Wednesday, August 29, 2012

Kubur, sasterawan, dan kesudahan hidup manusia


Apabila seorang sasterawan meninggal dunia, ke manakah perginya karyanya?  Sudah pasti bukan dikuburkan bersamanya. Tetapi pasti ada sesuatu dari hasil karyanya yang akan mengikutnya. Apakah sesuatu itu? Mungkin Salina yang akan membawa bersamanya TIVI yang bercerita tentang Kuala Lumpur Kita Punya dengan bangunan apartmen yang banyak dan mewah pula, kerana Dunia Adalah Sebuah Apartmen.  Dapatkah kita berkata Laporan Anugerah Sastera Negara menjadi jaminan kehidupan bahagia seorang sasterawan negara ketika berada di dalam kubur? Semua persoalan ini tidak timbul dalam kritikan sastera dari pendekatan Barat, kerana realisme yang menjadi dasar dan prinsip utama teori sastera Barat  tidak pernah dan tidak mungkin membicarakan dengan serius peri hidup seorang sasterawan di dalam kubur dan selepasnya. Bagi teori sastera Barat, persoalan begini hanya timbul dalam kepala seorang penulis gila yang tidak siuman dan tidak berbakat. Tetapi tidak demikian bagi Panel Anugerah Sastera Negara. Ini komen mereka terhadap sebuah karya Anwar Ridhwan: “Cerpen ‘Hati’ pula meneroka kejujuran manusia yang langka. Watak narator yang mati dibunuh diberikan keupayaan menelah bagaimana hati tunangnya boleh berubah setelah kematiannya, dan ibu bapanya tidak lagi bersedih. Cerpen ini cuba meneropong kehidupan manusia dari alam roh, yang barangkali lebih jujur dan tepat dalam penilaiannya berbanding dengan alam dunia yang palsu, seperti yang dibisikkan oleh protagonis ini: ‘Perjalanan rohku malam ini tak ketentuan. Di sana ada cahaya terang, barangkali Yang Esa’” (Laporan 2009, hal. 9).

Apa yang anda dapat dari komen Panel dan dari cerita pendek ‘Hati’ itu? Ini pandangan Dr. Zulkarnain dalam sebuah tulisannya: “Al-Quran menegah akal  untuk bertanya tentang roh pada ayat (17: 85), menegahnya bertanya tentang masa berlaku hari Kiamat (7: 187) dan lain-lain lagi. Ini dengan jelas menunjukkan keterbatasan akal, secara khusus akal terbatas daripada meneroka alam ghaib, seperti zat Tuhan, roh, hari kiamat, ... dan juga soal malaikat, jin dan sebagainya. Adalah penting keterbatasan ini difahami dan diakui. Dalam konteks karya fiksyen, penerokaan dan gambaran dimensi ghaib ini boleh bercanggah dengan akidah Islamiah. ... Perbuatan itu boleh menafikan hakikat sebenar alam ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Umpamanya, gambaran alam Barzakh yang berdasarkan kepada khayalan semata-mata tidak menepati hakikat sebenar, dan dengan itu ia mempermainkan, menempelak dan menolak pengetahuan Allah Ta’ala”.  (Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, hal. 127). 

Sejauh mana Panel dan sasterawan negara yang dipuji mereka “melanggar” keterbatasan akal itu?  Jawapan yang diberikan oleh Laporan 2009 adalah menarik: “Cerpen-cerpen Anwar Ridhwan beralih angin kepada bentuk eskperimen dengan menggunakan pendekatan simbolik, yang berteraskan lambang seperti dalam cerpen ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’ ...  Cubaan bereksperimen  ini sudah mula maju ke arah yang matang. ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’  mengemukakan apartmen sebagai satu simbol kehidupan manusia. Apartmen adalah dunia yang sempit, panas, seragam bentuknya dan kuat pengaruh Baratnya. Kehidupan yang cuba digambarkan ialah kehidupan yang dipengaruhi oleh cara dan nilai Barat seperti seks bebas dan ketagihan arak. Kehidupan watak-wataknya berkisar pada keseronokan semata-mata” (hal. 10). Lalu Panel membuat kesimpulan ini: “Cerpen ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’ mengemukakan persoalan filosofikal” (hal. 10).  Apakah jenis “keterbatasan” yang ditonjolkan dalam cerita pendek ini dan pujian Panel terhadapnya? Inilah tahap kekeliruan tentang konsep ilmu yang sampai ke kemuncaknya, yang akibatnya hanya memperlihatkan kecelaruan estetik (aesthetic confusion) penulis cerita pendek dan Panel yang tenggelam dalam dunia bombastik akibat dari kecelaruan kognitif (cognitive dissonance) kerana kedua-duanya, penulis dan penilai, berada dalam keadaan yang disebut oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai keadaan yang “cetek meraba-raba”, oleh itu tanpa disedari, mereka telah menempelak kreativiti dan kekuasaan Allah Ta’ala yang mencipta dunia dalam bentuk sebuah apartmen yang panas dan sebagainya itu!. Kalau itulah falsafahnya, maka kesusasteraan Melayu tidak perlukan falsafah. Inilah jenis karya sastera yang dilahirkan oleh teori dan pendekatan sastera Barat yang ditiru dan dipraktikkan dengan gigih oleh para sasterawan dan penilai mereka (Panel Anugerah Sastera Negara).  Betapa megahnya sasterawan dan Panel diberi kesimpulan begini dalam Laporan 2009:  “Pencapaian kreativiti Anwar Ridhwan dalam menghasilkan cerpen meletakkannya sebagai satu jalur besar dalam sejarah perkembangan cerpen” (hal. 17). Kesimpulan ini tidak mempunyai makna sama sekali, bertentangan dengan bukti yang diberikan oleh cerita pendek sasterawan ini yang tidak memperlihatkan apa-apa jenis jalur, jika ada. Sebaliknya, inilah contoh kekeliruan estetik yang menjadi ciri utama laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Kekeliruan begini sampai ke kemuncaknya dalam Laporan 2012, yang cukup kaya dengan pujian bombastik, tetapi tidak dibuktikan melalui contoh yang konkrit.

“Anwar Ridhwan satu jalur besar dalam sejarah perkembangan cerpen”?  Kenyataan ini sangat penting dalam kritikan sastera, dan perlukan penjelasan terperinci dengan membandingkannya dengan “jalur-jalur lain” yang sudah ada dalam perkembangan cerita pendek Malaysia. “Jalur besar” dari segi apa? Dari segi tema, “jalur pelacur” dan perzinaan dalam “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” tidak dapat mengatasi “jalur agung” yang telah dijadikan “jalur gemilang” dalam tema pelacuran dan perzinaan oleh A. Samad Said melalui Salina dan Langit Petang, dua buah novel yang mendapat sanjungan Panel Anugerah Sastera Negara (anda perlu baca laporannya). Tanpa sebarang perbandingan dengan meletakkannya dalam konteks sejarah perkembangan cerita pendek di Malaysia, maka pujian tidak bertanggungjawab begini mesti ditolak, tidak boleh dipakai. Dalam perkara seperti ini kita harus berhati-hati dan tegas, supaya penilaian songsang begini tidak terus dijadikan rujukan oleh sarjana dan sasterawan yang malas membaca dan yang tidak mempunyai maklumat yang tepat.  Jika anda membaca cerita pendek A. Samad Ismail, “Rumah Kedai di Jalan Seladang” (Dewan Sastera, September 1988; dimuat semula dalam kumpulan Ingin Jadi Pujangga: Kumpulan Cerpen 1944-1991 (DBP, 1995) oleh A. Samad Ismail), dan membandingkannya dengan “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”, anda akan dapat melihat kedewasaan kreatif dalam karya A. Samad Ismail yang juga memperihalkan tentang pelacuran dan perzinaan wanita Melayu di zaman perang, tetapi para “pelacur” itu masih menyebut nama Allah dengan rasa takut. Adakah “jalur besar” Anwar Ridhwan ini telah mengatasi “jalur lebar” A. Samad Ismail dalam cerita-cerita pendeknya? Jika anda membuat perbandingan begini, anda akan lebih berhati-hati membuat penilaian dan lebih-lebih lagi berhati-hati menggunakan istilah yang boleh mengelirukan seperti yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporannya. Sebagai satu catatan kecil, A. Samad Ismail cukup sedar penilaian songsang begini dalam permainan politik sastera, lalu mengkritik golongan ini sebagai Mafia Sastera! (dalam suratnya kepada Leo AWS, yang menyebutnya dalam salah sebuah kumpulan sajaknya, 2003).

Peringatan (yang juga sebenarnya berupa amaran) Dr. Zulkarnain Mohamed dalam kutipan di atas wajar diberi perhatian serius oleh para sarjana sastera dan para sasterawan, dan tentu saja oleh para penilai karya kreatif seperti Panel Anugerah Sastera Negara. Peringatan (dan amaran) itu meletakkan kedudukan akal pada tempatnya yang wajar, seperti fitrah kejadiannya, oleh itu pengguna akal (jika digunakan dengan wajar) seperti para sasterawan tidak wajar melampaui batas akal hanya kerana hendak berkhayal sebebas-bebasnya hingga terbabas jauh dalam kesesatan berfikir (jika mereka berfikir).  Inilah adab dalam seni mengarang karya kreatif, yang perlu dijaga. Dalam teori sastera Barat, adab ini tidak diperlukan, oleh itu sasterawan boleh menulis tentang apa saja mengikut imaginasi mereka. Ini memudahkan mereka untuk menulis, dan juga memudahkan para penilai menilai karya itu mengikut hawa nafsu mereka. Dalam adab penulisan Islam, imaginasi diletak di bawah kawalan akal sihat yang tahu batas-batasnya dan tidak akan melanggar batas-batas itu kerana karya yang ditulis secara biadab pasti akan gagal, walaupun digemari oleh pembaca yang juga bersikap biadab. Di Malaysia contoh terbaik dalam kes ini ialah novel TIVI  dan Shit oleh Shahnon Ahmad; novel Kuala Lumpur Kita Punya oleh Abdullah Hussein. Ketiga-tiga novel ini adalah novel picisan yang ditulis mengikut teori sastera Barat sepenuhnya, tanpa sebarang tanggungjawab ilmu, tetapi bergantung sepenuhnya kepada kemahuan hawa nafsu manusia yang paling rendah, yakni nafsu kebinatangan yang dikawal oleh pengaruh syaitan. Sasterawan yang menulis seperti ini menulis di bawah kawalan hawa nafsu tadi.  Bagi yang berasa sukar hendak mengikuti penghujahan ini, bolehlah melihat masalah ini dalam konteks pertandingan/pertentangan antara kebaikan dengan kejahatan. Dalam Islam, penulis diberi kebebasan penuh untuk menulis tentang kebaikan, walaupun bahannya tentang kejahatan manusia; sebaliknya, para sasterawan yang menulis mengikut teori sastera Barat, diberi kebebasan sepenuhnya untuk menulis tentang kejahatan, walaupun tema utama dikatakan mengenai kebaikan (misalnya pengakuan Shahnon Ahmad tentang tujuannya menulis TIVI). Dalam konteks inilah gagasan Persuratan Baru dapat membantu para penulis, sarjana, dan penilai sastera mengenal pasti kebaikan dan kejahatan dan bagaimana kedua-duanya diletak pada tempatnya dalam penulisan kreatif, dalam analisis karya, dan dalam penilaian yang dilakukan terhadap karya kreatif. Kekacauan dan kekeliruan dalam aspek ini akan melahirkan penilaian seperti yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang menerima karya picisan sebagai karya bermutu, yang menyanjung karya liar sebagai karya bermutu yang kononnya mencipta jalur baru dalam penulisan. Jika anda tidak dapat menerima penggunaan akal seperti yang dimaksudkan dalam Islam, maka anda bebas berbuat apa saja. Ketika itu anda harus bersedia menerima kritikan keras dari pelbagai sudut. 

Apakah yang akan terjadi ketika anda, sebagai sasterawan, masuk kubur nanti? Soalan ini tidak relevan, seperti yang ditunjukkan oleh Dr. Zulkarnain dalam kutipan di atas. Tiada siapa pun yang tahu. Tetapi semua sasterawan dan sarjana sastera tahu, penggunaan teori dan pendekatan Barat, tanpa pengetahuan tentang Islam dan kedudukan akal dalam Islam, adalah kerja sia-sia, suatu usaha yang merugikan, kerana secara sedar menolak pendekatan Islam sambil mempertahankan pendekatan Barat yang sia-sia itu.  Adakah ini masalah pilihan? Jika anda percaya alternatif Islam itu lebih baik, malah yang terbaik, maka inilah masalah keyakinan dan komitmen.  Akhirnya anda sendirilah yang menentukan siapa anda, dan jalan mana yang anda ikuti untuk kesudahan kehidupan anda sebagai manusia.  Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan,
28/8/2012.




Saturday, August 18, 2012

SELAMAT HARI RAYA 'IDUL FITRI 1433

Kepada semua pembaca blog ini, diucapkan Selamat Hari Raya 'Idul Fitri 1433. 


Maaf Zahir Batin


Mohd. Affandi Hassan

Sunday, July 8, 2012

GAYA PERSURATAN BARU


Pendahuluan

Terdapat dua tajuk  penting tentang gagasan Persuratan Baru yang masih memerlukan penjelasan dan huraian. Saya harap para penulis dan sarjana sastera akan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang PB melalui perbincangan tentang dua tajuk penting ini, dengan itu mereka lebih bersedia untuk memberikan pandangan kritis mereka. Saya yakin dua tajuk penting ini akan berupaya mengangkat kekuatan kreatif para penulis dan memberi alat analisis kepada para pengkritik dan sarjana sastera untuk memudahkan mereka membuat penilaian yang lebih objektif. Kaedah lama yang dipakai pada waktu ini, yang diambil dari teori sastera Barat, tidak lagi berkesan  untuk menyerlahkan kekuatan hujah dalam kritikan sastera, seperti yang telah dibuktikan oleh Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr Mohd Zariat dalam tulisan akademik mereka. Dalam posting yang lepas, saya telah menghujahkan bahawa feminisme dan semiotik telah menimbulkan banyak masalah dalam kritikan sastera Malaysia. Sama ada hal ini terjadi kerana pengamal kedua-dua teori ini belum menguasai betul-betul teori yang mereka gunakan, atau memang kedua-dua teori itu bermasalah, hanya para sarjana dan pengkritik saja yang dapat menjawabnya. Pemakaian kedua-dua teori ini oleh sarjana Malaysia  nampaknya lebih banyak menyerlahkan kekeliruan estetik daripada menjelaskannya.  Baru-baru ini pula kita mendapat laporan baru oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang dalam penelitian saya membuktikan wujudnya kekeliruan estetik dalam penilaian sastera di peringkat paling tinggi. Semua ini memerlukan penelitian kita. Dalam posting kali ini saya memberikan jawapan saya bagaimana masalah ini boleh diselesaikan.

1. Stylization of ideas: Mencari keindahan dan makna melalui stylization of ideas.

Bayangkan anda seorang pemanah yang cekatan, yang betul-betul handal. Setiap kali anda melepaskan anak panah dari busurnya, pasti tepat mengenai matlamatnya.  Jadikan ini satu perbandingan dalam seni menulis. Matlamat anda ialah untuk mencapai tingkat karya yang “indah dan bermakna”.  Indah dari segi keterampilan anda sebagai penulis yang berjaya mengolah pemikiran anda dengan jelas dan logik; bermakna dari segi kebijaksanaan sebagai matlamat yang ingin anda capai melalui karya itu. Bagaimana anda boleh melakukannya, untuk menjamin maksud “indah dan bermakna” itu tercapai? Dalam gagasan Persuratan Baru, teknik yang dipakai dipanggil stylization of ideas, atau siratan makna yang dijalin melalui wacana dan cerita yang ingin disampaikan.  Biarlah saya berikan contohnya dari cara saya menggunakan teknik stylization of ideas ini.  Cara anda tentu saja berlainan, mungkin juga lebih baik dan lebih “menyengat” dari segi pemikiran dan bahasa yang digunakan untuk menyampaikan pemikiran itu.  Saya ambil dua contoh yang paling mudah difahami, yang akan membolehkan seseorang yang belum biasa dengan teknik saylization of ideas dapat memahaminya, mungkin tidak mendalam, tetapi sekurang-kurangnya dapat melihat makna dan cara makna itu diperolehi melalui taknik ini.  Contoh pertama daripada novel Aligupit. Saya salin bahagian yang dimaksudkan:

“Sekeliling bangunan itu terdapat longkang yang besar dan dalam, untuk mengalirkan segala kekotoran dari bukit-bukit berdekatan. Longkang-longkang gergasi itu dibina dengan kuat untuk menahan hakisan. Longkang-longkang itu ditutup dengan padang rumput dan pokok bunga beraneka warna, sehingga tiada siapa pun yang menyangka di bawahnya air kotor dan kekotoran sedang mengalir dengan deras untuk dibawa keluar dari kawasan itu. Longkang gergasi itu mengeluarkan desingan yang halus berirama ketika hujan lebat dan air mengalir deras. Longkang-longkang itu seolah-olah sebuah orkestra tersembunyi yang sedang memainkan berbagai lagu halus tajam, tetapi sedap didengar, terdiri daripada para pemainnya air hujan yang deras menerpa dari atas bukit, kotoran berupa kayu-kayu kecil, tin-tin minuman yang tersesat, atau batu-batu kecil yang berlumba di dalam longkang untuk terjun ke lembah-lembah. Ketika air, batu dan kayu kecil itu merempuh dan menempuh konkrit longkang-longkang itu, terdengarlah bunyi orkestra yang halus tajam dan sedap didengar itu. Kerana hari perbicaraan itu hujan agak lebat sejak awal pagi lagi, maka muzik longkang itu menjadi lebih merdu dan jelas kedengaran. Orang yang tidak mengetahui menyangka di bawah tanah itu terdapat mata air yang jernih bersih deras mengalir menuju ke lembah, untuk bertakung menjadi kolam air minuman penduduk kota raya itu.
Di tempat yang indah dan penuh dengan suara muzik itulah perbicaraan Salim Adil diadakan.” (Hal. 155-156)

