Andainya
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menerima pujian begini: Sebagai pengekor dan
pentaasub Panel Anugerah Sastera Negara, beliau tidak berasa terancam walaupun
kini gagasan Persuratan Baru mendapat sokongan, daripada sarjana yang cerdik
pula. Mungkin beliau berasa bangga dan
terhormat kerana dipanggil “pengekor dan pentaasub” Panel Anugerah Sastera
Negara itu. Tetapi beliau mungkin tidak
setuju bahawa gagasan Persuratan Baru sudah mula mendapat sokongan daripada
penyokong yang mempunyai kemampuan intelektual yang tinggi dan kemampuan
kognitif yang tajam. Adakah persetujuan beliau penting dalam kelangsungan hidup
gagasan Persuratan Baru dalam perkembangan persuratan Melayu berteraskan konsep
ilmu yang benar dalam abad 21? Persuratan Baru tidak akan terjejas dengan
gugatan beliau dari penjuru mana sekali pun; tetapi kedudukan beliau akan
tergugat sekiranya beliau tidak bergantung, tidak mengekori dengan taasub Panel
Anugerah Sastera Negara. Kesimpulan ini
penting difahami jikalau anda ingin memahami apakah yang sebenarnya terjadi
dalam kesusasteran Melayu moden dan di mana duduknya sarjana seperti Dr. Saleeh
Rahamad itu. Aspek ini telah dihuraikan
dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah dalam makalah beliau yang beberapa
isinya saya kutip dalam posting yang lepas. Dalam kutipan itu saya tekankan
betapa kedudukan para sarjana seperti Dr. Saleeh Rahamad ini telah ditentukan
oleh apa yang disebut sebagai konvensi sastera oleh Prof. Ungku Maimunah, yakni
sebagai “pengekor dan pentaasub” kepada konsep realisme Barat. Inilah yang
melahirkan iklim sastera yang mencengkam seluruh kewarasan para sasterawan dan
sarjana sastera sehingga mereka tidak nampak lagi lorong yang lebih besar yang
boleh dilalui yang menuju ke arah perhentian yang lebih terjamin dari segi
kewarasan akal dan keamanan rohani manusia yang berfikir dan beragama, yang
sembahyang lima kali sehari dan sentiasa mendoakan untuk dirinya supaya
ditunjukkan jalan yang lurus dan pengakhiran kehidupan yang diridai dan yang
selamat dunia akhirat. Ini tidak dapat diberikan oleh Panel Anugerah Sastera
Negara, oleh itu sesiapa juga yang menjadi “pengekor dan pentaasub” Panel itu
akan tetap tersesat jalan dan akhirnya akan singgah di gaung yang dalam setelah
melalui lorong berliku yang penuh bahaya. Saya berbicara sekarang dalam bahasa
sastera, dan harus difahami dalam konteks itu. Sekiranya anda seorang pengikut
gagasan Persuratan Baru, anda tidak akan menghadapi masalah untuk memahaminya;
tetapi jika anda seorang penentang gagasan Persuratan Baru, anda akan berada
dalam kecelaruan kognitif yang teruk, yang akan menghuru-harakan kewarasan
berfikir anda. Ini pun bahasa sastera yang memerlukan kefahaman yang mendalam
dalam konsep keindahan bahasa berteraskan konsep ihsan, yang disandarkan kepada
konsep taklif. Jika anda seorang yang berfikir,
anda akan sedar bahawa anda kini diperlukan memahami persoalan ini dalam
konteks yang berbeza daripada yang anda biasa berada, menggunakan konsep-konsep
yang berlainan sama sekali daripada konsep yang pernah diberikan oleh Panel
Anugerah Sastera Negara dan para sarjana yang menjadi pengikut (lebih tepat pengekor) mereka. Seorang sarjana
seperti Dr. Saleeh Rahamad (kumpulan mereka memang ramai) yang berada di luar
konteks, dan tidak berusaha pula untuk memahaminya (ertinya dia tidak perlu
berada di dalam, cukup dengan hanya memahaminya terlebih dahulu), akan terus
berada dalam kecelaruan kognitif, oleh itu tidak berdaya memahami dan melihat
hakikat realiti dalam kehidupan manusia. Mereka akan terus berada dalam realiti
semu, dan terus meraba-raba mencari makna dari kekosongan konsep yang mereka
pakai. Inilah kehidupan akademik yang paling naif, jika anda faham maksud saya.
