Wednesday, December 28, 2011

Dialog Akhir Tahun, 2011.

Pendahuluan:

Keterlibatan saya dalam perbincangan mengenai Teknik Surah Yusuf menimbulkan kemusykilan seorang sahabat lama yang tidak puas hati melihat saya “turun ke bawah begitu rendah tak fasal-fasal, nak cari apa”. Dia tidak setuju saya “terjerumus” (istilah dia) dalam “perbahasan picisan” (istilah dia lagi) dengan kumpulan yang tidak setaraf. Saya membantah kesimpulan yang tidak tepat dan bukan-bukan itu. Tidak timbul soal taraf di sini. Jangan pisahkan diri kita dengan soal taraf ini, nasihat saya. Maka inilah perbualan kami. Saya fikir baik juga disiarkan di sini. Saya sudah diberi amaran/diminta tidak menyebut namannya supaya tidak terjadi “skandal”. Bila saya tanya apa maksud “skandal”, dia tegas membantah: “Tak payah tanya. Semua mahu tanya. Belajarlah terima saja permintaan orang, jangan banyak soal jawab.” “Skandal?”  Skandal apa? Nanti saya akan tanya lain kali, itu pun kalau dia mahu jawab.

“Ramai kawan-kawan anggap saudara merendahkan darjat saudara dengan terlibat dalam perbahasan picisan itu,” katanya tegas.

“Itukah maksud skandal itu?”, kata saya.

“Saudara dianggap telah memberi kedudukan tinggi kepada PTS dan Teknik Surah Yusufnya ...”

Saya terkejut juga.

“Apa salahnya?” cabar saya.

“Saudara telah merendahkan darjat saudara sebagai seorang pemikir yang dihormati.”

Saya tertawa. “Dari dulu pun orang yang tidak hormat saya tidak hormat. Orang yang hormat saya saya kira tetap hormat. Mengapa pula mereka tidak hormat jika saya membuat keputusan saya sendiri?  Perkara ini tidak patut dijadikan isu. Palsu. Buat saya jadi mual tak fasal-fasal.”

Saya teringat kata-kata Hamzah Fansuri (dari ingatan, tidak tepat): “Cahaya matahari itu jika jatuh di atas tahi tidak kotor, jatuh ke atas laut tidak lemas, jatuh ke atas ...” Tak ingat lagi. Bila saya sebut itu, dia buat tidak tahu saja.

“Sebenarnya apa yang saudara ingin capai?” dia tanya lagi.

“Saya nak tahu mengapa ramai ustaz muda tertarik kepada Teknik Surah Yusuf. Saya baca buku itu, bukan sebuah buku yang bagus. Menyekat kreativiti penulis. Saya sendiri pernah dituduh  begitu dalam gagasan Persuratan Baru. Kata mereka, anda mahu hanya satu jenis karya, karya persuratan. Kalau orang tak boleh tulis, tak boleh capai standard anda, bagaimana? Tak perlu jadi sasterawan, tak boleh jadi penulis? Saya kata pandangan itu silap. Saya bahagikan tiga kategori karya, yang tertinggi karya persuratn kerana berasaskan ilmu yang benar dan mengutamakan wacana. Dia menulis karya yang difikir dengan matang, dia mendorong orang berfikir dan membuat pilihan. Mengajar mereka berfikir dengan kritis. Kebebasannya tidak terusik, itu sebab saya perkenalkan konsep stylization of ideas. Pengaranglah yang akan memberi definisinya dalam tulisannya. Saya tak boleh campur. Tak boleh beri petua atau syarat tertentu. Dia mesti belajar sendiri, itulah tugas pengarang yang berfikir dan berbakat pula. Tetapi hal ini tidak ada dalam Teknik Surah Yusuf. Semua mesti ikut petua Ainon Mohd. Itu sebab saya hairan mengapa ustaz muda-muda ini ikut saja. Padahal mereka ada ilmu. Tapi betulkah mereka ada ilmu? Mungkin ada sedikit maklumat yang dihafal. Saya masuk ke dalam perbincangan ini untuk mengajak ustaz muda ini beri penjelasan. Saya baca komentar yang banyak itu, tak ada yang berupa penjelasan yang sedikit akademik sifatnya. Jadi itulah yang saya hairan. Mengapa mereka ikut perintah? Pengarang tidak ikut perintah siapa-siapa, dia hanya ikut perintah agamanya kalau dia orang Islam. Semua ustaz PTS itu Islam. Mengapa jadi pak turut? Tak ada fikirankah, tak ada ilmukah? Boleh tangkap maksud saya?”

Kawan saya hanya mendengar, membiarkan saya bercakap.

“Apa saudara fikir?”

“Mungkin mereka nak belajar dulu dari Ainon Mohd. Atau mereka perlu pekerjaan. Perlu tempat bergantung untuk terbitkan karya mereka. Macam-macam boleh jadi. Mereka bukan macam saudara yang sudah ada kedudukan dan mewah pula...” Dia tertawa kecil. “Mereka bukan macam Yusuf Zaki, pulang dari Mesir 1957 terbitkan Dian, tubuh syarikat sendiri, sebarkan ilmu. Itu kerja pendakwah tulen. Kita ada seorang Yusuf Zaki saja di Malaysia. Mereka patut tubuhkan syarikat sendiri. Saya fikir itu lebih baik.”

“Saya tak setuju, tak perlu tinggalkan tempat cari makan. Yang penting membaiki mana yang boleh dibaiki. Mesti terbuka  untuk menerima pandangan orang, walaupun mungkin agak kritis dan tak disukai.”

“Saya tidak maksudkan mereka bertindak sekarang. Mereka perlu merancang untuk kebaikan mereka ...”

“Saudara menghasut,” saya mencelah sambil tertawa. “Biarkan mereka, tak perlu pindah kerja atau tubuh syarikat.”

Teman saya tidak menjawab.

“Tapi kita masih perlukan penjelasan mereka. Saya tunggu penjelasan mereka. Saya mahu mereka cakap betul-betul apa istimewanya Teknik Surah Yusuf itu. Saya kira itu cara yang pintar bagaimana nak cari wang dengan mudah, menggunakan pengetahuan ustaz muda ini untuk memajukan perniagaan. Membenarkan yang kita rasa keliru dan mengelirukan.  Bolehkah kita kata, menjual ayat-ayat Allah dengan harga murah? Itu yang saya harap sangat mereka jelaskan. Saya mahu dengar hujah mereka. Tidak patut ustaz membiarkan kekeliruan ini berterusan. Mereka mesti tampil berhujah ...”


“Saudara akan dituduh membuat fitnah ...”

“Kalau semua permintaan untuk mendapat penjelasan itu dikira fitnah, susahlah nak berkira bicara. Mesti ada penjelasan. Saya tidak lihat Teknik Surah Yusuf mengutamakan dakwah seperti didakwa. Teknik itu teknik perniagaan, bukan teknik dakwah. Tulis novel begini begini, kita terbitkan. Jadikan cinta itu dorongan, cinta tak sampai kerana Nabi Yusuf ‘a.s. pun tak sampai cintanya dengan Zulaikha. Cinta tak sampai itulah contoh novel Islami. Novel Hamka pun begitu. Cinta tak sampai. Menderita. Muda mudi yang baca akan termenung panjang, rasa tak puas, tergantung. Baca lagi yang lain. Sama juga. Apa jenis karya sastera ini? Tidakkah itu picisan? Tidakkah itu bahaya, apabila yang picisan itu dikaitkan dengan Quran. Bukankah Surah Yusuf itu daripada Quran? Banyak yang jadi tanda tanya. Para ustaz yang jadi editor dan sasterawan Islami ini perlu jawab dengan jelas. Jangan biarkan masyarakat berada dalam kekeliruan. Salahkah kita minta penjelasan? Itu sebab saya turun ke padang, mahu berbahas dengan mereka. Hajat tak sampai. Akibat cinta tak sampai jugakah?”

