Monday, June 25, 2012

ERA PENENTUAN DALAM PERKEMBANGAN PERSURATAN MELAYU BERASASKAN ILMU YANG BENAR


Sudah tiba masanya kesusasteraan Melayu bertukar haluan menjadi persuratan Melayu sebaik saja para penulis mula mendalami aspek ilmu dalam penulisan kreatif.  Ada sasterawan berkata, bertukar haluan itu keterlaluan, seolah-olah mahu menyinkirkan langsung golongan sasterawan, jadi cukuplah jika persuratan hanya diberi laluan tanpa halangan, dengan itu golongan sasterawan tidak terlalu terkilan dan berasa tersisih dalam pertandingan merebut pengaruh. Sebenarnya bagi saya tidak ada dan tidak perlu pertandingan; yang ada ialah pilihan. Sesiapa pun boleh memilih laluan yang disenanginya.  Tetapi perubahan tetap akan berlaku. Perubahan ini tidak dapat dielakkan, sekiranya anda mengikuti kesedaran masyarakat kini kepada kepalsuan yang sekian lama disogokkan kepada kita melalui konsep sastera.  Dalam posting yang lepas, dilakar dengan ringkas (rujuk buku UNESCO untuk keterangan lanjut) bagaimana pengaruh Andalusia memasuki dunia kreatif Eropah sehingga bermulalah penulisan kreatif bentuk baru. Satu aspek pengaruh ini perlu diulang berkali-kali untuk tidak dilupai oleh para sasterawan Malaysia, iaitu perihal unsur Islam dan falsafah yang dibawa dari Andalusia itu. Eropah mendapat tapak yang baik ketika memulai kesusasteraan moden mereka. Sebaliknya, para sasterawan Melayu/Malaysia menerima pengaruh tokoh-tokoh mulhid seperti Marx dan Freud untuk mengubah gaya penulisan kreatif di Malaysia. Maka lahirlah karya-karya seperti Salina, Langit Petang dan lain-lain yang ditulis di bawah pengaruh psikologi Freud dan realisme di bawah pengaruh Marx.  Apa yang sudah terjadi?  Para sasterawan Melayu telah berjaya menghancurkan persuratan Melayu, menggantikannya dengan kesusasteraan yang bercorak kreatif sepenuhnya, untuk menyatakan cerita mereka atau versi “baru” yang mereka ambil dari Barat.  Tumpuan kepada cerita dan pandangan peribadi berjaya menyisihkan aspek ilmu dalam persuratan, yang diberi nama baru sebagai kesusasteraan dengan kemunculan para sasterawan ini.  Maksud menyisihkan ilmu di sini ialah tidak menjadikan wacana ilmu sebagai asas penulisan kreatif, sebaliknya menjadikan cerita sebagai asas penulisan kreatif. Kenyataan ini amat penting kerana perbezaan ini memberi kesan yang jelas dalam hasil kreatif dan dalam pendidikan. Sekiranya seni penulisan kreatif diasaskan kepada wacana ilmu, maka cerita masih tetap diberi tempat yang wajar, malah wacana ilmu itu sendiri bertujuan untuk menjadikan cerita lebih cermat ditangani kerana cerita tidak lagi diberi kebebasan untuk merayau, tetapi berada dalam ruang naratif, dan melalui ruang naratif itulah maksud dan tujuan cerita itu ditakrif melalui penggunaan wacana dan teknik stylization of ideas. Sebaliknya, jika hanya cerita dan bercerita saja diutamakan, ilmu akan dipinggirkan dan hasilnya ialah karya-karya yang hanyut, tidak terfokus, dan tidak menyerlahkan pemikiran penulisnya. Contohnya banyak, dan telah dibicarakan dengan menyakinkan oleh Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat dalam karya akademik mereka.