Tetapi inilah faham sastera yang diberikan kepada kita oleh para ahli akademik
yang “cetek meraba-raba” ini. Inilah tragedi yang sebenarnya dalam budaya ilmu
di negara kita. Inilah yang ingin disingkirkan oleh gagasan Persuratan Baru.
Anda dipersilakan untuk mempertahankan kepalsuan realiti semu yang menjadi
dakapan anda; dan pada waktu yang sama anda dijemput untuk menolak gagasan
Persuratan Baru yang akan memberikan anda jalan yang selamat dan perhentian
yang menyeronokkan akal sihat anda.
Gambaran
yang diberikan di sini berupa jemputan ikhlas daripada Persuratan Baru kepada
para “pengekor dan pentaasub” iklim sastera yang disediakan oleh Panel Anugerah
Sastera Negara dan para pendukung realisme Barat. Semua ini tidak mungkin terhurai tanpa
kehadiran gagasan Persuratan Baru. Jika anda masih tidak mengerti kesimpulan
yang mudah ini, anda akan terus berada dalam kecelaruan kognitif; dan
berasaskan hakikat itu sahaja pun anda tidak layak menjadi seorang ahli
akademik yang ditugaskan untuk mengajar para pelajar menjadi cerdik. Bagaimana anda akan mencerdikkan pelajar anda
jika teras ajaran anda mengusutkan kemampuan kognitif mereka kerana anda
mengasak mereka setiap saat dengan konsep-konsep yang hanya akan membawa mereka
kepada kecelaruan kognitif. Dalam istilah yang dipakai oleh Prof. Syed Muhammad
Naquib al-Attas, inilah yang disebut kekeliruan dalam memahami konsep ilmu,
yang akan melahirkan kehilangan adab dalam masyarakat, yang natijahnya ialah
lahirnya para pemimpin palsu, termasuk sarjana palsu yang “cetek meraba-raba”. Kesimpulan Dr. Saleeh Rahamad, “masih ramai
lagi pengarang dan penulis yang menerima kayu ukur yang sedia ada”, membenarkan
kesimpulan di atas. Dapatkah anda melihat ironinya di sini? Sekali lagi, jika
anda masih berada dalam kecelaruan kognitif, anda tidak mungkin dapat
memahaminya. Anda akan terus terpinga-pinga, sementara orang yang memahaminya
tertawa terbahak-bahak melihat humor intelektual yang memukau ini. Dr. Saleeh Rahamad tanpa disedari menggunakan
teknik stylization of ideas secara
songsang, tetapi boleh difahami dan dinikmati kesan humor itu, sekiranya anda
memahaminya. Inilah, antara lain, kekuatan gagasan Persuratan Baru. Gagasan itu
berupaya menyerlahkan segi lain yang tidak disangka-sangka oleh orang yang
berada dalam kecelaruan kognitif. Jika
anda masih belum mengerti ... Apa lagi yang boleh saya buat? Anda hanya perlu mendalami gagasan
Persuratan Baru untuk memahaminya.
Adakah
ini tidak lain daripada sejenis spinning
intelektual saja? Tidak. Inilah kelebihan Persuratan Baru, dapat mengesan
kecelaruan kognitif ini dengan menggunakan mod bacaan intelektual. (Anda boleh
baca tentang konsep ini, saya lebih senang memanggilnya teknik bacaan, dalam
tulisan Prof. Ungku Maimunah.) Mod
bacaan intelektual ialah cara membaca dengan kritis, menganalisis semua aspek
yang berkaitan dalam satu kesatuan sistem yang melahirkan ucapan atau pendapat
itu, dalam hal ini kesimpulan yang saya buat berasaskan konsep iklim sastera
yang disebut oleh Prof. Ungku Maimunah. Untuk membantu anda, sila rujuk semula
pandangan Prof. Ungku Maimunah tentang iklim sastera yang membenarkan Dr.
Saleeh Rahamad berbicara tentang Kuala
Lumpur Kita Punya dalam bentuk yang dipilihnya (dan komen saya yang
mengatakan bahawa novel itu through and
through adalah novel picisan.) [Sekadar perbandingan yang boleh membantu
dalam aspek analisis seumpama ini, sila baca tulisan Gregory L. Ulmer, “The
Object of Post-Criticism”, dalam Hal Foster ed. The Anti-Aesthetic: Essays on Postmodern Culture, (Seattle,
Washinton: Bay Press, 1983; hal. 83-110, terutama hal. 99-107)].
Mengapakah
mustahil bagi Dr. Saleeh Rahamad, sebagai Ketua 1 PENA, untuk menggerakkan PENA
membicarakan gagasan Persuratan Baru, cetusan seorang ahli senior PENA?