Teman saya tertawa, saya pun ikut tertawa. Akhirnya perbincangan kami terhenti di situ saja. Menunggu penjelasan, kata saya.

Lepas minum, kawan saya itu bertanya lagi.

“Boleh kita sambung? Saya nak tanya dua tiga perkara lagi. Terlanjur sudah bercakap ini. Tapi yang lain-lain itu kita bincang kemudian. Yang satu ini saya mesti dapat penjelasan saudara sekarang juga. Dulu saudara sudah cakap, tapi tak puas hati. Kali ini saya mahu penjelasan yang betul-betul. Saya mahu saudara jelaskan mengapa saudara tolak sasterawan negara, tak terima penilaian Panel Anugerah Sastera Negara. Mengapa sampai begitu sekali? Saudara bencikan mereka atau dengki ... Minta maaf, biadab sikit. Tapi saya mahu penjelasan kerana perbuatan saudara ini sangat pelik dan tak masuk akal. Terlalu pelik ...”

“Apa yang peliknya? Itu kan keputusan saya?  Pendapat saya. Sedikit pembetulan. Saya tidak menolak sesiapa juga dilantik jadi sasterawan negara. Itu bukan masalah saya. Yang saya tolak cara penilaian itu dibuat. Saya fikir tak tepat. Keliru. Bertentangan dengan kenyataan. Saya dah tulis panjang tentang perkara ini. Tak wajar saudara tanya macam-macam. Nampaknya saudara tak baca. Betul tak baca?”

“Baca. Baca banyak kali. Tapi tak puas hati. Terkilan sangat. Mengapa memusuhi mereka sampai begitu? Itu yang saya mahu tahu ...”

“Itulah kesilapan saudara, yang membuat saudara tidak faham kerana sikap saudara sendiri menjadi penghalang untuk memahami pendirian saya. Pertama sekali, saya mesti betulkan, saya tidak memusuhi sesiapa pun. Panel Anugerah Sastera Negara telah memberi pendapat mereka, dalam laporan mereka. Saya pula memberi pendapat saya. Saya pun ada hujah. Mereka pun ada hujah. Timbanglah mana satu di antara dua hujah ini yang lebih masuk akal dan lebih tepat. Mengapa tidak buat begitu? Mengapa hanya menuduh seperti saudara. Saya tidak salahkan saudara, kerana saudara tidak mempunyai persediaan ilmiah untuk membahaskannya. Tetapi saudara ada akal fikiran, boleh timbang sendiri. Apa yang peliknya? Yang pelik itu sikap negatif saudara. Saudara mahu saya jadi pak turut. Panel kata begitu, saya mesti setuju. Profesor kita begitu, saya mesti turut. Sasterawan kata begitu, saya mesti turut setuju. Jadi mana fikiran saya sendiri? Saya pun ada cara saya untuk membuat pertimbangan sendiri. Saya berikan hujah saya. Saya buktikan dari pembacaan terhadap teks yang saya baca dan nilai. Saya beri kesempatan kepada pembaca saya untuk membahaskan dengan lebih mendalam. Salah?  Tapi mereka tidak kemukakan hujah mereka pula. Mereka hanya mahu saya setuju dengan mereka dan dengan pandangan Panel Anugerah Sastera Negara. Mana boleh? Saya pun ada cara saya sendiri. Saya kemukakan pandangan saya untuk ditolak atau diterima. Adil bukan? Apa pula dikaitkan dengan hasad dengki ini? Tidakkah itu hanya menyerlahkan kejahatan orang yang menuduh? Dia ingat dia baik, dia tuduh orang tidak baik. Saya tidak setuju, saya beri sebab-sebabnya. Saya kemukakan hujah saya. Tak boleh? Jangan tuduh saya macam-macam kalau saudara tidak faham. Tak bagus. Itulah yang dimaksudkan merendahkan darjat itu.”

“Saya minta maaf. Saudara begitu bersemangat dan marah-marah ...”

“Saudara silap lagi. Mana pula saya marah-marah. Saya hanya memberikan penjelasan. Saudara terlalu cepat membuat keputusan, tanpa pertimbangan yang saksama. Saya jelaskan. Kalau saya marah saya sudah maki saudara, tak sukakan soalan saudara. Yang penting, saya bentangkan penghujahan saya. Saya bukan cakap main-main.  Kalau Panel Anugerah Sastera Negara ada teori mereka sendiri, apa salahnya saya contest teori itu dengan mengemukakan alternatif saya sendiri.  Sekarang orang boleh lihat pihak mana yang lebih tepat, objektif dan jitu penghujahannya. Buat begitu pun tak boleh? Mengapa hak istimewa itu diberikan kepada Panel Anugerah Sastera Negara saja? Saya pun ada hak istimewa juga, dimaktub dalam Perlembagaan negara. Saya orang Melayu, ada hak istimewa itu, lagi pula Perlembagaan memihak kepada saya. (Saya tertawa.)  Sebenarnya saya tidak ada hak istimewa, saya hanya ada hujah yang lebih baik. Panel Anugerah Sastera Negara pula diberi hak istimewa, tetapi tidak ada hujah yang baik. Mereka salin hujah mereka daripada teori Barat. Tanpa teori Barat mereka bisu. Adakah kerana itu mereka tidak puas hati? Saya tak dengar pula mereka membantah, saya kira mereka pun sedar diri. Orang lain suku sakat yang campur tak tentu arah, saja-saja nak cari fasal.  Jadi cerita ini kita habiskan di sini saja, tak perlu ungkit lagi. Yang patut dilakukan ialah kemukakan hujah. Itu sebab saya minta DBP beri gran kepada sesiapa yang mahu buat tesis Ph.D. tentang peranan dan sumbangan Panel Anugerah Sastera Negara ini dalam kritikan sastera Melayu. DBP sudah lama jawab, mereka akan timbang. Mereka belum setuju lagi. Tapi akan timbang. Saya kira belum ada calon yang mahu atau yang layak. Saya harap mereka muncul juga. Kita tak boleh harap para sarjana kita, para profesor sastera. Mereka sudah tulis buku sejarah kritikan sastera Melayu, diterbitkan oleh DBP sendiri. Tapi mereka tak sebut fasal sumbangan Panel Anugerah Sastera Negara. Malu betul. Koman sangat. Tak akademik langsung.”

Setelah diam seketika, saya bertanya.

“Dua soalan itu apa dia? Bagi tahu saya.”

“Ohh, tak perlu. Semua sudah terjawab.”

“Aih, pelik betul. Adakah ini dolak dalik atau saja nak main-main?”

Dia tertawa.  “Saudara fikir Ainon Mohd akan terima tiga cadangan saudara itu?”

