Pendahuluan
Terdapat dua
tajuk penting tentang gagasan Persuratan
Baru yang masih memerlukan penjelasan dan huraian. Saya harap para penulis dan
sarjana sastera akan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang PB melalui
perbincangan tentang dua tajuk penting ini, dengan itu mereka lebih bersedia
untuk memberikan pandangan kritis mereka. Saya yakin dua tajuk penting ini akan
berupaya mengangkat kekuatan kreatif para penulis dan memberi alat analisis
kepada para pengkritik dan sarjana sastera untuk memudahkan mereka membuat
penilaian yang lebih objektif. Kaedah lama yang dipakai pada waktu ini, yang
diambil dari teori sastera Barat, tidak lagi berkesan untuk menyerlahkan kekuatan hujah dalam
kritikan sastera, seperti yang telah dibuktikan oleh Prof. Ungku Maimunah dan
Prof. Madya Dr Mohd Zariat dalam tulisan akademik mereka. Dalam posting yang
lepas, saya telah menghujahkan bahawa feminisme dan semiotik telah menimbulkan
banyak masalah dalam kritikan sastera Malaysia. Sama ada hal ini terjadi kerana
pengamal kedua-dua teori ini belum menguasai betul-betul teori yang mereka
gunakan, atau memang kedua-dua teori itu bermasalah, hanya para sarjana dan
pengkritik saja yang dapat menjawabnya. Pemakaian kedua-dua teori ini oleh
sarjana Malaysia nampaknya lebih banyak
menyerlahkan kekeliruan estetik
daripada menjelaskannya. Baru-baru ini
pula kita mendapat laporan baru oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang dalam
penelitian saya membuktikan wujudnya kekeliruan
estetik dalam penilaian sastera di peringkat paling tinggi. Semua ini
memerlukan penelitian kita. Dalam posting kali ini saya memberikan jawapan saya
bagaimana masalah ini boleh diselesaikan.
1. Stylization of ideas: Mencari keindahan
dan makna melalui stylization of ideas.
Bayangkan
anda seorang pemanah yang cekatan, yang betul-betul handal. Setiap kali anda
melepaskan anak panah dari busurnya, pasti tepat mengenai matlamatnya. Jadikan ini satu perbandingan dalam seni
menulis. Matlamat anda ialah untuk mencapai tingkat karya yang “indah dan
bermakna”. Indah dari segi keterampilan
anda sebagai penulis yang berjaya mengolah pemikiran
anda dengan jelas dan logik; bermakna dari segi kebijaksanaan sebagai matlamat yang ingin anda capai melalui karya
itu. Bagaimana anda boleh melakukannya, untuk menjamin maksud “indah dan
bermakna” itu tercapai? Dalam gagasan Persuratan Baru, teknik yang dipakai
dipanggil stylization of ideas, atau
siratan makna yang dijalin melalui wacana dan cerita yang ingin
disampaikan. Biarlah saya berikan
contohnya dari cara saya menggunakan teknik stylization
of ideas ini. Cara anda tentu saja
berlainan, mungkin juga lebih baik dan lebih “menyengat” dari segi pemikiran
dan bahasa yang digunakan untuk menyampaikan pemikiran itu. Saya ambil dua contoh yang paling mudah
difahami, yang akan membolehkan seseorang yang belum biasa dengan teknik saylization of ideas dapat memahaminya,
mungkin tidak mendalam, tetapi sekurang-kurangnya dapat melihat makna dan cara
makna itu diperolehi melalui taknik ini.
Contoh pertama daripada novel Aligupit.
Saya salin bahagian yang dimaksudkan:
“Sekeliling bangunan itu terdapat longkang yang besar dan
dalam, untuk mengalirkan segala kekotoran dari bukit-bukit berdekatan.
Longkang-longkang gergasi itu dibina dengan kuat untuk menahan hakisan.
Longkang-longkang itu ditutup dengan padang rumput dan pokok bunga beraneka
warna, sehingga tiada siapa pun yang menyangka di bawahnya air kotor dan
kekotoran sedang mengalir dengan deras untuk dibawa keluar dari kawasan itu.
Longkang gergasi itu mengeluarkan desingan yang halus berirama ketika hujan
lebat dan air mengalir deras. Longkang-longkang itu seolah-olah sebuah orkestra
tersembunyi yang sedang memainkan berbagai lagu halus tajam, tetapi sedap
didengar, terdiri daripada para pemainnya air hujan yang deras menerpa dari
atas bukit, kotoran berupa kayu-kayu kecil, tin-tin minuman yang tersesat, atau
batu-batu kecil yang berlumba di dalam longkang untuk terjun ke lembah-lembah.
Ketika air, batu dan kayu kecil itu merempuh dan menempuh konkrit
longkang-longkang itu, terdengarlah bunyi orkestra yang halus tajam dan sedap
didengar itu. Kerana hari perbicaraan itu hujan agak lebat sejak awal pagi
lagi, maka muzik longkang itu menjadi lebih merdu dan jelas kedengaran. Orang
yang tidak mengetahui menyangka di bawah tanah itu terdapat mata air yang
jernih bersih deras mengalir menuju ke lembah, untuk bertakung menjadi kolam
air minuman penduduk kota raya itu.
Di tempat yang indah dan penuh dengan suara muzik itulah
perbicaraan Salim Adil diadakan.” (Hal. 155-156)
Jika anda
masih ingat, anda akan teringat bagaimana istana cantik Nabi Sulaiman ‘a.s.
begitu mempesonakan Ratu Balqis, sehingga lantai berkilat yang akan dijejakinya
itu dilihat seperti kolam yang dalam airnya. Dia menyingkap pakaiannya. Ketika itulah dia ditegur oleh
Nabi Sulaiman ‘a.s. bahawa yang disangkanya kolam itu hanyalah lantai berkilat
untuk ditapaki. Itulah yang memberi kesedaran kepada Ratu Balqis, lantas terus
memeluk agama Islam yang dibawa oleh Nabi Sulaiman ‘a.s. Dalam episod di atas, anda diberitahu satu
perbicaraan besar akan berlangsung di Mahkamah Pentas Negara. Anda perlu membaca
Tirai 10 untuk mengetahui mengapa perbicaraan itu sangat penting. Tetapi yang
lebih penting ialah bagaimana anda yang mendengar orkestra longkang itu tidak
perasan bahawa sumber air yang melahirkan muzik yang indah itu ialah air
longkang yang kotor. Jika anda berada
dalam Dewan Keadilan untuk mendegar perbicaraan terhadap Salim Adil, anda akan
mendengar semua jenis kutukan terhadap terdakwa yang sebenarnya tidak berada di
dalam mahkamah, hanya cerita tentangnya saja yang dibentangkan di situ. Jika
anda sudah membaca Aligupit, anda
tentu akan perasan bahawa novel itu mengenai kecanggihan penipuan dalam
kehidupan manusia yang berkuasa, yang tidak sedikit pun nampak sebagai
penipuan, tetapi semuanya kebaikan dan keadilan semata-mata. Tirai 10 mengakhiri novel ini, memberitahu pembaca
bagaimana Salim Adil yang tidak wujud itu telah dihukum dengan adil dalam suasana
yang penuh dengan bunyi muzik yang indah dan dikelilingi taman-taman indah.
