Monday, January 23, 2012

Karya Persuratan, Karya Sastera, Karya Picisan/Popular/Erotik Dalam Sastera Melayu

Terdapatnya tiga kategori karya itu sudah diterima kewujudannya oleh sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera, walaupun ada yang tidak bersetuju dengan kategori karya persuratan kerana menurut mereka karya sastera akan menduduki tempat kedua. Apa salahnya? Apakah yang istimewa tentang karya sastera sehingga perlu diutamakan? Dahulu pun kita sudah wujudkan karya picisan sebagai satu kategori; tetapi ini tidak menyekat penulis karya picisan dan erotik daripada dipilih sebagai sasterawan negara. Walaupun memang terdapat sasterawan negara yang menulis karya picisan sebelum dan selepas diangkat menjadi sasterawan negara, namun institusi itu bukanlah suatu institusi yang picisan. Kerajaan telah berbelanja banyak wang, berpuluh juta, untuk melaksanakannya. Panel Anugerah Sastera Negara diberi kebebasan tersendiri dalam penilaian mereka, dan salah satu kebebasan itu ialah menerima karya picisan sebagai sebahagian daripada karya yang layak diberi kedudukan yang akan menentukan boleh tidaknya seorang sasterawan diangkat menjadi sasterawan negara. Pada mulanya hanya tiga atau empat kategori  dikenal pasti: karya sastera, karya picisan, karya popular, karya erotik dan pornografi. Dalam sastera Melayu moden, karya erotik dan pornografi itu biasa dipanggil karya lucah; tetapi pada umumnya sebuah novel erotik seperti novel-novel Yahya Samah lebih tepat dipanggil novel erotik, bukan pornografi. Sebaliknya novel SN Shahnon Ahmad TIVI adalah karya lucah, yakni sebuah karya pornografi totok. Tetapi mengapakah SN Shahnon Ahmad bermati-matian mempertahankan novel lucah porno itu sebuah karya “Mithali Islam”? Dia menganggap  novel lucahnya itu sebuah karya sastera Islam yang tertinggi tarafnya, iaitu karya mithali (sama tarafnya dengan gelaran Ibu Mithali yang dianugerahkan oleh kerajaan kepada ibu-ibu Melayu yang menyokong atau bersimpati dengan UMNO dan telah berjaya melahirkan anak dan mendidik mereka hingga berjaya dalam pelajaran).  Malah ada sarjana (tentu saja termasuk SN Shahnon Ahmad sendiri) yang meletakkan novel lucah/pornografi itu sebagai karya sufi, atau sekurang-kurangnya sebuah karya yang kaya dengan unsur sufi. Kesimpulan ini berasaskan ajaran Hindu yang melihat persetubuhan itu sebagai penjelmaan kepuasan syahwat (seks) tertinggi yang menjadi matlamat kehidupan manusia, seperti yang ditegaskan oleh Freud dan diberi tafsiran “falsafah” dalam teori dekonstruksi ajaran Derrida (sang mulhid) yang dipanggil “jouissance” (puncak kepuasan syahwat).

Istilah jouissance ini digunakan pada mulanya oleh Roland Barthes, yang membezakan antara “plaisir” (pleasure) dengan “jouissance” (bliss) yang didapati daripada sebuah teks yang sama ada bercorak readerly atau writerly.  Teks yang readerly  ialah yang mesra pembaca, yang boleh difahami dan diberi makna kerana ditulis dalam acuan yang sedia ada. Inilah barangkali ciri utama karya para sasterawan negara, yang disanjung kerana “pandai” meniru teknik Barat dan cekap pula melakukan “eksperimen” yang juga diilhamkan daripada perkenalan dengan karya Barat. Inilah jenis karya orang yang “pandai menulis”, tetapi tidak pandai mengarang.  Pandangan ini telah saya kemukakan sejak tahun 1970-an lagi, dan saya masih berpegang kepada kesimpulan itu kerana bukti-bukti yang dapat dilihat terlalu banyak sehingga tidak mungkin saya mengubah kesimpulan saya yang tidak popular itu.

Para sasterawan memang pandai menulis, kerana matlamat mereka ialah bercerita. Segala-galanya tertumpu pada cerita; dan sebuah novel hanya menjadi sebuah novel kerana keutamaan cerita itu. Kata E. M. Forster, “novel adalah cerita”; lalu tanpa ragu-ragu sedikit pun semua sasterawan Malaysia menerima pendapat E. M. Forster itu sebagai satu-satunya prinsip dan ukuran yang akan menentukan sesebuah novel itu sebuah novel atau tidak. Sikap tidak rasional ini akhirnya berakhir dengan sikap tidak siuman apabila “cerita” itu dipertahankan begitu rupa dengan memberi hujah bahawa al-Quran sendiri menggunakan cerita dan menjadikan cerita sebagai cara berdakwah dan tarbiah. Maka lahirlah apa yang kini sedang giat dipromosikan sebagai Teknik Surah Yusuf yang kononnya meniru “cerita” al-Quran, dengan matalamat untuk mendapat keuntungan material dengan menulis kisah-kisah cinta murahan atas nama Islam.