“Ini pun satu hal. Mengapa tanya saya? Yang akan buat keputusan Ainon Mohd. Bukan saya. Tanya dia. Tanya Ainon Mohd.”

“Kalau dia tolak macam mana?”.

“Itu keputusan dia. Kalau dia tolak, dia tidak bijaksana. Itu saja. Dengan sendirinya tertanggal  dakwaan berdakwah itu. Nampak?”

“Wahhh, sekarang baru saya faham ...” Dia tertawa agak kuat.

Sebelum berpisah, teman itu bertanya.

“Apa projek saudara tahun depan?”

“Berehat. Berehat setahun dua. Selama setahun setengah saya menulis di blog, saya telah tulis perkara-perkara yang saya rasa perlu ditulis. Cukup dahulu. Sekarang berehat. Mungkin saya akan kumpulkan semua tulisan tentang kritikan saya terhadap Panel Anugerah Sastera Negara, untuk dijadikan buku, sekurang-kurangnya dijadikan dokumen untuk mudah dijadikan rujukan. Saya mahu bantu bakal penulis tesis Ph.D. tentang penilaian Panel Anugerah Sastera Negara. Saya melihat Panel ini satu halangan kepada kemajuan dalam kritikan sastera, kerana kedudukannya yang begitu mencengkam perkembangan pemikiran baru berteraskan ilmu dalam kritikan sastera Melayu. Hegemoni Panel membekukan pemikiran baru kerana terlalu bergantung pada kaedah dan teori sastera Barat. Pandangan ini belum boleh difahami oleh para sarjana, sasterawan dan lain-lain kerana mereka sendiri bergantung sepenuhnya kepada teori Barat itu. Kerana terdapatnya halangan ini, maka berleluasalah pandirisme dalam analisis dan penilaian karya sastera. Pandirisme inilah yang menjadi aliran perdana. Betapa kukuhnya pengaruh pandirisme ini dapat dilihat daripada tentangan yang begitu hebat di kalangan sarjana apabila novel Salam Maria dinilai berdasarkan gagasan Persuratan Baru. Mereka tidak boleh terima sesuatu yang telah dibiasakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Inilah yang saya namakan puaka realisme dalam sastera Melayu. Inilah yang telah melahirkan tiga beban besar dalam sastera Melayu. Satu kajian mendalam diperlukan, sebelum kerosakan yang kita hadapi menjadi lebih parah. Sejauh mana laporan Panel memajukan pemikiran kita tentang kesusasteraan dan kritikan sastera? Sejauh mana pula kritikan saya telah dapat membina alternatif yang lebih canggih dari segi pemikiran dan kemajuan akan datang yang akan kita usahakan? Semuanya perlu dikaji dan dinilai sehabis kritis. Saya harap Malaysia tidak miskin sangat sehingga tidak dapat melahirkan seorang pengkaji yang kritis dan tajam pemikirannya. Saya tunggu tokoh penting itu. Selama setahun dua saya berehat itu, saya harap orang itu akan muncul. Insha Allah.”

“Jadi ada usaha nak jadikan tulisan di blog itu dalam bentuk buku?  Saya tunggu. Tapi siapa yang akan terbitkan?”

“Mungkin PTS. Apa salahnya jika mereka mahu.”

Teman saya tertawa.

“Saudara masih terus mahu berjenaka atau bermimpi. Optimisme saudara ini pun satu jenis pandirisme juga. (Dia tertawa kuat.) Saudara fikir mereka pelahap sangat nak terbitkan manuskrip saudara?”

“Apa salahnya? Mereka penerbit, mereka berhak memilih. Saya penulis, saya berhak menyerahkan manuskrip kepada sesiapa pun yang saya percaya. Apa yang jenakanya?”

“Kalau begitu baguslah saudara berehat setahun dua ini. Saudara perlu berehat. Assalamu ‘alaykum.”


Mohd. Affandi Hassan,
28/12/2011

36 comments:

  1. Terima kasih Tuan Affandi! Satu tesis phD boleh dilunasi dengan idea tersebut. Bagus ideanya.

    ReplyDelete
  2. Salam Tuan,

    Saya peminat tegar tulisan-tulisan tuan khususnya berkaitan Persuratan Baru. Saya kira kita memerlukan pandangan seperti tuan bagi mengimbangi (check and balance) fenomena 'syok sendiri' di dalam sastera Malaysia. Contoh yang jelas ialah apabila karya SN yang diangkat sebagai teks Komsas, kini terpaksa pula digantikan dengan naskhah yang lain kerana institusi yang mengangkat karya tersebut seperti gagal mempertahankan hujah mereka sendiri. Ironinya kesemuanya adalah dari sebuah Kementerian yang sama (sekadar contoh).

    Pandangan bahawa tuan merendahkan martabat dengan keterlibatan dalam 'perbahasan picisan' adalah kurang tepat. Seseorang tidak akan menjadi besar dengan memperkatakan hal-hal yang besar, begitu juga kesarjanaan seseorang tidak akan menjadi begitu picis jika membicarakan hal-hal yang kecil.

    Semoga tuan akan terus segar dengan pandangan tuan bagi menyuburkan sastera Malaysia dan meraikan kepelbagaian pandangan dalam sastera kita. InsyaAllah.

    ReplyDelete
  3. Besar harapan gagasan dibentang menjadi kenyataan berlandaskan persuratan baru.
    Alhamdulillah dan Insyaallah.Kami bersama doakan gagasan ini menduduki tempat yang selayaknya.
    “Bermula cita-cita murni penulis ,menulis mencabar,mengisi minda masyarakatnya dengan ilmu berteraskan keyakinan yang teguh.Wahyu Tuhan mengajarkan segala rahsia alam dunia dan alam akhirat.Penulis itu mendapat ilham, lantas merekalah sebagai agen menyampaikan dengan penuh perhatian,keinsafan dan berhikmah.Idea besar penurunan wahyu itu,membebaskan umat manusia daripada kesesatan, kegelapan dunia jahiliyah yang merentangi jalan,di hadapan mata sepanjang laluan.Memimpin ke alam yang terang benderang dengan ‘Hidayah Rahmat Tuhan.’
    Kebenaran yang hakiki itu adalah puncak pencarian dan tujuan.Walaupun manusia berusaha menolak, tidak pedulikan sekalipun.Akhirnya kebenaran itu terus mara meraih kehormatan dan pengiktirafan,mengatasi musuhnya.Kebatilan akan menemui saat kehancuran, terbuang,hanyut ditelan arus deras zaman.”
    Kebenaran adalah kekuatan, kekal bertapak di mukabumi selamanya dengan izinNya jua.
    Tuhan menjanjikan,Dia tidak pernah memungkiri janji.
    Sekian ucapan tahniah dan salam.

    ReplyDelete
  4. Lebih mudah wacana sastera persuratan baru dan teknik surah yusuf ditemukan dalam satu acara rasmi. Isu kritikan agak agak ini sangat mendukacitakan.

    ReplyDelete
  5. Tak perlu rasmi-rasmian. Ini bukan konflik antara HAMAS dengan PLO. Cukup jika cadangan saya dipertimbangkan. Apa juga keputusan selepas pertimbngan dibuat adalah baik.