Pernahkah anda ke Putrajaya? Saya tidak tahu apakah pemandangan yang paling
menarik bagi anda di Putrajaya itu.
Mengapa saya bawa perkara ini adalah sebahagian daripada indicator (saya sengaja menggunakan
perkataan Inggeris!) bagaimana stylization
of ideas itu digunakan sebagai teknik untuk menyampaikan idea tentang
penipuan, keadilan, kezaliman, semuanya dirangkum sekali gus. Anda harus tahu
keadilan adalah bertentangan dengan kezaliman. Bolehkah keadilan ditegakkan
dengan penipuan? Mungkinkah kezaliman dan penipuan diberi wajah keadilan? Semua
persoalan ini cuba dijawab, melalui stylization
of ideas, dalam novel Aligupit
itu. Siapakah yang bersikap adil di sini? Adakah watak-watak tidak bernama di
dalam novel itu? Atau andalah yang bersikap adil itu, kerana dapat memahami
novel itu daripada perspektif yang dimaksudkan oleh pengarangnya. Tidak
mungkinkah pengarang sendiri bersikap adil dengan memberi peluang kepada
pembacanya untuk memahami maksudnya dan matlamatnya melalui penggunaan teknik stylization of ideas itu? Sekarang anda
berpeluang untuk mengkritik Aligupit
dengan menggunakan teknik stylization of
ideas pula: Adakah Aligupit
membayangkan dengan jelas tentang penipuan, keadilan, dan kezaliman sekali gus?
Adakah anda mendapat kebijaksanaan
selepas membacanya dan menilainya dengan kritis? Semua ini menjadi tugas anda untuk memberi
jawapannya, setelah pengarang menyediakan segala motif dalam siratan makna yang
dianyamnya dengan kata-kata biasa tanpa rimbunan “bunga bahasa”, tetapi
sebaliknya kaya dengan “buah makna”, sesuai dengan matlamat gagasan Persuratan
Baru untuk menghasilkan karya persuratan yang indah dan bermakna. Jika anda seorang pembaca yang kritis dan
barangkali mempunyai jiwa seni, anda akan dapati kata-kata biasa itu (seperti
dalam kesimpulan ini) sebenarnya kaya dengan makna. Itulah antara maksud
pemikiran dalam karya kreatif. Jika anda
seorang sasterawan, dan yakin akan ketinggian mutu karya anda, anda tidak
sepatutnya berasa takut dan ragu untuk dinilai dengan adil menggunakan kaedah yang
disarankan oleh gagasan Persuratan Baru. Jika anda seorang ahli akademik,
seorang sarjana dan pengkritik sastera, anda akan lebih peka meneliti
kemungkinan yang selama ini tidak pun terlintas di fikiran anda kerana tidak
mempunyai alat, konsep dan kaedah untuk menilai sesebuah karya kreatif
berasaskan konsep ilmu yang benar; dengan itu anda sepatutnya lebih terbuka
untuk menerima dan melakukan perubahan.
Ini satu
lagi contoh, kali ini saya ambil daripada Pujangga
Melayu (hal. 282) yang membicarakan perihal penamaan rumah Prof. Awang,
dalam suatu dialog yang biasa tetapi maknanya agak luar biasa, baik bagi watak
dalam novel itu mahu pun dalam konteks novel itu sendiri. Pada asasnya dialog kecil ini merumuskan
seluruh falsafah yang ingin dibina dalam novel ini. Saya telah membicarakan
perkara ini dalam beberapa posting dalam blog ini, jadi saya harap pembaca yang
berminat boleh mencarinya jika mereka mahu. Saya tidak akan membicarakannya
dalam posting ini, kerana episod kecil ini telah diulas dengan memuaskan oleh
Prof. Ungku Maimunah dalam bukunya, Dinamika
Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009, hal. 121-123). Sila rujuk di sana jika
anda berminat. Dalam episod itu terdapat
konflik antara faham materialisme, faham kebendaan, dengan faham kerohanian
yang ingin dijadikan asas kehidupan Prof. Awang dan keluarganya. Konflik itu
tidak kelihatan, tetapi dapat dirasakan jika episod itu diteliti dengan cermat.
Perbualan antara Prof. Awang dan isterinya biasa saja, dalam keadaan santai,
berupa sejenis tarbiah tidak langsung seorang suami kepada isterinya. Semuanya
biasa saja, jika anda membacanya sebagai sebahagian daripada cerita; tetapi
sebaik saja anda membacanya dalam konteks wacana, anda akan mula berfikir,
adakah munasabah menjadikan peristiwa menamakan sebuah rumah satu perkara
penting? Di sini anda diuji dari dua jurusan: dari jurusan pembinaan struktur
novel itu sendiri, sama ada episod itu penting atau tidak; dari jurusan anda
sendiri sebagai pembaca yang kritis, adakah episod itu memberikan anda sedikit
imbasan kebijaksanaan dalam konteks nilai peribadi anda, atau jika anda tidak
percaya dan meremehkan saja episod itu sebagai episod yang hanya remeh-temeh,
adakah paksi naratif dan ruang naratif novel itu akan terjejas? Jika anda membacanya
dalam mod bacaan intelektual, anda mungkin mendapat kesimpulan novel Pujangga Melayu tidak memberi apa-apa
makna kepada anda sebagai pembaca; atau anda mungkin ingin meneliti dengan
lebih cermat pembinaan struktur novel itu dengan melihat aspek paksi naratifnya
dan bagaimana ruang naratif dipergunakan dalam membina novel itu. Jika anda sampai ke tahap itu, anda akan
mengerti apakah yang dimaksudkan dengan stylization
of ideas. Jika tidak, anda boleh menelitinya lagi dengan lebih hati-hati
sebagai satu cabaran intelektual. Atau terus meninggalkannya dan membuat
kesimpulan bahawa semua ini karut saja. Apa pun pilihan anda, dengan membuat pilihan itu anda telah
menyatakan sejauh mana anda sebenarnya seorang pembaca yang kritis dan
mempunyai sikap positif atau negatif. Pilihan
itu benar-benar menguji kejujuran anda sebagai seorang pembaca yang kritis,
pembaca yang dewasa, yakni pembaca yang berfikir, bukan pembaca yang pandir,
seperti yang ditegaskan oleh Prof. Awang kepada anak perempuannya: “Karya-karya
ayah untuk orang yang berfikir, bukan untuk si pandir.” Di mana pun anda
meletakkan diri anda, peringatan Awang kepada anaknya tetap bermakna dalam
konteks novel itu sebagai sebuah novel persuratan. Di sinilah terletaknya
kekuatan teknik stylization of ideas.