Jika anda masih ingat, anda akan teringat bagaimana istana cantik Nabi Sulaiman ‘a.s. begitu mempesonakan Ratu Balqis, sehingga lantai berkilat yang akan dijejakinya itu dilihat seperti kolam yang dalam airnya. Dia menyingkap  pakaiannya. Ketika itulah dia ditegur oleh Nabi Sulaiman ‘a.s. bahawa yang disangkanya kolam itu hanyalah lantai berkilat untuk ditapaki. Itulah yang memberi kesedaran kepada Ratu Balqis, lantas terus memeluk agama Islam yang dibawa oleh Nabi Sulaiman ‘a.s.  Dalam episod di atas, anda diberitahu satu perbicaraan besar akan berlangsung di Mahkamah Pentas Negara. Anda perlu membaca Tirai 10 untuk mengetahui mengapa perbicaraan itu sangat penting. Tetapi yang lebih penting ialah bagaimana anda yang mendengar orkestra longkang itu tidak perasan bahawa sumber air yang melahirkan muzik yang indah itu ialah air longkang yang kotor.  Jika anda berada dalam Dewan Keadilan untuk mendegar perbicaraan terhadap Salim Adil, anda akan mendengar semua jenis kutukan terhadap terdakwa yang sebenarnya tidak berada di dalam mahkamah, hanya cerita tentangnya saja yang dibentangkan di situ. Jika anda sudah membaca Aligupit, anda tentu akan perasan bahawa novel itu mengenai kecanggihan penipuan dalam kehidupan manusia yang berkuasa, yang tidak sedikit pun nampak sebagai penipuan, tetapi semuanya kebaikan dan keadilan semata-mata. Tirai 10  mengakhiri novel ini, memberitahu pembaca bagaimana Salim Adil yang tidak wujud itu telah dihukum dengan adil dalam suasana yang penuh dengan bunyi muzik yang indah dan dikelilingi taman-taman indah. Pernahkah anda ke Putrajaya? Saya tidak tahu apakah pemandangan yang paling menarik bagi anda di Putrajaya itu.  Mengapa saya bawa perkara ini adalah sebahagian daripada indicator (saya sengaja menggunakan perkataan Inggeris!) bagaimana stylization of ideas itu digunakan sebagai teknik untuk menyampaikan idea tentang penipuan, keadilan, kezaliman, semuanya dirangkum sekali gus. Anda harus tahu keadilan adalah bertentangan dengan kezaliman. Bolehkah keadilan ditegakkan dengan penipuan? Mungkinkah kezaliman dan penipuan diberi wajah keadilan? Semua persoalan ini cuba dijawab, melalui stylization of ideas, dalam novel Aligupit itu. Siapakah yang bersikap adil di sini? Adakah watak-watak tidak bernama di dalam novel itu? Atau andalah yang bersikap adil itu, kerana dapat memahami novel itu daripada perspektif yang dimaksudkan oleh pengarangnya. Tidak mungkinkah pengarang sendiri bersikap adil dengan memberi peluang kepada pembacanya untuk memahami maksudnya dan matlamatnya melalui penggunaan teknik stylization of ideas itu? Sekarang anda berpeluang untuk mengkritik Aligupit dengan menggunakan teknik stylization of ideas pula: Adakah Aligupit membayangkan dengan jelas tentang penipuan, keadilan, dan kezaliman sekali gus? Adakah anda mendapat kebijaksanaan selepas membacanya dan menilainya dengan kritis?  Semua ini menjadi tugas anda untuk memberi jawapannya, setelah pengarang menyediakan segala motif dalam siratan makna yang dianyamnya dengan kata-kata biasa tanpa rimbunan “bunga bahasa”, tetapi sebaliknya kaya dengan “buah makna”, sesuai dengan matlamat gagasan Persuratan Baru untuk menghasilkan karya persuratan yang indah dan bermakna.  Jika anda seorang pembaca yang kritis dan barangkali mempunyai jiwa seni, anda akan dapati kata-kata biasa itu (seperti dalam kesimpulan ini) sebenarnya kaya dengan makna. Itulah antara maksud pemikiran dalam karya kreatif.  Jika anda seorang sasterawan, dan yakin akan ketinggian mutu karya anda, anda tidak sepatutnya berasa takut dan ragu untuk dinilai dengan adil menggunakan kaedah yang disarankan oleh gagasan Persuratan Baru. Jika anda seorang ahli akademik, seorang sarjana dan pengkritik sastera, anda akan lebih peka meneliti kemungkinan yang selama ini tidak pun terlintas di fikiran anda kerana tidak mempunyai alat, konsep dan kaedah untuk menilai sesebuah karya kreatif berasaskan konsep ilmu yang benar; dengan itu anda sepatutnya lebih terbuka untuk menerima dan melakukan perubahan. 

Ini satu lagi contoh, kali ini saya ambil daripada Pujangga Melayu (hal. 282) yang membicarakan perihal penamaan rumah Prof. Awang, dalam suatu dialog yang biasa tetapi maknanya agak luar biasa, baik bagi watak dalam novel itu mahu pun dalam konteks novel itu sendiri.  Pada asasnya dialog kecil ini merumuskan seluruh falsafah yang ingin dibina dalam novel ini. Saya telah membicarakan perkara ini dalam beberapa posting dalam blog ini, jadi saya harap pembaca yang berminat boleh mencarinya jika mereka mahu. Saya tidak akan membicarakannya dalam posting ini, kerana episod kecil ini telah diulas dengan memuaskan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam bukunya, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009, hal. 121-123). Sila rujuk di sana jika anda berminat.  Dalam episod itu terdapat konflik antara faham materialisme, faham kebendaan, dengan faham kerohanian yang ingin dijadikan asas kehidupan Prof. Awang dan keluarganya. Konflik itu tidak kelihatan, tetapi dapat dirasakan jika episod itu diteliti dengan cermat. Perbualan antara Prof. Awang dan isterinya biasa saja, dalam keadaan santai, berupa sejenis tarbiah tidak langsung seorang suami kepada isterinya. Semuanya biasa saja, jika anda membacanya sebagai sebahagian daripada cerita; tetapi sebaik saja anda membacanya dalam konteks wacana, anda akan mula berfikir, adakah munasabah menjadikan peristiwa menamakan sebuah rumah satu perkara penting? Di sini anda diuji dari dua jurusan: dari jurusan pembinaan struktur novel itu sendiri, sama ada episod itu penting atau tidak; dari jurusan anda sendiri sebagai pembaca yang kritis, adakah episod itu memberikan anda sedikit imbasan kebijaksanaan dalam konteks nilai peribadi anda, atau jika anda tidak percaya dan meremehkan saja episod itu sebagai episod yang hanya remeh-temeh, adakah paksi naratif dan ruang naratif novel itu akan terjejas? Jika anda membacanya dalam mod bacaan intelektual, anda mungkin mendapat kesimpulan novel Pujangga Melayu tidak memberi apa-apa makna kepada anda sebagai pembaca; atau anda mungkin ingin meneliti dengan lebih cermat pembinaan struktur novel itu dengan melihat aspek paksi naratifnya dan bagaimana ruang naratif dipergunakan dalam membina novel itu.  Jika anda sampai ke tahap itu, anda akan mengerti apakah yang dimaksudkan dengan stylization of ideas. Jika tidak, anda boleh menelitinya lagi dengan lebih hati-hati sebagai satu cabaran intelektual. Atau terus meninggalkannya dan membuat kesimpulan bahawa semua ini karut saja. Apa pun pilihan anda,  dengan membuat pilihan itu anda telah menyatakan sejauh mana anda sebenarnya seorang pembaca yang kritis dan mempunyai sikap positif atau negatif.  Pilihan itu benar-benar menguji kejujuran anda sebagai seorang pembaca yang kritis, pembaca yang dewasa, yakni pembaca yang berfikir, bukan pembaca yang pandir, seperti yang ditegaskan oleh Prof. Awang kepada anak perempuannya: “Karya-karya ayah untuk orang yang berfikir, bukan untuk si pandir.” Di mana pun anda meletakkan diri anda, peringatan Awang kepada anaknya tetap bermakna dalam konteks novel itu sebagai sebuah novel persuratan. Di sinilah terletaknya kekuatan teknik stylization of ideas. Sama ada anda bersetuju atau tidak dengan kesimpulan ini tergantung kepada sejauh mana anda telah memahami teknik stylization of ideas itu sebagai satu aspek teknik yang penting dalam penulisan novel yang mementingkan wacana. Pendeknya, anda boleh merobohkan gagasan Persuratan Baru dengan menolak konsep (sebagai satu idea dalam seni penulisan) stylization of ideas sebagai karut semata-mata; atau anda boleh menggunakannya dengan berkesan dalam kerja-kerja kreatif anda yang bersifat cerita. Pilihan itu ditentukan seratus peratus oleh anda sendiri, untuk mencerminkan kebijaksanaan, kejujuran intelektual anda atau sebaliknya.

Ini sebuah cerita sufi yang mungkin boleh dijadikan iktibar, agak lucu tapi bermakna.  Dikabarkan, ada seorang Si Lurus Bendul berjumpa seorang tokoh sufi yang terkenal dan popular, meminta nasihat. “Tuan guru, beri saya amalan dan bacaan/wirid yang boleh saya buat untuk mendekatkan diri dengan Allah Ta’ala”, kata Si Lurus Bendul. Sang Tokoh sufi terkenal itu dengan berjenaka berkata, “Kamu gantungkan kaki kamu dengan kepala di bawah, bacalah wirid yang aku berikan ini.” Maka pulanglah dengan gembira Si Lurus Bendul ke rumahnya kerana mendapat petua yang mudah itu. Lalu dilakukannya betul-betul apa yang disuruh Sang Tokoh. Betahun-tahun lamanya. Allah Ta’ala Yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat, Yang Maha Mengasihani,  kasihan melihat hamba Nya yang ikhlas, lalu memberinya kebijaksanaan dan perasaan kasih sayang anggota masyarakat. Maka hairanlah Sang Tokoh Sufi melihat Si Lurus Bendul bertukar menjadi tokoh sufi. Dia mendapatkannya, bertanya apa yang diamalkannya. Dengan bangga Si Lurus Bendul memberitahu, “Saya amalkan ajaran Tuan Guru.” Bukan main terkejut dan malu Sang Tokoh Sufi, lalu beredar dari situ dan terus mengembara memohon ampun daripada Allah Ta’ala di atas keterlanjurannya mempermainkan ilmu.  Saya harap saya bukan tokoh sufi itu; dan anda pula bukan si lurus bendul! [Harap versi yang saya catat ini tidak lari jauh dari versi asal]. Wallahu a’lam.

2. Keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan: perlukah bahasa terlalu rimbun dengan bunga bahasa? Adakah sama keindahan bahasa dengan bunga bahasa? Atau bunga bahasa itu ciri keindahan bahasa? Di Malaysia, inilah pengertian umum tentang konsep “keindahan bahasa”, iaitu mestilah dinilai dan diukur daripada penggunaan “bunga bahasa”, berapa banyak yang dipakai, tanpa mengira sesuai atau tidak atau asli atau pun tidak.  Satu masa dahulu, H. B. Jassin memuji Idrus yang banyak menggunakan perbandingan dalam karyanya, yang oleh Jassin dianggap sesuatu yang cukup istimewa. Tetapi jika anda membaca karya Idrus, anda akan terasa penulis ini amat melampau menggunakan “bunga bahasa”, dalam hampir setiap ayat. Kesannya cukup membosankan dan mengganggu pembacaan. Panggunaan “bunga bahasa” yang begitu banyak akhirnya menjadi sejenis “gila bahasa” (tidak dalam maksud simpulan bahasa yang terkenal di Malaysia; tetapi dalam konteks keghairahan menggunakan perbandingan/kiasan dsb. sebagai bunga bahasa).  Usman Awang pula mempunyai penyakit “gila bahasa” yang berbeza, seperti yang dapat kita lihat dalam sajak-sajaknya, dengan puncaknya dalam sajak beliau berjudul “Cinta”.  Shahnon Ahmad pula lagi berbeza, dengan “kegilaan bahasa” yang jelas dalam kesukaannya menggunakan perulangan, iaitu sejenis “ratib bahasa” yang kosong makna, tidak seperti ratib biasa. Bagi Shahnon Ahmad, perulangan adalah aspek utama, atau kunci, keindahan bahasa. Ini dibuktikannya dalam novelnya Ranjau Sepanjang Jalan. Komen Prof. Dr. A. Wahab Ali tentang perulangan ini cukup menarik (tentang novel Tunggul-tuggul Gerigis):   “Novel ini amat sukar untuk dinikmati kerana terlalu banyak pengulangan menyebabkan kita loya dan muntah. Bayangkan, saya sebagai seorang pengkaji novel mengambil masa yang amat lama untuk menghabiskan novel ini. Malah sering pula saya melontarkan buku itu setiap habis membaca 5-6 halaman”. (Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, hal. 111.)  Apakah yang istimewa tentang novel ini? Keistimewaannya ialah kerana novel ini berjaya membuat seorang profesor sastera “loya dan muntah”.  Novel ini adalah salah sebuah novel terbaik, novel agung Malaysia versi DBP, karya terbaik Abad 20 menurut pilihan Dewan Bahasa dan Pustaka. Adakah pengulangan yang begitu banyak dalam karya Shahnon Ahmad bukti kekuatan kreatif beliau, atau bukti yang cukup jelas tentang kemampuan kreatif beliau yang tidak seberapa? Kita mesti ingat, beliau adalah seorang sasterawan negara, oleh itu apa juga yang beliau buat mesti bagus; tetapi kita jangan lupa bahawa beliau hanya seorang penulis, seorang sasterawan yang berdiri teguh dimercu mitos yang dibina dengan gigih oleh pihak-pihak yang menyanjung beliau. Pembaca yang lebih kritis melihat Shahnon Ahmad hanya seorang sasterawan picisan saja, itu pun sudah cukup baik.  Tetapi beliau telah diisytiharkan sebagai “Raja Novelis Malaysia”, bagaimana pula seorang sasterawan picisan diberikan gelaran itu? Di situlah kaedah memainkan peranan dalam analisis dan penilaian: mana satu penilaian yang lebih tepat akan ditentukan oleh hujah dan pembuktian yang dikemukakan, bukan menurut hawa nafsu penilai semata-mata. Itulah peranan pengkritik sastera dan peranan teori sastera, untuk menentukan kaedah terbaik dalam membuat penilaian yang paling tepat. Jika tidak, gelaran “Raja Novelis Malaysia” itu akan kekal sebagai satu “mockery”, bukan diasaskan kepada analisis yang cermat menggunakan ukuran yang boleh diterima oleh akal sihat. Dalam konteks inilah kita boleh persoalkan pemilihan novel Tunggul-Tunggul Gerigis sebagai salah sebuah karya besar Abad 20. Pilihan telah dibuat, kini terpulang kepada kita untuk menerima atau menolaknya. Itulah peranan sebenar seorang pengkritik yang berwibawa.  Oleh hal yang demikian, penerimaan atau penolakan harus dianalisis dan dinilai dengan objektif, berasaskan ukuran tertetu yang boleh diuji ketepatannya. Hakikat ini tidak diterima oleh para sasterawan dan sarjana sastera, yang menganggap setiap penilaian yang dibuat oleh autoriti yang dilantik kerajaan adalah muktamad, tidak boleh diungkit lagi. Inilah budaya pandirisme yang perlu ditolak. Tentulah sangat aneh apabila pendirian begini menjadi bahagian penting dalam kehidupan akademik seorang sarjana sastera.

Konsep keidahan bahasa yang dipakai sekarang tidak cukup jelas  untuk dijadikan landasan kukuh dalam membuat penilaian sama ada sesebuah karya kreatif itu bermutu atau tidak. Kecenderungan yang berlebihan untuk menggunakan “bunga bahasa” yang sengaja dicari-cari dan ditonjol-tonjol seolah-olah itulah ciri penting dalam konsep “keindahan bahasa” ini, telah melahirkan kekeliruan estetik yang parah. Aspek ini telah dibincangkan dalam buku Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (2008, hal. 19-38), oleh itu tidak perlu diulang lagi di sini. Lihat juga tulisan saya dalam Adab dan Peradaban: Karya Pengi’tirafan untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, eds. Mohd. Zaidi Ismail dan Wan Suhaimi Wan Abdullah (MPH, 2012). Dalam syarahan perdana Prof. Rahman Shaari tentang sajak-sajak Melayu, kekeliruan estetik ini dijadikan ciri penting dalam menilai sesebuah sajak. Inilah pendapat Prof. Rahman Shaari yang menyaring pendapat Subagio Sastrowardojo: “Subagio Sastrowardojo dalam bukunya Bakat Alam dan Intelektualisme menyebutkan bahawa kekuatan puisi moden amat bergantung pada keaslian pengucapan penyair. Penyair tidak mengulang pengucapan yang sedia ada. Isi tidak akan dapat menghasilkan kemantapan karya jika tidak dibantu  keaslian yang memikat.

Kemantapan akhirnya akan terlihat bergantung kepada keupayaan penyair mengeksploitasi bahasa hingga menghasilkan puisi yang tebal dengan unsur estetika. Penyair mungkin mengaplikasikan  pengetahuan psikologi (terutama psikoanalisis) dan falsafah, seperti yang diamalkan oleh Subagio Sastrowardojo sendiri. ... Bagi penyair yang kukuh dengan pegangan satu-satu ideologi, kemantapan boleh dicapai dengan menggunakan ilmu daripada ideologi berkenaan, asalkan penyair tidak mengizinkan ideologinya menguasai pengucapan. Penguasaan ideologi ke atas karya secara yang ketara akan menyebabkan pengungkapan karya menjadi tiruan  pemikiran dari dogma atau doktrin (Subagio, Simphoni, hal. 42. Dikutip daripada syarahan perdana Rahman Shaari, hal. 10)”.

Apakah yang anda dapat dari kutipan ini? Inilah contoh “cetek meraba-raba” yang dikritik oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau.  Siapakah sebenarnya yang menyuarakan pendapat ini? Jika anda biasa membaca buku-buku teori sastera Barat, bau tengik  keju Barat itu sangat kuat, lebih kuat daripada bau masam durian yang nampaknya tidak digemari oleh penanam durian sendiri, orang Melayu yang diajar berfikir dalam konteks tauhid. Jika anda uji pendapat “cetek meraba-raba” ini dengan syair-syair Iqbal, anda akan melihat betapa karutnya pendapat yang menegaskan “penyair tidak mengizinkan ideologinya menguasai pengucapannya.” Apa salahnya jika hasil karya itu “menjadi tiruan pemikiran dari dogma atau doktrin” yang dipegang oleh pengarang? Jika pendapat Prof. Rahman Shaari ini diterima, anda tidak mungkin menghasilkan karya yang bercorak  Islam, kerana menurut pendapat ini karya yang mantap mestilah yang bersifat “aesthetic”!  Ke mana  anda hendak meletakkan Rumi, Sa’di, Iqbal dan lain-lain penyair besar Islam?  Syair-syair mereka digemari oleh pembaca pelbagai agama dan faham falsafah, kerana itu karya mereka masih terus hidup dalam tamadun dunia moden. Jadi apakah sebenarnya yang dimaksudkan “kemantapan” atau “keindahan bahasa” dalam karya kreatif?  Pandangan kerdil dan cetek profesor ini akhirnya berakhir dengan kesimpulan yang pelik ini:  “Di Malaysia, Baha Zain berkebolehan dalam mencipta karya bertolak daripada ilmu tersebut (ie. psikoanalisis Freud). Yang terhasil ialah pengucapan jujur berupa konfesi yang dapat menjadi cermin  kepada khalayak” (hal. 10).   Saya tidak perlu mengulas kesimpulan yang aneh ini; biarlah anda sendiri membiasakan diri membaca pendapat yang sangat aneh ini (aneh kerana terlalu jelas kekeringan maknanya, seperti pokok durian yang sudah ranggas daunnya dan tidak dapat mengeluarkan buahnya lagi kerana sudah mati. Apa guna durian yang tidak berbuah? Apa guna ucapan yang tidak bermakna?)

