Sunday, December 25, 2011

“Comic Relief” Dalam Teknik Surah Yusuf: Menghadapi dan Menjawab Kritikan Jahiliah

Dalam karya janru tragedi di Barat, terdapat teknik yang dinamakan “comic relief”. Dalam drama Shakespeare, Macbeth, terdapat “comic relief” yang paling terkenal dalam sastera Barat. Sesiapa juga yang mengambil mata pelajaran kesusasteraan Inggeris dikehendaki menghafal “comic relief” dalam episod “the drunken porter scene” yang telah diberi taraf locus classicus dalam sastera Barat, terutama sekali dalam sastera Inggeris. Tujuan teknik “comic relief” ini ialah untuk mengendurkan ketegangan di kalangan penonton tragedi ketika sampai ke kemuncaknya.  Dipercayai, tanpa “comic relief” ini, para penonton akan mabuk, melatah, menjerit marah atau ketakutan, dan mungkin juga mengamuk sampai cuba membunuh tokoh yang paling dibenci di dalam drama yang dilakonkan oleh seorang aktor yang handalan. Dalam perbincangan serius tentang Teknik Surah Yusuf, kita lihat Teknik Surah Yusuf  juga menyediakan ruang untuk “comic relief” ini. Tatkala perbincangan itu sampai ke kemuncaknya, apabila kewajaran dan kewibawaan Teknik Surah Yusuf dicabar dari segenap sudut, maka muncullah badut-badut (seperti the drunken porter dalam Macbeth) yang membantu mengendurkan ketegangan itu dengan melontarkan kata-kata atau ungkapan yang boleh menyeronokkan mereka, untuk bergelak ketawa sambil minum teh tarik atau menyedut “ice tea” dari botol-botol ramping yang senang dicekak. Mereka berhempas pulas dalam gelak ketawa itu menghamburkan kata nista, carutan, penghinaan, umpatan dan sebagainya untuk menenangkan ketegangan mental kerana tidak dapat menerima dengan tenang dan siuman segala kritikan yang mereka hadapi.  “Comic relief” yang diberikan oleh anak buah Puan Wali Tadbir PTS ini bersifat kampungan, kasar, biadab,  iaitu jenis “comic relief” picisan yang tidak berharga sama sekali, kecuali untuk melegakan sedikit ketegangan pelakon “comic relief” itu sendiri.  Dalam persembahan wayang kulit, “comic relief” ini dipergunakan dengan sebaik-baiknya oleh dalang untuk mengendurkan ketegangan dalam episod peperangan, terutama sekali dalam cerita Pandawa yang penuh dengan peperangan itu. “Comic relief” yang dilakonkan oleh dalang wayang kulit ini jauh lebih bermutu dan menghiburkan daripada “comic relief” para pengikut Puan Wali Tadbir PTS yang picisan itu.

Dalam psikologi pemikiran, “comic relief” itu boleh dijadikan senjata yang amat berkesan untuk mematahkan hujah lawan yang mempersenda seseorang atau meremehkan pemikirannya. Tetapi tidak sebarang orang boleh melakukannya, pasti tidak di kalangan para pengikut Teknik Surah Yusuf yang diketuai oleh Puan Wali Tadbir PTS yang hanya tahu mencemuh dan mengeji pandangan orang lain, tetapi tidak berupaya memberikan pendapat sendiri yang lebih bermutu dan lebih ilmiah. Contoh paling terkenal jenis “comic relief” psikologi pemikiran ini, yang saya tahu, diberikan oleh sarjana dan pengkritik terkenal dari Amerika Syarikat, J. Hillis Miller.  Saya tidak berhajat hendak menganalisis persoalan ini di sini, cukup dengan memberi rujukan yang boleh membantu Puan Wali Tadbir PTS dan para editor yang bekerja dengan beliau untuk membaca dokumen penting mengenai “comic relief” psikologi pemikiran, kerana hal ini berkaitan rapat dengan Teknik Surah Yusuf.  J. Hillis Miller telah menulis sebuah makalah penting, yang dianggap oleh David Lodge sebagai “brilliant” dan berpengaruh. Sila rujuk tulisan Miller dalam David Lodge ed. Modern Criticism and Theory: A Reader (Longman, 1988). Tulisan J. Hillis Miller telah dianalisis dengan mendalam oleh Gregory L. Ulmer dalam Hal Foster ed. The Anti-Aesthetic: Essays On Postmodern Culture (Bay Press, Seattle, Washington, 1983).  Kedua-dua sarjana ini berbicara tentang peranan dedalu (parasite) dalam pemikiran moden, sesuatu yang amat relevan dengan kedudukan Teknik Surah Yusuf dalam sastera picisan Malaysia yang sedang dibina oleh PTS melalui Teknik Surah Yusuf.

