Semua orang Islam pernah
mendengar seruan azan. Adakah tidak di
antara para penulis, terutama para
sasterawan, yang beragama Islam, yang tidak pernah mendengar seruan azan?
Mungkin ada, tetapi lebih selamat jika kita membuat kesimpulan memang tidak ada
di antara mereka yang tidak pernah mendengar seruan azan itu. Adakah ini suatu
realiti? Orang sastera memang sangat mementingkan aspek realiti ini, sehingga
mereka sanggup berbuat apa saja, termasuk menulis karya erotik dan lucah
semata-mata untuk melaksanakan tuntutan realiti itu. Tetapi adakah itu realiti?
Nampaknya bagi para sasterawan, itulah realiti. Itulah sebabnya mereka dengan
degilnya mempertahankan pendirian mereka bahawa realiti yang benar-benar real
ialah kehidupan manusia daripada aspek kejahatannya. Dari pandangan ini
lahirlah novel-novel besar Malaysia, novel-novel besar berbahasa Melayu,
seperti Salina, TIVI, Ranjau Sepanjang Jalan,
cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” dan lain-lain, yang ditulis oleh
para sasterawan negara dan lain-lain sasterawan. Itulah realiti yang real itu,
bagi para sasterawan ini.
Tetapi adakah ini lahir daripada
tuntutan azan yang didengar mereka dan dijawab oleh mereka setiap kali
mendengar azan? Manakah kesimpulan yang lebih tepat dan lebih selamat di antara
dua kesimpulan ini: (1) Mereka tidak mendengarnya, atau (2) Mereka memang
mendengarnya tetapi tidak memahaminya dan tidak menganggap itu realiti
kehidupan insan. Dalam realiti yang digambarkan oleh azan tadi, tujuan
kehidupan manusia ialah mencapai al-falah. Bolehkah al-falah
dicapai melalui penulisan novel dan cerita pendek yang disenaraikan di
atas? Mari kita lihat persoalan ini
secara orang bodoh yang jahil. Tidak saja bodoh, tetapi juga jahil. Bolehkah
orang begini memberi tafsiran tentang kehidupan manusia? Dari pandangan para
sasterawan, bukan saja boleh, tetapi telah dibuktikan dengan jelas perkara itu
memang boleh dilakukan jika yang bodoh dan jahil itu mempunyai kebolehan
menulis cerita. Yang perlu ditekankan di
sini ialah kebolehan menulis cerita; bukan kebolehan menganalisis cerita dalam
bentuk wacana kreatif.
Azan dimulai dengan penegasan shahadah: pengakuan wujudnya Allah
Ta’ala, yang mengajarkan ilmu kepada manusia melalui rasul yang diutus oleh
Nya. Shahadah itu tidak hanya pengakuan, tetapi keyakinan yang menjadi
pegangan. Oleh itu langkah selanjutnya ialah mengerjakan solat. Dan ini diikuti
dengan hasil yang dicapai, yakni al-falah.
Kesimpulan daripada azan itu ialah penegasan bahawa wujudnya Allah Yang Maha
Besar yang mengajar manusia ilmu yang benar; tiada tuhan yang berhak disembah
(dengan pengertian sebenarnya) melainkan Allah. Itulah hakikat taklif yang
dihuraikan dengan indah oleh Shah Wali Allah.
Bolehkah kita berkata itulah
realiti kehidupan manusia? Memang itulah realitinya. Kalau begitu, mengapa para
sasterawan Islam menulis karya mereka bertentangan dengan realiti kehidupan
manusia? Ahli falsafah dan para ulama memberikan jawapan yang mendalam mengenai
perkara ini, oleh itu anda boleh rujuk tulisan mereka jika anda mahu. Tetapi
untuk maksud kita, pandangan orang bodoh dan jahil boleh dipakai untuk menjawab
soalan yang begitu besar implikasinya itu, tetapi diabaikan oleh para
sasterawan. Sebabnya ialah, itulah cara yang paling senang dan mudah dilakukan.
Inilah hakikatnya, jika anda membaca dengan kritis dan analitis laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang
membicarakan karya-karya para sasterawan negara yang mereka pilih dan humbankan
kepada anda untuk diterima sebagai golongan mulia yang cukup faham dengan mendalam
makna dan tujuan kehidupan manusia yang diajarkan di dalam azan tadi. Saya sering mengutip analisis Prof. Ungku
Maimunah yang membicarakan persoalan ini, misalnya dalam posting bertarikh 14/3/2012.