Begitu murah harga “cerita” al-Quran itu bagi mereka, boleh dijadikan iklan dalam perdagangan penerbitan dan penjualan cerita picisan. Tentulah tidak siuman jika pandangan E. M. Forster dalam bukunya Aspects of the Novel (berasal dari sebuah syarahan, 1927) dijadikan hujah untuk membuat kesimpulan bahawa cerita juga salah satu unsur penting dalam al-Quran. Inilah jawapan Dr. Zulkarnain Mohamed dalam makalahnya (memetik pendapat Sayid Sayid Abd al-Razik dalam bukunya, Kaedah Islam dalam Kritikan Sastera):  “Abd al-Razik mengemukakan tiga saranan yang jelas, iaitu pertama cerita al-Quran tidak boleh dikaji dengan pengukuran genre sastera yang bersifat insani. Seterusnya, kajian cerita dalam al-Quran tidak boleh dicampuradukkan dengan karya sastera insani walaupun kedua-duanya disentuh dalam satu kajian. Selain itu, cerita dalam al-Quran  tidak wajar ditiru. Sebaliknya, ia hanya perlu dijadikan panduan atau metode kajian” (dalam makalahnya, “Pendekatan Ta’amul-Taklif dalam Kajian Sastera”, SARI 29 (1)(2011), hal. 142).  Penegasan ini sudah cukup untuk mengembalikan sifat rasional seorang sasterawan atau sarjana sastera yang cuba menggunakan al-Quran untuk berhujah bahawa cerita adalah salah satu aspek penting dalam al-Quran, dikemukan secara simplistic tanpa memahami konsep “cerita” dalam al-Quran seperti yang ditegaskan dalam kutipan di atas.  Fahaman ini jelas sekali mempunyai hubungan perdagangan cerita dalam bentuk novel, dengan misalnya menggunakan surah-surah tertentu dalam al-Quran untuk mengabui dan mengaburi pembaca yang cetek pengetahuan agamanya bahawa “cerita” yang mereka hidangkan itu berunsur Islam, meskipun dari segi ilmu bertentangan dengan ajaran Islam. Pertentangan itu terlihat misalnya dalam keutamaan yang diberikan kepada emosi dalam pembinaan cerita, dengan misalnya menjadikan cinta muda mudi sebagai landasan untuk bercerita; padahal dalam Islam yang lebih utama ialah ilmu, dan bukan sebarang ilmu, tetapi ilmu yang benar. Yang terjadi adalah sebaliknya: cerita cinta berasaskan teknik jempulan tadi disensasikan hingga kepada kulit buku yang menonjolkan wajah wanita yang diberi celak yang tebal dan solekan yang berlebihan. Isinya pun begitu juga, hanya tak lebih daripada sejenis solekan yang disensasikan dengan memakai judul yang membuat pembaca yang tahu sedikit tentang agama berasa amat tidak selesa. Kerana kedudukan ilmu yang benar itu begitu penting, maka seharusnya cerita tunduk kepada keutamaan ilmu itu, dengan memberi ruang yang lebih besar untuk wacana yang bersifat keilmuan. (Untuk memahami persoalan ini, sila rujuk makalah Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani, “Materialisme, Islam dan Nilai Kesasteraan: Satu Penilaian Terhadap Novel-novel Popular Islami Terbitan PTS Sdn. Bhd. Berdasarkan Persuratan Baru”, dibentangkan di Perhimpunan Penulis Muda Nasional ke-3, anjuran PENA, Akademi Kenegaraan, Kuala Lumpur, 16-18 Disember 2011. Dalam kertasnya itu Dr. Zariat membuat kesimpulan, novel-novel yang dikajinya itu tidak pun sampai ke taraf karya sastera, hanya layak dipanggil karya popular yang tidak bermutu dari segi pemikiran dan tidak pula mencapai standard yang diharapkan dari segi tekniknya.) 

Apa yang berlaku dalam usaha menulis dan menerbitkan novel popular Islami itu ialah ketandusan idea bernas yang boleh mendorong pembaca berfikir. Ini terjadi, mereka berhujah, ialah kerana pembaca tidak mahu dibebankan dengan idea yang berat-berat; lagi pula, kata mereka, lebih utama menarik minat membaca daripada memberikan idea yang berat-berat yang membebankan pembaca sehingga mereka tidak berminat membaca buku. Pendapat ini hanya lahir daripada penulis atau sasterawan yang sebenarnya tidak mampu berfikir dan cetek pula pengetahuannya; lagi pula dorongan mendapat “kejayaan” dalam bentuk wang ringgit jauh lebih besar daripada usaha jujur dan berterusan dalam membina ketangkasan berfikir masyarakat.  Jadi persoalan sebenarnya ialah pengaruh materialisme yang kini sudah menjadi tumpuan para penulis. Semakin kuat pengaruh ini, semakin lesu cara berfikir para sasterawan, dan kesannya ke atas kesusasteraan Melayu memang jelas; kesan itu kelihatan juga dalam cara Panel Anugerah Sastera Negara menilai karya kreatif apabila mereka pun memberi tumpuan kepada aspek materialisme ini. (Untuk memahami kesimpulan ini anda perlu membaca laporan Panel dengan kritis.)