Sama ada anda bersetuju atau tidak dengan kesimpulan ini tergantung kepada
sejauh mana anda telah memahami teknik stylization
of ideas itu sebagai satu aspek teknik yang penting dalam penulisan novel
yang mementingkan wacana. Pendeknya, anda boleh merobohkan gagasan Persuratan
Baru dengan menolak konsep (sebagai satu idea dalam seni penulisan) stylization of ideas sebagai karut
semata-mata; atau anda boleh menggunakannya dengan berkesan dalam kerja-kerja
kreatif anda yang bersifat cerita. Pilihan itu ditentukan seratus peratus oleh
anda sendiri, untuk mencerminkan kebijaksanaan, kejujuran intelektual anda atau
sebaliknya.
Ini sebuah cerita sufi
yang mungkin boleh dijadikan iktibar, agak lucu tapi bermakna. Dikabarkan, ada seorang Si Lurus Bendul
berjumpa seorang tokoh sufi yang terkenal dan popular, meminta nasihat. “Tuan
guru, beri saya amalan dan bacaan/wirid yang boleh saya buat untuk mendekatkan
diri dengan Allah Ta’ala”, kata Si Lurus Bendul. Sang Tokoh sufi terkenal itu
dengan berjenaka berkata, “Kamu gantungkan kaki kamu dengan kepala di bawah,
bacalah wirid yang aku berikan ini.” Maka pulanglah dengan gembira Si Lurus Bendul
ke rumahnya kerana mendapat petua yang mudah itu. Lalu dilakukannya betul-betul
apa yang disuruh Sang Tokoh. Betahun-tahun lamanya. Allah Ta’ala Yang Maha
Mengetahui dan Maha Melihat, Yang Maha Mengasihani, kasihan melihat hamba Nya yang ikhlas, lalu
memberinya kebijaksanaan dan perasaan kasih sayang anggota masyarakat. Maka
hairanlah Sang Tokoh Sufi melihat Si Lurus Bendul bertukar menjadi tokoh sufi.
Dia mendapatkannya, bertanya apa yang diamalkannya. Dengan bangga Si Lurus
Bendul memberitahu, “Saya amalkan ajaran Tuan Guru.” Bukan main terkejut dan
malu Sang Tokoh Sufi, lalu beredar dari situ dan terus mengembara memohon ampun
daripada Allah Ta’ala di atas keterlanjurannya mempermainkan ilmu. Saya harap saya bukan tokoh sufi itu; dan
anda pula bukan si lurus bendul! [Harap versi yang saya catat ini tidak lari
jauh dari versi asal]. Wallahu a’lam.
2. Keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan:
perlukah bahasa terlalu rimbun dengan bunga bahasa? Adakah sama keindahan
bahasa dengan bunga bahasa? Atau bunga bahasa itu ciri keindahan bahasa? Di
Malaysia, inilah pengertian umum tentang konsep “keindahan bahasa”, iaitu
mestilah dinilai dan diukur daripada penggunaan “bunga bahasa”, berapa banyak
yang dipakai, tanpa mengira sesuai atau tidak atau asli atau pun tidak. Satu masa dahulu, H. B. Jassin memuji Idrus
yang banyak menggunakan perbandingan dalam karyanya, yang oleh Jassin dianggap
sesuatu yang cukup istimewa. Tetapi jika anda membaca karya Idrus, anda akan
terasa penulis ini amat melampau menggunakan “bunga bahasa”, dalam hampir
setiap ayat. Kesannya cukup membosankan dan mengganggu pembacaan. Panggunaan
“bunga bahasa” yang begitu banyak akhirnya menjadi sejenis “gila bahasa” (tidak
dalam maksud simpulan bahasa yang terkenal di Malaysia; tetapi dalam konteks
keghairahan menggunakan perbandingan/kiasan dsb. sebagai bunga bahasa). Usman Awang pula mempunyai penyakit “gila
bahasa” yang berbeza, seperti yang dapat kita lihat dalam sajak-sajaknya,
dengan puncaknya dalam sajak beliau berjudul “Cinta”. Shahnon Ahmad pula lagi berbeza, dengan
“kegilaan bahasa” yang jelas dalam kesukaannya menggunakan perulangan, iaitu
sejenis “ratib bahasa” yang kosong makna, tidak seperti ratib biasa. Bagi
Shahnon Ahmad, perulangan adalah aspek utama, atau kunci, keindahan bahasa. Ini
dibuktikannya dalam novelnya Ranjau
Sepanjang Jalan. Komen Prof. Dr. A. Wahab Ali tentang perulangan ini cukup
menarik (tentang novel Tunggul-tuggul
Gerigis): “Novel ini amat sukar
untuk dinikmati kerana terlalu banyak pengulangan menyebabkan kita loya dan
muntah. Bayangkan, saya sebagai seorang pengkaji novel mengambil masa yang amat
lama untuk menghabiskan novel ini. Malah sering pula saya melontarkan buku itu
setiap habis membaca 5-6 halaman”. (Kedudukan
Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan
Praktis, hal. 111.) Apakah yang
istimewa tentang novel ini? Keistimewaannya ialah kerana novel ini berjaya
membuat seorang profesor sastera “loya dan muntah”. Novel ini adalah salah sebuah novel terbaik,
novel agung Malaysia versi DBP, karya terbaik Abad 20 menurut pilihan Dewan
Bahasa dan Pustaka. Adakah pengulangan yang begitu banyak dalam karya Shahnon
Ahmad bukti kekuatan kreatif beliau, atau bukti yang cukup jelas tentang
kemampuan kreatif beliau yang tidak seberapa? Kita mesti ingat, beliau adalah
seorang sasterawan negara, oleh itu apa juga yang beliau buat mesti bagus;
tetapi kita jangan lupa bahawa beliau hanya seorang penulis, seorang sasterawan
yang berdiri teguh dimercu mitos yang dibina dengan gigih oleh pihak-pihak yang
menyanjung beliau. Pembaca yang lebih kritis melihat Shahnon Ahmad hanya
seorang sasterawan picisan saja, itu pun sudah cukup baik. Tetapi beliau telah diisytiharkan sebagai
“Raja Novelis Malaysia”, bagaimana pula seorang sasterawan picisan diberikan
gelaran itu? Di situlah kaedah memainkan peranan dalam analisis dan penilaian:
mana satu penilaian yang lebih tepat akan ditentukan oleh hujah dan pembuktian
yang dikemukakan, bukan menurut hawa nafsu penilai semata-mata. Itulah peranan
pengkritik sastera dan peranan teori sastera, untuk menentukan kaedah terbaik
dalam membuat penilaian yang paling tepat. Jika tidak, gelaran “Raja Novelis
Malaysia” itu akan kekal sebagai satu “mockery”, bukan diasaskan kepada
analisis yang cermat menggunakan ukuran yang boleh diterima oleh akal sihat.