Perlukah kita membezakan apa yang disebut konfesi dengan pemikiran atau renungan yang bercorak kerohanian?  Apakah yang membuat sesuatu konfesi itu begitu berharga, sehingga “menjadi cermin kepada khalayak”?  Jika anda membaca sajak-sajak yang diberi pujian tinggi oleh profesor ini, yang dianggapnya sajak-sajak mantap, anda akan dapati sajak-sajak itu tidak “menyentuh kecapi kalbu” anda, kerana tidak ada apa-apa yang membolehkan anda mengenal diri anda yang hakiki, kerana sajak-sajak demikian ditulis berasaskan hawa nafsu penulisnya, bukan berupa renungan mendalam tentang kehidupan kerohanian manusia. Kita harus dapat membezakan sanjungan palsu untuk memuji karya yang palsu pula. Demikianlah parahnya kekeliruan estetik yang tidak berlandaskan taklif dan ilmu yang benar.  Setiap hari kita disogok dengan sanjungan palsu untuk memuji karya tidak bermutu yang juga palsu, membuktikan betapa parahnya kekeliruan estetik ini dalam penilaian sastera di Malaysia.  Prof. Ungku Maimunah telah menunjukkan, dalam sebuah makalahnya, bagaimana kekeliruan estetik terjadi dalam keputusan sayembara  novel sempena Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri, apabila novel Azizi Hj. Abdullah, Harga Sebuah Maruah, terpilih untuk memenangi sayembara itu.  Isunya di sini bukanlah kemenangan novel itu, tetapi bagaimana novel itu dinilai tidak seperti yang diiklankan dalam syarat  sayembara. Demikian juga novel Kawin-kawin, yang saya berikan kritikan terperinci dalam sebuah kertas kerja (2003).  Nampaknya kekeliruan estetik ini berterusan dalam Laporan Panel Anugerah Sastera Negara, terakhir dalam Laporan 2012.

Laporan 2012 adalah yang terburuk, dan paling lemah, di antara sekumpulan laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang telah diterbitkan.  Dari segi memberi pujian dan sanjungan laporan ini adalah yang terbaik dan paling rimbun dengan pujian dan sanjungan, tetapi tidak diiringi bukti serta analisis yang menarik. Masih bertaraf klise yang kaya dengan kenyataan (statements) tanpa hujah (arguments) yang cukup kemas diikat dengan bukti yang tepat. Pujian dan sanjungan itu tidak seiring dengan contoh yang diberikan. Membaca laporan ini mengingatkan kita kepada laporan Hadiah Sako II tentang novel Kawin-kawin oleh Azizi Hj. Abdullah, seolah-olah ditulis orang yang sama. Perhatikan beberapa contoh, dengan memberi tumpuan kepada kesimpulan utama laporan ini bahawa Kemala adalah seorang pensajak mistik/kerohanian.  Kata Laporan 2012:  “Pada hakikatnya, Kemala ibarat sebatang pohon yang tinggi dengan bunga-bunga yang harum di taman kesusasteraan Melayu masa kini. Puisinya semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani.”

Dalam laporan yang lepas, kita tidak menemui pujian dan sanjungan setinggi ini, paling tinggi Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dipuji hanya sebagai seorang pensajak intelektual, tetapi sajak-sajaknya tidak “semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani.”  Secara langsung dan tegas Laporan 2012 telah meletakkan Kemala sebagai seorang “Maharaja Pensajak Melayu dan Nusantara”, mengatasi gelaran “Raja Penyair Malaysia” yang diberikan oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man kepada Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh. Dari segi memberi pujian, Laporan 2012 muncul sebagai pembina mitos paling unggul dan tegas dalam usaha Panel Anugerah Sastera Negara menjadikan tokoh-tokoh yang mereka pilih sebagai sasterawan negara itu muncul begitu hebat dan “memeranjatkan” kerana sebelum diangkat menjadi sasterawan negara mereka hanya manusia biasa saja. Begitu biasanya Kemala dalam pandangan Prof. Rahman Shaari, yang tidak langsung memberi sedikit pun pujian dan sanjungan kecuali hanya untuk memetik sebuah sajak beliau, “Pada Setiap Kali Kau Tiba, Ogos” (hal. 66) yang dianggapnya hanya “merupakan salah sebuah sajak tentang kemerdekaan yang cukup bertenaga serta puitis” (hal. 65, huruf condong ditambah); sehingga beliau mencadangkan kerajaan Malaysia menerbitkan sebuah kumpulan sajak patriotik yang memakai judul “Setiap Kali Kau Tiba, Ogos” untuk dibaca oleh semua pelajar dan remaja Malaysia supaya bersemangat patriotik.  Mujurlah buku itu tidak diterbitkan, kerana jika tidak kerajaan Malaysia akan membuat pembetulan yang memalukan seperti dalam kes Interlok. Kini hari kemerdekaan tidak lagi dirayakan pada 31 Ogos, sebaliknya pada 16 September (dikemudiankan dua minggu supaya menepati kemahuan politik pihak berkuasa masa kini). Barangsiapa yang tidak tahu sejarah perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan, tidak akan mengerti bahawa dengan perubahan ini, kemerdekaan tidak lagi satu perjuangan, tetapi satu strategi politik untuk terus berkuasa. Aspek ini penting diketahui oleh para pelajar dan remaja yang “patriotik”, supaya mereka sedar bahawa sebenarnya tidak ada “pahlawan” kemerdekaan” atau “pejuang” kemerdekaan, oleh itu “hari untuk mereka” boleh diubah-ubah mengikut cita rasa semasa. Dalam sejarah “kemerdekaan” Tanah Melayu daripada belenggu Inggeris, ahli politik dan ahli sejarah yang dilahirkan oleh ahli politik memberi tumpuan yang berlebihan kepada perunding kemerdekaan yang diangkat oleh penjajah, diwakili oleh para pemimpin feudal yang menamakan gerakan mereka UMNO, satu akronim daripada perkataan Inggeris. Jiwa dan semangatnya tetap Inggeris kerana mereka ini memang dicipta dan dipelihara oleh penjajah Inggeris. Demikian juga dalam penilaian sastera yang direka oleh para juri pemilihan, semuanya disesuaikan untuk kelihatan sesuai dengan matlamat pemilihan itu. Lihat bagaimana Prof. Rahman Shaari membayangkan hal ini: “Sesiapa yang meneliti sajak-sajak Kemala akan menemukan sebuah sajak patriotik ciptaannya” (hal. 65).  Sungguh aneh, mengapa Prof. Rahman Shaari menemui benda lain yang boleh membuat orang serabut (kerana Ogos tidak lagi hari patriotik), bukan sajak-sajak yang “semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani.” Sekiranya penulis Laporan 2012 seorang profesor (semua ahli Panel adalah profesor), maka mereka ternyata sudah silap, menemui sesuatu yang tidak pun wujud bagi seorang pakar persajakan Melayu seperti Prof. Rahman Shaari, yang menyebut perkara itu dalam syarahan perdana beliau, suatu dokumen ilmiah yang cukup penting, berupa kajian seumur hidup yang serius. Walau apa pun ramalan anda, sambil menggaru kepala (jika anda gemar berbuat demikian), anda tentu akan berasa taajub bagaimana parahnya “kekeliruan estetik” yang dihadapi oleh para sarjana sastera Melayu ini, di pihak mana pun anda berada, sama ada bersama seorang pakar persajakan atau bersama ahli Panel Anugerah Sastera Negara.  Adakah mereka pemain songlap, pemain silapmata, yang unggul?. Begitu unggulnya mereka sebagai pemain silapmata akademik sehingga dapat memukau seluruh khalayak sastera Malaysia untuk mempercayai mereka (sama seperti UMNO memukau rakyat Malaysia selama lebih setengah abad), untuk menerima penilaian mereka, padahal mereka hanya bermain silapmata, bukan pemain handalan dalam dunia pemikiran.  Masalah ini boleh diatasi, saya kira, jika nasihat “bernas” (perkataan ini digunakan oleh sebuah syarikat menjual beras)  Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ketika mengherdik dan menempelak saya bagaimana cara menulis kritikan sastera yang berkualiti diikuti, permainan songlap akademik ini mungkin boleh dikurangkan. Dalam tulisannya (Berita Minggu 25 Disember 1983 dan 1 Januari 1984)   Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh mencadangkan supaya setiap kritikan dimulai dengan “langkah kaedah” (sejenis “langkah sembah” dalam bidang akademik).  Beliau sendiri tidak pernah berbuat demikian; oleh itu walaupun beliau menjadi ahli Panel Anugerah Sastera Negara, “langkah kaedah” itu tidak kelihatan kerana tidak digunakan. Saya telah bermurah hati membantu beliau supaya beliau boleh memahami cadangan beliau sendiri walaupun saya tidak termasuk di antara 4000-5000 murid beliau, dan bagaimana cadangan beliau itu  boleh digunakan, dengan membicarakannya agak panjang dalam makalah saya yang terbit dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis  (2010; diselenggarakan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir; lihat bab 4, mulai hal. 289, khususnya hal. 328-331).  Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh menulis tentang perkara ini dalam tahun 1983; tetapi beliau sendiri menerima hakikat bahawa cadangannya itu sebenarnya agak “lekeh” kerana tidak dihuraikan dengan “teliti”, oleh itu beliau sendiri tidak berasa perlu menggunakan apa-apa “langkah kaedah” untuk menulis laporan Penal Anugerah Sastera Negara yang beliau sendiri menjadi ahlinya.  Adakah beliau juga seorang pemain silapmata dalam bidang akademik? 

Naifnya mereka dapat dilihat dalam contoh yang mereka berikan ini.  Laporan 2012 memberitahu kita, dalam kata-kata bombastik yang menjadi ciri penting laporan Panel Anugerah Sastera Negara, betapa pentingnya alusi dalam sajak Kemala. Inilah dia: “Sebagai penyair yang berjiwa besar, Kemala juga berani  menggunakan alusi daripada budaya lain seperti rujukan kepada Mark Anthony dan Cleopatra. Perkara ini dilakukan bukan kerana tidak ada tokoh dalam kalangan penduduk tempatan, sebaliknya, penggunaan alusi asing ini memupuk renungan tentang hukum hidup yang universal dan lumrah. ... Justeru, alusi daripada berbilang budaya menjadikan karya penyair ini universal. Namun demikian, Kemala tetap bersandar kepada akar umbi Melayu dan ajaran Islam” (hal. 20).  Kita boleh menulis sebuah makalah 50 halaman untuk membahaskan pendapat aneh dan melucukan penulis laporan ini; tetapi di sini akan disentuh satu (atau dua) perkara saja, yang agak melucukan.  Di sini Kemala menjadikan dirinya seorang Mark Anthony dan kekasihnya Cleopatra, untuk (agaknya) “meuniversalkan” percintaannya yang agung dengan kekasihnya, seperti percintaan Mark Anthony dan Cleopatra, Richard Burton dan Elizabeth Taylor yang melakonkan dua watak itu dalam filem mereka.  Inilah jenis wangian Barat yang cukup harum untuk mewangikan percintaan pensajak ini.  Bercinta memang universal, tak perlu diberitahu oleh Panel pun sudah diketahui orang;  tetapi di mana “wangian kerohaniannya” dalam alusi ini? Tidak lain hanya sejenis ilusi. Inilah satu contoh salah contoh untuk mencontohkan suatu contoh yang tidak perlu dicontohi.  Satu lagi bukti betapa parahnya kekeliruan estetik di kalangan para sarjana yang membicarakan sastera.

Dalam Laporan 2012 kita tidak saja bertemu kekeliruan estetik yang bersepah di sana sini; lebih teruk lagi ialah begitu jauh sekali jarak estetik yang cuba dicapai oleh Laporan 2012 dengan contoh yang diberikan. Tidak ada contoh yang boleh dianggap sajak kerohanian yang wangi itu diberikan dalam laporan ini; yang agak sipi-sipi ialah sebuah sajak yang ditulis tahun 1972 bertajuk “Laut”, yang dipetik bersandarkan pandangan Braginsky yang memuji sajak itu (hal. 16) sebagai percubaan pensajak mendekatkan diri dengan Hamzah Fansuri dan sufi-sufi Melayu yang menggunakan lambang laut dalam pengalaman kerohanian mereka.  Tidak sedikit pun terbayang ruh kerohanian tulen dalam sajak-sajak yang diberi sebagai contoh, kecuali jika kita boleh gunakan istilah “pseudo-sufi” untuk sajak-sajak buatan yang menggunakan ungkapan yang berbelit-belit yang lebih jelas sifat mengada-ada daripada gambaran pengalaman kerohanian yang tulen. Sajak-sajak yang dicontohkan kononnya berciri “kesufian” itu sebenarnya sajak-sajak ekspresif yang menggambarkan keinginan penulis yang sangat tegas mahu diterima sebagai pensajak sufi, padahal tidak mencerminkan pengalaman kerohanian yang tulen. Jauh lebih autentik sajak Chairil Anwar “Doa” yang benar-benar timbul dari kegelisahan dirinya yang disisih keluarga sendiri, dan dengan itu  memaksanya menulis rintihan kalbunya. Perbuatan membandingkan dan mendudukkan Kemala sejajar dan setaraf dengan Amir Hamzah adalah amat keterlaluan, apatah lagi tidak diberikan walau sebuah sajak yang dapat mencapai taraf, walaupun sipi-sipi, seperti sajak “Berdiri  Aku” Amir Hamzah; lebih melampau lagi apabila Kemala disetarafkan dengan Hamzah Fansuri. Kekeliruan estetik ini adalah akibat masalah kognitif yang dihadapi oleh penulis Laporan 2012, yang nampaknya terlalu ghairah ingin meletakkan Kemala sebagai pensajak sufi, kononnya.  Jikalau Laporan 2012 benar-benar percaya Kemala adalah pensajak sufi moden terbesar di Alam Melayu, laporan itu sepatutnya memberi perhatian khusus kepada perkara ini, dengan mengemukakan analisis dan penilaian teliti sajak-sajak sufi itu. Tidak ada, padahal peluang untuk berbuat demikian cukup terbuka dan inilah masanya  Panel Anugerah Sastera Negara mengemukakan secara tuntas seorang tokoh pensajak Islam tulen dalam sastera Melayu. Adakah Panel juga bermain songlap? Jika tidaklah kerana terdapat keangkuhan akademik yang begitu ketara (maksud saya: lontarkan apa saja pujian tanpa bukti dan analisis dengan memaksa pembaca menerimanya tanpa bantahan), kita mungkin dapat membaca sebuah laporan yang kemas dan betul-betul tinggi kualiti akademiknya.  Mengapa ini tidak dilakukan adalah suatu misteri, padahal para anggota Panel boleh melakukannya. Adakah kerana mereka sebenarnya tidak menghormati pensajak yang mereka laporkan, oleh itu boleh saja berlaku sambil lewa?  Sifat sambil lewa ini sudah dijadikan standard dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara, kerana mereka mengandaikan mereka adalah pakar yang tidak boleh dipersoalkan, oleh itu pembaca harus menerima keputusan mereka tanpa sebarang perasaan curiga. Jika hal ini terjadi 50 tahun dahulu mungkin usaha mereka diterima bulat-bulat; tetapi tidak sekarang  di kalangan pembaca yang mahukan kualiti pemikiran dan analisis yang lebih baik.  Sekali lagi kita berdepan dengan kekeliruan estetik yang parah.

Ketika membicarakan sumbangan Kemala dalam cerita pendek, Panel memberikan satu contoh yang cukup menarik, yang mungkin mereka tidak sedar contoh itu melambangkan kehidupan kerohanian Kemala yang paling autentik. Panel memilih cerita pendek “Sebuah Masjid Buat Hari Tua”. Ini komen mereka: “Dengan memfokuskan kepada cerpen “Sebuah Masjid Buat Hari Tua” dalam laporan ini, penelitian ditumpukan pada pencapaian Kemala dari segi penggunaan teknik satira. Kemala menyatirakan mereka yang menggunakan agama demi kepentingan sendiri (huruf condong ditambah). Menurut cerita ini, dalam kalangan AJK masjid pun terdapat perbalahan dan keadaan yang berpecah-belah. Golongan penyokong Tuan Haji Semilang Laut menentang pelantikan Cikgu Akmal, protagonis cerpen ini sebagai nazir masjid baru yang berharga RM6.5 juta itu” (hal. 29).  Cerita pendek ini menarik kerana Kemala sendiri pernah manjadi nazir Masjid Abdul Rahman Auf selama 10 tahun; dalam janga waktu itu beliau mencadangkan (yakni meminta) AJK masjid mengurniakan sepersalinan baju Melayu dari kain songket berharga mahal, kira-kira RM5,000. Beliau diberi persalinan itu oleh AJK yang “terhutang budi” di atas jasanya sebagai nazir yang tegas.   Menarik sekali pandangan Laporan 2012 yang berbunyi:  “Puisi Kemala dengan jelas membayangkan perjuangan dan pencapaian kerohaniannya dengan ungkapan-ungkapan mistikalnya yang tersendiri. Pencapaian ini tidak mudah diraih dalam lingkungan kehidupan moden yang di dalamnya terdapat banyak tarikan fizikal dan material” (hal. 15).  