Dari segi pendidikan pula, kita kehilangan tokoh besar dalam dunia persuratan apabila hanya karya kerdil dan cetek para sasterawan yang dibawa ke dalam bilik darjah untuk dikaji dan dipelajari. Inilah kelemahan paling besar dan paling merugikan dalam pendidikan negara. Para pelajar kita dipaksa untuk menerima dan mengenal para sasterawan yang “cetek meraba-raba” ini untuk dipuji dan dikaji. Ini semua telah menumpulkan daya berfikir para pelajar ini, lebih-lebih lagi apabila mereka dipaksa menerima dan menggunakan pendekatan Barat untuk mengkaji dan menilai para sasterawan yang “cetek meraba-raba” itu. Bilik darjah dan bilik kuliah kehilangan para pemikir, pendeta dan tokoh intelektual yang begitu ramai dilahirkan dalam tamadun kita.  Ke mana mereka pergi? Kita telah membuat pilihan yang paling merugikan dengan membawa masuk para sasterawan untuk dijulang di dalam bilik-bilik darjah dan di dalam dewan-dewan kuliah.  Beribu orang sarjana telah dilahirkan untuk membicarakan para sasterawan yang “cetek meraba-raba” ini, yang hanya melesukan daya berfikir para pelajar dan sarjana yang dilahirkan dari sistem yang memberi perhatian kepada para sasterawan ini. Para pelajar kita tidak mengenal dan tidak membaca karya tokoh-tokoh persuratan kita yang jauh lebih cerdik dan lebih berfaedah untuk dipelajari.  Inilah dosa paling besar dalam sistem pendidikan kita, apabila kita dengan sengaja melesukan daya berfikir para pelajar dan mahasiswa yang begitu tumpul pemikirannya sehingga tidak dapat membezakan antara karya picisan dan karya bermutu, dan menerima tokoh-tokoh picisan ini sebagai tokoh-tokoh penting. Jelaslah kita perlukan perubahan, tidak hanya laluan seperti yang dicadangkan oleh setengah sasterawan yang ingin mengekalkan kekeliruan dan kelesuan berfikir ini. Kesusasteraan yang ditiru oleh para sasterawan ini telah melahirkan budaya pandirisme dalam tamadun kita, dan inilah yang perlu kita ubah dengan kembali kepada persuratan.

Seorang penulis yang berbakat besar dan menguasai ilmu akan memilih untuk menghasilkan karya persuratan, kerana beliau akan dapat menyerlahkan pemikirannya dan juga bakat kreatifnya. Tentu saja pengarang jenis ini, yang menghasilkan karya persuratan, tidak ramai; tetapi mereka memberi darjat yang tinggi kepada pemikiran bangsanya. Penulis yang memang pandai menulis, akan memilih untuk menulis karya sastera, kerana ini lebih mudah dan dia juga akan berasa lebih bebas untuk berhanyut dalam ceritanya. Penulis jenis ini tentulah ramai, menjadi kumpulan majoriti, tetapi mutu tulisan mereka terbatas kepada kemampuan intelektual dan bakat penulis itu sendiri. Jika dia berbakat besar dan menguasai ilmu pula, dia akan meningkatkan dirinya untuk menulis karya persuratan. Untuk kategori ketiga, nampaknya inilah golongan yang paling rajin, kerana mereka mempunyai pembaca yang ramai yang memang menyukai budaya hedonisme yang menjadi panduan penulis kategori ketiga ini. Mereka tidak akan teragak-agak untuk menggunakan nama Islam untuk menulis karya picisan, seperti yang dilakukan oleh Shahnon Ahmad. Oleh sebab dalam dunia akademik sendiri terdapat ramai pula sarjana (ahli akademik) yang menggemari tulisan kategori ketiga ini, maka kategori ketiga ini akan terus mendapat pembelaan daripada ahli akademik jenis ini.

Kumpulan sasterawan ini berjaya melakukan dua perkara penting: menghapuskan tulisan Jawi, dengan itu sekaligus melontarkan Islam keluar dari perspektif penilaian yang kini ditentukan seluruhnya oleh teori realisme Barat.  Kedua, mereka berjaya menjadikan kegiatan sastera itu bersifat sekular sepenuhnya, dengan menjadikan teknik dan teori Barat sebagai panduan dan pegangan seluruhnya. Manusia yang menjadi penghuni dalam karya mereka adalah manusia yang berwajah Barat, dengan tata kelakuan kebaratan. Semua ini akan dilengkapkan dengan cara analisis dan penilaian oleh para sarjana yang menggunakan ukuran Barat sepenuhnya. Inilah yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang menjadi pelindung  dan penguatkuasa sistem kesusasteraan Barat dalam bahasa Melayu.