Dalam konteks inilah kita boleh persoalkan pemilihan novel Tunggul-Tunggul Gerigis sebagai salah sebuah karya besar Abad 20.
Pilihan telah dibuat, kini terpulang kepada kita untuk menerima atau
menolaknya. Itulah peranan sebenar seorang pengkritik yang berwibawa. Oleh hal yang demikian, penerimaan atau
penolakan harus dianalisis dan dinilai dengan objektif, berasaskan ukuran
tertetu yang boleh diuji ketepatannya. Hakikat ini tidak diterima oleh para
sasterawan dan sarjana sastera, yang menganggap setiap penilaian yang dibuat
oleh autoriti yang dilantik kerajaan adalah muktamad, tidak boleh diungkit
lagi. Inilah budaya pandirisme yang perlu ditolak. Tentulah sangat aneh apabila
pendirian begini menjadi bahagian penting dalam kehidupan akademik seorang
sarjana sastera.
Konsep
keidahan bahasa yang dipakai sekarang tidak cukup jelas untuk dijadikan landasan kukuh dalam membuat
penilaian sama ada sesebuah karya kreatif itu bermutu atau tidak. Kecenderungan
yang berlebihan untuk menggunakan “bunga bahasa” yang sengaja dicari-cari dan
ditonjol-tonjol seolah-olah itulah ciri penting dalam konsep “keindahan bahasa”
ini, telah melahirkan kekeliruan estetik
yang parah. Aspek ini telah dibincangkan dalam buku Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (2008, hal. 19-38),
oleh itu tidak perlu diulang lagi di sini. Lihat juga tulisan saya dalam Adab dan Peradaban: Karya Pengi’tirafan
untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, eds. Mohd. Zaidi Ismail dan Wan
Suhaimi Wan Abdullah (MPH, 2012). Dalam syarahan perdana Prof. Rahman Shaari
tentang sajak-sajak Melayu, kekeliruan
estetik ini dijadikan ciri penting dalam menilai sesebuah sajak. Inilah
pendapat Prof. Rahman Shaari yang menyaring pendapat Subagio Sastrowardojo: “Subagio
Sastrowardojo dalam bukunya Bakat Alam
dan Intelektualisme menyebutkan bahawa kekuatan puisi moden amat bergantung
pada keaslian pengucapan penyair. Penyair tidak mengulang pengucapan yang sedia
ada. Isi tidak akan dapat menghasilkan kemantapan karya jika tidak dibantu keaslian yang memikat.
Kemantapan
akhirnya akan terlihat bergantung kepada keupayaan penyair mengeksploitasi
bahasa hingga menghasilkan puisi yang tebal dengan unsur estetika. Penyair
mungkin mengaplikasikan pengetahuan
psikologi (terutama psikoanalisis) dan falsafah, seperti yang diamalkan oleh
Subagio Sastrowardojo sendiri. ... Bagi penyair yang kukuh dengan pegangan
satu-satu ideologi, kemantapan boleh dicapai dengan menggunakan ilmu daripada
ideologi berkenaan, asalkan penyair tidak mengizinkan ideologinya menguasai
pengucapan. Penguasaan ideologi ke atas karya secara yang ketara akan
menyebabkan pengungkapan karya menjadi tiruan
pemikiran dari dogma atau doktrin (Subagio, Simphoni, hal. 42. Dikutip daripada syarahan perdana Rahman Shaari,
hal. 10)”.
Apakah yang
anda dapat dari kutipan ini? Inilah contoh “cetek meraba-raba” yang dikritik
oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau. Siapakah sebenarnya yang menyuarakan pendapat
ini? Jika anda biasa membaca buku-buku teori sastera Barat, bau tengik keju Barat itu sangat kuat, lebih kuat
daripada bau masam durian yang nampaknya tidak digemari oleh penanam durian
sendiri, orang Melayu yang diajar berfikir dalam konteks tauhid. Jika anda uji
pendapat “cetek meraba-raba” ini dengan syair-syair Iqbal, anda akan melihat
betapa karutnya pendapat yang menegaskan “penyair tidak mengizinkan ideologinya
menguasai pengucapannya.” Apa salahnya jika hasil karya itu “menjadi tiruan
pemikiran dari dogma atau doktrin” yang dipegang oleh pengarang? Jika pendapat
Prof. Rahman Shaari ini diterima, anda tidak mungkin menghasilkan karya yang
bercorak Islam, kerana menurut pendapat
ini karya yang mantap mestilah yang bersifat “aesthetic”! Ke mana anda hendak meletakkan Rumi, Sa’di, Iqbal dan
lain-lain penyair besar Islam?
Syair-syair mereka digemari oleh pembaca pelbagai agama dan faham
falsafah, kerana itu karya mereka masih terus hidup dalam tamadun dunia moden.
Jadi apakah sebenarnya yang dimaksudkan “kemantapan” atau “keindahan bahasa”
dalam karya kreatif? Pandangan kerdil
dan cetek profesor ini akhirnya berakhir dengan kesimpulan yang pelik ini: “Di Malaysia, Baha Zain berkebolehan dalam
mencipta karya bertolak daripada ilmu tersebut (ie. psikoanalisis Freud). Yang
terhasil ialah pengucapan jujur berupa konfesi yang dapat menjadi cermin kepada khalayak” (hal. 10). Saya tidak perlu mengulas kesimpulan yang
aneh ini; biarlah anda sendiri membiasakan diri membaca pendapat yang sangat
aneh ini (aneh kerana terlalu jelas kekeringan maknanya, seperti pokok durian
yang sudah ranggas daunnya dan tidak dapat mengeluarkan buahnya lagi kerana
sudah mati. Apa guna durian yang tidak berbuah? Apa guna ucapan yang tidak
bermakna?)
Perlukah
kita membezakan apa yang disebut konfesi
dengan pemikiran atau renungan yang bercorak kerohanian? Apakah yang membuat sesuatu konfesi itu begitu
berharga, sehingga “menjadi cermin kepada khalayak”? Jika anda membaca sajak-sajak yang diberi
pujian tinggi oleh profesor ini, yang dianggapnya sajak-sajak mantap, anda akan
dapati sajak-sajak itu tidak “menyentuh kecapi kalbu” anda, kerana tidak ada
apa-apa yang membolehkan anda mengenal diri anda yang hakiki, kerana
sajak-sajak demikian ditulis berasaskan hawa nafsu penulisnya, bukan berupa
renungan mendalam tentang kehidupan kerohanian manusia. Kita harus dapat
membezakan sanjungan palsu untuk memuji karya yang palsu pula. Demikianlah
parahnya kekeliruan estetik yang
tidak berlandaskan taklif dan ilmu yang benar.