3.  Kesimpulan:  Demikianlah parahnya kekeliruan estetik dalam kritikan sastera di Malaysia.  Akibat kekeliruan estetik telah saya huraikan dalam makalah saya mengenai novel Kawin-kawin, juga dalam makalah Prof. Ungku Maimunah yang membahaskan tentang kepincangan penilaian novel Harga Sebuah Maruah. Jika anda masih ingat, kekeliruan estetik ini diceritakan di dalam al-Quran dalam kisah Ratu Balqis yang mengadap Nabi Sulaiman ‘a.s.  Di situ ditunjukkan bagaimana  hasil seni (di sini seni bina) yang betul-betul tinggi mutunya, boleh memukau indera manusia sehingga menjadikan ilusi yang dilihatnya/dialami sebagai realiti seolah-olah terbentang sebuah kolam yang dalam.  Dalam konteks kritikan dan penilaian sastera di Malaysia, kekeliruan estetik itu timbul akibat ceteknya pengalaman seni, sehingga apa juga yang disebut “eksploitasi bahasa” (seperti anggapan Laporan 2012) dianggap sebagai “pencapaian kerohanian dalam ungkapan-ungkapan mistikal”, walaupun yang terjadi ialah tidak lebih daripada permainan bahasa dalam rimbunan bunga bahasa.  Jalan keluar yang dicadangkan oleh gagasan Persuratan Baru ialah melihat  keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan, dengan mengembalikan keindahan itu kepada taklif, tidak kepada kemahuan hawa nafsu seperti yang diamalkan dalam kesusasteraan. Dengan itu keindahan bahasa tidak lagi dilihat dari perspektif sejauh mana bahasa itu digunakan untuk merayau-rayau dalam belantara bunga bahasa dengan sengaja mencari perbandingan, kiasan dan lain-lain “bunga bahasa” (retorik) dengan maksud membawa seberapa banyak kelainan penggunaan bahasa, tanpa memikirkan aspek ilmu dan makna yang dikandung oleh permainan bahasa melalui penggunaan bunga bahasa tadi, atau dengan istilah Barat, dinamakan eksploitasi bahasa. Keindahan bahasa dapat dicapai dengan penggunaan bahasa yang tepat, sebagai contoh penggunaan bahasa Amir Hamzah dalam sanjaknya. Lihat bagaimana bahasa Melayu dalam tangan Amir Hamzah menjadi cantik dan memukau bukan kerana eskploitasi bahasa, tetapi lahir dari kemampuan kognitif yang tinggi untuk mengadun kata-kata dalam ungkapan yang istimewa. Sebagai contoh (antara banyak contoh), perhatikan bagaimana  perkataan “pulang” digunakan oleh Amir Hamzah dalam sanjak “Berdiri Aku”:  Angin pulang menyejuk bumi/ Menepuk teluk mengempas emas/ Lari ke gunung memuncak sunyi/ Berayun alun di atas alas.  Bandingkan kesimpulan Amir Hamzah dalam bait akhir sanjaknya: Dalam rupa maha sempurna/ Rindu-sendu mengharu kalbu/ Ingin datang merasa sentosa/ Menyecap hidup bertemu tuju.  Jika anda membaca “pulang” dalam konteks “rupa maha sempurna” menuju matlamat hidup “bertemu tuju”, anda akan melihat makna kewujudan manusia dan matlamat hidupnya, untuk “pulang” menemui Tuhannya.  Jika anda tidak percaya adanya Tuhan Yang Maha Esa dan adanya Akhirat, anda tetap akan “pulang” tetapi kepulangan anda sebagai manusia sesat: lihat betapa indahnya angin yang pulang menyejuk bumi dan tahu tempat yang ditujunya, yakni pulang ke gunung memuncak sunyi. Kepulangan yang sungguh indah dan digambarkan dengan indah sekali. Inilah contoh keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan yang dimaksudkan oleh gagasan Persuratan Baru. Inilah bentuk stylization of ideas yang dimaksudkan dalam gagasan Persuratan Baru. Semoga dengan penjelasan ini anda akan mengerti mengapa gagasan Persuratan Baru  dikatakan memberi kemahiran intelektual yang baru dalam memahami karya seni yang tinggi atau yang bermutu.  Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 7/7/2012.



Monday, June 25, 2012

ERA PENENTUAN DALAM PERKEMBANGAN PERSURATAN MELAYU BERASASKAN ILMU YANG BENAR


Sudah tiba masanya kesusasteraan Melayu bertukar haluan menjadi persuratan Melayu sebaik saja para penulis mula mendalami aspek ilmu dalam penulisan kreatif.  Ada sasterawan berkata, bertukar haluan itu keterlaluan, seolah-olah mahu menyinkirkan langsung golongan sasterawan, jadi cukuplah jika persuratan hanya diberi laluan tanpa halangan, dengan itu golongan sasterawan tidak terlalu terkilan dan berasa tersisih dalam pertandingan merebut pengaruh. Sebenarnya bagi saya tidak ada dan tidak perlu pertandingan; yang ada ialah pilihan. Sesiapa pun boleh memilih laluan yang disenanginya.  Tetapi perubahan tetap akan berlaku. Perubahan ini tidak dapat dielakkan, sekiranya anda mengikuti kesedaran masyarakat kini kepada kepalsuan yang sekian lama disogokkan kepada kita melalui konsep sastera.  Dalam posting yang lepas, dilakar dengan ringkas (rujuk buku UNESCO untuk keterangan lanjut) bagaimana pengaruh Andalusia memasuki dunia kreatif Eropah sehingga bermulalah penulisan kreatif bentuk baru. Satu aspek pengaruh ini perlu diulang berkali-kali untuk tidak dilupai oleh para sasterawan Malaysia, iaitu perihal unsur Islam dan falsafah yang dibawa dari Andalusia itu. Eropah mendapat tapak yang baik ketika memulai kesusasteraan moden mereka. Sebaliknya, para sasterawan Melayu/Malaysia menerima pengaruh tokoh-tokoh mulhid seperti Marx dan Freud untuk mengubah gaya penulisan kreatif di Malaysia. Maka lahirlah karya-karya seperti Salina, Langit Petang dan lain-lain yang ditulis di bawah pengaruh psikologi Freud dan realisme di bawah pengaruh Marx.  Apa yang sudah terjadi?  Para sasterawan Melayu telah berjaya menghancurkan persuratan Melayu, menggantikannya dengan kesusasteraan yang bercorak kreatif sepenuhnya, untuk menyatakan cerita mereka atau versi “baru” yang mereka ambil dari Barat.  Tumpuan kepada cerita dan pandangan peribadi berjaya menyisihkan aspek ilmu dalam persuratan, yang diberi nama baru sebagai kesusasteraan dengan kemunculan para sasterawan ini.  Maksud menyisihkan ilmu di sini ialah tidak menjadikan wacana ilmu sebagai asas penulisan kreatif, sebaliknya menjadikan cerita sebagai asas penulisan kreatif. Kenyataan ini amat penting kerana perbezaan ini memberi kesan yang jelas dalam hasil kreatif dan dalam pendidikan. Sekiranya seni penulisan kreatif diasaskan kepada wacana ilmu, maka cerita masih tetap diberi tempat yang wajar, malah wacana ilmu itu sendiri bertujuan untuk menjadikan cerita lebih cermat ditangani kerana cerita tidak lagi diberi kebebasan untuk merayau, tetapi berada dalam ruang naratif, dan melalui ruang naratif itulah maksud dan tujuan cerita itu ditakrif melalui penggunaan wacana dan teknik stylization of ideas. Sebaliknya, jika hanya cerita dan bercerita saja diutamakan, ilmu akan dipinggirkan dan hasilnya ialah karya-karya yang hanyut, tidak terfokus, dan tidak menyerlahkan pemikiran penulisnya. Contohnya banyak, dan telah dibicarakan dengan menyakinkan oleh Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat dalam karya akademik mereka.

Dari segi pendidikan pula, kita kehilangan tokoh besar dalam dunia persuratan apabila hanya karya kerdil dan cetek para sasterawan yang dibawa ke dalam bilik darjah untuk dikaji dan dipelajari. Inilah kelemahan paling besar dan paling merugikan dalam pendidikan negara. Para pelajar kita dipaksa untuk menerima dan mengenal para sasterawan yang “cetek meraba-raba” ini untuk dipuji dan dikaji. Ini semua telah menumpulkan daya berfikir para pelajar ini, lebih-lebih lagi apabila mereka dipaksa menerima dan menggunakan pendekatan Barat untuk mengkaji dan menilai para sasterawan yang “cetek meraba-raba” itu. Bilik darjah dan bilik kuliah kehilangan para pemikir, pendeta dan tokoh intelektual yang begitu ramai dilahirkan dalam tamadun kita.  Ke mana mereka pergi? Kita telah membuat pilihan yang paling merugikan dengan membawa masuk para sasterawan untuk dijulang di dalam bilik-bilik darjah dan di dalam dewan-dewan kuliah.  Beribu orang sarjana telah dilahirkan untuk membicarakan para sasterawan yang “cetek meraba-raba” ini, yang hanya melesukan daya berfikir para pelajar dan sarjana yang dilahirkan dari sistem yang memberi perhatian kepada para sasterawan ini. Para pelajar kita tidak mengenal dan tidak membaca karya tokoh-tokoh persuratan kita yang jauh lebih cerdik dan lebih berfaedah untuk dipelajari.  Inilah dosa paling besar dalam sistem pendidikan kita, apabila kita dengan sengaja melesukan daya berfikir para pelajar dan mahasiswa yang begitu tumpul pemikirannya sehingga tidak dapat membezakan antara karya picisan dan karya bermutu, dan menerima tokoh-tokoh picisan ini sebagai tokoh-tokoh penting. Jelaslah kita perlukan perubahan, tidak hanya laluan seperti yang dicadangkan oleh setengah sasterawan yang ingin mengekalkan kekeliruan dan kelesuan berfikir ini. Kesusasteraan yang ditiru oleh para sasterawan ini telah melahirkan budaya pandirisme dalam tamadun kita, dan inilah yang perlu kita ubah dengan kembali kepada persuratan.

Seorang penulis yang berbakat besar dan menguasai ilmu akan memilih untuk menghasilkan karya persuratan, kerana beliau akan dapat menyerlahkan pemikirannya dan juga bakat kreatifnya. Tentu saja pengarang jenis ini, yang menghasilkan karya persuratan, tidak ramai; tetapi mereka memberi darjat yang tinggi kepada pemikiran bangsanya. Penulis yang memang pandai menulis, akan memilih untuk menulis karya sastera, kerana ini lebih mudah dan dia juga akan berasa lebih bebas untuk berhanyut dalam ceritanya. Penulis jenis ini tentulah ramai, menjadi kumpulan majoriti, tetapi mutu tulisan mereka terbatas kepada kemampuan intelektual dan bakat penulis itu sendiri. Jika dia berbakat besar dan menguasai ilmu pula, dia akan meningkatkan dirinya untuk menulis karya persuratan. Untuk kategori ketiga, nampaknya inilah golongan yang paling rajin, kerana mereka mempunyai pembaca yang ramai yang memang menyukai budaya hedonisme yang menjadi panduan penulis kategori ketiga ini. Mereka tidak akan teragak-agak untuk menggunakan nama Islam untuk menulis karya picisan, seperti yang dilakukan oleh Shahnon Ahmad. Oleh sebab dalam dunia akademik sendiri terdapat ramai pula sarjana (ahli akademik) yang menggemari tulisan kategori ketiga ini, maka kategori ketiga ini akan terus mendapat pembelaan daripada ahli akademik jenis ini.

Kumpulan sasterawan ini berjaya melakukan dua perkara penting: menghapuskan tulisan Jawi, dengan itu sekaligus melontarkan Islam keluar dari perspektif penilaian yang kini ditentukan seluruhnya oleh teori realisme Barat.  Kedua, mereka berjaya menjadikan kegiatan sastera itu bersifat sekular sepenuhnya, dengan menjadikan teknik dan teori Barat sebagai panduan dan pegangan seluruhnya. Manusia yang menjadi penghuni dalam karya mereka adalah manusia yang berwajah Barat, dengan tata kelakuan kebaratan. Semua ini akan dilengkapkan dengan cara analisis dan penilaian oleh para sarjana yang menggunakan ukuran Barat sepenuhnya. Inilah yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang menjadi pelindung  dan penguatkuasa sistem kesusasteraan Barat dalam bahasa Melayu.

Apakah kesannya kemunculan golongan sasterawan ini terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu moden? Kesan yang paling besar ialah hilangnya kecerdikan dalam karya dan dalam penilaian karya. Hakikat ini dibuktikan dengan begitu meyakinkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam kertasnya yang membicarakan novel Azizi Hj. Abdullah, Harga Sebuah Maruah. (Lihat kertas beliau, “Novel Harga Sebuah Maruah Oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara”. Dibentangkan dalam Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia XII (SKIM XII), Bangi:  Universiti Kebangsaan Malaysia, 29-23 November 2011.  Lihat juga kritikan saya terhadap novel Kawin-kawin yang menang Hadiah Sako II: “Unsur Jenaka dalam Novel Kawin-kawin: Kegagalan Intelektual Seorang Sasterawan”. Kertas kerja dalam Seminar Jenaka Melayu Nusantara, anjuran DBP, Universiti Malaya, 21-23 September 2003).  Sekali imbas kesimpulan ini kedengaran agak aneh dan barangkali tidak tepat dan tidak objektif. Tetapi jika anda meneliti persoalan ini dengan mendalam dan kritis, anda akan dapati sastera Melayu moden itu hanya berbicara tentang kemahuan para sasterawan, bukan tentang kesedaran ilmu yang akan membawa pembaca untuk mengenal dirinya sebagai manusia dan sedar apakah matlamat hidupnya. Semua aspek ini tidak diberi perhatian kerana bertentangan dengan konsep sastera yang hanya mempunyai satu matlamat, iaitu untuk bercerita. Dari segi ini, sastera Melayu memang tidak berbeza dengan sastera negara lain yang juga memberi perhatian kepada aspek cerita. Dengan penekanan kepada realisme, sastera Melayu moden dikatakan menjadi jurubicara kepada masalah rakyat, oleh itu pada umumnya hasil sastera Melayu moden berbentuk protes, sesuai dengan faham sastera yang menjadi anutan para sasterawan bahawa sasterawan adalah propagandis zamannya. Kesan dari kepercayaan kepada sifat sastera seperti ini, maka sastera Melayu moden memang kaya dengan karya yang bersifat propaganda dan protes, tetapi sangat miskin dengan pemikiran.  Beberapa seminar yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara, pada umumnya gagal membicarakan aspek “pemikiran” itu, malah para penulis kertas kerja sendiri mengaku tidak ada “pemikiran” dalam karya para sasterawan negara sendiri. Adakah ini terjadi dengan kesedaran para sasterawan sendiri, bahawa tidak menjadi matlamat sastera untuk membicarakan soal “pemikiran”, kerana secara tabii sifat sastera  untuk bercerita semata-mata. Kata para pembela sasterawan negara, itulah kekuatan para sasterawan negara. Tiadanya “pemikiran” dalam karya tidak mencacatkan karya mereka, kerana mereka menulis bukan sebagai “pemikir”, hanya sebagai propagandis zamannya. Dari segi itu, kata para pembela sasterawan negara, mereka sangat berjaya. Semua mereka adalah propagandis zamannya.

Apakah maksud “propagandis zamannya”?  Idea ini sebenarnya adalah idea Asas 50, yang menggunakan slogan “sastera untuk masyarakat” atau “sastera untuk rakyat”.  Inilah kesan dari ajaran Marx dalam sastera Melayu moden, dan Asas 50 adalah jurubicara kepada “sosialisme sastera”, yang mereka kaitkan dengan “perjuangan politik”, dengan itu memberi erti bahawa sasterawan adalah pejuang kemerdekaan. Mungkin benar ada di antara mereka boleh dikategorikan sebagai pejuang kemerdekaan, tetapi penglibatan mereka tidak secara langsung, kecuali penulis seperti Ishak Hj. Muhammad dan Ahmad Boestamam. Dilihat dari perspektif ini, maksud “sasterawan sebagai propagandis zamannya” merujuk kepada gerakan sosialisme dalam politik Malaysia pada peringkat awal, selepas para pejuang yang terdiri daripada golongan ulama dan orang agama diketepikan kerana dituduh tidak cukup radikal dalam cita-cita politik.  Pada peringkat awal dalam perkembangan sastera Melayu moden, slogan ini mungkin boleh diterima, dan peranan sasterawan sebagai seorang propagandis tidak perlu dipersoalkan. Tetapi selepas 1981, apabila Anugerah Sastera Negara dimulai, slogan ini ditolak oleh Panel Anugerah Sastera Negara, walaupun mereka menerima para propagandis dari golongan sasterawan ini untuk dinobatkan sebagai sasterawan negara. Dalam laporannya, Panel menolak karya yang bersifat propaganda dan yang bercorak didaktik. Penegasan ini disebut dalam Laporan 1985 ketika membicarakan karya A. Samad Said. Berasaskan pandangan itu, bolehkah kita berkata, slogan “sasterawan sebagai propagandis zamannya” sudah ketinggalan zaman, tidak sesuai lagi dengan suasana masyarakat pada waktu ini?. Tetapi kesimpulan ini nampaknya tidak diterima oleh para sasterawan dan sarjana sastera,  yang masih menganggap slogan itu masih boleh dipakai untuk sekian lama di masa hadapan, mungkin juga sampai hari kiamat!  Hujah mereka, sasterawan mempunyai tugas sosial yang tidak dibataskan oleh masa, dengan itu tugas itu untuk sepanjang zaman. Malangnya pandangan ini bukanlah pandangan asli sasterawan Melayu,  kerana yang menyuarakan  pandangan ini ialah seorang tokoh Perancis yang terkenal, yang juga diminati di Malaysia, iaitu  Hippolyte Taine, yang memberikan formula race-milieu-moment.  Berasaskan formula Taine, novel-novel picisan dan erotik yang ditulis oleh Abdullah Hussein, Shahnon Ahmad, Azizi Hj. Abdullah dan lain-lain dipertahankan sebagai karya yang mencerminkan perkembangan masyarakat dalam sesuatu masa tertentu.

Menurut Rene Wellek (A  History of Modern Criticism 1750-1950. Jilid 4. Yale University Press, 1965.) yang memberi pendapatnya begini: “Today the name Taine almost compulsively evokes three words: race, melieu, and moment. He is known as the founder of a sociological science of literature. But one has the impression that at least outside of France he is not read any more. Writers on English literature hardly ever refer to his History of English Literature. Even in France his reputation is under a cloud. Except for specialists his peculiar, highly complex position in a history of criticism seems to be unknown or misunderstood” (hal. 27).  Nampaknya para sarjana di Malaysia mempunyai pendapat berbeza, kerana Taine sering disebut dalam konteks tiga perkataan (bukan konsep?) tadi. Adakah sarjana Malaysia membaca Taine atau hanya mendapat maklumat mudah dan ringkas dari buku-buku panduan tentang kritikan? (Di Malaysia buku-buku begini sangat popular; di kalangan pelajar pula buku-buku begini memberi nafas kepada pelajar yang malas membaca! Buku-buku jenis inilah yang memundurkan pelajar dan guru/pensyarah mereka).  Analisis dan penilaian Rene Wellek tentang teori Taine ini perlu dibaca dengan kritis oleh para sarjana Malaysia, supaya mereka dapat melihat betapa ceteknya pengetahuan mereka tentang teori Taine ini. Tidak pantas bagi seorang sarjana untuk terus berada dalam keadaan “cetek meraba-raba” selama-lamanya!