    ReplyDelete
  6. Kaedah ini banyak menimbulkan perseteruan. Mengkritik dengan menilai kertas, pertimbangan tanpa kewajaran, melingkari pemikiran dengan kesulitan berinti cadangan. Bagusnya pertimbangan tersasar disusuli dialog ilmu dua cabang ketemu, baru manfaatnya jelas dan kehendak pengkritik diperhalusi. Rasanya ada yang sudi menganjur, kalau bukan DBP, PENA atau apa-apa yang menaungi aktiviti sastera.

    ReplyDelete
  7. Tidak ada perseteruan di mana-mana. Hanya perbezaan pendapat. Tak perlu libatkan banyak orang. Apa juga keputusan selepas pertimbangan dibuat adalah baik.

    ReplyDelete
  8. penin palo kawe. guane nih

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum Tuan Affandi Hassan,saya telah membaca kesemua kritikan Tuan berkenaan Teori Surah Yusuf tulisan Puan Ainon Mohd. Tenyata tulisan Tuan tidak akademik. Dan, lebih menyedihkan lagi, langsung tidak islamik.

    Cara Tuan mengkritik TSY langsung tidak berbutir. Bukankah sebagai seorang yang ahli dalam bidang persuratan seperti Tuan mengetahui kaedah-kaedah dan metodologi mengkritik sesebuah karya?

    Kesalahan Tuan yang pertama ialah tidak menyatakan apakah kelemahan yang terdapat pada TSY secara perinci. Dan, mengapakah pada pandangan Tuan ianya lemah dan bersalahan pada hukum persuratan yang ada pada dada Tuan.

    Kesalahan Tuan yang kedua ialah tidak mencadangkan sebarang pembetulan kepada kesalahan yang Tuan dakwakan pada TSY.

    Kesalahan Tuan yang ketiga ialah tidak ada definisi yang jelas pada makna picisan.

    Sekiranya Tuan tidak menulis sebarang artikel untuk menjawab ketiga-tiga kesalahan yang saya tuduhkan ke atas Tuan, maka saya anggap Tuan bukanlah ahli akademik sastera yang benar.


    Aliff Danial

    ReplyDelete
  10. Tak payah jawab Sdr Affandi. Memadailah komen yang telah diberikan. Bagi saya Sdri Ainon percaya bahawa kaedahnya betul dan kaedah ini benar-benar diyakini oleh penulis yg mahu tulisannya diterbitkan. Sdra Affandi pun betul kerana beliau sendiri mempunyai ramai peminat/pembaca. Cuma, yang menjadi kekliruan saya ialah mengapa Sdri Ainon menamakan TSY? Yang itu saya tidak berpuas hati. Saya minta Sdri Ainon ubah ke tajuk lain lah! Dan, saya rasa komen Sdra Affandi byk betul dari tidak betulnya. Sdri Ainon sendiri tahu niat sebenarnya.

    ReplyDelete
  11. Alif Danial yang baghal tapi berlagak pandai,

    Hang ni baca ke tak entri Affandi ni betoi-betoi? Kan ke affandi dah kata:

    1) Kesalahan TSY ialah kerana dia guna nama surah yusof untuk satu buku manual yang sebenarnya ajar penulis tulis novel cinta untuk dapat untung. Kan ke kuang ajaq namanya tu...itu yang affandi kata "jual al quran dengan harga yang murah"

    2) Penyelesaiannya ialah guna PB. Kalau tulis guna PB baru boleh tulis cerita yang Islamik dalam erti kata sebenar (itu pun Affandi tak berani guna nama Surah Yusuf).

    Ada paham ka? Macamana hang nak baca paper akademik kalo baca entri blog pun susah nak paham...aku yang bukan orang akademik pun paham apa Affandi tulis..hang ni Aliff Danial kalut la..

    Mualaf Danial

    ReplyDelete
  12. Alif Danial....ni jawab aku untuk soalan ketiga.

    3) Affandi dah tulis banyak pasai makna "picisan" dalam tulisan2 akademik dia. Hang coba check buku kaler hijau dia tu...ada banyak halaman dia kupas makna picisan. Picisan pada dia ialah karya yang rendah kualiti- yang tulis benda lucah-atau tulis untuk kaut untung-bukan untuk sebarkan ilmu yang benar.

    Awang hang ni Alif Danial, kata nak tulisan akademik..hang sendiri tak pernah baca tulisan akademik Affandi...Hang ni nak menyampok tapi hang ni sebenarnya dah ketinggalan gerabak keretapi 5 tahun.

    Jangan marah Aliff Danial..nanti kena jual. Aku melawak ja..lawak tahun baru kata orang..tapi hang bikin kalut. Affandi dah selesai hang dok ketinggalan lagi. Dan tu berlagak akademik pulok. Tu yang aku geram tu. Aku bukannya buleh kalau tin kosong berlagak pandai ni...sorry noh

    Mualaf Danial

    ReplyDelete
  13. Syabas Mualaf Danial,

    Jawapan yang pedas dan bernas untuk Aliff Danial.

    ReplyDelete
  14. korang semua janganlah gaduh,

    anggap jer ini variasi hidup. jika melebihi sempadan agama sila gustan semula. bartaubat. jika takde masalah...apa masalahnya?

    haiyoyo...

    ReplyDelete
  15. Assalamualaikum. Terima kasih buat Tuan Mualaf Danial kerana menjawab soalan-soalan saya bagi pihak Tuan Affandi.

    Jawapan Tuan Mualaf kelihatannya tidak menunjukkan sebarang kualiti kecendikiawanan apatah lagi kualiti keislaman yang disarankan oleh Allah Taala di dalam surah Ibrahim, ayat 24 sehingga ayat 27. Mungkin Tuan Mualaf Danial belum pernah terbaca ayat-ayat tersebut kerana terlalu sibuk dengan Persuratan Baru.

    Apabila saya membaca komen-komen Tuan Mualaf Danial, saya sangat berdukacita kerana kualiti bahasa melayu yang digunakan terlalu rendah dan boleh dikatakan ianya terlalu ke-pasar-an. Maka persoalannya, adakah pendokong Persuratan Baru menggunakan bahasa yang sangat rendah? Bukankah saranan utama Tuan Affandi di dalam Persuratan Baru ialah penggunaan bahasa yang indah-indah? Saya tinggalkan persoalan ini untuk dijawab oleh Tuan Mualaf Danial.

    Saya secara peribadinya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Persuratan Baru apatah lagi Teori Surah Yusuf. Kalau Persuratan Baru dihasilkan oleh Bijaksanawan Tuan Affandi yang mahukan satu citarasa tempatan, yang bukan cedok-cedokan dari kerangka barat atau timur, maka Teknik Surah Yusuf juga begitu.

    Daripada komen yang banyak-banyak kelihatan di sini, nampaknya tuan-tuan hanya mempunyai masalah dengan nama judul Teknik Surah Yusuf sahaja. Tuan-tuan sendiri belum membeli dan membaca buku tersebut.

    Dari segi praktikalnya, saya kira Teknik Surah Yusuf lebih terkehadapan berbanding dengan Persuratan Baru. Maksud saya, Teknik Surah Yusuf memberikan satu aliran mudah untuk seseorang menghasilkan sesebuah karya. Dalam kata mudah, ianya bagaikan sebuah manual ringkas yang sangat mudah. Sehinggakan kerdil-kerdil dari bidang bukan-sastera juga mampu menulis dan menghasilkan sebuah karya berpandukan manual ringkas itu. Ini satu revolusi yang genius!

