Thursday, April 25, 2013

PERSURATAN BARU MENYERLAHKAN KECEMERLANGAN PERSURATAN MELAYU.



Perbincangan tentang peranan pandirisme dalam sastera Melayu dianggap cuba merendah dan menghina para sasterawan negara khususnya dan para sasterawan umumnya, di samping memperlekeh para sarjana. Pandangan itu bagus kerana ia membenarkan tesis saya betapa meluasnya budaya pandirisme ini dalam sastera Melayu, baik yang bersifat kreatif mahu pun (malah terutama sekali) yang bersifat akademik dan kritikan. Pendapat demikian jelas berasaskan sikap mental yang mempertahankan pandirisme, bukan datang dari pemikiran yang rasional dengan hujah yang boleh dipegang buktinya. Hidup atau mati sasterawan negara dan lain-lain sasterawan bergantung sepenuhnya pada karya mereka, bukan pada pujian dan  kritikan dalam konteks pandirisme. Demikian juga maruah mereka sebagai sasterawan tidak kena mengenan dengan kritikan ke atas mereka. Sama ada saya memuji mereka atau mengkritik mereka, kedudukan mereka hanya dapat diukur daripada kualiti pemikiran dan keunggulan kreatif mereka, tidak ada sangkut paut dengan pujian atau kritikan Mohd. Affandi Hassan. Oleh itu, maka saya pernah berkata, pendapat yang menolak gagasan Persuratan Baru kononnya akan menghumban semua sasterawan negara ke dalam tong sampah adalah pendapat berasaskan pandirisme, tidak kena mengena dengan gagasan Persuratan Baru. Jika PB bersikap kritis terhadap karya para sasterawan negara ini, maka yang harus mempertahankan diri ialah karya itu, bukan pujian atau kritikan yang ditujukan terhadap karya itu.  Perkara ini sudah jelas dan tidak sepatutnya dijadikan isu, jika bukan kerana pengaruh pandirisme yang begitu kuat mencengkam para sasterawan dan sarjana sastera.

Apakah yang harus kita buat? Hanya tiga perkara mudah: (1) pertama memahami kedudukan pandirisme dalam sastera Melayu, sama ada boleh diterima atau sebaliknya; (2) menentukan ukuran yang standard dalam analisis dan penilaian supaya semua hujah dan pembuktiannya dapat dinilai dengan objektif, jitu dan tepat; (3) mendapatkan atau mencari alternatif supaya pandirisme tidak lagi menjadi budaya arus perdana dalam sastera Melayu. Bagi faktor pertama, dokumen yang ada sudah lebih dari mencukupi untuk dijadikan bukti dan bahan analisis. Isunya, adakah cengkaman pandirisme itu sesuatu yang real atau hanya andaian yang tidak mempunyai bukti?  Jika isunya demikian, maka pada bila-bila masa pun pandirisme boleh ditolak dengan mudah berasaskan analisis dan pembuktian tadi. Bagi faktor kedua, sudah terdapatkah ukuran yang standard itu untuk digunakan dengan selesa dalam analisis dan penilaian terhadap keupayaan kreatif seorang sasterawan dan ketrampilan akademik seorang sarjana? Kedua-duanya masih belum jelas, malah dalam kes Juara, sudah jelas ukuran yang standard itu tidak ada. Sekarang isunya ialah, perlukah kita kepada ukuran yang standard itu? Jika anda rasa tidak perlu, seperti pendapat dan penegasan Panel Anugerah Sastera Negara dalam semua laporan mereka yang hanya menggunakan common sense, dan diterima serta disokong oleh para sarjana dan pengkritik sastera, maka anda haruslah bersedia untuk dikritik kerana pendirian itu membuktikan wujudnya pandirisme dalam perkembangan sastera Melayu.  Bagi faktor ketiga, anda tidak perlu bersusah payah kerana jalan penyelesaiannya sudah diberikan oleh gagasan Persuratan Baru. Andainya anda beranggapan PB juga mendukung pandirisme, maka anda dipersilakan untuk memberikan alternatif yang lebih baik. Pendeknya, anda harus bersedia untuk berhujah secara akademik, tidak hanya menggunakan pandirisme sebagai hujah anda.  Hanya tiga perkara saja yang perlu dilakukan, cukup mudah dan boleh dilakukan bila-bila masa sekali pun. Tetapi sekiranya anda menolak sama sekali wujudnya pandirisme itu, maka anda harus bersedia untuk membuktikan secara akademik bahawa pandirisme tidak wujud, walaupun tindakan anda selama ini membuktikan pandirisme itu memang wujud dan mendapat dukungan kukuh anda sendiri. Contoh-contoh telah diberikan, oleh itu tidaklah sukar untuk anda menolaknya sebagai tidak tepat, hanya sejenis salah faham saja. Jika anda melihat pandirisme dalam konteks perbincangan ini, anda akan dapati pandirisme adalah suatu realiti yang benar-benar wujud dalam sastera Melayu. Sekarang bagaimana?  Sama ada anda seorang sasterawan, seorang sarjana, atau seorang pengkritik sastera, anda tidak boleh lari dari  menjawab pertanya mudah itu. Keseluruhan tindakan anda menjadi bukti bahawa itulah hasil cengkaman  budaya pandirisme yang menjadi panduan anda selama ini.

Sekarang kita pergi kepada persoalan sama ada retorik peragaan adalah sebahagian daripada bukti wujudnya pandirisme dalam sastera Melayu.  Saya memberi tumpuan kepada isu ini kerana semua seminar tentang pemikiran para sasterawan negara menayangkan dengan jelas betapa meluasnya penggunaan retorik peragaan ini dalam kertas kerja yang dibentangkan. Melalui retorik peragaan, penulis kertas kerja berpeluang menonjolkan beberapa aspek sesuatu teori atau pendekatan yang dipilih untuk dipadankan dengan karya sang sasterawan yang dikira menepati kehendak teori yang digunakan untuk membicarakan karya sang sasterawan, misalnya teori semiotik atau apa juga teori yang menarik minat penulis kertas kerja. Beberapa unsur karya akan disenaraikan dan diberi padanan dengan beberapa aspek teori pilihan, lalu dibuat kesimpulan bahawa karya itu menepati dengan prinsip-prinsip yang terdapat di dalam teori, lantas karya itu diisytiharkan sebuah karya yang berjaya mengikut prinsip-prinsip teori berkenaan.  Sering kali unsur karya yang diperagakan tidak semestinya berkait dengan ukuran yang boleh digunakan untuk menilai sesebuah karya dari segi pemikiran, pembinaan struktur karya atau  penampilan persoalan yang menarik, yang bukan klise. (Sila rujuk penjelasan saya tentang penilaian novel Juara.)  Sering kali keutamaan diberikan kepada pembaharuan dalam bentuk yang dinamakan eksperimen, simbolisme, dan macam-macam lagi istilah yang hebat-hebat digunakan untuk memperagakan bahawa karya itu memang bernilai tinggi dalam pandangan teori atau pendekatan yang dipilih. Perkara ini telah saya bincang banyak kali dalam tulisan di blog ini, oleh itu tidak perlu diulang, walaupun mungkin sukar juga bagi pembaca yang lemah untuk menemui tulisan berkenaan. Asas nilai yang dipakai ialah nilai-nilai Barat yang bersumber dari kehendak dan kemahuan hawa nafsu  rendah manusia sendiri, yakni “man as the measure of values”.  Para sasterawan dan sarjana bertegas berpegang kepada prinsip ini kerana menurut mereka belum ada lagi sasterawan Melayu yang murtad atau sesat kerana berpegang kepada prinsip nilai Barat itu. Perhatikan satu contoh terbaru: A. Samad Said telah menerbitkan Salina dalam dua edisi, satu edisi khas yang menggunakan kulitnya lukisan seorang wanita yang begitu “sexy”; manakala yang satu lagi kononnya menggunakan lambang wanita sundal dalam bentuk rama-rama, untuk edisi popular harga murah! Mengapa kulit buku ini dipilih demikian rupa? Tujuannya untuk memikat pembaca bahawa novel ini adalah istimewa dan sangat unggul, oleh itu perlu ditegaskan dalam penampilannya, walaupun hanya kulitnya!  Asas pilihan itu ialah prinsip nilai Barat tadi; jika dipilih nilai Islam, mungkin lebih cocok hanya nama atau judul buku itu saja tertulis di kulit, tanpa sebarang usaha untuk memikat hawa nafsu manusia yang akan membelinya. Walaupun A. Samad Said telah menulis sajak panjang berjudul al-Amin, kononnya tentang Nabi SAW, namun ajaran dan prinsip-prinsip nilai yang kononnya mendorong penulisan sajak itu, tidak dijadikan asas dalam membuat keputusan. Hawa nafsu manusia yang rendah juga yang menjadi pilihan. Inilah juga yang terjadi dalam Laporan 2012 tentang Kemala, ketika Panel Anugerah Sastera Negara memuji sasterawan negara pilihan mereka. Lihat kutipan ini:

“Sebagai penyair berjiwa besar, Kemala juga berani menggunakan alusi daripada budaya lain seperti rujukan kepada Mark Anthony dan Cleopatra. Perkara ini dilakukan bukan kerana tidak ada tokoh dalam kalangan penduduk tempatan, sebaliknya, penggunaan alusi asing ini memupuk renungan tentang hukum hidup yang universal dan lumrah. Malah dalam era globalisasi ini perlulah kita menyedari tentang persamaan dan perbezaan antara Timur dengan Barat. Manusia, tidak kira negara asalnya, pada dasarnya menghadapi pengalaman dukalara dan peristiwa yang amat menggembirakan dalam mengharungi lautan hidup. Justeru, alusi daripada berbilang budaya menjadikan karya penyair ini universal. Namun demikian, Kemala tetap bersandar kepada akar umbi Melayu dan ajaran Islam” (hal. 20).  Saya tidak perlu mengulas; anda sendirilah menilainya. Cukuplah bagi saya untuk membuat kesimpulan, inilah puncak pandirisme dalam sastera Melayu, baik dari segi penilai mahupun dari segi pensajak sendiri. Cuma sedikit ingatan: pensajak ini diberi keistimewaan sebagai pensajak “sufi”.  Sejak bila Mark Anthony dan Cleopatra menjadi lambang orang “sufi”?