Apakah kesannya kemunculan golongan sasterawan ini terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu moden? Kesan yang paling besar ialah hilangnya kecerdikan dalam karya dan dalam penilaian karya. Hakikat ini dibuktikan dengan begitu meyakinkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam kertasnya yang membicarakan novel Azizi Hj. Abdullah, Harga Sebuah Maruah. (Lihat kertas beliau, “Novel Harga Sebuah Maruah Oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara”. Dibentangkan dalam Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia XII (SKIM XII), Bangi:  Universiti Kebangsaan Malaysia, 29-23 November 2011.  Lihat juga kritikan saya terhadap novel Kawin-kawin yang menang Hadiah Sako II: “Unsur Jenaka dalam Novel Kawin-kawin: Kegagalan Intelektual Seorang Sasterawan”. Kertas kerja dalam Seminar Jenaka Melayu Nusantara, anjuran DBP, Universiti Malaya, 21-23 September 2003).  Sekali imbas kesimpulan ini kedengaran agak aneh dan barangkali tidak tepat dan tidak objektif. Tetapi jika anda meneliti persoalan ini dengan mendalam dan kritis, anda akan dapati sastera Melayu moden itu hanya berbicara tentang kemahuan para sasterawan, bukan tentang kesedaran ilmu yang akan membawa pembaca untuk mengenal dirinya sebagai manusia dan sedar apakah matlamat hidupnya. Semua aspek ini tidak diberi perhatian kerana bertentangan dengan konsep sastera yang hanya mempunyai satu matlamat, iaitu untuk bercerita. Dari segi ini, sastera Melayu memang tidak berbeza dengan sastera negara lain yang juga memberi perhatian kepada aspek cerita. Dengan penekanan kepada realisme, sastera Melayu moden dikatakan menjadi jurubicara kepada masalah rakyat, oleh itu pada umumnya hasil sastera Melayu moden berbentuk protes, sesuai dengan faham sastera yang menjadi anutan para sasterawan bahawa sasterawan adalah propagandis zamannya. Kesan dari kepercayaan kepada sifat sastera seperti ini, maka sastera Melayu moden memang kaya dengan karya yang bersifat propaganda dan protes, tetapi sangat miskin dengan pemikiran.  Beberapa seminar yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara, pada umumnya gagal membicarakan aspek “pemikiran” itu, malah para penulis kertas kerja sendiri mengaku tidak ada “pemikiran” dalam karya para sasterawan negara sendiri. Adakah ini terjadi dengan kesedaran para sasterawan sendiri, bahawa tidak menjadi matlamat sastera untuk membicarakan soal “pemikiran”, kerana secara tabii sifat sastera  untuk bercerita semata-mata. Kata para pembela sasterawan negara, itulah kekuatan para sasterawan negara. Tiadanya “pemikiran” dalam karya tidak mencacatkan karya mereka, kerana mereka menulis bukan sebagai “pemikir”, hanya sebagai propagandis zamannya. Dari segi itu, kata para pembela sasterawan negara, mereka sangat berjaya. Semua mereka adalah propagandis zamannya.

Apakah maksud “propagandis zamannya”?  Idea ini sebenarnya adalah idea Asas 50, yang menggunakan slogan “sastera untuk masyarakat” atau “sastera untuk rakyat”.  Inilah kesan dari ajaran Marx dalam sastera Melayu moden, dan Asas 50 adalah jurubicara kepada “sosialisme sastera”, yang mereka kaitkan dengan “perjuangan politik”, dengan itu memberi erti bahawa sasterawan adalah pejuang kemerdekaan. Mungkin benar ada di antara mereka boleh dikategorikan sebagai pejuang kemerdekaan, tetapi penglibatan mereka tidak secara langsung, kecuali penulis seperti Ishak Hj. Muhammad dan Ahmad Boestamam. Dilihat dari perspektif ini, maksud “sasterawan sebagai propagandis zamannya” merujuk kepada gerakan sosialisme dalam politik Malaysia pada peringkat awal, selepas para pejuang yang terdiri daripada golongan ulama dan orang agama diketepikan kerana dituduh tidak cukup radikal dalam cita-cita politik.  Pada peringkat awal dalam perkembangan sastera Melayu moden, slogan ini mungkin boleh diterima, dan peranan sasterawan sebagai seorang propagandis tidak perlu dipersoalkan. Tetapi selepas 1981, apabila Anugerah Sastera Negara dimulai, slogan ini ditolak oleh Panel Anugerah Sastera Negara, walaupun mereka menerima para propagandis dari golongan sasterawan ini untuk dinobatkan sebagai sasterawan negara. Dalam laporannya, Panel menolak karya yang bersifat propaganda dan yang bercorak didaktik. Penegasan ini disebut dalam Laporan 1985 ketika membicarakan karya A. Samad Said. Berasaskan pandangan itu, bolehkah kita berkata, slogan “sasterawan sebagai propagandis zamannya” sudah ketinggalan zaman, tidak sesuai lagi dengan suasana masyarakat pada waktu ini?. Tetapi kesimpulan ini nampaknya tidak diterima oleh para sasterawan dan sarjana sastera,  yang masih menganggap slogan itu masih boleh dipakai untuk sekian lama di masa hadapan, mungkin juga sampai hari kiamat!  Hujah mereka, sasterawan mempunyai tugas sosial yang tidak dibataskan oleh masa, dengan itu tugas itu untuk sepanjang zaman. Malangnya pandangan ini bukanlah pandangan asli sasterawan Melayu,  kerana yang menyuarakan  pandangan ini ialah seorang tokoh Perancis yang terkenal, yang juga diminati di Malaysia, iaitu  Hippolyte Taine, yang memberikan formula race-milieu-moment.  Berasaskan formula Taine, novel-novel picisan dan erotik yang ditulis oleh Abdullah Hussein, Shahnon Ahmad, Azizi Hj. Abdullah dan lain-lain dipertahankan sebagai karya yang mencerminkan perkembangan masyarakat dalam sesuatu masa tertentu.

