Sunday, May 13, 2012

PERANAN POSITIF DAN NEGATIF SEORANG AHLI AKADEMIK: Kes Saleeh Rahamad


Bakti akademik terlalu murni. Tak dapat dibeli dengan wang.  Arenawati kepada Dr. Saleeh Rahamad,  3/2/2009  (dikutip dari blog pensyarah ini).
Saya lebih senang berdebat secara terbuka daripada mengkritik dari belakang tanpa mengetahui isi hatinya dan tanpa dia mengetahui isi hati kita(Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, 28 Januari 2010 dalam blognya).

Seingat saya, hampir tidak ada perbincangan tentang peranan negatif seorang ahli akademik yang sikapnya terhadap ilmu begitu negatif.  Walaupun manusia secara fitrahnya dijadikan dapat mengenal yang baik dan yang buruk (Quran, 91: 8), dengan penegasan seterusnya, “Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya; dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya” (91: 9-10),  namun seorang sarjana dan ahli akademik Islam  yang setiap hari membaca Quran (sekurang-kurangnya di dalam sembahyang, yang mendoakan untuk dirinya supaya diberi petunjuk dan dihindarkan dari dimurkai dan disesatkan), tidak memberi perhatian kepada aspek negatif dalam kehidupan akademiknya. Nasihat SN Arenawati kepada Dr. Saleeh Rahamad, yang dimuatnya dalam blognya, menunjukkan betapa beruntungnya beliau mendapat nasihat dan penghargaan yang begitu baik. Tetapi apakah balasan beliau? Inilah balasan beliau, dalam kata-kata beliau sendiri: “Walaupun pengekor dan pentaasub Persuratan Baru tidak menggemari cara pemilihan Sasterawan Negara sekarang, masih ramai lagi pengarang dan penulis menerima kayu ukur yang sedia ada” (30/11/2009, beberapa bulan selepas mendapat nasihat dan penghargaan tinggi Arenawati terhadap “bakti akademik yang terlalu murni” itu).  Terima kasih kepada teman-teman yang menunjukkan kepada saya beberapa tulisan  penting Dr. Saleeh Rahamad dalam blognya, yang terlepas dari perhatian saya. 