“Apakah yang telah dihasilkan oleh para sasterawan selama 70-80 tahun ini? Biasanya jawapan yang diberikan terlalu lurus, dengan penegasan bersungguh-sungguh bahawa sastera Melayu telah melahirkan beribu pensajak, “novelis, dramatis, cer/penis,” kri/tikus, sasterawan, sarjanawan yang semuanya golongan cendekiawan budiman emas tempawan yang berkilauan. Mereka inilah yang menghasilkan pelbagai jenis sajak, drama, novel yang picisan dan erotik serta yang bukan, yang kesemuanya dipanggil karya sastera yang penuh dengan cerita sensasi yang menegangkan bulu roma dan seterusnya.  Dari kalangan mereka inilah lahir para sasterawan sufi yang menjadikan Mark Anthony dan Cleoptra sebagai model percintaan “kesufian” hawa nafsu manusia.” (Dikutip daripada naskhah tulisan tangan, 1990-an, tanpa nama pengarang.)  Penulis naskhah ini terlupa mencatat betapa banyaknya sastera protes yang ditulis bermodelkan faham realisme sosialis, ditulis oleh yang mendakwa diri mereka adalah para pejuang kemerdekaan yang menceburkan diri dalam bidang kewartawanan dan sekali gus menjadi para sasterawan terkenal yang telah mewariskan karya besar dalam sastera Melayu moden. Selepas merdeka, karya ini mula dipersoalkan mutunya dan motifnya: benarkah inilah karya bermutu yang melayakkan penulisnya diberi gelaran besar? Terdapat sedikit kekecohan apabila ada di antara para sarjana sastera, juga pengkritik, mula berasa sangsi mengenai cara penilaian itu dibuat: apakah asasnya? Mereka sampai kepada satu kesimpulan yang agak mengejutkan: nilai-nilai yang dijadikan ukuran tidak berjiwa Melayu, sebaliknya terlalu pekat dengan keju dan mentega Eropah, tiada langsung bau belacan Melayu. Itulah kesedaran paling bermakna bagi mereka, lantas mereka berebut-rebut “mencipta teori” sastera Melayu. Tetapi masalahnya mereka tidak sedar mereka masih menggunakan nilai-nilai Barat untuk menghuraikan teori sastera Melayu itu. Contohnya nama yang diberikan kepada sekumpulan petua yang diberi nama “teksdealisme”: kesempurnaan nilai Melayu yang diukur dari nilai-nilai Barat, sehingga akhirnya melahirkan seorang tokoh besar yang diberi gelaran “Raja Novelis Malaysia” atau “Raja Novelis Melayu”!?

Inilah permulaan lahirnya idea tentang pandirisme dalam sastera Melayu.

Sebelum Pak Pandir diangkat menjadi seorang ahli falsafah yang melahirkan pandirisme ini, Si Tanggang anak derhaka telah dilantik menjadi seorang intelektual agung bangsa Melayu yang membawa perubahan setelah pulang dari perjalanan di Eropah dan Amerika Syarikat, tempat sang intelektual ini belajar menjadi kurang ajar.  Pada waktu yang hampir sama, Pak Kaduk pula diisytiharkan sebagai seorang strategis Melayu yang ulung, yang menyelamatkan rakyat daripada penindasan kezaliman raja-raja Melayu yang telah merampas ayam Pak Kaduk. Semua ini terjadi setelah seorang sarjana dan ahli fikir Melayu yang ulung, seorang profesor yang cekap meninjau sajak-sajak Melayu, melontarkan  idea besarnya yang digelarnya anjakan makna.

Dalam kemelut itu, timbul pertanyaan yang menggegerkan dan menggegarkan para sasterawan dan sarjana, bagaimanakah bentuk karya kreatif kita nanti, dan bagaimana pula corak kritikan yang kita wariskan? Golongan sasterawan dan sarjana yang “cetek meraba-raba” tidak berminat kepada soalan itu, kerana bagi mereka apa yang ada sudah cukup, lagi pula sudah dipilih dari kalangan sesama sendiri para sasterawan negara yang sudah terbukti jasa dan sumbangan mereka untuk diri mereka dan seterusnya ...  Kata mereka, tidak perlu apa-apa pertanyaan yang menyusahkan, kita teruskan saja apa yang kita telah buat dan telah buktikan, tanpa memperkenalkan apa-apa perubahan, kecuali dalam cara bereksperimen dan “bersimbolan” dalam karya masing-masing supaya terdapat pelbagai makna yang akan menjadikan karya itu tidak boleh dikritik kerana ke mana pun arah yang dipilih akan tetap berdiri teguh sebagai karya berunsur estetika bahasa yang tinggi, pemikiran yang mendalam, dan penerokaan tema kemanusiaan yang luar biasa serta beraneka pula coraknya. Kata mereka, kita sudah pun mempunyai maha karya, masterpiece, yang tidak dapat diragukan lagi sifat internasionalnya, yang universal persoalannya, yang mencerminkan nilai-nilai kemanusiaan yang diterima di seluruh dunia. Kita telah ada karya demikian, kata mereka, seperti Salina, Juara, Salam Maria, Srengenge, Tunggul-tunggul Gerigis, Tikus Rahmat, dan lain-lain yang sudah disenaraikan dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai karya abad ke-20. Tetapi sarjana yang nakal, yang masih tidak puas hati, yang selalu menimbulkan masalah kepada para sasterawan dan sarjana sastera, masih juga melontarkan soalannya: Benarkah begitu? Betulkah? Maka bermulalah kemelut baru yang ditingkatkan persoalannya menjadi persoalan epistemologi dan adab dalam persuratan Melayu.

Para sasterawan dan sarjanawan yang “cetek meraba-raba” tiba-tiba mendapat cabaran baru yang belum pernah berlaku sebelumnya. Kini pengetahuan mereka tentang sastera yang ditiru dan diciplak dari Barat itu terhuyung-hayang ditiup taufan epistemologi yang mereka tidak pernah kenal dan baru hanya mendengar namanya, belum lagi tahu betul-betul. Dalam kekalutan itulah ditimbulkan tiga kategori karya yang tidak dapat dielak atau ditolak kerana memang telah wujud dalam dunia penulisan Melayu, hanya yang satu itu dibiarkan mati beragan kerana kemampuan ilmiah yang terbatas tidak dapat mendukung kategori yang satu itu, yang telah dimulai penulisannya dalam bentuk moden oleh Al-Adib Abdul Kadir Adabi melalui novel-novelnya.  Selepas ini kategori karya persuratan akan menjadi kategori utama, yang menjadi standard kepada karya kreatif di Malaysia. Dengan bertambahnya ilmu dan sikap terbuka para penulis muda, perubahan ini nampaknya tidak dapat dielakkan, kerana itulah  sebenarnya pilihan terbaik untuk diri penulis itu sendiri dan untuk masyarakat yang menjadi khalayaknya.

Karya kreatif ketika itu tidak lagi berlegar di sekitar cerita yang tidak matang, seperti yang dapat dilihat dalam novel Juara misalnya. Dengan memberi tumpuan kepada konsep ilmu yang benar, aspek pemikiran yang selama ini seolah-olah menjadi semacam obsesi ketika membicarakan para sasterawan negara, akan diberi bentuk yang jelas  apabila para pengarang kita dapat benar-benar menguasai ruang naratif untuk memberi keutamaan kepada wacana yang bersifat ilmu sambil bercerita dengan berhemah dan matang, tidak lagi seperti yang dihidangkan di dalam novel seperti Juara dan lain-lain karya sastera seumpamanya. Jika kesedaran begini sudah ada, dan mendapat perhatian serius para penulis, maka karya kreatif kita tidak lagi meleret dengan cerita sensasi yang hanya memberi tumpuan kepada kepuasan hawa nafsu rendah pembaca dan pengkaji, sebaliknya akan menyentuh kalbu para pembaca yang cerdik yang akan membawanya kenal diri dan tahu pula arah kehidupannya sebagai manusia yang dicipta oleh Allah SWT. Inilah kekuatan karya persuratan, yang seluruhnya diasaskan kepada konsep taklif. Melalui penguasaan konsep taklif dalam penulisan kreatif, pengarang akan dibimbing oleh tiga rahsia taklif seperti yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah, iaitu ilmu, keadilan, dan usaha ikhtiar yang terbaik. Jadi sejak awal lagi penulisan kreatif dituntut untuk memenuhi tiga ukuran itu, yang menjadi standard dalam mencapai kesempurnaan seni mengarang.  Jika anda mahu menjadi seorang pengarang yang berjaya dunia akhirat, anda harus memahami dengan mendalam tiga rahsia taklif yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah itu. Itulah prinsip yang paling sempurna untuk dikuasai oleh setiap pengarang yang mempunyai tidak saja bakat yang tinggi, tetapi juga kesempurnaan adab sebagai pengguna bahasa dan idea yang benar-benar bertanggungjawab ke atas dirinya dan pembaca karyanya. Dialah yang layak dipanggil al-adib dalam seni mengarang.

Karya kreatif abad 21 tidak lagi berlegar dalam istilah palsu seperti eksperimen, kelainan, pembaharuan dan lain-lain istilah atau konsep yang sering disebut-sebut oleh para sasterawan dan sarjana sastera, yang sekali imbas kelihatan hebat dan menarik, seperti Pak Pandir terpesona melihat timbunan padi hampa dan terus memikulnya, tanpa memberi perhatian kepada isinya.  Sudah lama para sasterawan memikul beban akademik yang palsu dan hampa ini, yang dijaja dengan riuh kepada masyarakat sebagai sesuatu yang berguna, padahal itik dan ayam pun tahu mutunya dan tidak mahu disudu atau dipatuk oleh mereka. Inilah kepalsuan yang menjadi obsesi Panel Anugerah Sastera Negara, yang sudah 40 tahun memberi gambaran palsu dalam ukuran mereka yang berasaskan common sense yang lebih cenderung kepada sensasi. Anda perlu membaca dengan kritis laporan mereka untuk memahami kesimpulan ini.

Dengan penjelasan yang dihuraikan di sini, ilmu persuratan Melayu, sama ada dalam bidang kreatif mahu  pun dalam bidang akademik dan ilmu-ilmu khusus, akan diperkembangkan melalui bahasa Melayu tinggi berasaskan konsep ilmu yang benar. Maka itulah saya pernah mencadangkan, dalam tahun 2006, ketika membentangkan kertas kerja saya di seminar DBP, supaya diwujudkan Hadiah Persuratan Petronas. (Sila rujuk kertas kerja, “Hadiah dan Anugerah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis”, Seminar Impak Anugerah dan Hadiah Sastera ke Atas Perkembangan Sastera Kebangsaan, DBP 25 Mei 2006; dan pos bertarikh 15/12/2012 untuk penjelasan pendek.) Matlamat utama Hadiah Persuratan Petronas ini ialah untuk memberi pengiktirafan kepada para penulis dalam bidang-bidang ilmu tertentu yang dipilih yang menulis dan menerbitkan karya mereka dalam bahasa Melayu, di samping memberi penghargaan kepada para penulis kreatif. Karya persuratan adalah satu peningkatan dalam kerjaya kreatif seorang pegarang Melayu, tetapi pada waktu yang sama para sasterawan yang kemampuan kreatif tidak tinggi dan cetek pula ilmunya, akan terus menulis karya sastera dan karya picisan dan erotik. Itu pilihan mereka, yang tidak dapat dihalang. Malah terdapat di kalangan sasterawan negara sendiri, seperti Shahnon Ahmad, yang masih menulis karya picisan dan erotik ini. (Mengenai karya persuratan, karya sastera dan karya picisan lihat pos bertarikh 23/1/2012).

