Saturday, April 21, 2012

WAJIBKAH SASTERA DIWAJIBKAN UNTUK DIPELAJARI?

Catatan: Tulisan ini dikirim ke Berita Harian. Disiarkan dalam blog ini untuk manfaat pembaca yang tidak membaca akhbar. Terima kasih.


Timbul lagi persoalan  mewajibkan sastera sebagai mata pelajaran wajib. Kali ini dibawa oleh GAPENA sebagai menunaikan permintaan satu seminar yang mereka adakan baru-baru ini (Hari Sastera Nasional ke 15 anjuran GAPENA).  Izinkan saya memberi komentar sekadarnya terhadap  “Godam” Salbiah Ani dalam Berita Harian 12/4/2012  mengenai perkara ini.

Salbiah Ani menegaskan betapa pentingnya sastera dijadikan mata pelajaran wajib kerana di dalam teks sastera itu terdapat nilai-nilai murni yang perlu diwarisi dan dijadikan panduan hidup para pelajar. Benarkah terdapat nilai-nilai murni dalam karya sastera? Jika kita membaca laporan Panel  Anugerah Sastera Negara yang menilai karya para sasterawan negara, nilai murni tidak dijadikan asas penilaian sama sekali. Tidak disebut dan tidak dianggap penting oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Jadi siapakah yang menjadikan nilai murni ukuran yang menentukan sesebuah karya mempunyai nilai yang tinggi sebagai karya sastera? Tentu sekali bukan Panel Anugerah Sastera Negara. Oleh itu wujudnya “nilai murni” dalam karya sastera adalah tidak lebih daripada mitos yang dibuat-buat. Para sasterawan sendiri pun tidak berminat kepada nilai-nilai murni ini, oleh itu para sasterawan negara sendiri menulis novel-novel lucah dan erotik yang turut dijadikan bahan penilaian Panel Anugerah Sastera Negara sendiri. Inilah kenyataan yang diberikan kepada kita oleh laporan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri. Adakah kenyataan ini sudah kita tolak? Atau kita sebenarnya tidak membaca laporan mereka dan tidak pun faham implikasinya.

Apakah “nilai-nilai murni” itu? Belum lagi diberi definisi yang tepat dan jelas. Ada beberapa contoh yang diberi, misalnya sikap tolong-menolong, pemurah, rajin, gigih berusaha, bersimpati dengan orang yang susah, dan yang seumpama itu. Adakah itu “nilai-nilai murni”? Jika diteliti dengan cermat, semua itu bukan “nilai-nilai murni” yang dimaksudkan. Semua yang disenaraikan itu adalah perilaku yang baik, yang mungkin mencerminkan moral dan etika tertentu. Tetapi untuk dikatakan sebagai nilai murni belum tentu tepat. Perhatikan contoh ini. Salah satu “nilai murni” yang selalu dibanggakan ialah sikap pemurah, suka membantu, suka berderma. Para penderma akan menayangkan “cek palsu” yang tertera dengan huruf besar jumlah derma yang diberikan. Berita ini diberi liputan besar-besaran. Penderma itu diberi gelar “dermawan”. Tetapi adakah itu nilai murni? Tidak. Sama sekali tidak. Itulah sifat angkuh, takabur, menunjuk-nunjuk, riak, yang sangat jelas menayangkan betapa bangsatnya orang yang berbuat demikian dan betapa rendahnya akhlak mereka.  Orang begini menggunakan kesusahan orang lain untuk menunjuk-nunjuk keangkuhan mereka menayangkan kekayaan atau harta bukan milik mereka (umpamannya harta kerajaan dan orang ini hanya tampil sebagai “pemberi yang dermawan” yang kononnya bersifat prihatin) supaya mereka dikenali sebagai seorang yang dermawan dan baik hati; padahal perbuatan itu hanya sejenis penipuan yang dibenarkan oleh masyarakat yang juga sudah begitu bangsat sehingga tidak dapat lagi membezakan antara penipuan dan sifat dermawan yang tulen. Banyak lagi contoh yang boleh dikemukakan, tetapi untuk maksud kita di sini, contoh-contoh yang diberikan itu sudah mencukupi untuk kita memahami konsep sebenar “nilai murni” yang jarang sekali terdapat dalam karya sastera, hatta yang ditulis oleh seorang sasterawan negara sekali pun.