Dr. Saleeh Rahamad pastilah mempunyai hujah yang kuat untuk membenci dan meremehkan gagasan Persuratan Baru, dan memanggil sesiapa juga yang bersetuju dengan Persuratan Baru sama kedudukannya dengan binatang yang jadi “pengekor dan pentaasub” yang tidak mempunyai pendirian sendiri seperti beliau.  Binatang memang mempunyai tabiat untuk mengikuti ketuanya, seperti yang diperlihatkan oleh angsa yang terbang kerkawan dalam satu kumpulan dengan diketuai oleh seekor yang dijadikan ketua. Dalam satu eksperimen, sebuah kapalterbang kecil dijadikan ketua oleh sekumpulan angsa, diikuti ke mana saja kapalterbang itu mendarat. Saya tidak pasti sama ada Dr. Saleeh Rahamad tahu fakta ini atau tidak, atau pernah melihat kumpulan angsa ini terbang dengan bising mengekori ketuanya. Tidak mengapa jika beliau tidak mempunyai pengalaman atau pengetahuan itu, kerana beliau memang bijak membuat perbandingan untuk meremehkan gagasan Persuratan Baru, pencetus idea itu,  dan sarjana yang bersetuju dengannya. Tetapi timbul sedikit kemusykilan: tidakkah perbuatan beliau itu “kurang sopan”, mungkin juga kurang ajar (tentulah aneh bagi seorang pensyarah untuk bertindak kurang ajar), atau nakal yang berlebihan?  Mana satu yang betul tidak penting dalam konteks ini, kerana yang lebih utama, dalam pandangan saya, ialah penegasan beliau, “masih ramai lagi pengarang dan penulis menerima kayu ukur yang sedia ada”, dengan itu menerima laporan Panel Anugerah Sastera Negara sebagai satu-satunya ukuran yang sah dan tidak ada yang lain dari ukuran Panel itu yang boleh digunakan atau dijadikan pegangan. Apakah hujah beliau, beliau di sini bermaksud Dr. Saleeh Rahamad. Apakah hujah Dr. Saleeh Rahamad untuk membuat kesimpulan itu? Adakah beliau sendirilah yang benar-benar “pengekor dan pentaasub” Panel Anugerah Sastera Negara? Berbeza dengan “pengekor dan pentaasub” yang pertama, mereka ini telah menulis beberapa rencana penting yang layak dijadikan rujukan untuk menghujahkan mengapa mereka menerima Persuratan Baru. Adakah Dr. Saleeh Rahamad berbuat begitu juga? Kita mahu baca tulisan beliau sebagai “pengekor dan pentaasub” Panel Anugerah Sastera Negara untuk dijadikan semacam perbandingan dengan pandangan dan pendirian Persuratan Baru, moga-moga pembaca yang kritis dapat melihat pendirian mana yang lebih mantap setelah membuat perbandingan itu. Inilah kerja seorang ahli akademik seperti Dr. Saleeh Rahamad, yang tidak perlu diperingatkan oleh sesiapa pun kerana tugas itu memang tugas utama seorang ahli akademik,  dibayar gaji lumayan untuk melaksanakan tugas itu,  walaupun hanya sebagai “pengekor dan pentaasub” saja.  Tetapi terdapat satu lagi kemusykilan yang tak dapat dibiarkan, iaitu mengenai sikap terbuka seorang ahli akademik. Adakah Dr. Saleeh Rahamad bermaksud ingin menegaskan bahawa gagasan Persuratan Baru tidak layak diberi perhatian oleh sesiapa sekali pun, apatah lagi jika hanya sebagai “pengekor dan pentaasub” yang tidak memberi sumbangan apa-apa. Pendeknya, gagasan Persuratan Baru tidak diperlukan, oleh itu tidak wajar diberi tempat dalam keadaan apa sekalipun, kerana kebebasan akademik yang amat dipertahankan dan diperjuangkan oleh kaum akademik tidak boleh dikenakan ke atas Persuratan Baru.  Ertinya, bagi Dr. Saleeh Rahamad, tidak wajar diberi kebebasan akademik untuk memberi tempat kepada Persuratan Baru,  dengan itu tidak boleh dibincangkan secara akademik kerana Persuratan Baru tidak mempunyai kualiti akademik itu. Bagaimana Dr. Saleeh Rahamad mendapat kesimpulan demikian? Dalam satu posting, saya mengutip pandangan Imam Ghazali mengenai perkara ini (lihat posting bertarikh 4/1/2012) yang menegaskan seseorang tidak wajar menolak atau menerima sesuatu pendapat tanpa mengetahuinya terlebih dahulu (baca kutipan itu di sana).


Siapakah “pengekor dan pentaasub” Persuratan Baru? Paling terkenal tentu saja Prof. Ungku Maimunah, yang menjadikan tema utama syarahan perdana beliau gagasan Persuratan Baru; seorang lagi tentu saja Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat, yang banyak menulis dan membentangkan kertas kerja tentang Persuratan Baru baik di dalam mahu pun di luar negeri.  Seperti yang diketahui oleh orang-orang yang tahu, Prof. Ungku Maimunah adalah seorang profesor yang senior, yang telah membuktikan kemampuan ilmiahnya tanpa sebarang keraguan, dengan itu seorang ahli akademik yang dihormati oleh orang-orang yang tahu menghormati orang yang layak dihormati, yang hanya dapat dilakukan oleh orang-orang yang beradab.  Prof. Madya Dr. Mohd Zariat pula telah menghasilkan satu kajian di peringkat kedoktoran dengan menggunakan kerangka analisis Persuratan Baru; dan bukunya telah pun diterbitkan.  Adakah mereka ini “pengekor dan pentaasub” Persuratan Baru? Tentu sekali tidak. Dalam tangan mereka, Persuratan Baru diberi wajah yang lebih dinamik, misalnya Prof. Ungku Maimunah memperkenalkan beberapa istilah dan konsep yang berguna untuk menjelaskan lagi penerapan Persuratan Baru dalam kritikan sastera dan dalam penulisan kreatif.  Mereka memberi jalan keluar kepada beberapa masalah yang kini dihadapi oleh kesusasteraan Melayu. Prof. Ungku Maimunah misalnya menjelaskan dengan terperinci bagaimana konsep realisme diterap dan dipraktikkan dalam sastera Melayu moden, dan bagaimana penerapan itu pada umumnya mencacatkan perkembangan sastera Melayu moden yang meminggir dan menolak peranan ilmu dalam penulisan kreatif. Antara orang yang menolaknya ialah Dr. Saleeh Rahamad sendiri. Tidak pula diketahui apakah hujah beliau, kerana beliau tidak menulis apa-apa sanggahan yang sepadan dengan kedudukannya sebagai seorang sarjana, sehingga semua kejengkelan beliau terhadap Persuratan Baru boleh dianggap timbul daripada perasaan negatif semata-mata, yang tidak perlu dijelaskan dengan terang dengan memberi istilah tertentu yang sering dipakai apabila kita menghadapi orang yang begitu negatif sikapnya.  Adakah inilah jenis bakti akademik beliau?