Abad 21 adalah abad penting dalam membina generasi persuratan dengan penekanan kepada keutamaan membina generasi ilmu berasaskan konsep ilmu yang benar, yang sentiasa sedar kepada peranan taklif dalam kehidupan manusia, terutama sekali dalam bidang penulisan yang bersifat kreatif dan akademik.  Satu corak penulisan baru dalam bidang kreatif akan menjadi satu gerakan penting dengan wujudnya gagasan Persuratan Baru.  Untuk mencapainya, kita tidak perlu kepada jumlah penyokong yang ramai, walaupun sokongan itu penting dalam apa juga usaha kebajikan yang kita lakukan. Ajaran Islam yang menekankan amar makruf nahi mungkar itu pada umumnya tidak dijadikan panduan oleh para sasterawan yang amat mengutamakan kebebasan, sehingga sanggup melanggar larangan agamanya sendiri. Walaupun tindakan demikian merupakan kerja sia-sia dan merugikan masyarakat, namun bagi para sasterawan kelangsungan kebebasan itu menjadi matlamat berkarya, maka sikap itulah yang melahirkan novel-novel seperti Juara, Salina, TIVI dan lain-lain yang ditulis oleh para sasterawan negara sendiri.  Dengan munculnya gagasan Persuratan Baru, karya-karya begini dapat dinilai dengan lebih objektif, tepat dan jitu berasaskan ukuran yang boleh diuji dengan mudah akan kesahihannya. Dari perspektif inilah karya para sasterawan negara perlu dinilai semula supaya perkara yang sia-sia dan merugikan masyarakat tidak diberi pujian dan sanjungan sehingga kualiti sebenar karya itu tenggelam dan ditenggelamkan dalam mitos palsu yang dibina oleh misalnya Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka. Generasi Persuratan akan lebih terbuka dan lebih bersedia untuk dinilai dengan kritis berasaskan ukuran yang standard berasaskan konsep ilmu yang benar. Keterbukaan demikian tidak ada dalam generasi sastera yang diwakili oleh para sasterawan negara dan Panel Anugerah Sastera Negara, seperti yang jelas ketara dalam laporan mereka.  Walaupun para sasterawan dan sarjana sastera tidak menerima dengan positif kesimpulan itu, mereka tidak pula dapat menolak hakikat bahawa generasi sastera lebih tertutup dari segi sikap positif kepada pembaharuan yang mereka anggap akan meruntuhkan status quo mereka. Oleh itu, tepatlah jika dikatakan bahawa mereka yang bergelar sasterawan dan sarjana sastera yang sering bercakap tentang pembaharuan, eksperimen, kelainan dan sebagainya itu, adalah penentang kepada pembaharuan sebenar yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru.


Mohd. Affandi Hassan,
25/4/2013.

Tuesday, April 23, 2013

PANDIRISME MENCETUS KEGHAIRAHAN RETORIK PERAGAAN DALAM KRITIKAN SASTERA



Berapa orangkah di antara sasterawan negara yang boleh dianggap mediocre? Adakah kesemuanya? Walaupun soalan yang dikemukakan kepada saya ini agak nakal dan terlalu tajam sindirannya, namun saya kira terselit satu hasrat murni untuk diberi keyakinan bahawa para sasterawan negara kita memang benar-benar terpilih daripada para sasterawan yang betul-betul layak diberi gelaran itu. Persoalan ini timbul kerana sejak awal lagi sudah timbul sejenis kronisme sesama sasterawan dan sarjana untuk memilih sesama mereka menduduki takhta sasterawan negara itu. Saya sudah pun dimaklumkan oleh A. Samad Said sendiri, dalam tahun 1985, bahawa dia menerima anugerah itu, walaupun pada mulanya (dia telah dicadangkan lebih awal) dia menolak. Saya harap A. Samad Said sudi menafikan atau mengiakan maklumat yang saya dengar sendiri dari mulut beliau itu. Tidak mengapa jika beliau menafikannya, kerana saya sendiri tidak akan mereka-reka cerita jika saya tidak diberitahu; lainlah halnya jika saya dengar. Saya tak mungkin menuduhnya dengan apa-apa tuduhan palsu dan jahat, kerana saya sendiri sudah dimaklumkan oleh beliau bahawa beliau tidak mahu masuk neraka hanya kerana menggunakan teknik realisme magis dalam novelnya; jadi saya yakin akan kejujurannya. Saya sebut lagi peristiwa ini kerana saya ingin menekankan betapa pentingnya sokongan kawan-kawan dalam kehidupan manusia, walaupun ada orang jahat mengatakan itulah bentuk kronisme yang terkutuk itu. A. Samad Ismail menggelarkan fenomena ini sebagai MAFIA sastera, kerana menurut pemerhatiannya memang terdapat golongan MAFIA sastera dalam sastera Melayu. (Lihat surat penuh beliau mengenai perkara ini yang dikirim kepada Leo AWS dalam bukunya, Langit Dusunku, 2003, hal. 68-70; satu rujukan yang penting mengenai perilaku para sasterawan sesama mereka.) Benarkah kronisme perbuatan terkutuk? Jika maksud kronisme itu ialah memilih orang terdekat untuk mendapat faedah daripada kedudukan seseorang yang mempunyai kuasa dan pengaruh, maka jelaslah perbuatan itu sangat tidak patut, kalau tidak pun terkutuk! Bagaimana sekiranya orang yang mendapat faedah dan diberi faedah istimewa itu memang layak menerimanya? Dia masih juga istimewa, kerana kaitannya dengan orang tertentu yang dapat memberinya faedah. Orang agama tentu tahu maksudnya, kerana ada banyak hadis yang bercerita tentang perkara ini. Biarlah mereka sendiri memberitahu anda.

Baru-baru ini timbul sedikit kekecohan apabila Shahnon Ahmad dikatakan tidak bersetuju Baha Zain diangkat sebagai sasterawan negara, kerana tidak layak, karyanya hanya sajak-sajak kontot yang tidak banyak jumlahnya. Orang bertanya, siapakah yang layak? Ada orang beritahu saya, Faisal Tehrani bertanya soalan itu terus kepada Shahnon Ahmad dan menurut Faisal, Shahnon Ahmad menyebut nama Mana Sikana dan Fatimah Busu. Kata Faisal Tehrani, namanya boleh disebut sebagai punca sumber berita benar itu. Adakah ini menghairankan? Tidak, kerana itulah praktik sasterawan Malaysia pun (penggunaan ‘pun’ mengikut stail Shahnon), “kau garu aku; aku garu kau” adalah peribahasa yang bunyinya lawak, tapi gunanya banyak. Sebelum Fatimah Busu diperaku, dalam kolum Dewan Sastera September 2012 Shahnon Ahmad cukup tegas mengatakan tiada seorang pun sasterawan wanita yang layak diberi gelaran sasterawan negara. (Rujuk pos bertarikh 29/9/2012).

Mana Sikana agak istimewa, kerana dialah yang bermurah hati menggelar Shahnon Ahmad sebagai Raja Novelis Malaysia!  Adakah ini contoh pandirisme dan kronisme sekali gus?  Pertanyaan itu tidak penting, kerana itulah kebiasaannya yang sudah diterima umum, walaupun tidak semua. Anda tidak boleh berkata permainan politik sastera ini jijik, kerana para sasterawan sudah mengaku sunguh-sungguh dan penuh dengan kejujuran yang mengalahkan integriti kaum munafik, bahawa mereka adalah golongan yang boleh dipercayai kejujurannya kerana mereka adalah pencinta kemanusiaan sejati, bukan kemanusiaan mainan seperti ahli politik atau kaum munafik.  Ini mereka telah buktikan dalam karya mereka, dan telah disahkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka. Kemanusiaan sejati ini telah disepakati bersama oleh para sasterawan dan sarjana sastera dengan mengisytiharkan sasterawan adalah propagandis zamannya, golongan yang setia dengan komitmen tidak berbelah bahagi untuk memperjuangkan dan mempertahankan kemurnian nilai-nilai sastera mengatasi semua nilai-nilai lain yang bukan bercorak sastera. Dua nilai utama sastera yang menjadi pegangan para sasterawan dan mendapat sokongan para sarjana ialah kebebasan berkarya dengan menterjemahkannya dalam bentuk eksperimen yang menyerlahkan kelainan dan kemajuan dari segi garapan tema yang selari dengan praktik universal dalam sastera dunia. Itulah sebabnya sajak seperti “Baris-baris di Muzium Goethe” menjadi karya masterpiece kerana sajak ini menyerlahkan nilai universal mengatasi perbezaan bangsa dan nilai-nilai agama yang menjadi anutan mereka. Inilah tema agung dunia, yang menjadi ukuran dalam menentukan bermutu tidaknya sebuah karya sastera dan layak tidaknya sang sasterawan untuk diangkat sebagai pemenang Hadiah Nobel, yang menjadi idaman para sasterawan Melayu. Inilah juga tema agung para sasterawan yang mereka perlihatkan dalam karya seperti Juara dan Salam Maria atau Salina, walaupun Juara dan Salina tidak mencerminkan adanya kesedaran terhadap nilai Islam. Novel Juara mengagungkan keganasan, perjudian dan pembunuhan; manakala Salina pula menjadikan perzinaan sebagai hiasan wanita Melayu yang jelita dan amat tinggi sifat kemanusiaannya. Inilah penilaian yang digunakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.  Sekadar memberi sedikit contoh, kita lihat pandangan Panel tentang Juara.

“Novel Juara berjaya meletakkan S. Othman sebagai seorang penulis yang berwibawa. ... Perjuangan watak-watak dalam novel Juara dilambangkan dengan perlagaan lembu. ... Novel Juara ialah novel simbolik dan novel psikologi perjuangan yang dilambangkan dalam suasana perlagaan lembu dalam sebuah gelanggang.  ... Mamat ialah pejuang yang mempunyai kesedaran dan minda terbuka. Walaupun kehidupannya dihimpit kemiskinan sehingga memaksa dia mengikuti arus budaya masyarakat setempat, dengan bergiat dalam judi laga lembu, Mamat yakin, hanya melalui pendidikan, seseorang itu dapat melepaskan diri mereka daripada penjara kemiskinan. Justeru, dia memberi perhatian yang serius terhadap pelajaran anaknya. ... Demikian kesan pemikiran dalam novel Juara sebagai salah sebuah novel penting dalam sejarah kesusasteraan Melayu abad ke-20.” (Laporan 2003, hal. 32-34). Jika kita melihat dari sudut ilmu yang diwacanakan dalam sebuah novel, apakah jenis ilmu yang dipaparkan? Yang ada hanya maklumat tentang perjudian perlagaan lembu, peraturan dan pantang larangnya, cara melatih lembu laga, iaitu maklumat yang tidak berfaedah kecuali untuk kegunaan para penjudi perlagaan lembu.  Untuk mengaitkan novel ini sebagai novel perjuangan sama sekali tidak masuk akal. Novel ini bercerita tentang para samseng dan penjahat, penjudi dan pembunuh, yang sama sekali tidak bermoral, yang hanya bertindak dari dorongan hawa nafsu dan sifat amarah. Semua ini jelas diceritakan dalam novel ini. Dari mana datangnya idea perjuangan itu? Adakah menjadi penjudi, samseng dan pembunuh satu perjuangan? Watak utamanya Mamat, dikatakan oleh pengarang (tetapi tidak sedikit pun ditunjukkan di dalam novel) seorang pejuang kemerdekaan yang dua kali kalah dalam pilihan raya. Kita tidak dapat bayangkan watak penjahat sekejam itu berlagak sebagai pejuang kemerdekaan, hanya kerana pengarangnya berkata demikian. Tidak ada alasan dan tidak ada bukti sama sekali untuk meletakkan watak ini sebagai seorang pejuang dalam konteks yang bagaimana sekali pun. Panel bercakap tentang “pemikiran” di dalam novel ini: apakah pemikiran itu? Tidak langsung dijelaskan, tiba-tiba kita diberitahu novel ini sebuah novel penting dalam sejarah kesusasteraan Melayu abad ke-20. Adalah lebih wajar dan lebih tepat untuk kita membuat kesimpulan bahawa novel ini hanyalah sebuah novel picisan yang bersikap anti-moral, anti-Islam dan anti-kemanusiaan. Akan menjadi lebih aneh lagi jika kita mengingat bahawa pengarang ini mendakwa beliau seorang penulis sastera Islam. Di mana Islamnya di dalam novel Juara ini? Ini diakui sendiri oleh Panel (lihat hal. 34 tentang Ruang Perjalanan sebagai sastera Islam: “Melalui novel ini, sebagai novel-novelnya yang terdahulu [tentu termasuk Juara!], S. Othman berdakwah.” (huruf condong ditambah).  Mungkin keterlaluan jika kita berkata pendapat begini hanya mengarut, tetapi itulah istilah yang paling lembut dalam konteks ini.