Saya menegaskan tadi para sasterawan ini memang pandai menulis, tetapi tidak pandai mengarang. Termasuk dalam kumpulan ini ialah para sasterawan negara sendiri, yang memang pandai menulis, terutama menulis karya picisan dan amat menonjol gaya erotiknya. Mereka bangga menjadi sasterawan yang pandai menulis itu, kerana mereka dipuji oleh Panel Anugerah Sastera Negara, walaupun terhadap karya-karya lucah dan erotik mereka. Ini memang ditegaskan dalam laporan Panel terhadap sumbangan Abdullah Hussein, Samad Said, Shahnon Ahmad (sekadar menyebut beberapa nama yang paling menonjol) yang telah menghasilkan karya picisan, lucah dan erotik.  Apakah maksud pandai mengarang dalam konteks ini? Dalam konteks gagasan Persuratan Baru, “mengarang” bererti mewacanakan pemikiran dengan penghujahan, analisis, pembuktian, dan sebagainya yang berkaitan dengan cara mengolah sesuatu idea dengan jelas dan sistematik untuk menghasilkan sebuah karya kreatif (seperti novel atau cerita pendek) yang sekali gus indah dan bermakna: indah dari segi gubahan berbentuk cerita yang disampaikan melalui wacana; bermakna dari segi persembahan wacana yang disampaikan dalam bentuk cerita yang terkawal untuk menzahirkan hakikat realiti berasaskan konsep ilmu yang benar. Hasilnya ialah sebuah karya persuratan, bukan karya sastera seperti yang kita ketahui. Yang menentukan di mana duduknya sesebuah karya, sama ada karya persuratan atau karya sastera, ialah konsep taklif yang menjadi asas bagaimana wacana dan cerita diberi bentuknya dalam karya tersebut. (Huraiannya telah dijelaskan dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid dan Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan).

Mungkin kita tidak sedar betapa Roland  Barthes telah memberi sumbangan besar kepada sastera Melayu dalam mengelirukan para sasterawan dan sarjana sastera. Dalam sebuah tulisannya berjudul, “Unsur-unsur Teori Dalam Kesusasteraan Melayu dan Nusantara” (kertas berkala UKM, 1988), yang menjadi bahan  syarahan perdananya (1989),  Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh berkata begini:  “Untuk memulakan perbincangan ini saya ingin mendapat manfaat dari akal jernih Barthes (1979) yang banyak memikir dan menulis tentang konsep karya dan teks” (hal. 38, huruf tebal ditambah). Seterusnya kata Prof. Dr. Muhammad Hj Salleh lagi: “Dengan bekalan wawasan Barthes dan Kristeva ini kita mungkin boleh melihat sastera kita, mengambil manfaat darinya tetapi dengan kritis dan penyesuaian yang perlu.” (hal. 40).  

Apakah akal jernih Barthes itu? Idea Barthes yang terkandung dalam konsep teks (dalam pemikiran Barthes, baca seks) yang bersifat readerly (atau readable; daripada bahasa Perancis lisible yang dalam bahasa Inggeris bermaksud legible) dan writerly (yakni yang bersifat scriptible dalam bahasa Perancis)  menjurus ke arah apa yang dikenal sebagai “puncak shahwat” dalam persetubuhan, yang ditonjolkan dalam istilah Perancis jouissance (diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai enjoyment, bliss).  Inilah ciri utama semua karya sastera, terutama yang bercorak picisan, erotik dan lucah. Anda tidak boleh membataskan maksud picisan itu hanya dalam konteks seks saja; kerana lebih banyak yang picisan itu dari segi pemikiran dan penghujahan dalam kritikan dan penulisan karya kreatif. Anda boleh merujuk banyak tulisan/makalah yang menghuraikan perkara ini (yakni, tulisan picisan atau penilaian picisan yang mengaku akademik); antaranya yang terbaru ialah makalah Prof. Ungku Maimunah dalam kertas yang dibentangkan oleh beliau pada pertemuan Seminar SKIM XXII di UKM, Bangi, pada 29-30 November 2011, berjudul “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Hj. Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara”. Makalah itu menjelaskan bagaimana pincangnya penilaian yang dibuat; yakni penilaian yang picisan.  Dari segi pemikiran, sajak “Pulang Si Tenggang” adalah sebuah sajak picisan yang menonjolkan faham individualisme yang berlebihan sehingga sanggup menerima nilai-nilai negatif yang menjadi dasar dongeng “Si Tenggang Anak Derhaka” dalam budaya Melayu.  Dari segi pemikiran, ini juga berupa “kepincangan penilaian” seorang penulis yang hanya “pandai menulis”.  Kepincangan dan sifat picisan ini dapat dilihat dalam makalah akademik (so called academic  paper!) yang banyak ditulis dalam seminar yang kerap diadakan, misalnya yang ditulis oleh A. Rahim Abdullah dari ASWARA tentang novel Kawin-kawin oleh Azizi Hj. Abdullah, berjudul  “Ideologi dan Dunia Makar Dalam Novel Kawin-kawin” (Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu XI, UKM, 7-8 Disember 2011). Novel itu sendiri adalah sebuah novel picisan; kertas kerja tentangnya juga sebuah kertas kerja picisan. Penggunaan istilah “ideologi” dalam tajuk itu sendiri membuktikan sifat picisannya, yang digunakan secara “makar” dalam kertas itu, tidak terdapat analisis yang boleh dijadikan sandaran sekira-kira agak wajar bahawa penggunaan istilah “ideologi” itu cocok dengan kandungan novel picisan itu. (Untuk melihat aspek picisan novel ini, lihat kertas kerja saya, “Unsur Jenaka Dalam Novel Kawin-kawin: Kegagalan Intelektual Seorang Sasterawan” (Seminar Jenaka Melayu Nusantara, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 21-23 Ogos 2003).