Mohd. Affandi Hassan
25/12/2011















14 comments:

  1. Assalamualaikum.

    Tuan yang dikasihi Allah dan disayangi Nabi,

    Apakah yang picisan itu, tuan? PTS, Puan Wali Tadbir, Teknik Surah Yusuf ataupun Surah Yusuf itu sendiri?

    Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Ini perlukan kertas kerja dan kajian akademik bagi membuktikan kebenarannya. Kalau tak ia menjadi kebenaran yang semu, seperti ahli sihir firaun.

    ReplyDelete
  3. Adakah ini 'pengisytiharan perang' terhadap tsy dan pts?

    ReplyDelete
  4. Hahhaaaa..bila baca 3 komen di atas hanya lirik lagu Elyana saja yg terbayang oleh saya. Tajuknya "Tak Tercapai Akalmu". Tiga akal di atas hanya layak jadi editor je...tak layak jadi pemikir..

    ReplyDelete
  5. Elyana? bukankah itu kebenaran semu?

    ReplyDelete
  6. Sdr. Anonymous Komentar Keempat.

    Masha Allah, begitu tajam komentar anda, yang hanya boleh lahir dari seorang yang berfikir (mudah-mudahan akan jadi seorang pemikir) dan jujur terhadap diri anda. Insha Allah saya akan beri pandangan akhir dalam episod yang menarik dan mencabar pembaca ini, apabila saya lega dari semput kerana terlalu kuat dan banyak tertawa membaca telatah anda semua. Terima kasih kerana semuanya penghibur kelas pertama. Maaf dan Insha Allah kita akan jumpa lagi dalam suasana yang lebih syahdu nanti. Insha Allah. Maaf kerana saya sendiri kadang2 berlagak seperti the drunken porter dalam Macbeth. Saya akan beri hadiah (jika PTS bersetuju membayarnya) kepada sesiapa yang dapat memberi tafsiran kepada kesimpulan dalam posting kali ini. Fikirkanlah.

    ReplyDelete
  7. Arus kesusasteraan tempatan harus dibebaskan daripada "parasit-parasit" ilmu yang akhirnya hanya akan mencacatkan nilai kesenian sebenar dalam karya sastera itu sendiri. Kalau kita mengkaji tulisan Syed Naquib al-Attas dalam Islam Dalam Sejarah Kebudayaan Melayu, masyarakat nusantara adalah sebuah masyarakat yang amat mementingkan nilai kesenian dan kebudayaan (K&K) dalam kehidupan.

    Pada awalnya, K&K tersebut diresapi oleh pengaruh Hindu Buddha dan menariknya, resapan pengaruh Hindu Buddha hanya berlaku pada K&K sahaja, tetapi langsung tidak terusik pada weltanshauung masyarakat nusantara pada masa itu. Hal ini disebabkan oleh agama Hindu Buddha bukanlah sebuah agama yang universal dan tidak mampu untuk diasimilasikan dengan gaya hidup masyarakat pada masa itu.

    Namun begitu, kedatangan Islam pula adalah berlaku yang sebaliknya. Islam sebagai sebuah agama yang syumul, bukan sahaja berjaya meresap masuk ke dalam K&K masyarakat pada masa itu, malah telah berjaya menyerap masuk sepenuhnya ke dalam gaya hidup masyarakat nusantara dan merubah "worldview" mereka kepada "worldview" yang Islami dan benar-benar murni.

    Namun, masalah baru timbul pula apabila ancaman sekularisasi mula menyerap masuk secara perlahan-lahan ke dalam K&K masyarakat nusantara, dan masalah ini saya tekankan kepada dunia kesusasteraan nusantara. Jika pada zaman "jahiliah" dahulu dunia kesusasteraannya lebih condong kepada pandangan Hindu Buddha, sekarang dunia kesusasteraannya lebih condong kepada Barateisme pula. Dan sebenarnya masalah ini lebih merbahaya berbanding masalah ketika zaman "jahiliah" dahulu, kerana "worldview" dahulu sudah terang lagi jelas akan kesyirikannya. Tetapi masalah sekularisasi ini meresap dalam masyarakat tanpa sedar dan "memujuk" masyarakat untuk mengagung-agungkan "worldview" mereka.

    Maka, saya kira kehadiran Persuratan Baru (PB) tepat dalam menyanggah satu persatu kecelaruan yang berlaku dan membuka mata masyarakat akan ancaman sekularisasi yang berlaku secara diam dalam dunia kesusasteraan tempatan. Ancaman tersebut tidak semestinya menonjolkan nilai-nilai budaya Barat secara terang-terangan, tetapi memanipulasikan "worldview" keagamaan agar lebih condong kepada kebaratan tanpa semua orang sedar.