    Sebaliknya,Persuratan Baru tidak dipermudahkan kepada kerdil-kerdil bumi dan ianya hanya dapat difahami oleh gergasi-gergasi di kayangan. Sekiranya, Bijaksanawan Tuan Affandi mahu Persuratan Baru digunakan oleh penulis-penulis kecil seperti kami, maka hasilkanlah sebuah manual Persuratan Baru yang mudah difahami oleh penulis-penulis kecil.

    Seterusnya, persoalan tinggi atau rendah kualiti sesebuah karya bukanlah boleh sesuka hati diletakkan di atas bahu Persuratan Baru atau Teknik Surah Yusuf, tetapi terletak pada jemala penulis itu sendiri. Berapa banyakkah ia sudah menghadam karya-karya hebat, apakah jemala dan jiwanya sudah sebati dengan segala bagai kata-kata yang indah-indah, serta banyak lagi.

    Picisan adalah nisbi. Daripada mana ia dilihat, maka kepicisannya berbeza.Umpama langit yang dilihat dari bumi. Ia mungkin juga di atas dan mungkin juga di bawah. Kedua-duanya adalah benar.

    Jadi, sebagai akhir kata, saya mencabar Bijaksanawan Tuan Affandi untuk mengemukakan perbandingan antara Teknik Surah Yusuf dan Persuratan Baru secara analisis akademik yang islamik.

    Yang menunggu,
    Aliff Danial

    ReplyDelete
  16. Aliff Danial,

    Aku nak tanya hang..bila masa pulok aku cakap aku ni pendokong Persuratan Baru? Bila masa?

    Hang ni mabok ka apa? aku memang tak sekolah tinggi pasai tu aku bahasa aku macam ni. Tapi aku tak bodoh sebab tu aku boleh paham apa affandi dok cakap. Hang pulak bahasa kunun macam orang sekolah tinggi tapi benda sempoi hang tak paham..lagu apa? Ini blog untuk semua orang baca..bukan untuk orang sekolah tinggi macam hang ja. Hang jangan buat ghafla la Aliff Danial. Tapi aku rasa ada baguih jugak komen hang kali ni...mungkin Affandi buleh buat manual PB...itu memang belum buat lagi. kalau tak affandi pun mungkin orang cerdik pandai kat universiti buleh tolong buat. Hang la tolong buat Aliff Danial...hang kan pandai. Terima kasih nuh

    ReplyDelete
  17. Aliff Danial tak boleh buat la. Dia berselindung di sebalik kata-kata bahasa tinggi tu. Aku pun penin baca tulisan dia.

    ReplyDelete
  18. Mohd. Affandi Hassan hanya seorang penulis yang biasa-biasa saja. Tidak ada apa-apa keistimewaan. Beliau menulis kerana ada perkara yang perlu dikemukakan untuk perhatian pembaca yang berminat. Jika ada yang bersetuju dengan pendapat beliau, bagus. Jika ramai yang tidak bersetuju, maka itu lebih baik. Tandanya mereka mempunyai fikiran dan pandangan kritis. Mohd. Affandi Hassan ingin membina persuratan Melayu yang kritis dan segar dari segi pemikiran.

    hang pa

    ReplyDelete
  19. Kupang Tiga Lata,

    Awat hang pikiaq Aliff Danial tak bule buat? Aku yakin Aliff Danial bule. Kita bagi chance la kat dia..benefit of the doubt kata omputih (cewaahh aku pun [pandai speaking jugak, hang ingat hang je ka pandai Aliff Danial woiii). Amacam Aliff Danial..bule ka tolong buat manual PB?

    Yang merindu,
    Mualaf Danial

    ReplyDelete
  20. Assalamualaikum Saudara Aliff Danial,


    Pertamanya, ingin saya berkongsi bahawa ayat 24-27 dari Surah Ibrahim itu perlu difahami dalam konteks yang sebenar. Sila rujuk tafsir al-Qur'an, bukan terjemahan semata-mata. Yang dimaksudkan dengan "Kalimah Tayyibah" itu adalah Kalimah Tauhid, manakala "Kalimah Khabithah" adalah Kalimah yang sesat, selain memartabat dan menjulang keesaan Allah.

    Saya dengan rendah diri menyeru semua pihak agar tidak menggunakan ayat al-Qur'an mengikut selera sendiri. Tauhid menjadi asas kepada semua perkara, termasuk dalam sastera dan kritikannya. Jadi, bagi apa juga perkara yang tidak mengutamakan tauhid, malah tidak pula menyentuhnya, maka ia perlu diperbetulkan, meskipun disolek dengan solekan luaran yang memanfaatkan kalimah Arab.

    Saya petik tulisan Saudara: "Daripada komen yang banyak-banyak kelihatan di sini, nampaknya tuan-tuan hanya mempunyai masalah dengan nama judul Teknik Surah Yusuf sahaja. Tuan-tuan sendiri belum membeli dan membaca buku tersebut."

    Maaf sekiranya saya mengatakan bahawa Saudara tidak membaca dengan teliti perbincangan di blog ini tentang TSY. Kesan daripada penggunaan nama ini, bukan hanya sekadar luaran, tetapi kesannya besar pada pegangan akidah. Ini kerana ia melibatkan al-Qur'an, isi al-Qur'an, dan kebenaran al-Qur'an. Hatta pemahaman tentang QISSAH AL-QUR'AN juga telah disalah tafsir oleh pihak terbabit, yang menyamakan/menterjemahkannya sebagai cerita.

    Sudilah kiranya Saudara baca tulisan saya di blog saya tentang hal ini, atau pergi ke "Older Post" blog Tn. Hj. Affandi ini.

    Saudara, dengan begitu mudah Saudara menyatakan bahawa apa yang penting ialah seseorang itu dapat menghasilkan sesebuah karya dengan mudah. Persoalan saya, adakah yang kita mahu sekarang ini hanya lambakan karya sastera? Walhal isinya tidak menepati Islam? Asalkan seseorang itu boleh menulis, menghasilkan karya, karyanya laris...apakah sekadar itu yang kita mahu? Lebih jauh lagi, adakah itu yang menjadi gesaan Allah? Bukankah apa juga perkara, akhirnya ia wajib menuju kepada pengabdian kepada Allah. Mana mungkin semua tulisan, yang dibuat dengan mudah, apatah lagi jika ianya tanpa asas tauhid...akan dapat mendekatkan kita dengan Allah?

    Marilah kita ingat kembali firman Allah yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8).

    Jangan kita melontarkan pendapat, tanpa berfikir panjang, tanpa berbalik kepada asas agama. Tanpa fikir akibat/hasil daripada pendapat kita. Semua pendapat kita ada nilaiannya di sisi Allah. Bertakwalah kepada Allah!

    ReplyDelete
  21. SAMBUNGAN...


    Tentang tanggapan bahawa gagasan Persuratan baru ini hanya dapat difahami oleh gergasi-gergasi di kayangan. Saya juga telah kongsi pendapat saya tentang hal ini. Mengapa tidak ada penulis (kecil atau besar) yang cuba menyahut saranan Tn. Hj. Affandi. Mengapa semua menganggap PB sebagai terlalu tinggi dan tidak boleh difahami oleh orang biasa, tidak dapat difahami oleh penulis muda/kecil? Bukankah sesuatu penanda aras itu perlu tinggi sifatnya. Kalau penanda aras dah rendah/mudah, bagaimana dengan hasil akhirnya nanti.