Saya difahamkan, tesis Ph.D. beliau dianggap terbaik dalam masa 30 tahun ini, mungkin telah melangkaui standard yang ditetapkan  oleh Prof. Syed Naquib al-Attas dalam tesis Ph.D. beliau. Jika benarlah penilaian dan penghormatan yang begitu tinggi yang diberikan kepada mutu tesis beliau, tidak hairanlah jika beliau meremehkan pandangan orang lain dan sarjana lain yang dianggapnya sejenis “kucing kurap” saja dalam bidang akademik.  Pandangan yang tinggi terhadap beliau ini tentu saja satu khabar gembira. Ertinya, kita telah mempunyai seorang sarjana yang tajam dan memukau kemampuan inteleknya, yang nantinya akan layak diberi kedudukan setinggi yang diberikan kepada Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang kini sudah diberi gelaran Tokoh Akademik Negara, selain gelaran sedia ada sebagai sasterawan negara.  Tetapi sikap beliau yang menghina dan merendahkan sarjana lain yang telah memberikan sumbangan mereka yang bererti dalam perkembangan pemikiran dalam bidang kritikan, menimbulkan keraguan besar tentang sifat murni beliau sebagai seorang sarjana yang cintakan ilmu dan kebenaran. Jika Persuratan Baru membawa ajaran salah, beliau dituntut mengemukakan kritikan yang objektif, bukan hanya gosip dan sangkaan buruk seperti yang beliau lakukan.  Tetapi nampaknya hal ini tak dapat dielakkan, seperti yang dijelaskan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam sebuah tulisannya. (Rujuk: “Pemertabatan ‘Realiti’ dan ‘Realisme’ ke Status Konvensi Sastera Dalam Kesusasteraan Melayu”.  Kertas kerja dibentangkan di Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu XI (SAKM XI), Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 7-8 Disember, 2011).  Kertas ini penting, dan saya harap dibaca dengan kritis oleh para sarjana kita, kerana dalam kertas ini Prof. Ungku Maimunah berhujah dengan meyakinkan, dengan mengemukakan bukti-bukti yang tidak dapat disangkal,  bahawa kesusasteraan Melayu moden secara sedar menerima faham realisme Barat sebagai asas penulisan kreatif dan kritikan, dengan menyediakan “iklim sastera” yang diarahkan secara khusus untuk mewujudkan “pengkonkritan Realisme Barat dalam karya kreatif” (hal. 23) dan  dalam kritikan sastera Melayu.  

Perhatikan kesimpulan Prof. Ungku Maimunah yang penting ini: “Ternyata, dunia sastera Melayu secara sedar dan sengaja membentuk iklim sastera yang jelas memihak kepada kefahaman realisme Barat, dan dengan itu memungkinkan kefahaman tersebut memakai wajah sopan, hormat dan maju, di samping boleh pula dimanfaatkan dengan mudah, bebas, berterusan; malah, lebih penting lagi, pemanfaatannya juga menguntungkan sama ada dari segi kewangan mahu pun penghormatan. Seterusnya, dengan memberinya kekebalan atau imuniti daripada sanggahan dan sangkalan, kefahaman realisme Barat tersebut dengan mudah dapat menghadirkan dirinya sebagai ciri fundamental penulisn kreatif dan kritikan Melayu, yang membentuk tradisi dan warisan. Dengan kedudukan sedemikian, ia menjadi sebahagian daripada kehidupan dan kegiatan sastera Melayu, digunapakai dengan selesa, yakin, bangga dan tanpa curiga” (hal. 23).

