gagal
pula memperlihatkan kualiti novel yang dinilai.
Dalam hal ini, di mana silapnya? Adakah pendekatan feminisme, atau
memang novel itu tidak mempunyai kualiti seperti yang didakwa oleh juri
peraduan? Dari bacaan saya, kesilapan itu berpunca daripada kekeliruan dalam
memahami dan menggunakan beberapa istilah penting seperti teknik, plot, cerita
dan lain-lain. Seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam
analisis dan penilaiannya, pemakaian pendekatan yang disarankan oleh gagasan
Persuratan Baru lebih berjaya dalam memberi nilai kepada novel itu. Anda boleh
saja menyanggah kesimpulan ini jika anda tidak puas hati. Tetapi adakah anda
sendiri sudah menguasai selok belok yang ditawarkan oleh gagasan Persuratan Baru
dan yang ditawarkan oleh teori dan pendekatan Barat? Anda tidak akan dapat
melihat perbezaan yang ketara jika dua pendekatan itu digunakan, sekiranya anda
belum bersedia dari segi ilmiah untuk menggunakan salah satu pendekatan itu
dalam analisis anda. Anda harus mengelak
daripada berada dalam keadaan “cetek meraba-meraba” yang disebut oleh Prof.
Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau. Seperti yang
ditunjukkan oleh Prof. Ungku Maimunah, percubaan Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che
Man menggunakan pendekatan feminisme untuk mengangkat martabat novel Azizi Hj.
Abdullah ini hanya berakhir dengan “Much Ado About Nothing”: nilai novel itu
tidak berubah, kedudukannya sebagai sebuah karya biasa seperti yang biasa
ditulis oleh Azizi Hj. Abdullah tidak dapat dibantu oleh feminisme dan
sanjungan bombastik sang profesor madya ini. Anda akan faham kesimpulan ini
jika anda membaca analisis Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat yang menilai kembali
novel Abdul Kadir Adabi, Melati Kota
Bharu. Penelitian yang dibuat oleh beberapa orang sarjana terhadap novel
itu, menggunakan teori dan pendekatan Barat, berasaskan mod bacaan cerita, gagal menyerlahkan kualiti sebenar novel ini.
Untuk mendapat penjelasan terperinci, sila rujuk makalah Prof. Madya Dr. Mohd.
Zariat dalam buku Kedudukan Ilmu Dalam
Kesusasteraan: Teori dan Praktis (UKM, 2010; bab 5, hal. 383 dst.)
Contoh-contoh
yang diberikan di sini membuktikan dengan cukup meyakinkan bahawa teori dan
pendekatan Barat yang diguna oleh para sarjana kita gagal menentukan nilai
sebenar karya yang dinilai akibat terlalu bergantung pada mod bacaan cerita,
padahal mereka seharusnya sudah mula menggunakan mod bacaan intelektual sebagai
ujian yang paling tepat dan objektif untuk menilai mutu dan kualiti sesebuah
novel. Kini mereka tidak boleh mengelak
untuk hanya menggunakan mod bacaan cerita, dengan wujudnya teknik mod bacaan
intelektual. Ini juga menunjukkan pembinaan struktur sesebuah karya cereka
tidak hanya bergantung pada cerita, atau pada plot. Sebuah karya yang lebih
berhasil dan lebih kemas strukturnya dapat dihasilkan jika yang diutamakan
ialah wacana yang akan mentakrifkan secara jelas proses dan matlamat penulisan
karya berkenaan, yang boleh diuji keberkesanannya dengan menggunakan mod bacaan
intelektual. Prof. Ungku Maimunah telah menggunakan kaedah ini ketika menilai
novel Fatimah Busu, Salam Maria
(lihat Gagasan Persuratan Baru:
Pengenalan dan Penerapan). Hasil analisis itu menimbulkan kemarahan penulis
novel dan teman-temat rapat beliau; tetapi tidak seorang pun mengemukakan hujah
yang tepat untuk menolak kesimpulan Prof. Ungku Maimunah. Kelemahan mereka yang paling ketara ialah
mereka tidak dapat menjelaskan dengan meyakinkan apakah yang mereka maksudkan
dengan “pemikiran” dalam novel. Hanya dengan menggunakan definisi yang
diberikan oleh gagasan Persuratan Baru sahaja konsep “pemikiran” itu menjadi
jelas dan dengan itu dapat diukur serta dinilai kedudukannya dalam karya
berkenaan.
Persoalan
yang sama dibangkitkan juga oleh Prof. Ungku Maimunah dalam makalah beliau
mengenai novel Harga Sebuah Maruah.