Inilah faham yang dipakai dan dipertahankan oleh para sarjana dan sasterawan Malaysia, termasuk sasterawan negara. Inilah hujah, atau jenis hujah yang digunakan oleh Shahnon Ahmad apabila beliau mempertahankan novel lucahnya TIVI sebagai novel Islam yang mithali, yang wajib dicontohi dan dihargai, dipandang tinggi sebagai hasil realisme yang menjadi dasar semua karya para sasterawan Malaysia.  Tepat sekali kesimpulan Pascale Casanova dalam bukunya, The World Republic of Letters (2004) yang menegaskan bahawa semua prinsip dan ukuran yang terpakai dalam sastera ditetapkan sama ada di Paris atau London. Walaupun Shahnon Ahmad menegaskan karya lucahnya bercorak Islami (bukan itu saja, tetapi yang mithali pula!), namun beliau menggunakan ukuran yang ditetapkan di Paris, bukan ukuran yang ditetapkan dalam Islam, seperti yang ditunjukkan oleh Dr. Zulkarnain Mohamed dalam makalah beliau bagaimana karya bercorak itu dinilai. Jika anda membaca laporan Panel Anugerah Sastera Negara, anda akan melihat dengan terang seperti anda melihat cahaya matahari terik waktu siang yang panas bagaimana mereka menggunakan ukuran dari Paris dan London untuk menilai karya para sasterawan negara. Anda mungkin bertanya: So what? Apa salahnya? Andalah yang lebih layak menjawabnya, bukan saya atau sesiapa sekali pun, kecuali anggota Panel Anugerah Sastera Negara dan orang yang sejenis dengan mereka dan sejenis pula dengan anda yang menyokong mereka.

Sekarang sudah agak jelas mengapa kita perlu meletakkan karya kreatif dalam tiga kategori. Jika kategori karya persuratan itu ditolak atau diketepikan, maka kita akan meletakkan semua karya kreatif kita seperti yang dihuraikan oleh Roland Barthes.  Inilah yang terjadi, sama ada kita sedar atau tidak. Inilah yang mendorong Shahnon Ahmad dan para pengikutnya mendakwa novel picisan dan pornografi yang berjudul TIVI sebuah karya Islami kerana realisme yang didakwa Shahnon Ahmad benar-benar terjadi seperti yang dirakamkannya dalam novelnya adalah satu kenyataan yang tidak dapat dinafikan kelangsungannya dalam masyarakat Melayu, oleh itu wajar dijadikan sebuah novel yang realistik. Dari segi pandangan Roland Barthes dan sistem nilai Barat, pandangan Shahnon Ahmad ini tepat sekali. Tetapi jika dilihat dan dinilai dari nilai-nilai Islam, kesimpulan beliau itu batil, tidak boleh dipakai. Jika huraian Dr. Zulkarnain Mohamed dalam makalahnya difahami, anda akan melihat dengan jelas kepalsuan kesimpulan Shahnon Ahmad, para anggota Panel Anugerah Sastera Negara, dan para sarjana serta sasterawan yang terpesona dengan teori dan kaedah Barat. 

Dengan memberikan keutamaan kepada karya sastera yang dikatakan mencerminkan realisme, maka kita diberitahu karya sastera itu bermutu dan bernilai tinggi kerana cocok dengan realisme, walaupun tidak perlu mengetengahkan nilai-nilai Islam yang menjadi tunjang tamadun Melayu. Inilah pandangan Panel Anugerah Sastera Negara, yang menegaskan sastera tidak perlu didaktik, tidak perlu mempunyai matlamat apa-apa, tidak perlu menegaskan pendirian moral kerana kebebasan itu lebih penting daripada apa juga sekatan yang bersifat moral, dan tidak perlu dikaitkan dengan sebarang nilai yang bersifat keagamaan. Jika anda membaca dengan teliti laporan Panel Anugerah Sastera Negara, inilah kesimpulan mereka dan inilah yang menjadi panduan para sasterawan dan menjadi ukuran penilaian di kalangan sarjana dan pengkritik sastera. Tentu saja pendirian begini tidak wajar dan amat bertentangan dengan nilai-nilai yang diberi keutamaan dalam tamadun Melayu yang bercorak Islam itu.

Mengapa mesti dipisahkan nilai-nilai Islam dalam karya sastera? Sekiranya ada yang menolak adanya pemisahan itu, mengapa pula mereka tidak boleh menerima kehadiran unsur-unsur Islam itu dalam penilaian karya para sasterawan negara? Lebih tegas lagi, mengapa Panel Anugerah Sastera Negara menolak nilai-nilai Islam dalam penilaian mereka? Di sini tidak saja berlaku kontradiksi, tetapi juga penentangan yang amat ketara dan mendapat sokongan dan dukungan para sasterawan, sarjana dan institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam keadaan inilah kita perlukan karya persuratan, yang akan menjadi ukuran kepada kemajuan yang telah dicapai dalam penulisan kreatif di Malaysia. Jika dibiarkan sastera bersendirian dan bebas malakukan apa saja, maka kita akan terus keliru dan akan terus memberi kedudukan tinggi yang tidak wajar, yang salah, kepada karya picisan dan karya yang mendaulatkan nilai-nilai relatif dari Barat. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk apabila seorang sasterawan yang diberi gelaran sasterawan negara menggunakan penghormatan dan kedudukannya itu untuk menulis karya tidak bermutu, karya picisan, dan diberi pujian pula kerana kedudukannya, tanpa mengambil kira sejauh mana melesetnya penilaian yang diberikan dan betapa kelirunya ukuran yang digunakan.  Mahu tidak mahu kita harus meletakkan ukuran yang objektif, tepat dan jitu berasaskan konsep ilmu yang benar, dan hasil kreatif itu mencerminkan hakikat taklif dalam kehidupan manusia. Pendeknya, kita perlu mengajar kembali masyarakat kita, terutama para pelajar, bahawa kedudukan nilai-nilai mutlak dalam kehidupan manusia bukanlah perkara baru; tetapi diketepikan dan dipandang salah akibat penerimaan melulu nilai-nilai Barat yang sering dikaitkan dengan kemajuan dan pembangunan, yang asasnya ialah materialisme dalam kemajuan ekonomi dan hedonisme dalam budaya. Tetapi di Barat sendiri hal ini sudah lama dipersoalkan. Seorang tokoh kritikan sastera yang terkenal dari Britain, Terry Eagleton (bukunya diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Prof. Dr. Muhammad Hj Salleh), seorang pengikut faham Marxism, memberikan pendapatnya yang tegas menggesa nilai-nilai mutlak itu dijadikan ukuran kembali dalam kehidupan masa kini. Jika anda berminat, sila rujuk bukunya After Theory (2003) atau pandangan kritis terhadap buku itu yang boleh dicapai melalui Internet. 