Setiap hari kita disogok dengan sanjungan palsu untuk memuji karya tidak
bermutu yang juga palsu, membuktikan betapa parahnya kekeliruan estetik ini dalam penilaian sastera di Malaysia. Prof. Ungku Maimunah telah menunjukkan, dalam
sebuah makalahnya, bagaimana kekeliruan
estetik terjadi dalam keputusan sayembara
novel sempena Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri, apabila novel
Azizi Hj. Abdullah, Harga Sebuah Maruah,
terpilih untuk memenangi sayembara itu. Isunya di sini bukanlah kemenangan novel
itu, tetapi bagaimana novel itu dinilai tidak seperti yang diiklankan dalam
syarat sayembara. Demikian juga
novel Kawin-kawin, yang saya berikan
kritikan terperinci dalam sebuah kertas kerja (2003). Nampaknya kekeliruan
estetik ini berterusan dalam Laporan Panel Anugerah Sastera Negara,
terakhir dalam Laporan 2012.
Laporan 2012 adalah yang terburuk, dan paling
lemah, di antara sekumpulan laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang telah
diterbitkan. Dari segi memberi pujian
dan sanjungan laporan ini adalah yang terbaik dan paling rimbun dengan pujian dan
sanjungan, tetapi tidak diiringi bukti serta analisis yang menarik. Masih
bertaraf klise yang kaya dengan kenyataan (statements)
tanpa hujah (arguments) yang cukup
kemas diikat dengan bukti yang tepat. Pujian dan sanjungan itu tidak seiring
dengan contoh yang diberikan. Membaca laporan ini mengingatkan kita kepada
laporan Hadiah Sako II tentang novel Kawin-kawin
oleh Azizi Hj. Abdullah,
seolah-olah ditulis orang yang sama. Perhatikan
beberapa contoh, dengan memberi tumpuan kepada kesimpulan utama laporan ini
bahawa Kemala adalah seorang pensajak mistik/kerohanian. Kata Laporan
2012: “Pada hakikatnya, Kemala
ibarat sebatang pohon yang tinggi dengan bunga-bunga yang harum di taman
kesusasteraan Melayu masa kini. Puisinya semerbak dengan wangian kerohanian
yang dapat menyuburkan kehidupan insani.”
Dalam
laporan yang lepas, kita tidak menemui pujian dan sanjungan setinggi ini,
paling tinggi Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dipuji hanya sebagai seorang pensajak intelektual, tetapi sajak-sajaknya
tidak “semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan
insani.” Secara langsung dan tegas Laporan 2012 telah meletakkan Kemala
sebagai seorang “Maharaja Pensajak Melayu dan Nusantara”, mengatasi gelaran
“Raja Penyair Malaysia” yang diberikan oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man
kepada Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh. Dari segi memberi pujian, Laporan 2012 muncul sebagai pembina
mitos paling unggul dan tegas dalam usaha Panel Anugerah Sastera Negara
menjadikan tokoh-tokoh yang mereka pilih sebagai sasterawan negara itu muncul
begitu hebat dan “memeranjatkan” kerana sebelum diangkat menjadi sasterawan
negara mereka hanya manusia biasa saja. Begitu biasanya Kemala dalam pandangan
Prof. Rahman Shaari, yang tidak langsung memberi sedikit pun pujian dan
sanjungan kecuali hanya untuk memetik sebuah sajak beliau, “Pada Setiap Kali
Kau Tiba, Ogos” (hal. 66) yang dianggapnya hanya “merupakan salah sebuah sajak tentang kemerdekaan
yang cukup bertenaga serta puitis” (hal. 65, huruf condong ditambah); sehingga beliau mencadangkan kerajaan
Malaysia menerbitkan sebuah kumpulan sajak patriotik yang memakai judul “Setiap
Kali Kau Tiba, Ogos” untuk dibaca oleh semua pelajar dan remaja Malaysia supaya
bersemangat patriotik. Mujurlah buku itu
tidak diterbitkan, kerana jika tidak kerajaan Malaysia akan membuat pembetulan
yang memalukan seperti dalam kes Interlok.
Kini hari kemerdekaan tidak lagi dirayakan pada 31 Ogos, sebaliknya pada 16
September (dikemudiankan dua minggu supaya menepati kemahuan politik pihak
berkuasa masa kini). Barangsiapa yang tidak tahu sejarah perjuangan rakyat
menuntut kemerdekaan, tidak akan mengerti bahawa dengan perubahan ini, kemerdekaan
tidak lagi satu perjuangan, tetapi satu strategi politik untuk terus berkuasa.
Aspek ini penting diketahui oleh para pelajar dan remaja yang “patriotik”,
supaya mereka sedar bahawa sebenarnya tidak ada “pahlawan” kemerdekaan” atau
“pejuang” kemerdekaan, oleh itu “hari untuk mereka” boleh diubah-ubah mengikut
cita rasa semasa. Dalam sejarah “kemerdekaan” Tanah Melayu daripada belenggu
Inggeris, ahli politik dan ahli sejarah yang dilahirkan oleh ahli politik
memberi tumpuan yang berlebihan kepada perunding
kemerdekaan yang diangkat oleh penjajah, diwakili oleh para pemimpin feudal
yang menamakan gerakan mereka UMNO, satu akronim daripada perkataan Inggeris.
Jiwa dan semangatnya tetap Inggeris kerana mereka ini memang dicipta dan
dipelihara oleh penjajah Inggeris. Demikian juga dalam penilaian sastera yang
direka oleh para juri pemilihan, semuanya disesuaikan untuk kelihatan sesuai dengan matlamat
pemilihan itu. Lihat bagaimana Prof. Rahman Shaari membayangkan hal ini:
“Sesiapa yang meneliti sajak-sajak Kemala akan menemukan sebuah sajak patriotik
ciptaannya” (hal. 65). Sungguh aneh,
mengapa Prof. Rahman Shaari menemui benda lain yang boleh membuat orang serabut
(kerana Ogos tidak lagi hari patriotik), bukan sajak-sajak yang “semerbak
dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani.” Sekiranya
penulis Laporan 2012 seorang profesor
(semua ahli Panel adalah profesor), maka mereka ternyata sudah silap, menemui
sesuatu yang tidak pun wujud bagi seorang pakar persajakan Melayu seperti Prof.
Rahman Shaari, yang menyebut perkara itu dalam syarahan perdana beliau, suatu
dokumen ilmiah yang cukup penting, berupa kajian seumur hidup yang serius.
Walau apa pun ramalan anda, sambil menggaru kepala (jika anda gemar berbuat
demikian), anda tentu akan berasa taajub bagaimana parahnya “kekeliruan
estetik” yang dihadapi oleh para sarjana sastera Melayu ini, di pihak
mana pun anda berada, sama ada bersama seorang pakar persajakan atau bersama
ahli Panel Anugerah Sastera Negara.