Apakah akibatnya kepada sastera Melayu dan kepada pemikiran dalam sastera Melayu? Inilah jawapan yang diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah: “... adalah juga jelas bahawa hasil daripada Laporan panel tersebut ialah terpilihnya penulis tertentu yang seterusnya diiktiraf sebagai tokoh.  Dengan mengelilingi tokoh-tokoh ini serta karya mereka dengan pujian, sanjungan dan kritikan positif (malah penelitian kesemua Laporan dari yang pertama hingga Laporan ke-10 memperlihatkan betapa langkanya kritikan yang negatif) seperti yang telah menjadi semacam budaya  penulisan Laporan Panel Anugerah Sastera Negara, maka beberapa idea tentang pemanfaatan  realisme dalam penulisan kreatif dan juga kritikan, seperti yang diamalkan oleh tokoh berkenaan dan diperakukan oleh Laporan, muncul sebagai idea-idea dominan dalam penulisan kreatif, dan lebih penting lagi, sebagai idea yang sudah terbukti keberkesanan dan kejayaannya. (Huruf condong dalam original.)  Seterusnya, karya-karya yang mendukung pemanfaatan realisme tersebut dengan mudah dan tanpa banyak masalah diperikan dan diperakukan sebagai khazanah negara yang membentuk tradisi penulisan kreatif Melayu yang sah (dan kritikan yang memperakukan karya mereka ini pula dianggap kritikan yang sah), dan wajar dibanggakan dan seterusnya diwariskan. Ia juga wajar dicontohi. Ini mempunyai implikasi di luar konteks Laporan kerana penokohan yang diabsahkan oleh Laporan kemudian dimantapkan dengan sokongan berupa penerbitan karya mereka, seminar tentang pemikiran mereka, penulisan tesis, makalah, buku tentang karya mereka dan sebagainya, sehingga terbentuknya satu iklim sastera yang padu, yang bukan saja senang dengan idea-idea berkaitan realisme yang diperagakan, tetapi tidak canggung pula untuk menyokong dan memperjuangkannya, di samping bersedia untuk mempertahankannya dan sanggahan sekiranya dan apabila sanggahan muncul.  Malah, sanggahan yang kritis, seperti halnya dengan kritikan berteraskan PB, ditolak dengan dakwaan gerun iaitu kononnya akan hancurlah tradisi dan khazanah sastera Melayu sekiranya kritikan tersebut dihiraukan, hatta dakwaan gerun tersebut tidak disokong dengan hujah ilmiah dan objektif, yang lengkap dengan bukti kuat dari khazanah dan tradisi tersebut. Ternyata, usaha dan amalan memuji dan menyokong di satu pihak diimbangi dengan imuniti daripada kritikan dengan cara menghindar atau menimbulkan kesangsian, keraguan atau rasa tidak senang terhadap tulisan kritis tentang karya dan idea-idea yang dikaitkan dengan tokoh pilihan tersebut, yakni discredit apa juga tulisan yang kritis” (hal. 20-21 kertas kerja).