Sarjana dan sasterawan Malaysia tidak usah mengarut mengaku karya dan pemikiran mereka yang berteraskan teori dan faham sastera Barat itu bersifat universal. Orang Barat sendiri pun tidak mengatakan karya mereka universal atau teori mereka universal. Hanya kita yang tak kenal betul-betul pemikiran mereka dan tidak tahu dengan mendalam tradisi bangsa dan agama sendiri, yang “cetek meraba-raba”,  yang terkinja-kinja mahu diakui kononnya karya mereka universal kerana ditulis dalam bentuk dan wajah pemikiran Barat. Sebenarnya anda hanya tidak lebih daripada appendix Barat, yang mereka sendiri pun tidak mahu terima kerana sebab-sebab yang mereka sendiri tahu. 

Mohd. Affandi Hassan,
20/1/2012.

Sunday, January 15, 2012

TESIS PH.D. PROF. MADYA DR. MOHD. ZARIAT ABDUL RANI SUDAH TERBIT

Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat  (kini di UPM) menyiapkan tesis Ph.D. beliau di UKM 2004, lulus dengan kategori cemerlang. Tesis beliau diterbitkan oleh Penerbit UKM (http://www.ukm.my/penerbit) 2011, dijual dengan harga sekitar RM50.00 dan boleh didapati dari Penerbit UKM. Judul: Seksualiti Dalam Novel Melayu.  Jumlah halaman 515.

Buku ini penting kerana inilah julung kali pendekatan gagasan Persuratan Baru digunakan secara akademik untuk menganalisis dan menilai novel-novel Melayu terpilih. Dengan itu buku ini meletakkan satu standard yang jelas dalam kritikan sastera di Malaysia. Penulis, sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera kini mempunyai pilihan untuk dijadikan ukuran dalam analisis dan penilaian mereka: Sejauh mana gagasan Persuratan Baru mengemukakan satu alternatif dalam kritikan sastera di Malaysia yang berbeza daripada pendekatan yang digunakan selama ini? Sejauh mana pula gagasan Persuratan Baru mencabar kewibawaan Panel Anugerah Sastera Negara dalam penilaian yang dikemukakan dalam laporan mereka?  Dua soalan besar ini tidak saja menyentuh soal pendekatan yang dipakai, tetapi juga menyentuh soal ukuran mana yang lebih sesuai digunakan dalam kritikan sastera Melayu.  Setelah persoalan itu diselesaikan, kita berdepan pula dengan cabaran yang lebih besar: Ke manakah arah yang kita tuju dalam Abad 21 ini?  Persoalan ini akhirnya harus menjawab dengan jelas satu masalah lain: Perlukah kita membahagikan karya kreatif kita kepada tiga kategori, iaitu karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan/popular/erotik?  Pembahagian kepada tiga kategori ini boleh membantu kita melihat sejauh mana kemajuan yang telah kita capai selama ini dan apakah ukuran yang kita pakai.

Diharap buku Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat ini boleh membantu kita melihat semua persoalan yang disebutkan itu secara menyeluruh, dengan itu menyediakan kita untuk menghadapi cabaran Abad 21 ini dengan persediaan ilmu dan kekuatan daya kreatif yang dituntut oleh era ilmu Abad 21 ini.

Mohd. Affandi Hassan,
15/1/2012.

Thursday, January 5, 2012

Pendekatan Ta’amul-Taklif Untuk Menilai Karya Kemala: Satu Cadangan Kepada DBP

Dalam Jurnal SARI 29(1) (2011) terdapat sebuah makalah penting yang ditulis oleh Dr. Zulkarnain Mohamed berjudul, “Pendekatan Ta’amul-Taklif Dalam Kajian Sastera”. Makalah ini menghuraikan dengan jelas bagaimana sebuah karya yang dianggap karya sastera Islam perlu dianalisis dan dinilai. Jikalau kita dapat terima seperti diklaim oleh penulisnya, bahawa karya-karya Kemala, sasterawan negara paling baru, adalah karya-karya bercorak Islam (malah ada yang menganggapnya karya sufi, tanpa diketahui maksud istilah sufi itu digunakan dalam konteks itu), maka pendekatan yang dicadangkan oleh Dr. Zulkarnain ini amat sesuai digunakan dalam menulis laporan Anugerah Sastera Negara. Jika pendekatan ini digunakan, kita dapat pastikan, tanpa ragu-ragu, benar tidaknya karya-karya Kemala itu karya bercorak Islam seperti yang dijelaskan oleh Dr. Zulkarnain dalam makalahnya itu. Sekiranya pendekatan ta’amul-taklif itu tidak sesuai, kita berpeluang mendengar pandangan Panel Anugerah Sastera Negara tentang perkara ini,  yakni mengenai bagaimana seharusnya sesebuah karya yang diklaim bercorak Islam itu dianalisis dan dinilai. 