Menurut Rene Wellek (A  History of Modern Criticism 1750-1950. Jilid 4. Yale University Press, 1965.) yang memberi pendapatnya begini: “Today the name Taine almost compulsively evokes three words: race, melieu, and moment. He is known as the founder of a sociological science of literature. But one has the impression that at least outside of France he is not read any more. Writers on English literature hardly ever refer to his History of English Literature. Even in France his reputation is under a cloud. Except for specialists his peculiar, highly complex position in a history of criticism seems to be unknown or misunderstood” (hal. 27).  Nampaknya para sarjana di Malaysia mempunyai pendapat berbeza, kerana Taine sering disebut dalam konteks tiga perkataan (bukan konsep?) tadi. Adakah sarjana Malaysia membaca Taine atau hanya mendapat maklumat mudah dan ringkas dari buku-buku panduan tentang kritikan? (Di Malaysia buku-buku begini sangat popular; di kalangan pelajar pula buku-buku begini memberi nafas kepada pelajar yang malas membaca! Buku-buku jenis inilah yang memundurkan pelajar dan guru/pensyarah mereka).  Analisis dan penilaian Rene Wellek tentang teori Taine ini perlu dibaca dengan kritis oleh para sarjana Malaysia, supaya mereka dapat melihat betapa ceteknya pengetahuan mereka tentang teori Taine ini. Tidak pantas bagi seorang sarjana untuk terus berada dalam keadaan “cetek meraba-raba” selama-lamanya!

Adakah sarjana Malaysia sudah jauh ketinggalan zaman apabila mereka masih berpegang kepada rumusan Taine yang sebenarnya tidak membantu untuk memahami keadaan sebenar dalam kesusasteraan Melayu? Apakah yang dimaksudkan dengan “keadaan sebenar” itu? Pertama sekali, kesusasteraan Melayu tidak menyerlahkan “pemikiran”, sehingga karya para sasterawan negara sendiri pun dikatakan tidak mempunyai “pemikiran” itu. Kita perlukan kaedah dan teori yang menjurus kepada analisis tentang pemikiran ini; dan ini tidak dapat diberikan oleh teori Taine. Kedua, teori Taine tidak tepat untuk digunakan bagi mengukur kemajuan yang telah dicapai, kerana matlamat teori itu bukan untuk itu, tetapi hanya untuk memperihalkan beberapa aspek dalam persoalan kemasyarakatan yang menarik minat penulis. Tetapi ini pun tidak tepat, kerana kecenderungan penulis untuk memilih sesuatu persoalan tidak semestinya didorong oleh kesedarannya terhadap persoalan yang dihadapi masyarakat. Sebagai contoh: sering dikatakan munculnya novel-novel picisan yang bercorak erotik adalah hasil pergolakan dalam masyarakat pada tahun-tahun 1960-an dan sebelumnya yang dikaitkan dengan keruntuhan moral. Tahun-tahun tersebut adalah tahun-tahun awal selepas kemerdekaan. Bolehkah kita berkata, tahun-tahun awal selepas kemerdekaan merupakan masa keruntuhan moral masyarakat kerana kemiskinan yang dihadapi rakyat? Jika ini benar, kemunculan novel picisan dan erotik tidak dapat dikaitkan dengan kemiskinan, kerana keruntuhan moral tidak berpunca daripada kemiskinan, walaupun memang terdapat kes perempuan Melayu, terutamanya janda, yang memilih menjadi pelacur kerana desakan hidup. Tetapi pelacuran seringkali dikaitkan dengan keinginan untuk mendapat kemewahan hidup dengan mudah dan serta merta. Di dalam novel-novel picisan dan erotik yang dihasilkan oleh para penulis Melayu, aspek ini memang dibayangkan sepintas lalu; tetapi dorongan untuk menulis novel-novel jenis ini ialah kemahuan penulis sendiri untuk melariskan karyanya, kerana terdapat andaian bahawa pembaca memang sukakan karya seperti itu. Inilah pandangan umum para penulis tentang sastera, seperti yang diakui oleh Azizi Hj. Abdullah dalam bukunya Kuras-kuras Kreatif (DBP, 2007). Antara lain, kata Azizi: “Pada masa itu (merujuk tahun 1960-an) karya kreatif berunsur lucah sering tersiar.  ... Saya cuma nampak dunia kejahatan sahaja yang perlu ditulis jika mahu menjadi seorang penulis” (hal. 8).  Ini sebenarnya timbul dari kesilapan memahami konsep realisme, kerana bagi pengarang Melayu, kejahatan adalah realisme yang mesti didedahkan. Tetapi seringkali pendedahan yang dikatakan bersifat realistik itu hanya alasan untuk menulis karya lucah, seperti yang diakui dan dilakukan oleh Shahnon Ahmad dalam novelnya, TIVI. Jika semua aspek ini diberi pertimbangan dan dianalisis, kita akan dapati teori Taine tidak boleh digunakan untuk menilai kegiatan yang bersifat lucah dalam karya para sasterawan Melayu. Oleh itu, percubaan seorang sarjana untuk membela Abdullah Hussein yang menulis novel picisan dan lucah, Kuala Lumpur Kita Punya (1967) dengan menggunakan teori Taine amat mengelirukan, kerana teori ini tidak dapat mengesan (malah tidak penting pun diberi penilaian) aspek picisan dan lucah itu, kerana kedua-duanya adalah wajar kerana “itulah realiti pun” (ini ungkapan Shahnon Ahmad ketika membela karya lucahnya).