Adakah mereka pemain songlap, pemain silapmata, yang unggul?. Begitu unggulnya
mereka sebagai pemain silapmata akademik sehingga dapat memukau seluruh
khalayak sastera Malaysia untuk mempercayai mereka (sama seperti UMNO memukau
rakyat Malaysia selama lebih setengah abad), untuk menerima penilaian mereka, padahal
mereka hanya bermain silapmata, bukan pemain handalan dalam dunia pemikiran. Masalah ini boleh diatasi, saya kira, jika
nasihat “bernas” (perkataan ini digunakan oleh sebuah syarikat menjual
beras) Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh
ketika mengherdik dan menempelak saya bagaimana cara menulis kritikan sastera
yang berkualiti diikuti, permainan songlap akademik ini mungkin boleh
dikurangkan. Dalam tulisannya (Berita Minggu
25 Disember 1983 dan 1 Januari 1984) Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh mencadangkan
supaya setiap kritikan dimulai dengan “langkah kaedah” (sejenis “langkah
sembah” dalam bidang akademik). Beliau
sendiri tidak pernah berbuat demikian; oleh itu walaupun beliau menjadi ahli
Panel Anugerah Sastera Negara, “langkah kaedah” itu tidak kelihatan kerana
tidak digunakan. Saya telah bermurah hati membantu beliau supaya beliau boleh memahami
cadangan beliau sendiri walaupun saya tidak termasuk di antara 4000-5000 murid
beliau, dan bagaimana cadangan beliau itu boleh digunakan, dengan membicarakannya agak
panjang dalam makalah saya yang terbit dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (2010; diselenggarakan oleh Prof. Ungku
Maimunah Mohd. Tahir; lihat bab 4, mulai hal. 289, khususnya hal. 328-331). Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh menulis tentang
perkara ini dalam tahun 1983; tetapi beliau sendiri menerima hakikat bahawa
cadangannya itu sebenarnya agak “lekeh” kerana tidak dihuraikan dengan “teliti”,
oleh itu beliau sendiri tidak berasa perlu menggunakan apa-apa “langkah kaedah”
untuk menulis laporan Penal Anugerah Sastera Negara yang beliau sendiri menjadi
ahlinya. Adakah beliau juga seorang
pemain silapmata dalam bidang akademik?
Naifnya
mereka dapat dilihat dalam contoh yang mereka berikan ini. Laporan
2012 memberitahu kita, dalam kata-kata bombastik yang menjadi ciri penting
laporan Panel Anugerah Sastera Negara, betapa pentingnya alusi dalam sajak
Kemala. Inilah dia: “Sebagai penyair yang berjiwa besar, Kemala juga
berani menggunakan alusi daripada budaya
lain seperti rujukan kepada Mark Anthony dan Cleopatra. Perkara ini dilakukan
bukan kerana tidak ada tokoh dalam kalangan penduduk tempatan, sebaliknya,
penggunaan alusi asing ini memupuk renungan tentang hukum hidup yang universal
dan lumrah. ... Justeru, alusi daripada berbilang budaya menjadikan karya
penyair ini universal. Namun demikian, Kemala tetap bersandar kepada akar umbi
Melayu dan ajaran Islam” (hal. 20). Kita
boleh menulis sebuah makalah 50 halaman untuk membahaskan pendapat aneh dan
melucukan penulis laporan ini; tetapi di sini akan disentuh satu (atau dua)
perkara saja, yang agak melucukan. Di
sini Kemala menjadikan dirinya seorang Mark Anthony dan kekasihnya Cleopatra,
untuk (agaknya) “meuniversalkan” percintaannya yang agung dengan kekasihnya,
seperti percintaan Mark Anthony dan Cleopatra, Richard Burton dan Elizabeth
Taylor yang melakonkan dua watak itu dalam filem mereka. Inilah jenis wangian Barat yang cukup harum
untuk mewangikan percintaan pensajak ini.
Bercinta memang universal, tak perlu diberitahu oleh Panel pun sudah
diketahui orang; tetapi di mana “wangian
kerohaniannya” dalam alusi ini? Tidak
lain hanya sejenis ilusi. Inilah satu
contoh salah contoh untuk mencontohkan
suatu contoh yang tidak perlu dicontohi. Satu lagi bukti betapa parahnya kekeliruan estetik di kalangan para
sarjana yang membicarakan sastera.
Dalam Laporan 2012 kita tidak saja bertemu
kekeliruan estetik yang bersepah di sana sini; lebih teruk lagi ialah begitu
jauh sekali jarak estetik yang cuba dicapai oleh Laporan 2012 dengan contoh yang diberikan. Tidak ada contoh yang
boleh dianggap sajak kerohanian yang wangi itu diberikan dalam laporan ini;
yang agak sipi-sipi ialah sebuah sajak yang ditulis tahun 1972 bertajuk “Laut”,
yang dipetik bersandarkan pandangan Braginsky yang memuji sajak itu (hal. 16)
sebagai percubaan pensajak mendekatkan diri dengan Hamzah Fansuri dan sufi-sufi
Melayu yang menggunakan lambang laut dalam pengalaman kerohanian mereka. Tidak sedikit pun terbayang ruh kerohanian
tulen dalam sajak-sajak yang diberi sebagai contoh, kecuali jika kita boleh
gunakan istilah “pseudo-sufi” untuk sajak-sajak buatan yang menggunakan
ungkapan yang berbelit-belit yang lebih jelas sifat mengada-ada daripada
gambaran pengalaman kerohanian yang tulen. Sajak-sajak yang dicontohkan
kononnya berciri “kesufian” itu sebenarnya sajak-sajak ekspresif yang
menggambarkan keinginan penulis yang sangat tegas mahu diterima sebagai
pensajak sufi, padahal tidak mencerminkan pengalaman kerohanian yang tulen.
Jauh lebih autentik sajak Chairil Anwar “Doa” yang benar-benar timbul dari
kegelisahan dirinya yang disisih keluarga sendiri, dan dengan itu memaksanya menulis rintihan kalbunya.
Perbuatan membandingkan dan mendudukkan Kemala sejajar dan setaraf dengan Amir
Hamzah adalah amat keterlaluan, apatah lagi tidak diberikan walau sebuah sajak
yang dapat mencapai taraf, walaupun sipi-sipi, seperti sajak “Berdiri Aku” Amir Hamzah; lebih melampau lagi apabila
Kemala disetarafkan dengan Hamzah Fansuri. Kekeliruan estetik ini adalah akibat
masalah kognitif yang dihadapi oleh penulis Laporan
2012, yang nampaknya terlalu ghairah ingin meletakkan Kemala sebagai
pensajak sufi, kononnya. Jikalau Laporan 2012 benar-benar percaya Kemala
adalah pensajak sufi moden terbesar di Alam Melayu, laporan itu sepatutnya memberi
perhatian khusus kepada perkara ini, dengan mengemukakan analisis dan penilaian
teliti sajak-sajak sufi itu. Tidak ada, padahal peluang untuk berbuat demikian
cukup terbuka dan inilah masanya Panel
Anugerah Sastera Negara mengemukakan secara tuntas seorang tokoh pensajak Islam
tulen dalam sastera Melayu. Adakah Panel juga bermain songlap? Jika tidaklah
kerana terdapat keangkuhan akademik yang begitu ketara (maksud saya: lontarkan
apa saja pujian tanpa bukti dan analisis dengan memaksa pembaca menerimanya
tanpa bantahan), kita mungkin dapat membaca sebuah laporan yang kemas dan
betul-betul tinggi kualiti akademiknya.