Adakah sarjana Malaysia sudah jauh ketinggalan zaman apabila mereka masih berpegang kepada rumusan Taine yang sebenarnya tidak membantu untuk memahami keadaan sebenar dalam kesusasteraan Melayu? Apakah yang dimaksudkan dengan “keadaan sebenar” itu? Pertama sekali, kesusasteraan Melayu tidak menyerlahkan “pemikiran”, sehingga karya para sasterawan negara sendiri pun dikatakan tidak mempunyai “pemikiran” itu. Kita perlukan kaedah dan teori yang menjurus kepada analisis tentang pemikiran ini; dan ini tidak dapat diberikan oleh teori Taine. Kedua, teori Taine tidak tepat untuk digunakan bagi mengukur kemajuan yang telah dicapai, kerana matlamat teori itu bukan untuk itu, tetapi hanya untuk memperihalkan beberapa aspek dalam persoalan kemasyarakatan yang menarik minat penulis. Tetapi ini pun tidak tepat, kerana kecenderungan penulis untuk memilih sesuatu persoalan tidak semestinya didorong oleh kesedarannya terhadap persoalan yang dihadapi masyarakat. Sebagai contoh: sering dikatakan munculnya novel-novel picisan yang bercorak erotik adalah hasil pergolakan dalam masyarakat pada tahun-tahun 1960-an dan sebelumnya yang dikaitkan dengan keruntuhan moral. Tahun-tahun tersebut adalah tahun-tahun awal selepas kemerdekaan. Bolehkah kita berkata, tahun-tahun awal selepas kemerdekaan merupakan masa keruntuhan moral masyarakat kerana kemiskinan yang dihadapi rakyat? Jika ini benar, kemunculan novel picisan dan erotik tidak dapat dikaitkan dengan kemiskinan, kerana keruntuhan moral tidak berpunca daripada kemiskinan, walaupun memang terdapat kes perempuan Melayu, terutamanya janda, yang memilih menjadi pelacur kerana desakan hidup. Tetapi pelacuran seringkali dikaitkan dengan keinginan untuk mendapat kemewahan hidup dengan mudah dan serta merta. Di dalam novel-novel picisan dan erotik yang dihasilkan oleh para penulis Melayu, aspek ini memang dibayangkan sepintas lalu; tetapi dorongan untuk menulis novel-novel jenis ini ialah kemahuan penulis sendiri untuk melariskan karyanya, kerana terdapat andaian bahawa pembaca memang sukakan karya seperti itu. Inilah pandangan umum para penulis tentang sastera, seperti yang diakui oleh Azizi Hj. Abdullah dalam bukunya Kuras-kuras Kreatif (DBP, 2007). Antara lain, kata Azizi: “Pada masa itu (merujuk tahun 1960-an) karya kreatif berunsur lucah sering tersiar.  ... Saya cuma nampak dunia kejahatan sahaja yang perlu ditulis jika mahu menjadi seorang penulis” (hal. 8).  Ini sebenarnya timbul dari kesilapan memahami konsep realisme, kerana bagi pengarang Melayu, kejahatan adalah realisme yang mesti didedahkan. Tetapi seringkali pendedahan yang dikatakan bersifat realistik itu hanya alasan untuk menulis karya lucah, seperti yang diakui dan dilakukan oleh Shahnon Ahmad dalam novelnya, TIVI. Jika semua aspek ini diberi pertimbangan dan dianalisis, kita akan dapati teori Taine tidak boleh digunakan untuk menilai kegiatan yang bersifat lucah dalam karya para sasterawan Melayu. Oleh itu, percubaan seorang sarjana untuk membela Abdullah Hussein yang menulis novel picisan dan lucah, Kuala Lumpur Kita Punya (1967) dengan menggunakan teori Taine amat mengelirukan, kerana teori ini tidak dapat mengesan (malah tidak penting pun diberi penilaian) aspek picisan dan lucah itu, kerana kedua-duanya adalah wajar kerana “itulah realiti pun” (ini ungkapan Shahnon Ahmad ketika membela karya lucahnya).

Pengguna teori Barat di Malaysia harus sedar dan dapat mengesan bahawa teori  Barat  telah mengaburkan banyak perkara dalam memahami karya sastera Melayu moden. (Saya telah bincang aspek ini dalam posting yang lepas.)  Kekeliruan yang paling dasar dan paling besar ialah teori Barat menolak pentingnya dibezakan antara ilmu dengan pengetahuan, kerana mereka menolak epistemologi sebagai asas penting dalam pembinaan teori. Teori Barat hanya berminat melihat aspek luaran sesebuah karya (walaupun dalam pendekatan psikologi, yang lebih tepat membicarakan hawa nafsu, bukan bersifat kerohanian); dengan itu tafsiran mereka terbatas kepada perilaku watak-watak dan perilaku penulis sendiri yang memilih sesuatu persoalan atau tema. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Contoh terbaik ialah laporan terhadap karya A. Samad Said. Di situ Panel memberi penekanan berlebihan kepada teknik bercerita, bukan kepada makna cerita itu. Oleh itu, mereka memuji A. Samad Said yang menurut mereka memberikan perincian yang detail dari segi latar dan peristiwa (misal: lihat contoh cerita pendek “Longkang” yang menggambarkan longkang dengan begitu terperinci). Panel mengutamakan “penelitian” maklumat yang dapat dilihat, dengan itu “maklumat” disamakan dengan “ilmu”. Inilah kesilapan besar yang membuat Panel menerima sebuah karya picisan seperti Salina sebagai sebuah hasil sastera yang bermutu tinggi. Inilah juga kelemahan teori Taine yang menjadi ikutan sarjana Malaysia. Inilah kesilapan Balqis ketika baginda mengangkat kainnya waktu dia memasuki istana Nabi Sulaimkan ‘a.s. kerana lantai berkilat itu disangkanya sebuah kolam. Balqis terpesona dengan hasil seni bina yang begitu tinggi mutunya, samalah seperti Panel terpesona kepada perincian dalam karya A. Samad Said. Tetapi Balqis beruntung kerana beliau dibetulkan oleh Nabi Sulaiman ‘a.s. dan terus sedar akan kesilapannya; manakala Panel Anugerah Sastera Negara terus terpesona dengan gambaran luaran yang pada hakikatnya tidak memberi apa-apa makna yang penting walaupun diperincikan begitu rupa. Menjadikan “perincian” suatu ukuran penting dalam penilaian, samalah dengan menjadikan sampah berlonggok yang tersusun sebagai barang berguna yang perlu dihargai. Anda hanya dapat membezakan dua penilaian ini jika anda dapat membezakan antara maklumat dengan ilmu. Jika anda tidak dapat membezakannya, maka anda akan jadi seperti Fatimah Busu yang menulis sebuah novel yang tebal yang penuh dengan maklumat (yang tidak semestinya tepat dan berguna, misalnya keghairahannya kepada sajak Rendra yang telah memberinya “inspirasi” untuk dijadikan judul kepada novelnya dan nama watak utamanya).  Semua ini akan dapat anda kesan jika anda menggunakan mod  bacaan intelektual yang dibezakan dengan mod bacaan cerita. (Penjelasan lanjut diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam banyak tulisan beliau.)  Dengan menggunakan mod bacaan intelektual, anda akan dapat melihat “realiti” mutu sebenar sesebuah karya, yang anda tidak dapat lihat jika anda membacanya dalam mod bacaan cerita. Inilah kekuatan gagasan Persuratan Baru yang membezakan dengan jelas antara wacana, yang berasaskan ilmu yang benar, dengan cerita (yang hanya berasaskan peristiwa yang tidak semestinya bermakna; untuk memahami kesimpulan ini anda harus teliti maksud “khusran” yang ditekankan oleh Al-Quran tentang kehidupan manusia.)  Tetapi jika anda sebagai seorang sarjana yang benar-benar menguasai bidang anda, seperti ahli sihir Firaun menguasai ilmu sihir, maka anda akan dapat melihat “kebenaran hakiki” (atau realiti hakiki) berasaskan konsep ilmu yang benar.  Masalah kita ialah para sarjana (sastera) kita masih berada, dari segi kemahiran dalam bidang pilihannya, pada peringkat “kemahiran” seorang ahli silap mata yang menghiburkan anak-anak waktu menyambut hari jadi mereka. Memang menyeronokkan, tetapi sia-sia.  Di mana pula letaknya Panel Anugerah Sastera Negara sendiri?  [Jika anda telah membaca makalah saya, “Persuratan Baru dan Cabaran Intelektual: Menilai Kembali Kegiatan Kreatif dan Kritikan” (1998), anda akan mengerti mengapa saya menggunakan ungkapan “tabiat berfikir pascatadika” ketika mengkritik golongan sarjana “ahli silap mata” ini.]

Abad 21 merupakan era perubahan dari kesusasteraan kepada persuratan dalam bidang kreatif dan kritikan di Malaysia. Walaupun perubahan itu berlaku agak perlahan, dan banyak pula halangan daripada para sasterawan dan sarjana sastera sendiri, namun tanda-tanda yang menunjukkan perubahan itu telah bermula sudah agak jelas kelihatan. Kini para penulis mula berminat untuk memahami konsep ilmu seperti yang difahami dalam Islam; di samping itu mereka juga sudah dapat melihat mengapa wacana sangat penting dalam penulisan kreatif, sambil tidak meninggalkan aspek cerita. Kini cerita tidak lagi dibiarkan merayau tanpa arah, kerana cerita kini dilihat dari perspektif kedudukannya dalam ruang naratif yang dibina oleh pengarang. Dengan menggunakan ruang naratif, seorang pengarang akan lebih mudah mengawal karyanya daripada tersasul ke arah yang boleh melemahkan (yakni membikin karya itu tidak bermutu) karya kerana tidak seimbang dari segi teknik penulisan. Penggunaan ruang naratif yang cekap dan kemas akan memudahkan seorang penulis/pengarang menyerlahkan kemampuannya berfikir, suatu kelemahan yang amat jelas dalam praktik yang dibuat selama ini yang menggunakan teknik lama yang sudah menjadi klise.  Melalui proses ini, kita dengan mudah dapat membezakan sesebuah karya itu berupa karya persuratan, atau karya sastera biasa dalam bentuk lama, atau pun karya lucah/erotik dan picisan. Perubahan ini penting kerana ketiga-tiga kategori itu mempunyai kedudukan masing-masing dalam penilaian yang dibuat oleh sesiapa saja yang meneliti, atau sekurang-kurangnya membaca karya itu. Ini adalah sejenis kemahiran baru yang perlu dipelajari oleh semua pembaca, baik pembaca yang biasa mahu pun  yang bertaraf akademik. Selama ini kemahiran ini tidak jelas, tidak terarah untuk mencapai sejenis kesempurnaan kefahaman berasaskan ukuran yang dapat diuji ketepatannya. Melalui proses pemilihan ini, pembaca akan didedahkan kepada aspek pemikiran dalam pembinaan karya, tidak seperti dulu pembaca hanya berminat untuk mendapat cerita semata-mata.  Karya besar Malaysia akan lahir dalam era perubahan ini, dan genius kita yang sebenar akan muncul dalam era perubahan ini. Proses pemantapan sedang berlaku, sama ada secara sedar melalui usaha gigih untuk membina tamadun persuratan yang canggih; atau secara tidak langsung melalui proses penolakan dan cemuhan, yang akan berakhir dengan  kematangan berfikir dan dengan itu bersedia untuk ikut serta memberi sumbangan dalam era perubahan itu.  Mereka yang degil, yang tidak mempunyai hujah, akan tersadai di karang kejahilan untuk disapu ombak besar Persuratan Baru, terus dihanyutkan sebagai sampah.  Tidak pernah berlaku dalam sejarah tamadun manusia bahawa sampah itulah yang menentukan nilai-nilai tamadun tersebut. Dengan berpandukan kaedah analisis yang ditawar oleh gagasan Persuratan Baru, anda akan dapat melihat dengan jelas berapa banyak sampah yang telah dihasilkan oleh para sasterawan, termasuk oleh para sasterawan negara; di samping itu anda juga dapat mengesan dengan mudah karya-karya bermutu yang layak dijadikan warisan dalam tamadun persuratan yang kita ingini. Tamadun persuratan yang kita ingini itu berasaskan konsep ilmu yang benar, dengan kekuatan kreatif yang menonjol melalui stylization of ideas (siratan makna pemikiran kreatif) yang diperolehi daripada kefahaman yang mendalam tentang peranan wacana dan cerita dalam pemikiran kreatif.  Semua ini tidak diberi perhatian sebelum munculnya gagasan Persuratan Baru, kerana tidak ada ukuran yang boleh dipakai untuk membolehkan seseorang menentukan kedudukan sesebuah karya di tempatnya yang sesuai dengan mutu karya itu.  Tempat yang sesuai itu boleh dihujahkan dengan mendalam dan jelas pembuktiannya apabila seorang pembaca yang kritis berupaya meletakkan sesebuah karya dalam kategori tertentu yang dibincangkan di atas. Sesiapa juga yang beroleh kemahiran ini, terutama para pelajar dan pembaca yang terpelajar, akan dapat menikmati keindahan sesebuah karya kreatif yang ditulis oleh penulis yang berilmu dan tinggi pula kemampuan kognitif dan kemampuan inteleknya.  Dalam konteks ini, bukan hanya sang pengarang yang diberi peluang untuk mengajak pembacanya memikirkan dengan objektif persoalan yang dikemukakannya; pembaca juga berhak memberi kritikan untuk memberitahu sang pengarang bahawa karyanya itu mencapai atau  tidak mencapai standard yang diingini oleh pembaca yang kritis. Melalui proses yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru, kedua-dua pihak ini akan mendapat faedah; dan pengarang akan lebih berhati-hati menulis karyanya kerana kini pembaca sudah mencapai standard yang agak tinggi untuk menilai dengan kritis sesebuah karya yang diterbitkan. Semua proses ini akan berjalan dengan lebih cepat dan meluas jika para sarjana yang tidak bersetuju dengan gagasan Persuratan Baru memberi peluang kepada para pelajar mereka untuk mengenal apakah gagasan Persuratan Baru itu dan apakah yang ingin dicapainya.  Pendeknya, diperlukan kejujuran dan perasaan cintakan ilmu di kedua-dua belah pihak.

Saya yakin gagasan Persuratan Baru akan muncul sebagai satu pendekatan paling berkesan untuk meningkatkan kemahiran berfikir, menulis, menganalisis, dan menilai karya kreatif dan akademik yang dihasilkan oleh para pengarang dan sarjana kita.  Satu hari nanti yang telah ditentukan oleh Allah Ta’ala (kerana semuanya hanya akan terjadi dengan izin Nya) akan membawa Persuratan Baru ke dunia ilmu seluruh dunia, sekurang-kurangnya untuk difikirkan dengan lebih mendalam oleh ahli-ahli ilmu Islam. Permulaannya telah berlaku, apabila Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid dimasukkan dalam senarai antara buku penting abad 20/21 dalam projek “Institute for the Study of Muslim Civilizations: The Annotated Bibliography Project.” (Maklumat ringkas dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (Penerbit UKM, 2008), hal. 150.  Dalam konteks ini, sesiapa juga yang meremehkan PB akan menghadapi penyakit jiwa yang berpunca daripada perasaan hasad dengki yang memakan dirinya sendiri. Seperti yang selalu diperingatkan, manusia bebas untuk melakukan kebaikan; tetapi tidak dibenarkan untuk mengkhianati dirinya sendiri dengan menzalimi dirinya sendiri dengan bertindak mungkar untuk mengkhianati sesuatu usaha yang makruf.  Puncanya mudah saja: mereka ini, walaupun mendakwa mereka peganut Islam, masih ragu dan berkelakuan seolah-olah tidak percaya kepada hari Akhirat; oleh itu apa juga anjuran untuk membawa mereka ke arah kebaikan ditentang bukan kerana tidak betul, tetapi kerana mereka berasa pendapat merekalah yang sepatutnya menjadi ikutan, kerana mereka mewakili golongan beradab dan berilmu, mewakili apa yang mereka sebut sebagai aliran perdana.  Mereka tidak sedar itulah puncak kebiadaban dan keangkuhan yang merosakkan semua kebaikan yang dibuat oleh mereka dan oleh orang lain juga. Mereka bangga kerana tetap meneruskan kekeliruan yang ada. Persuratan Melayu tidak mungkin dibina berasaskan kekeliruan dalam memahami konsep ilmu, yang hanya melahirkan golongan yang “cetek meraba-raba”. Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan,
18 Jun 2012.

Thursday, June 14, 2012

BISUKAH SASTERA MELAYU TANPA TEORI SASTERA BARAT?



[Catatan penting: Jika benarlah sungutan dan rungutan yang sering kita dengar, betapa sastera dipinggirkan dalam pendidikan negara, dengan calon pelajar sastera terdiri daripada pelajar yang kurang menonjol kecerdasan intelektualnya, maka wajarlah sesuatu tindakan positif dilakukan untuk mengatasi masalah itu. Dalam konteks ini, saya harap makalah ini boleh digunakan untuk dijadikan bahan perbincangan di dalam kuliah, dengan bimbingan para profesor dan pensyarah universiti. Beri peluang kepada mahasiswa kita memberikan pendapat kritis mereka dalam soal ini, tanpa sebarang prasangka. Biarlah kuliah sastera itu menjadi hidup dengan hujah-hujah ilmiah yang bernas, yang diberikan oleh pelajar sendiri. Kita pernah diberitahu oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh bahawa beliau mempunyai pelajar yang ramai, antara 4000-5000 jumlahnya. Tetapi mengapa tulisan dan pembicaraan kita tentang sastera masih berada dalam klise lama? Tidak ada perkara baru yang menarik. Apakah yang dipelajari oleh pelajar yang ramai itu, dan apakah yang diajarkan kepada mereka? Jelaslah kita tidak boleh salahkan mereka jika mereka tidak cemerlang. Ada sesuatu yang hilang dalam pengajaran sastera itu. Apakah yang hilang itu? Kita perlu bahaskan dengan sengit dan rasional.]
______________________________________________________________________________

Tanpa sastera Barat, tidak ada sastera Melayu moden. Itulah kesimpulan Panel Anugerah Sastera Negara, para sarjana yang menjadi pengikut mereka, pengkritik sastera yang lumpuh jika tidak memakai teori dan pendekatan Barat, dan para sasterawan yang tidak mempunyai teknik tanpa teori sastera Barat. Anda mesti baca laporan Panel untuk memahami kesimpulan ini.  Tanpa menggunakan teknik, pendekatan dan teori Barat, kata mereka sastera Melayu moden tidak akan  mencapai taraf antarabangsa.  Sebenarnya inilah yang terjadi di seluruh dunia, termasuk di negara-negara Arab yang sudah beribu tahun mempunyai pengalaman bersastera yang hebat, lebih hebat daripada sastera Barat yang mereka tiru akhirnya, kerana sesungguhnya sastera Barat moden tidak akan lahir tanpa pengaruh besar dari Andalus, yang mengajar Manuel Cervantes menulis roman pertama Eropah, Don Quixote. Mungkinkah lahir karya Dante Divina Comedia (kadang-kadang dieja Divina Commedia) tanpa israk dan mikraj?  Tidakkah  Robinson Crusoe  ditiru daripada novel falsafah Ibn Tufayl, Hayy bin Yqzan? Menurut pandangan sarjana Eropah/Inggeris, novel ini diasaskan daripada cerita benar pengembaraan Alexander Silkirk ke sebuah pulau (1704-1709); tetapi ini pula pendapat sarjana yang mengkaji perkara ini: “The parallels between Robinson Crusoe and Hayy bin Yaqzan are many and striking enough to make it probable that Defoe was acquainted with the Muslim work”. (Riad Kocache, The Journey of the Soul: The Story of Hayy bin Yaqzan, hal. ix, “Introduction” kepada terjemahan beliau. London: The Octagon Press, 1982).