Anda harus membacanya kembali, dengan kritis dan objektif, dengan merujuk
bahan-bahan yang menjadi ambilan kutipan yang diberikan. Tidak mengapa jika
anda tidak membacanya sebagai seorang pembaca yang cerdik dan analitis;
cukuplan anda membacanya sebagai seorang pembaca yang bodoh dan jahil yang
bersedia untuk berhujah, dengan mengemukakan bukti-bukti anda sendiri yang anda
fikir lebih tepat dan lebih baik mencerminkan realitinya. Sebagai pembaca yang bodoh dan jahil, anda
tidak boleh mengelak daripada memberikan hujah dan pembuktian dalam sanggahan
anda, lebih-lebih lagi dalam penerimaan anda. Tuntutan ini tidak boleh diterima
oleh para sasterawan, penilai dan pengkritik sastera, juga para sarjana. Oleh
itu mereka akan terus berada dalam kekeliruan tentang makna dan maksud
realisme. Inilah aspek penting yang dihuraikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam
kuliah MASTERA beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP,
2009).
Buku ini kini sudah menjadi
dokumen penting dalam memahami konsep sastera berasaskan realisme Barat yang
menjadi ikutan para sasterawan Malaysia, yang disokong dengan kuat dan padu
oleh para penilai dan sarjana sastera. Realisme
seperti yang difahami dan dipraktikkan di Barat sudah dijadikan “konvensi
sastera”, menurut Prof. Ungku Maimunah, “iklim sastera yang dibentuk meletakkan
kefahaman realisme Barat antara ciri penting penulisan kreatif (dan kritikan) Melayu,
yang sopan, hormat serta maju, dan wajar dilestarikan dengan memanfaatkannya
tanpa curiga atau segan silu.” (Dalam kertas kerja beliau, “Pemertabatan
‘Realiti’ dan ‘Realisme’ ke Status Konvensi Sastera Dalam Kesusasteraan
Melayu”, Seminar Antarabangsa Kesusasteraan
Melayu XI (SAKM XI, UKM 7-8 Disember, 2011, halaman 36). Seterusnya beliau
membuat kesimpulan ini: “Bahawa hakikat tersebut menafikan kewujudan realiti
hakiki, meminggirkan ilmu dalam wacana, mengesampingkan seni menyirat makna,
tidak membekas dalam dunia sastera Melayu. Perkara ini berlaku kerana realisme
sudah mempunyai kedudukan kukuh sebagai konvensi sastera, lengkap dengan mantra
serba bolehnya: ‘itulah realiti’”.
Dengan kefahaman sastera yang
seperti itu, di mana duduknya taklif dalam kesusasteraan? Tidak ada. Oleh itu
siapa di antara sasterawan itu yang mendengar seruan azan mengajak kepada al-falah? Ini pun tidak jelas. Dalam
konteks inilah mereka menolak gagasan Persuratan Baru sebagai anti-sastera yang
akan membunuh kesusasteraan Melayu, tidak membangunkannya menjadi persuratan
berteraskan ilmu yang benar. Siapakah yang sebenarnya silap di sini?
Analisis Prof. Ungku Maimunah
penting dibahaskan dengan mendalam oleh para sasterawan dan sarjana sastera.
Bagi saya analisis itu memperlihatkan dengan jelas betapa palsunya faham
sastera yang menjadi pegangan dan ikutan
para sasterawan ini; kepalsuan itu lebih jelas lagi apabila faham sastera yang
keliru itu dinilai dengan usaha beberapa orang sasterawan yang mendakwa mereka
adalah peneroka sastera Islam (seperti Shahnon Ahmad yang menulis novel erotik
dan picisan, TIVI itu), padahal
fahaman mereka tentang sastera Islam dilihat dalam konteks realisme Barat, oleh
itu mereka sebenarnya telah mensekularkan sastera Melayu dengan menggunakan
nama sastera Islam. Sikap mereka terhadap realisme Barat membuat mereka tidak
dapat melihat kepalsuan faham sastera yang menjadi pegangan mereka itu.
Realisme telah menjadi sejenis puaka
intelektual dalam sastera Melayu moden, yang akhirnya membawa kepada keaiban intelektual yang tidak disedari.