Mengapa ini tidak dilakukan adalah suatu misteri, padahal para anggota
Panel boleh melakukannya. Adakah kerana mereka sebenarnya tidak menghormati
pensajak yang mereka laporkan, oleh itu boleh saja berlaku sambil lewa? Sifat sambil lewa ini sudah dijadikan
standard dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara, kerana mereka
mengandaikan mereka adalah pakar yang tidak boleh dipersoalkan, oleh itu
pembaca harus menerima keputusan mereka tanpa sebarang perasaan curiga. Jika
hal ini terjadi 50 tahun dahulu mungkin usaha mereka diterima bulat-bulat;
tetapi tidak sekarang di kalangan
pembaca yang mahukan kualiti pemikiran dan analisis yang lebih baik. Sekali lagi kita berdepan dengan kekeliruan estetik yang parah.
Ketika
membicarakan sumbangan Kemala dalam cerita pendek, Panel memberikan satu contoh
yang cukup menarik, yang mungkin mereka tidak sedar contoh itu melambangkan
kehidupan kerohanian Kemala yang paling autentik. Panel memilih cerita pendek
“Sebuah Masjid Buat Hari Tua”. Ini komen mereka: “Dengan memfokuskan kepada
cerpen “Sebuah Masjid Buat Hari Tua” dalam laporan ini, penelitian ditumpukan pada
pencapaian Kemala dari segi penggunaan teknik satira. Kemala menyatirakan mereka yang menggunakan agama demi kepentingan
sendiri (huruf condong ditambah).
Menurut cerita ini, dalam kalangan AJK masjid pun terdapat perbalahan dan
keadaan yang berpecah-belah. Golongan penyokong Tuan Haji Semilang Laut
menentang pelantikan Cikgu Akmal, protagonis cerpen ini sebagai nazir masjid
baru yang berharga RM6.5 juta itu” (hal. 29).
Cerita pendek ini menarik kerana Kemala sendiri pernah manjadi nazir
Masjid Abdul Rahman Auf selama 10 tahun; dalam janga waktu itu beliau
mencadangkan (yakni meminta) AJK masjid mengurniakan sepersalinan baju Melayu
dari kain songket berharga mahal, kira-kira RM5,000. Beliau diberi persalinan
itu oleh AJK yang “terhutang budi” di atas jasanya sebagai nazir yang tegas. Menarik
sekali pandangan Laporan 2012 yang
berbunyi: “Puisi Kemala dengan jelas
membayangkan perjuangan dan pencapaian kerohaniannya dengan ungkapan-ungkapan
mistikalnya yang tersendiri. Pencapaian ini tidak mudah diraih dalam lingkungan
kehidupan moden yang di dalamnya terdapat banyak tarikan fizikal dan material”
(hal. 15).
3. Kesimpulan: Demikianlah parahnya kekeliruan estetik dalam kritikan sastera di Malaysia. Akibat kekeliruan
estetik telah saya huraikan dalam makalah saya mengenai novel Kawin-kawin, juga dalam makalah Prof.
Ungku Maimunah yang membahaskan tentang kepincangan penilaian novel Harga Sebuah Maruah. Jika anda masih
ingat, kekeliruan estetik ini
diceritakan di dalam al-Quran dalam kisah Ratu Balqis yang mengadap Nabi
Sulaiman ‘a.s. Di situ ditunjukkan
bagaimana hasil seni (di sini seni bina) yang
betul-betul tinggi mutunya, boleh memukau indera manusia sehingga menjadikan ilusi yang dilihatnya/dialami sebagai
realiti seolah-olah terbentang sebuah kolam yang dalam. Dalam konteks kritikan dan penilaian sastera
di Malaysia, kekeliruan estetik itu
timbul akibat ceteknya pengalaman seni, sehingga apa juga yang disebut
“eksploitasi bahasa” (seperti anggapan Laporan
2012) dianggap sebagai “pencapaian kerohanian dalam ungkapan-ungkapan
mistikal”, walaupun yang terjadi ialah tidak lebih daripada permainan bahasa
dalam rimbunan bunga bahasa. Jalan
keluar yang dicadangkan oleh gagasan Persuratan Baru ialah melihat keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan,
dengan mengembalikan keindahan itu kepada taklif, tidak kepada kemahuan hawa
nafsu seperti yang diamalkan dalam kesusasteraan. Dengan itu keindahan bahasa
tidak lagi dilihat dari perspektif sejauh mana bahasa itu digunakan untuk
merayau-rayau dalam belantara bunga bahasa dengan sengaja mencari perbandingan,
kiasan dan lain-lain “bunga bahasa” (retorik) dengan maksud membawa seberapa
banyak kelainan penggunaan bahasa, tanpa memikirkan aspek ilmu dan makna yang
dikandung oleh permainan bahasa melalui penggunaan bunga bahasa tadi, atau
dengan istilah Barat, dinamakan eksploitasi bahasa. Keindahan bahasa dapat
dicapai dengan penggunaan bahasa yang tepat, sebagai contoh penggunaan bahasa
Amir Hamzah dalam sanjaknya. Lihat bagaimana bahasa Melayu dalam tangan Amir
Hamzah menjadi cantik dan memukau bukan kerana eskploitasi bahasa, tetapi lahir
dari kemampuan kognitif yang tinggi untuk mengadun kata-kata dalam ungkapan
yang istimewa. Sebagai contoh (antara banyak contoh), perhatikan bagaimana perkataan “pulang” digunakan oleh Amir Hamzah
dalam sanjak “Berdiri Aku”: Angin pulang menyejuk bumi/ Menepuk teluk
mengempas emas/ Lari ke gunung memuncak sunyi/ Berayun alun di atas alas. Bandingkan kesimpulan Amir Hamzah dalam bait
akhir sanjaknya: Dalam rupa maha
sempurna/ Rindu-sendu mengharu kalbu/ Ingin datang merasa sentosa/ Menyecap
hidup bertemu tuju. Jika anda
membaca “pulang” dalam konteks “rupa maha sempurna” menuju matlamat hidup
“bertemu tuju”, anda akan melihat makna kewujudan manusia dan matlamat hidupnya,
untuk “pulang” menemui Tuhannya. Jika
anda tidak percaya adanya Tuhan Yang Maha Esa dan adanya Akhirat, anda tetap
akan “pulang” tetapi kepulangan anda sebagai manusia sesat: lihat betapa
indahnya angin yang pulang menyejuk bumi dan tahu tempat yang ditujunya, yakni
pulang ke gunung memuncak sunyi. Kepulangan yang sungguh indah dan digambarkan
dengan indah sekali. Inilah contoh keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan
yang dimaksudkan oleh gagasan Persuratan Baru. Inilah bentuk stylization of ideas yang dimaksudkan
dalam gagasan Persuratan Baru. Semoga dengan penjelasan ini anda akan mengerti
mengapa gagasan Persuratan Baru
dikatakan memberi kemahiran intelektual yang baru dalam memahami karya
seni yang tinggi atau yang bermutu. Wallahu a’lam.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling Jaya,
7/7/2012.