Konsep pandirisme yang diperkenalkan dalam analisis dan penilaian akademik adalah penting kerana konsep ini merujuk kepada sikap mental para sarjana ketika menghadapi aneka ragam pendekatan dan teori Barat dalam pelbagai bidang akademik. Jika anda masih ingat, Pak Pandir tertarik kepada timbunan padi hampa, terus memasukkannya ke dalam guni dan memikulnya, melalui anak sungai yang deras airnya dan dia yang menggunakan pemerhatiannya dengan yakin menurut contoh semut yang menyeberang di atas dahan (ranting) kayu, lalu terjatuh ke dalam anak sungai tetapi dapat diselamatkan oleh guni padi hampanya. Persis inilah yang terjadi kepada para sarjana jika tidak berhati-hati: kerana terpikat kepada pelbagai pendekatan dan teori Barat, mereka terus saja “memikul tugas akademik” untuk menggunakannya dalam analisis dan penilaian mereka, padahal yang dipikul itu bukanlah jenis beban yang berguna dalam kehidupan akademik yang mengutamakan konsep ilmu yang benar. Ini tidak bermakna mereka tidak boleh menggunakan apa juga yang mereka temui, tetapi perlulah menggunakan rujukan yang berteraskan ilmu yang benar itu, supaya beban yang dipikul tidak sia-sia dan tidak memberi isyarat yang salah dalam perkembangan ilmu. Di sinilah gagalnya Panel Anugerah Sastera Negara dalam memberi arah yang betul dan beradab dalam kritikan sastera Malaysia. Jika semua pendekatan yang digunakan itu dikembalikan kepada konsep taklif, maka seluruh analisis dan penilaian yang dibuat akan dilihat dalam konteks manusia sebagai makhluk ciptaan Allah Ta’ala. Lihat huraian ringkas di bawah untuk memahami aspek ini.

Semua ulasan yang saya lihat meyakinkan saya betapa kuatnya pengaruh pandirisme dalam kritikan sastera Malaysia. Juara adalah lambang kegagalan sasterawan Melayu memahami subjeknya, cetek dan terlalu kaya sensasi. Semua ulasan tentang Juara hanya memperlihatkan betapa benarnya  pandirisme itu menjadi anutan para penilai ini. Oleh itu apabila Juara  dijadikan novel abad 20 oleh DBP, kita berasa amat terhina kerana yang ditonjolkan ialah sebuah karya sensasi   yang tidak langsung mempunyai kualiti ilmu di dalamnya dan tidak pula keunggulsan struktur sebuah karya kreatif: yang dihidangkan hanyalah bebelan pengarang, bukan suatu analisis tentang manusia yang boleh dicontohi. Jika anda kaitkan ini dengan perilaku Pak Pandir yang memilih padi hampa, maka itulah yang dibuat oleh sarjana ini dengan pelbagai teori yang mereka gunakan untuk membela Juara.  Pak Pandir selamat dari kelemasan dengan mendakap guni padi hampanya; mereka ini pun “selamat” dari kelemasan akademik  kerana tidak bisu untuk memperkatakan sesuatu dengan mendakap pendekatan dan teori Barat itu, sekurang-kurangnya boleh memindahkan sedikit maklumat dan pengetahuan yang tidaklah mendalam dalam teori/pendekatan tertentu untuk berbicara tentang novel ini. Hasilnya tetap hampa, sebab hakikat sebenar novel ini yang tidak bermutu terlepas dari pemerhatian mereka yang “cetek meraba-raba”.

Ada beberapa buah kertas kerja yang membicarakan Juara,  termuat dalam prosiding Seminar Pemikiran Sasterawan Negara S. Othman Kelantan (DBP 2004), seminar “Wacana Karya Abad 20” (anjuran DBP, Hotel City Bay View, Langkawi, 19-21 Disember 2005).  Para penulis kertas kerja bersetuju sepenuhnya dengan kesimpulan Laporan 2003, ditegaskan dalam kertas kerja mereka yang ditulis dari beberapa perspektif pendekatan yang terdapat dalam teori sastera Barat.   Semua kertas kerja itu berhasil mengemukakan sedikit sebanyak maklumat tentang teori itu sendiri dan ulasan mereka yang tidak mendalam tentang novel Juara.  Kesemua kertas kerja itu gagal memberi penilaian sewajarnya, berasaskan analisis yang cermat dengan hujah-hujah yang diiringi pembuktian daripada teks sendiri. Paling jelas, tidak sebuah pun kertas kerja itu menilai karya itu dari perspektif ilmu, walaupun ada di antara mereka yang berkata novel itu sebuah novel ilmu.  Kesimpulan yang mereka dapat lebih untuk membenarkan pilihan mereka menggunakan pendekatan dan teori yang mereka gunakan, bukan tentang kualiti karya dan penilaian yang membolehkan pembaca memahami kedudukan  sebenar karya itu dalam seni mengarang. Saya menegaskan tadi karya ini, jika dilihat  dari perspektif menggunakan kaedah gagasan Persuratan Baru, adalah sebuah karya picisan kerana di dalamnya berserabut dengan kekeliruan yang terlalu menonjol tentang nilai Islam, nilai moral, dan nilai kesejahteraan masyarakat yang mencerminkan ketokohan sebenar watak-watak yang dijadikan pelakon dalam novel itu berasaskan nilai-nilai tadi. Kertas kerja yang membicarakan novel ini berasaskan teori Barat itu, nyatalah telah berjaya membuktikan betapa terbatasnya keupayaan pendekatan dan teori Barat dalam memperihalkan karya kreatif seorang pengarang Islam yang asasnya jauh berbeza daripada pengarang bukan Islam.  Mengapa persoalan ini penting? Tiap-tiap hari, dalam lima waktu solatnya, orang Islam diperingatkan supaya ditunjukkan jalan yang lurus, jalan yang benar. Doa itu harus dibawa dalam semua kegiatan yang bersifat ilmu, supaya jangan nanti kekeliruan dalam konsep ilmu membawa sarjana Islam hanyut ke jalan yang dia tidak tahu ke mana arahnya. Jika ini tidak penting bagi anda sebagai seorang sarjana Islam, maka anda bolehlah berbuat apa saja yang anda mahu.

Mohd. Affandi Hassan,
21/4/2013




Tuesday, April 16, 2013

PANDIRISME DALAM KRITIKAN SASTERA MALAYSIA: (retorik peragaan sebagai gaya akademik yang popular)



Awal tahun ini saya beri sedikit penjelasan tentang makna dan maksud pandirisme (rujuk pos bertarikh 26/2/2013) ketika mengulas laporan hadiah sastera perdana.  Penjelasan lebih lanjut  terdapat di dalam buku Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (2008; edisi kedua akan terbit 2013, mungkin pertengahan tahun, Insha Allah). Jika anda berminat tentang pandirisme, bolehlah lihat seterusnya dalam buku itu.  Saya fikir anda patut berminat untuk mengetahui aspek pandirisme dalam kesusasteraan dan kritikan sastera Malaysia, kerana inilah arus perdana yang dimegahkan itu. Kemuncak daripada gerakan pandirisme ini ialah penerbitan laporan Anugerah Sastera Negara, yang ditangani oleh sekumpulan sarjana sastera yang kebanyakannya bergelar profesor, yang sebahagian besarnya profesor kanan pula. Adakah munasabah kumpulan sarjana yang begitu dihormati melestarikan pandirisme dalam kritikan sastera Malaysia? Bukan saja munasabah, tetapi itulah yang sepatutnya berlaku, dan telah berlaku dan akan dilanjutkan seterusnya. Apakah istimewanya pandirisme sehingga dijadikan gerakan arus perdana dalam dunia akademik dan kritikan sastera? Jika anda belum pernah mendengar nama Pak Pandir, anda mungkin tidak boleh memahami fenomena pandirisme ini dalam kesusasteraan Melayu moden. Jika anda pernah mendengarnya dan tahu pula cerita Pak Pandir, anda akan terpesona bagaimana seorang tokoh jenaka Melayu, tiba-tiba muncul sebagai seorang pemikir dan ahli falsafah ulung. Anda tidak akan menjadi hairan jika anda meneliti kepintaran Pak Pandir sewaktu pergi bercuti di atas para, menipu Mak Andeh kononnya beliau akan pergi jauh untuk berihat dan melihat keindahan alam. Mak Andeh yang sedih dan kesepian manangis tersedu-sedu apabila beliau teringatkan Pak Pandir; ketika itulah Pak Pandir terkentut dengan kuat di atas para, yang mengejutkan Mak Andeh. Bila dilihatnya Pak Pandir tersengih sambil memakan bekal yang disediakan oleh Mak Andeh, maka marahlan Mak Andeh kerana dirasanya dia telah ditipu, padahal Pak Pandir yang lurus bendul itu tidak sedikit pun ingin menipu, hanya mahu bergurau saja dengan isteri kesayangannya. Itulah sebabnya dia memilih para di dapur rumahnya untuk berihat dan berangan-angan sambil tertawa seorang diri geli hati mengingat kecerdikannya dapat juga menipu Mak Andeh yang ternyata lebih lurus daripada dia sendiri. Tetapi ini semua sukar dimengerti jika anda tidak pernah membaca sebuah sajak oleh seorang sasterawan negara, yang diberi tajuk, “Pulang Si Tenggang”. Sajak ini sangat penting dalam konteks pandirisme yang dibincangkan di sini. Jika seorang sasterawan negara boleh dengan sewenang-wenangnya mengubah peranan Si Tenggang sebagai penderhaka kepada ibunya, untuk ditukar sebagai seorang pencari ilmu di luar negara dan pulang ke tanah airnya  sebagai seorang yang “enlightened”, maka bagaimana pula anda tidak boleh terima jika Pak Pandir muncul sebagai seorang ahli falsafah yang unggul, yang memberi definisi dan digniti kepada sastera Melayu? Semuanya serba mungkin, menurut Prof. Rahman Shaari yang mencetuskan idea tentang “anjakan makna” yang tidak pernah dihuraikannya itu. Kemunculan Pak Pandir sebagai ahli falsafah dan pemikir bangsa Melayu yang ulung adalah bukti betapa benarnya “teori” Prof. Rahman Shaari, yang pernah mengatakan dalam syarahan perdana beliau kata-kata keramat ini:  “Muhammad melihat Tenggang dari sudut lain. Yang pertama, Tenggang hanyalah kisah rekaan, jadi perwatakannya boleh dianjak hingga menjadi baik, sebagaimana Jebat yang jahat kerana menderhaka dijadikan baik kerana membela kawan. Tentulah sukar untuk sesiapa pun untuk membayangkan Tenggang yang baik, tetapi Muhammad Haji Salleh telah berjaya melaksanakannya. ... sukar pula kita mengetepikan titik tolak Muhammad Haji Salleh yang mencipta Tenggang lain. Seperti yang disebut ole [Prof.] Lee Chee Seng, si Tenggang dalam sajak Muhammad Haji Salleh ialah a modern Tenggang, bertentangan dengan Si Tenggang asal, iaitu Si Tenggang of legend. (NST, 26/2/1992). Si Tenggang moden ini balik bukan untuk disumpah menjadi batu, tetapi untuk berkongsi penemuan.” (Prof. Rahman Shaari, syarahan perdana 29/12/2004 di Universiti Malaya, “Kemantapan Puisi Melayu Moden: Satu Tinjauan”, hal. 35-36.) Maka dibuatlah kesimpulan seorang profesor oleh Prof. Rahman Shaari sebagai yang berikut: “Pengalihan perwatakan daripada antagonis kepada protagonis dalam karya Muhammad Haji Salleh tentulah menggoncang fikiran” (hal. 38).