Satu jenis “nilai murni” yang tidak dianggap penting oleh para sasterawan, sarjana, dan wartawan sastera ialah nilai “cintakan ilmu” yang benar.  Hampir tidak ada perbincangan mengenai perkara ini. Sebaliknya, yang diutamakan dan dibanggakan ialah budaya pandirisme yang menerima begitu saja apa juga yang dianggap popular. Sebagai contoh, Pos Malaysia akan menerbitkan setem khas untuk memperingati sebuah novel picisan yang “berjaya” dijadikan sebuah filem yang tidak kurang juga picisannya. Kita tidak mendengar apa-apa bantahan atau teguran daripada para sasterawan, sarjana dan badan-badan penulis. Mereka menyokong pandirisme ini. Adakah ini satu contoh “nilai murni”?  Apabila orang tidak lagi berupaya membezakan mana yang berharga mana pula yang sampah, maka dia sudah kehilangan daya akal sihat dan keberanian untuk menyatakan sesuatu yang betul, dan menyalahkan yang salah. Dia sudah kehilangan adab, seperti yang dijelaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Antara yang kehilangan adab ini ialah para sarjana sastera sendiri dan para sasterawan. Banyak lagi contoh yang boleh kita kemukakan. Semua contoh ini memperlihatkan betapa karutnya konsep “nilai murni” itu jika tidak diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Oleh itu, kita perlu bincangkan perkara ini dengan lebih mendalam supaya kita dapat menggunakan istilah dengan betul dan tepat, bukan seperti sekarang yang “cetek meraba-raba” (satu gambaran yang tepat yang diberikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang kehilangan adab dalam masyarakat kita).

Pengajaran sastera di Malaysia berada dalam dunia “cetek meraba-raba” ini. Salbiah Ani sendiri menyebutnya ketika membicarakan kegagalan KOMSAS. Jika pengalaman ini belum cukup untuk membuat para sarjana, sasterawan dan aktivis sastera berfikir dengan siuman tentang pengajaran sastera, maka di manakah hak mereka untuk lebih mengusutkan persoalan ini dengan mengemukakan cadangan supaya sastera diwajibkan? Apakah isu sebenarnya di sini? Pertama sekali, konsep sastera itu sudah ketinggalan zaman, sudah gagal membuat pelajar dan sasterawan sendiri, termasuk sarjana, untuk berfikir dengan sistematik. Ketika DBP mengadakan seminar pemikiran sasterawan negara, sarjana dan ahli akademik hampir keseluruhannya menolaknya adanya “pemikiran” dalam karya para sasterawan negara ini.  Jika ini dijadikan hujah, maka usaha untuk mewajibkan sastera di sekolah tertolak bulat-bulat. Apakah yang akan diajar jika karya sastera para sasterawan negara sendiri tidak mempunyai pemikiran? Konsep pemikiran ini pun belum jelas, masih berserabut dengan andaian yang bukan-bukan. Prof. Ungku Maimunah, Prof. Madya Mohd. Zariat dan lain-lain telah menulis tentang perkara ini, dengan memberikan hujah dan pembuktian yang cukup meyakinkan. Jika persoalan ini diambil kira, maka kita harus bereskan konsep pemikiran ini secara tuntas, supaya tidak lagi berpusing-pusing tak tentu arah mencari hujah untuk menegakkan adanya pemikiran, padahal tidak ada.  Jelaslah kita perlukan pendekatan dan teori sastera yang menjurus ke arah memperjelas aspek pemikiran ini, dan dari situ barulah kita dapat mengajar sastera dengan meyakinkan, terutama sekali dalam aspek mencerdikkan para pelajar sehingga mereka dapat melihat manakah karya yang benar-benar bermutu dan apakah ukuran yang digunakan untuk membuat penilaian itu. Sekarang kaedah dan teori yang dipakai tidak menjurus ke arah itu. Itulah antara sebab utama mengapa KOMSAS gagal, dan mengapa karya picisan dipilih, yang akhirnya membuat pelajar menjadi bosan membaca karya picisan yang dangkal. Aspek ini masih boleh diselamatkan, jika kita mempunyai kaedah yang membolehkan kita mengenal pasti ukuran yang kita pakai dan dari situ dapat dengan mudah menolak atau menerima hujah-hujah yang dikemukakan. Sekarang hal ini tidak boleh dilakukan kerana kaedah yang kita pakai terlalu lemah dan bertentangan dengan cara otak manusia berfikir. Jika anda ingin memahami persoalan ini, bacalah dengan kritis analisis Prof. Ungku Maimunah ketika membicarakan makna dan maksud realisme dalam sastera Melayu, juga tentang aspek pemikiran yang kabur dan keliru itu. Untuk melakukannya, anda perlu memiliki nilai murni yang dipanggil “nilai cintakan” ilmu yang benar.  Jika anda menolak nilai cintakan ilmu ini, anda akan terus berada dalam kekeliruan. Bagaimana orang yang keliru boleh berbicara dengan meyakinkan tentang pendidikan sastera dan tentang “nilai-nilai murni”?