Inilah antara beban intelektual yang
ditanggung oleh para sasterawan dan sarjana sastera sejak sekian lama, belum
lagi disedari mereka bahayanya kerana kecetekan mereka memahami sastera Barat
dan teorinya dan tidak pula mengenal dengan mendalam warisan persuratan Melayu
yang memang dikembangkan berasaskan nilai-nilai Islam, berasaskan konsep ilmu
yang benar. Mereka adalah kumpulan
pinggiran yang “cetek meraba-raba”, seperti yang ditegaskan oleh Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya (1972).
Wajarkah faham yang palsu dan
foni ini diteruskan dalam sastera Melayu moden? Jawapannya hanya dapat
diberikan oleh para sasterawan sendiri dan para sarjana sastera yang menjadi
parasit kepada karya mereka. Tetapi dalam perkembangan terbaru, kita diberitahu
sebuah persatuan penulis terbesar di Malaysia telah menulis surat kepada
Kementerian Pelajaran Malaysia memohon supaya kesusasteraan dijadikan mata
pelajaran wajib di semua sekolah di semua peringkat, termasuk peringkat
universiti. Timbalan Menteri Pelajaran telah pun memberi jawapan bahawa kesusasteraaan
tidak perlu dijadikan mata pelajaran wajib; bagaimana pun, kata beliau,
persatuan itu bolehlah mengemukakan cadangan mereka secara terperinci. Adakah langkah yang diambil oleh persatuan
ini satu langkah yang mundur, dari segi ilmu dan dari segi kreatif? Masalah ini telah dibincangkan dengan panjang
lebar dalam buku kecil berjudul, Pendidikan
Estetika Daripada Pendekatan Tauhid. Kaedah yang perlu digunakan pun sudah
dicadangkan dalam buku itu. Siapakah yang membaca buku itu? Tentulah tidak ahli
persatuan penulis yang meminta kerajaan mewajibkan kesusasteraan di sekolah.
Demikianlah ketinggalannya para “penggiat” (berasal daripada perkataan ‘giat’
yang mempunyai makna sindiran dan makna perniagaan!) sastera ini. Bolehkah kita
harapkan golongan oportunis dan parasit begini membina tamadun penulisan
berasaskan ilmu yang benar? Apakah yang ingin mereka ajar kepada masyarakat
mereka jika mereka menerima ungkapan
“aku sudah belajar/ jadi kurang ajar” sebagai ucapan paling puitis dan paling
intelektual di Malaysia? Jika anda
bertanya Pak Pandir, dia akan menjawab, “Tanya Mak Andeh. Dia lebih tahu!” Tidakkah itu satu kemenangan buat feminisme? Dan yang menjadi
pelopornya ialah Pak Pandir, bukan Mak Andeh.
Para sasterawan menegaskan
dengan bangga, mereka menulis tentang realiti masyarakat, dengan memberi
perhatian kepada kejahatan dan keburukan yang terdapat dalam masyarakat kerana
itulah hakikat realiti bagi mereka. Jika mereka benar, dan nampaknya memang
mereka bercakap benar, seperti yang dibuktikan dalam laporan Panel Anugerah
Sastera Negara, maka apakah kebaikan yang boleh disaring daripada penulisan
yang menjadikan kejahatan sebagai tumpuan utama? Apakah jenis moral yang mereka
ingin tonjolkan. Dalam hal ini, Panel Anugerah Sastera Negara menegaskan, moral
tidak perlu dan tidak harus dijadikan ukuran dalam penilaian sastera. Jika
itulah hakikat sastera yang berasaskan realisme Barat ini, maka apakah
faedahnya dijadikan mata pelajaran wajib jika yang ditonjolkan kejahatan
manusia? Mungkin kita boleh selamatkan anak-anak kita daripada pengaruh jahat
ini, tetapi kita perlukan kaedah analisis yang menolak kejahatan dan dapat
membaca dengan kritis hasil karya palsu ini. Tetapi itu pun ditolak oleh para
sasterawan, penilai dan para sarjana. Mereka menggunakan teori dan kaedah Barat
yang memang menerima kejahatan sebagai pengucapan seni yang tinggi. Itulah kemuncak pandirisme yang dikembangkan
dan dilestarikan di Malaysia. Itulah pengajaran kesusasteraan yang dimaksudkan.
“Itulah realiti!”
Mohd. Affandi Hassan
1 April 2012.
No comments:
Post a Comment