Apakah yang dilihat oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Lee Chee Seng, Prof. Rahman Shaari tentang Si Tenggang? Jika anda masih ingat, Pak Pandir ketika hendak membeli padi, terus saja menuju ke longgokan padi hampa dan mengautnya ke dalam guni, tidak peduli lagi nasihat peladang bahawa itu bukan padi berat. Pak Pandir telah menggunakan akal logiknya (bukan logik akal) dengan baik, berasaskan falsafah empirisisme yang dikembangkan oleh Aristotle menjadi cabang lain dalam falsafah Barat, menentang falsafah gurunya, Plato, yang bersifat idealisme. Adakah sama Pak Pandir dengan Aristotle? Kita tanya Anwar Ridhwan, seorang sasterawan negara, yang membandingkan Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dengan Aristotle. Inilah kesimpulan terkenal Anwar Ridhwan: “Wacana Aristotle tentang Poetics menjadi sangat terkenal dan terus dihayati kerana dibina daripada teks dan persembahan yang telah wujud di Yunani. Aristotle membentuk Poetics daripada drama tragedi dan puisi naratif Yunani – suatu pengamatan yang panjang dan analitis tentang pelbagai unsur yang kemudiannya disaring dan dipilih bagi membentuk Poetics.  Barangkali itulah proses pembentukan teori yang sebaik-baiknya: muncul agak lewat daripada teks kerana hanya teks yang dapat menawarkan contoh-contoh penting, nyata, dan pejal tentang falsafah seni sesuatu bangsa” (Rangkaian Pemikiran dalam Karya Sastera, DBP 2006; hal. 61-62).  Ternyata Pak Pandir lebih cerdik daripada Aristotle, kerana semua keputusannya dibuatnya berasaskan pengalaman yang masih segar, tidak perlu menunggu lama untuk merumuskan sesuatu seperti yang dilakukan oleh Aristotle. Sebagai ahli falsafah, Pak Pandir telah menjadikan dirinya dan pengalamannya untuk mentafsirkan sesuatu fenomena yang dilihatnya, dengan itu menjadikan pengalamannya sebagai teks yang autentik kerana masih segar. Inilah kekuatan beliau, yang tidak boleh diatasi oleh Anwar Ridhwan, meskipun beliau bergelar “doktor”. Kelemehan itu terlihat dalam rumusan beliau yang berikut: “Terdapat kecenderungan di kalangan sarjana kesusasteraan untuk membina teori dengan agak mengabaikan sumber teks. Barangkali contohnya yang agak jelas adalah beberapa teori sastera Islam di Malaysia. Konsep asas Islam dan hubungannya dengan falsafah kesenian telah dipetik dan disusun membentuk teori sastera. Dengan demikian, teori tersebut dicipta dari ‘atas’. Teori itu seolah-olah dipacakkan di tengah-tengah jalan perkembangan kesusasteraan kita, yang jalan masa lampaunya tidak diambil kira” (hal. 61 buku sama).  Jika anda bertanya Pak Pandir tentang kesimpulan sasterawan ini, sudah pasti Pak Pandir akan menjawab tegas: “Ini orang yang terlampau cerdik, oleh itu dia tidak nampak tradisinya sendiri yang mencakupi seluruh tamadun Islam. Dia hanya melihat sekitar kampungnya, tentang ayam dan itik yang berkeliaran, dan musang yang senang-senang menangkapnya kerana tidak mempunyai reban.”  Memang Pak Pandir seorang genius: lihat bagaimana dia menyindir seorang sasterawan negara seolah-olah seekor musang menangkap ayam tidak bereban, berlari ke sana kemari termengah-mengah tetapi bulu ayam pun tidak dapat. Tidak demikian halnya dengan pemikir yang mempunyai tradisi ilmu-ilmu Islam sejagat, yang dia kenal dari dekat. Oleh itu tidak jadi masalah langsung baginya untuk mendapatkan teks yang autentik, kerana dalam seluruh tamadun Islam dia akan mendapat pilihan terbaik, oleh itu “teori”nya boleh mencabar semua teori Barat, dan tetap teguh kerana tidak satu pun teori Barat dapat meruntuhkan sistem pemikiran yang dibangunkannya. Hal ini disedari oleh Pak Pandir; tetapi sarjana yang tidak menyedarinya terjebak dalam pandirisme yang ditolak oleh Pak Pandir sendiri. Tidakkah itu sangat ironik?

Ketika menulis sajak “Pulang Si Tenggang”, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh belum lagi mengenal tradisi lisan dan bertulis bangsa Melayu; tetapi setelah dia mengenalnya sedikit, belum lagi mendalam, dia sedar bahawa tradisi Melayu itu mengutamakan pendidikan dan pembinaan peribadi bermoral tinggi, bukan manusia terpelajar yang tidak mempunyai pendidikan. Sebab pantun Melayu berkata: Timang tinggi-tinggi; sampai cucur atap; belum tumbuh gigi; pandai baca kitab. Itulah falsafah pedidikan bangsa Melayu. Dan ini ditegaskan lagi dalam pantun yang lain, kali ini untuk orang dewasa: Banyak orang menyemat atap; Mari disemat Kampung Ulu; Tuan umpama suratan kitab; Pagi petang baca tak jemu. Itulah nilai karya dalam kebudayaan Melayu, dan ini disedari agak lewat oleh Prof. Muhammad Hj. Salleh lalu disebutnya dalam syarahan perdana beliau (tahun 1989): “Hampir semua jenis karya yang telah saya teliti telah menyedarkan saya kepada hakikat bahawa karya yang indah dan baik adalah yang didaktik sifatnya” (Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan, hal. 34). Kalau dia sedar akan hal ini, dia tidak akan menulis sajak “Pulang Si Tenggang” kerana sajak itu tidak mempunyai unsur didaktik, tetapi kaya dengan unsur penderhakaan terhadap tradisi dengan penuh emosi dilafazkan dalam kata-kata, “Aku sudah belajar/ Jadi kurang ajar”. Adakah itu unsur didaktik? Tidak. Sekiranya “belajar jadi kurang ajar” itu merujuk kepada penentangannya terhadap budaya Barat, maka beliau telah membuktikan di tempat lain, dalam sajaknya “Baris-baris di Muzium Goethe” bagaimana dia menerima Goethe sebagai warisan bangsa Melayu, dan terpesona dengan kepintaran Raja Iblis yang bernama Mephistopheles itu. Bagaimana kita akan membaca sajak ini jika itu bukan tafsirannya? Dan ini dikuatkan lagi dengan beberapa sajak lain yang memuja Shakespeare (beliau menulis tentang King Lear dan lain-lain). Dia menerima warisan Barat, tetapi menolak warisan Islam, yang tidak wujud dalam sebarang sajaknya yang menjadi kemegahannya. Jika anda mahu bukti, silalah cari siapa di antara penyair Islam dan pujangga Islam yang pernah disebutnya, seperti dia dengan hormat dan penuh kagum menyebut Shakespeare dan Goethe (budak-budak pemain guli, kata Annemarie Schimmell, jika dibandingkan dengan Rumi yang tidak dikenali oleh pensajak ini).   Kata-kata Annemarie Schimmell mengingatkan saya kepada Tolstoy, yang mengutuk Shakespeare sebagai seorang pengarang yang “mediocre”.

Kutipan panjang daripada esei Tolstoy ini penting, oleh itu saya salin di sini.

My disagreement with the established opinion about Shakespeare is not the result of an accidental frame of mind, nor of a light-minded attitude toward the matter, but is the outcome of many years' repeated and insistent endeavors to harmonize my own views of Shakespeare with those established amongst all civilized men of the Christian world.
I remember the astonishment I felt when I first read Shakespeare. I expected to receive a powerful esthetic pleasure, but having read, one after the other, works regarded as his best: "King Lear," "Romeo and Juliet," "Hamlet" and "Macbeth," not only did I feel no delight, but I felt an irresistible repulsion and tedium, and doubted as to whether I was senseless in feeling works regarded as the summit of perfection by the whole of the civilized world to be trivial and positively bad, or whether the significance which this civilized world attributes to the works of Shakespeare was itself senseless. My consternation was increased by the fact that I always keenly felt the beauties of poetry in every form; then why should artistic works recognized by the whole world as those of a genius,—the works of Shakespeare,—not only fail to please me, but be disagreeable to me? For a long time I could not believe in myself, and during fifty years, in order to test myself, I several times recommenced reading Shakespeare in every possible form, in Russian, in English, in German and in Schlegel's translation, as I was advised. Several times I read the dramas and the comedies and historical plays, and I invariably underwent the same feelings: repulsion, weariness, and bewilderment. At the present time, before writing this preface, being desirous once more to test myself, I have, as an old man of seventy-five, again read the whole of Shakespeare, including the historical plays, the "Henrys," "Troilus and Cressida," the "Tempest," "Cymbeline," and I have felt, with even greater force, the same feelings,—this time, however, not of bewilderment, but of firm, indubitable conviction that the unquestionable glory of a great genius which Shakespeare enjoys, and which compels writers of our time to imitate him and readers and spectators to discover in him non-existent merits,—thereby distorting their esthetic and ethical understanding,—is a great evil, as is every untruth.
Altho I know that the majority of people so firmly believe in the greatness of Shakespeare that in reading this judgment of mine they will not admit even the possibility of its justice, and will not give it the slightest attention, nevertheless I will endeavor, as well as I can, to show why I believe that Shakespeare can not be recognized either as a great genius, or even as an average author.

Anda boleh bayangkan bagaimana kita telah ditipu oleh pandirisme Barat yang mengagungkan Shakespeare, padahal dia hanya seorang budak pemain guli, “a mediocre writer, that cannot be recognized either as a great genius, or even an average author.”  Untuk mendapat ulasan lanjut, sila rujuk Morris Weitz, Hamlet and the Philosophy of Literary Criticism (Faber paperback, 1972; cetakan pertama 1965; hal. 187-199).