Saya tidak berhajat menghuraikan pendekatan ta’amul-taklif yang dicadangkan oleh penulis makalah, kerana Panel Anugerah Sastera Negara sendirilah yang harus membaca dan menilainya sebagai satu pendekatan yang boleh dipakai. Dewan Bahasa dan Pustaka boleh membantu mereka mendapatkan makalah itu untuk kegunaan ahli Panel. Sudah tiba waktunya laporan Panel Anugerah Sastera Negara diberi wajah baru yang lebih mesra persuratan Melayu yang berteraskan Islam itu. Selama lebih dari 30 tahun Panel Anugerah Sastera Negara, dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka, meminggirkan aspek kebudayaan dan persuratan Melayu ini dari penilaian mereka. Kini pendekatan yang boleh membantu ke arah kembali ke akar persuratan Melayu itu sudah diwujudkan dan wajar dinilai dengan kritis oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Sekiranya Panel masih mahu meneruskan penggunaan teori dan pendekatan Barat dalam laporan mereka, maka pendekatan ta’amul-taklif ini boleh membantu mereka bagaimana teori dan  pendekatan Barat itu boleh dan sesuai digunakan tanpa meminggirkan langsung unsur-unsur Islam dalam persuratan Melayu moden yang diklaim oleh Kemala terdapat dalam karyanya. Saya harap Dewan Bahasa dan Pustaka boleh menimbangkan cadangan ini dengan serius.

Mohd. Affandi Hassan,
5/1/2012.

Wednesday, January 4, 2012

Memahami Gagasan Persuratan Baru: Komentar Untuk Para Penulis Komentar (Dialog Akhir Tahun)

Terima kasih kepada para penulis komentar. Saya mendapat faedah membacanya seperti anda mendapat kepuasan menulisnya, walau apa pun yang anda tulis dan walau apa pun perasaan anda ketika menulisnya.

Nampaknya  sukar juga untuk memahami gagasan Persuatan Baru, kerana yang ingin memahaminya tidak membaca mengenainya, meskipun korpus tentang PB telah mencukupi untuk dijadikan rujukan. Rujukan itu mudah pula didapati.  Saya baru saja membaca sebuah makalah yang amat baik ditelaah oleh kita semua, terutama yang berminat dalam apa yang dinamakan “sastera Islami”.  Saya rujuk kepada makalah Dr. Zulkarnain Mohamed, “Pendekatan Ta’amul-Taklif dalam Kajian Sastera”, SARI 29(1) 2011, hal. 137-152. Silalah dapatkan Jurnal itu dari UKM.

Mengapa PB membahagikan karya kreatif Malaysia dalam tiga kategori? (1) Karya persuratan; (2)  karya sastera; (3) karya picisan/popular/erotik. Sudah dijelaskan dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (2008). Tak ada pilihan, anda harus membacanya sendiri  dalam buku itu.

Tetapi saya akan cuba  membantu anda memahaminya. Anda tidak perlu bersetuju dengan saya, anda hanya perlu memahaminya, tetapi ini memerlukan sedikit kesabaran dan perasaan “cool” (menurut slanga Internet yang popular).  Kita gunakan analogi yang mudah. Untuk karya persuratan itu kita lambangkan dengan laut; untuk karya sastera kita lambangkan dengan sungai; untuk karya picisan/popular/erotik kita lambangkan dengan air bendang (atau air kolam). Dulu air sungai dan air bendang sangat jernih. Kami budak-budak Kg. Seberang Pasir Mas yang duduk di tepi Sungai Kelantan, mandi dan bermain di sungai yang airnya amat jernih itu. Sebagai budak kampung yang miskin, kami gunakan ranting yang kami cocok di sungai untuk menjemur kain baju kami yang dibasuh. Sambil menunggu kering, kami bermain “tur” sambil menyelam dan berenang. Kerana air itu bersih dan jernih, kami celikkan mata kami melihat ikan sungai yang jinak berenang mudik. Air bendang pun sama, bersih dan jernih. Banyak ikan puyu, sepat, haruan dan keli. Kami dapat melihat ikan-ikan itu berenang-renang di bendang. Kami dapat mendengar ikan haruan dan puyu melompat, meninggalkan kocak air. Sungguh seronok. Masa itu belum ada orang jahat mengeruhkan sungai membuang sisa toksid atau sampah sarap atau kotoran lain, atau membuang racun di bendang. Masa itu orang tidak ghairah melakukan perbuatan fasad. Kini, atas nama pembangunan, mereka keruhkan sungai kami; racun bendang kami; susahkan hidup kami dalam pembangunan itu.  Mereka begitu megah dan berleluasa melakukan perbuatan fasad atas nama pembangunan. Orang yang terlibat menjadi kaya raya kerana perbuatan fasad mereka. Masa budak-budak dulu kami suka mendengar orang baca kitab di surau atau masjid; atau mendengar orang bersyair dan berpantun. Tidak ada yang tidak senonoh dalam hikayat yang dibacakan kepada kami, atau dalam syair dan pantun yang diperdengarkan kepada kami. Sekarang tidak ada lagi orang membaca kitab, tetapi kerap sekali diadakan majlis menjeritkan sajak di pentas untuk disorak-sorak. Sekarang orang sangat bangga menggunakan bahasa yang kesat, mencarut, menyumpah seranah dan sebagainya sebagai ekspresi sastera yang bermutu dalam karya-karya mereka, para sasterawan ini.  Itulah keindahan bahasa, kata mereka.  Mereka diberi hadiah kerana itu; diberi kedudukan dan gelaran. Bacalah dengan baik dan hati-hati laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang menilai karya para sasterawan negara, baca dengan kritis, nescaya anda akan dapat melihat logik yang disembunyikan di sebalik mitos yang dibina. Demikianlah, seperti sungai dan bendang kami dicemari dengan racun dan sisa toksid, maka begitulah juga “sastera” kami dicemari atas nama realisme. Itulah penjelasan yang paling ringkas. Penjelasan yang terperinci terdapat dalam buku-buku rujukan yang senang didapat. Cari dan baca sumber itu. Untuk memahaminya, anda perlu membaca dengan mendalam sumber yang sesuai, memikirkannya, membahaskannya, mengkritiknya dengan jujur. Anda perlu tidak kurang dari tiga bulan untuk melakukannya dengan berkesan. Setelah itu, setelah anda benar-benar berusaha memahaminya, maka pada ketika itulah anda akan melihat dimensi lain melalui kaca mata gagasan Persuratan Baru. Jika anda tidak sabar, dan tidak bersedia untuk membuat kajian dan pembacaan yang kritis, anda tidak akan faham dan anda akan terus menilai perkara yang anda tidak faham itu berasaskan maklumat yang terlalu sedikit atau hampir tidak ada. Untuk lebih mudah, saya cadangkan anda baca tesis MA Puan R. Sharatha a/p Ramasamy (Universiti Malaya, 2007) yang membicarakan Pujangga Melayu.  Tidak mengapa jika anda tidak mahu membaca novel yang tebal itu; cukup hanya mengetahui buku itu dengan membaca tesis itu. Mungkin kefahaman anda tidak menyeluruh; tetapi sekurang-kurangnya anda dapat melihat bagaimana analisis berasaskan PB dilakukan. Di bawah saya senaraikan beberapa bahan bacaan yang boleh membantu anda.