Pengguna teori Barat di Malaysia harus sedar dan dapat mengesan bahawa teori  Barat  telah mengaburkan banyak perkara dalam memahami karya sastera Melayu moden. (Saya telah bincang aspek ini dalam posting yang lepas.)  Kekeliruan yang paling dasar dan paling besar ialah teori Barat menolak pentingnya dibezakan antara ilmu dengan pengetahuan, kerana mereka menolak epistemologi sebagai asas penting dalam pembinaan teori. Teori Barat hanya berminat melihat aspek luaran sesebuah karya (walaupun dalam pendekatan psikologi, yang lebih tepat membicarakan hawa nafsu, bukan bersifat kerohanian); dengan itu tafsiran mereka terbatas kepada perilaku watak-watak dan perilaku penulis sendiri yang memilih sesuatu persoalan atau tema. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Contoh terbaik ialah laporan terhadap karya A. Samad Said. Di situ Panel memberi penekanan berlebihan kepada teknik bercerita, bukan kepada makna cerita itu. Oleh itu, mereka memuji A. Samad Said yang menurut mereka memberikan perincian yang detail dari segi latar dan peristiwa (misal: lihat contoh cerita pendek “Longkang” yang menggambarkan longkang dengan begitu terperinci). Panel mengutamakan “penelitian” maklumat yang dapat dilihat, dengan itu “maklumat” disamakan dengan “ilmu”. Inilah kesilapan besar yang membuat Panel menerima sebuah karya picisan seperti Salina sebagai sebuah hasil sastera yang bermutu tinggi. Inilah juga kelemahan teori Taine yang menjadi ikutan sarjana Malaysia. Inilah kesilapan Balqis ketika baginda mengangkat kainnya waktu dia memasuki istana Nabi Sulaimkan ‘a.s. kerana lantai berkilat itu disangkanya sebuah kolam. Balqis terpesona dengan hasil seni bina yang begitu tinggi mutunya, samalah seperti Panel terpesona kepada perincian dalam karya A. Samad Said. Tetapi Balqis beruntung kerana beliau dibetulkan oleh Nabi Sulaiman ‘a.s. dan terus sedar akan kesilapannya; manakala Panel Anugerah Sastera Negara terus terpesona dengan gambaran luaran yang pada hakikatnya tidak memberi apa-apa makna yang penting walaupun diperincikan begitu rupa. Menjadikan “perincian” suatu ukuran penting dalam penilaian, samalah dengan menjadikan sampah berlonggok yang tersusun sebagai barang berguna yang perlu dihargai. Anda hanya dapat membezakan dua penilaian ini jika anda dapat membezakan antara maklumat dengan ilmu. Jika anda tidak dapat membezakannya, maka anda akan jadi seperti Fatimah Busu yang menulis sebuah novel yang tebal yang penuh dengan maklumat (yang tidak semestinya tepat dan berguna, misalnya keghairahannya kepada sajak Rendra yang telah memberinya “inspirasi” untuk dijadikan judul kepada novelnya dan nama watak utamanya).  Semua ini akan dapat anda kesan jika anda menggunakan mod  bacaan intelektual yang dibezakan dengan mod bacaan cerita. (Penjelasan lanjut diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam banyak tulisan beliau.)  Dengan menggunakan mod bacaan intelektual, anda akan dapat melihat “realiti” mutu sebenar sesebuah karya, yang anda tidak dapat lihat jika anda membacanya dalam mod bacaan cerita. Inilah kekuatan gagasan Persuratan Baru yang membezakan dengan jelas antara wacana, yang berasaskan ilmu yang benar, dengan cerita (yang hanya berasaskan peristiwa yang tidak semestinya bermakna; untuk memahami kesimpulan ini anda harus teliti maksud “khusran” yang ditekankan oleh Al-Quran tentang kehidupan manusia.)  Tetapi jika anda sebagai seorang sarjana yang benar-benar menguasai bidang anda, seperti ahli sihir Firaun menguasai ilmu sihir, maka anda akan dapat melihat “kebenaran hakiki” (atau realiti hakiki) berasaskan konsep ilmu yang benar.  Masalah kita ialah para sarjana (sastera) kita masih berada, dari segi kemahiran dalam bidang pilihannya, pada peringkat “kemahiran” seorang ahli silap mata yang menghiburkan anak-anak waktu menyambut hari jadi mereka. Memang menyeronokkan, tetapi sia-sia.  Di mana pula letaknya Panel Anugerah Sastera Negara sendiri?  [Jika anda telah membaca makalah saya, “Persuratan Baru dan Cabaran Intelektual: Menilai Kembali Kegiatan Kreatif dan Kritikan” (1998), anda akan mengerti mengapa saya menggunakan ungkapan “tabiat berfikir pascatadika” ketika mengkritik golongan sarjana “ahli silap mata” ini.]