Perhatikan kesimpulan Weitz ini:  “To question Tolstoy is not to refute him. Shakespeare may still be a mediocrity. But Tolstoy, it seems to me, offers not a shred of evidence or good argument to suppoort his case. Everything he claims, from his necessary and sufficient properties of a ‘true’ work of art to Shakespeare’s inflated and debased language, is completely open to fundamental debate”. 

Bukan hanya pandangan Tolstoy “is completely open to fundamental debate”, malah pandangan dan kesimpulan Weitz sendiri pun begitu juga; dan seterusnya pandangan para pengkritik yang dipilihnya untuk dibincang di dalam bukunya.  Untuk mengatakan Tolstoy “offers not a shred of evidence or good argument to support his case,” juga terbuka untuk dibahaskan dengan kritis, sebab kita pun mahu tahu apa maksud Weitz dengan “not a shred of evidence or good argument”.  Walaupun Weitz berkata, “to question Tolstoy is not to refute him”, dengan kesimpulan itu dia sebenarnya telah menolak sama sekali hujah Tolstoy “without a shred of evidence or good argument”. Untuk membuat keputusan demikian, ternyata Weitz menolak pengakuan Tolstoy bahawa dia mengambil masa yang lama dan membaca karya Shakespeare dengan teliti dalam bahasa asal dan dalam terjemahan untuk memastikan dia tidak tersilap, nampaknya tidak diterima oleh Weitz sebagai satu proses intelektual yang mantap yang membolehkan Tolstoy memberikan pendapatnya yang tepat. Esei Tolstoy adalah bukti yang jelas betapa beliau amat berhati-hati mengemkukakan hujah dan bukti daripada pembacaan yang teliti, oleh itu kesimpulan Weitz yang mengatakan Tolstoy tidak mempunyai hujah dan bukti adalah karut dan terlalu mengada-ada untuk melindungi Shakespeare supaya mitos yang dibina selama beratus tahun itu tidak runtuh.  Tolstoy terkenal dengan sifat cermatnya, seperti yang ditunjukkannya dalam kutipan panjang di atas. Bayangkan novel Perang dan Damai yang tebal itu disemak oleh beliau sebanyak 12 (dua belas) kali sebelum dicetak. Tidak masuk akal sama sekali untuk Weitz meragui kemampuan intelektual gergasi sastera dunia ini, semata-mata untuk melindungi Shakespeare. Weitz mengemukakan pendapat dua orang tokoh terkenal dalam sastera Inggeris, George Orwell dan G. Wilson Knight, sebagai contoh bagaimana dua orang pengkritik menghadapi Tolstoy. Tetapi kedua-duanya tidak mampu menolak hujah dan pembuktian Tolstoy. Sarjana dan pengkritik Malaysia perlu meneliti persoalan ini, terutama dari kalangan sasterawan negara yang terkenal cerdik dan cekap berfikir itu (seminar tentang pemikiran mereka kerap diadakan oleh Dewan Bahasa Pustaka). Jika anda berminat, anda bacalah sendiri perbincangan Weitz dalam bukunya. Kesimpulan yang saya dapat ialah: apabila sesuatu penilaian dibuat berasaskan hawa nafsu manusia, menjadikan dirinya ukuran segala nilai (man as the measure of values), maka hasilnya tetap berada dalam situasi yang dihadapi Sisyphus, kerja yang tidak pernah selesai dan usaha yang sia-sia.  Adakah ini merupakan kemuncak daripada pandirisme?

Sebagai perbandingan, saya salin di sini pandangan George Orwell tentang Tolstoy:

“It is not true, in the sense implied by Tolstoy, that Shakespeare is an unmoral writer. His moral code might be different from Tol-stoy's, but he very definitely has a moral code, which is appar-ent all through his work. He is much more of a moralist than, for instance, Chaucer or Boccaccio. He also is not such a fool as Tolstoy tries to make out. At moments, incidentally, one might say, he shows a vision which goes far beyond his time. In this connexion I would like to draw attention to the piece of criticism which Karl Marx — who, unlike Tolstoy, admired Shakespeare — wrote on Timon of Athens. But once again, what Tolstoy says is true on the whole. Shakespeare is not a thinker, and the critics who claimed that he was one of the great philosophers of the world were talking nonsense. His thoughts are simply a jumble, a rag-bag. He was like most Englishmen in having a code of conduct but no world-view, no philosophical faculty. Again, it is quite true that Shakespeare cares very little about probability and seldom bothers to make his characters coherent. As we know, he usually stole his plots from other people and hastily made them up into plays, often introducing absurdities and inconsistencies that were not present in the original. Now and again, when he happens to have got hold of a foolproof plot — Macbcth, for instance — his characters are reasonably consistent, but in many cases they are forced into actions which are completely incredible by any ordinary standard. Many of his plays have not even the sort of credibility that belongs to a fairy story. In any case we have no evidence that he himself took them seriously, except as a means of livelihood. In his sonnets he never even refers to his plays as part of his literary achievement, and only once men-tions in a rather shamefaced way that he has been an actor. So far Tolstoy is justified. The claim that Shakespeare was a profound thinker, setting forth a coherent philosophy in plays that were technically perfect and full of subtle psychological observation, is ridiculous.” [Daripada eseinya, “Tolstoy and Shakespeare”, terbit 1941].

Kita harap tidak seorang pun di antara sasterawan negara kita berada dalam keadaan yang dibayangkan oleh Tolstoy. Kita harap mereka bukan dari golongan mediocre. Tetapi soalnya ialah, jika seorang gergasi seperti Shakespeare boleh dicap sebagai mediocre oleh Tolstoy, bolehkah para sasterawan negara ini terlepas dari pencirian istimewa yang diberikan oleh Tolstoy itu?  Di sinilah relevannya laporan Panel Anugerah Sastera diberi perhatian.

Lihat pula bagaimana pandirisme diterjemahkan dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Pandirisme boleh menjelma dalam berbagai-bagai bentuk, yang jika tidak diperhatikan dengan cermat dan kritis, orang akan dengan mudah menganggapnya sebagai ciri intelektual. Inilah yang terjadi dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Perhatikan contoh retorik peragaan sebagai wajah pandirisme dalam kritikan sastera yang dipamerkan dengan bergaya dan mungkin memukau pembaca yang tidak tahu kepalsuan sihir kata-kata dalam bentuk retorik peragaan dalam Laporan 1991. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh digambarkan begini: “Kepadanya pokok persoalan atau tema sesebuah puisi adalah ilmu” (hal. 12).  Ini suatu kesimpulan yang sangat bererti, tetapi kosong dari segi bukti. Apakah “jenis ilmu” yang terdapat dalam sajak “Pulang Si Tenggang” dan “Baris-baris di Muzium Goethe”, dua buah sajak yang dianggap karya masterpiece oleh pengkritik sastera (misalnya: Rahman Shaari, walaupun beliau tidak sedar wujudnya sajak kedua tentang Goethe itu)? Tiada siapa pun pembaca yang siuman, apatah lagi seorang ahli akademik yang berwibawa, akan mengatakan “Pulang Si Tenggang” sebuah “sajak ilmu”, manakala sajak kedua itu pula menyerlahkan dengan jelas pengetahuan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang begitu cetek tentang Goethe (bandingkan pengetahuan yang mendalam Iqbal tentang penyair Jerman ini.)  Jadi gembar-gembur tentang ciri intelektual pensajak ini adalah sejenis khayalan, satu mitos yang sama standardnya dengan mitos ahli sihir Firaun yang berjaya menipu rakyat Mesir dengan sihir mereka. Demikianlah, segala deretan pujian dalam bentuk retorik peragaan yang dimuat dalam laporan ini, dari halaman 9-42, tidak sedikit pun menunjukkan sifat intelektual yang sebenar, sebagai seorang pemikir ulung seperti yang diisyaratkan oleh Panel dalam laporan mereka. Kesimpulan ini tentu saja boleh dicabar oleh sesiapa juga yang membaca dengan teliti karya pensajak ini.  Tetapi Panel, seperti biasa dalam laporannya yang lain, tidak terlepas dari kontradiksi. Perhatikan kesimpulan Panel ini: “Pada Muhammad, meskipun puisi bertitik tolak daripada hiburan melalui bahasa dan bentuk, namun hiburan itu terjalin secara kental dalam persoalan yang menuju ke arah makna-makna yang memperlihat kebijaksanaan.” hal. 12. (Huruf condong ditambah). Sekiranya kita boleh percaya rumusan Panel ini, dan menerimanya sebagai menggambarkan pendapat sebenar Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, kita pula boleh membuat kesimpulan kita sendiri bahawa baik Panel mahu pun profesor ini amat keliru dan tersasar jauh dari segi makna ilmu yang difahami dalam Islam dan juga dalam falsafah Barat. Apa yang disebut dalam laporan itu adalah definisi sastera dalam teori Barat, bukan definisi ilmu. Tetapi nampaknya ini pun tidak boleh difahami oleh kedua-dua pihak, oleh itu kedua-duanya memberi pendapat mereka yang tidak berasas. Bagaimana pendapat begini boleh dijadikan asas untuk meletakkan pensajak ini ke dalam kategori penulis berilmu? Kita mesti selesaikan persoalan ini, kerana kesimpulan Panel dalam hal ini menjadi asas penilaian mereka seterusnya. Jika asasnya tidak betul, maka sudah pasti kesimpulannya tidak boleh diterima.