..itu pengulangan dalam tulisan Shahnon Ahmad. Pengulangan dalam tulisan Tuana Affandi pun ada juga;pengulangan mengkritik Shahnon Ahmad, Azizi hj Abdullah dan semua sasterawan negara.
ReplyDeletePengulangan sebegitu nak dipanggil apa pula ya?
Itulah pengulangan yang dipanggil stylization of ideas.
ReplyDeleteFaham?
Bukan. Itu namanya "Pengulangan Wajib". Pengulangan jenis ini WAJIB diulang seberapa banyak kali pun untuk tujuan mendidik para penulis yang BODOH DAN BEBAL. Para penulis BODOH DAN BEBAL ini hidup terawang-awang dalam dunia pelik mereka sendiri, perasaan diri bagus dan selalu minta disanjung orang. Hakikatnya, masyarakat umum pandang para penulis BODOH DAN BEBAL ini macam sampah tak guna. Itu sebab Menteri Pelajaran Malaysian pun tak setuju kalau anak dia dan anak orang lain di negara ini diajar dengan karya-karya sastera Melayu. Sebabnya, sendiri fahamlah. Itu sebab Mohd Affendi WAJIB mengajar penulis BODOH-BEBAL ini berulang-ulang sampai mereka faham (kalau boleh faham la).Mungkin jugak kedua-dua Anonymous di atas ini termasuk dalam golongan para penulis BODOH DAN BEBAL kot. Mana tau.
ReplyDeleteKepada Mohd. Affendi, teruskan mengkritik dengan pedas supaya mereka ini sedar diri.
semuanya bodoh dan tolol
ReplyDeletesetuju. moga-moga orang yang jujur dinaikkan darjatnya oleh Allah, macam dalam cerita itu.
ReplyDeleteSalam semua.
ReplyDeleteTerima kasih ada yang beri komen. Posting kali ini banyak isu penting yang wajar diberi komen kritis. Saya baca dalam Berita Harian Anwar Ridhwan bilang pendidikan sastera sudah gagal melahirkan siswazah kreatif yang berkualiti. Dia lama berkhidmat di DBP, dia tentu lebih tahu dan juga dapat rasakan halangan macam-macam, oleh itu dia tak buat apa-apa walaupun dia ada peluang. Ini satu isu besar, malah isu inilah yang mendorong saya menulis Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid, yang kemudiannya dikemaskan kaedahnya dalam gagasan Persuratan Baru. Di kalangan intelektual luar negeri idea itu diterima baik sekali; di Malaysia pula dikatakan buku itu tidak diplomatik oleh itu ditolak bulat-bulat. Apa yang boleh dibaca dari perbuatan ini? Saya memang kritis, tapi saya beri jalannya untuk mengatasi masalah. Apa lagi yang anda mahu? Inilah isu penting yang anda boleh komen sehabis kritis, apatah sekarang seorang bekas pegawai tinggi DBP dan sasterawan negara pula sudah bangkitkan isu ini. Harap para penyokong beliau boleh gunakan ini untuk menghentam saya habis-habisan kerana pandai-pandai menimbulkan isu seperti ini sudah lebih dari 20 tahun. Sebenarnya kita boleh maju jika cadangan saya dibahaskan dengan kritis. Mau laksana makan masa sedikit, kena tunggu perubahan kerajaan, itu pun jika rakyat Malaysia mahu berubah.
Nota kecil:
ReplyDeleteSaya baru dapat maklumat daripada seorang penulis yang memberitahu PENA akan mengadakan satu bengkel sastera minggu depan. Saya harap idea dan pandangan Dr. Anwar Ridhwan akan menjadi tajuk perbincangan penting dalam bengkel itu.
Perempuan Nan Bercinta adalah novel terbaik yang dimiliki oleh umat Melayu moden sekarang. Ia menepati saranan GPB.
ReplyDeleteDari segi apa novel ini terbaik? Kalau hanya atau sekadar menepati gagasan PB belum tentu terbaik. Bagus jika dapat dengar pandangan lain. Kalau sudah menepati PB, bagaimana pula belum tentu terbaik? Lagi bagus jika dapat dihujahkan. Satu pendapat atau pandangan tidak cukup. Jika ramai sekali pun yang bersetuju belum tentu betul. Ingat Salina? Lantas bagaimana ditentukan, atau diukur sesebuah novel itu terbaik? Jangan tanya DBP kerana pakar mereka tidak tahu jawapannya. Bagaimana dengan Manteri Pelajaran? Kalau semua Manteri Pelajaran secerdik Dr. Anwar Ridhwan, tentu pengajaran sastera tidak selekeh sekarang. Kira-kira bagaimana jawapan sebaiknya; siapa yang punya jawapan itu? Jawapan saya pada umumnya telah ditolak. Siapa yang punya jawapan itu? Mungkin ada orang yang tahu, tetapi tidak mahu bicara. Sungguh rugi bila orang cerdik mendiamkan diri, membiarkan orang bodoh terkial-kial mencari jawapan. PENA dan GAPENA tiada jawapannya. Dengan siapa jawapan itu berada?
ReplyDeleteEiii gelilah baca pompuan nan bercinta.
ReplyDeleteAnon di atas, apa yang "geli"? and no, perempuan nan bercinta tidak mengikut acuan PB, malah PB sendiri pun dikritik oleh perempuan nan bercinta dari segi susur galur falsafah yang digunakan oleh PB. Terang lagi jelas nama Affandi Hassan dan Ungku Maimunah tertera dalam novel tersebut. Ia tidak menidakkan PB, namun ianya tidaklah mengikut standard PB. Ia ada standard tersendiri dari segi pengisian, falsafah, bentuk cerita, penggunaan watak. Watak tidak nampak seperti "morally superior" atau ada ciri "superiority complex" yang menjelikkan. perempuan nan bercinta memang penanda aras novel melayu mutakhir. tetapi a standard on its own, unbound by any theories.
ReplyDeleteAnon 2
Ini yang saya tunggu. Lagi baik jika lebih ramai punya pendapat secantik ini. Apa juga perubahan, atau kemajuan, yang mencerdikkan pembaca (sasterawan, sarjana, pengkritik, hatta pencemuh sekali pun) adalah baik. Siapa yang menolak kebaikan kawan siapa?
ReplyDeleteaku geli dengan ajaran syiah yg nak disebarkan dalam novel tu.
ReplyDeleteBila lagi nak ada entri baru ni.
ReplyDeleteSalam.
ReplyDeleteAkan muncul, tapi bukan sekarang. Terima kasih atas perhatian pembaca.