Seorang sarjana dan paderi Katolik di Sepanyol, Prof. Miguel Asin Palacios, dalam tahun 1919 menerbitkan sebuah buku yang membicarakan The Divine Comedy yang menerima pengaruh daripada ajaran Ibn Arabi dan Kisah Israk dan Mikraj.  Dalam sebuah buku tentang sumbangan tamadun Islam dan Arab dalam kebangkitan Eropah, yang diterbitkan oleh UNESCO di Mesir (1977), Islamic and Arab Contribution to the European Renaissance, antara lain terdapat catatan ini: “It is natural to anticipate that Spain should have played the greatest role in introducing Arabic narrative to Europe and in disseminating it  on the largest scale. We should here recall that the bulk of the ancient Greek and Latin narrative heritage  have already passed into oblivion during the Middle Ages. Furthermore, most of what Europe knew of that heritage came to her through Arabic translations that reached the continent by way of Andalusia” (hal. 60).  Pengaruh inilah yang melahirkan karya seperti Don Quixote, The Decameron (hal. 100), The Divine Comedy, karya-karya Shakespeare sendiri, juga mempengaruhi karya Hans Christian Anderson, dan lain-lain karya oleh gergasi sastera Eropah/Barat. (Rujuk  halamam 17-111 untuk maklumat lanjut dengan contoh-contoh yang diberikan.)  

Menerima pengaruh adalah biasa dalam pembinaan tamadun manusia, tetapi ini tidak bermakna pengaruh itu diterima tanpa olahan kreatif.  Itulah yang terjadi pada Eropah, yang pada mulanya menerima pengaruh Islam dari  Andalusia, kemudiannya menetapkan ukuran untuk dunia berpusat di Paris dan London untuk menentukan nilai yang harus dipakai dalam menilai karya kreatif moden seluruh dunia. Para sasterawan Malaysia dan sarjananya menerima pengaruh Barat ini sebagai sesuatu yang definitif dalam perkembangan sastera Melayu moden.  Apakah pengolahan kreatif yang telah mereka lakukan untuk menjadi sasterawan gergasi dunia, sehingga boleh mempengaruhi ukur tara dalam penilaian karya dunia? Sebaliknya, kedudukan pengaruh Barat ini dalam sastera Melayu moden menjadi penghalang kepada perubahan yang dianggap boleh menghakis pengaruh Barat itu.  Sejauh mana perubahan boleh dilakukan akan ditentukan mengikut ukuran Barat, supaya setiap perubahan mestilah untuk mengukuhkan pengaruh Barat itu, bukan untuk mencabar ukuran lama dengan mengemukakan ukuran baru yang lebih mantap. Inilah kepercayaan dan pendirian para sasterawan serta sarjana sastera Melayu.  Walaupun ada di antara mereka yang sedar akan kesan negatif pengaruh Barat itu (misalnya Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dan Prof. Zawiah Yahya), namun mereka tidak mahu pengaruh Barat itu diganti, untuk memastikan apa yang mereka sebut sebagai kebebasan berkarya tidak terjejas dan segalas besar ukuran Barat yang berada dalam tangan mereka boleh terus digunakan bila-bila masa sahaja.  Para sarjana sastera yang mengajar sastera tidak mahu galasan besar yang mereka pikul itu tercicir jika terjadi apa-apa perubahan yang memerlukan mereka menggunakan ukuran baru yang tidak sama dengan yang berada dalam galas mereka. Pendirian ini dipastikan akan terus berkekalan melalui penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang mengambil tempat sebagai penjaga dan pelindung pengaruh Barat dalam sastera Melayu moden. Dalam konteks inilah buku UNESCO ini perlu dipelajari dan dijadikan panduan, dibaca bersama buku Pascale Casanova, The World Republic of Letters, untuk melihat bagaimana Eropah yang menerima pengaruh Andalus itu kemudiannya menyebarkan pengaruhnya sendiri ke seluruh dunia, dan bagaimana sasterawan dan sarjana sastera Malaysia menerima pengaruh Freud dan Marx sebagai pengaruh utama yang membentuk sastera Melayu moden, baik dari segi kreatif mahu pun dalam kritikan dan kajian sastera. 

Perkara ini disebut di sini kerana terdapat pengajaran penting. Sasterawan Melayu terus menerima pengaruh sastera Barat dan diberi sanjungan pula oleh Panel Anugerah Sastera Negara kerana kepandaian mereka meniru teknik sastera Barat. Sebaliknya, peniru dari Barat, yang mendapat ilham dari Andalus, melahirkan gergasi sastera dunia.  Dengan kekuatan kreatif mereka melahirkan gergasi sastera dunia itu, Barat mendakwa mereka membawa nilai-nilai universal setelah mereka berjaya menjadi penjajah yang berjaya menguasai sebahagian besar dunia, termasuk daerah Islam.  Sebagai negara bekas jajahan, kita tunduk kepada kemahuan Barat dengan menjadikan ukuran mereka sebagai ukuran yang kita pakai untuk menilai karya kita sendiri. Barat menetapkan beberapa ukuran umum dalam kesusasteraan, yang bersumber dari London dan Paris. (Rujuk Pascale Casanova, The World Republic of Letters, 2004).  

Pada umumnya pengaruh yang diterima dan dijadikan panduan oleh sasterawan dan sarjana Malaysia bersumber daripada dua orang tokoh, Freud dan Marx.  Melalui faham sosialisme, yang bersumber daripada ajaran Marx, para sasterawan Melayu menubuhkan gerakan Asas 50 yang berpengaruh itu, yang akhirnya disempurnakan melalui institusi Anugerah Sastera Negara. Untuk memberi warna yang dinamakan “konflik jiwa” dalam karya kreatif Malaysia, para sasterawan menerima pengaruh ajaran Freud, yang kemudiannya disahkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara melalui laporan mereka, terutama sekali ketika membicarakan sumbangan A. Samad Said. Jika anda masih ingat penjelasan di atas, anda akan dapat lihat bagaimana Barat menerima pengaruh bercorak agama, yakni pengaruh Islam,  dari Andalusia, yang kemudiannya melahirkan  gergasi sastera dunia yang akhirnya menjadi ikutan para sasterawan Malaysia. Yang ironis di sini ialah, Barat menerima pengaruh bersumber dari ajaran agama, kemudiannya hilang terus setelah mereka “bebas” dari gereja. Sedangkan para sasterawan Malaysia yang dari segi tradisi dan warisan persuratan yang dibangunkan dalam tamadun mereka berasaskan ajaran Islam sebagai pengaruh yang paling definitif (setelah menolak pengaruh Hindu dan Buddha), menerima pengaruh Barat melalui ajaran mulhid yang bersumberkan idea Marx dan Freud, yang dikembangkan dengan berjaya oleh para sarjana dan sasterawan Malaysia. Menurut senarai  yang dibuat oleh Prof. Ungku Maimunah dalam sebuah makalah beliau (termuat dalam buku suntingan beliau, Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis), terdapat tidak kurang dari 22 buah (ini hitungan saya) pendekatan dan teori sastera Barat yang menjadi ikutan para sasterawan Melayu, yang terus kekal hingga kini dan terus diperkuatkan kedudukannya melalui institusi Anugerah Sastera Negara. Anda harus menentang kesimpulan ini sekiranya menurut perhitungan anda sendiri kesimpulan ini tidak benar.

Para sasterawan dan sarjana yang terkongkong dengan idea penjajahan ini tidak dapat melihat dimensi lain daripada dimensi Barat yang mereka yakini, maka dengan itulah mereka bersikap anti-ilmu dan anti-Islam.  Kesimpulan ini tidak memerlukan analisis, cukup dengan melihat gelagat mereka dan cara mereka menghujahkan pendapat mereka.  Sikap anti-ilmu ini terlihat dalam kedegilan mereka untuk menerima hanya ukuran Barat; manakala sikap anti-Islam mereka amat jelas dalam kesangsian mereka kepada peranan Islam dalam pembinaan persuratan Melayu moden berasaskan konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam.  Inilah kedudukan perdana yang menjadi tonggak perkembangan sastera Melayu moden, yang akhirnya melahirkan kecelaruan kognitif (cognitive dissonance) di kalangan sasterawan dan sarjana. Mereka sayangkan Salina dan berusaha bersungguh-sungguh mempertahankan Salina (yang hanya boleh dilakukan dari perspektif Barat); sedangkan pada waktu yang sama mereka juga sekali sekala mendakwa betapa pentingnya  kesusasteraan Melayu kembali ke akar tamadun Melayu, yakni kembali kepada Islam. Kecelaruan kognitif itu terjadi apabila mereka begitu yakin kepada nilai dan ukuran Barat, tetapi tidak pasti dan tidak yakin kepada nilai dan ukuran Islam. Mereka menggunakan istilah “nilai-nilai murni” untuk kononnya mempertahankan wujudnya nilai dan ukuran Islam dalam karya sastera; tetapi kefahaman mereka tentang “nilai-nilai murni” ini amat cetek dan juga keliru. Campur aduk ini hanya melahirkan sejenis penyakit jiwa yang tidak disedari mereka, yang dinamakan kecelaruan kognitif itu. Contoh paling baik ialah pandangan Shahnon Ahmad, seorang sasterawan negara, tentang “sastera Islam” dan pornografi, yang disamakannya dengan menegaskan bahawa novel erotiknya yang berunsur pornografi, TIVI, adalah sebuah karya Islam yang “mithali” kerana novel itu diakhiri dengan “juzuk azab”. Inilah kemuncak kecelaruan kognitif yang nampaknya diterima tanpa bantahan, malah ada yang berkata karya pornografi itu adalah sebuah karya sufi!! (Rujuk pandangan Shahnon, Dewan Sastera, Oktober 1997; dan sokongan muridnya, September 2004, hal. 27).

Bagaimanakah kita harus melihat teori Barat ini? Apakah kaedah yang perlu digunakan jika kita ingin memakai teori itu?  Jika kita meneliti bagaimana para sarjana kita menggunakan teori dan pendekatan Barat ini dalam analisis dan penilaian mereka, kita akan melihat unsur-unsur keselekehan cara mereka menggunakannya, yang boleh dielakkan jika mereka lebih berhati-hati. Banyak sekali contoh yang boleh dikemukakan untuk menyokong kesimpulan ini. Antara lain, yang cukup menarik dan melucukan, ialah cara Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man menggunakan feminisme untuk menilai novel Harga Sebuah Maruah.  Beliau memperkenalkan sejenis mantra moden yang boleh dipanggil “mantra feminisme”.  Seperti yang kita ketahui, tujuan mantra ialah untuk menaikkan semangat orang sakit, supaya menjadi galak kembali, dan bangun menari bersama Tok Mindok.  Prof. Madya Dr. Siti Hajar memainkan peranan Tok Mindok itu apabila beliau “membangkitkan semangat feminisme melalui mantranya.” Saya telah menyalin mantra feminisme itu dalam posting bertarikh 1/2/2012; sila lihat di sana.  Seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam analisisnya, Harga Sebuah Maruah tidak dapat disembuhkan melalui mantra feminisme ini; sebaliknya mantra feminisme itulah yang membuktikan dirinya sendiri sebagai hanya sejenis lelucon seperti yang ditunjukkan oleh Asrul Sani dalam sebuah filem beliau yang menarik, “Raja Jin Penjaga Pintu Neraka”.  Si Raja Jin menari dan bersilat ketika pintu lintasan kereta api ditutup, untuk menghiburkan deretan pemandu sebelah menyebelah jalan yang terpaksa menunggu lama sebelum  pintu itu dibuka selepas beberapa jurus kereta api berlalu. Bezanya di sini, Raja Jin dituduh melakukan korupsi kerana antiknya yang menghiburkan itu; manakala sarjana ini pula terang-terang melakukan korupsi intelektual melalui mantra feminismenya. Seterusnya untuk memahami kesimpulan ini, bacalah analisis Prof. Ungku Maimunah dalam kertas kerja beliau yang saya sebut dalam posting yang dirujuk.

Apakah yang dapat dicapai oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man melalui feminisme? Buku beliau, Esei-esei Kritikan Feminis Dalam Kesusasteraan Melayu (Penerbit USM, 2007), bercerita lebih banyak tentang kekalutan makna dan matlamat feminisme dalam kritikan sastera.  Terdapat beberapa versi feminisme (lihat terutamanya bab 1; dan di merata tempat dalam bab-bab lain), mengikut budi bicara peneliti, dengan Dr. Siti Hajar sendiri lebih cenderung menggunakan versi Elaine Showalter yang lebih agresif. 

Setelah membaca buku Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man dan makalahnya yang lain, timbul pertanyaan: Apakah yang dapat ditawarkan oleh feminisme?  Nampaknya lebih banyak yang negatif daripada yang positif, malah yang negatif itu terlalu menonjol, sehingga menghairankan kita bagaimana feminisme ini berjaya menarik minat sarjana Melayu yang sembahyang lima kali sehari dan berdoa untuk mendapat al-falah di dunia dan akhirat. Pertama sekali, perempuan solehah tidak wujud dalam feminisme, yang dinilai sangat rendah dan buruk kerana berada dalam dunia patriaki, sebagai seorang yang taat kepada ibu bapa dan suami. Semua ini adalah nilai-nilai peribadi yang tidak berguna dalam feminisme, kerana yang diutamakan ialah sifat memberontak, melawan perintah, mencemuh segala nilai keagamaan yang amat dimuliakan dalam kehidupan seorang perempuan yang solehah. Kerana yang diutamakan ialah sifat-sifat jahat dalam diri seorang perempan, maka menjadi tuntutan dalam feminisme supaya pengarang wanita, jika mahu berjaya seperti yang ditakrifkan oleh feminisme, mestilah menceritakan kejahatan seorang wanita, seorang pemberontak (secara senyap mahu pun secara lantang), seorang yang mahukan kebebasan penuh dan yang berani menampilkan dirinya sebagai penentu nilai-nilai kehidupan biasa menurut kemahuan hawa nafsunya. Ringkasnya, seorang perempuan yang biadab.  Inilah yang ditunjukkan oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man dalam analisisnya terhadap dua buah cerita pendek (bab 11) yang kedua-duanya berjudul “Perempuan”.  Perempuan pertama seorang gadis pingitan di kampung terpencil  “memberontak” secara senyap tidak mahu dikahwinkan dengan seorang lebai tua, satu tema lama yang masih menarik minat seorang sasterawan negara. Bagi feminisme cerita pendek ini istimewa, kerana terdapat “pemberontakan” itu, walaupun dalam bentuk bisu dan khayalan. Dari segi kualiti sebuah karya kreatif, cerita pendek ini boleh dimasukkan ke dalam longgokan kertas terbuang saja, dan kita tidak akan kehilangan apa pun. Cerita pendek ini lebih dekat kepada karya picisan, dinilai dari segi pengolahan tema dan pembinaan strukturnya. Jika “pemberontakan” itu benar-benar menjadi tema penting bagi pengarang, dia mungkin boleh mengolahnya dengan lebih canggih dengan menjadikan gadis pingitan itu menerima perkahwinan bantahan itu dengan bertindak sebagai seorang perempuan yang cerdik, yang sedikit demi sedikit memberi pengajaran moral dan agama kepada suaminya sang lebai yang sukakan perempuan muda itu. Pada suatu saat dalam cerita itu, lebai tua itu diberi pelajaran yang amat menyentuh hati nuraninya dan maruahnya sebagai seorang lebai dan seorang lelaki tua. Apakah yang terjadi? Di situlah kekuatan kreatif pengarang akan diuji, disitulah kita akan melihat “pemikiran kreatif” sang pengarang yang mengajar watak-wataknya dan sekali gus pembacanya, termasuk Prof. Madya Dr. Siti Hajar sendiri yang harus mengurus kemampuan inteleknya untuk membuat tafsiran yang akan dibuatnya dengan objektif, dan pada waktu yang sama terpaksa mengurus pergolakan emosinya kerana sang gadis, dalam tindakannya, menjadikan cerita pendek itu sangat bermakna yang sekali gus menyerlahkan kecerdikannya. Bagaimana ini harus dilakukan oleh sasterawan? Inilah ujian intelektual dan kreativiti yang harus dihadapinya, yang tidak sama sekali muncul dalam cerita hambar biasa yang  diberikan kepada kita. Anda baca berulang kali bahagian ini untuk mendapatkan pengertian dan kefahaman yang betul, kerana selepas itu anda akan dapati ulasan Prof. Dr. Siti Hajar menurut feminisme itu terlalu hambar dan cetek, “membacakan” sesuatu yang dangkal dalam cerita pendek itu untuk dikaitkan dengan feminisme yang gagal memberikan kepada kita satu penilaian dan analisis yang benar-benar menonjolkan “kecerdikan” pengarang dan ketajaman intelektual seorang pengamal teori feminisme.  Dalam cerita pendek kedua, kita dapat melihat kegagalan feminisme dengan lebih jelas, apabila seorang ahli akademik yang lantang membela feminisme telah gagal menunjukkan kepada kita mengapa cerita pendek ini perlu diberi perhatian oleh seorang ahli akademik. Seperti yang pertama, yang kedua ini pun tidak mempunyai keistimewaan apa-apa: hanya sebuah kisah murahan tentang seorang gadis yang sudah jemu hidup dalam kemiskinan,  dengan bodoh menerima menjadi perempuan simpaman seorang Cina tua. Adakah gadis nelayan ini seorang pemberontak? Dia seorang oportunis, yang sanggup menjadi perempuan simpanan untuk mendapat sedikit kemewahan sementara. Sekali lagi satu tindakan yang bodoh, dan kita rasa cukup tersinggung kerana kita dihidangkan dengan sebuah karya yang juga picisan, untuk kemudiannya diberi penilaian menurut feminisme yang tidak pula memberikan kita apa-apa makna. Supaya pandangan yang dikemkukakan di sini boleh difahami, saya ingin merujuk sebuah karya Prosper Merimee (1803-1870), cerita pendeknya yang terkenal berjudul “Mateo Falcone”, tentang maruah penganut Kristian. Contoh ini penting kerana Prosper Merimee adalah salah seorang pengasas faham “seni untuk seni” dari segi teknik, tetapi dari segi tema berciri realisme. Anda perlu cari sendiri cerita pendek ini, tidak perlu saya berikan ulasan saya. Contoh ini hanya untuk sarjana dan pengkritik sastera yang ingin melihat persoalan ini dengan lebih mendalam.  Tujuan saya kemukakan contoh ini kerana perbuatan si ayah yang begitu kejam (?) terpaksa dilakukan untuk mengembalikan maruah keluarga setelah si anak didapati mengkhianati amanah yang diterimanya. Tidak ada  apa-apa kaitan dengan feminisme di sini; tetapi kekejaman bapa dalam cerita pendek ini jauh lebih menggerunkan daripada “kekejaman” sang bapa yang hanya ingin mengahwinkan anaknya dengan seorang lebai tua! Fikirkanlah.  Kalau anda suka membaca karya agung dunia, anda tidak sukar untuk memahami maksud saya.