    Inilah sebenarnya masalah yang harus disedari dan ditangani oleh semua orang, khasnya dalam bidang penulisan. Hal ini kerana media penulisan mereka antara media yang banyak membawa pengaruh yang besar kepada weltanschauung masyarakat tersebut.

    ReplyDelete
  8. Syed Naquib Al-Attas amat memberi penekanan kepada nilai ilmu (al-'ilm) dan adab. Malah, dalam pelbagai karya-karyanya seperti Islam And Secularism dan Tujuan Dan Objektif Pendidikan Islam, beliau amat memberi penekanan yang amat kuat terhadap dua perkara tersebut. Dan penekanan juga diberikan kepada konsep adil (al-adl).

    Selama saya membaca tulisan-tulisan tuan, saya membuat tanggapan bahawa tuan seorang Attasian apabila kebanyakan hal tuan merujuk kepada tulisan-tulisan Syed Naquib Al-Attas. Dan di sini saya ingin menyatakan bahawa saya menyetujui sepenuhnya gagasan Persuratan Baru ini dalam mengislamisasi dunia kesusasteraan tempatan.

    Tetapi, apa yang saya lihat, banyak entri-entri tuan menggunakan bahasa-bahasa yang kasar dalam membuat kritikan atau hal-hal yang merendah-rendahkan nilai orang lain. Tidakkah hal ini melanggar konsep adab seperti yang amat ditekankan oleh Syed Naquib Al-Attas itu? Dan saya kira perlakuan sebegini akan menyebabkan masyarakat memandang serong kepada PB bukan kerana kerangka PB itu sendiri, tetapi disebabkan oleh sikap pendirinya yang lantang mengkritik tanpa nilai adab yang sebenar.

    -Tanpa Nama-

    ReplyDelete
  9. Apa-apa pun tak baik mengatakan orang lain Jahilliah...

    ReplyDelete
  10. Apa sudah ada temu dialog antara Pak Affandi sama Mbak Ainon dalam majlis sastera? Dalam penelitian ide ide TSY, tidak mudah ditemui ayat cercaan yang jelas sepertimana sudut pandang intelektual Pak Affandi?

    ReplyDelete
  11. Assalamu'alaikum tuan Affandi,

    Nilai yang dibawa oleh Persuratan Baru adalah benar, namun pembawaan dan pendekatan itu perlu diperhalusi. Saya berpandangan, di antara orang yang menolak Persuratan Baru bukanlah disebabkan Persuratan Baru itu sendiri, melainkan disebabkan pendekatan dan pembawaan untuk mempromosikan Persuratan Baru itu dibawa dengan keras dan kritikan yang tajam.

    Saya kira, sekiranya penyampaian PB dapat diperlembutkan, insya' Allah ianya akan semakin diterima ramai.

    Saya sebagai seorang yang menyokong PB amat mengharap pendekatan dan penyampaian PB diperlembutan. Insya' Allah, saya akan senantiasa mengikuti perkembangan PB dan menyokong PB.

    Saya faham, mungkin tuan Affandi banyak ditekan, dikritik, dicemuh dan rendah-rendahkan oleh para pengkritik-pengkritik lain yang memisahkan Islam dengan sastera (salah satu bentuk sekularisme). Namun saya harap tuan dapat bertahan dan menekankan adab dalam kritikan, insya' Allah suatu hari PB pasti akan berkembang lebih maju.

    (Ini cuma pandangan saya sebagai pembaca, mungkin ada kesilapannya. Tuan sebagai penulis lebih arif dan faham dengan perjuangan PB ini. Saya meminta maaf andai ada kesilapan)

    Yang menyokong perjuangan PB.
    - Pembaca PB -

    ReplyDelete
  12. Saya senyum. Begitu ramai yang memakai nama Anynomous. Sukar bagi kita menilai kejujuran dibalik kata-kata pemakai topeng.

    Tiada yang indah selain kalam Allah. Itu yang pasti.

    Dan kebenaran ada pada kalam-Nya dan sunnah Nabi Muhammad S.W.T.

    Semoga Allah berkati perjuangan kita semua, tidak kira TSY, PB atau pihak mana sekalipun kita asalkan ianya menuju kepada Allah dan Rasul dengan mengikuti jalan dan cara yang diredhai-Nya.

    Selamat berbincang!

    ReplyDelete
  13. Lebih baik ada dari tiada. Jangan mudah mengkritik, tetapi sumbanglah apa yang kita mampu. Mengkritik tidak menyelesaikan, masalah merendahkan martabat orang.

    ReplyDelete
  14. Di mana boleh saya dapatkan buku Aligupit? Yang penting, nak tahu harganya. Prosedur membacanya pula bagaimana? Yang semudahnya, saya cadangkan agar tuan menerbitkan sebuah buku tentang bagaimana membaca karya tuan dengan betul. Kalau tersalah baca, takut tuan marah pula.

    ReplyDelete