    Lihat saja betapa tingginya penanda aras akhlak manusia iaitu keperibadian Rasulullah SAW. Mana mungkin ada dalam kalangan kita yang dapat sampai ke tahap Baginda. Namun itulah penanda aras yang perlu kita contohi. Apa yang penting, usaha ke arah itu. Sama ada tercapai atau sebaliknya, itu soal kedua.

    Saya secara peribadi, risau juga kalau ada yang berkata, kita tak perlu contohi akhlak Rasulullah, kerana ianya tinggi, hanya boleh difahami oleh golongan wali, jadi bagi insan kecil seperti kita, ikut sahaja akhlak Saudara Aliff Danial (sebagai contoh), kerana ianya mudah diikut.

    Masalah sukar nak faham itu bukanlah satu hal yang jadi halangan terbesar. Masalah yang paling berat ialah apabila kita tidak berusaha nak faham dan tidak mahu bersusah payah untuk faham.

    Saya petik kata-kta Saudara: "Seterusnya, persoalan tinggi atau rendah kualiti sesebuah karya bukanlah boleh sesuka hati diletakkan di atas bahu Persuratan Baru atau Teknik Surah Yusuf, tetapi terletak pada jemala penulis itu sendiri."

    Saudara, ini pendapat yang AMAT bahaya. Kalau lah hal ini menjadi pegangan. Habislah kita! Rendah atau tingginya kualiti sesebuah karya tidak ditentukan oleh sebarang kayu ukur? Aneh bunyinya. Sebagai seorang Muslim, pendapat Saudara ini sungguh bahaya! Mungkin Saudara boleh fikir, mengapa saya kata begitu.

    Tambah bahaya kenyataan yang ini: "Picisan adalah nisbi. Daripada mana ia dilihat, maka kepicisannya berbeza. Umpama langit yang dilihat dari bumi. Ia mungkin juga di atas dan mungkin juga di bawah. KEDUA-DUANYA ADALAH BENAR."

    Semoga Allah memberi hidayah kepada saya dan kita semua. Wassalam.

    ReplyDelete
  22. Assalamualaikum.

    Terima kasih buat Tuan Mualaf Danial, Tuan Kupang Tiga Lata, Tuan Hang Pa, dan Tuan Shahrizal.

    Saya sebenarnya tidak ada sebarang niat untuk menghina Tuan Mualaf apatah lagi hendak merendahkan martabat pendidikan Tuan. Tetapi, saya ingin mengajak Tuan Mualaf agar menggunakan bahasa Melayu yang lebih baik di dalam perbincangan ini agar perbincangan menjadi lebih sopan dan beradab.

    Berkenaan dengan manual penulisan berlandaskan Persuratan Baru itu, saya serahkan kepada Bijaksanawan Tuan Affandi untuk menyiapkannya. Adalah lebih baik beliau menulis manual yang ringkas tetapi rinci daripada beliau berehat pada tahun ini. Pada pendapat saya, itu lebih produktif.

    Kepada Tuan Shahrizal, saya telah membaca tulisan Tuan di dalam blog Tuan dan saya dapati kupasan Tuan adalah terlalu tohor. Kepustakaan Tuan hanyalah pada satu rujukan sahaja sedangkan kita mempunyai ribuan ilmuwan yang mungkin berbicara tentang perkara yang sama. Tentu Tuan boleh memperbaiki lagi tulisan tersebut dengan menambahkan lagi pandangan-pandangan lain termasuklah pandangan yang menyanggah pendapat peribadi Tuan.

    Saya sebenarnya tidak berminat untuk mengetahui selain daripada kelebihan dan kelemahan Persuratan Baru dan Teknik Surah Yusuf. Inilah perkara utama yang mesti dibincangkan di sini.

    Saya fikir Tuan Sharizal banyak membuang masa mengulas ayat-ayat saya daripada membeli buku Teknik Surah Yusuf dan Persuratan Baru dan membuat perbandingan akademik sesuai dengan kedudukan Tuan sebagai ahli akademik bahasa Arab yang tentunya mengetahui selok-belok kedua-dua bahasa.

    Sehingga bertemu lagi,

    Aliff Danial

    ReplyDelete
  23. Assalamualaikum Saudara Aliff Danial,

    Terima kasih atas komen Saudara. Pertamanya, saya mengupas tentang Qissah al-Qur'an bukan hanya berdasarkan SATU rujukan. Cubalah baca betul-betul.

    Setahu saya, tulisan yang saya tulis ini, adalah pendapat yang disepakati. Saya belum jumpa pendapat yang menyanggah maklumat yang saya dapat ini, iaitu yang saya jadikan asas kepada pendapat saya. Jika saya jumpa yang menyanggah, saya akan tambah agar pembaca lebih nampak.

    Saya lihat Saudara Aliff Danial kerap memberi tugasan kepada orang lain. Apabila diminta berbuat sesuatu, Saudara mengelak pula. Mungkin itu cara Saudara. Apa pun, saya ingin bertanya, bagaimana pendapat Saudara tentang tulisan saya itu? Setuju atau tidak? Atau ada keraguan di mana-mana?

    Tentang kelebihan Persuratan Baru dan kelemahan Teknik Surah Yusuf. Saya rasa pembacaan Saudara yang tohor. Dah dibincangkan panjang lebar tentang hal ini, tetapi Saudara masih tak nampak. Mungkin sebab sikap Saudara yang "tidak berminat untuk mengetahui perkara lain". Sedangkan perkara lain itu juga boleh membawa Saudara memahami perkara utama perbincangan ini.

    Saya fikir saya tidak membuang masa mengulas ayat-ayat Saudara. Kerana di sana juga mungkin ada maklumat yang boleh Saudara guna untuk mendapatkan maklumat tentang kelebihan dan kelemahan TSY.

    Saya telah memiliki kedua-dua buku tersebut dan telah membacanya. Sebab itu saya berani beri komen. Insha Allah, dengan izin Allah, akan terbit makalah yang akan membincangkan secara khusus PB & TSY. Mohon Saudara doakan segalanya berjalaan lancar.

    Wassalam.

    ReplyDelete
  24. Assalamualaikum,

    Terima kasih Tuan Shahrizal. Untuk berlaku jujur, terus terang saya katakan bahawasanya, saya bukanlah orang yang pakar dalam bidang bahasa arab.

    Jadi, saya tidak berani untuk mempersoalkan apa yang telah Tuan perkatakan di dalam blog Tuan. Tetapi, ada satu persoalan yang bermain di fikiran saya. Setelah saya rujuk kamu bahasa arab-bahasa inggeris, saya dapati perkataan Qissah diterjemahkan kepada story/narration dan sebagainya. Oleh yang demikian, adakah bersalahan jika kita terjemahkan sahaja perkataan Qissah itu kepada cerita? Oh ya, saya pernah terdengar tentang sebuah kitab yang bertajuk, lisanul arab. Mungkinkah Tuan boleh masukkan apa-apa maklumat yang boleh dicungkil daripada kitab itu sekiranya ada. Saya berminat untuk mengetahuinya.