Dalam keadaan inilah Dr. Saleeh Rahamad berada, yang dengan tepat sekali digambarkan satu persatu oleh Prof. Ungku Maimunah dalam kutipan panjang di atas. Di tempat lain, dalam kertas yang sama, Prof. Ungku Maimunah menegaskan seperti ini: “Iklim sastera ini jugalah yang memungkinkan Mohamad Saleeh Rahamad untuk memperkatakan kejujuran Abdullah Hussain melakarkan kerosakan moral masyarakat Kuala Lumpur di seminar yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka itu” (hal. 22).  (Rujukan kepada kertas Dr. Saleeh Rahamad, “Kuala Lumpur Kita Punya: Paparan Realiti Sosial Bebas Nilai dan Bebas Ruang”, kertas kerja Seminar Pemikiran Abdullah Hussain,  DBP 19-20 Oktober, 2011). Sesiapa juga yang biasa dengan sejenis masalah psikologi sosial yang dipanggil “cognitive dissonance” (kecelaruan kognitif) akan dapat melihat dengan jelas betapa Dr. Saleeh Rahamad sedang berada dalam situasi itu. Sebagai orang Islam yang sembahyang lima kali sehari, yang dalam setiap fatehah yang dibacanya termaktub doa memohon ditunjuki jalan yang lurus, jalan orang-orang yang diridai Allah, bukan jalan orang yang dimurkai dan disesatkan; tetapi di luar dari sembahyangnya, sebagai seorang ahli akademik, seluruh kesedaran intelek dan kemampuan kognitifnya telah diasak dengan segala macam konsep dari teori  sastera Barat. Sebagai seorang ahli akademik, dia berasa selesa menggunakan konsep-konsep itu dan teori-teori yang dikenalinya. Tetapi sebaik saja konsep dan teori itu dicabar, maka terjadilah huyung-hayang kognitif; dan dalam keadaan itulah dia menghina orang yang tidak disenanginya, atau “teori” yang belum difahaminya, dengan meletakkan orang itu sebagai “pengekor dan pentaasub”, tanpa disedarinya dia telah mendedahkan dirinya kepada “kecelaruan kognitif” tadi. Jadi yang ditunjukkannya bukanlah kekurangan orang yang disindir dan dikecamnya; tetapi kekurangan dirinya sendiri yang terhuyung-hayang dalam kecelaruan kognitif. Hanya sarjana Islam yang benar-benar yakin kepada ajaran tauhid, dan sedar pula implikasi taklif dalam kehidupannya, dan dapat memahami dengan baik rahsia-rahsia taklif, maka mereka inilah saja yang tidak akan menderita masalah kecelaruan kognitif ini. Jika anda membaca makalah beliau yang dirujuk oleh Prof. Ungku Maimunah, anda akan dapati betapa “pemikirannya” berlagak seperti Tarzan, menghayun dirinya sambil bergayut kepada akar kayu seolah-olah berada dalam sejenis permainan. Silalah lihat filem Tarzan untuk memahami imejan ini dan anda terapkan kefahaman anda sambil membaca teks atau makalah Dr. Saleeh Rahamad tentang Kuala Lumpur Kita Punya, yang dalam tangan seorang sarjana yang tidak mengalami kecelaruan kognitif, adalah sebuah novel picisan through and through!

Adakah ini sesuai dengan pendirian beliau yang terpuji tentang sifat jujur dan cintakan kebenaran, seperti yang diucapkan beliau dalam kata-katanya ini:   “Saya lebih senang berdebat secara terbuka daripada mengkritik dari belakang tanpa mengetahui isi hatinya dan tanpa dia mengetahui isi hati kita” (bertarikh 28 Januari 2010). Satu pendirian yang sangat wajar dan mulia dan bagus sekali, yang perlu dimiliki oleh semua sarjana kita, terutama yang menjadi pensyarah dan mendidik para pelajar menjadi manusia cerdik yang berguna.  Sesuai dengan sikap positif beliau, adalah wajar jika beliau memberikan kuliah secara khusus tentang Persuratan Baru kepada para pelajar beliau, supaya mereka tahu perkembangan mutakhir dalam pemikiran kesusasteraan Melayu moden, yang menurut Persuratan Baru perlu ditukar menjadi persuratan Melayu, sesuai dengan tradisi kita sendiri. Tentulah sangat bermakna jika para pelajar beliau diberi peluang untuk berdebat dengan beliau tentang perkara ini, dengan bimbingan beliau sendiri.  Kita pun mahu lihat akan lahir nanti di kalangan pelajar beliau yang akan menulis tesis Ph.D. mereka yang setaraf dengan mutu yang beliau telah letakkan, atau mungkin lebih baik lagi jika mereka diperkenalkan dengan idea gagasan Persuratan Baru. Tetapi ini hanya dapat dilakukan beliau jikalau beliau tidak lagi menderita kecelaruan kognitif yang menghalangnya membuat pilihan yang tepat, kerana masih lagi terikat kepada teori sastera Barat yang memberinya kedudukan sebagai seorang pensyarah di universiti.  Jika anda menganalisis kecelaruan kognitif yang dihadapi pensyarah ini, anda akan dapat melihat betapa jauhnya dia berada di luar konsep taklif kerana dihanyutkan oleh kecelaruan kognitif yang mungkin tidak disedarinya. Dalam keadaan demikian, mana bisa beliau melihat gagasan Persuratan Baru sebagai satu gagasan besar yang akan mengubah cara berfikir tentang sastera.