Pada umumnya, huraian dan penilaian dari perspektif feminisme ini membuang masa, mengelirukan (akan dijelaskan nanti), tidak dapat membezakan mana satu karya yang bermutu mana pula yang hanya picisan. Feminisme tidak berminat pada nilai sesebuah karya, kerana yang penting ialah “isinya”, sama ada memenuhi kehendak feminisme atau tidak. Ini bukan kritikan sastera, tetapi sejenis kritikan sosial yang terlalu sempit bidangnya, yang tanpa disedari membezakan manusia mengikut jantina. Padahal dalam Islam cukup jelas: Yang terbaik antara manusia ialah yang paling bertakwa, tidak kira jantan betina. Tentu saja feminisme tidak menerima hakikat ini, oleh itu jika perempuan yang bertakwa itu menurut saja perintah suaminya atau ibu bapanya, tanpa apa-apa bantahan, maka dari segi feminisme perbuatan itu tidak berguna, malah tidak bermoral. Di sinilah feminisme menjadi virus berbahaya dalam kehidupan perempuan beriman; mujurnya perempuan yang beriman itu menolak feminisme kerana penerimaan itu hanya menghuru-harakan kehidupannya sebagai seorang perempuan beriman. Sepanjang yang diketahui dan yang dapat dibaca dalam dokumen yang membela feminisme, perempuan yang baik, yang solehah, adalah tidak baik kerana tidak tahu dan tidak mahu memberontak, menerima dunia patriaki walaupun zalim!  Saya telah memberi ulasan saya tentang perkara ini dalam Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktik. Sila rujuk di sana; jika tidak mahu baca pun tidak merugikan anda, walaupun anda kehilangan peluang untuk membahaskan perkara ini dengan lebih objektif.

Mengapa feminisme mengelirukan? Jawapannya cukup mudah: feminisme tidak dapat membezakan antara ilmu dengan maklumat; dengan itu maklumat yang dipilih dan dipakai mereka (yakni penganut faham feminisme) tidak dipilih dan ditentukan oleh konsep ilmu yang betul. Itulah yang terjadi dalam kes analisis dua buah cerita pendek oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man yang disebut di atas.  Hakikat ini dijelaskan dengan lebih mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah dalam makalah beliau yang dirujuk, mengenai kepincangan penilaian sebuah pemenang  sayembara, tentang Harga Sebuah Maruah.  Ketika membicarakan novel Iakah Salmah?, Dr. Siti Hajar Che Man tidak berasa perlu memberi komen beliau tentang sikap pengarang novel itu yang merendah dan menghina perempuan Melayu (yang Islam) memakai “kelubung” (bukan tudung seperti sekarang) kerana itu akan membuat perempuan itu mundur (Rujuk Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat dalam bukunya, Seksualiti Dalam Novel Melayu, hal. 388-389, yang sekali gus menyeru wanita Melayu mengikut cara hidup Barat untuk mencapai kemajuan). 

Dalam pembicaraannya tentang novel-novel HAMKA, Dr. Siti Hajar membuktikan dengan baik sekali bagaimana feminisme boleh mengelirukan pembaca. Feminisme tidak dapat melihat apakah konsep sastera yang difahami dan dipegang oleh HAMKA, iaitu sastera sebagai cerita, dan cerita itu pula terbatas kepada tragedi. Dr. Siti Hajar sendiri membuat pengakuan ini: “... saya terpaksa mengakhiri setiap bacaan novel ini dengan hamburan dan linangan air mata” (hal. 92).  Adakah matlamat sastera untuk membuat pembaca menangis? HAMKA menulis novel-novelnya pada zaman permulaan hidupnya sebagai penulis, yang ditinggalkannya setelah beliau dewasa dan mula menulis tentang tasauf, falsafah, sejarah dan lain-lain tajuk dalam pengajian Islam. Mengapa sejak zaman permulaan lagi beliau tidak menampakkan pengaruh falsafah dalam sastera Arab/Islam? Beliau tidak tertarik kepada karya falsafah dalam bentuk cerita Hayy bin Yaqzan,  yang dikatakan telah mempengaruhi Daniel Defoe untuk menulis  Robinson Crusoe. Walaupun diakui pengaruh dari Andalus sangat besar dalam perkembangan novel di Barat, namun kesan itu tidak terlihat sama sekali dalam karya seorang “ulama” seperti HAMKA. Saya kira sebabnya mudah, beliau amat terpengaruh dengan perkembangan sastera cerita di Mesir, yang menerima pengaruh dari Perancis. Nampaknya “jiwa Perancis” itu lebih kuat pengaruhnya daripada jiwa falsafah yang menjadi inspirasi sasterawan Barat. Bagaimana pun, kesimpulan ini perlu dihuraikan dengan lebih mendalam. Cuma di sini saya ingin menegaskan, hal ini terjadi kerana HAMKA, sebagai pelajar agama tradisional, tidak menggemari falsafah yang selalu dikecam oleh para ulama fiqh. Dalam diri HAMKA, pengaruh Imam Ghazali lebih besar dan lebih nyata, tetapi ini tidak diserlahkan dalam penulisan sasteranya, melainkan dalam buku-buku tasaufnya.  Kerana Dr. Siti Hajar sendiri masih terkongkong dan terikat kepada faham sastera yang sudah menjadi klise, maka beliau berasa hairan mengapa HAMKA “menyenaraikan peranan wanita dengan istilah yang kasar seperti, pandai main gila, perempuan lacur, setan, jalang, pencuri, pelesit, nyai, perempuan gelandangan, sampah masyarakat, kupu-kupu malam, bunga mengandung racun, perempuan jahat, najis dan kuli-kuli” (hal. 88). Itulah bahasa sastera, dan ini diserlahkan lagi dalam karya Arena Wati, tetapi dalam bentuk yang lebih berani dan lebih mencabar.  Dr. Siti Hajar kesal kerana Arena Wati suka menelanjangkan watak wanitanya untuk “diperikan secara menyeluruh, dari hujung rambut hinggalah sampai kepada penelitian faraj yang disebutnya ‘tundun’” (hal. 65). Itulah gaya sastera, yang menjadi pegangan dan kemegahan seorang sasterawan seperti Arena Wati.  Unsur erotik ini penting kerana aspek ini akan memberikan aura realisme kepada karya kreatif, terutama sekali dalam novel dan cerita pendek. Prof. Rahman Shaari pernah menyebut betapa erotiknya ucapan dalam drama A. Samad Said. Memang itu perkara lumrah, malah menjadi sifat asasi dalam faham sastera yang dipegang oleh para sasterawan Malaysia.  Dalam hal ini, sikap Shahnon Ahmad tidak berbeza dengan sikap Arena Wati: bagi kedua sasterawan ini, karya sastera mesti  mengandungi unsur erotik  kerana itulah “realiti pun” (kata Shahnon Ahmad).  Inilah cara Barat melihat sastera.    Di situlah istimewanya menjadi seorang wanita. Nampaknya hakikat ini disedari oleh Shahrazad, yang menggunakan anggota badannya dan cerita untuk memikat suaminya, maharaja yang kejam itu. Sang raja mendapat dua nikmat: menggauli isterinya ketika nafsunya memuncak mendengar cerita-cerita erotik; dan menangguhkan kekejamannya setelah menerima dua jenis keletihan, satu yang bersifat seksual, satu lagi yang bersifat emosi ingin tahu cerita seterusnya. Bagaimana Dr. Siti Hajar akan menghadapi persoalan ini menurut feminisme? Siapa menguasai siapa dalam peristiwa raja yang kejam dan perempuan cantik yang pandai memainkan keinginan nafsu seksual dan nafsu emosi  seorang lelaki yang ganas untuk mendengar cerita sehingga habis? Ternyata patriaki ada gunanya, dan telah menyelamatkan seorang perempuan yang menjadi legenda hingga ke hari ini. Adakah ini membuktikan hujah patriaki yang digunakan oleh feminisme untuk menghina wanita telah runtuh sama sekali? Atau kesan patriaki itu cukup positif jika wanita tahu menggunakannya, seperti yang dilakukan oleh Shahrazad. 

Setelah meneliti hujah-hujah dan bukti yang dikemukakan oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man, pengamal feminisme paling lantang bersuara tentang feminisme di Malaysia, saya sampai kepada kesimpulan yang tidak sama sekali menggembirakan. Amat jelas bahawa feminisme menentang semua hukum moral dan adab yang menjadi teras pembinaan peribadi Muslim yang kuat dalam Islam, terutama sekali yang berhubungan dengan kaum wanita. Adalah aneh dan sungguh menghairankan apabila feminisme, yang menerima sikap berontak dan penentangan terhadap peraturan yang sudah menjadi standard dalam Islam, boleh menarik minat sarjana Melayu Islam, dipertahankan begitu gigih dan diperjuangkan begitu bersungguh-sungguh. Padahal faham feminisme ini sudah jelas akan membawa sesiapa juga yang menerimanya ke jurang keraguan, yang akhirnya akan menimbulkan kecelaruan kognitif (cognitive dissonance), yang nantinya akan berakhir dengan keberanian yang tidak siuman untuk memperkecilkan cara hidup Islam. Tidak ada gunanya memperjuangkan sesuatu idea yang pada akhirnya akan menjauhkan orang Islam dari agamanya. Bolehkah kita berkata dengan yakin bahawa feminisme akan membawa wanita Islam untuk lebih mencintai agamanya dan lebih teguh imannya?  Adakah feminisme akan membawa wanita Islam ke arah mencapai darjat solehah?

Seseorang sarjana yang ingin menggunakan feminisme sebagai kerangka analisis, harus menentukan terlebih dahulu bahawa dia cukup mendalam ilmunya tentang Islam, dan dia menggunakan feminisme hanya sekadar memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa pendekatan itu, jika digunakan dengan berhati-hati dan penuh kesedaran tentang kecenderungannya kepada keraguan (scepticism) tentang Islam, boleh dijadikan permulaan untuk memeriksa beberapa masalah dalam kehidupan wanita Islam. Hal ini tidak nampak terdapat dalam cara Prof. Dr. Siti Hajar Che Man menggunakan feminisme versi beliau. Di sinilah kita harus berhati-hati supaya tidak tergelincir dari matlamat untuk memperkuatkan kedudukan kita sebagai sarjana Islam.  Untuk lebih selamat, feminisme tidak diperlukan sebagai alat analisis dalam kajian kita tentang persoalan yang dihadapi wanita Islam,  walaupun perlu diketahui sebagai satu gerakan wanita di Barat.  Feminisme masih boleh diperkenalkan di universiti supaya para pelajar kita terdedah kepada beberapa perkembangan yang agak menggemparkan dunia akademik Barat; tetapi pengenalan itu mesti diikuti dengan huraian yang mendalam dan lengkap tentang kedudukannya menurut pandangan Islam, supaya para pelajar tidak hanyut dalam kepercayaan tidak berasas bahawa feminisme cocok dengan pandangan Islam.  Sekiranya pendedahan ini hanya sebelah pihak, yakni hanya ditumpukan kepada feminisme Barat, maka sarjana yang melakukannya tidak mempunyai amanah intelektual kerana perbuatan itu pasti akan mengelirukan para pelajar. Apa pun juga idea yang didedahkan kepada para pelajar,  syarat paling penting ialah pendedahan itu memperkaya pengalaman intelektual mereka setelah ditapis berasaskan pandangan Islam. Jika ini tidak mahu dan tidak dapat dilakukan, feminisme lebih baik tidak usah diajar di universiti kerana perbuatan ini akan mengundang kekeliruan dari segi ilmu dan kecelaruan kongnitif dari segi pemikiran dan pendirian yang harus diambil. 

Hujah yang akan dilemparkan oleh penyokong dan penganut feminisme ialah, pengkritik feminisme tidak pun faham dan kefahaman itu jika ada sangat cetek, kerana kononnya feminisme sangat sukar dimengerti dan beraneka ragam pula penekanannya, sehingga memerlukan kajian seumur hidup dengan tekun baru boleh difahami. Sebenarnya pembacaan kita yang kritis tidak meyakinkan kita bahawa mereka tidak berada dalam lingkungan kelompok yang “cetek meraba-raba” yang ditegur oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Bagaimana pun, kita bersedia mendengar penjelasan mereka yang pakar dan telah menghabiskan masa seumur hidup untuk mengkaji feminisme ini, tampil membentang hujah mereka pula, sambil menolak pembuktian yang kita bentangkan kepada mereka.

Satu lagi kaedah yang nampaknya semakin popular di Malaysia ialah pendekatan semiotik.  Dalam seminar pemikiran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka akhir tahun 2010, satu kertas panjang telah ditulis oleh Prof. Madya Arbak Othman,  Universiti Putera Malaysia, membicarakan sajak-sajak sasterawan ini dari perspektif semiotik.  Arbak Othman lebih banyak “menegaskan”  ketiadaan upaya beliau untuk menghuraikan makna dan maksud sajak-sajak pensajak ini. Mengapa hal ini terjadi? Adakah kerana sajak-sajak itu memang tidak dapat ditafsirkan kerana tiadanya pemikiran yang jelas yang dikemukakan penulisnya; atau kerana semiotik tidak sesuai digunakan?  Jika tidak sesuai, apakah halangan yang membuat sajak-sajak itu tidak dapat ditafsirkan secara semiotik? Pada pandangan saya, Prof. Madya Arbak Othman ghairah dengan pendekatan semiotiknya, padahal sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh lebih mudah ditafsirkan dengan memakai “common sense” saja. Tetapi jika ini dilakukan, hilanglah glamor sajak-sajak itu, kerana karya para sasterawan negara perlu dinilai dari pelbagai sudut menggunakan pelbagai pendekatan dan teori; kecuali hanya satu pendekatan yang tidak boleh dan tidak sesuai dipakai kerana glamor karya itu akan terus lenyap jika pendekatan tersebut digunakan. Karya para sasterawan negara tidak hebat lagi.  Walaupun pendapat ini tidak siuman dan memalukan para sarjana dan pengkritik yang nampak sangat tidak kompeten, namun dalam budaya pandirisme perkara begini digalakkan jika maksudnya untuk membendung pemikiran seseorang yang tidak diingini. Meskipun Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh disanjung oleh Panel Anugerah Sastera Negara sebagai pensajak intelektual, namun sajak-sajak beliau tidak boleh dianalisis dari perspektif intelektual dengan menggunakan pendekatan yang ditawarkan oleh gagasan Persuratan Baru.  Jika anda baca betul-betul esei Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man, anda akan faham dengan lebih mendalam makna dan maksud patriaki yang dibenci oleh feminisme itu.  Dalam kritikan sastera pun patriaki itu dipraktikkan dengan gigih, begitu gigihnya hingga sampai ke peringkat “menggila”.

Judul kertas Prof. Madya Dr. Arbak Othman ialah, “Penstrukturan Intelektual Dalam Puisi Muhammad Hj. Salleh: Suatu Penelitian Semiotik”. Kesungguhan Dr. Arbak Othman menghuraikan kejempolan intelektual Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sebagai pensajak mengaburkan lagi kedudukan pensajak ini. Awal-awal lagi beliau menegaskan bahawa  dari segi semiotik, sebaik saja pengarang  selesai menulis karyanya, dia telah mati serta-merta, dengan itu tidak mempunyai kesempatan untuk membela karya sendiri walaupun pengarang sebagai manusia masih hidup. Hanya pembaca atau penafsir sahaja yang diberikan hak untuk menilai karya berkenaan.  Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah menolak bulat-bulat andaian ini, walaupun beliau menggalakkan sarjana dan sasterawan Melayu menerima dekonstruksi Derrida sebagai satu kaedah yang baik dan sesuai digunakan.  Derrida adalah di antara sarjana Barat yang menerima andaian Dr. Arbak Othman. Pendirian Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ini telah disebut oleh Prof. Dato’ Dr. Salleh Yaapar dalam sebuah kertas kerja 1991, yang dimuat dalam koleksi tulisannya Ziarah ke Timur (DBP, 2002), kini diterjemahkan dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara dengan judul, Pilgrimage to the Orient (2009, rujuk hal. 30). Dalam kertas kerjanya Prof. Salleh Yaapar berkata: “Di negara kita sendiri bukti bahawa pengarang tidak mati baharu sahaja sama-sama kita saksikan. Iaitu apabila Muhammad Haji Salleh mengatakan Mohd. Affandi Hassan memberi gambaran yang salah tentang tulisannya dan pendiriannya, dan justeru itu Mohd.  Affandi perlu memohon maaf daripadanya. Adalah menarik  dicatat di sini bahawa Muhammad Haji Salleh pernah mengajak pemikir sastera di Malaysia belajar daripda Derrida. (Kertas kerja Seminar Pemikiran Masa Kini, DBP 26 Ogos 1991, berjudul “Cabaran Pemikiran Dekonstruktif”, hal. 15).  Adakah Dr. Arbak Othman terselamat daripada kemurkaan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh?  Beliau (yakni Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh) terima tafsiran Dr. Arbak kerana sajak-sajak beliau diangkat begitu tinggi oleh Dr. Arbak Othman.  Di sinilah terletaknya kekaburan yang dimaksudkan.  Dengan persetujuan yang tidak dinyatakan, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh menerima hakikat bahawa beliau telah mati di tangan Prof. Madya Dr. Arbak Othman yang telah melapah karyanya sesuka hatinya. Bagaimana jika Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tetap menolak tafsiran Dr. Arbak Othman?  Ini bererti segala ucapannya tentang kesilapan yang sudah lama terjadi dalam kritikan sastera Melayu kerana menggunakan dan memakai teori Barat, tidak bererti apa-apa, hanya sejenis retorik yang tidak boleh dipercayai. Oleh hal yang demikian,  kita boleh membuat kesimpulan dengan selamat bahawa Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tetap seorang pengikut dan pengamal teori sastera Barat tidak saja dalam kritikan, malah lebih-lebih lagi dalam menulis sajak. Kesimpulan ini perlu sedikit penjelasan.