    Seterusnya, daripada penelitian saya ke atas tulisan Tuan, saya nampak Tuan agak berat sebelah. Tuan hanya memberikan takrifan yang sangat terperinci tentang Qissah, dengan segala asal-usulnya, tetapi tidak Tuan lakukan perkara yang sama ke atas perkataan "Cerita" kerana kedua-duanya adalah perkataan, dan kedua-duanya pasti berasal-usul. Apabila jelas maksud dan makna kedua-duanya, baharulah perbandingan dapat dilakukan samada boleh atau tidak disamakan kedua-dua perkataan tersebut. Dan lagi, bolehlah kita ketahui mudarat atau tidak menyamakan kedua-duanya. Ini, lebih adil pada pandangan saya.

    Hasil penelitian saya ke atas tulisan Tuan, saya ada tercium haruman Bijaksanawan Agung Profesor Naquib Al-Attas di situ. Jadi, bersempena dengan itu, adalah lebih indah jikalau Tuan berikan takrifan juga kepada makna "cerita" kerana saya percaya Bijaksanawan Agung Profesor Naquib Al-Attas juga suka berbuat demikian.

    Tuan Shahrizal, bukanlah saya ini suka menugaskan orang lain dengan tugasan-tugasan yang Tuan maksudkan, tetapi masa yang ada sekarang sudah cukup sendat untuk saya melakukannya sendiri. Jadi, lebih bijak jika saya serahkannya kepada orang-orang yang sudah berada di landasan itu kerana mereka lebih mengetahui tentang perihalnya.

    Saya sendiri sedang mencari rumus-rumus yang terbaik sebagai ramuan untuk memperindahkan karya-karya saya. Seandainya terdapat pada Persuratan Baru, maka itulah yang saya cedok. Andaikata terdapat pada Teknik Surah Yusuf, maka dari situlah yang saya hirup.

    Cuma, saya percaya bahawa ada kebenaran pada Persuratan Baru, tetapi ianya terselindung oleh rasa marah membuak-buak sehinggakan sinarnya kelihatan samar-samar seperti sebutir berlian yang terkambus oleh pasir-pasir yang panas.

    Saya juga percaya, bahawa Teknik Surah Yusuf juga sarat dengan kebenaran. Tetapi, disebabkan Teknik Surah Yusuf disampaikan dengan perasaan hemah dan kasih sayang, maka ramailah yang sudi membuka hati mereka untuk menerimanya bagaikan langit biru yang mendamaikan selepas teduhnya hujan.

    Jujurnya, saya sendiri kurang arif dengan Persuratan Baru, tetapi saya percaya, konsep taklif, dan Perjanjian Azali dan sebagainya menunjukkan bahawa ianya menggunakan pendekatan Al-quran Al-sunnah sebagai modelnya. Oleh kerana ianya tidak dikhususkan kepada mana-mana surah di dalam Al-quran, maka ianya menjadi satu kaedah penulisan yang berasaskan Al-quran dan Al-sunnah secara umum.

    Manakala, Teknik Surah Yusuf pula menggunakan Surah Yusuf sebagai model penulisan. Ianya lebih khusus dan menjurus. Mereka yang percaya kepada teknik ini mengkaji keindahan-keindahan yang nampak dan tersembunyi pada surah Yusuf dan mengaplikasikannya di dalam penulisan mereka.

    Sekiranya Persuratan Baru adalah kaedah umum, maka mungkin Teknik Surah Yusuf adalah cabangnya. Malangnya, saya tidak tahu. Jadi, saya sangat mengalu-alukan kehadiran Tuan Shahrizal yang sudi melakukan kajian ke atas kedua-dua teks tersebut agar dengan yang demikian, terpancar keindahan daripada kedua-duanya sehingga kita boleh meneguk barang seteguk dua daripada pancurannya.



    Aliff Danial

    ReplyDelete
  25. Nampaknya penyokong PB pun tak dapat nak menghayati perjuangan PB. Hahahaha

    Alaxender graham bell

    ReplyDelete
  26. Assalamualaikum Saudara Aliff Danial,


    "Perlu dijelaskan di sini bahawa qissah al-Qur’an ini tidak boleh sama sekali, dengan apa juga tujuan disama ertikan dengan “cerita”, sepertimana yang difahami oleh masyarakat Melayu. Cerita atau kisah yang difahami dalam dunia kesusasteraan Melayu sebagai salah satu bentuk seni adalah berbeza dengan maksud dan ciri-ciri “qissah” yang dirakamkan dalam al-Qur’an."

    Kalau Saudara baca ayat saya di atas. Insha ALlah, Saudara akan faham mengapa saya bezakan antara "Qissah" dan "cerita".

    Wassalam.

    ReplyDelete
  27. Alif Danial

    Tuh dia...lagi banyak hang tulis lagi aku nampak hang memang tak paham apa benda. Mai aku cadangkan hang baca blog Tuan Shahrizal 30 kali sebelum tidoq...pastu print 30 helai, rendam dalam ayak, lepas tu minum tiap2 pagi selama 30 hat. Awak benak sangat hang ni?

    Sah sah Tuan Shahrizal kata dia guna istilah "qissah" sebab dia nak bezakan dengan "cerita". Yang hang susah payah sampai nak rujuk kamus sana sani lepas tu sudahnya paham "qissah" sama dengan "cerita". Hang ni mabok ka apa? Ayat degaq deguq akademik kunun..nak peleceh bahasa aku..tapi hang tu benda sempoi tak bule paham.

    Dah tu suka suruh orang buat tu suruh orang buat ni..tapi hang benda senang pun tak bule paham..lagu macamana? Sebenarnya hang ni otak kosong..tapi nak tunjuk terror..tapi cakap semua pakai pendapat kosong saja.

    Tuan Shahrizal tak usaha buang masa la dengan Aliff Danial ni. Tak kemana pun. Suruh dia belajaq baca betul-betul semua tulisan yang sebut tu.. dulu masa tahun 1970an Affandi ada tulis satu artikel dalam Widya,tajuk dia "Penulis Belajarlah Membaca"..Aku ingat buat permulaan Aliff Danial..hang kena cari artikel tu dulu..."Aliff Danial...belajarlah membaca!!!

    Mualaf Danial (Aliff Danial ni sebenaqnya "muallaf" dalam akademik. Baru terjun kot)

    ReplyDelete
  28. Aliff Danial,

    Hang kena baca kertas kerja dr. Zariat masa perhimpunan penulis muda bulan lepas. Kertas kerja itu akan jawab soalan hang tentang adakah TSY ni cabang PB. Laen...tak sama.

    Lagi satu, Tuan Shahrizal tak jelaskan maksud "cerita" sebab perkataan tu bukan perkataan arab dlm quran. dalam quran maksud "qissah" tu tak sama dengan "cerita" yang Puan Ainun paham. Sebab itu hang kena bezakan antara dua benda tu (itu sebab kena baca entri Tuan Shahrizal banyak (30) kali yang hang kata tohor tu)

    Hang jangan ambik hati nuh..aku ni bahasa je kasaq tapi hati baik. Affandi macam jugak kot...

    Salam
    Mualaf Danial

    ReplyDelete
  29. Assalamualaikum,

    Terima kasih buat Tuan Shahrizal. Terima kasih juga buat Tuan Mualaf Danial. Ini adalah komen saya yang terakhir di sini.