Inilah yang terjadi kepada Pak Pandir, walaupun beliau mengasaskan keputusan yang dibuatnya kepada pemerhatian bersifat empiri. Inilah yang kemudiannya melahirkan falsafah pandirisme, yang kini sudah diiktiraf sebagai falsafah satu-satunya yang menepati kemahuan kumpulan yang mewakili sebahagian besar masyarakat. Dalam dunia akademik dan kritikan sastera, pandirisme sudah dijadikan asas segala analisis, penilaian dan pengiktirafan dalam bidang kesusasteraasn dan lain-lain bidang yang berkaitan.  Kerana sudah diarusperdanakan, maka pandirisme sudah diterima sebagai dogma akademik dan kritikan sastera. Pandangan yang tidak mewakili pandirisme tidak  akan diterima sebagai sesuatu yang sah, oleh itu tidak boleh dijadikan ukuran dalam kritikan sastera dan lain-lain kegiatan yang memerlukan penilaian.  Jika ada di antara pembaca yang  tidak begitu faham tentang perkara ini, sila baca kembali pendahuluan dalam pos bertarikh 26/2/2013 tentang celebrating pandirisme dalam kritikan sastera.  Kehadiran pandirisme dalam dunia akademik dan kritikan sastera Melayu adalah suatu kenyataan yang terbentang jelas untuk dilihat oleh semua orang yang berminat dalam bidang ini.  Mereka tidak dapat melihatnya kerana tertutup oleh selubung kritikan Barat yang menjadi pegangan mereka, seperti Ratu Balqis tertutup mata hatinya kerana menyembah matahari, dan hanya mendapat kembali harga dirinya setelah menyelak kainnya dan ditegur oleh Nabi Sulaiman ‘a.s. bahawa itu hanya lantai berkilat, bukan air kolam. Sungguh cantik cerita ini untuk dijadikan teladan!  Bandingkan cerita ini dengan keterpesonaan Pak Pandir melihat timbunan padi hampa. Tidakkah itulah sifat kagum para sasterawan dan pengkritik ketika melihat karya sastera yang mereka sukai?  Bagaimanakah harga diri para sasterawan dan sarjana sastera ini dapat dikembalikan kepada mereka?  Sebenarnya tidak perlu, kerana mereka sudah meletakkan harga diri mereka sebagai pengikut dan penganut teori sastera Barat. Tanpa teori sastera Barat, mereka akan menjadi bisu, tidak berupaya berkata sesuatu yang boleh difahami mereka dan pembaca mereka.  Inilah kemuncak pandirisme dalam “kehidupan intelektual” para sasterawan dan sarjana sastera serta para pengkritik sastera yang sentiasa bising dalam seminar menyuarakan pandangan orang lain yang mereka pinjam, dan sering kali jiplak, dari buku-buku kritikan Barat yang belum tentu mereka faham dengan mendalam dasar akademiknya. Mereka sering bercakap tentang experimen, perubahan, kelainan, dan “penemuan baru” para sasterawan, padahal mereka sendiri menggunakan alat analisis yang sudah tidak bertaring lagi dari segi ilmiah dan sudah jauh ketinggalan zaman. Mereka megah dan sangat sombong menjadi pengikut yang ketinggalan zaman ini. Inilah kehebatan pandirisme dalam “kegiatan intelektual” di kalangan para sasterawan dan sarjana sastera.  Dilihat dalam konteks ini, ternyata pandirisme yang dipelopori oleh Pak Pandir itu memberi wajah cemerlang dalam pelestarian retorik peragaan dalam kritikan sastera, yang cukup berjaya memberikan senarai panjang tentang kehebatan “pemikiran” seseorang sasterawan negara dan lain-lain sasterawan yang sentiasa mencari kelainan, walaupun dari segi kualiti seni dan tahap pemikiran masih jauh ketinggalan. Sekali lagi, laporan Panel Anugerah Sastera Negara menjadi bukti dalam pelestarian pandirisme ini.  Sekiranya anda masih belum yakin mengapa pandirisme amat penting dalam kesusasteraan Melayu moden, sudah sah anda masih berada di peringkat tadika dalam memahami konsep ilmu. Dengan maklumat peringkat tadika dan pengetahuan secetek itulah anda menilai karya para sasterawan negara atau bukan sasterawan negara untuk menempatkan mereka di puncak pencapaian tertinggi, tidak boleh dicabar lagi, kerana anda sendiri tahu apabila mitos yang anda bina itu dicabar, semuanya akan bertaburan di lembah kepalsuan seperti yang dialami oleh ahli sihir Firaun ketika menghadapi kebenaran hakiki. Bezanya ialah, ahli sihir itu akhirnya tunduk kepada kebenaran setelah melihat dengan nyata kepalsuan sihir mereka. Para sasterawan dan sarjana sastera belum sampai ke peringkat itu, oleh itu kedudukan mereka jauh lebih rendah daripada kedudukan ahli sihir Firaun itu. Anda masih belum mengerti? Wajarlah Keris Mas menulis cerita pendeknya yang paling terkenal dengan memberinya judul, “Mereka Tidak Mengerti”.

Mohd. Affandi Hassan,
15/4/2013.

Tuesday, April 9, 2013

YANG TEMPATAN DAN YANG BARAT DALAM TEORI SASTERA: MENYUBUR ATAU MENGELAK PANDIRISME DALAM KRITIKAN SASTERA?


Sudah wujudkah teori sastera tempatan? Sudah tertolakkah teori sastera Barat dalam kritikan sastera tempatan? Dua soalan ini saya kira lebih mengelirukan persoalan daripada menjelaskannya. Adakah kita perlukan teori sastera tempatan? Adakah kita perlu tolak semua teori sastera Barat? Nampaknya terdapat orang yang berasa perlu kepada teori sastera tempatan, dengan alasan mudah seperti yang dinyatakan oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh: kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita yang ditulis dalam bahasa Melayu yang tidak sama dengan karya Barat dengan menggunakan teori sastera Barat untuk menilai sastera kita. Adakah pandangan profesor ini betul? Nampaknya beliau sendiri tidak pasti, kerana semua karya beliau masih dihuraikan dan dinilai daripada perspektif teori sastera Barat seluruhnya. Adakah itu satu kesalahan? Jika satu kesalahan, mengapa cara itu diterima Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dan dia gembira kerana dari penggunaan teori itu dia rasa karyanya selamat dan  menjadi agung?  Ambil satu contoh yang paling mudah: sajak beliau tentang Si Tenggang muncul sebagai sajak intelektual jika dinilai daripada perspektif teori sastera Barat. Bagaimana pula jadinya jika dinilai daripada perspektif gagasan Persuratan Baru yang menekankan konsep ilmu yang benar? Antara dua penilaian ini, mana satu yang betul; atau kedua-duanya tidak betul? Jika itulah masalahnya, maka ketika itu kita mungkin perlukan teori sastera tempatan. Tetapi apakah yang ingin dicapai oleh teori tempatan itu?  Nampaknya kita sekarang sedang berpusing-pusing cuba menyelesaikan satu jenis kekusutan yang hanya boleh diselesaikan melalui kefahaman yang mendalam tentang peranan konsep ilmu yang benar dalam kritikan sastera.  Tetapi ini pun sebenarnya menjadi satu masalah, apabila orang sastera tidak boleh menerima konsep ilmu yang benar, kerana bagi mereka tidak ada konsep ilmu itu dalam kesusasteraan yang mereka praktikkan. Jika itulah persoalannya, maka dengan sendirinya tertolaklah keperluan kepada teori tempatan itu, kerana wujudnya teori sastera tempatan akan mempersoalkan mengapa perlu wujud praktik sastera yang ada sekarang, yang pada umumnya hanyut dalam kekeliruan tentang makna dan matlamat sastera, seperti yang ditunjukkan dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Jika anda membaca laporan panel itu, anda akan melihat bagaimana kukuhnya teori dan pendekatan Barat dikerabat oleh ahli panel yang pengetahuannya tentang selok belok teori sastera Barat sebenarnya tidak mendalam, hanya sekadar ikut-ikutan saja kerana kebetulan itulah saja yang mereka tahu. Inilah orangnya yang memilih sasterawan negara!

Nampaknya kita tidak boleh selesaikan masalah kita, kerana cara berfikir kita terlalu kusut. Mengapa cara berfikir itu menjadi terlalu kusut? Tidak lain sebabnya ialah kerana kita terlalu terpengaruh dengan teori sastera Barat dan cara penilaian yang dilakukan dalam tradisi kritikan Barat. Jika anda mahu bukti, anda boleh baca laporan Panel Anugerah Sastera Negara, dan anda akan dapat jawapannya di sana. Terang jelas, jika anda faham persoalan yang dibicarakan di sini.  Lihat bagaimana kelirunya penilaian yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam Laporan 2012.  Dalam laporan itu, dipakai pendekatan (belum sampai ke peringkat teori) yang dinamakan hermeneutik kerohanian, yang berasal daripada teori sastera Barat.  Pendekatan ini digunakan untuk menentukan betul tidaknya sajak-sajak sasterawan yang seorang ini berunsur sufi, atau terus saja dikatakan penulis sajak-sajak sufi. Tentulah amat aneh apabila pendekatan yang berasaskan nilai-nilai Barat itu digunakan untuk mengangkat sasterawan negara berkenaan sebagai penulis sajak sufi, walaupun lebih tepat jika ukuran yang berasaskan nilai-nilai Islam itulah yang dipakai jika mereka betul-betul mahu bermain dengan aspek “kesufian” dalam sajak-sajak Melayu. Kata laporan ini, oleh sebab sajak-sajak sasterawan ini “bersumberkan” al-Quran dan hadis, maka wajarlah digelar sajak-sajak sufi, walaupun pada waktu yang sama pensajak ini memggunakan alusi Mark Anthnoy dan Cleopatra untuk menyatakan amukan cintanya.  Tetapi yang penting, adakah sasterawan ini benar-bnar mempunyai peribadi seorang ahli sufi? Kalau belum pasti, maka bagaimana kita boleh dengan yakin beliau menulis sajak-sajak sufi? Inilah hasil pemikiran yang berkarat dengan nilai-nilai Barat dalam kritikan dan penulisan kreatif, yang menjadi dasar kesusasteraan Melayu moden. Dalam dunia sastera ini tidak mungkin lahir sajak-sajak sufi, kerana dunia itu bukan sebuah dunia yang sesuai untuk dihuni oleh seorang penulis yang berjiwa sufi.  Muhammad Iqbal menulis  syair-syair sufi kerana beliau berada dalam dunia pemikiran Islam tulen, oleh itu mesej dan matlamat syairnya ialah membina peribadi Muslim berasaskan cinta Ilahi, bukan dakapan Mark Anthony dan Cleopatra yang sedang mabuk cinta berahi seperti alusi yang dipakai oleh pensajak ini.

Kini terdapat sejenis perlumbaan jenis arnab dan kura-kura untuk mencapai kemenangan peribadi sang sarjana yang berasa dia perlukan satu teori sasteranya sendiri untuk menonjolkan dirinya, seperti arnab dan kura-kura. Masalahnya ialah gelanggangnya kecil, terlalu kecil untuk merangkum satu dunia teori berasaskan pemikiran yang benar-benar mantap. Akhirnya timbullah idea “teori tempatan” ini, tempat para sarjana bermain guli idea secara kecilan untuk menentukan manakah karya tempatan yang bagus dan mencerminkan budaya tempatan. Adakah ini kerja sarjana?  Tentu saja bukan kerja sarjana yang matang dan selesa bermain dengan idea yang bersifat sejagat. Nama teori tempatan itu saja telah menunjukkan betapa parochialnya, betapa kempungannya idea itu.  Tidak guna kita mengkritik teori sastera Barat jika teori yang ditelurkan itu tunduk menguku tidak berupaya mencabar teori Barat yang gagah perkasa itu.  Sebuah teori sastera Melayu haruslah berasaskan epistemologi tertentu, yang berupaya mencabar semua teori Barat yang dikatakan tidak sesuai dengan karya tempatan itu. Sebenarnya para sarjana sastera Malaysia amat selesa menggunakan teori Barat, kerana tidak ada tanggungjawab kemanusiaan mahupun tanggungjawab ilmu. Maksud tanggungjawab kemanusiaan itu ialah tanggungjawab keinsanan, yakni perihal kejadian insan dan ke mana arah tuju hidupnya di dunia dan selepasnya. Teori Barat tidak dapat memberikan kedua-dua arah tuju itu, kerana selain teori itu tidak berupaya melakukannya, setiap teori tidak peduli apakah matlamat hidup manusia di dunia dan langsung tidak percaya adanya kehidupan selepasnya. Oleh itu teori sastera Barat pada asasnya adalah sewenang-wenang, bertentangan dengan hakikat kejadian insan, hanya patuh kepada kemahuan hawa nafsu rendah manusia, yang memang menjadi asas kesusasteraan Barat. Jikalau anda mahu tahu persoalan ini lebih jauh dan lebih mendalam, bacalah kritikan Tolstoy ke atas Shakespeare, yang dianggapnya seorang mediocre saja. (Lihat antara lain, Morris Weitz, Hamlet and the Philosophy of Literary Criticism, Faber Editions, 1972; hal. 187 dst.) Dalam tahun 1991, sewaktu perasmian ISTAC di Kuala Lumpur, Annemarie Schimmel, sarjana German yang terkenal itu, bertukar mathnawi dengan seorang sarjana Iran; setelah kedua-duanya saling membacakan mathnawi Rumi, maka berkatalah Annemarie Schimmel: “Shakespeare dan Goethe, dibandingkan dengan Rumi, hanyalah budak-budak pemain guli, kerana gergasi sebenarnya  sadalah Rumi dan lain-lain penyair Islam.” (Kutipan dari ingatan, hanya maksudnya saja.)