Sekiranya beliau tidak menghadapi masalah kognitif, tetapi benar-benar seorang yang tajam daya inteleknya, di samping tajam pula kemampuan kognitifnya, maka sudah tentu Dr. Saleeh Rahamad sudah tahu  awal-awal lagi betapa gagasan Persuratan Baru kini sudah mempunyai tempat tersendiri dalam dunia kritikan sastera. Disedari atau tidak, gagasan Persuratan Baru telah berada jauh ke depan menyediakan munculnya persuratan Melayu abad 21, yang tidak lagi terkongkong dan dikongkong oleh teori dan pendekatan Barat yang tidak saja menjadi pegangan sebahagian besar para sarjana, tetapi dipertahankan bermati-matian sehingga tidak silu lagi menuduh sesiapa yang tidak bersama mereka sebagai “pengekor dan pentaasub” sesuatu faham yang mereka tidak suka (apa sebabnya tidak suka itu kita tidak tahu!).  Padahal seorang sarjana sastera selalu berbicara betapa tingginya kedudukan karya sastera dalam kebudayaan sesuatu bangsa atau negara, kerana di situlah terserlah “nilai-nilai murni” yang diperlukan oleh semua manusia. Jika benarlah kepercayaan itu menjadi pegangan, maka adakah penghinaan terhadap “pengekor dan pentaasub” Persuratan Baru itu sebahagian daripada nilai murni yang menjadi pegangan para sarjana?  Pertanyaan ini menjadi remeh-temeh sekiranya kita sedar bahawa apa yang disebut sebagai nilai murni itu hanyalah sejenis mitos, bukan suatu realiti yang benar-benar wujud; kerana yang benar-benar wujud di kalangan golongan ini ialah  kelangsungan hawa nafsu mereka yang tidak berkaitan sama sekali dengan nilai murni sejagat, iaitu nilai murni cintakan ilmu dan kebenaran.

Aspek ini boleh dikatakan tidak diberi perhatian seikhlas mungkin oleh badan-badan penulis Malaysia. Berapa orang tokoh terkemuka sesuatu badan penulis yang dihargai ketokohannya dengan menerbitkan kumpulan tulisan mengenai sumbangannya? Mungkin sudah ada, tetapi saya belum pernah lihat. Satu ketika dulu saya melihat satu program yang dibuat oleh Persatuan Penulis Kelantan menjemput beberapa orang sarjana dan sasterawan terkemuka untuk membicarakan ketokohan Norhisham Mustafa dan karyanya, tetapi bukunya saya belum lihat (saya harap sudah dicetak, atau paling kurang sedang dalam persiapan untuk dicetak). Saya kira inilah sebahagian daripada nilai murni dalam bentuk tindakan terpuji yang dilakukan dengan benar-benar ikhlas. Ini belum kita tradisikan di negara kita. Bila akan dijadikan satu amalan hanya dapat diberi jawapannya oleh badan-badan penulis sendiri.  Andainya GAPENA menjadikan ini satu tradisi, tentulah sudah terdapat beberapa buah buku jenis ini yang diterbitkan oleh badan penulis ini. Apakah yang menghalang mereka untuk memulai tradisi ini?  Adalah logik jika  PENA menjadi pelopornya.  Atau PENA pun tidak mahu terlibat dalam usaha intelektual berbentuk begini, memberi penghormatan kepada ahli mereka yang berjasa?