Abad 21 merupakan era perubahan dari kesusasteraan kepada persuratan dalam bidang kreatif dan kritikan di Malaysia. Walaupun perubahan itu berlaku agak perlahan, dan banyak pula halangan daripada para sasterawan dan sarjana sastera sendiri, namun tanda-tanda yang menunjukkan perubahan itu telah bermula sudah agak jelas kelihatan. Kini para penulis mula berminat untuk memahami konsep ilmu seperti yang difahami dalam Islam; di samping itu mereka juga sudah dapat melihat mengapa wacana sangat penting dalam penulisan kreatif, sambil tidak meninggalkan aspek cerita. Kini cerita tidak lagi dibiarkan merayau tanpa arah, kerana cerita kini dilihat dari perspektif kedudukannya dalam ruang naratif yang dibina oleh pengarang. Dengan menggunakan ruang naratif, seorang pengarang akan lebih mudah mengawal karyanya daripada tersasul ke arah yang boleh melemahkan (yakni membikin karya itu tidak bermutu) karya kerana tidak seimbang dari segi teknik penulisan. Penggunaan ruang naratif yang cekap dan kemas akan memudahkan seorang penulis/pengarang menyerlahkan kemampuannya berfikir, suatu kelemahan yang amat jelas dalam praktik yang dibuat selama ini yang menggunakan teknik lama yang sudah menjadi klise.  Melalui proses ini, kita dengan mudah dapat membezakan sesebuah karya itu berupa karya persuratan, atau karya sastera biasa dalam bentuk lama, atau pun karya lucah/erotik dan picisan. Perubahan ini penting kerana ketiga-tiga kategori itu mempunyai kedudukan masing-masing dalam penilaian yang dibuat oleh sesiapa saja yang meneliti, atau sekurang-kurangnya membaca karya itu. Ini adalah sejenis kemahiran baru yang perlu dipelajari oleh semua pembaca, baik pembaca yang biasa mahu pun  yang bertaraf akademik. Selama ini kemahiran ini tidak jelas, tidak terarah untuk mencapai sejenis kesempurnaan kefahaman berasaskan ukuran yang dapat diuji ketepatannya. Melalui proses pemilihan ini, pembaca akan didedahkan kepada aspek pemikiran dalam pembinaan karya, tidak seperti dulu pembaca hanya berminat untuk mendapat cerita semata-mata.  Karya besar Malaysia akan lahir dalam era perubahan ini, dan genius kita yang sebenar akan muncul dalam era perubahan ini. Proses pemantapan sedang berlaku, sama ada secara sedar melalui usaha gigih untuk membina tamadun persuratan yang canggih; atau secara tidak langsung melalui proses penolakan dan cemuhan, yang akan berakhir dengan  kematangan berfikir dan dengan itu bersedia untuk ikut serta memberi sumbangan dalam era perubahan itu.  Mereka yang degil, yang tidak mempunyai hujah, akan tersadai di karang kejahilan untuk disapu ombak besar Persuratan Baru, terus dihanyutkan sebagai sampah.  Tidak pernah berlaku dalam sejarah tamadun manusia bahawa sampah itulah yang menentukan nilai-nilai tamadun tersebut. Dengan berpandukan kaedah analisis yang ditawar oleh gagasan Persuratan Baru, anda akan dapat melihat dengan jelas berapa banyak sampah yang telah dihasilkan oleh para sasterawan, termasuk oleh para sasterawan negara; di samping itu anda juga dapat mengesan dengan mudah karya-karya bermutu yang layak dijadikan warisan dalam tamadun persuratan yang kita ingini. Tamadun persuratan yang kita ingini itu berasaskan konsep ilmu yang benar, dengan kekuatan kreatif yang menonjol melalui stylization of ideas (siratan makna pemikiran kreatif) yang diperolehi daripada kefahaman yang mendalam tentang peranan wacana dan cerita dalam pemikiran kreatif.  Semua ini tidak diberi perhatian sebelum munculnya gagasan Persuratan Baru, kerana tidak ada ukuran yang boleh dipakai untuk membolehkan seseorang menentukan kedudukan sesebuah karya di tempatnya yang sesuai dengan mutu karya itu.  Tempat yang sesuai itu boleh dihujahkan dengan mendalam dan jelas pembuktiannya apabila seorang pembaca yang kritis berupaya meletakkan sesebuah karya dalam kategori tertentu yang dibincangkan di atas. Sesiapa juga yang beroleh kemahiran ini, terutama para pelajar dan pembaca yang terpelajar, akan dapat menikmati keindahan sesebuah karya kreatif yang ditulis oleh penulis yang berilmu dan tinggi pula kemampuan kognitif dan kemampuan inteleknya.  Dalam konteks ini, bukan hanya sang pengarang yang diberi peluang untuk mengajak pembacanya memikirkan dengan objektif persoalan yang dikemukakannya; pembaca juga berhak memberi kritikan untuk memberitahu sang pengarang bahawa karyanya itu mencapai atau  tidak mencapai standard yang diingini oleh pembaca yang kritis. Melalui proses yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru, kedua-dua pihak ini akan mendapat faedah; dan pengarang akan lebih berhati-hati menulis karyanya kerana kini pembaca sudah mencapai standard yang agak tinggi untuk menilai dengan kritis sesebuah karya yang diterbitkan. Semua proses ini akan berjalan dengan lebih cepat dan meluas jika para sarjana yang tidak bersetuju dengan gagasan Persuratan Baru memberi peluang kepada para pelajar mereka untuk mengenal apakah gagasan Persuratan Baru itu dan apakah yang ingin dicapainya.  Pendeknya, diperlukan kejujuran dan perasaan cintakan ilmu di kedua-dua belah pihak.