Jika kita biasa membaca sajak-sajak Inggeris moden, kita akan dapati apa yang dibuat oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ialah menulis sajak-sajak Inggeris dengan menggunakan bahasa Melayu. Dia berfikir dalam bahasa Inggeris, kemudian menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Bukti terbaik ialah sajak “Pulang Si Tenggang”, yang dalam bahasa Inggeris menjadi “Si Tenggang Homecoming”. Versi Inggeris lebih enak dan lebih lunak dibaca, tidak kedengaran biadab dan mengada-ada seperti yang terdapat dalam bahasa Melayu. Bukti paling baik ialah baris Melayu yang berbunyi “aku sudah belajar/ jadi kurang ajar”, diterjemahkan menjadi “I’ve  learnt/ the ways of the rude”. Dalam bahasa Melayu, baris itu tentang dirinya yang “kurang ajar” setelah mendapat pelajaran di Barat; tetapi dalam versi Inggeris, baris itu mengenai orang lain, the Other, mungkin penjajah, lebih tepat orang Barat yang kurang ajar yang ditemuinya ketika belajar sastera di Barat. Dua keadaan ini tidak sama. Oleh itu, siapakah Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sebenarnya? Dalam versi Melayu, dia seorang “pemberontak” tradisi Melayu yang dianggapnya lemah, lembap, tidak maju dan lain-lain. Dalam versi Inggeris, dia menyalahkan orang lain yang membuat dirinya jadi biadab. Siapa sebenarnya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh? Ternyata Prof. Madya Dr. Arbak Othman tidak dapat menyelesaikan persoalan ini, kerana kaedah semiotik yang dipakainya tidak berupaya menjawab persoalan penting ini.  Dalam sajak “baris-baris dari muzium goethe” (Sebuah Unggun di Tepi Danau, hal. 5), kita dapat baris-baris ini: “sepertimu aku terlantar/ pada sungai takdir/ sekali murung sebagai sarjana/ tetapi sering bercermin kaca rusuh/ dan memihak pada pintar mephistopheles”.  Apa maksud Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang berkata “dan memihak pada pintar mephistopheles”?  Tidak mungkin Prof. Madya Dr. Arbak Othman tidak membaca kedua-dua buah sajak ini. Sudah jelas bahawa kaedah yang dipakainya tidak dapat mengesan sesuatu yang aneh dan mengejutkan dalam dua buah sajak ini. Kita ingin mendengar tafsiran beliau supaya keanehan dua buah sajak ini dapat dihuraikan dengan memuaskan. Adakah begini caranya orang yang berfikir membentangkan pemikirannya?  Jika inilah pemikiran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, apakah untungnya bangsa Melayu dihidangkan dengan corak pemikiran yang seperti ini? Dan tentang Raja Iblis itu, bolehkah Syaitan itu dikagumi seperti dalam baris itu? Semua soalan ini memerlukan jawapan yang jelas dan bernas, yang sehingga kini belum diberikan. Adakah ini bererti kita sedang berada dalam kekeliruan besar, kalau tidak pun kesesatan? Kita perlukan penjelasan, bukan alasan.

Dalam kertasnya, Prof. Madya Dr. Arbak Othman tidak berminat memberi sedikit penjelasan apa yang dimaksudkan dengan “pemikiran”. Dalam tafsiran dan ulasannya terhadap sajak-sajak yang dipilihnya, tidak wujud apa-apa jenis pemikiran pensajak, tetapi cukup kaya dengan andaian yang berlebihan yang dikemukakan oleh penulis kertas.  Tidak  ada satu pun tafsiran itu boleh diterima kerana terlalu personal, dicari-cari, ditambah-tambah sendiri oleh penulis kertas ini. Kadang-kadang beliau seolah-olah bercakap dengan yakin, tetapi sering kali penuh keraguan, tidak pasti, tidak yakin bahawa tafsirannya itu betul. Misalnya, di halaman 37-41 kertasnya, beliau menyatakan kebingungannya sama seperti yang dirasakan pembaca lain, ketika cuba membuat tafsiran sajak “batu alam”.  Kata Dr. Arbak: “Apakah sebenarnya yang dimaknakan oleh penyair [lebih tepat pensajak] dengan tanda batu itu? Kita mungkin tidak tahu, tapi jika kita menggunakan konsep “keras” [adakah “keras” satu konsep atau sifat batu?] dan objek lain yang takut kepadanya kerana kekerasan itu [adakah maksudnya kayu takutkan batu, atau harimau takutkan batu, atau manusia yang tidak kenal batu takutkan batu seperti mereka takutkan hantu kerana tidak kenal hantu?], tanda batu boleh saja dikaitkan dengan “kuasa Tuhan”, tetapi  jika dikaitkan dengan dunia yang manusia bentuk dan corakkan, ia boleh saja dimaksudkan sebagai “kuasa budaya” atau jika dikaitkan dengan kedudukan manusia di dalam alam, maka tanda batu dapat sahaja dikaitkan dengan “kuasa politik” --- wallahu a’lam.” (hal. 38-39 kertas).  Jelas sekali semiotik tidak boleh berbuat apa-apa, kecuali mengusutkan lagi perkara-perkara yang sudah jelas.

Walaupun semiotik dikatakan sudah wujud sejak beribu tahun, sejak zaman Greek tua lagi, namun sebagai sejenis “sains” tentang tanda (sign), kemunculannya dalam bentuk moden masih baru, dan dengan itu secara tabii masih disangsikan kewajarannya. Kata seorang sarjana Barat: “Semiotics is concerned with everything that can be taken as a sign. A sign is everything which can be taken as significantly substituting  for something else. This something else does not necessarily have to exist or actually be somewhere at the moment in which a sign stands in for it. Thus semiotics is in principle the discipline studying everything which can be used in order to lie. If something cannot be used to tell a lie, conversely it cannot be used to tell the truth: it cannot in fact be used ‘to tell’ at all. I think that the definition of a ‘theory of the lie’ should be taken as pretty comprehensive program for  general semiotics.” (Umberto Eco, A Theory of Semiotics, hal. 7.  Indiana University Press, Bloomington, 1979. Cetakan asal 1976. Italics dalam tulisan asal). Mungkin Prof. Madya Dr. Arbak Othman boleh memberi pandangan beliau apakah yang dimaksudkan oleh Umberto Eco tentang semiotics dalam kutipan ini. Kita ambil pandangan Umberto Eco dalam bukunya yang lain pula: “The double metaphor of the world as a text and a text as a world has a venerable history. To interpret means to react to the text of the world or to the world of the text by producing other texts. To explain the way the solar system  works by uttering Newton’s laws or to utter a series of sentences to say that a given text means so and so are, at least in Peirce’s sense, both forms of interpretations. The problem is not to challenge the old idea that the world is a text which can be interpreted, but rather to  decide whether it has a fixed meaning, many possible meanings, or none at all.” (The Limits of Interpretation, 1994, hal. 23).  Dalam kutipan ini nampaknya terdapat kemungkinan sesebuah sajak boleh jadi tidak bermakna apa-apa, hanya sebagai sejenis permainan kata, sejenis mantra moden dalam bahasa Melayu. Apakah pandangan Umberto Eco ini boleh dipakai dalam menghuraikan makna sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh?  Daripada analisis Prof. Madya Dr. Arbak Othman, nampaknya terdapat sajak-sajak yang mungkin tidak bermakna apa-apa seperti yang dimaksudkan oleh Umberto Eco itu. Wallahu a’lam.

Sukarnya sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ditafsir dan diberi makna ialah kerana sajak-sajak itu bukan hasil renungan mendalam terhadap sesuatu masalah, dengan itu bukan hasil pemikiran yang boleh dibaca dan ditafsirkan dengan mudah. Beliau bukanlah seorang pemikir, tetapi hanya seorang pensajak biasa dan penyelidik yang kerapkali ditegur oleh ahli-ahli akademik lain kerana ketidaktelitiannya. Apakah maksud pemikiran? Seseorang boleh dikatakan seorang pemikir jika dia mengenal pasti sesuatu masalah, menghuraikannya, dan memberi jawapannya berasaskan analisis tadi. Contoh yang jelas: Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas adalah seorang pemikir yang mengenal pasti masalah kelemahan dan kemunduran orang Islam kerana keliru dalam memahami  konsep dan makna ilmu yang benar, yang membawa hilangnya keadilan dalam masyarakat dan dalam kehidupan peribadi dan hilang pula adab, dengan itu lahirlah para pemimpin palsu dalam semua bidang kehidupan orang Islam (termasuk bidang sastera dan bidang kesarjanaan/akademik mengenai sastera). Huraian beliau tentang masalah adab, ilmu, dan segala yang berkaitan, sangat mendalam dan amat jelas menuju ke arah penyelesaian yang teratur, yakni dalam bidang pendidikan. Pada Iqbal pula kita dapat lihat pemikirannya dalam judul syairnya yang terkenal, Asrar-i Khudi  (Rahsia-rahsia Peribadi). Dia ingin membina kembali peribadi Muslim yang tulen, yang merdeka dan bukan pak turut Barat. Kerana dia seorang ahli falsafah, dia menulis dengan selesa tentang mereka, berdialog dengan mereka. Inti daripada pemikirannya ialah cinta Ilahi.  Di situlah kekuatan Muslim dibina, dan ini harus dibina kembali dalam zaman moden ini.  Maka itulah ditulisnya huraiannya yang terkenal, The Reconstruction of Religous Thought in Islam.  Orang sastera di Malaysia rasanya tidak ramai yang membaca karya Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Iqbal, kerana itu apabila mereka berbicara tentang pemikiran,    maka pembicaraan mereka sangat cetek, tidak cukup hujah, tidak ada analisis yang tajam, malah terlalu menyanjung seseorang tokoh yang digemari, padahal tokoh itu mungkin tokoh foni saja. Standardnya rendah, oleh itu apabila ditegur, mereka jadi marah.

Sebagai seorang pensajak, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh menulis sajak-sajak yang tidak mesra pembaca.  Sajak-sajak beliau tidak mempunyai unsur kerohanian, tidak juga unsur intelektual yang boleh mendorong dialog yang boleh menyedarkan masyarakat tentang masalah bangsa seperti yang kita dapat dalam sajak-sajak Kassim Ahmad atau Usman Awang. Sajak-sajak itu terlalu dibuat-buat, dengan penggunaan bahasa yang kering, kontang dari pemikiran bernas yang boleh menginsafkan. Malah yang terjadi adalah sebaliknya, seperti sajak “Pulang Si Tenggang” dan “baris-baris dari muzium goethe”. Perlukah sajak mesra pembaca? Jika maksud dan tujuan sajak-sajak itu ditulis untuk membina pemikiran pembaca, membina negara seperti yang ditegaskan oleh Prof. Madya Dr. Arbak Othman, maka sajak-sajak itu sewajarnya mesra pembaca, dalam erti boleh difahami oleh pembaca tanpa terkial-kial mencari tafsiran seperti yang dilakukan oleh Prof. Madya Dr. Arbak Othman dalam kertas kerjanya. Pembaca tidak perlu membuang masa begitu banyak untuk “memberi” makna kepada sajak-sajak yang tidak mesra pembaca ini, seperti yang dilakukan dengan tekun oleh Dr. Arbak Othman.  Hanya penulis sajak yang egoist saja yang sengaja menyukarkan karyanya supaya dia boleh tertawa apabila orang yang membacanya tidak boleh memahami sajaknya, dengan itu bermutu tinggilah sajak itu kerana tidak dapat difahami!. Tetapi penulis yang menyukarkan karyanya pada hakikatnya tidak boleh berbahasa dengan baik, tidak menguasai bahasanya, dan cetek pula ilmunya. Sajak-sajak T. S. Eliot kadang-kadang amat  sukar kerana terlalu banyak allusi (rujukan fakta budaya dan sejarah), tetapi bagi pembaca Barat hal itu tidak menjadi perkara yang menekan, kerana mereka dibesarkan dalam budaya yang dicerminkan oleh sajak-sajak itu. Mereka boleh memahaminya, kadang-kadang dengan pertolongan buku-buku kritikan.  Di Malaysia sajak-sajak yang mesra pembaca ini ditulis oleh T. Alias Taib, seorang pensajak yang jauh lebih berbakat  daripada Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri.


Itulah dua contoh bagaimana teori dan pendekatan Barat digunakan  dalam analisis yang hasilnya jauh dari menggalakkan.  Dalam kes feminisme Dr. Siti Hajar Che Man, kita lihat bagaimana sebuah teori (?) yang dikonsepsikan di Barat untuk menyelesaikan masalah mereka,   tidak berupaya memberikan kita penjelasan tentang masalah sebenar yang dihadapi wanita Melayu. Dengan mengandaikan mereka terjebak dalam sistem patriaki yang mencengkam   kebebasan mereka, kita hanya mendapat serangkai tuduhan yang dikatakan dihadapi mereka, tetapi tidak sampai ke mana kerana yang dikatakan sistem patriaki yang menjadi punca itu pada umumnya memberikan kebebasan kepada wanita untuk belajar, menjadi orang profesional dalam segala bidang yang wujud sekarang, dan yang lebih penting ialah tidak menghalang mereka menjadi perempuan solehah jika mereka mahu. Dalam hal ini, feminisme itulah yang menjadi penghalang kepada kesempurnaan wanita Islam, bukan sistem patriaki.  Untuk memahami bagaimana sistem patriaki ini dikuatkuasa dalam dunia akademik, Prof. Madya Siti Hajar Che Man dalam kertas kerjanya tentang “pemikiran” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh memberitahu, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh berpesan, “Untuk seminar nanti, kena tulis elok-elok pasai (sic) saya”. Apakah perlunya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh berpesan demikian? Adakah beliau takut akan dinilai dengan objektif, jitu dan tepat oleh para murid dan penyokong beliau yang dipilih menulis kertas kerja? Tetapi pesanan itu amat wajar diucapkan oleh beliau, kerana kita sudah dimaklumkan awal-awal lagi betapa perlunya beliau dipuji, disanjung, diangkat, dibelai dengan kata-kata manis memuja dan sebagainya. Itulah yang kita dapat dalam semua kertas kerja yang dibentang pada seminar itu.

Seterusnya kata Dr. Siti Hajar: “Maka, terikatlah sudah satu perjanjian yang tidak dimeterai, saya perlu menulis sesuatu yang indah yang menyamankan hati dan perasaan seorang tokoh yang cukup baik dengan saya.” Hasilnya, Dr. Siti Hajar membentang satu kertas yang tidak ada faedah langsung dari segi akademik. Beliau memilih untuk menyukakan hati gurunya dan tokoh yang baik dengannya daripada memberikan analisis dan kritikan yang objektif dan bersifat akademik, sesuai dengan tarafnya sebagai seorang sarjana kelas pertama yang mengajar di USM, universiti paling cemerlang di Malaysia sekarang. Nampaknya maruah akademik boleh diketepikan demi “menjaga hati” seorang tokoh “yang cukup baik dengan saya”. Adakah ini akibat, atau kesan, sistem patriaki yang dikecam oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man sendiri? Kalau benar begitu, nampaknya sistem patriaki tidak saja menjatuhkan maruah seorang sarjana, tetapi juga merendahkan maruah akademik demi untuk menjaga keutuhan sistem patriaki dalam dunia akademik, yang dipelihara dan dipertahankan dengan gigih. Oleh Dr. Siti Hajar Che Man sendiri? Itulah pengakuan beliau ... 

Cerita Dr. Siti Hajar itu cukup menarik. Bandingkan dengan cerita ini. Saya pernah mendengar seorang ustaz berkata, puteri Nabi SAW pernah bertanya baginda SAW, siapakah wanita pertama yang masuk syurga? Baginda memberitahu satu nama, dan menyuruh puteri baginda mencari rumah wanita itu. Fatimah menemui rumah itu, dan meminta izin akan datang besok. Beliau datang membawa Saidina Hussain, lalu perempuan itu tidak membenarnya masuk kerana dia hanya meminta izin dari suaminya untuk menerima Fatimah sahaja, tidak bersama anaknya. Fatimah kembali setelah dijanjikan wanita itu akan meminta izin dari suaminya sekali lagi. Esoknya, Fatimah sampai. Dia dapati wanita itu biasa saja, amalannya juga biasa. Dia bertanya, apakah rahsianya sampai dia diberi penghormatan seistimewa itu? Dia memberitahu, sebelum suaminya pulang dari kerja, dia membersihkan dirinya dan mengenakan haruman, menyediakan makanan; dia menunggu suaminya sambil memegang sebatang rotan. Apabila Fatimah bertanya, mengapa dia memegang rotan itu, wanita itu menjawab, supaya suaminya boleh menghukumnya serta merta sekiranya dia tidak menjalankan tugasnya dengan memuaskan hati suaminya.  Kita tanya Dr. Siti Hajar: Adakah wanita itu  telah ditundukkan oleh sistem patriaki?  Jika betul, nampaknya beliau menjadi wanita pertama memasuki syurga kerana mentaati sistem patriaki itu.  [Catatan: Saya perlukan pengesahan ulama atau ahli hadis tentang hadis ini, dari segi kesahihannya, dan sumbernya. Harap permintaan ini tidak dihampakan.]  Sebagai selingan, anda tentu tahu kisah Hajar dan Nabi Ismail ‘a.s. yang masih bayi, ditinggalkan di gurun kontang oleh ayahanda atas perintah Allah Ta’ala, dengan Hajar berlari ke sana ke mari mencari air. Hanya beberapa tendangan dari kaki kecil Nabi Ismail ‘a.s. berjaya memulakan mata air yang kekal hingga kini, dengan izin Allah. Tidak sia-sia Che Man memberi nama puterinya Siti Hajar, kerana dari tangan puteri beliau yang dewasa kita diberitahu feminisme menentang patriaki, yang menjadi ajaran para ambia. Kita dilepaskan dari bahaya itu.

Ini pula kisah yang saya masukkan dalam cerita pendek, “Bukan Tahi Bintang” (tertulis 5/6/1996; diterbitkan pertama kali dalam Bukan Ahli UMNO/Bukan Salah SSB (Fajar Bakti, 1997;  diterbitkan semula dalam koleksi DBP, 2005, Biarlah Orang Tahu.) Saya petik bahagian yang berkaitan: “Kami bersetuju menyerahkan tugas memberitahu peristiwa itu  kepada nenek saja, kerana hanya dia seoranglah  yang tuk ayah akan dengar tanpa membantah, walaupun dia tidak setuju. Nenek pernah memberitahuku, tuk ayah berbuat begitu kerana hormatkan aruah mentuanya. Tuk ayah tidak mahu menyinggung perasaan mentuanya dengan memarahi anak perempan mereka yang menjadi isterinya, seolah-olah menuduh mereka tidak tahu mendidik anak perempuan mereka. Sampai ke situ tuk ayah memikirkan perasaan orang lain, tetapi dia sangat keras dengan anak cucunya yang melanggar hukum dan peraturan keluarga yang ditetapkannya” (hal. 404).  Adakah tindakan Tuk Ayah betul, sesuai dengan ajaran Islam, dan faham patriaki dalam Islam? Sekali lagi, saya mohon penjelasan daripada sesiapa juga yang mendalam ilmu Islamnya. Adakah Tuk Ayah telah melanggar faham feminisme, atau menyokongnya dengan membebaskan isterinya daripada segala kesilapan?  Saya tidak fikir Dr. Siti Hajar Che Man dapat memberi jawapan yang tepat.

Dalam kes semiotik pula, penggunaannya tidak membantu menyerlahkan keunggulan pemikiran seorang sasterawan, seperti yang terbukti dari analisis Arbak Othman. Nampaknya pandangan  Umberto Eco tentang semiotik sebagai pembohongan intelektual adalah benar, apabila usaha Arbak Othman untuk menonjolkan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sebagai pensajak unggul sudah gagal. Banyak persoalan yang tidak terjawab; yang jika diberi jawapannya menurut gagasan Persuratan Baru akan terus meruntuhkan kedudukan pensajak ini.  Kesimpulannya, kita perlukan konsep ilmu yang benar jika kita benar-benar ingin mencapai kecemerlangan berfikir. Jika tidak, kita hanya merayau-rayau di lembah, seperti yang dikutuk oleh al-Quran. Amatlah rugi dan benar-benar tidak bijak jika kita memilih cara  itu.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                              

Mohd. Affandi Hassan,
5/6/2012.