Saya sering juga diberitahu teman-teman, betapa bencinya segolongan besar para sasterawan dan ahli akademik kepada gagasan Persuratan Baru. Satu sikap yang amat aneh. Jika kita membaca kembali makalah dan lain-lain tulisan Prof. Ungku Maimunah tentang pengaruh realisme Barat dalam sastera Melayu, sikap ini timbul mungkin kerana golongan ini berasa terancam kedudukan mereka dengan kehadiran gagasan Persuratan Baru.  Agak saya inilah yang dirasakan oleh Dr. Saleeh Rahamad apabila beliau bercakap tentang “pengekor dan pentaasub” gagasan Persuratan Baru.  Mungkin betul, mungkin tidak betul; tetapi saya menganggapnya tidak lebih dari sejenis gosip yang tidak dapat dielakkan. Tetapi bila difikir-fikir, saya teringat kata-kata A. Samad Ismail dalam suratnya kepada Leo AWS, seorang pensajak dari Kelantan. Inilah antara luahan beliau yang menarik perhatian saya: “Saya menekankan bahawa bidang sastera sekarang dikuasai oleh MAFIA sastera dan semacam  cronyism yang kesannya memudaratkan perkembangan sastera yang sihat” (Surat bertarikh 30 November 1998, disiarkan sepenuhnya dalam Langit Dusunku, Pustaka Dewan Puisi, 2003, hal. 68-70). Betulkah wujud MAFIA  sastera? Betulkah terdapat kronisme? Sekali pun wujud MAFIA sastera dan kronisme, saya menolak sama sekali Dr. Saleeh Rahamad berada dalam lingkungan itu, walaupun beliau tidak senang dengan gagasan Persuratan Baru. A. Samad Ismail kini diberi penghormatan yang wajar apabila satu kerusi kewartawanan diwujudkan di UiTM Shah Alam atas namanya. Saya sendiri membayangkan, gagasan Persuratan Baru juga akan beroleh kerusi seperti itu atas namanya; dan tempat yang paling cocok ialah UPSI, kerana Persuratan Baru pada dasarnya muncul dalam jalur perkembangan intelektual yang dipelopori oleh Pendeta Za’ba. Tetapi bukan sekarang, kena tunggu 1000 tahun lagi, seperti yang diyakini Chairil Anwar!

Kini Dr. Saleeh Rahamad telah dipilih menjadi Ketua 1 PENA, dengan sekumpulan AJK yang terdiri daripada teman-teman rapat beliau sendiri.  Apakah rancangan beliau  supaya PENA menjadi pelopor tradisi ilmu yang dimaksudkan, seperti yang diamanahkan oleh Arenawati kepada beliau? Tentu saja menyeronokkan, sebagai satu gurauan intelektual, jika PENA mengumpulkan para sarjana kelas pertama untuk mengkritik gagasan Persuratan Baru, sambil mempertahankan Panel Anugerah Sastera Negara kerana “masih ramai lagi pengarang dan penulis yang menerima kayu ukur yang sedia ada.”  Walaupun saya adalah salah seorang anggota PENA yang senior, namun dari segi kedudukan sama saja dengan anggota yang baru mendaftar satu hari lepas. Walaupun saya juga pernah memberi sedikit sumbangan yang amat sederhana dalam bidang sastera dan kritikan sastera,  saya tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dalam bentuk anugerah, hadiah dan sebagainya yang membolehkan saya klaim sedikit keutamaan untuk diberi perhatian dalam perbincangan tentang karya-karya saya oleh PENA. Siapakah yang tercabar di sini?  Siapa pula yang akan tercalar maruah intelektualnya?  Kena tunggu 1000 tahun jugakah untuk diketahui?  Tidak. Dalam dunia sastera yang mementingkan dan mengutamakan nilai-nilai murni, penungguan itu paling lama 30 tahun atau lebih sedikit, hanya satu generasi, satu perkara biasa di Malaysia yang sudah diterima umum dengan baik. Dalam konteks yang agak berbeza, inilah “iklim penentuan” yang sudah dikonkritkan dalam sastera Melayu.  Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Tan Sri A. Samad Ismail dalam suratnya.  Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan,  10/5/2012.

1 comment:

  1. Salaam Tn Haji,

    Macam biasa pedas dan segar. Masih tak sempat ketemu kita. Harap Tn Haji dapat jenguk tulisan saya ini sebab saya petik nama Tn Haji:

    http://rausyanfikir.com/2012/04/merenung-nasib-khazanah-ilmiah-melayu.html

    ReplyDelete