Sebabnya cukup mudah: iklim sastera tempat beliau berada tidak membenarkannya
keluar dari iklim itu tanpa risiko yang amat besar, iaitu beliau akan ditentang
habis-habisan oleh AJK PENA dan anggota
PENA sendiri. Mengapa ini akan terjadi, yang mungkin boleh
melucutkan jawatan Dr. Saleeh Rahamad sebagai Ketua 1 PENA? Iklim sastera yang
dibina hanya membenarkan penyokong realisme Barat yang dipegang oleh Panel
Anugerah Sastera Negara dan para pengekor mereka yang taasub menyokong
Panel. Mereka tahu, jika gagasan
Persuratan Baru didebat dengan kritis, kedudukan mereka akan tergugat. Mereka
tidak ada hujah untuk menolak Persuratan Baru. Itu realiti yang cuba
dihindarkan daripada dibicarakan berterus terang. Adakah keadaan ini membenarkan kritikan Tan
Sri A. Samad Ismail perihal wujudnya MAFIA sastera dan cronyism dalam sastera Melayu? Ini pun satu tajuk yang penting dan
cukup menarik untuk dibincangkan. Jika benar berlaku, kita harus memasukkan cronyism sebagai nilai murni yang baru
dalam sastera Melayu. Apa salahnya jika kita semua bersetuju? Yang menjadi
salah ialah apabila aspek ini dinafikan, tidak diakui kewujudannya. Tidakkah
sastera itu dinamik dan sentiasa berubah? Itulah juga aspek penting yang
sentiasa dicanangkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yakni sastera mesti
berubah dan nilai-nilainya juga perlu berubah. Jika kita perlukan MAFIA untuk
memajukan sastera Melayu moden dan mencetus perubahan itu, mengapa kita perlu
menolaknya? Dalam konteks Panel Anugerah
Sastera Negara, inilah perbubahan paling besar dan eksperimen paling bermakna!
Tetapi
MAFIA sastera yang dimaksudkan di sini tidak sama taraf dan kelakuannya dengan
MAFIA dalam dunia gangster. MAFIA sastera harus mencintai ilmu pengetahuan,
bukan menghalang perkembangan ilmu. Jika itulah matlamatnya, mengapa perlu
dipanggil MAFIA? Penjelasannya mudah: dalam dunia sastera di Malaysia, terdapat
beberapa kumpulan yang saling memperkukuh kedudukan masing-masing dalam daerah
pengaruh mereka, supaya tidak ditembusi oleh kumpulan lain yang nantinya akan
mengambil alih “kekuasaan” mereka. Oleh itu, kita mempunyai kumpulan tertentu
menguasai sesebuah organisasi, dengan strategi tertentu untuk mempertahankan
kedudukan mereka dan memberi laluan hanya kepada kumpulan mereka untuk menguasai organisasi
tersebut. Inilah kumpulan yang mirip kumpulan MAFIA dalam dunia gangster, yang
dengan gigih mempertahankan pengaruh mereka seolah-olah organisasi itu milik
mereka sendiri; maka itulah sebabnya kita lihat hanya orang tertentu yang
dibolehkan menjadi ketua organisasi tertentu, sampai berpuluh tahun. Yang
diperjuangkan ialah kepentingan peribadi dan kumpulan sendiri, bukan faedah
umum untuk pendukung sesuatu persatuan yang dipanggil ahli berdaftar. Dalam
dunia akademik pun terjadi hal yang sama, apabila kumpulan yang berada dalam
lingkungan pengaruh tertentu akan mendapat faedah lebih mudah daripada orang
yang berada di luar lingkungan itu. Ini bukan satu perkara yang aneh, kerana
dari segi tabiat berperilaku, manusia adalah sama dengan binatang. Dalam
kumpulan serigala, mana-mana serigala yang cuba menjatuhkan ketua serigala akan
dihalau dan disisihkan dari kumpulan itu. Jika yang dihalau itu berwatak kuat,
dia mempunyai peluang untuk membina kumpulannya sendiri dan kembali ke tempat
asal untuk merebut kuasa. Bolehkah kita lihat pola ini di Malaysia dalam
persatuan penulis dan dalam pemberian hadiah dan anugerah? Dalam politik, pola ini sangat jelas: hanya
kumpulan yang berkuasa saja yang berhak dan layak mendapat gelaran tertentu,
anugerah dan lain-lain pemberian yang boleh menaikkan darjat seseorang. Maka apabila seseorang ahli akademik mengejek