Saya yakin gagasan Persuratan Baru akan muncul sebagai satu pendekatan paling berkesan untuk meningkatkan kemahiran berfikir, menulis, menganalisis, dan menilai karya kreatif dan akademik yang dihasilkan oleh para pengarang dan sarjana kita.  Satu hari nanti yang telah ditentukan oleh Allah Ta’ala (kerana semuanya hanya akan terjadi dengan izin Nya) akan membawa Persuratan Baru ke dunia ilmu seluruh dunia, sekurang-kurangnya untuk difikirkan dengan lebih mendalam oleh ahli-ahli ilmu Islam. Permulaannya telah berlaku, apabila Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid dimasukkan dalam senarai antara buku penting abad 20/21 dalam projek “Institute for the Study of Muslim Civilizations: The Annotated Bibliography Project.” (Maklumat ringkas dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (Penerbit UKM, 2008), hal. 150.  Dalam konteks ini, sesiapa juga yang meremehkan PB akan menghadapi penyakit jiwa yang berpunca daripada perasaan hasad dengki yang memakan dirinya sendiri. Seperti yang selalu diperingatkan, manusia bebas untuk melakukan kebaikan; tetapi tidak dibenarkan untuk mengkhianati dirinya sendiri dengan menzalimi dirinya sendiri dengan bertindak mungkar untuk mengkhianati sesuatu usaha yang makruf.  Puncanya mudah saja: mereka ini, walaupun mendakwa mereka peganut Islam, masih ragu dan berkelakuan seolah-olah tidak percaya kepada hari Akhirat; oleh itu apa juga anjuran untuk membawa mereka ke arah kebaikan ditentang bukan kerana tidak betul, tetapi kerana mereka berasa pendapat merekalah yang sepatutnya menjadi ikutan, kerana mereka mewakili golongan beradab dan berilmu, mewakili apa yang mereka sebut sebagai aliran perdana.  Mereka tidak sedar itulah puncak kebiadaban dan keangkuhan yang merosakkan semua kebaikan yang dibuat oleh mereka dan oleh orang lain juga. Mereka bangga kerana tetap meneruskan kekeliruan yang ada. Persuratan Melayu tidak mungkin dibina berasaskan kekeliruan dalam memahami konsep ilmu, yang hanya melahirkan golongan yang “cetek meraba-raba”. Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan,
18 Jun 2012.