    Saya tidak singgah di sini untuk membuang masa saya atau masa tuan-tuan. Saya singgah di sini hanyasanya untuk mencari pencerahan.

    Buat Tuan Mualaf, terima kasih kerana mencadangkan saya supaya belajar membaca. Saya menerima cadangan itu. Sebagai tanda terima kasih, saya cadangkan Tuan Mualaf belajarlah menggunakan bahasa melayu yang lebih baik. Janganlah kita biasakan diri kita menggunakan bahasa melayu rendah dan bahasa kacukan.

    Di dalam Teknik Surah Yusuf karya Bijaksanawati Puan Ainon Mohd., kita digalakkan menggunakan bahasa melayu yang baik apabila kita menulis. Ini juga sesuai dengan saranan Pendeta Zaaba di dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu 1934.

    Sekian sahaja, untuk selama-lamanya.

    Aliff Danial.

    ReplyDelete
  30. Assalamualaikum Saudara Aliff Danial,


    Terima kasih juga kerana sudi berdiskusi dengan saya dan sahabat lain terutamanya Saudara Mualaf Danial. Oleh kerana komen Saudara adalah yang terakhir, maka saya mengambil kesempatan untuk memperingatkan saya dan Saudara tentang satu perkara.

    Janganlah kita cepat membuat kesimpulan bahawa perbincangan ini membuang masa. Saya tak fikir begitu. Walaupun saya tidak mengenali Saudara dan juga Saudara Mualaf Danial, tetapi saya belajar sesuatu daripada diskusi ini. Paling tidak pun, saya belajar bagaimana hendak berdepan dengan orang yang tidak sependapat dengan saya.

    Saya yakin, jika kita ikhlas dan berlapang dada, insha Allah diskusi ini ada manfaatnya. Dalam berkhilaf pandangan ini...rasa marah, bahasa rendah/tinggi, sindir, kritikan pedas...ini semua perkara biasa. Bagi saya, saya ambil itu semua sebagai satu perkara yang positif. Orang Melayu kita ni banyak sangat "terasa hati", kemudian bawa diri dari perbincangan, tapi sebenarnya masih bercakap di belakang. Na'uzubiLlah min zalik. Harapnya kita semua terpelihara dari semua ini.

    Insha Allah, saranan Saudara itu akan cuba saya usahakan nanti.

    Wassalam.

    ReplyDelete
  31. Encik Aliff Danial.

    Jangan merajuk, apatah lagi merengus, atau bersikap "aku tak kisah lagi". Cuba baca TANBIHUL GHAFILIN (Peringatan Bagi Yang Lupa) bahasa Indonesia. Nescaya anda tidak mahu lagi jeling Teknik Surah Yusuf yang membuat anda rusuh. Selepas anda baca buku itu dengan sabar (bukunya tebal), anda akan kembali kepada Persuratan Baru sebagai orang yang mendapat kembali diri anda (saya panggil: kembali menjadi manusia; yakni kembali kepada taklif; kalau kembali kepada Teknik Surah Yusuf tetapi tidak mahu kembali kepada taklif, tak jadi apa juga). Demikianlah murahnya Allah Ta'ala kepada hamba Nya yang ingin insaf. Pengakuan anda tidak tahu apa-apa tentang Persuratan Baru (tetapi mahu bercakap tentangnya, pelik bukan?) adalah sejenis keinsafan juga, menandakan dalam jiwa anda itu ada kerdipan lilin yang hampir malap dan mati yang perlukan penggantian lilin baru. Terima kasih kerana singgah di blog saya walaupun tidak berfaedah.

    ReplyDelete
  32. hanya afandi hasan je yang boleh tulis ikut pb. sebab dia yang reka teknik dan boleh ubab bila2. memang badut sastera malaysia. terima kasih sebab menghiburkan kami.

    Jackie

    ReplyDelete
  33. biarlah dia nak merajuk
    tiada siapa yang untung tiada yang rugi
    sebagai pembaca biasa yang membaca karya sastera berat dan popular, aku rasa novel2 terbitan PTS tiada nilai pun sebenarnya.sama je dengan novel2 terbitan alaf21,buku prima dan lain-lain.cuma pembaca disogokkan kononnya itulah karya sastera sedangkan isinya tiada apa-apa.mungkin selepas fenomena ayat-ayat cinta ramai penerbit yang mula meniru gaya karya sepertinya.tajuk pun semuanya hampir2 sama dengan ayat2 cinta.sudah tiada ideakah?

    hantu makcik karipap

    ReplyDelete
  34. saya cadangkan pak fandi buat novel aligupit-aligupit cinta

    hantu pakcik aligupit

    ReplyDelete
  35. Salam semua terutamanya Aliff Danial,

    Alhamdulillah. Aliff Danial, aku mintak maaf nuh kalau teguran aku menyinggung perasaan hang. Baguih la hang nak dah mula nak belajaq membaca. Aku doakan hang berjaya. Aku pulok nak sahut nasihat hang. aku kena belajaq tulih bahasa melayu dengan baik. Ada sapa2 volunteer nak mengajaq aku? Tapi aku yuran jangan mahai-mahai. maklumla aku ni buat kerja kampung bukak sawah 16 relung ja ..bukan untung sangat pun...cukuplah makan kami 9 beranak.

    Assalamualaikum semua.
    Muallaf Danial

    ReplyDelete
  36. Aiii...Aliff Danial dah merajuk ka atau hilang idea nak kona-kona? Sebenaqnya aku taklah kata karya afandi tu tinggi melangit sampai sapa pun jadi susah nak faham. Apa yg dikatakan oleh Shahrizal yu betul dan apa yg cuba disampaikan oleh aliff danial adalah daripada buah fikirannya, cuma biasanya bila org tu jahil kita kena cuba berikan dia kesedaran. Pada pendapat aku la, aliff danial banyak membaca tapi mungkin belum boleh membuat kesimpulan daripada sekian banyak bacaannya. Rumusannya tidak begitu padat atau mencapai ke tahap yg boleh diterima oleh pada ilmuan lain, walaupun gaya bahasanya baik, tertiblah kata org tapi kadar pemahamannya kurang baik dan akhirnya beliau menggarapnya ke dalam tulisan di porting ini. Kebolehan seseorang dalam sesuatu ilmu ialah apabila ia mendalami ilmunya secara berguru, mentalaah dan membuat kesimpulan yang baik dan tepat. Di samping itu hendaklah ia berdampinagn dengan buku-buku yg baik tetapi bukannya buku yang memuatkan bahan picisan. Aku rasa cubalah Aliff Daniah baca buku Hamka...bagus olahan bahasanya. Tafsir Azhar yang dihasilkan oleh Almarhum Prof Hamka pun wajip Aliff danial miliki barulah pandai nak buat perbezaan antara qissah dan cerita. Memang bodohlah kalau sapa cuba samakan cerita rekaan kita dengan qissah yang disampaikan dalam al-quran. Ingat Tuhan turunkan walaupun satu huruf di dalam Al-Quran saja-saja ka? Semuanya ada makna dan maksud tersendiri, cuma kita kena gali dan selidiki dan belajar dan terus belajar. Ilmu Allah lagi banyak dicari lagi banyak yg belum kita miliki. Org kedah kata koi banyak...

    Komen dari aku:
    PK1 sekolah arab kampung

    ReplyDelete