Menjadikan kemahuan hawa nafsu rendah manusia sebagai tema agung sastera Barat itulah yang mereka namakan realiti kehidupan, yang secara total hanya menerima sifat-sifat rendah hawa nafsu kebinatangan dan kesyaitanan manusia. Sebenarnya Barat pun masih percaya adanya syaitan, yang mereka gelar rajanya Mephistopheles, yang dijadikan wira agung dalam Faust (sama ada versi Goethe atau lain-lain versi). Inilah asas kesusasteraan Barat, yang kemudiannya ditiru dengan jayanya oleh para sasterawan negara dan lain-lain sasterawan.  Tentu saja para sasterawan negara menolak kesimpulan ini, tetapi hakikat bahawa mereka menerima nilai-nilai Barat yang bersumber daripada manusia sendiri (man as the measure of values), maka para sasterawan ini terpengaruh juga dengan sifat-sifat keiblisan yang ditayangkan dalam watak-watak yang menjadi pilihan para sasterawan ini. Ini dibuktikan dengan jelas dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara.

Apa yang disebut sebagai “teori” oleh para sarjana ini bukanlah teori dalam makna dan maksud yang sebenarnya, yang dikonsepsikan oleh para ilmuan dunia. Yang mereka kemukakan tidak lebih dari sejenis panduan umum untuk melihat unsur-unsur Islam atau unsur-unsur Melayu  dalam sebuah karya kreatif, atau panduan untuk menilai kemampuan kreatif para sasterawan.  Semua ini kemudiannya melahirkan retorik peragaan di kalangan para sarjana ini, yang menderetkan apa saja unsur yang mereka anggap penting, tanpa sebarang ukuran yang boleh dijadikan standard untuk menjadikan unsur-unsur yang mereka lontarkan itu sebagai asas penting dalam penilaian karya dan juga dalam proses penulisan kreatif. Mereka hanya berminat memberi sedikit panduan kepada pembaca (termasuk sarjana sastera) supaya mereka boleh berkata, “Ini sastera Islam”, dan “Ini pula bukan sastera Islam” atau lain-lain kategori yang mereka sarankan (misalnya sama ada karya itu menggunakan unsur-unsur nilai Melayu atau tidak).  Tidak ada penjelasan sedikit pun dalam “teori” yang boleh dijadikan ukuran yang standard dalam penulisan kreatif dan juga dalam penilaiannya.  Sebagai contoh, ada di antara mereka yang berpendapat bahawa mimpi adalah salah satu unsur penting dalam karya berunsur nilai-nilai Melayu; tetapi tidak dijelaskan bagaimana kehadiran mimpi itu boleh dijadikan ukuran yang objektif dan jitu ketika menilai keunggulan sesuatu karya seperti novel. Bolehkah mimpi dijadikan unsur penting ketika menentukan sesebuah karya itu sudah sampai ke taraf masterpiece?  Contoh ini diambil untuk memberi sedikit bayangan kepada pembaca apakah corak “teori” yang digembar-gemburkan itu: betulkah sebuah “teori” atau hanya satu panduan umum untuk pembaca?  Jika anda seorang sarjana, anda boleh senaraikan ciri-ciri “teori” itu, dan uji keberkesanan ciri-ciri itu ketika menganalisis dan menilai sesebuah karya kreatif, yang diambil dari dalam karya itu, bukan hanya senarai ciri yang diberikan oleh “penteori” berkenaan.

Tiga perkara penting harus dikenal pasti   apabila bertemu dengan sesuatu “teori”: (1) apakah masalah atau persoalan penting yang ingin diselesaikan oleh “teori” itu; (2) apakah ciri utama “teori” itu dan sejauh mana persoalan atau masalah tadi diberi penekanan dalam “teori” itu: (3) adakah “teori” itu memberi kesan penting dalam analisis dan penilaian sesebuah karya kreatif yang dikaji dengan menggunakan “teori” itu.  Untuk yang (1), kita ingin tahu bagaimana “teori” itu menghuraikan masalah yang dikenal pasti sebagai masalah penting dalam kritikan sastera dan mengapa masalah itu dianggap penting dalam kritikan sastera. Untuk yang (2), ciri utama sesebuah “teori” merujuk kepada pembinaan sistem yang dibina oleh “teori” itu yang membezakannya daripada “teori” lain yang memberi penekanan tertentu dalam aspek kreatif dan kritikan sastera. Dari segi kritikan, adakah “teori” itu menyediakan cara membaca dan menilai sesebuah karya kreatif sehingga dari situ kita dapat melihat kekuatan atau kelemahan karya tersebut sebagai hasil seni dalam penulisan. Dari segi kritikan juga, adakah ciri-ciri yang diberikan itu boleh diukur dengan objektif, tepat dan jitu apabila menganalisis dan menilai sesebuah karya. Contoh: dalam “teori” lama, sesebuah karya kreatif seperti novel dinilai aspek ceritanya dari segi pembinaan dan perkembangan plot; manakala dalam Persuratan Baru, plot dilihat dalam konteks ruang naratif yang digunakan pengarang ketika membina karyanya dengan memberi tumpuan kepada wacana yang menyerlahkan pemikiran pengarang di samping pembinaan cerita yang ditentukan oleh pembinaan wacana tadi. Maksudnya, plot tidak lagi dijadikan aspek utama analisis dan penilaian, kerana dari segi pembinaan karya cerita, plot menekankan kepada pembinaan cerita; sedangkan penggunaan ruang naratif memberi perhatian kepada pemikiran dan bagaimana pemikiran tadi menentukan pembinaan cerita.  Dua perkara itu diberi penekanan, dengan keutamaan diberikan kepada pembentukan wacana; oleh itu cerita tidak lagi meleret penuh dengan padding seperti yang berlaku di kalangan para sasterawan dalam penulisan novel mereka. Dua contoh penting di sini ialah novel Imam dan Salam Maria, dua buah karya yang hanyut dalam gaya cerita yang tidak terkawal sehingga tidak terserlah ketajaman analisis pengarang dalam pembinaan struktur novelnya.  Walaupun dua buah novel ini dianggap sebagai “novel Islami” dari segi zahirnya; tetapi apabila dianalisis dan dinilai dari segi pemikiran ciri Islam yang mengutamakan ilmu,  pemikiran tadi tidak terserlah dalam bentuk wacana kerana diberi keutamaan kepada cerita yang meleret-leret panjang hanya sebagai padding yang tidak diperlukan dalam konteks pembinaan struktur karya tersebut.  Anda tidak dapat memahami aspek ini jika anda tidak memberi perhatian kepada (3) yang menentukan berkesan tidaknya “teori” yang anda guna dalam analisis dan penilaian anda. Persoalan ini dibincang dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah dalam beberapa makalah beliau, misalnya ketika menghuraikan bagaimana dalam sesuatu sayembara tertentu sebuah novel, Harga Sebuah Maruah, diberi penilaian yang tidak  tepat yang bertentangan dengan syarat peraduan itu sendiri. Contoh lain ialah analisis Prof. Ungku Maimunah terhadap novel Salam Maria.  Saya sendiri menekankan bagaimana penilaian Panel Anugerah Sastera Negara penuh dengan kontradiksi akibat penggunaan “teori” common sense yang tidak berasaskan apa-apa prinsip yang boleh diukur dengan objektif.  Kelemahan analisis dan penilaian dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara begitu menyerlah sehingga kini tidak disedari oleh para sarjana sastera yang tidak pun membaca laporan itu.  Adalah amat aneh dan cukup lekeh dari segi akademik apabila seseorang yang ghairah “membina” “teori” sastera atau “teori” kritikan tidak membaca dan membiarkan saja kekeliruan yang menghiasi laporan Panel Anugerah Sastera Negara tanpa memberikan pandangan kritis mereka sendiri, padahal Panel tidak meletakkan apa-apa standard yang boleh diikuti dan boleh dijadikan panduan dalam perkembangan kritikan Malaysia, oleh itu amat wajar kekeliruan begini dikritik supaya kekeliruan yang diwarisi daripada Panel Anugerah Sastera Negara itu tidak diteruskan. Seharusnya setiap “teori” yang ditelurkan menuju ke arah itu, bukan tunduk bersekongkol dengan segala kekeliruan yang menghiasi laporan Panel Anugerah Sastera Negara.

Pendirian kita tentang teori sastera Barat haruslah rasional dan bijak, bukan dengan sembrono menolak teori Barat seperti yang dilakukan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan Prof. Zawiah Yahya (walaupun penolakan kedua-dua mereka hanya dalam kata-kata semangat-semangatan, tidak dalam praktiknya, yang masih teguh berpegang kepada teori Barat yang mereka tegaskan salah dan tidak sesuai itu), tanpa sebarang alasan akademik yang boleh dipercayai. Seharusnya teori Barat itu diketahui dengan mendalam; tetapi digunakan kesedaran yang mendalam tentang kekurangan dan kekeliruannya, berasaskan kefahaman yang mendalm pula tentang konsep ilmu yang difahami dalam Islam. Ketika itu, apabila seseorang sarjana atau pengkritik menggunakan apa juga teori Barat yang dia suka, dia akan memberi penjelasan mengapa dia memilih teori itu dan apakah yang ingin dicapainya, dengan memberikan penjelasan yang tegas bagaimana pandangan menurut teori Barat itu sesuai atau tidak sesuai dengan konsep ilmu yang diajarkan oleh Islam. Contoh: apabila anda berkata, menurut teori Barat sekian-sekian, sajak-sajak Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh memberi maksud sekian-sekian; tetapi sebaik saja dinilai daripada konsep ilmu yang benar, sajak-sajak tadi tidak lagi sehebat yang dinilai menurut teori Barat; atau mungkin juga menjadi lebih hebat setelah dinilai daripada perspektif gagasan Persuratan Baru misalnya. Ini telah dicontohkan dengan meyakinkan oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani ketika menganalisis dan menilai novel Abdul Kadir Adabi, Melati Kota Bharu.  (Lihat makalah beliau yang kini sudah mencapai taraf standard yang harus dicapai oleh pengkritik dan sarjana kita, tersiar dalam Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan).

Dalam sebuah tulisan yang tersiar dalam Mastika, Oktober 1991, saya tegaskan begini: “Kita harus tahu seberapa banyak yang kita terdaya mengetahuinya; tetapi kita tidak harus sesat seberapa jauh yang kita mahu”.  Saya kira inilah pendirian yang paling siuman, paling rasional dan bijak.

Mohd. Affandi Hassan,
9/4/2013.