2 comments:

  1. Salam sejahtera encik.

    Mungkin sudah tiba masanya, encik affandi menjalankan satu analisis sastera terhadap teks yang mencerminkan aspirasi sastera teori (saya rasa bukanlah teori, saya rasa cuma satu pendekatan) persuratan baru encik ini, daripada terlalu banyak dibazirkan masa melihat ke belakang dan mengulang-ulang intipati yang sama dari dulu. tiada apa-apa yang baru saya lihat di blog tuan, hanya benda yang berulang2x, kalau tidak terbaca nama shahnon ahmad atau a samad said, atau zawiah yahya, semacam tak sah pula. maka jalankanlah satu analisis (bukan hanya pada tahap teoretikal) terhadap teks (saya rasa anda tidak melakukan sebarang justifikasi tentang mengapa pula j.m coetzee's elizabeth costello jadi "contoh" karya persuratan sedangkan coetzee hanya bereksperimentasi dengan teknik, dan coetzee tidak menang nobel prize kerana elizabeth costello sahaja, dia sudah lama menggunakan teknik "bercerita" dalam novelnya) melayu mahupun inggeris, lebih2x lagi yang mutakhir untuk menunjukkan aspirasi PB. PB setakat ini hanya guna teori untuk menidakkan tahap "kesusasteraan" teks lain, dan mengangkat "pujangga melayu" sebagai model. tidakkah menggunakan novel sendiri untuk menjadi penanda aras PB tidak ubah seperti mengangkat bakul sendiri. harap boleh terima kritikan.

    ReplyDelete
  2. Salam sejahtera Encik Tak Bernama,

    Terima kasih komen encik. Dari komen encik, jelas saya harus ulang banyak kali beberapa persoalan kerana masih ramai yang belum faham. Saya tidak kata (tak pernah kata) Elizabeth Costello karya persuratan. Saya kata benda lain. Itu encik tak sedar, entah mengapa. Saya pun tak perlu angkat bakul sendiri, saya sudah berkali2 menegaskan, biarlah karya anda (termasuk karya saya) membuktikan siapa anda sebagai penulis. Saya guna karya saya untuk memberi peluang kepada orang macam encik mengkritik saya. Saya cukup terbuka untuk dikritik dari segi dan pendekatan mana sekali pun, kerana saya menulis karya kreatif dan juga kritikan sastera. Perkara yang anda sebut ini, secara kebetulan (sebenarnya bukan kebetulan, kerana saya memang faham) saya sentuh dalam entri terbaru yang akan saya postkan bila saya anggap sudah waktunya dipostkan. Tentang tulis tentang novel dan segala macam, tak perlu saya buang masa kerana kerja itu seharusnya dibuat oleh pengkritik dan sarjana sastera. Saya tidak dibayar untuk itu, seperti mereka, jadi tugas itu sepatutnya merekalah yang lakukan. Saya hanya menyediakan idea dan kaedah. Mahu pakai, bagus. Tak mahu pakai, bukan urusan saya. Anda bebas berbuat apa saja, termasuk mengata-ngata macam-macam sesuka hati anda. Adapun saya, Insha Allah akan terus menulis sehingga matlamat untuk mencerdikkan bangsa Melayu terus dibicarakan. Sekarang sastera Melayu sudah gagal melakukannya; maka itulah saya kemukakan pandangan saya bagaimana mengatasinya. Itu saja.

    ReplyDelete