Akhirnya saya ingin kemukakan satu contoh bagaimana persoalan ini boleh diselesaikan. Saya rujuk sebuah tesis sarjana yang ditulis oleh Puan R. Sharatha A/P Ramasamy (Universiti Malaya, 2007). Tesis ini diselia oleh Prof. Madya Dr. Hashim Ismail. Dalam tesis itu, Puan R. Sharatha membincangkan dengan meyakinkan satu kaedah yang dinamakan “gagasan Persuratan Baru”. Kaedah itu berteraskan nilai-nilai Islam, tetapi dapat digunakan dengan baik oleh Puan R. Sharatha kerana beliau berusaha memahami kaedah itu. Beliau telah memberikan contoh yang baik dari segi akademik, dengan bersikap terbuka terhadap ilmu. Mungkin anda tidak mahu mengatakan bahawa beliau mempunyai nilai murni cintakan ilmu yang dibincang di atas. Tetapi bagaimana pula anda yang mendakwa mempunyai nilai cintakan ilmu berada dalam kekeliruan, menutup apa juga  kemungkinan lain yang anda rasa anda tidak suka?  Jika anda termasuk dalam golongan yang mahukan karya sastera dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah, dalam sistem pendidikan negara, maka dakwaan anda yang mengaku cintakan ilmu, tetapi bersikap anti-ilmu kerana tidak adanya keterbukaan kepada ilmu, maka anda tidak layak berbicara tentang pendidikan sastera, apatah lagi membuat cadangan tentangnya.

Sebagai kesimpulan, saya ingin cadangkan kepada ITBM supaya menerbitkan tesis sarjana Puan R. Sharatha itu, untuk dijadikan landasan konkrit dalam usaha para sasterawan, sarjana dan badan-badan penulis meminta kerajaan menjadikan sastera mata pelajaran wajib. Kita perlukan kaedah yang betul, dan ini diberikan oleh Puan R. Sharatha dalam tesis sarjana beliau. Jika anda menolak contoh yang baik ini, yang diberikan oleh Puan R. Sharatha, maka anda tidak berhak bercakap tentang “nilai-nilai murni” jika nilai murni cintakan ilmu itu anda tolak mentah-mentah. Harap-harap ITBM tidak begitu, dengan itu bersedia untuk menerbitkan tesis penting ini.

Mohd. Affandi Hassan,
16/4/2012.


2 comments:

  1. Salam, menunggu Antologi 1001 Haiku karya Tn Hj Affandi. Saya sudah baca Antologi Haiku Cendera Kirana, menarik sekali.

    ReplyDelete
  2. Cendera Kirana pun sehingga kini saya pun belum miliki,hanya pernah melihat di PNM,KL beberapa tahun lalu.
    Sekadar makluman.
    Sekian,wassalam.

    ReplyDelete