Mengenai analogi yang dikemukakan di atas, anda tidak perlu bersetuju dengan analogi itu. Anda juga tidak perlu bersetuju dengan pembahagian kepada tiga kategori itu. Tujuan analogi itu ialah untuk membantu anda melihat dimensi setiap kategori. Sebaik saja anda dapat memahami konsep yang menjadi dasar pembahagian kepada tiga kategori itu, anda boleh membahaskannya dengan lebih wajar kerana kini anda  sudah boleh melihat dimensi setiap kategori itu. Dengan membaca rujukan yang saya senaraikan di bawah, anda mungkin dapat memahami PB dengan lebih baik dan mungkin juga bersedia untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengannya. Sama ada anda bersetujnu atau tidak bersetuju, pendekatan yang ditawarkan oleh PB adalah yang terbaik pada waktu ini, sudah dibuktikan dalam beberapa analisis dan penilaian karya kreatif. Anda boleh membacanya dalam senarai rujukan yang diberi.  Jika anda membaca sesebuah karya seperti novel dengan menggunakan pendekatan PB,  anda akan cepat melihat kekuatan novel itu, atau sebaliknya. Anda dapat menghuraikannya dengan meyakinkan, malah lebih menyeronokkan kerana anda kini dapat melihat bagaimana novel berkenaan dibina dengan mantap, menyerlahkan ketajaman pemikiran penulisnya dan kekuatan daya kreatifnya menggunakan wacana dan cerita untuk membina stylization of ideas bagi menghasilkan sebuah karya yang “indah dan bermakna” dalam konteks taklif yang tidak dapat dielak oleh mana-mana manusia sekali pun kerana semua manusia terikat kepada taklif. Penjelasan ini tidak sukar difahami, jika setiap tahap penghujahan diteliti satu persatu dengan menggunakan konsep-konsep yang dipakai dalam PB. Penjelasan tentang perkara ini telah diberikan dengan mencukupi untuk difahami dalam rujukan yang diberi. Bacalah di sana. Maaf kerana tidak ada jalan pintas. Kerana itulah anda memerlukan tiga bulan membuat persediaan.

Dalam senarai bacaan yang diberikan, dimasukkan juga sebuah buku terkenal karangan Imam Ghazali mengenai kaedah ilmu yang beliau pakai. Buku itu sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu; versi Inggeris juga sudah ada.  Anda mesti baca buku Imam Ghazali ini, jika tidak masa tiga bulan yang diberikan kepada anda akan dirasa terlalu lama. Tetapi sebaik saja anda mengetahui kaedah ilmu yang dipakai oleh Imam Ghazali, anda akan menambah masa itu secara sendiri, tetapi tidak mengurangkannya. Baca dan teliti al-Munqidh Min al-Dhalal, versi Melayunya Penyelamat Dari Kesesatan (terjemahan oleh Dr.  Abdulfatah Haron Ibrahim, DBP 1983/1985); versi Indonesia, Pembebas Dari Kesesatan (terjemahan Abdullah bin Nuh, Tintamas, Jakarta (1960); versi Inggeris oleh W. Montgomery Watt, Deliverance from Error  (dimuat dalam bukunya, berupa terjemahan dua buah karya Imam Ghazali, The Faith and Practice of al-Ghazali (George Allen & Unwin, London, 1953).  Baca buku ini, nescaya anda akan mengerti mengapa gagasan Persuratan Baru diperlukan.  Anda juga akan mengerti mengapa pembahagian kepada tiga kategori karya itu diperlukan; dan setelah anda memahaminya, anda akan mendapati mudah saja anda meletakkan sesebuah karya yang anda baca dalam kategori mana. Dengan itu anda akan dapat memahami karya itu dengan lebih cepat dan dapat menghargainya dalam konteks yang betul. Semua ini memerlukan kesabaran untuk memahaminya. Kerana itulah saya anjurkan anda membaca beberapa kali, paling kurang tiga kali, sebaik-baiknya lima kali, buku Imam Ghazali itu. Tidak tebal, dan tidak sukar untuk difahami. Tetapi amat besar faedahnya, termasuk untuk membantu anda menulis komentar yang lebih bermutu dan lebih jernih, tidak dicemari dari segi bahasa dan emosi yang dilontarkan. Anda akan menjadi lebih “cool” dan lebih seronok menulis komentar anda yang berguna untuk diri anda dan pembaca anda.  Ada di antara penulis komentar berkata, dia tidak tahu apa dia gagasan Persuratan Baru. Tapi dia beri komentar, dan mengkritik dengan pedas pula. Kata Imam Ghazali dalam bukunya itu: “If a thing is not comprehended how can it be either refuted or accepted?” [versi Inggeris, hal. 32. Versi Melayu berbunyi: “Benda yang tak boleh difaham bagaimana boleh ditolak atau diterima?” (hal. 26, terjemahan Abdul Fatah)].