sesuatu kumpulan sebagai “pengekor dan pentaasub” sesuatu kumpulan atau tokoh
tertentu, maka dia hanya meluahkan kemarahan dan kejengkelannya terhadap tokoh
dan kumpulan itu yang dikiranya menjadi saingan kepadanya. Dalam dunia merebut
pengaruh, yang terkuat tidak semestinya yang akan terus menang. Dengan
perkembangan ilmu dan meningkatnya daya kritis dalam membicarakan masalah
sastera, kita lihat pengaruh Panel Anugerah Sastera Negara tidak saja telah
dicabar, tetapi telah diberi landasan baru dalam penilaian karya, sehingga
pembaca, penulis dan sasterawan serta sarjana dan pengkritik sastera dapat
melihat perbezaan tidak saja dari segi analisis dan penilaian, tetapi juga dari
segi perkembangan masa depan kepada dunia kritikan dan penciptaan karya
kreatif. Kita lihat di sini pengaruh Panel Anugerah Sastera Negara, walaupun
masih kukuh bertenggek dalam institusi dan organisasi tertentu, sebenarnya
sedikit demi sedikit telah kehilangan pengaruh itu. Dan ini disedari oleh
orang-orang seperti Dr. Saleeh Rahamad, yang masih yakin bahawa “masih ramai
lagi pengarang dan penulis yang menerima kayu ukur yang sedia ada.” Jika kita tidak berhati-hati dan tegas, kita
akan membiarkan kumpulan ini menguasai dunia ilmu, walaupun dari segi pemikiran
mereka telah kalah, telah buntu untuk mempertahankan kedudukan mereka secara
akademik. Hanya kuasa yang diwarisi dalam organisasi saja yang masih menjadi
tempat mereka bergantung. Tetapi seperti kata peribahasa Melayu, tidak selamat
bergantung di dahan rapuh. Panel Anugerah Sastera Negara dan lain-lain
institusi dan organisasi yang sejenis dengannya adalah contoh dahan rapuh itu.
Jika anda masih mahu bergantung pada mereka, teruskanlah. Tetapi anda pasti
akan jatuh bersama mereka, hanya lambat atau bangat saja. Masa itu akan tiba
lebih cepat sekiranya pelajar kita lebih berminat kepada pemikiran dalam
penulisan kreatif dan dalam pengajaran sastera. Tetapi masa itu akan terus
tertangguh sekiranya kumpulan MAFIA
sastera ini dibiarkan terus merosak masa depan yang gemilang dalam
persuratan Melayu andainya keutamaan kepada aspek ilmu dan pemikiran dalam karya
kreatif diberi perhatian yang lebih serius.
Walau
apa pun perubahan terjadi, Dr. Saleeh Rahamad masih boleh meneruskan tugasnya
sebagai Ketua 1 PENA. Nasihat dan
ingatan Arenawati masih terus relevan dan harus dijadikan pedoman oleh para
sarjana dan ahli akademik: Bakti akademik terlalu murni. Tak dapat
dibeli dengan wang. Demikian
juga komitmen Dr. Saleeh Rahamad, perlu dijadikan ikutan oleh semua sarjana dan
ahli akademik: Saya lebih senang berdebat secara
terbuka daripada mengkritik dari belakang tanpa mengetahui isi hatinya dan tanpa
dia mengetahui isi hati kita. Bolehkah Dr. Saleeh Rahamad memenuhi
tuntutan komitmennya sendiri? Agak
sukar, tetapi jika beliau tidak lagi menghadapi kecelaruan kognitif, beliau
boleh melakukannya. Jika semuanya
diterima sebagai satu amanah, segala dan semuanya akan selamat.
Mohd.
Affandi Hassan,
16/5/2012.
Terima kasih tuan...Walaupun semua itu tidak benar sama sekali saya berbangga kerana masih diberi perhatian. Saya memang berhajat untuk menjemput tuan memberikan ceramah tentang sastera tetapi belum ada kesempatan. lama sebelum ini telah saya simpan hasrat itu. TIdak pernah saya menentang Persuratan baru walaupun saya tidak menolak pendekatan lain. saya meraikan semuanya. salam Ramadan, semoga terus sihat dan sejahtera.Mohon alamat emel tuan.. hantar kepada emel saya: maisarah43@hotmail.com..saya ada hasrat untuk menjemput tuan memberikan ceramah..tetapi bukan kerana tulisan tuan ini. Memang sejak dulu saya menyimpan hasrat ini.
ReplyDelete