Sekarang anda mempunyai peluang dan pilihan terbaik untuk menafikan betapa
tidak relevannya gagasan Persuratan Baru dengan memberikan kritikan anda yang
paling keras betapa tidak perlunya membezakan wacana dan cerita dalam penulisan
dan penilaian sesebuah novel, walaupun dengan adanya pembahagian itu konsep
“pemikiran” yang menjadi masalah dalam kritikan sastera Melayu dapat diberi
definisi dan definisi itu dapat digunakan dengan berkesan untuk menentukan
wujud tidaknya “pemikiran” dalam sesebuah karya. Panel Anugerah Sastera Negara
dalam laporannya telah gagal berbuat demikian, adakah ini bermakna Panel harus
tunduk kepada gagasan Persuratan Baru untuk memastikan semua analisis dan
penilaian dapat dilakukan dengan objektif, tepat dan jitu? Inilah cabaran dan
persoalan besar yang harus ditangani oleh pensyarah sastera seperti Dr. Mohd Saleeh Rahamad dan teman-temannya
sebagai “pengekor dan pentaasub” Panel Anugerah Sastera Negara. Dalam dunia akademik,
kita tidak harus menggunakan gosip sebagai hujah. Dalam dunia akademik, kita
harus melontarkan hujah dan bukti dalam analisis dan penilaian kita. Jika anda
telah “mati hujah”, pilihan bagi anda
yang terbaik ialah menerima hujah yang paling kuat, dengan itu anda harus
tunduk pada kebenaran. Jika anda enggan, anda bukanlah seorang ahli akademik
yang mencintai ilmu; ini akan membuat anda sukar untuk dihormati dan diterima oleh pelajar anda sendiri. Jika keadaan ini tidak pernah terjadi dan
tidak pernah wujud dalam dunia akademik kita, kita harus bertanya satu soalan
penting: Mengapakah pembicaraan kita tentang kesusasteraan masih berada di
peringkat klise, tidak memperlihatkan kemajuan berfikir dan kemajuan
menganalisis yang benar-benar membuat kita berasa bangga telah diberi peluang
mempelajari kesusasteraan.
Malah
kita sudah begitu selesa berada dalam dunia klise, yang saya namakan
pandirisme, sehingga kita jadi kumpulan yang anti-perubahan, yang tidak
menerima perubahan jika dengan perubahan itu kedudukan diri sendiri tidak
terjamin lagi. Inilah mesej yang dibawa oleh Dr. Saleeh Rahamad dalam
kata-katanya yang cukup jelas anti-ilmu dan anti-perubahan, “pengekor dan
pentaasub Persuratan Baru” tidak sedar masih ramai lagi pengarang dan penulis
yang menerima kayu ukur yang sedia ada.
Mengapa “pengekor dan pentaasub Persuratan Baru” mesti menerima dunia
klise yang dibawa oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang terus memakai kayu
ukur lama yang sudah tumpul itu? Kalau
anda seorang sarjana yang benar-benar bertaraf sarjana dalam pengertian yang
difahami dalam dunia akademik seluruh dunia, anda sewajarnya berkata: “Kini
Persuratan Baru sudah muncul dengan kaedah dan falsafah kritikan yang menggugat
status quo; kita harus menentang kehadiran Persuratan Baru yang memberi tumpuan
kepada ilmu, bukan kepada cerita, kerana kesusasteraan seluruh dunia memang
dibina dan dikembangkan berasaskan konsep cerita semata-mata”. Kemudian,
bahaskanlah semahu-mahu anda pendirian klise anda itu. Buktikan anda
benar-benar “pengekor dan pentaasub” Panel Anugerah Sastera Negara dan teori
sastera Barat. Bentangkan hujah anda
dengan sejelas-jelasnya, bahawa sebagai “pengekor dan pentaasub” teori sastera
Barat dan penyokong Panel Anugerah Sastera Negara, pilihan anda adalah yang
terbaik.
Mohd.
Affandi Hassan,
18/5/2012
Assalamualaikum...
ReplyDeletePada semester lepas, saya telah mengambil subjek Pengantar Teori dan Kritikan dan antara teori yang menarik perhatian saya ialah Teori Persuratan Baru. Saya telah membaca Pujangga Baru dan beberapa buku yang mendasari teori PB. Semenjak itu, saya memilih untuk mengikuti tulisan Tuan di blog ini.Semoga teori sastera Melayu mampu berkembang melalui perbincangan akademik dan profesional.
Sekian,terima kasih.