Ada di antara penulis komentar berkata, mereka perlukan “pencerahan”. Bagaimana akan mendapat “pencerahan” (satu istilah Barat yang sekular daripada konsep sekular yang diketahui umum asalnya, yang berasal dari gerakan penolakan agama di Eropah) jika anda mencari sumber yang salah dan menggunakan istilah yang tidak sesuai, yang juga salah dalam konteks pemikiran Islam.  Istilah “pencerahan” itu memang tidak sesuai digunakan dalam konteks yang anda pakai. Jika anda benar-benar faham maksud Enlightenment yang diterjemahkan sebagai “pencerahan” itu, anda tidak akan menggunakannya.  Apakah istilah yang sesuai dalam falsafah Islam?  Saya fikir tidak ada, kerana ini bukan masalah orang Islam. Adakah tidak orang Islam berusaha menyisihkan agamanya secara sedar untuk mencapai kemajuan seperti yang dilakukan di Eropah?  Konsep Enlightenment itu sendiri dikritik hebat di Barat; jadi apa jenis  “pencerahan” yang anda cari?  Jika anda kembali kepada gagasan Persuatan Baru, anda akan mendapat jawapannya.  Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan,  3/1/2012.

Rujukan terpilih

Zulkarnain Mohamed, “Pendekatan Ta’amul-Taklif dalam Kajian Sastera”.  SARI  29(1): 137-152.

Rahmah Ahmad H. Osman, Mohd. Shahrizal Nasir, “Sastera Islam: Satu Perbandingan Antara Pandangan Mohd. Affandi Hassan Dengan Abu al-Hasan Ali al-Nadwi”.  Jurnal e-Utama, Vol.3(2011). [Jurnal Elektronik Jabatan Bahasa & Kebudayaan Melayu].

Adli Hj. Yaacob, “Satu Analisis Ringkas Konsep dan Teori Sastera Islam di Malaysia”.  ISLAMIYYAT 29(2007): 3-29.

Ungku Maimunah Mohd. Tahir, “Pemertabatan ‘Realiti’ dan ‘Realisme’ ke Status Konvensi Sastera Dalam Kesusasteraan Melayu.”  Kertas kerja dibentangkan di Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu XI (SAKM XI), 7-8 Disember 2011, UKM.

Ungku Maimunah Mohd. Tahir, “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara”.  Kertas kerja, dibentangkan di Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia XII (SAKIM XII), UKM, 29-30 November, 2011.

Ungku Maimunah Mohd. Tahir, “Wanita Sebagai Objek Seks: Persepsi dan Pengungkapannya Dalam Novel Bila Hujan Malam oleh Azizi Haji Abdullah.” Kertas kerja, dibentangkan di Seminar SEBUMI 3 2010, UKM 12-13 Oktober 2010.

Mohd. Zariat Abdul Rani, “Materialisme, Islam dan Nilai Kesasteraan: Satu Penelitian Terhadap Novel-novel Popular Islami Terbitan PTS Sdn. Bhd. Berdasarkan Persuratan Baru”.  Kertas kerja, dibentangkan di Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) Ke-3, anjuran PENA. Kuala Lumpur, 16-18 Disember, 2011.

Muhammad Zarif Hassan, “Kepengarangan Muda: Mencari Sinar Tradisi”.  Kertas kerja, dibentangkan di Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) ke-3, anjuran PENA. Kuala Lumpur, 16-18 Disember, 2011.

Mohd. Affandi Hassan,  Ungku Maimunah Mohd. Tahir, dan Mohd. Zariat Abdul Rani. Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (UKM 2008).

Ungku Maimunah Mohd. Tahir ed.  Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori & Praktis (UKM 2010). Lihat terutama sekali makalah Ungku Maimunah, Rahmah Ahmad Osman tentang sejarah konsep adab, Zulkarnain Mohamed, Mohd. Zariat Abdul Rani tentang analisis novel Abdul Kadir Adabi, Melati Kota Bharu, dan Mohd. Shahrizal Nasir.

Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (siri Kuliah MASTERA 2008). Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009.

Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita Dengan Ilmu (syarahan perdana, UKM 2007). UKM, 2007.

Mohd. Affandi Hassan, Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (DBP, 1992/2005).